Tuesday, June 1, 2010

Sembunyi dalam lori kereta lumba


GAMBAR menunjukkan beberapa pendatang haram bersembunyi di ruang atas dalam sebuah lori membawa kereta lumba di Pelabuhan Calais pada 24 Mei lalu.


LONDON - Seramai 16 pendatang tanpa izin cuba menyeludup masuk ke Britain dengan bersembunyi di dalam sebuah lori yang mengangkut sebuah kereta lumba bernilai £1 juta (RM4.7 juta), lapor sebuah akhbar kelmarin.

Semua pendatang tanpa izin itu memecah masuk di bahagian belakang lori tersebut yang merupakan tempat simpanan kereta Aston Martin untuk dibawa ke Britain baru-baru ini.

Namun, percubaan mereka gagal apabila pegawai-pegawai Agensi Sempadan Britain yang bertugas di Pelabuhan Calais, Perancis mendapati salah satu pintu lori tersebut telah diumpil.

Akibatnya, sejumlah 16 pendatang tanpa izin yang cuba menyeludup masuk ke Britain dengan bersembunyi di dalam sebuah lori yang membawa kereta Aston Martin berjaya ditangkap pada 24 Mei lalu.

Seramai lapan orang warga Afghanistan, empat warga Iraq dan empat warga Vietnam berhimpit-himpit di ruang atas dalam lori tersebut.

Kedai seks untuk suami isteri


KHADIJA ahmed berbual dengan seorang pelanggannya di kedai seks miliknya di Isa, utara Manama pada 19 Mei lalu.


MANAMA - Seorang wanita berpurdah, Khadija Ahmed, 32, membuka sebuah kedai barangan seks yang pertama di Bahrain khas untuk pasangan suami isteri.

Wanita itu berkata, dia tidak menganggap satu kesalahan untuk menjual produk seks seperti pelincir dan beraneka alat permainan seks termasuk vibrator kerana menurutnya, Islam tidak mengharamkan kenikmatan di bilik tidur.

"Ia bukan kedai seks seperti yang terdapat di Barat," kata wanita itu.

"Kedai ini bertujuan untuk membantu pasangan yang telah berkahwin dan hanya pasangan suami isteri dapat menikmati seks dengan sepenuhnya," tambahnya.

Kedai tersebut yang bernama Dar Khadija, dilancarkan secara dalam talian pada 2007 tetapi Khadija memutuskan untuk membuka perniagaan itu ekoran sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Mengiktiraf seni miniatur




BARANGKALI petikan dialog romantis antara Jake dan Rose dari filem Titanic membawa maksud tersendiri bagi yang pernah menonton karya James Cameron itu. Berkesan sekali lakonan Leornardo Di Capario dan Kate Winslet hinggakan kisah cinta mereka menenggelamkan nilai sejarah dan tragedi yang melanda kapal gergasi RMS Titanic itu.

Karya yang telah memenangi 11 anugerah dengan rekod filem terlaris sepanjang masa melalui kutipan sebanyak AS$1.843 bilion (RM6.3 bilion) itu menjadi filem yang paling disukai oleh Ahmad Fahmi Ahmad Fushairi, 10.

Seandainya golongan remaja dan dewasa menganggapnya sebagai simbolik percintaan, namun bagi si cilik ini, filem itu mencetus sumber inspirasinya terhadap pengumpulan setem bercirikan kapal yang kebanyakannya dari luar negara.

"Jika dilihat dari reka bentuk kapal tersebut begitu unik sehingga mencatatkan kapal persiaran yang termahal ketika itu. Di dunia ini kita dapat lihat pelbagai bentuk kapal. Ada kapal layar, kapal selam dan kapal perang malah kapal pengangkut pesawat.

"Bila zaman berubah, teknologi perkapalan juga semakin canggih," katanya bak seorang pakar kapal dan pelayar berpengalaman.

Setem yang kebanyakannya diperoleh melalui pemberian kenalan dan juga pak ciknya, Abdul Rahim Mohd. Syafie, 51, membolehkan minda kanak-kanak itu menjangkau pengetahuan tentang sejarah dan fungsi kapal.


AHMAD FUSHAIRI (kanan), isterinya; Rosina Karim (kiri) sentiasa menyokong minat anak mereka Ahmad Fahmi (dua dari kanan). Di sebelah Ahmad Fahmi ialah Ahmad Firdaus.


