Wednesday, October 30, 2013

Jadi janda selepas tiga jam nikah

TINGGAL KENANGAN... Cincin perkahwinan yang diberikan oleh pengantin lelaki kepada Sasha.


BALIK PULAU – Seorang wanita tidak menyangka dirinya akan bergelar janda setelah suaminya melafazkan cerai talak tiga hanya kira-kira tiga jam selepas dia bergelar isteri sesudah mereka bernikah di sebuah masjid di Teluk Kumbar di sini Ahad lalu.
Lebih malang, wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Sasha, 21, turut ditendang oleh bekas suaminya sebanyak dua kali di belakang badan semasa dia meminta penjelasan mengenai perkara tersebut di rumah bekas mertua di Balik Pulau.
“Dia (bekas suami) mula naik angin dan terus melafazkan cerai talak tiga di hadapan ahli keluarga. Ibu bapa saya yang turut berada di situ hanya terkedu.
“Luruh hati saya selepas mendengar talak dijatuhkan sedangkan perkahwinan ini diputuskan oleh kami berdua serta mendapat restu kedua-dua keluarga,” ujarnya menahan sebak.


USM, USIM rangkul emas di London


MUSTAFA (tengah), bersama pelajar USIM( dari kiri), Mohammad Saifullah, Mohamad Wafi, Mohamed Sabri, Zulfawwaz, Mohamad Syafiq, dan Mohd. Akmal menunjukkan anugerah yang dimenangi di Nilai, Negeri Sembilan semalam.


GEORGE TOWN – Hasil penyelidikan empat pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menerima pengiktirafan antarabangsa apabila menggondol anugerah pada Pertunjukan Rekaan British di London baru-baru ini.
Kajian penyelesaian semula jadi mesra alam moringa oleifera seeds (MOS) oleh Meor Muhammad Hafiz Shah Budin dan Muhammad Razif Abd. Razak menggondol kemenangan berganda apabila menerima Anugerah Berlian dan Pingat Emas.
Penyelidikan menggunakan tumbuhan moringa oleifera atau nama tempatannya buah merungai berjaya menjimatkan kos operasi rawatan air bersih.


Kintan sambut hari jadi ke-105


SHAHRUL ZAMAN (depan, kanan) berbual dengan Kintan pada majlis sambutan hari kelahiran ke-105 lelaki itu di Dewan Batu 20, Bagan Datoh semalam.


BAGAN DATOH – Seorang lelaki yang dipercayai antara orang tertua di negara ini menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-105 bersama sembilan anak, 100 cucu dan 60 cicitnya di sini semalam.
Lelaki tersebut, Kintan Mat yang berasal dari Kampung Tebuk Haji Wahab, Batu 20, Bagan Pasir di sini turut diraikan oleh kira-kira 500 ahli keluarga lain dalam majlis tersebut yang diadakan di Dewan Batu 20.
Kintan yang dilahirkan pada tahun 1908 dan berkerusi roda menitiskan air mata melihat semua ahli keluarganya daripada tiga generasi dapat berkumpul bagi meraikan hari jadinya.


AS didakwa miliki fasiliti mengintip di KL

GAMBAR fail menunjukkan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.


