Monday, April 1, 2013

Album The Beatles dilelong AS$290,500


GAMBAR fail menunjukkan salinan album kumpulan The Beatles yang berjudul Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club.


LOS ANGELES - Sebuah salinan album The Beatles yang jarang ditemui dilelong pada harga AS$290,500 (RM898,284), lapor portal berita The Hollywood Reporter.
Album tersebut berjudul "Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club Band mempunyai tandatangan empat anggota kumpulan berkenaan.
Ia dibeli kelmarin oleh seorang pembeli yang identitinya tidak didedahkan.
Lelongan itu dibuat oleh firma Heritage Auctions yang berpangkalan di Dallas.
Menurut portal itu, album itu sebelum ini dijangka dilelong pada harga hanya AS$30,000 (RM92,766).
Ia dipercayai ditandatangani oleh empat anggota kumpulan itu pada kulit album tersebut pada Jun 1967.
Menurut portal itu, sebelum ini kulit album Meet the Beatles dilelong pada harga AS$150,000 (RM463,830).

25 orang maut bangunan runtuh di Tanzania


BEBERAPA anggota penyelamat kelmarin mencari mangsa-mangsa yang masih hidup di celah runtuhan bangunan di Dar Es Salaam, Tanzania.


DAR ES SALAAM - Angka kematian akibat sebuah bangunan yang runtuh di sini telah meningkat kepada 25 orang semalam.
Menurut beberapa pegawai, harapan untuk mencari mangsa yang selamat semakin pudar selepas tiga hari kejadian tersebut berlaku.
"Enam mayat ditemui antara malam kelmarin dan tengah hari ini.
"Ia menjadikan jumlah kematian yang disahkan meningkat kepada 25 orang," kata seorang pegawai polis, Saidi Mecky Sadicky.
Sebelum ini jumlah kematian yang disahkan hanya 19 orang.
Sejumlah orang masih lagi hilang di sekitar lokasi bangunan itu runtuh.
Ratusan pekerja berusaha untuk mencari mangsa-mangsa yang terperangkap.
Bangunan itu dibina berdekatan dengan sebuah masjid di kawasan Kisutu.
Menurut Sadicky, kira-kira 60 hingga 70 orang dilaporkan berada di lokasi kejadian ketika bangunan itu runtuh pada Jumaat lepas.
Firma-firma pembinaan China diberitahu oleh para pegawai kedutaan negara berkenaan supaya meminjamkan peralatan untuk membantu usaha-usaha menyelamat mangsa.
Presiden Tanzania, Jakaya Kikwete melawat ke tempat kejadian pada Jumaat dan Sabtu lalu dan menghantar mesej ucapan takziah kepada keluarga mangsa menerusi Twitter.
Bangunan kediaman itu merupakan projek antara Perbadanan Perumahan Negara milik pemerintah dengan syarikat Pembinaan Ladha.
Sadicky berkata, punca kejadian masih disiasat.
Pihak polis kini menyiasat enam orang melibatkan pemilik bangunan itu dan para pegawai syarikat pembinaan berkenaan serta Majlis Bandar Raya Dar es Salaam.

Anak lembu berkaki lima di AS


GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan seekor anak lembu yang mempunyai kaki kelima di atas badannya di ladang milik Harmel di Burton, Texas.


BURTON, Texas - Seekor anak lembu yang berkaki lima dilahirkan di ladang milik Charles Harmel di sini pada 9 Mac lalu.
Seorang pakar pembedahan haiwan, Dr. Lee Panko kemudian membuat pembedahan bagi membuang kaki kelima itu pada Selasa lalu.
Kaki kelima itu terdapat di atas badan dekat kepala haiwan tersebut.
Menurut Panko dari Hospital Veterinar Brenham di Brenham, Amerika Syarikat (AS), ia merupakan kejadian yang jarang berlaku.
Menurutnya, dia tidak pernah menyaksikan anak lembu berkaki lima itu sebelum ini.

MUG satukan pencinta ukulele

TERDAPAT pelbagai jenis saiz dan reka bentuk ukulele di pasaran.