Fahmi menjelaskan, dia mula berjinak-jinak dengan hobi itu semasa umurnya tujuh tahun. Apabila kerap mendengar cerita mengenai destinasi menarik, bangunan dan haiwan, dia semakin obses untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya.

"Setiap kali saudara-mara bercerita, saya akan membayangkannya. Dari situ timbul minat untuk mengetahui keadaan sebenar," katanya petah.

Tambahan pula kesudian ibu saudaranya, Rafidah Ahmad Syafie, 30, memberikan antara koleksi buku setemnya membuatkan Fahmi terfikir, jika dia tidak mampu melawat setiap destinasi menarik di dunia, lebih baik dia mengumpul setem.

Azam dan minat itulah yang mendorongnya mengumpul setem-setem yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia dan menjadi salah seorang ahli SODA (Akaun Deposit Arahan Tetap) sejak tahun lalu.

Kelebihan yang dimiliki itu membolehkannya mendapatkan setem-setem dan produk filateli lain Pos Malaysia tanpa perlu beratur di pejabat pos pada hari keluarannya.

"Menjadi ahli SODA begitu istimewa kerana setem dihantar terus ke rumah. Tidak perlu penat-penat beratur panjang," ujarnya yang berpendapat setem Malaysia mempunyai kelebihannya tersendiri.

Duta negara

Dia merujuk kepada siri setem kartun Kampung Boy yang disifatkannya sebagai unik. Kanak-kanak itu nyata menghargai senario santai masyarakat kampung seperti permainan tarik nipah, main guli, main baling selipar dan tenteng.

"Walaupun saya jarang bermain dengan permainan itu tetapi setidak-tidaknya saya tahu aktiviti yang pernah bapa saya lakukan ketika membesar di kampung," ujarnya yang memiliki setem dan sampul hari pertama berserta tandatangan Datuk Mohd. Nor Khalid atau Lat.

Pandangan itu turut dipersetujui oleh seorang lagi peminat setem, Prof. Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob. Beliau merupakan Dekan Fakulti Teknologi Seni Lukis dan Seni Reka Industri, Universiti Industri Selangor (UNISEL).

Jelas beliau, apabila sesuatu setem dikeluarkan ia disertakan dengan katalog bagi menceritakan sejarah dan makna di sebalik penghasilan setem itu.

Misalnya, pakaian masyarakat Melayu khasnya tengkolok (destar), ia bukan sahaja dianggap sebagai aksesori atau penghias kepala bahkan mencerminkan sesuatu simbol.

"Tengkolok Diraja yang dipakai oleh sultan-sultan di Malaysia merupakan satu keunikan budaya masyarakat Melayu di negara ini. Malah, terdapat pelbagai bentuk ikatan tengkolok. Antaranya ialah ikatan Anak Gajah Menyusu, Lang Menyusur Angin dan Dendam Tak Sudah.


RAJA ZAHABUDDIN berpendapat setem masih relevan pada zaman ini.


"Kesemua ini bertujuan dalam meningkatkan kesedaran dan pemahaman orang ramai terutama generasi muda," jelasnya yang juga merupakan salah seorang pereka setem di Malaysia.

Selain itu, beliau melihat mobiliti setem dari satu tempat ke satu tempat sebagai duta bagi sesebuah negara.

"Mungkin bagi kebanyakan orang setem hanyalah kepingan kertas kecil yang ditampal di bahagian atas sampul surat dengan nilai 30 sen, 50 sen atau RM1. Malah tidak salah sekiranya dikatakan mereka hanya menganggap ia sebagai pelengkap proses penghantaran.

"Namun sebenarnya setem itu adalah seni miniatur yang diiktiraf. Keunikan yang ada padanya mampu memberikan gambaran kepada masyarakat luar terhadap negara kita. Sekiranya diamati, ia turut memberi faedah sebagai agen pelancongan," tambah bekas Pensyarah Seni Reka Grafik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu.

Aktiviti kelab filateli menurut beliau, bertindak sebagai satu alat perhubungan sosial yang luas khususnya di antara komuniti peminat dan pengumpul setem. Terdapat hampir 200 negara seluruh dunia yang mengeluarkan setem negara masing-masing. Sebagai peminat setem, mereka pasti terdorong untuk mengetahui variasinya.

Pemilik koleksi setem potret keluarga kerabat diraja British itu memberitahu, beliau pernah disindir oleh beberapa rakannya yang menganggap setem kurang bernilai pada era teknologi. Namun, Raja Zahabuddin mempunyai pandangan tersendiri.

