Sunday, May 1, 2011

Kerja hari Sabtu punca guru marah - NUTP




KUALA LUMPUR - Sikap segelintir guru besar yang suka mengarahkan guru sekolah datang bekerja pada setiap hari Sabtu antara aduan yang banyak diterima Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Presidennya, Hashim Adnan berkata, arahan sedemikian menyebabkan guru merasakan diri mereka dibebani dengan pelbagai aktiviti sehingga mengorbankan waktu dengan ahli keluarga.

"Walaupun kerajaan sudah memberi dua hari Sabtu dalam sebulan sebagai cuti, ada sesetengah guru besar masih memberi arahan bahawa guru-guru perlu hadir ke sekolah pada hari berkenaan.

"Macam-macam aktiviti hendak dibuat ketika hari cuti itu, mesyuarat, latihan dan kadangkala tiada apa-apa pun kena suruh datang sekolah. Itu antara yang buat mereka (guru) marah-marah," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Menurut Hashim, aduan sedemikian diterima NUTP ketika pihaknya mengadakan mesyuarat selain menerima surat daripada guru-guru di seluruh negara.

Menurutnya, ada juga aduan mengatakan sesetengah guru besar membuat ugutan kepada guru yang tidak hadir pada hari Sabtu.

Makan kuat tapi badan makin melidi


AIQQAL bersama bapanya, Azman di rumah mereka selepas dibenarkan keluar dari hospital di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Sakit tapi selera makannya semakin menjadi-jadi.Itu fenomena luar biasa yang berlaku kepada Muhammad Aiqqal Azman, 12, yang menghidapi penyakit misteri sejak bulan Disember lalu.

Menurut ibunya, Wan Zuriati Wan Zulkipli, 37, anak keempatnya yang mesra dipanggil Aiqqal itu mampu makan nasi lima hingga enam pinggan besar sekali gus apabila lapar.

“Aiqqal tiba-tiba menjadi seorang yang kuat makan dan kadar pemakanannya luar biasa. Apa yang pelik, semakin banyak dia makan tetapi badannya tetap kurus.

“Namun, apabila seperiuk nasi, sup atau apa sahaja yang dimasak, dia boleh habiskan seorang diri. Perkara tersebut merisaukan kami sekeluarga,” katanya kepada Kosmo! Ahad di kediamannya di Kondo Mentari, Bandar Sri Permaisuri di sini semalam.

Wan Zuriati memberitahu, Aiqqal bukan sahaja makan dalam kuantiti yang banyak tapi berulang kali dan tidak kira masa dan tempat.

Malah, kata beliau, anaknya itu pernah bangun pukul 3 pagi semata-mata untuk makan.

Bagaimanapun, menurut Wan Zuriati, berat badan Muhamad Aiqqal yang dahulu mencecah 35 kilogram kini menyusut sehingga 20 kilogram sejak dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri dua minggu lalu.

85 pasukan sertai futsal wanita


AHMAD SHABEY (belakang tengah) dan Rosnah (belakang tengah) bersama ahli Puteri UMNO serta peserta melaungkan slogan 1Malaysia pada majlis perasmian Kejohanan Futsal Wanita Terbuka 1Malaysia Piala Perdana 2011 di Putrajaya malam tadi.


PUTRAJAYA - Sebanyak 85 pasukan berentap pada Kejohanan Futsal Wanita Terbuka 1Malaysia Piala Perdana 2011 anjuran Pergerakan Puteri UMNO.

Kesemua pasukan yang dianggotai kira-kira 800 peserta itu bakal merebut keseluruhan hadiah wang tunai RM21,400 pada kejohanan dua hari bermula semalam.

Ia merupakan kejohanan futsal pertama seumpamanya dianjurkan oleh pergerakan tersebut.

Menurut Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, pihaknya berbangga kerana acara itu digerakkan oleh Pergerakan Puteri UMNO.

"Program ini dapat menyemai semangat kesukanan yang tinggi dan mengeratkan hubungan terutama dengan anggota masyarakat.

"Ia juga dapat memperkuatkan lagi hubungan sesama ahli Puteri yang selama ini sememangnya utuh," katanya ketika berucap pada majlis perasmian kejohanan tersebut malam tadi di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18 di sini malam tadi.

Ia disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, jika Puteri UMNO berhasrat untuk meneruskan kejohanan seumpama ini pada masa depan, Kementerian Belia dan Sukan bersedia untuk bekerjasama bagi menjayakannya.

Prostreet Futsal FC bersemangat ke Putrajaya


SEMANGAT pasukan Prostreet Futsal FC semakin melonjak selepas bergelar juara pada Kejohanan Futsal Milo Hidup Bola 2011 di Negeri Sembilan minggu lalu.


KUALA LUMPUR - Pasukan Prostreet Futsal FC membuat persiapan rapi bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk menghadapi Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 pada bulan depan.

Pengurusnya, Mohd. Iskandar Zulkarnain A. Kadir berkata, pasukannya telah menyertai beberapa kejohanan sebelum berentap dalam kategori Lelaki Bawah 12 Tahun di Putrajaya kelak.

"Selain latihan rutin, pemain juga perlu disiapkan dari segi mental dan fizikal untuk bermain dalam suasana pertandingan.

"Sebab itulah kami menyertai beberapa pertandingan sebelum kejohanan Rentap Futsal kerana dapat mengenal pasti kelemahan yang masih ada," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd. Iskandar berkata, pemainnya kini bersemangat kerana berjaya menduduki tempat kedua pada pertandingan Futsal Milo Hidup Bola 2011 di Negeri Sembilan minggu lalu.

