Tuesday, February 2, 2010

Misteri Tutankhamun akan didedah


GAMBAR fail menunjukkan muka Firaun Tutankhamun.


KAHERAH - Hasil ujian asid deoxyribonucleic (DNA) diambil daripada mumia yang dipercayai Firaun Tutankhamun akan diumumkan pada 17 Februari ini, kata Ketua Antikuiti Mesir, Zahi Hawass kelmarin.

Makam firaun itu yang meninggal dunia lebih 3,000 tahun itu ditemui oleh ahli-ahli arkeologi British di Lembah Raja-Raja pada 1922.

Pada Ogos 2008, pihak berkuasa antikuiti itu menyatakan sampel DNA telah diambil daripada mumia Tutankhamun bagi menentukan sama ada firaun tersebut bapa kepada dua janin yang ditemui di dalam makamnya.

Tutankhamun menjadi firaun semasa berumur sembilan tahun dan punca kematiannya menjadi pertikaian ahli-ahli sejarah dengan sebahagian mereka menyatakan dia meninggal dunia disebabkan kecederaan pada satu kakinya.

Namun, beberapa ahli sejarah menyatakan dia dibunuh.

Teori yang mendakwa Tutankhamun dibunuh diperkukuhkan dengan fakta bahawa dia merupakan pemerintah terakhir daripada dinastinya.

Tutankhamun menjadi terkenal kerana penemuan harta karun di dalam makamnya termasuk topeng muka emas seberat 11 kilogram.

Pengunjung pub tengok bola sepak 3-D


SEJUMLAH pengunjung pub menyaksikan perlawanan bola sepak antara Arsenal dengan Manchester United dengan menggunakan cermin mata tiga dimensi di sebuah pub di London kelmarin.



MANCHESTER - Sejarah televisyen tercipta kelmarin apabila penonton-penonton menyaksikan perlawanan bola sepak pertama disiarkan dalam bentuk tiga dimensi (3-D) di sembilan buah pub di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Stesen penyiaran Sky Sports menyiarkan perlawanan antara kelab bola sepak Manchester United dengan Arsenal yang ditonton oleh pengunjung sembilan pub tersebut dengan menggunakan cermin mata 3-D.

"Saya telah menyaksikan kelab Arsenal bermain selama 60 tahun dan ini (menonton dengan menggunakan cermin mata 3-D) ini lebih baik.

"Pada kebiasaannya, saya tidak pergi ke pub untuk menyaksikan siaran bola sepak tetapi saya menimbangkannya untuk melakukannya jika ia disiarkan dalam bentuk 3-D," katanya yang berumur 71 tahun.

Seorang wanita, Laura Prylls dari London berkata: "Saya memakai cermin mata 3-D dan ia tidaklah terasa seperti tidak begitu selesa."

Stesen penyiaran itu telah memajukan sistem 3-D selama dua tahun.

Pada April ini stesen itu akan menyiarkan sepenuhnya perlawanan bola sepak dalam bentuk 3-D.

Isteri Kapten England larikan diri


PERRONCEL


LONDON - Kapten pasukan bola sepak England, John Terry di ambang perceraian selepas isterinya, Toni meninggalkannya setelah skandal seksnya dengan model dari Perancis, Vanessa Perroncel terbongkar, lapor sebuah akhbar semalam.

Tony, 28, memberitahu beberapa rakannya bahawa dia akan menceraikan Terry sebelum meninggalkan kediaman mereka yang berharga £4 juta (RM135.6 juta) di sini.

"Dia telah memalukan saya selama 10 tahun. Kini tidak lagi," kata wanita itu.


TERRY


Sekiranya mereka bercerai, kes tersebut menjadi antara penyelesaian perceraian termahal dalam sejarah ahli sukan Britain.

Wanita itu dilapor berhak menerima separuh daripada kekayaan suaminya yang dianggarkan mencecah £25 juta (RM85.3 juta)

Sumber yang rapat dengan keluarga mereka mendedahkan kelmarin bahawa Toni berlepas ke Dubai pada malam Sabtu lepas bersama anak kembar mereka dan ibu bapanya.


TONI


Kecurangan Terry, 29, terbongkar Jumaat lalu apabila seorang hakim Mahkamah Tinggi Britain menolak permohonan injunksi bagi melarang media mendedahkan skandal seksnya.

Perroncel, 28, yang juga seorang aktres, merupakan rakan rapat isterinya serta bekas teman wanita pemain pertahanan England, Wayne Bridge.