"Setem mempunyai peminatnya yang sendiri di seluruh dunia. Sedar atau tidak, penggunaan setem masih diperlukan dalam aktiviti pengeposan terutama surat rasmi.

"Menerima sepucuk surat yang bersetem memiliki nilai kenangan yang lebih mendalam daripada penggunaan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau e-mel," kata beliau. Bak kata pepatah, lain padang lain belalangnya, lain orang lain pandangannya. Penggiat hobi tersebut, Datuk Anuar Bashah Mohd. Sahore mempunyai pandangan tersendiri.

Artifak berharga

"Mengumpul bagi saya tidak mencukupi untuk menjelaskan konteks aktiviti ini. Mengumpul menunjukkan seseorang hanya mengumpul dan meletakkan setem yang diperoleh ke dalam almari. Seolah-olah tiada yang istimewa padanya.

"Berbeza dengan minat terhadap setem. Perkataan itu sahaja membuatkan seseorang berasa teruja terhadap aktiviti yang dilakukan. Ia membuatkan kita berusaha mendapatkan sesuatu yang mungkin di luar jangkauan kita," kata beliau.


SETEM Amerika ini adalah salah satu koleksi Raja Zahabuddin.


Tambah Pengarah Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Berhad itu, dengan minat yang mendalam, seseorang itu mampu menjadikan aktiviti pengumpulan sebegini memupuk semangat ingin tahu dan lebih menarik.

Anuar menerangkan, kepada yang menggemarinya, koleksi setem tersebut seperti artifak berharga. Setiap setem yang dihasilkan mempunyai cerita masing-masing.

Beliau tidak dinafikan hobi mengumpul setem mampu menjana pendapatan, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai koleksi setem yang unik dan bersejarah.

"Setem lama yang sukar dicari mempunyai nilai yang tinggi dan harganya juga boleh mencecah hingga beratus kali ganda.

"Namun andai dibandingkan dengan usaha kita dalam mendapatkan setem tersebut apa sangatlah nilainya," ujar beliau yang telah mengumpul lebih 100,000 setem.

Anuar merumuskan, setiap setem yang beliau peroleh bak jantung keduanya. Mungkin perasaan dan perbandingan itu turut difahami oleh si cilik Fahmi, Raja Zahabuddin dan ribuan lagi peminat setem di negara ini.

Pencarian kebahagiaan spiritual


HESSE tidak membandingkan agama dalam penulisannya.


DUNIA yang penuh tidak semestinya akan mengisi setiap pelosok ruang hati. Kekayaan material juga tidak selalu membawa kepada kebahagiaan yang didambakan oleh seseorang manusia.

Agaknya, perkara ini sama juga dengan agama. Dengan pemahaman dan perasaan manusia yang tidak bangkit, agama yang sepatutnya menghidupkan semangat dan roh manusia juga tidak mungkin menjadi penawar dalam mencerahkan hati.

Untuk itu, kita berasa teramat sinonim dengan nama Siddhartha. Seorang anak muda yang memulakan perjalanan spiritual sendiri untuk mengisi kekosongan jiwa. Kisah yang ditulis Hermann Hesse pada 1922 selepas beliau kembali dari India sekitar 1910-an dalam maksud lain memang diilhamkan oleh sosok yang bernama Siddhartha Gautama Buddha.

Melalui novel ini, Hesse tidak berkhutbah tentang kebaikan mana-mana agama. Sebaliknya, beliau menceritakan perkara yang merentas segala perbezaan antara manusia dan mencari kebahagiaan dalam diri yang abadi.

Ada perkara-perkara menarik yang tercermin di sebalik penghasilan karya agung klasik ini. Seperti watak yang diceritakannya, Hesse sendiri berkelana jauh ke dunia yang baginya mempunyai pertalian spiritual yang kuat berbanding bangsa kulit putih sepertinya.

Hesse, seorang Jerman, tidak hanya sampai ke India untuk belajar dan memerhatikan hal ini. Dia bahkan sampai ke Asia Tenggara, tidak ketinggalan ke Malaya (pada waktu itu) untuk menyerap amalan dan cara hidup orang di merata tempat.

Dari India, dia sampai ke Pulau Pinang, Singapura, Sumatera dan Borneo, tempat yang menurutnya didiami oleh kelompok manusia yang mempunyai pertalian dengan amalan tradisi spiritual ketuhanan.