Mega mendung di angkasa
Hembusan bayu dingin terasa
Gerimis berderai di merata
bagai mutiara
Rahmat dibawa bersama
Limpahannya meresap di jiwa
Adakala bahagia terasa
Meskipun duka nestapa...
KEDENGARAN suara milik jejaka berusia 27 tahun mula mengalunkan lagu Keroncong Rembulan sambil jari-jemarinya rancak memetik alat muzik.
Walaupun suaranya tidaklah semerdu mana, namun dengan iringan petikan tali instrumen muzik bersaiz kecil yang bentuknya persis gitar membuatkan suara Muhd. Satria Utama Gawe berpadu dengan irama lagu yang dimainkan.
Nyanyiannya kemudian disambut oleh tiga rakan lain termasuk seorang perempuan Cina, Doreen Lim, 35, yang tidak canggung menyanyikan lagu keroncong.
Kehadiran empat sahabat bermain alat muzik berasal dari Hawaii iaitu ukulele di tepi siar kaki sebuah galeri lukisan di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur ternyata menarik perhatian pengunjung yang lalu-lalang.
Bagi Satria, Doreen, Anuar Omar, 32, dan Zarith Sofia Syed Ramli, 25, pandangan pelik khalayak pengunjung terhadap mereka sesuatu yang biasa.
"Mula-mula dulu, malu juga apabila orang pandang semacam pada kami, tapi lama-kelamaan sudah biasa kerana kami bermula dengan bermain muzik di jalanan.
"Soalan paling lazim orang tanya adalah mengenai gitar kecil yang kami mainkan ini. Jika dulu ukulele ini agak asing di Malaysia, kini ia sedang meraih populariti dengan pendedahan media dan artis," kata Anuar yang merupakan Presiden Malaysia Ukulele Group (MUG).
EMPAT sekawan ini sering kali meluangkan masa berkumpul bersama bermain ukulele sambil menyanyi bersama.


