Tuesday, August 31, 2010

Setin biskut buat ibu ayah

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tidak mengenang budi apabila sanggup mengumpan ibu bapanya yang tinggal di sebuah rumah jagaan di sini, dengan setin biskut untuk memujuk mereka supaya jangan pulang ke rumah sempena Aidilfitri nanti, sebaliknya mahu mereka menyambut 1 Syawal di pusat jagaan itu.

SEDIH...pasangan warga emas terbabit  di Pusat Jagaan Warga Tua Nur Ehsan.
SEDIH...pasangan warga emas terbabit di Pusat Jagaan Warga Tua Nur Ehsan.
Pada mulanya, kehadiran anak lelaki berusia 40-an itu disambut gembira pasangan warga emas berkenaan kerana menyangka mahu membawa mereka pulang menyambut hari raya bersama di rumahnya, tetapi lain pula berlaku.

Lelaki tidak mengenal budi itu sebaliknya memujuk ibu bapanya supaya beraya di pusat jagaan itu, malah enggan mendengar rintihan orang tuanya supaya tidak diperlakukan sedemikian.

Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, Norijah Bidin, berkata kisah sedih pasangan penghuni pusat jagaan warga emas itu mengakibatkan kakitangan di situ terkilan dengan perangai lelaki terbabit.

Menurutnya, anak pasangan berkenaan yang tinggal di luar bandar raya ini mendakwa dia sibuk pada Aidilfitri nanti sebagai alasan tidak dapat membawa pulang orang tuanya beraya di rumah.

“Hanya Tuhan mengetahui kegembiraan pasangan itu apabila melihat kelibat anak yang disangka mahu menjemput mereka pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarganya.“Namun, anak tunggal pasangan itu yang hidup senang seolah-olah tidak berminat membawa mereka pulang sebelum menyerahkan buah tangan iaitu setin biskut bagi mengubati luka hati mereka.


“Ibu bapa mana tidak mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarga, sudahlah anak itu tidak menjenguk mereka lebih setahun, malah turut tidak mengambil tahu hal mereka,” katanya yang menambah lelaki itu juga hanya meluangkan masa kurang 10 minit bersama kedua-dua orang tuanya.

Menurut Norijah, berikutan kebanyakan warga emas di pusat jagaan itu diabai keluarga, mereka akan meraikan Aidilfitri bersama keluarganya yang menganggap penghuni di situ sebagai ibu dan bapa angkat.

Menurutnya, kebanyakan mereka hanya menangis mengenangkan nasib terpaksa berjauhan keluarga biarpun masih mempunyai waris.

“Sempena Aidilfitri ini, kami berharap waris warga emas yang mendapatkan perlindungan di sini datang berkunjung bagi menggembirakan mereka.

“Bukan hadiah mahupun wang kehendak mereka, tetapi kasih sayang,” katanya sambil memberitahu 64 warga emas mendapatkan perlindungan di dua cawangan pusat jagaan berkenaan.

Kelmarin, penghuni pusat jagaan itu menerima kunjungan 18 pelajar luar kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyertai Program Masih Ada Yang Sayang.

Mereka bergotong-royong membersih dan mengecat sebahagian bangunan pusat jagaan dan menyerahkan sumbangan lampin pakai buang dan barangan keperluan kepada warga emas.

Ikatan cinta Memey

KUALA LUMPUR: Walaupun perbicaraan kes khalwat mereka di mahkamah belum selesai, pasangan pelakon popular, Mohd Nor Hakim Zaidon (Norman Hakim), 34, dan pelakon Suhaiza Suhaimi (Memey), 22, mengambil keputusan mengakhiri spekulasi hubungan mereka sebelum ini banyak berteka-teki dengan ikatan pertunangan.

Ketika dihubungi Memey dalam nada ceria berkata, keluarga kedua-dua pihak setuju mengadakan majlis pertunangan itu pada hari raya keempat di rumah keluarga Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

Merpati dua sejoli ini saling mengenali lebih dua tahun lalu dan khabarnya cinta mula berputik ketika berlakon bersama dalam drama Pasrah.

“Minggu lalu saya dan Norman balik ke kampung saya dan keluarga mula berbincang mengadakan majlis pertunangan itu. Ikutkan hati saya tak mahu bertunang kerana kami saling memahami dan mengenali hati budi tapi abang (Norman) mahu saya merasai proses dari mula iaitu merisik, bertunang dan baru diijabkabulkan.