Siddhartha, anak muda keturunan Brahmin itu mula merasa kekurangan dalam hidupnya. Kemewahan dunia menurutnya tidak banyak yang menarik perhatian. Begitu juga dengan ajaran Brahmin lama. Siddhartha percaya kepada keyakinan individu yang mampu melampaui semua perkara yang sudah terbiasa bagi dirinya ketika itu.

Kembara spiritual

Tetapi, keyakinan yang dimaksudkannya itu belum ditemukan. Dia sedar bahawa dia perlu 'keluar' dari dirinya dan menjelajah perjalanan dan pemahaman spiritual yang tidak mungkin ramai orang akan faham. Maka kisah inilah yang diceritakan semula oleh Hesse, berdasarkan pemerhatian dan pencariannya sendiri.

Jika direnung, penghasilan Siddhartha pada tahun 1920-an sebenarnya bukan sekadar suka-suka. Daripada pemerhatian yang teliti, Hesse sendiri seperti memberikan isyarat yang cukup jelas berkenaan perkembangan budaya dan tradisi masyarakat dunia waktu itu.


MASYARAKAT Asia perlu membaca buku ini untuk mengenali pertalian manusia dengan agama.


Barat sedang berusaha untuk memodenkan dunia mereka. Dalam maksud lain, budaya Barat menurut Hesse ketika itu sedang bersungguh-sungguh membangunkan hal-hal materialisme sebagai satu-satunya tanda pengukur kejayaan dalam hidup manusia.

Sisi agama dalam masyarakat Barat waktu itu amat diragui, termasuklah oleh kelompok masyarakatnya sendiri. Antara isu yang terselit sekali dari latar novel ini adalah penyalahgunaan agama oleh orang berpengaruh agama-agama itu sendiri.

Ia cukup berbeza dengan dunia Timur waktu itu. Bagi Hesse, Timur adalah bahagian dunia yang kontra sekali dengan persekitaran hidupnya sebagai orang Barat.

Dia melihat orang-orang Timur masih lagi tidak ghairah kepada harta-benda duniawi. Pada masa yang sama merupakan masyarakat yang secara umumnya mempunyai pegangan spiritual kuat. Menurut pengamatan Hesse melalui novel ini, orang Timur masih tetap bahagia walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Mungkin bertolak daripada pemerhatian sebeginilah yang telah membuatkan Hesse terpesona dengan spiritualiti dan memulakan sendiri perjalanannya ke Asia. Kemudiannya, melalui watak Siddhartha dia mencipta satu lagi perjalanan spiritual - mungkin perjalanan dirinya sendiri untuk dibukukan.

Atas alasan inilah novel berkenaan menjadi sangat berpengaruh. Paparan secara tidak langsung berkenaan pertembungan pandangan dan nilai-nilai hidup Barat dan Timur yang secara jelas menjadi begitu besar jurangnya.

Buku ini sepatutnya menjadi antara bahan bacaan penting buat masyarakat di Asia, sepertimana ia pernah meledak dalam kalangan khalayak di Barat dulu. Kini, masyarakat rantau ini pula yang sedang menganut fahaman modernisme keterlaluan sehingga meminggirkan sisi spiritualiti sebuah kehidupan.

Kuala Lumpur sendiri sudah melupakan kelembutan diri dari dalam melalui jalan spiritualisme. Agama juga tidak lagi berperanan menjadi pegangan yang sewajarnya, melainkan hanya menjadi alat untuk mencapai kesenangan dan menindas.

Siddhartha adalah kisah diri manusia melawan keangkuhan diri sendiri. Ia juga kisah seorang manusia yang mahu menggunakan akal dan setiap satu deria rasa untuk mencari jalan agar kehidupan manusia menjadi lebih indah. Melalui perjalanan spiritual itulah Siddhartha menemukan makna yang mungkin selama ini dicarinya; tentang hidup, dunia dan diri seorang manusia.

Kita juga tidak perlu merasa malu untuk membaca semula catatan kisah Siddhartha dengan hati dan akal yang lebih tenang dan terbuka. Semoga semua yang membaca menemui jalan ketenangan tersendiri.

Melentur tubuh dengan balet




SUNGGUH mengasyikkan melihat kanak-kanak lingkungan umur bawah 12 tahun itu menari sepenuh perasaan mereka.