SYDNEY - Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mencuri dengar perbualan telefon dan memantau rangkaian komunikasi dengan menggunakan fasiliti pengintipan elektronik di kedutaan dan konsulat AS yang terdapat di Asia Timur dan Asia Tenggara, lapor akhbar Sydney Morning Herald semalam.
Pendedahan itu dibuat berdasarkan maklumat yang dibocorkan oleh bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), Edrward Snowden yang juga warga AS.
Satu senarai peta rahsia turut mendedahkan 90 fasiliti tersebut yang terdapat di seluruh dunia termasuk kemudahan pengintipan komunikasi yang terdapat di Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok, Phnom Penh dan Yangon.
Bertarikh 13 Ogos 2010, peta itu menunjukkan tiada fasiliti berkenaan di lokasi di Australia, New Zealand, Britain, Jepun dan Singapura yang merupakan sekutu rapat AS.
Australia mengetahui sepenuhnya berhubung pengintipan elektronik AS ke atas negara-negara rantau di Asia Tenggara dan rakan perniagaannya.
Negara itu juga telah mengakses sebahagian besar data yang dikumpulkan oleh AS.
Menurut peta itu yang disiarkan oleh majalah Jerman, Der Spiegel semalam, operasi pengintipan itu dilakukan secara bersama oleh Agensi Perisikan Pusat dan NSA menerusi unit yang dikenali sebagai Perkhidmatan Pengumpulan Khas (SCS).
Peta tersebut yang pada mulanya disiarkan secara penuh di laman web Der Spiegel tetapi kemudian diganti dengan versi yang ditapis telah menyenaraikan fasiliti SCS di 90 buah lokasi di seluruh dunia termasuk 74 premis dan 14 fasiliti yang dikawal dari jauh.
Ia juga memaparkan dua pusat sokongan teknikal SCS.
Peta tersebut mendedahkan AS memiliki fasiliti pengintipan komunikasi di Jakarta, Kuala Lumpur, Bangkok, Phnom Penh dan Yangon.
Kedutaan AS di Bangkok juga merangkumi pasukan sokongan teknikal dan digunakan untuk mengendalikan premis pengintipan di Konsulat AS di bandar Chiang Mai.
Di Asia Timur, usaha pengintipan AS tertumpu kepada China dengan fasiliti tersebut dibina di Kedutaan AS di Beijing dan Konsulat AS di Shanghai dan Chengdu.
Sebuah fasiliti serupa berada di pejabat diplomatik tidak rasmi AS di Taipei.
Peta itu mengesahkan bahawa operasi pengintipan komunikasi AS melangkaui ke seluruh dunia dengan fasiliti seumpamanya berada di bandar raya utama di setiap benua.
Terdapat lapan fasiliti itu di Asia Selatan termasuk di Kedutaan AS di New Delhi dan Islamabad.
Rantau Asia Barat dan Afrika Utara pula dilitupi oleh tidak kurang daripada 24 fasiliti pengintipan manakala rantau Sahara mempunyai sembilan fasiliti serupa.
Sebelum ini program pengintipan NSA, X-Keyscore telah dibocorkan oleh Snowden.
Program itu merupakan sistem komputer yang digunakan oleh NSA dan rakan perisikannya, FVEY bagi mencari dan menganalisis data internet di seluruh dunia.
Menurut dokumen yang disiarkan oleh akhbar Britain, Guardian, X-Keyscore membolehkan NSA memantau hampir segala aktiviti pengguna internet termasuk e-mel, enjin pencarian internet dan penggunaan laman sosial.
Beberapa sumber perisikan Australia mengesahkan kepada agensi media Fairfax baru-baru ini bahawa fasiliti itu digunakan untuk mengumpulkan maklumat risikan diplomatik, politik dan ekonomi selain keganasan serta keselamatan.
Operasi pengintipan di fasiliti-fasiliti tersebut berlaku di sebuah bilik bangunan kedutaan melibatkan perbuatan mencuri dengar mana-mana perbualan telefon yang disasarkan.


Model wanita bergambar dalam laut


Seorang penyelam membantu seorang wanita menyedut oksigen semasa dia menjadi model pada pertandingan bergambar di dalam laut di bandar Eilat, Israel.- REUTERS


EILAT, Israel - Sekumpulan jurugambar amatur dan profesional berhimpun di sebuah bandar peranginan tepi pantai di sini untuk menyertai pertandingan merakamkan gambar di dalam laut.
Lebih 80 jurugambar menyertai pertandingan tersebut yang diadakan pada 20 hingga 26 Oktober lalu dalam pelbagai kategori.
Beberapa model wanita turut menyelam dengan memakai pelbagai fesyen pakaian dan membuat aksi tanpa memakai tangki oksigen semasa gambar mereka dirakamkan.
Dasar laut di bandar ini mengandungi bangkai sebuah kapal perang yang karam pada kedalaman 18.28 meter.
Kos untuk merakamkan gambar di dalam laut dengan menggunakan kamera kalis air boleh mencecah sehingga AS$40,000 (RM125,821).
Hadiah utama imej terbaik yang dirakamkan pada pertandingan itu telah dimenangi oleh Mark Fuller dari Israel yang merakamkan gambar seekor ikan lut sinar.
Dia memenangi wang tunai sebanyak AS$10,000 (RM31,455).


China pamer armada kapal selam nuklear


GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan barisan anggota tentera laut berdiri di atas badan sebuah kapal selam berkuasa nuklear milik tentera laut China di sebuah lokasi yang tidak didedahkan.