Belajar daripada YouTube
Anuar sendiri hanya mengenali ukulele melalui filem animasi Lilo & Stitch pada tahun 2004 selepas tertarik dengan bunyi alat muzik yang dimainkan Stitch.
Selepas mendapat tahu, alat muzik tersebut ialah ukulele, anak kelahiran Kluang, Johor itu keluar masuk kedai muzik untuk mendapatkannya. Akhirnya dia berjaya membeli ukulele di Kedai Muzik Woh Fatt yang terletak di Jalan Silang, Kuala Lumpur.
"Walaupun tidak tahu memainkannya dan tiada kelas ukulele, saya hanya belajar melalui YouTube. Dalam masa dua minggu saya sudah boleh menguasainya kerana sebelum ini saya memang mempunyai asas bermain gitar.
"Ukulele lebih mudah berbanding alat-alat muzik bertali yang lain, malah ia lebih senang daripada main rekorder," ujarnya yang kini memiliki tiga buah ukulele terdiri daripada jenis soprano dan tenor.
Berbanding dengan gitar yang mempunyai enam tali, ukulele memiliki empat tali sahaja dan bunyinya lebih tinggi daripada bunyi gitar.
Dek minat yang mendalam terhadap ukulele, empat sahabat itu menubuhkan komuniti Malaysia Ukulele Group (MUG) pada tahun 2010 dan secara rasmi menemui khalayak selepas didaftarkan pada bulan Mac 2012.
Melihatkan perkembangan ukulele yang meluas, ahli MUG sudah mencecah 1,000 di laman rangkaian sosial, Facebook dan jumlahnya semakin bertambah saban hari.
"MUG terdiri daripada pelbagai bangsa dan ahlinya dalam lingkungan umur empat tahun hingga 70 tahun. Sebenarnya ramai yang mahir bermain ukulele, tetapi masing-masing malu untuk tampil ke depan.
"Ada suatu ketika selepas kami menubuhkan MUG, ukulele kehabisan stok di Malaysia," katanya yang pernah bermain ukulele dalam kereta ketika berada dalam kesesakan lalu lintas.
Bukan sekadar main syok sendiri, MUG turut menerima undangan bermain muzik pada parti hari lahir, perkahwinan, rumah amal dan menganjurkan bengkel ketika sesi jamming yang selalunya dilakukan di Tasik Titiwangsa.
MUG juga bergerak ke negeri-negeri bertemu rakan-rakan seperjuangan bagi mengeratkan ukhuwah melalui muzik sambil bertukar-tukar pendapat.
"Dahulu ketika YouTube menjadi rujukan utama, kita belajar seorang diri. Walaupun tidak tahu main, redah juga, tapi apabila adanya MUG, kita boleh belajar sesama sendiri.
"Kebanyakan ahli yang masuk komuniti MUG ini tidak tahu main muzik, tetapi mereka mempunyai minat yang mendalam terhadap ukulele," ujar Doreen yang berjinak-jinak dengan ukulele pada penghujung Oktober 2009.
Enak dengan muzik keroncong
Ukulele sesuai dimainkan untuk semua jenis lagu lebih-lebih lagi irama lagu klasik seperti keroncong, lagu 60-an dan lagu P. Ramlee. Lagu moden juga tidak kurang menariknya.
"Kebanyakan lagu-lagunya berunsur ceria. Mendengar muziknya sahaja sudah memberikan perasaan yang gembira. Mainkan lagu sedih pun tiada mood sedih.
"Sebelum ini saya tidak tahu apa itu keroncong, apabila bergaul dengan mereka saya belajar lagu keroncong dan mula menyukainya. Pada masa yang sama saya juga mainkan lagu-lagu Cina dan mengajar mereka," katanya sambil menyifatkan MUG sebagai platform pertukaran budaya.
Bagi Satria pula, saiz ukulele yang kecil memudahkannya membawa alat muzik comel itu ke mana sahaja sejak mengenali ukulele 2004.
Pelukis sepenuh masa dari Kota Kinabalu, Sabah itu membeli ukulele soprano pertamanya pada harga RM50 dan memainkannya tidak kira tempat walaupun khalayak menganggapnya bermain gitar mainan.
"Ukulele ada empat jenis iaitu soprano, concert, tenor dan baritone. Sopranino pula lebih kecil daripada soprano.
"Cara penjagaannya lebih kurang seperti gitar. Tukar tali apabila putus atau talinya sudah mati. Jika mahu ukulele kelihatan berkilat dan cantik, sapukannya dengan minyak," katanya.

MUG turut menerima undangan bermain muzik sama ada untuk parti hari lahir, aktiviti amal dan majlis perkahwinan.


Jemputan persembahan
Menurut Satria, MUG menjadi platform bagi ahli-ahlinya bermain ukulele kerana kelas-kelas belajar ukulele sangat terhad. Jika adapun ia lebih kepada kelas permulaan sahaja, tiada untuk peringkat pertengahan dan lanjutan.
"Cara paling senang bermain ukulele ini dengan belajar bersama-sama," ujarnya.
Dalam pada itu, selaku Setiausaha MUG, Sofia sendiri pada awalnya hampir putus asa, namun selepas mempelajari teknik yang betul daripada rakan-rakan lain, pereka hiasan dalaman Plaza Sentral itu semakin ligat bermain ukulele.
Menguasai ukulele dalam masa sebulan, Sofia tidak menafikan bahawa dia agak tertekan bermain ukulele pada awal pembabitannya memandangkan ia memerlukan seseorang itu memetik ukulele, menukar-nukar not dan menyanyi dalam masa yang sama.
"Nak bermain ukulele ini perlu ada minat, sabar, jangan mudah putus dan perlu selalu berlatih. Jangan ingat main sekali terus dapat tangkap.
"Ini merupakan aktiviti sihat dan ahli-ahli MUG umpama sebuah keluarga besar. Di sini kita boleh lihat, ibu dan anak, bapa dan anak belajar ukulele bersama-sama, secara tidak langsung ia merapatkan hubungan kekeluargaan," katanya sambil memberitahu lebih ramai wanita bermain ukulele berbanding lelaki, namun mereka segan untuk menonjolkan diri.
Walaupun adakalanya Sofia kepenatan kerana memenuhi banyak permintaan membuat persembahan, waktu 'rehat' bermain ukulele tidak boleh terlalu lama kerana rindu yang menggamit.
"Tiada bayaran tetap dikenakan jika ada yang menjemput kami untuk membuat persembahan. Lihat pada bajet mereka.
"Melalui cara ini, secara tidak langsung kami dapat memperkenal dan mempromosikan ukulele dan MUG kepada khalayak," ujarnya.

