Sunday, May 1, 2011

Lelaki pandu kereta bawah lori


KERETA Mazda MX-5 menyelinap di bawah treler.


MIAMI, Amerika Syarikat (AS) - Ini bukan adegan filem tetapi satu realiti. Seorang pemandu mengundang padah dengan memandu kereta sportnya di bawah sebuah treler yang sedang bergerak, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kereta sport Mazda MX-5 yang dipandu lelaki tersebut menyelinap di bawah treler 18 tayar itu yang bergerak selaju 64 kilometer di sebatang jalan yang sibuk di negeri Florida.

Dia kemudian bergerak keluar dari bawah treler itu dan terus memandu pergi.

"Saya tidak percaya melihat aksinya. Dia mengundang bahaya kepada semua pemandu lain. Kadangkala kebodohan manusia tidak mengenal batasan," kata seorang saksi Ben Ellis yang merakam kejadian itu baru-baru ini.

Budak terselamat disedut puting beliung




TUSCALOOSA, Amerika Syarikat (AS) - Rumahnya ranap dan dia pula telantar di hospital tetapi seorang ayah di negeri Alabama, Reginald Eppes menganggap dirinya bertuah selepas anak lelakinya yang berusia 8 tahun terselamat walaupun setelah disedut ke dalam puting beliung.

Kejadian ngeri itu berlaku pada malam Rabu lepas apabila pusaran angin beliung menjulang budak lelaki tersebut, Reginald Jr dari katilnya dan menyedutnya ke dalam kegelapan malam.

"Saya cuba mencapai tangannya tetapi tidak sempat. Dinding rumah kami runtuh seperti kertas dan angin maut itu turut menyedut anak saya," kata Eppes, 35 kepada akhbar Daily News dari sebuah hospital di sini.

Menurutnya, dia segera memeluk anak lelakinya yang berusia 6 tahun, James-Peter manakala isterinya bertindak melindungi anak bongsu mereka yang berusia 4 tahun bagi mengelakkan kedua-duanya turut diragut angin kencang itu.

"Kejadian itu bagaikan mimpi ngeri. Saya hanya mampu berdoa agar Tuhan melindungi kami," ujar lelaki tersebut.

Namun, menurutnya, dia kemudian berasa lega dan bersyukur kerana Tuhan telah mengurniakan satu keajaiban kepadanya.

"Sebaik sahaja angin itu hilang, saya melihat kelibat anak lelaki saya berjalan ke arah kami di atas timbunan runtuhan," jelas Eppes

Pemeriksaan lanjut mendapati budak lelaki itu selamat dan cuma mengalami luka kecil pada leher dan kepalanya pula bengkak.

Angka kematian dalam bencana puting beliung yang melanda negeri Alabama pada Rabu lepas mencecah 318 orang setakat ini dan angka tersebut dijangka terus meningkat.

Perkahwinan bakal raja

Penyatuan Putera William dan Kate Middleton berjaya mendekatkan rakyat dengan istana Britain.


PENGANTIN diraja ini dibawa menaiki kereta kuda tahun 1902 menuju ke Istana Buckingham di London.


BUKAN sekali tetapi dua kucupan, Putera William dan Kate Middleton dengan wajah berseri-seri kini sah sebagai pasangan suami isteri yang akan mewarisi takhta diraja Britain pada masa hadapan.

Mereka kelihatan tenang ketika majlis berlangsung dengan sesekali William dilihat menoleh ke arah Kate. Wajah Kate yang disolek sehingga menonjolkan kejelitaannya ternyata menghidupkan mood skrin televisyen.

Hampir tiga dekad lalu, bapa William, Putera Charles dan Puteri Diana berkahwin di gereja yang sama, namun janji setia di Gereja Westminster itu berakhir dengan perceraian serta pendedahan skandal memalukan oleh akhbar tabloid.


CINCIN peninggalan Puteri Diana masih tersarung di jari manis Kate semasa hari perkahwinannya.


Dianggarkan hampir sejuta penduduk berbaris di sepanjang jalan dari Gereja Westminster ke Istana Buckingham.