BEIJING - China mempamerkan armada kapal selam nuklearnya, lapor media pemerintah negara berkenaan semalam.
Media pemerintah melaporkan langkah tersebut penting untuk membuktikan bahawa China berupaya melancarkan serangan ketika ketegangan serantau semakin memuncak.
Menurut akhbar Global Times, kapal selam berkuasa nuklear China yang pertama dilancarkan pada tahun 1970-an.
"China memiliki keupayaan melancarkan serangan nuklear sekunder," menurut akhbar berkenaan di laman editorialnya semalam.
"Sebahagian negara tidak menimbang faktor ini dengan serius apabila menggubal dasar mereka mengenai China," tambahnya.
Laporan media itu memberi tumpuan pada kapal selam nuklear lama iaitu kelas Xia berbanding armada kelas Jin yang lebih baharu.
Kapal selam nuklear pertama China ditamatkan perkhidmatannya baru-baru ini selepas beroperasi lebih 40 tahun.
Pameran kuasa ketenteraan itu dibuat ketika hubungan negara itu dengan Jepun semakin dingin berhubung tuntutan bertindih Kepulauan Senkaku yang dituntut oleh China.
Beijing menggelarkan gugusan pulau itu sebagai Diaoyu.


Cacat penglihatan bukan halangan



HIDUP dalam kegelapan dengan membayangkan warna-warna kehidupan tentunya bukan suatu yang mudah bagi individu yang cacat penglihatan.
Namun bagi Tokoh Membaca Istimewa, Norhashimah Hashim, 49, ia merupakan cabaran yang perlu diatasi sejak lahir.
Sungguhpun mempunyai tahap penglihatan terhad, sejak kecil lagi guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik di Alor Setar, Kedah ini menjadikan buku sebagai sahabatnya.
Jika kanak-kanak normal lain ketika itu leka bermain dengan kawan-kawan seusia, bagi beliau tiada barang mainan yang lebih mengasyikkan selain buku.
"Saya lebih banyak terdedah dengan bahan bacaan. Ia mungkin disebabkan sejak berumur enam tahun telah tinggal di asrama bersama abang saya, Zahari, yang juga cacat penglihatan.
"Kami telah dihantar ke Sekolah Rendah Pendidikan Khas St. Nicholas, Pulau Pinang memandangkan tidak banyak sekolah pendidikan khas yang wujud berhampiran kediaman kami pada ketika itu," katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.
Anak kelahiran Simpang Empat, Alor Setar yang tinggal di asrama sehingga berumur 12 tahun itu berkata, di sekolah tersebut para pelajar didedahkan kepentingan perpustakaan dan dari situl timbul minatnya untuk membaca.
"Lebih seronok apabila terdapat bahan bacaan berbentuk Braille yang memudahkan kami memahami jalan cerita buku yang dibaca," katanya tersenyum.
Norhashimah kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat menengah di SMK Sultanah Asma di Alor Setar, Kedah sebelum bertukar ke Sekolah Kolej Sultan Abdul Hamid ketika berusia 15 tahun.
"Apabila masuk ke sekolah menengah, cabarannya berbeza kerana terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar normal terutamanya dalam aspek pelajaran.
"Di sini bahan-bahan bacaan untuk pelajar cacat penglihatan adalah terhad berbanding buku-buku biasa," ujarnya.

NOVEL Lambaian Kinabalu pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan 2001.


Rakan-rakan
Masalah kekurangan bahan bacaan dan rujukan masih dirasai ketika Norhashimah melangkah kaki ke Universiti Malaya (UM). Keadaan itu telah memaksa beliau meminta bantuan rakan-rakan untuk membacakan buku ketika mengulangkaji pelajaran.
"Masa itu belum ada teknologi seperti sekarang iaitu alat bantuan bacaan menerusi audio yang memudahkan kami untuk mendengar isi kandungan buku-buku rujukan. Kehadiran rakan-rakan banyak membantu sepanjang pengajian saya di sana.
"Sewaktu di universiti saya juga menghadapi kesukaran untuk menghafal jalan ke kelas kerana jalan yang dibawa oleh rakan-rakan sentiasa berbeza," maklumnya.
Sungguhpun demikian, segala kesukaran yang dihadapi pemegang Ijazah Sastera dan Sains Sosial UM itu tidak dijadikan sebagai satu bebanan, malah beliau menganggap semua itu sebagai cabaran yang perlu diatasi untuk berjaya.
Norhashimah, yang menjadikan ilmu sebagai tunjang dalam kehidupannya, kemudian menyambung pengajian peringkat kursus perguruan lepasan ijazah (KPLI) di Institut Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
"Setelah tamat pengajian, saya terus dapat tawaran untuk mengajar di SMK Tunku Abdul Malik sehingga sekarang," katanya sambil berkongsi pengalaman sebagai telefonis selama tiga tahun di sebuah syarikat swasta ketika menjadi ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia pada tahun 1995.
Menariknya, dalam kesibukan menjalani kehidupan harian, wanita ini tidak pernah lekang daripada buku.
Bidang penulisan
Berkongsi pengalaman penglibatan dalam bidang penulisan, anak kedua daripada lapan beradik ini memberitahu, sebelum menyertai Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi) pada tahun 1988, beliau telah menulis skrip drama dan cerpen untuk dihantar ke stesen-stesen radio.
"Saya terlibat di bidang penulisan setelah tamat pengajian di UM. Ketika itu saya sering terfikir apakah yang patut dibuat bagi mengisi masa terluang," ujarnya.