Ketika Terry dan Perroncel menjalinkan hubungan sulit, model seksi itu masih menjadi kekasih Bridge, 29.

Selain Perroncel, Terry yang kini bermain untuk pasukan Chelsea dan menerima gaji £170,000 (RM948,214) seminggu, turut didakwa menjalin hubungan sulit dengan beberapa wanita lain.

Dekat dengan pengguna

Pos-On-Wheel (POW) inovasi Pos Malaysia Berhad yang memberi khidmatnya kepada pengguna di kawasan sesak, tiada tempat meletak kereta dan jauh dari pejabat pos.



LOKASI yang jauh, tiada kemudahan meletak kereta, perlu beratur panjang dan kaunter yang terhad antara rungutan biasa dalam kalangan pengguna setiap kali mahu mendapatkan perkhidmatan Pos Malaysia.

Senario itu bukan sahaja menyukarkan malah seringkali membantutkan hasrat seseorang untuk mendapatkan perkhidmatan daripada Pos Malaysia. Justeru, ramai yang menunda urusan yang dirancang.

Lalu ramai yang membayangkan alangkah baiknya jika pejabat pos bergerak dan muncul di sekitar kediaman mereka untuk memudahkan urusan.

Impian ramai pengguna itu mungkin bukan lagi tinggal mimpi. Sebaliknya, Pos Malaysia Berhad (PMB). merealisasikan impian para pengguna dengan memperkenalkan Pos-On-Wheel (POW) atau Pejabat Pos Bergerak yang dijangka memulakan operasi awal Februari 2010.

Kenderaan POW seperti sebuah van biasa sahaja. Ia berwarna putih dan merah dengan logo Pos Malaysia terpapar di ruang depan dan sisinya.

Begitupun, model van Weststar LDV itu telah diubahsuai dengan kos yang mencecah hampir RM300,000. Semua itu dilakukan bagi membolehkannya mencapai kapasiti seperti sebuah pejabat pos konvensional.

Tidak seperti ruang kabin kenderaan biasa, ia dilengkapi dengan peralatan untuk melaksanakan urusan perkhidmatan pos seperti komputer peribadi (PC), komputer pelayan, mesin pencetak, alat penimbang, kerusi pejabat dan lain-lain lagi.


VAN Pos-On-Wheel yang bakal beroperasi pada awal bulan Februari ini akan menjadi inovasi terbaru Pos Malaysia Berhad.

Di atas bumbung van berkenaan juga dipasang teknologi komunikasi satelit bagi melancarkan transaksi dan operasi dalam talian.

Sebagai langkah pengurangan kos operasi berkaitan tenaga kerja, perkhidmatan POW hanya dikendalikan oleh dua orang petugas Pos Malaysia Berhad (PMB). Dua orang petugas itu akan mengendalikan operasi yang bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari kecuali hujung minggu dan cuti am.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh POW merangkumi pembelian setem, pembayaran bil, penghantaran bungkusan tempatan, urus niaga wang (wang pos dan kiriman kos), penghantaran barangan Poslaju, insurans, pembaharuan lesen memandu, cukai jalan dan pelaburan dana.

Ketua Pegawai Operasi Posniaga PMB, Datuk Mearia Hamzah berkata, POW membolehkan PMB memperluas dan memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan.

"Kita perlu memperbaharui perkhidmatan sedia ada dengan mendekati para pelanggan dan salah satu cara untuk mendekati mereka adalah dengan POW," ujar beliau tentang kenderaan yang boleh sampai ke beberapa destinasi dalam masa sehari itu.

Mearia berkata, perkhidmatan itu akan disediakan secara berjadual mengikut lokasi. Keutamaannya adalah tempat yang sesak dan tidak mempunyai perkhidmatan pos.

Sebagai perancangan awal, PMB menyasarkan satu unit POW di setiap negeri di seluruh negara.


KENDERAAN yang ditunggu-tunggu oleh seluruh warga Malaysia untuk pelbagai urusan.

"Tahun ini PMB menyasarkan tujuh lagi unit bakal beroperasi dan ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat," jelas beliau.

Seorang pengguna, Fariz Aziz, 28, berkata, perkhidmatan POW yang diperkenalkan oleh PMB adalah sejajar dengan peredaran zaman dan permintaan pelanggan masa kini.

"Kini pelanggan PMB tidak perlu lagi ke pejabat pos tetapi mereka boleh mendapatkan perkhidmatan yang sama dengan mengunjungi POW di lokasi-lokasi terpilih yang berdekatan dengan kediaman mereka.