“Dia mahu saya melalui semua pengalaman itu. Pada majlis pertunangan itu nanti, baru keluarga kami akan berbincang jumlah hantaran dan tarikh kami akan disatukan. Insya-Allah majlis kenduri dan persandingan akan dilangsungkan awal tahun depan kerana tidak mahu bertunang lama-lama. Sekiranya semua okey, lebih baik disegerakan.

“Untuk majlis pertunangan ini, akan ada dulang hantaran. Berapa jumlahnya... juga dalam perbincangan. Saya akan bertanya kepada emak apa yang patut dibeli sebagai hantaran balas kepada abang.“Saya sekarang masih sibuk di lokasi penggambaran telefilem, Osman Berani dan abang pun sedang berlakon telefilem Sabar. Terpaksalah kami mencuri masa untuk membeli barang hantaran. Urusan kenduri di kampung, saya serahkan kepada emak,” katanya.


Sebelum ini mereka pernah menafikan mempunyai hubungan istimewa sehingga membawa kepada keruntuhan rumah tangga Norman Hakim dengan bekas isterinya, Arbaeyah Abdul Manan (Abby Abadi), 32, namun segala khabar angin itu ternyata benar apabila Norman ditangkap khalwat bersama Memey di premis perniagaan milik pelakon lelaki kacak itu di Ukay Perdana, di sini, pada 30 Oktober 2008.

Menurut Memey, dia berdebar dan pelbagai perkara menerjah fikiran tetapi sudah bersedia bergelar isteri dan ibu kepada tiga anak Norman hasil perkahwinan bakal tunangnya yang terdahulu.

“Harap segala-galanya berjalan lancar dan dengan pertunangan ini semoga awan mendung akan berarak pergi dari hidup kami berdua untuk memulakan kehidupan baru lebih membahagiakan.

“Beza usia 12 tahun dan pengalaman hidupnya membuat abang lebih matang dan menjadi ketua keluarga yang baik serta dapat membimbing saya. Paling penting kami ada keserasian,” katanya.

Ternyata Syawal ini bermakna buat gadis jelita itu kerana hasratnya berkongsi hidup dengan jejaka dicintai dimakbulkan Allah. Pada hari berbahagia itu, Memey akan mengenakan busana rekaan Ezuwan Ismail dan rona putih menjadi pilihan.

Pilih Disember

KUALA LUMPUR: Selepas kekasih hatinya yang juga personaliti televisyen terkenal, Marion Counter membuka mulut mendedahkan berita perkahwinan mereka, kini SM Nasaruddin SM Nasamuddin yang juga Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza sendiri tampil mengiakan kenyataan itu.

Menurut usahawan muda berusia 27 tahun itu, beliau dan Marion, 30, sudah sepakat memilih Disember depan untuk bersatu sebagai pasangan suami isteri yang sah, namun tarikhnya masih belum diputuskan lagi memandangkan kedua-duanya perlu menyelesaikan beberapa urusan terlebih dulu.

“Kami belum lagi memilih tarikh yang sesuai untuk bergelar suami isteri, tetapi yang pastinya majlis bahagia itu nanti akan berlangsung pada Disember ini di ibu negara.

“Walaupun tiada penetapan tarikh dibuat tapi saya dan Marion sudah bersedia, malah kami bersyukur kerana keluarga kedua-dua belah pihak merestui perhubungan ini dan mereka juga bersetuju dengan perancangan awal (majlis) yang sudah dibuat setakat ini,” katanya, semalam.

Difahamkan sebelum bergelar isteri kepada Nasaruddin, Marion atau nama sebenarnya Marion Rose Counter akan terlebih dahulu memeluk Islam sekitar bulan depan atau Oktober sebaik selesai menjalani rakaman program E! News Asia dan The Biggest Loser Asia musim kedua.

Akhbar sebelum ini melaporkan kisah pasangan itu yang menyulam kasih selama lima tahun tetapi berjaya merahsiakan perhubungan mereka daripada pengetahuan umum, selain tidak pernah membuat kenyataan rasmi mengenainya.Laporan turut menyebut, Marion yang juga anak kelahiran Pulau Pinang memberitahu media, terpaksa merahsiakan hubungan cinta suci itu atas sebab dan alasan tertentu, khususnya bagi menjaga nama baik kekasih hatinya yang cemerlang dalam dunia korporat.


Katanya lagi, Nasaruddin kurang gemar menggembar-gemburkan hubungan percintaan mereka sebelum keputusan sah dicapai dan mereka bakal melangsungkan perkahwinan selain tidak mahu terkena tempias glamor.