Variasi ukulele di Ukulele Malaya


KHAIRIL FAIZI membuka premis menjual ukulele selepas menyedari potensi instrumen tersebut di Malaysia.


TIDAK seperti beberapa tahun dahulu, kini ukulele mula mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik yang inginkan kelainan. Bagi peminat tegar ukulele, pasti nama Ukulele Malaya tidak asing buat mereka kerana premis tersebut bukan sahaja menjual ukulele pelbagai jenama, tetapi turut mengadakan kelas bagi mereka yang mahu berjinak-jinak bermain ukulele.
Ia dibuka pada pertengahan tahun 2010, selepas Khairil Faizi Abu Bakar, 34, selaku pengasas bersama Ukulele Malaya menyedari potensi industri ukulele yang semakin berkembang di Malaysia.
Segalanya bermula apabila, Khairil Faizi bekerja di Venezuela pada tahun 2008 hingga 2009. Walaupun tiada latar belakang dalam muzik, dia mengakui gemar mendengar muzik di negara orang.
“Apabila melihat kawan-kawan beli ukulele, saya ikut membeli walaupun tidak pandai bermain. Belajar melalui internet dan ia ternyata membantu.
Pelbagai jenama
“Ukulele pertama dibeli di Amerika Syarikat kemudian membawanya pulang ke Malaysia. Saya cuba mencari casing untuk ukulele di sini, tetapi pada ketika itu tiada yang menepati cita rasa,” katanya yang mula membeli aksesori ukulele secara dalam talian.
Merasai kepayahan untuk mendapatkan aksesori ukulele, terdetik dalam hatinya untuk menjalankan bisnes instrumen muzik tersebut.
Menurut Khairil Faizi yang merupakan seorang jurutera bebas, terdapat tujuh hingga 10 jenama ukulele.
Antara jenama yang dijual di Ukulele Malaya ialah Makala, Kala, Kamaka, KoAloha, Kanile’a, Ohana, Koolau, Pono, Lanikai, Bruko, EleUke, ANeuNue, Kahua, Waikiki, Mele, Aria, Mahalo, Makai, Hulala dan jenamanya sendiri iaitu Ukuma.
“Setiap jenama yang dijual lengkap dengan pelbagai saiz ukulele dan buatannya dari Hawaii, Amerika Syarikat, Jepun dan Taiwan.
“Biasanya, apabila seseorang itu mahu membeli ukulele, mereka akan pilih bunyi mana yang mereka minat dan suka. Bunyi antara saiz tidaklah ketara sangat,” ujarnya.
UKULELE Malaya juga tampil dengan ukulele jenamanya sendiri iaitu Ukuma.


Ukulele di Ukulele Malaya dijual antara harga RM75 hingga RM3,500 sebuah dan kebanyakannya diperbuat daripada material kayu.
Ukulele Malaya turut menjual aksesori ukulele seperti beg, tunner, amplifier, strap, hard case, cakera video digital (DVD) dan buku-buku not ukulele.
Pendek kata, segala yang berkaitan dengan ukulele dijual di Ukulele Malaya, malah kelas untuk beginner dan intermediate turut disediakan.
“Dua tenaga pengajar akan mengajar pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Satu hari akan ada tiga kumpulan iaitu tujuh orang bagi setiap kumpulan.
“Kelas akan berlangsung selama dua jam bagi setiap kumpulan dengan bayaran RM250 untuk dua bulan,” katanya sambil memberitahu pelajar ukulele paling muda berusia lapan tahun dan paling senior berusia 62 tahun.

Sekolah tahfiz flat Kampung Baru

KEBANYAKAN pelajar berasal dari Vietnam, Bangladesh, Filipina dan Selatan Thailand.