Dalam satu acara tradisi di anjung istana, orang ramai bersorak dan bertepuk tangan sebaik saja pengantin diraja itu berkucup sebelum diikuti sorakan 'Cium sekali lagi'.

William dan Kate sentiasa tersenyum dan melambai-lambai tangan. Mereka berkucupan buat kali kedua.

Pakar bahasa badan, Peter Collett, pengarang buku The Book Of Tells, berkata, bahasa badan William dan Kate berbeza sama sekali dengan Charles dan Diana 30 tahun lalu. Gerak-gerak William-Kate menandakan perkahwinan mereka akan bahagia dan berkekalan.

"Pada tahun 1981, terdapat banyak petunjuk perkahwinan Charles-Diana bakal melalui hari yang suram khususnya daripada gerak-geri Charles. Dia kelihatan gelisah, hanya sedikit perhatian diberikan kepada Diana dan semasa upacara itu, Charles mengelap matanya bukan sekali tetapi dua kali - petanda klasik kesedihan bahkan kekecewaan.

"Hari ini kita melihat gambar yang sangat berbeza. William dan Kate disatukan dengan penuh adat istiadat diraja dan mereka gembira di sepanjang majlis.

Dua bilion


PENGANTIN diraja ini dibawa menaiki kereta kuda tahun 1902 menuju ke Istana Buckingham di London.


"Semasa melambaikan tangan, mereka memandang antara satu sama lain, dan mereka melalui satu lagi momen yang menakjubkan semasa persembahan koir apabila mereka juga memandang serentak antara satu sama lain dan tersenyum bahagia," kata Collett.

Peristiwa di balkoni Istana Buckingham itu merupakan kali pertama William dan Kate dilihat berkucup di depan khalayak.


GAYA seorang bakal raja. William dikatakan akan mewarisi takhta kerana dia lebih disayangi rakyat berbanding bapanya, Putera Charles.


Dianggarkan sebanyak dua bilion orang menonton perkahwinan yang disiarkan secara langsung di seluruh dunia itu sekali gus menjadi majlis paling ramai penonton dalam sejarah penyiaran moden.

Seorang penduduk tempatan yang menyaksikan perarakan, Sabry Darwish, 61, berkata, perkahwinan diraja itu menyebabkan ramai yang gembira dan bersatu.


WILLIAM memandu kereta Aston Martin selepas selesai upacara perkahwinannya dengan Kate.


"Semua orang merestui pasangan pengantin diraja," kata Darwish.

Ramai memuji pasangan William dan Kate kerana kedua-duanya dilihat berjiwa rakyat, kelakar dan sopan.

Keluarga Kate hanyalah rakyat kelas pertengahan tetapi mereka berjaya dalam perniagaan mengurus majlis hari lahir.

Walaupun mampu, Kate mengambil keputusan untuk makan gaji selepas tamat pengajian di universiti.

William yang mewarisi pesona ibunya, Puteri Diana membuat lawatan mengejut untuk mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sanggup tidur di tepi jalan pada malam Khamis lalu.


PERKAHWINAN Putera Charles dan Puteri Diana pada 29 Julai 1981.


William, 28, sentiasa dekat di hati rakyat berikutan sikapnya yang suka bergurau. Ketika melihat 1,900 tetamu yang menghadiri majlis resepsi perkahwinannya, William sempat berseloroh dengan bapa mertuanya, Michael Middleton.

"Kita sepatutnya menganjurkan majlis kecil khas untuk keluarga," kata William.

Selepas majlis resepsi di Istana Buckingham, William dan Kate mengejutkan orang ramai kerana memandu kereta sport Aston Martin Volante berwarna biru gelap, lengkap dengan reben dan belon manakala nombor pendaftaran tertera plat 'JU5T WED'.

Gaun


RAKYAT Britain di Kuala Lumpur tidak mahu ketinggalan menyaksikan perkahwinan gilang-gemilang William-Kate.


Ramai berpendapat William dan Kate cuba membawa keluarga diraja Britain dekat di hati rakyat yang selama ini terpisah jauh.