SMK Tunku Abdul Malik (kiri) dan Universiti Malaya merupakan antara lokasi yang membentuk karakter Norhashimah agar terus berjaya dalam kehidupan.


Meminati hasil karya penulis, Ramlee Awang Murshid, Norhashimah memberitahu, sejak di peringkat awal lagi beliau akan mengambil inisiatif dengan menyertai bengkel-bengkel dan seminar berkaitan bagi memantapkan lagi kemahiran penulisannya.
Segala usaha yang disemai telah membuahkan hasil apabila novel sulungnya yang berjudul Masih Ada Sinar diterbitkan pada tahun 1993. Ini diikuti oleh Sebuah Pelayaran yang juga pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan penulisan anjuran Asasi.
"Jika terbitan pertama telah membuatkan saya teruja, apatah lagi ketika novel kedua yang mendapat anugerah. Ia terus membakar semangat saya untuk menghasilkan karya-karya yang menarik dan berkualiti," katanya.
Lebih menggembirakan apabila novel Sebuah Pelayaran turut diadaptasikan sebagai sebuah drama yang disiarkan di sebuah stesen televisyen tempatan.
Kini, Norhashimah telah berjaya menghasilkan lebih 20 cerpen dan 10 buah novel. Novel lain yang ditulis oleh beliau berjudul Hadiah Yang Tidak Ternilai, Antara Mak dan Nama, Lambaian Hijrah, Melewati Siang Meniti Malam, Lambaian Kinabalu dan Hujan Emas Di Negeri Orang.
Beliau memberitahu, novel Melewati Siang Meniti Malam itu diterbitkan pada tahun 1995 di bawah siri tamu istimewa Kumpulan Utusan yang merupakan kumpulan novel hasil nukilan penulis-penulis cacat penglihatan tempatan.
"Sebagai draf awal penulisan, saya menggunakan bahasa Braille melalui sebuah mesin khas dan kemudian akan menggunakan mesin taip untuk menaip semua draf sebelum dihantar kepada penerbit.
"Dengan teknologi yang semakin moden hari ini, saya boleh menggunakan komputer riba dengan perisian khas untuk menghasilkan karya. Proses ini jauh lebih pantas berbanding kaedah sebelum," ujarnya.
Mengimbau kenangan ketika dinobatkan sebagai Tokoh Membaca Istimewa pada Jun lalu oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Norhashimah berasa terharu dengan pengiktirafan yang diberikan.
"Sungguhpun telah dimaklumkan mengenai anugerah tersebut, namun saya tidak percaya terutamanya apabila mereka mengatakan pengiktirafan itu agak sama seperti yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

NORHASHIMAH menggunakan komputer riba dengan perisian khas untuk menghasilkan karyanya.


"Bila anugerah ini diterima, saya rasa amat bersyukur dan gembira. Saya berharap ia dapat menyuntik semangat rakan-rakan yang senasib untuk berjaya sungguhpun kemampuan kami terbatas," katanya.
Selain Tun Dr. Mahathir, PNM sebelum ini telah melantik dua tokoh sebagai Ikon Membaca Kebangsaan iaitu Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan pelakon antarabangsa kelahiran tempatan, Tan Sri Michelle Yeoh.
Selain menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar, Norhashimah turut menjadi guru perantara kepada para pelajar pendidikan khas di SMK Tunku Abdul Malik dengan guru-guru di sekolah berkenaan.
Beliau akan menaip semula bahan-bahan mengajar dan kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru itu dalam teks khas untuk diberikan kepada para pelajarnya yang kini berada di tingkatan empat, lima dan enam sekolah itu.
Bagi dirinya, pelajaran anak didiknya merupakan fokus utama dalam memastikan mereka berjaya.
Ketika ditanya mengenai prinsip kehidupannya, Norhashimah menjawab, cekal dengan segala halangan hidup yang dihadapi dan berusaha untuk mencapai segala hajat.
"Cacat penglihatan tidak membuatkan saya serba kekurangan, malah saya sentiasa bersyukur dengan setiap anugerah yang dikurniakan Ilahi," katanya menamatkan bicara.