MUNGKIN ramai tidak menyedari Kampung Baru, Kuala Lumpur kini berusia lebih 100 tahun.
Uniknya kampung yang terletak di tengah-tengah ibu kota itu merupakan satu-satunya ikon penempatan utama masyarakat Melayu.
Malah, perkampungan ini sarat dengan keunikan tersendiri terutama tradisi memasak dan mengagih bubur lambuk oleh Masjid Jamek, Kampung Baru sepanjang bulan Ramadan.
Mengunjungi kampung ini ibarat anda pulang ke kampung halaman. Walaupun dikelilingi pencakar langit namun pandangan mata pasti hinggap ke rumah tradisional.
Bagi penghuni Blok A, Flat PKNS, Kampung Baru, Jalan Raja Muda Musa, Kuala Lumpur, mereka tegar melakukan urusan seperti biasa.
Flat lebih 20 tingkat ini sama seperti flat-flat lain cuma sering kelihatan kelibat kanak-kanak, remaja dan lelaki dewasa memakai jubah putih lengkap berserban.
Alunan suara mereka membaca kitab suci al-Quran di tingkat 4 dan 18 flat tersebut jelas kedengaran memberikan satu persepsi berbeza di kawasan ini.
Sebenarnya terdapat sebuah sekolah pondok tahfiz beroperasi di bangunan itu sejak 1995.
Individu yang menjadi nadi penggeraknya ialah Ustaz Fadzil Ahmad.
Kru Jurnal Khamis lalu berkesempatan menemubual lelaki berjanggut lebat yang yang mahir berbahasa Arab itu.
Mengimbau kembali kisah lama, Fadzil yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah menghabiskan masa lebih 10 tahun merantau demi mendalami ilmu agama.
"Sebaik sahaja habis sekolah menengah saya mendalami ilmu agama Islam di Selatan Thailand, Bangladesh, Pakistan dan Yemen. Saya tidak ditaja oleh mana-mana pihak.
"Cuma di Yemen saya mendapat tajaan penuh sehingga menamatkan pengajian dalam bidang fiqh. Teringat pesanan guru meminta saya mempraktikkan perkara yang sama di negara sendiri," cerita Fadzil.

TIADA kos pengajian dikenakan kepada pelajar cuma dengan syarat terus menyebarkan syariat Islam.


Niatnya, cuma satu iaitu untuk berdakwah.
Tambahnya, ilmu yang dipelajari sekiranya tidak disebarkan hanya sia-sia.
Menariknya, para pelajar yang belajar di Madrasah Al-Yamani yang diasaskannya di Kampung Baru ini tidak dikenakan sebarang bayaran malah kos penginapan serta makanan semua ditanggungnya.
Penyebaran ilmu
Kebanyakan pelajarnya terdiri daripada golongan miskin, anak yatim dan mangsa peperangan.
Bukan itu sahaja, majoriti pelajar Fadzil berasal dari Bangladesh, Vietnam, Filipina dan Selatan Thailand.
"Memang ramai yang pelik kerana zaman moden kini tiada istilah percuma tetapi syukur rezeki yang Allah SWT berikan saya mampu bertahan.
"Sebenarnya, ramai yang menyumbang wang sama seperti individu persendirian, korporat dan masyarakat sekeliling. Selain itu, kami juga membuat jualan amal untuk mengumpul dana," cerita Fadzil.
Beliau juga ditanya mengapa pusat penyebaran ilmu yang diasaskannya terletak di flat.
Tegasnya, bagi seseorang yang menuntut ilmu, soal lokasi bukan persoalan utama tetapi kesungguhan untuk mempelajarinya dan menyebarkan kepada orang lain.
"Tempat hanya sekadar wasilah tetapi mereka yang harus fokus.
"Jika persekitaran dan teknologi moden serta canggih kesungguhan belajar tidak terlalu ketara kerana dibuai zon selesa," katanya berfalsafah.
Terang Fadzil, beliau bersyukur dengan penerimaan masyarakat sekeliling.
"Kami sering dijemput untuk mengetuai bacaan tahlil, doa selamat selain menjadi imam surau serta masjid sekitar Kampung Baru.
"Pelajar-pelajar juga aktif membantu dalam majlis perkahwinan dan gotong-royong anjuran komuniti flat," ujarnya.
Salah satu perbezaan ketara komuniti flat sejak kewujudan madrasah ini ialah pemakaian penduduk flat yang terdiri daripada golongan wanita tidak begitu menjolok mata selain perkara sumbang tidak dilakukan secara terbuka.
"Kini sudah berkurangan mungkin kerana segan dengan pelajar pondok dan tahfiz," kata Fadzil tersenyum.
Lelaki ini menyewa dua rumah di tingkat 4 untuk 37 orang penuntut tahfiz manakala tiga rumah lagi di tingkat 18 untuk penginapan serta lokasi pelajar dewasa mengikuti pengajian pondok.
Umur para pelajar sekitar tujuh hingga 40 tahun.
Tempoh pengajian bagi pengajian pondok selama tujuh tahun manakala bagi tahfiz pula selama tiga tahun.
Bermain bola
Kebiasaannya, penuntut yang mendapat keputusan cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian Islam di universiti sekitar Yemen dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti.
Lelaki berusia 46 tahun ini bersyukur kerana terdapat enam orang pembantu yang membantunya menyelia madrasah.
"Para pelajar sendiri tidak dibenarkan keluar dari flat walaupun untuk berada di tingkat bawah. Selain itu jadual dipenuhi dengan sesi pengajian bermula selepas sarapan pagi hingga 11.45 malam.
"Malah, mereka tidak dibekalkan dengan komputer atau televisyen selain tidak boleh membawa telefon bimbit. Bukan untuk meminggirkan kepentingan teknologi cuma berharap mereka fokus dengan pelajaran.
"Tetapi, setiap Ahad mereka bercuti dan kesempatan itu boleh digunakan untuk menelefon keluarga. Cuti jangka masa panjang pula pada awal Ramadan sehingga Hari Raya Aidilfitri," jelas Fadzil.