"Ini merupakan satu titik penting dalam keluarga diraja Britain," kata seorang rakyat negara itu, Nicki Hookings, 47, yang hadir menyaksikan perarakan kelmarin.

Perkahwinan diraja itu turut menjadi saksi keupayaan Kate, 29, menawan hati rakyat Britain. Walaupun berdepan tekanan, Kate mendepani harinya dengan senyuman, bersemangat dan sopan.

Tanpa perasaan canggung, Kate memberi tunduk hormat kepada Ratu Elizabeth II sebelum berkongsi pentas dengan wanita yang ditabal sebagai ratu pada tahun 1952 itu.

"Majlis ini merupakan acara yang paling menggembirakan dunia sekarang," kata seorang peguam dari San Francisco, Laura Claster. Dia sanggup terbang dari Amerika Syarikat ke London untuk menyaksikan perkahwinan William dan Kate.

Seperti lazim majlis berprofil tinggi, para peminat fesyen menjamu mata dengan menyaksikan pelbagai fesyen tetamu yang memasuki Gereja Westminster.

Ada tetamu yang memakai topi berharga £1,000 (RM4,947) sebuah, bagaimanapun kebanyakan mata lebih tertumpu kepada gaun pengantin.

Gaun satin warna putih gading itu direka dengan belahan kolar dramatik hingga ke dada manakala leretan gaun sepanjang 2.7 meter mengembalikan ingatan terhadap gaun yang pernah dipakai Diana di tempat sama pada tahun 1981.

Rambut Kate yang panjang mengurai hingga ke paras pinggang kelihatan cantik di sebalik penutup jaring putih manakala tiara yang tersemat di kepalanya sebenarnya dipinjam daripada Ratu Elizabeth.


DRES kain satin dengan leretan gaun sepanjang 2.7 meter rekaan Sarah Burton menambah gaya Kate sebagai seorang puteri diraja.


Anting-anting bentuk daun oak merupakan hadiah daripada bapanya.

William memakai pakaian istiadat pengawal Ireland yang sinonim dengan kariernya sebagai anggota tentera. Beliau diapit oleh adiknya, Putera Harry yang memakai pakaian rasmi istiadat tentera. Kate diapit oleh adiknya, Pippa Middleton.

Selepas ikrar taat setia dan bertukar-tukar cincin perkahwinan, William dan Kate menaiki kereta kuda melalui jalan terpilih di sekitar kota London.

Ratu Elizabeth turut menganugerahi darjah kebesaran yang membawa gelaran Duke dan Duchess of Cambridge.

Berikutan populariti William yang ditambah pesona Kate, terdapat spekulasi bahawa beliau layak melangkaui Charles untuk menjadi raja Britain.

Ramai menganggap Charles, 62, tidak mesra serta jauh daripada hati rakyat.

Bagaimanapun, sumber istana berkata, Charles sudah menunggu terlalu lama untuk menjadi raja dan tidak akan melepaskan peluang itu sewenang-wenangnya kepada William.

Sai Baba lelaki ajaib


SELAMA beberapa dekad, pengikut Sai Baba menganggap lelaki itu sebagai jelmaan tuhan.


GURU spiritual dari India, Sri Sathya Sai Baba, 85, yang diangkat setaraf dewa oleh pengikutnya meninggal dunia Khamis lalu akibat kegagalan jantung, selepas lebih sebulan hidup dengan alat bantuan pernafasan.

Lelaki berambut afro dan bertubuh setinggi 157 sentimeter itu didakwa memiliki kuasa luar biasa dan dikatakan adalah jelmaan semula seorang tokoh kerohanian, Shirdi Sai Baba yang meninggal dunia pada tahun 1918.

Sepanjang hayatnya, Sathya Sai Baba didakwa menghidupkan sekurang-kurangnya 10 orang yang sudah mati. Salah seorang daripada mereka ialah pengikutnya yang berasal dari Amerika Syarikat (AS), Walter Cowan. Cowan diserang sakit jantung di bilik hotelnya di Madras, India pada Disember 1971, dan disahkan meninggal dunia semasa tiba di hospital.