Bagaimanapun, kini kedua-dua pasangan merpati sejoli berkenaan mengambil keputusan mengumumkan berita gembira terbabit bagi mengelak tercetusnya sebarang spekulasi kurang menyenangkan.

Juadah berbuka campur wain

SUBANG JAYA: Entah berapa ramai pelanggan yang sudah ‘terkena’ apabila sebuah restoran makanan Barat yang menganjurkan bufet Ramadan mengaku dengan sengaja mencampurkan arak masakan di dalam hidangan yang disajikan kepada orang ramai.

BUKTI...antara produk mengandungi alkohol yang ditemui di dapur restoran terbabit.
BUKTI...antara produk mengandungi alkohol yang ditemui di dapur restoran terbabit.
TIPU...logo halal Jakim palsu pada menu restoran terbabit.
TIPU...logo halal Jakim palsu pada menu restoran terbabit.
Lebih mengejutkan apabila pemilik restoran turut sewenang-wenang memalsukan logo halal Jakim yang dicetak pada katalog menu bagi meyakinkan pelanggan yang menyangka restoran itu mendapat pentauliahan sijil halal Jakim.


Perbuatan itu dibongkar selepas sepasukan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah restoran makanan Barat di Subang Jaya, di sini.


Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, pegawai Jakim diketuai Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah memeriksa restoran terbabit yang menganjurkan bufet Ramadan.


Sumber Jakim berkata, restoran terbabit sebelum ini mengundang tanda tanya pegawai Jakim dan KPDNKK berikutan didapati sengaja menjual minuman keras dan wain kepada pelanggan walaupun pada masa sama menganjurkan bufet Ramadan.


“Pemeriksaan lanjut di dapur restoran terbabit menemui beberapa botol wain masakan yang digunakan chef sebagai bahan dalam masakan.


“Ketika disoal siasat, chef bukan beragama Islam terbabit mengaku mencampurkan wain itu ketika memasak juadah yang disajikan di dalam hidangan bufet Ramadan,” katanya.


Menurutnya, chef terbabit turut mengaku memasukkan kicap mengandungi alkohol di dalam kebanyakan masakannya yang dianggap sebagai perisa tambahan bagi menyedapkan masakan.


“Pemilik restoran terbabit tidak pernah memohon sijil halal dan pihak Jakim tidak akan membenarkan logo itu diguna pakai berikutan restoran terbabit turut menawarkan arak kepada pelanggan.


“Pihak pengurusan restoran terbabit diberikan notis. Berdasarkan kesalahan dilakukan kerana memalsukan logo halal jakim, pengusaha restoran terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perihal Dagangan 1972 yang membawa hukuman denda RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Difahamkan, operasi terbabit antara puluhan pemeriksaan dan operasi berterusan dilakukan pihak Jakim terhadap hotel dan restoran sekitar ibu negara yang menawarkan bufet Ramadan sejak hari pertama puasa lalu.

Bangga jadi anak Malaysia

HARI ini, Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-53. Malah, lebih istimewa lagi ia disambut pada Ramadan yang mulia. Apapun, dalam tempoh 53 tahun ini, banyak kemajuan sudah diraih termasuk pencapaian dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, pembangunan dan perdagangan.

pix_middle

BERSATU...Akim (kiri), Prema dan Jehan setuju Gagasan 1Malaysia. PREMA...menyokong saranan kerajaan. JEHAN...ada ramai kenalan 1Malaysia. AKIM...1Malaysia jaminan perpaduan.


BERSATU...Akim (kiri), Prema dan Jehan setuju Gagasan 1Malaysia.
Justeru, dengan tema 1Malaysia Menjana Tranformasi, diharap Malaysia lebih berjaya pada masa akan datang. Bagi memastikan segala misi dan matlamat ini menjadi kenyataan, perpaduan kaum menjadi keutamaan. Oleh itu, golongan muda kini memikul tanggungjawab untuk terus bersatu padu.

Cinta yang tinggi terhadap negara membuatkan semangat 1Malaysia dalam diri berkobar-kobar. Ia nyata dapat dilihat pada diri tiga artis popular tanah air. Siapa lagi, kalau bukan pelakon Jehan Miskin, penyanyi rock wanita bukan Melayu yang cukup dikenali dengan lagu Eyo Eyo, Prema Yin dan bintang Akademi Fantasia 7 (AF7), Akim.