MAJORITI pelajar tahfiz berasal daripada keluarga miskin.


Tambahnya, kebanyakan pelajar sekolah pondok dan tahfiz akan bermain bola sepak di padang berhampiran setiap Ahad.
Bagi Ahmad Yusuf, 25, yang berasal dari Ho Chi Minh, Vietnam, dia menuntut di madrasah itu sejak dua tahun lalu.
Ahmad agak mahir berbicara bahasa Melayu walaupun pekat telor Vietnam sehingga tersasul mendakwa umurnya sudah 50 tahun.
"Saya bersyukur kerana dapat belajar di sini kerana di Vietnam kurang pusat pengajian Islam.
"Suasana di sini agak meriah kerana terdapat ramai rakan-rakan dari negara lain seperti Thailand, Kemboja, Bangladesh dan Filipina," terangnya.
Pendapat Ahmad turut dikongsi Abdul Karim Abdul Rahman, 24, yang berasal dari Kepulauan Moro di Filipina.
"Di negara saya sendiri agak kurang sekolah tahfiz dan sekolah pondok secara formal. Kebanyakan kami belajar ilmu agama secara persendirian.
"Madrasah ini lengkap dengan sistem pembelajaran dan pengajian yang sempurna termasuk buku-buku terkini.
"Waktu yang diisi dengan padat membuatkan kami agak sibuk.
"Kesibukan itu sendiri sebenarnya agak baik untuk menghalang kita melakukan perbuatan yang tidak berfaedah," katanya.
Bagi Omar Ashabk, 17, yang berasal dari Kazakhstan, dia bangga negara ini subur dengan pusat-pusat pengajian Islam.
"Di Malaysia terlalu banyak institusi berkaitan pengajian agama Islam termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
"Pentingnya individu itu sendiri yang ingin belajar. Kami di Kazakhstan masih baru untuk mengenal Islam lebih mendalam kerana tekanan semasa penjajahan Soviet dahulu," katanya.
Omar juga ingin membuka pusat tahfiz di negaranya sebaik sahaja tamat pengajian kelak.
Ahmad Uwais Qarni, 16, yang berasal dari Bachok, Kelantan telah empat tahun belajar tahfiz di madrasah ini.
"Seronok kerana persekitarannya cukup berbeza iaitu belajar di dalam flat sehingga sering dipanggil ustaz oleh penduduk sekeliling," katanya sambil tersenyum.