"Saya yakin pemain akan dapat meneruskan rentak permainan ketika ini dan bersemangat untuk bertarung di Putrajaya nanti.

"Saya berharap tuah akan menyebelahi kami pada tahun ini," katanya.Pada kejohanan tahun lalu, pasukan itu menduduki tempat ketujuh kategori Lelaki Bawah 12 Tahun.

Sri Perak B idam juara


SHUKRIZA (tiga dari kiri) dan pasukan Sri Perak B menunjukkan borang Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 pada sesi latihan sempena Kejohanan Futsal Wanita Terbuka 1Malaysia di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Pasukan wanita Sri Perak B menjadikan hadiah wang tunai yang ditawarkan dalam Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang akan berlangsung pada 26 hingga 29 Mei depan sebagai motivasi untuk berjaya.

Menurut ketua pasukannya, Shukriza Mohd. Shukri, 34, biarpun baru pertama kali menyertai kejohanan tersebut menerusi kategori Wanita Terbuka, pasukannya tidak gentar untuk berentap dengan pasukan yang sudah ternama.

Katanya, untuk itu, Sri Perak B kini melakukan latihan sebanyak tiga kali seminggu sebagai langkah persediaan sebelum pertandingan bermula.

Jelasnya, pasukannya juga turut menyertai pertandingan-pertandingan futsal lain untuk mengemaskan rentak perlawanan mereka.

"Kami akan cuba berusaha untuk membuktikan pasukan kami berjaya untuk memenangi pertandingan itu.

"Hadiah wang tunai RM10,000 untuk johan kategori tersebut membakar semangat kami untuk berusaha sebaik mungkin," katanya ketika ditemui semasa latihan kejohanan Futsal Wanita Terbuka 1Malaysia Piala Perdana 2011 di Kompleks Futsal 1Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, pihaknya memilih untuk menyertai kategori Terbuka Wanita kerana peserta Sri Perak B terdiri daripada pelajar sekolah.

"Rasa tidak sesuai pulak nak masuk kategori Larut Malam," jelasnya.

"Harapan kami memang besar. Kalau ada rezeki nak bawa pulang hadiah utama yang ditawarkan dalam Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo!," katanya.

Anak peniaga nasi kandar cemerlang


MOHD. SHUKRI (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pelajar cemerlang sempena majlis konvokesyen Kolej PTPL di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Hasrat anak seorang peniaga nasi kandar, Mohamad Raseen Mohamad Noor Murgeson, 25, untuk merangkul Anugerah Khas Presiden pada Majlis Konvokesyen ke-13 Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) di sini semalam akhirnya menjadi kenyataan.

Dia antara 25 pelajar yang menerima anugerah itu setelah berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.79 bagi jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di PTPL.

Mohamad Raseen berkata, keazamannya yang tinggi bagi merangkul anugerah berprestij tersebut memang ditanam sejak hari pertama menjejakkan kaki ke PTPL.

Menurut Mohamad Raseen, dengan kejayaan itu, dia akan meneruskan cita-citanya untuk menjadi jurutera perkapalan selain membantu bapanya memajukan Restoran Mee Pokok Cherry di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Jangan harap saya akan berundur - Gaddafi


PEMIMPIN Libya, Muammar Gaddafi ketika berucap di televisyen negara itu semalam.


TRIPOLI - Tidak akan berganjak! Muammar Gaddafi berikrar untuk terus berkuasa di Libya tetapi beliau bersetuju supaya rundingan diadakan bagi menamatkan konflik berdarah di negara Afrika utara itu

Dalam ucapannya yang disiarkan stesen televisyen tempatan semalam pemimpin Libya itu dengan angkuh berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu melepaskan harapan agar beliau berundur.

"Saya tidak akan berundur. Saya juga tidak akan meninggalkan tanah air saya, malah, saya akan berperang hingga ke titisan darah terakhir," tegasnya.

Namun, dalam nada berdiplomasi pemimpin berusia 68 tahun itu seterusnya berkata: "Kami sedia berunding dengan Perancis dan Amerika Syarikat tetapi tanpa sebarang prasyarat,".

"Jika minyak yang anda mahukan, kami bersedia memeterai kontrak dengan syarikat-syarikat minyak anda (Barat), mengapa kita perlu berperang kerana minyak. Ia tidak berbaloi," ujar Gaddafi.

Pada masa yang sama, pemimpin veteran itu turut menegaskan bahawa rakyat Libya masih sayangkan beliau manakala pemberontak yang kini berperang menentang tenteranya sebenarnya pengganas Al-Qaeda yang berasal dari Algeria, Mesir, Tunisia dan Afghanistan.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera Gaddafi terus membedil bandar Misrata di barat Libya semalam dan mengancam untuk menyerang mana-mana kapal yang memasuki pelabuhan di bandar tersebut .

Pelabuhan Misrata yang terletak 215 kilometer ke timur ibu negara Libya di sini penting untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan kepada 500,000 penduduknya.

Ia satu-satunya bandar di barat Libya yang dikuasai pemberontak dan terus dikepung oleh tentera Gaddafi sejak beberapa minggu lalu.

Ribuan orang terbunuh selepas rakyat Libya memberontak terhadap Gaddafi sejak Februari lalu untuk menuntut pembaharuan politik dan ekonomi selepas diperintah pemimpin tersebut selama lebih empat dekad.