Semasa isteri Cowan, Elsie dan beberapa rakannya tiba di hospital itu mereka terkejut melihat Sai Baba ada di situ, begitu juga Cowan yang masih hidup. Tiada siapa yang tahu bagaimana Sai Baba menghidupkan semula Cowan tetapi semasa bertemu keluarga Cowan selepas itu, Sai Baba berkata dia telah berjaya mengembalikan semula hidup Cowan.

Menariknya, selepas berjaya dihidupkan semula, penyakit buah pinggang dan kencing manis yang dihidapi Cowan turut sembuh. Kisah itu ada dicatat oleh Dr. John S. Hislop, seorang pengikut Sai Baba yang berasal dari AS, dalam buku My Baba and I yang diterbitkan pada tahun 1972.

Roh

Selain Cowan, Sai Baba juga berjaya menghidupkan kembali seorang pengikut setianya yang lain, V. Radhakrishna yang telah meninggal selama beberapa hari dengan keadaan mayatnya mula mereput.

Sai Baba juga terkenal kerana kebolehannya menyembuhkan orang sakit, mencelikkan mata yang telah buta dan membaca minda orang yang ada di sekelilingnya.

Bagaimanapun, boleh dikatakan kemampuan Sai Baba menjelmakan roh orang yang telah mati, begitu juga objek-objek lampau paling diperkatakan pengikutnya.

Ramai yang telah melihat sendiri bagaimana Sai Baba menghasilkan angin lembut daripada tapak tangannya yang seterusnya mencetuskan vibhuti (debu putih) untuk diletakkan di atas lidah dan dahi pesakit.

Namun, keupayaan kuasa ghaib itu kebanyakannya terjadi atas niat murni untuk membantu golongan yang memerlukan dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kuasanya.

Seorang penulis, Howard Murphet yang menyiasat kuasa ajaib Sai Baba selama beberapa dekad mendapati lelaki itu mampu menjelmakan sekeping duit syiling lama AS.

"Ketika berkumpul di ruang tamu rumahnya, Sai Baba bertanyakan tahun kelahiran saya dan setelah memberitahunya, dia berjanji untuk mendapatkan sekeping syiling yang akan tertera tahun kelahiran saya.


SAI BABA turut didampingi bekas Perdana Menteri India, Atal Behari Vajpayee. Mendekati Sai Baba mampu memberi kelebihan kepada ahli politik di negara itu.


"Dia kemudian memusingkan pergelangan tangannya ke atas dan ke bawah di depan saya beberapa kali sambil menyebut bahawa syiling itu sudah ada di tangannya dan memang betul duit itu ada di tangannya," ujarnya dalam buku Man of Miracles.

Kemasyhuran Sai Baba turut dikaitkan dengan keberhasilannya menjelmakan sebuah patung emas dewa Krishna dan sebuah buku lama yang diterbitkan pada tahun 1530.

Malah jika bernasib baik, ada pengikut yang akan memperoleh debu suci daripadanya yang didakwa mampu menjelmakan roh orang yang telah mati.

Tidak mustahil juga ada antara mereka yang mendapat jam tangan atau ketulan emas yang keluar daripada mulut Sai Baba.

Sai Baba juga dikatakan boleh bertutur dalam bahasa asing yang tidak pernah dipelajarinya. Semasa pergi ke Tibet, dia bercakap dalam bahasa puak Adi manakala di Afrika, dia menggunakan bahasa Swahili.

Dengan pelbagai kuasa luar biasa itu, Sai Baba berupaya menarik berjuta-juta pengikut di seluruh dunia.

Sesetengah pihak seperti saluran televisyen BBC di Britain mendakwa keajaiban Sai Baba hanyalah satu helah silap mata termasuk debu putih yang keluar dari tangannya dan bebola emas dari mulutnya.

Dermawan

Bagaimanapun, kekaguman berjuta-juta pengikutnya bukan semata-mata disebabkan kuasa magik lelaki itu tetapi sikap dermawannya. Sai Baba telah mengubah sebuah perkampungan kecil, Puttaparthi di negeri Andra Pradesh, yang suatu ketika tidak diketahui kewujudanya oleh rakyat India sendiri kepada pusat pendidikan dan kesihatan yang terkenal di seluruh dunia.