Atas dasar semangat satu negara, tiga belia ini hadir menjayakan sesi fotografi diadakan, kelmarin. Jehan segak menggayakan pakaian batik, Prema cantik memperagakan sari dan Akim selesa berbaju Melayu. Apa yang pasti, semangat dan jiwa 1Malaysia terpahat kukuh di hati mereka.

Berkongsi pandangan mengenai Gagasan 1Malaysia, Jehan, Prema dan Akim menyokong baik tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Bagi tiga anak muda ini, langkah dilakukan PM itu wajar bagi memastikan masa depan Malaysia terjamin dan keharmonian rakyat terpelihara.

Adalah penting sebuah negara memastikan rakyatnya hidup dalam keadaan sentiasa bersatu padu. Ditambah lagi, Malaysia sangat unik kerana rakyatnya pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban. Sehubungan itu, perpaduan kaum adalah sebahagian daripada tanda kejayaan negara.Ikuti bicara lanjut Jehan, Prema dan Akim mengenai sema­ngat 1Malaysia mereka.Apakah harapan mereka terhadap tanah air tercinta ini? Pastinya, apa diinginkan rakyat Malaysia ialah keharmonian negara. Hidup berbilang kaum dalam suasana gembira walaupun berlainan agama, bangsa dan budaya.


Jiwa Jehan 1Malaysia

DILAHIRKAN dalam keluarga campuran Melayu dan Cina, Mohd Jehan Miskin atau Jehan berkata, dia sudah biasa bergaul dengan masyarakat berbilang kaum. Ujarnya, sejak di alam persekolahan, dia sudah dibiasakan untuk menjalin hubungan persahabatan dengan kaum lain seperti Cina dan India.

Jujurnya, seronok mempu­nyai hubungan persahabatan dengan rakan pelbagai kaum ini kerana pergaulan tidak terbatas. Malah, masing-masing saling menghormati budaya dan agama antara satu sama lain. Justeru, tiada sebab untuk bermusuh kerana lahir dan dibesarkan dalam satu negara.

“Apa yang seronoknya hidup berbilang kaum ini, semua perayaan dirai bersama. Tidak kisah sama ada Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas, semuanya disambut meriah. Malah, saya sendiri tetap akan menerima angpau sekiranya berkunjung ke rumah rakan berbangsa Cina pada Tahun Baru Cina.

“Oleh itu, saranan Perdana Menteri untuk semangat 1Malaysia itu memang ada baiknya. Bahkan, sekarang memang masa yang sesuai mewujudkan 1Malaysia kerana tonggak kejayaan negara ini bergantung kepada semua kaum. Jadi, perpaduan sangat penting untuk menjana kejayaan berlipat ganda.

“Justeru, mewujudkan semangat 1Malaysia ini saya lihat sebagai percubaan kerajaan untuk menyatukan rakyat. Sebagai rakyat, saya bangga menjadi anak Malaysia. Malah, saya akui suka menilai seseorang berdasarkan dirinya sendiri dan bukan daripada perbezaan warna kulit, agama atau budaya yang mereka junjung,” katanya.

Berusia 31 tahun, Jehan berkata, sikap hormat menghormati sangat penting untuk mengelakkan perbalahan. Justeru, sekalipun untuk menyemarakkan semangat 1Malaysia ini tidak mudah dan besar cabarannya, tetapi kerajaan perlu melakukannya. Mujur ia mendapat sokongan yang baik.

Menurut Jehan, hidup dalam satu negara, rakyat tidak perlulah bergaduh. Hidup harmoni dan amalkan toleransi. Apapun, dia percaya rakyat Malaysia generasi baru kini sangat berfikiran terbuka. Antara satu sama lain, tentunya sangat sayangkan negara ini dan ingin ia terus berkembang maju.

Menyentuh mengenai kariernya, Jehan berkata, selain sibuk berlakon, dia juga bertanggungjawab kepada syarikatnya, Mastermind Group Sdn Bhd.

Katanya, baru menerbitkan satu telefilem, Buta Warna yang disiarkan di Astro Ria pada Julai lalu, tidak dinafikan maklum balas diterima sangat positif.

“Namun, kini syarikat saya sibuk mengendalikan program realiti berkaitan hartanah

di Internet iaitu starproperty.my., katanya.


Prema biasa bergaul pelbagai kaum

KEMUNCULANNYA


di persada seni tanah air boleh dianggap setahun jagung. Namun, menariknya gadis kacukan India dan Cina ini cukup selesa bekerjasama dengan rakan pelbagai kaum. Buktinya, apabila kumpulan muzik yang dinaunginya dianggotai berbilang bangsa dan agama.