Bida tudung eksklusif rekaan Siti Nurhaliza

SELAIN membuat persembahan, Siti Nurhaliza juga akan melelong lukisan dan dua helai tudung yang direkanya sendiri.


DUA hari lagi majlis Malam Amal Tahajjud Cinta akan berlangsung dengan penuh gemilang di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Sehingga hari ini lebih daripada 75 peratus meja telah terjual berikutan respons positif daripada para peminat penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan warga korporat yang prihatin.
Pada Malam Amal Tahajjud Cinta itu, Siti Nurhaliza akan mengadakan persembahan istimewa yang bertemakan kerohanian dan ketuhanan.
Lagu-lagu yang bakal didendangkan adalah repertoire daripada album Tahajjud Cinta (2009) dan juga lagu-lagu saduran dengan interpretasi ketuhanan.
Kesemua lagu-lagu tersebut disusun semula oleh Aubrey Suwito dan akan diiringi dengan muzik oleh Mohram.
Malam Amal Tahajjud Cinta direalisasikan bagi mengumpul dana buat dua pertubuhan kebajikan iaitu Yayasan Aids Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia.
Menurut Timbalan Pengerusi Malam Amal Tahajjud Cinta yang juga Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan Aids Malaysia, Fahrin Ahmad, sasaran kutipan yang diharapkan melalui majlis tersebut adalah sebanyak RM300,000.
"Selain konsert utama Siti Nurhaliza dan Mohram, pada malam tersebut akan berlangsung pelbagai acara lain antaranya pameran lukisan karya pelukis terkenal, Abdul Rahman Sulaiman, persembahan penyanyi, Bob Yusof dan pertunjukan koleksi terbaharu tudung Fareeda.
"Selain itu turut diadakan lelongan empat barangan berupa dua lukisan termasuk satu potret Siti Nurhaliza serta dua helai tudung yang direka sendiri penyanyi nombor satu negara itu," kata Fahrin yang akan bertindak sebagai hos pada majlis tersebut.
Bina rumah perlindungan
Tambahnya, Yayasan Aids Malaysia telah pun mendapat pembeli yang bersedia membida tudung-tudung berkenaan pada malam tersebut dengan harga bidaan bermula pada RM1,000 sepasang.
Pembida yang berjaya bukan sahaja boleh membawa pulang tudung tersebut malah, mereka layak menerima resit pengecualian cukai yang diiktiraf oleh Jabatan Perdana Menteri.

FAREEDA menjalankan pelbagai program tanggungjawab sosial untuk membalas kembali sokongan masyarakat terhadap jenama tudung itu.


"Dana yang dikumpulkan pada Malam Amal Tahajjud Cinta itu akan dimanfaatkan sebaiknya.
"Yayasan Aids Malaysia serta Yayasan Ihtimam Malaysia akan menjalin kerjasama untuk menubuhkan sebuah rumah perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak yang hidup dengan HIV dan AIDS di negeri Kelantan," jelasnya.
Dalam pada itu, menurut jurucakap Fareeda yang juga Pengurus Pemasaran dan Jualan Fareeda, Mawar Abdul Karim, setiap hadirin malam berkenaan tidak akan pulang dengan tangan kosong.
"Pihak Fareeda akan memberikan buah tangan istimewa buat hadirin di semua meja terutamanya meja utama.
"Ia sebagai penghargaan buat hadirin yang sanggup datang dan membantu mengisi dana melalui pembelian meja-meja sekali gus memberikan harapan baharu buat golongan yang hidup dengan HIV dan AIDS ini," katanya sambil berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu golongan kurang bernasib baik di negara ini.
Pengurus Besar Grand Hyatt Kuala Lumpur, Robert Dallimore amat berbesar hati apabila diberikan peluang untuk terlibat sama dalam inisiatif amal yang dapat meringankan beban golongan yang hidup dengan HIV dan AIDS.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai majlis makan malam amal tersebut, penjualan meja masih dibuka kepada umum.