Ramai kalangan profesional lahir dari universiti yang diasaskan oleh Sai Baba dan berjuta-juta lagi mendapat manfaat daripada yayasan yang ditubuhkannya. Kepada mereka yang telah mendapat kebaikan dengan kehadiran Sai Baba, tidak hairanlah mereka melayan lelaki itu seperti tuhan.

Kekuatan pengaruhnya turut menarik perhatian golongan terkemuka dunia, antaranya selebriti Goldie Hawn, Sarah Ferguson dan pengasas Hard Rock Cafe, Isaac Tigrett untuk mempercayai fahamannya.

Malah pada majlis sambutan hari jadinya yang terakhir, Presiden India, Pratibha Devisingh Patil bersama Perdana Menteri Manmohan Singh hadir memberi sokongan kepada Sai Baba.

Kuasa & kemasyhuran


PUTERA William bersama keluarga diraja Britain yang lain bergambar pada hari perkahwinan William di Istana Buckingham.


SERAMAI 1,900 tetamu menghadiri majlis perkahwinan Putera William dan Kate Middleton di Gereja Westminster, London, Jumaat lalu.

Daripada jumlah itu, 650 dijemput oleh Ratu Elizabeth untuk majlis resepsi di Istana Buckingham manakala 300 menghadiri makan malam yang dihoskan oleh bapa William, Putera Charles.

Tetamu yang datang bukan sembarangan orang. Mereka mewakili kuasa dan kemasyhuran. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong turut memeriahkan acara gilang-gemilang itu, begitu juga Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Antara selebriti yang hadir ialah bintang bola sepak David Beckham dan isteri, Victoria, penyanyi yang juga kawan baik Puteri Diana, Elton John serta perenang Australia, Ian Thorpe.


Antara orang-orang kenamaan yang hadir

Zhariff tidak menangis


KAKI menjadi pengganti tangan untuk melakukan aktiviti harian termasuk makan dan minum.


JASAD kecil insan istimewa Zhariff sewaktu dilahirkan amat berbeza daripada bayi lain. Tiada hembusan nafas, tiada tangisan dan tiada pergerakan.

Malah pakar perubatan yang menyambut kelahiran bayi lelaki pada tarikh 7 Disember 1981 itu mengesyaki bayi itu telah meninggal dunia.

Namun, Tuhan masih memberikan peluang untuk Muhammad Zhariff Afandi hidup dan mencipta pelbagai kejayaan walaupun tanpa kedua-dua belah tangan.

Sepanjang merentas liku-liku hidup sepanjang 29 tahun kini, Zhariff mengakui dia diberi peluang untuk membuat dan mengambil bahagian dalam apa jua aktiviti manusia normal.

“Saya belajar, berlari, jatuh, dimarah, dihukum, diejek malah mengejek,” luahnya kepada Jurnal.

Mengimbas kembali zaman awal bertatih, Zhariff sudah dihantar ke sekolah tadika seawal usianya dua tahun setengah gara-gara kehendaknya untuk menaiki bas sekolah walaupun jarak rumahnya dengan sekolah berselang lima buah rumah sahaja.

Zhariff melabelkan dirinya sebagai budak lasak dan tidak membataskan aktivitinya.

Ketika berusia empat tahun, dia sudah berani melakukan parasailing di pantai Batu Feringhi, Pulau Pinang.

Pada usia itu juga, atas dorongan dan galakan daripada kedua ibu bapanya, Zhariff memasuki kelas renang dan mendapat latihan intensif daripada jurulatih profesional.

Dia menjadikan perenang terkemuka Amerika Syarikat, Michael Phelps sebagai sumber inspirasi.

Menginjak tahun 1990, dia mula menjinakkan diri dengan aktiviti menunggang kuda.

“Meskipun banyak kali terjatuh, kesakitan itu adalah penawar untuk saya mencuba lebih gigih,” getusnya yang turut menyuntik motivasi melalui muzik trip-hop ciptaannya sendiri.