Berusia 24 tahun, Prema Yin Ranee mengakui dia tiada masalah berkomunikasi, apatah lagi berganding bahu dengan ahli kumpulannya, Monday Nine. Ujarnya, apa yang penting, mereka sangat bertolak ansur dan saling menghormati. Maka, hingga kini tiada perbalahan.

“Justeru, saya selesa dengan 1Malaysia dan menyokong saranan kerajaan. Dalam soal ini, saya yakin jika saling memahami dan menghormat, pasti masing-masing selesa. Oleh itu, sempena kemerdekaan negara ini, saya harap rakyat Malaysia akan terus kekal bersatu padu dan hidup dalam aman damai.

“Bagi saya, perbezaan berlainan kaum, agama atau budaya tidak wujud sekiranya antara kaum tahu peranan mereka. Malah, dalam pergaulan semestinya dijaga supaya tiada sengketa. Sebagai warganegara Malaysia, saya yakin tanah air tercinta ini sangat disayangi rakyatnya,” kata Prema.

Menyentuh soal perkemba­ngan kariernya, Prema berkata, dia kini membuat persediaan untuk menyertai siri jelajah Jepun pada 13 hingga 20 September ini dalam Persidangan Kansai Muzik. Selain itu, ujarnya dia juga sibuk dengan undangan mengadakan persembahan majlis makan malam korporat.

“Apapun, kini saya juga terbabit dalam proses rakaman single baru, Belum Main-Main bersama Monday Nine. Terus terang, saya katakan seronok untuk merakamkan lagu ini kerana kami bekerja dalam kumpulan. Malah, ketika mengadakan persembahan pun, semangat dan tenaga diperoleh berbeza.

Ditanya mengenai pandangan terhadap industri seni tempatan, Prema berkata, memanglah kaum Melayu monopoli utama dan tak semestinya tidak boleh bersaing.
Katanya, bukti paling kuat ialah pencalonan diraihnya dalam Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17), 2 Mei lalu.


Akim mahu erat perpaduan

SEKALIPUN usianya baru mencecah 19 tahun, namun fikiran anak muda ini cukup matang. Malah, apabila berbicara mengenai kemerdekaan negara, lagak Akim atau Afiq Hakim Ahmad seperti seorang pemimpin. Baginya, dia sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia yang hidup bersatu padu.

Malah, dia menerima dasar 1Malaysia dengan hati terbuka demi perpaduan antara kaum.

Katanya, dia tidak sangka dalam tempoh 53 tahun kemerdekaan ini, rakyat Malaysia cukup bersatu padu walaupun berlainan agama dan bangsa. Apa yang pasti, hubungan baik.

“Saya melihat, saranan kerajaan sampai kepada masyarakat. Sama ada Melayu, Cina dan India, semua menerima secara terbuka dan ia dapat dilihat di sekolah dan juga tempat bekerja. Kini, semua bangsa boleh bergaul di bawah satu bumbung dan itu menunjukkan satu kemakmuran yang positif.

“Seiring dengan semangat 1Malaysia, saya berasa sangat bertuah kerana menjadi seorang anak bangsa negara ini. Saya gembira kerana semua kaum dapat menerima antara satu sama lain tanpa perasaan tidak puas hati. Saya harap ketenteraman dan keharmonian Malaysia berkekalan selamanya.

“Sebagai generasi muda negara, saya akan bersama-sama kerajaan membantu merealisasikan kempen Gagasan 1Malaysia yang diinginkan Perdana Menteri. Bagi saya, perpaduan antara kaum perlu sentiasa erat kerana kemerdekaan negara ini dicapai bersama. Melayu, Cina dan India sentiasa berganding bahu,” katanya.

Padat dengan aktiviti seni dan sekarang menjayakan penggambaran drama Kau Dan Aku 2, Akim berkata, kisah dimuatkan dalam musim baru ini lebih menarik dan padat dengan kasih sayang kekeluargaan. Malah, paling seronok dia bergandingan bersama rakan akademinya, Hafiz dan Aril.

“Selain berlakon, saya juga akan sibuk dengan rakaman lagu. Malah, tidak lama lagi saya akan muncul dengan single baru, Janji hasil ciptaan sendiri.
Mengetengahkan irama pop, saya yakin lagu ini akan diterima baik pende­ngar dan ia cetusan idea saya. Semoga semuanya lancar.