Tiga penari cilik dengan lemah gemalai dan liuk lentok tubuh, menari mengikut gerak langkah tarian balet yang diajar guru tari, manakala tiga lagi pelajar begitu lincah menunjukkan aksi tarian tendangan, pusingan yang mewakili tarian moden.

Senyuman manis sentiasa terukir dibibir enam gadis comel itu sehingga lensa jurufoto Utusan, Zaini Husin tidak lekang mengambil gambar mereka berkali-kali.

Enam penari cilik didikan Akademi Tarian Swan Lake di Sri Petaling, Kuala Lumpur itu menjadikan disiplin dan kilas langkah berekspresi sebagai makanan harian mereka.

Namun, itu tidak bermakna gerakan itu tidak turut memerlukan kekuatan fizikal. Ciri itu paling penting dipraktikkan ketika membabitkan aksi akrobatik seperti tendangan, lompatan atau pun pusingan.

Paling mencuri tumpuan ialah Cheah Wan Xuan, 12, dia yang bertubuh paling kecil di antara rakan-rakan penari lain begitu cantik menyusun pergerakan. Sambil berlari mendapatkan momentum, Wan Xuan membuat lompatan anggun sambil kepalanya didongakkan. Lentikan badannya sempurna dan hayunan kaki dan tangannya begitu lembut.

Bakat Wan Xuan dalam tarian moden mula diasah sejak dia berusia enam tahun atas galakan ibu bapanya. Meningkat usia 12 tahun, tarian balet sudah seumpama darah dagingnya.

"Saya menari tarian moden sebab ikut jejak kakak. Ketika berumur empat tahun, saya tengok kakak berlatih menari depan cermin sambil pakai kostum tarian. Hati saya berkata: 'oh cantiknya!'.

"Saya terus jumpa emak untuk memberitahu bahawa saya juga mahu belajar menari macam kakak dan emak terus daftarkan saya di akademi tarian yang sama dengan kakak iaitu Akademi Tarian Swan Lake dua tahun kemudian," ceritanya yang kini berada di gred lima dalam jurus tarian moden.

Anak bongsu daripada empat beradik itu memberitahu, detik paling mengujakan adalah apabila pertama kali membuat persembahan tarian di Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI), Kuala Lumpur, tiga tahun lalu.


ADAKALANYA, kecantikan kostum penari menjadi inspirasi kepada kanak-kanak untuk meminati bidang tarian.


"Masa itu saya sangat teruja dan gementar buat persembahan depan ramai orang. Namun begitu, saya tetap beri persembahan yang terbaik kepada penonton," katanya yang membuat pelbagai persembahan lain termasuk di Pusat Pelancongan malaysia (MATIC), Kuala Lumpur awal Januari lalu.

Ditanya siapakah idolanya dalam tarian moden, Wan Xuan memberitahu, dia paling kagum dengan tarian guru tarinya, Betty Chen Pui Ting.

Wan Xuan yang kerap menerima pujian daripada guru tarinya itu bagaimanapun pernah menghadapi kesukaran semasa menari.

"Saya pernah jatuh terduduk masa buat gerakan pusingan. Akibatnya, pinggul saya sakit," katanya yang menyimpan keinginan untuk menjadi penari profesional satu hari nanti.

Bagi rakan Wan Xuan, Samantha Kaan Tsu Ai, 12, pula, dia terus jatuh cinta pada tarian balet selepas menonton tarian tersebut di televisyen.

Tetapi malangnya, ibunya tidak membenarkan Samantha belajar tarian balet, sebaliknya mendaftarkannya dalam tarian moden.

"Ibu tak bagi menari balet sebab dia kata bahaya. Tarian balet menggunakan teknik seperti en pointe atau berputar pada hujung ibu jari kaki yang boleh menyebabkan kecederaan," katanya mendapati tarian moden juga tidak jauh bezanya dengan tarian balet.

Menurutnya, dalam tarian moden, disiplin paling sukar untuknya adalah untuk melakukan aksi akrobatik seperti berlari sambil melompat. Banyak kali dia terjatuh semasa latihan, namun, dia tidak berputus asa.

Sementara itu, bagi Kirtisha Chinniah, 8, dia memilih untuk belajar tarian balet berbanding tarian-tarian lain kerana terpikat dengan kostum tarian tersebut.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Assunta, Petaling Jaya itu merasakan penari balet seperti pari-pari comel apabila mengenakan kostum dan membuat pergerakan yang cantik.