Minatnya diteruskan ketika menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor dengan aktiviti skuba.

Highland Towers


ZHARIFF turut memiliki akaun Facebook dan laman webnya sendiri.


Insiden kondominium mewah Highland Towers runtuh di Taman Hillview, Hulu Klang pada tahun 1993 banyak menjentik sanubari Zhariff tentang nilai kemanusiaan.

Menceritakan pengalaman hampir kehilangan kedua-dua orang adiknya, Alia Amalina dan Aiman Yahya yang masing-masing berusia enam dan satu tahun, meninggalkan parut bersejarah dalam dirinya.

“Ketika kejadian, saya sedang bermain permainan video di rumah rakan di Blok B yang letaknya bersebelahan Blok A yang runtuh itu.

“Tiba-tiba saya dengar satu bunyi yang amat kuat dan sempat menjenguk ke luar tingkap beranda Blok B sebelum ibu kepada rakan saya merangkul dan membawa kami turun ke kawasan lapang di bawah bangunan.

“Pada masa itu saya hanya terbayangkan nasib adik-adik saya dan cuba berlari sambil meraung-raung ke arah bangunan yang telah ranap yang dilitupi debu-debu tebal.

“Namun, saya dihalang oleh orang ramai,” ujarnya yang akhirnya dipertemukan dengan semua anggota keluarganya dalam kondisi selamat selang beberapa jam selepas runtuhan.

Sementara memulakan semula kehidupan baru, Zhariff sekeluarga diberikan penempatan sementara di rumah bapa saudaranya yang ketika itu bertugas di Kedutaan Taiwan di Kuala Lumpur.

Tsunami


ZHARIFF berlari bersama medal selepas berjaya menghabiskan renangan sejauh 6.5 kilometer dengan catatan masa 2 jam 46 minit dan 47 saat dari Pulau Kapas


“Syukur Alhamdulillah, semuanya kembali normal. Kesan daripada peristiwa hitam itu saya semakin aktif sebagai sukarelawan,” tambah penggemar minuman kopi ini.

Semarak suntikan kemanusiaan terus membara dan bergabung dengan intuisi semangat keremajaan untuk menyumbang bakti kepada golongan yang perlu.

Pelbagai kempen kesedaran dilancarkannya ketika masih menuntut. Antara yang memberi impak mendalam kepadanya adalah kempen Blanket For Life yang berhasil mengumpulkan selimut untuk dihantar ke Afghanistan.

Semasa Aceh dilanda tsunami pada penghujung tahun 2004, Zhariff yang sedang bercuti di Batam, Indonesia turut merasai bahang gelombang bencana alam itu.

Tanpa membuang masa, Zhariff lekas menawarkan khidmatnya di sana.

“Saya mendapat sokongan daripada Ellynita Lamin dan Ririn Syodikin yang baru dikenali ketika itu untuk bersama-sama menawarkan bakti sosial dan logistik di Aceh.

“Setelah beberapa kali pergi dan pulang dari sana, saya memutuskan untuk meneruskan misi saya selama sembilan bulan di sana,” katanya yang kemudian dihadiahkan trauma berpanjangan setelah pulang semula ke Malaysia.

Terapi terbaik yang difikirkannya ketika itu adalah berhijrah ke kawasan yang hampir dengan laut dan pilihan terbaiknya adalah ke Gold Coast, Australia.

Selain mendapat tawaran meneruskan pengajian dalam bidang psikologi di sana, Zhariff menyatakan impiannya untuk berdikari sedikit sebanyak terlaksana.

Sepanjang meneruskan hidup di Universiti Griffith, Australia, Zhariff lebih banyak belajar makna kehidupan sebenar tanpa bantuan daripada keluarga lagi.

“Di sana, saya perlu menghantar pakaian ke pusat dobi sendiri, makan minum atas kudrat sendiri dan landasan hidup hanya dipandu dengan doa keluarga di Malaysia dan semangat juang sendiri dalam hati,” katanya yang aktif dalam sukan papan selaju, bola sepak, bodyboarding selain mendaki gunung dan berenang di laut.