“Malah, saya juga tidak gentar berhadapan persaingan dalam industri seni ini kerana melihat ia dari sudut positif. Bagi saya, ia satu persaingan yang sihat kepada artis baru dan lama. Apa yang penting, produk berkualiti kerana itulah kehendak peminat,” kata mahasiswa luar kampus jurusan komunikasi massa, Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.

Luahan hati Elin

UNTUK kali pertama selepas rasmi berpisah dengan Tiger Woods, Elin Nordegren membuat pendedahan terbuka kepada media mengenai hubungan sulit bekas suami­nya.

PALING UTAMA...Woods dan Elin sejurus selepas kelahiran Charlie.
PALING UTAMA...Woods dan Elin sejurus selepas kelahiran Charlie.

DULU BAHAGIA...suasana mesra dinikmati pasangan itu sebelum skandal seks terbongkar. CERITA SEBENAR...untuk kali pertama, Elin membenarkan dirinya ditemubual mengenai perpisahannya dengan Woods. PERTAMA DAN TERAKHIR...selepas ini, Elin tidak bercadang bercakap mengenai rumah tangganya dengan media.


CERITA SEBENAR...untuk kali pertama, Elin membenarkan dirinya ditemubual mengenai perpisahannya dengan Woods.
Dalam temubual dengan dengan majalan People baru-baru ini, model berasal dari Sweden itu berkata, dia langsung tidak tahu-menahu mengenai kelakuan Woods.


“Saya rasa amat malu dan terhina,” katanya.


Kata Elin, tidak pernah sekali pun dia mengesyaki bekas jaguh golf itu akan berlaku curang terhadapnya.


Selama tiga setengah tahun hidup bersama, kata Elin, 30, masanya lebih banyak diluangkan di rumah kerana menguruskan suami dan keluarga.


“Mula-mula kerana hamil, kemudian apabila anak-anak lahir, saya perlu menguruskan mereka,” katanya.


Selepas tembelang Woods pecah, Elin mendakwa, dia dan atlit itu cuba menyelamatkan perkahwinan mereka tetapi gagal.


Akhirnya, kata Elin, mereka bersetuju berpisah adalah cara terbaik.


Dalam sesi temubual dianggap pertama dan terakhir itu, Elin berkata, dia semakin boleh membiasakan diri dengan keadaan semasa selepas bergelar janda.


“Saya melalui pelbagai fasa, daripada terkejut dan tidak percaya dengan apa yang berlaku, menjadi marah dan akhirnya amat kecewa kerana kegagalan rumah tangga yang amat saya harap kekal bahagia demi anak-anak.


“Kini saya berasa semakin tabah berbanding dulu dan yakin dengan keputusan diambil,” katanya.Elin yang melahirkan dua anak - Sam, 3, dan Charlie, 19 bulan - hasil perkahwinan dengan Woods, 34, kini melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang psikologi.


Walaupun begitu, bagi Elin, tiada lebih penting daripada memastikan anak-anaknya kembali ‘pulih’ se­perti sedia kala.


Ditanya mengenai rancangan masa depannya, Elin berkata, perkara pertama akan dilakukan adalah menyesuaikan diri dan hidup dengan suasana baru tanpa Woods sebagai suami serta bapa kepada Sam serta Charlie.


“Saya akan terus menghadiri kelas, tapi fokus utama adalah memberi ruang kepada diri sendiri melupakan segala kepedihan silam,” katanya.

Di sebalik tragedi itu, Elin juga melihat ada rahmat untuknya.


Bagi Elin, dia berasa ‘terpilih’ kerana dapat melihat perjalanan Woods ke puncak sebagai jaguh golf.


“Saya doakan dia mendapat yang terbaik pada masa depan,” katanya.


Elin dan Woods disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Bay County di Panama City, Florida, dan proses selama 10 minit itu dianggap ‘amat menyedihkan’.


Dalam usaha memboleh­kan prosedur itu berjalan lancar, mereka dikehendaki melengkapkan kursus keibubapaan selama empat jam mengikut undang-undang tempatan.


Berdasarkan dokumen mahkamah, Woods menyer­tai kursus Pendidikan Ibu Bapa dan Kestabilan Keluarga pada 10 Julai, hanya beberapa jam sebelum terbang ke St Andrews bagi menyertai Kejohanan Golf Terbuka Britain.


Elin pula menyempurnakan kursus itu pada 16 Ogos lalu.


Menurut beberapa sumber, Elin berazam untuk terus berhubung dengan Woods sebagai kenalan biasa demi kepentingan anak-anak mereka.