Bagi Lim Ee Chee, 12, sebelum menyertai Akademi Tarian Swan Lake, dia terlebih dahulu belajar tarian balet di sekolahnya. Namun, selepas dua tahun belajar, anak bongsu daripada empat beradik itu merasakan tidak banyak langkah yang dia belajar berbanding langkah-langkah yang ada dalam tarian balet. Sekolahnya juga tidak banyak menyediakan kelengkapan yang mencukupi untuk menari balet.


TARIAN balet dan moden mampu membantu kanak-kanak ini bersifat positif dalam kehidupan dan pembelajaran mereka.


"Ada pelbagai teknik dan tahap dalam tarian balet yang saya tahu. Asasnya saja cukup rumit. Misalnya, teknik seperti berpusing pada hujung ibu jari kaki, lemah gemalai, gerakan tepat serta terperinci," katanya yang kemudiannya mendaftarkan diri di Akademi Tarian Swan Lake.

Menurut Ee Chee, apapun, jika seseorang itu boleh menari balet dengan bagus, ia akan memudahkan pelajar tersebut mempelajari tarian lain dengan mudah. Itulah kelebihan balet.

Dalam pada itu, Pengetua dan juga Guru Tari Akademi Tarian Swan Lake, Jane Yap Lee Mei, 34. memberitahu, seseorang yang ingin belajar menari balet biasanya memerlukan masa tidak kurang daripada tiga tahun untuk menguasainya.

Katanya, itupun ia masih bergantung pada bakat dan kebolehan individu terbabit kerana tarian balet bergantung sepenuhnya pada teknik tarian yang sukar.

"Paling penting penari balet perlu belajar mendengar muzik terlebih dahulu. Rasakan muzik tersebut sambil membuat gerakan lembut mengikut alunan lagu yang dimainkan.

"Mereka juga perlu mengawal pergerakan badan agar ia cantik dan lembut. Bagi tarian moden pula, ekspresi, pergerakan serta persembahan sangat penting. Mereka juga perlu menghayati muzik yang dimainkan.


KELEMBUTAN dan keseronokan menjadi pendorong kanak-kanak ini menyertai kelas tarian.


Jika muzik tersebut rancak, mereka perlu memberikan gerakan lincah dan bertenaga," katanya yang pernah belajar di Sekolah Balet Northern di United Kingdom.

Jane menambah, tarian balet lebih banyak mendesak badan untuk memberi gerak tari lembut dan bersistematik, manakala tarian moden lebih bebas.

"Dalam balet, penari perlu bekerja lebih mengenai postur tubuh, teknik dan juga perlu bekerja keras untuk melakukan putaran menggunakan hujung jari kaki. Moden lebih menyeronokkan dan kurang tekanan. Sebagai contoh, tarian moden yang ditarikan dalam So You Think You Can Dance," katanya.

Cinta bermula di London


FATIH memiliki 35 jenis deck daun terup untuk persembahan silap mata.


MENGETAHUI umur Mohd. Nor Fatih Mohtar baru sahaja menjangkau 23 tahun, barangkali ramai yang tidak menyangka pemuda itu pandai bermain silap mata. Malah, kemahiran yang baru dipelajarinya hampir tiga tahun itu berjaya memukau beberapa teman dan keluarga sehingga dia digelar ahli silap mata.

Dengan hanya menggunakan daun terup, Fatih mampu melakukan pelbagai tipu muslihat yang berbeza daripada silap mata biasa.

Siapa sangka, anak muda kelahiran Pontian, Johor itu sungguh bertuah apabila pada mulanya mendapat tunjuk ajar daripada ahli silap mata jalanan, Mark, ketika menjejakkan kaki ke kota London, England pada tahun 2007.

"Saya pergi ke London kerana terlibat dengan persembahan tarian di Covert Garden. Ketika itu, saya merupakan artis di Istana Budaya.

"Selepas melakukan persembahan, saya bersiar-siar bersama teman di sekitar London. Menariknya, sebab terdapat beberapa orang membuat pertunjukan sama ada menyanyi atau bermain alat muzik di jalanan.

"Namun, kelibat seorang ahli silap mata bermain terup menarik minat saya untuk melihat dengan lebih dekat persembahannya. Selesai Mark membuat persembahan, saya menghadiahkannya rantai kunci Visit Malaysia," katanya yang kemudiannya dikejutkan dengan pertanyaan Mark sama ada Fatih berminat untuk belajar silap mata.