Kehidupan di sana adalah yang paling mencabar baginya.

“Sebulan diperlukan untuk saya menyesuaikan diri dengan persekitaran di tempat baru, semua prasarana sudah tersedia dan orang di sana sangat mengambil berat terutamanya individu seperti saya.

“Malah, penduduk di sana tidak pernah memandang sinis dan menenung saya seperti kebanyakan orang di Malaysia,” katanya.

Menangis bukan penyelesaian buat Zhariff. Prinsip itu dipegangnya sejak kali terakhir empangan matanya pecah berderai tatkala kehilangan datuk kesayangannya yang merupakan bekas Menteri Besar Pahang ketujuh, Tan Sri Yahya Mohd. Seth.

Inisiatif Zhariff

Permulaan kerjaya bagi Zhariff yang berlainan daripada insan lain berhadapan dengan kepayahan sekembalinya ke Malaysia.

“Ramai yang mempertikaikan kebolehan saya disebabkan kekurangan yang ada pada saya namun akhirnya saya dilantik menjadi Ketua Bahagian Perkembangan Perniagaan di PRIDE Foundation iaitu sebuah pertubuhan kanser payu dara,” singkapnya mengenai perbezaan stereotaip yang dilakar masyarakat tempatan.

Kemudiannya, Zhariff dilantik menjadi Pengurus Besar di sebuah organisasi baru berkaitan bidang rekreasi berkuda, Denai Alam Recreation & Riding Club (DARC).

Setelah hampir lima tahun memendam hasrat mempunyai pertubuhan bukan kerajaan sendiri, akhirnya pada bulan Mei tahun lalu, The Zhariff Initiative berjaya dibangunkannya.

Menerapkan elemen kerja sosial, kesedaran umum dan kemanusiaan, Zhariff mencurahkan iltizamnya untuk berbakti kepada masyarakat.

Walaupun mempunyai jaringan kerjasama yang kian mekar, Zhariff belum puas dan tidak ingin mendabik dada.

“Saya berpegang pada prinsip hidup Just Do It! kerana bagi saya tiada halangan buat kita mencapai setiap mimpi yang diidamkan walau bagaimana dan siapa kita sekalipun asalkan ada matlamat dan keperluan,” bicaranya.

Kek kahwin dihiasi 900 kuntum bunga


KEK setinggi lapan tingkat ini memenuhi kehendak Kate.


PUTERA William dan Kate Middleton, memotong kek setinggi lapan tingkat bagi meraikan perkahwinan mereka bersama rakan-rakan dan ahli keluarga Jumaat lalu. Konfeksi itu dilitupi krim dan ising putih serta dihiasi 900 kuntum bunga bersalut gula. Ia menjadi tumpuan semasa acara resepsi di Istana Buckingham.

Penyediaan kek itu menyebabkan pembuat kek, Fiona Cairns, keletihan tetapi sungguh gembira walaupun terpaksa bekerja selama lima minggu untuk menyiapkan dekorasi kek itu. Ia benar-benar menguji kemahirannya, begitu juga pekerja-pekerjanya.

Duke dan Duchess of Cambridge yang baru itu merupakan penggemar kek buah Cairns. Penyanyi Paul McCartney juga memesan kek daripada Cairns semasa Krismas setiap tahun. Wanita itu turut menjadi pembuat kek untuk kumpulan Pink Floyd dan Simply Red.

Cairns, 56, yang keknya dijual di gedung Harrods, Selfridges dan Waitrose, dihubungi pihak Istana St James Februari lalu jika dia boleh membuat kek perkahwinan William dan Kate.


BUNGA hiasan bersalut gula.


"Walaupun lapan tingkat, Kate tidak mahu ia menjadi setinggi tujuh kaki. Dia juga tidak mahu kek itu kelihatan seperti menara yang kurus," kata Cairns.

Pasangan itu juga mahukan elemen daripada teknik dekorasi pakar kek Joseph Lambeth digunakan termasuk membentuk daun tiga dimensi, bunga dan hiasan lain.