Tanpa sebarang butiran didedahkan, dipercayai hak penjagaan Sam dan Charlie dikongsi bersama oleh Elin serta Woods.


Dalam kenyataan bersama selepas perceraian itu di­sahkan, Elin dan Woods berkata, mereka sedih kera­na terpaksa mengambil jalan itu dan berharap setiap mereka bahagia pada masa depan.


“Walaupun kami tidak lagi menjadi suami isteri, kami tetap ibu bapa kepada dua kanak-kanak hebat dan mereka kekal menjadi keutamaan,” katanya.

Persefahaman prasyarat utama

PASTINYA tiada siapa pun pernah mengatakan bahawa perkahwinan itu adalah perkara mudah, apatah lagi andai berkahwin dengan pasangan yang langsung tidak mempunyai latar belakang sama dengan kita.

UNIK...Kan Ku (duduk, kiri) dan keluarganya amalkan sikap keterbukaan dalam perhubungan.
UNIK...Kan Ku (duduk, kiri) dan keluarganya amalkan sikap keterbukaan dalam perhubungan.
HARMONI...Nur Elaine ­Aisyah dan suami saling menyokong antara satu sama lain.
HARMONI...Nur Elaine ­Aisyah dan suami saling menyokong antara satu sama lain.
Majoriti kita juga amat mementingkan agama dengan masyarakat Melayu beragama Islam, kebanyakan Cina penganut Buddha atau Kristian dan ramai bangsa India menganut Hindu.

Justeru, faktor itu sering menjadi topik nasihat di kalangan ahli keluarga yang lebih tua dan kerap disogokkan dengan omongan bahawa perbezaan budaya, agama dan asuhan sejak kecil mampu menyumbang kepada kegagalan rumah tangga di kalangan pasangan yang berkahwin campur.

Namun, tidak semua perkahwinan campur itu berhenti di tengah jalan. Masih ramai lagi pasangan yang berkahwin campur ini dapat hidup aman damai seperti pasangan lain dan anak-anak hasil perkahwinan itu sememangnya menyerlahkan konsep 1Malaysia yang sejak lama diamalkan di negara ini.

Bagi wanita berketurunan Hokkien, Nur Elaine Aisyah Abdullah dan suaminya, Azuree Haiddar Jeffrizal yang mendirikan rumah tangga lebih enam tahun lalu, faktor komunikasi turut memainkan peranan penting dalam perkahwinan.

Pengurus Perhubungan Awam di Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd itu berkata, setiap pasangan yang berkahwin perlu sentiasa bertolak ansur sesama sendiri dalam usaha mewujudkan persefahaman terutama bagi yang berkahwin campur kerana masing-masing mesti menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.“Ramai beranggapan pertukaran agama adalah satu perkara yang sukar dan mengongkong kebebasan sedia ada. Sebagai saudara baru dalam Islam dan menjalani kehidupan berumah tangga sebagai Muslim, ingin saya tegaskan bahawa ia sebenarnya tidaklah sukar asalkan diri dan pasangan faham apa yang perlu dilakukan serta saling menyokong antara satu sama lain.


“Dalam mana-mana perkahwinan pun, bukan setakat kahwin campur, suami serta isteri perlu berusaha menjaga hubungan itu bagi mengekalkan keharmoniannya dan tidak sekadar bergantung pada sebelah pihak.

“Bagi perkahwinan campur, keluarga kedua-dua pihak perlu diberi penjelasan jelas mengenai hubungan itu, di samping perbezaan agama dan budaya supaya mereka faham dan saling menghormati budaya, adat serta agama masing-masing,” katanya.

Tambah ibu kepada Muhammad Luqman Hakim, 5, Nurul Qhalisyah, 4, dan Muhammad Luqman Hakim yang dilahirkan pada 25 Ogos lalu, keluarganya tidak menghalangnya mengahwini lelaki Melayu walaupun pada awalnya mereka tidak begitu memahami hukum-hakam agama Islam.

“Hubungan saya dengan keluarga tetap erat kerana sebagai anak, saya tetap bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka. Hubungan mereka dengan keluarga mentua juga rapat.

“Setiap kali Aidilfitri, bapa saya pasti akan menghantar hamper kepada keluarga mentua di Subang Jaya.

“Begitu juga apabila sambutan Tahun Baru Cina. Ibu mentua sentiasa menghadiahkan sekotak buah oren untuk keluarga saya di Muar dan Johor Bahru,” ujarnya.