Fatih diajar empat teknik bermain daun terup iaitu Ambitious Card, Two Card Monte, Ultimate Transfer dan Misdirection Card.

Namun, bukan mudah untuk anak bongsu daripada dua beradik itu belajar silap mata biarpun teknik yang ditunjukkan Mark adalah mudah dan secara perlahan.

Menurut Fatih yang juga pandai bermain alat muzik biola itu, jika dia tidak merakamkan aksi-aksi yang ditunjukkan Mark menggunakan kamera telefon bimbit, sudah tentu dia tidak dapat memahirkan diri. Fatih mengambil masa selama sebulan lebih untuk memahirkan diri dalam silap mata yang diajar Mark.

"Lepas saya belajar silap mata, saya terus jatuh cinta. Bagi saya, kemahiran silap mata mendekatkan ahli silap mata dengan penonton. Malah, bukan mudah untuk bermain silap mata. Mereka bukan sahaja perlu belajar teknik tetapi juga perlu belajar kemahiran menunjukkan aksi yang cantik di depan penonton. Teknik komunikasi bersama penonton juga penting," katanya yang menolak permainan silap mata melibatkan penggunaan ilmu sihir.

Jelas Fatih yang pernah membuat persembahan silap mata untuk teater Mana Setangginya di Istana Budaya, silap mata sebenarnya menggunakan teknik tipu helah bagaimana kita pandai menguasai minda penonton dan mengaburi mata penonton dengan teknik-teknik yang dilakukan.


MENGUASAI banyak teknik silap mata baru, Fatih kini turut membuat persembahan di pelbagai acara.


Bertitik tolak daripada itu, Fatih menukar nama kepada Eric Antasya Hazrief yang digunakan hanya ketika dia melakukan persembahan silap mata.

Dia juga sanggup berhenti menjadi artis di Istana Budaya kerana ingin memfokuskan kemahiran silap mata dan juga ingin membuat perniagaan sendiri.

"Saya seterusnya belajar silap mata secara serius dengan beberapa ahli silap mata antaranya Shahril Fuyoo Magic, Izad Magix, Ali Finger, Afiq dan Fendy," katanya kini yang mempunyai 35 jenis deck daun terup.

Daun terup yang dimiliki Fatih ada yang mencecah harga sehingga RM65. Biarpun harganya mahal daripada kad biasa, tetapi kualiti daun terup untuk silap mata adalah berlainan.

Mutu kertasnya juga mempercepatkan proses permainan dan ia juga memungkinkan banyak muslihat yang boleh dilakukan. Antara jenis-jenis daun terup yang dimiliki Fatih ialah Bicycle, Mirror, Peerless, Card-Toon, Poker, Bee Card dan lain-lain.

Krew GenK yang berkunjung ke rumahnya yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur, turut dihiburkan dengan persembahan silap mata Fatih. Kad bernombor 10 diamond yang tertutup erat di tangan krew GenK berjaya ditukar Fatih menjadi nombor empat diamond.

Tidak dinafikan, sesetengah individu menganggap permainan silap mata dikaitkan dengan ilmu sihir, doa dan jampi. Tetapi, silap mata sebenarnya hanyalah sekadar kemahiran tangan dalam membuat pelbagai gerakan di samping menyembunyikan muslihat yang begitu halus.

Fatih yang menanam impian untuk menjadi seperti idolanya Derren Brown, berharap mempunyai program TV sendiri yang memfokuskan silap mata penguasaan minda.

"Saya lebih minat bermain silap mata yang tidak menggunakan pelbagai alat. Ia lebih kepada ilusi psikologi. Bagaimana kita boleh membuat silap mata dengan cara menguasai minda penonton. Sebagai contoh, jika seorang individu mengalami masalah kerja bagaimana cara penyelesaiannya," katanya yang berniat menyampaikan mesej berguna melalui silap mata.

Hari Terbuka RPWP


KANAK-KANAK penghuni Rumah Pengasih Kajang mendapat khidmat rawatan gigi dari Klinik Ampang sempena Hari Terbuka Pusat Pengasih Sungai Ramal Kajang.


KASIH sayang, perhatian dan keprihatinan tidak hanya tercetus tatkala meraikan tarikh-tarikh tertentu. Mesej keakraban komuniti yang hendak disampaikan sebenarnya perlu dilanjutkan setiap hari dan sepanjang tahun.

Sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini, Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) di Sungai Ramal, Kajang, Selangor mencerna beberapa objektif seiring penganjuran hari terbuka yang cukup bersejarah.

Hari Terbuka RPWP itu meraikan warga emas khususnya para ibu dan ibu tunggal. Majlis yang bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 3.30 petang itu dimeriahkan dengan pelbagai pameran dan program kekeluargaan seperti pameran cegah jenayah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pameran antidadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia.

Pusat Darah Negara turut tidak ketinggalan menjayakan acara tersebut. Para hadirin disambut dengan penganjuran pameran dan berpeluang menonton tayangan video serta mendengar ceramah motivasi keluarga. Pada masa yang sama, orang ramai berpeluang menderma darah dan melakukan pemeriksaan gigi secara percuma.

Hari Terbuka yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi, Dr. Shafi'e Abu Bakar itu diadakan bertujuan merapatkan ukhuwah antara penduduk berhampiran dengan warga RPWP.

RPWP yang diasaskan oleh Dr. Masjuki Mohd. Musuri sering mengadakan aktiviti amal untuk mendidik dan membentuk masyarakat prihatin.


PENGHUNI Pusat Pengasih Sungai Ramal Kajang, Yaacoh Abd. Latif (dua dari kanan) dan pasangannya, Aminah Sulaiman mendapat kalungan selempang merah tanda kasih sayang daripada kedua-dua anaknya Hassan Basri (kiri) dan Syazwan.


Selain melibatkan seluruh ahli keluarga besar dan para pendokong RPWP, masyarakat setempat dan orang luar turut mendapat manfaat daripada kunjungan mereka ke kampung tersebut.

"Kami amat berbesar hati dengan kesudian sasterawan negara, Datuk A. Samad Said mendeklamasikan puisi ibu hasil nukilannya sendiri yang menyentuh hati.

"Puisi tersebut meruntun hati para hadirin sehingga mereka menitiskan air mata," katanya yang selama ini giat mencurahkan idea dan kempen kekeluargaan seumpamanya.

Berikutan sambutan derma darah dan pemeriksaan gigi yang menggalakkan, RPWP mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai aktiviti rutin yang dijalankan antara tiga atau enam bulan sekali.

"Bangunan RPWP masih dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya dalam jangka masa setahun lagi. Ia dilakukan secara gotong-royong dan dibina selari dengan pembangunan sahsiah dan azam 20 buah keluarga yang bergabung untuk memperbaiki diri melalui konsep pelaksanaan kebajikan," ujarnya.

Masjuki memberitahu, RPWP sentiasa berusaha membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama yang berlandaskan konsep kasih sayang.

"Mereka yang dibantu oleh RPWP terdiri di kalangan penagih dadah, ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya, orang miskin dan sebagainya.

"Di RPWP, tidak seorang pun akan rasa terasing, tidak kira sama ada mereka anak terlanjur, penagih atau sebagainya kerana semua adalah sama dan saling mendokong antara satu sama lain," katanya.

Menurut salah seorang pendokong RPWP, Muhamad Yazid Abdul Majid, penghuni RPWP terdiri daripada pelbagai peringkat daripada golongan profesional hinggalah kepada fakir miskin dan asnaf yang menjalani hidup berkeluarga di bawah naungan RPWP.


RPWP di Sungai Ramal meraikan warga emas khususnya ibu tunggal.


"RPWP yang diasaskan oleh Dr. Masjuki Mohd. Musuri pada tahun 2006 dibina hasil daripada pendokong-pendokongnya secara gotong-royong pada setiap hujung minggu dan cuti umum sejak pelancarannya sehingga sekarang.

"Pembinaan dan pengurusannya menggunakan dana yang dikumpul hasil sumbangan bulanan oleh 12 keluarga daripada 20 keluarga yang berkemampuan," katanya.

Lapan dari 20 keluarga jemaah itu terdiri daripada golongan asnaf yang tidak mampu menyumbang dana. Namun mereka turut membantu melakukan kerja-kerja pembinaan, pengurusan dan pendidikan anak-anak sepenuh masa.

Ujarnya, berprinsip untuk tidak meminta-minta kecuali diberi dengan ikhlas dan penuh kesedaran, 20 keluarga tersebut mengambil inisiatif sendiri dengan mendirikan dan mengurus RPWP.

"Apabila siap nanti, RPWP boleh menampung lebih 200 orang penghuni," jelasnya.