Meskipun anak-anaknya masih kecil, Nur Elaine Aisyah dan suami merancang menghantar ke sekolah Cina bagi meningkatkan penguasaan bahasa mereka.

“Walaupun kadangkala saya berkomunikasi dalam bahasa Mandarin dengan mereka, tidak salah rasanya memberi pendidikan tambahan kepada anak-anak kerana itu juga salah satu daripada kepelbagaian budaya yang mereka warisi.

“Selagi ia tidak bercanggah dengan agama Islam, saya dan suami tidak kisah anak-anak mempelajari dan menjalani budaya keturunan saya dalam kehidupan harian,” katanya.

Bagi keluarga Kan Koo Sing Fah, sudah lebih 32 tahun ibu dan bapanya melayari bahtera perkahwinan dan hingga kini tidak timbul masalah percanggahan budaya meskipun bapanya, Kan Ku berketurunan Cina sementara ibunya, M Sakuntala berbangsa India.

“Kami sekeluarga mengamalkan kedua-dua agama dan budaya. Apabila ibu ke kuil Hindu, kami termasuk bapa akan turut serta. Begitu juga apabila bapa ke kuil Buddha, ibu dan seluruh ahli keluarga akan pergi bersama.

“Kami adik beradik juga didedahkan dengan pelbagai bahasa dan pertuturan kami di rumah tidak terhad kepada satu-satu bahasa kerana masing-masing boleh bertutur dalam bahasa Tamil, Mandarin, Melayu dan Inggeris.

“Walaupun menjalani dua budaya, ia bukanlah sesuatu yang sukar atau membebankan dan kami tiada masalah bergaul dengan bangsa lain.

“Ditambah dengan pekerjaan bapa yang sebelum ini sering berpindah-randah, jadi saya sifatkan kami adik beradik dibesarkan sebagai anak jati Malaysia. Benar-benar 1Malaysia,” katanya.

Menceritakan semula detik pertemuan ibu dan bapanya, pasangan itu bermula sebagai kenalan keluarga kerana mereka berjiran dan Kan Ku ketika itu bertugas sebagai konduktor estet bersama abang Sakuntala di Bahau, Negeri Sembilan.

“Walaupun keluarga kami saling mengenali, saya tidak rapat dengannya (Kan Ku). Apabila keluarga gesa kami berkahwin, saya terus bersetuju tanpa memikirkan apa-apa.

“Saya langsung tidak bimbang dengan perbezaan agama dan budaya kami kerana suami dan keluarga mentua semuanya fasih bertutur Tamil. Keluarga saya turut mengalu-alukannya sebagai ahli keluarga. Tidak pernah timbul keraguan atau masalah mengenai perbezaan kami,” ujar Sakuntala.

Pasangan ini berkahwin mengikut adat resam Hindu pada 14 Januari 1978 dan diteruskan dengan majlis tradisi Cina, empat hari selepas itu.

“Sejak awal perkahwinan, kami tiada masalah dalam menjalani kehidupan seharian. Suami juga tidak kisah dengan apa jua masakan India yang saya hidangkan dan paling gemar kari ayam.

“Pada masa sama, saya turut belajar memasak hidangan Cina dan antara kegemaran saya ialah ikan masak masam manis,” katanya.

Selain Kan Koo Sing Fah, 31, dua lagi anak perempuan pasangan ini, Kan Koo Shirley, 30, dan Kan Koo Susan dihantar ke sekolah Cina sejak kecil bagi mengelakkan anak-anak lupa kepada budaya mereka.

“Selepas berbincang dengan isteri, kami menghantar anak-anak ke sekolah Cina memandangkan mereka belajar bahasa Tamil di rumah bersama ibu mereka.

“Saya sendiri sering berbual dalam bahasa Tamil kerana dibesarkan dalam persekitaran estet dan pernah belajar di sekolah Tamil selama empat tahun. Tapi di rumah biasanya kami anak beranak bertutur pelbagai bahasa, lebih kepada bahasa rojak.

“Daripada segi perayaan pula, kami tidak pernah ketinggalan menyambut Tahun Baru Cina dan Deepavali mengikut adat resam tradisi.

“Bagi saya, perkahwinan campur tidak mendatangkan masalah asalkan wujudnya persefahaman dan saling bertolak ansur bersama pasangan.

“Apa yang penting, perlu ada komunikasi dua hala serta minda yang terbuka dalam perhubungan itu,” kata Kan Ku.