Sambutan

"Pendekatan ini sedikit sebanyak memudahkan pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan PMB. Maklumlah, masyarakat sekarang sibuk dengan pelbagai urusan seharian," katanya.

Fariz menambah, perkhidmatan transaksi dalam talian yang disediakan POW juga dijangka mendapat sambutan daripada orang ramai.

Katanya, orang ramai bukan sekadar hanya ingin membeli setem ataupun mengepos surat, tetapi turut mengunjunginya untuk tujuan memperbaharui insurans, lesen memandu dan cukai jalan.


PEJABAT pos bergerak akan masuk ke lokasi-lokasi terpilih.

Seorang lagi pengguna, P. Sivashamugam, 35, menambah, POW merupakan satu langkah baru dalam mendekatkan perkhidmatan pos dengan orang ramai.

"Saya tidak sabar melihat keberkesanan perkhidmatan baru ini. Saya berharap ia dapat memudahkan lagi pelanggan-pelanggan dalam menjalankan urusan dengan PMB," katanya.

Bagi pekerja swasta, Norzilawati Mohd. Noor, 23, perkhidmatan POW merupakan satu berita gembira khususnya kepada penduduk di luar bandar.

"Mereka tidak perlu lagi ke pejabat pos di bandar kerana operasi perkhidmatan POW berjadual akan sampai ke kawasan mereka. Bahkan, perkhidmatan pembayaran bil dan pelaburan dana pasti mendapat sambutan," katanya.

Mengimbau sejarah Pos Malaysia, penubuhan perkhidmatan pos pertama adalah di Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) seawal 1800. Menjelang awal kurun ke-20, perkhidmatan pos telah meliputi di seluruh Malaya.




Berbanding perkhidmatan setem pos berbayar pada masa kini, surat-surat pada era itu disampaikan melalui penghantar surat atau utusan khas.

Bayaran perkhidmatan pula dikutip apabila surat-surat dihantar ke pejabat pos dan resit akan dikeluarkan.

Sistem itu telah mengalami perubahan apabila setem-setem India yang mempunyai cetakan mahkota dan setem-setem Negeri-Negeri Selat yang bertanda dolar serta sen diperkenalkan pada 1867.

Bermula sebagai satu saluran penghantaran surat, dokumen akhbar dan perniagaan, perkhidmatan pos telah mengembangkan perkhidmatannya kepada masyarakat negara ini.

Dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Pos, ia mula mengambil alih pelbagai perkhidmatan bagi agensi-agensi kerajaan seperti penghantaran bungkusan, pendaftaran, insurans, urus niaga wang (wang pos dan kiriman pos) serta pelaburan dana (Simpanan Bank Pejabat Pos).

Ia dimulakan dengan mengutip bayaran bil elektrik, jualan lesen anjing, bayaran pencen, jualan lesen televisyen dan sebagainya.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 1957, Malaysia memulakan penyertaan secara aktif dalam pertubuhan antarabangsa agar seiring dengan pembangunan sosial dan ekonomi.

Antara lain, ia menjadi ahli Kesatuan Pos Sejagat (UPU) pada 17 Januari 1958. Sejak menyertainya, Malaysia menjadi ahli yang dinamik sehingga ke hari ini.

Setelah negara melangkah ke abad 21, perkhidmatan pos di Malaysia dikenali sebagai PMB terus berusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan dan keperluan pasaran yang sering berubah.

Inovasi terbaru POW itu diharap dapat memperluaskan serta mendekatkan lagi perkhidmatan PMB kepada orang ramai yang memerlukan satu perkhidmatan efisien, mudah dan berkesan.

Selusur rintihan yang terpendam

Terjemahan menjadi satu sisi penting pengembangan mana-mana kerja sastera di dunia. Rintihan Terpendam antara karya terjemahan yang mengungkap kisah penuh bermakna sasterawan Jepun.


KENZABURO OE penerima Hadiah Nobel pada tahun 1994.

"SASTERAWAN dengan bahasanya menciptakan sastera nasional. Sastera dunia diciptakan oleh penterjemah."

Kata-kata itu adalah petikan daripada seorang penerima Hadiah Nobel yang juga merupakan penulis dan novelis tersohor dari Portugal, Jose Saramago. Dia mungkin menyatakan perkara berkenaan selepas menyandang gelaran berkenaan yang diterima pada tahun 1998.

Apakah yang paling ketara terkandung di sebalik pernyataan yang boleh juga dilihat sebagai sebuah hasrat berkenaan? Saramago memberikan isyarat yang jelas iaitu sepenting mana pun sesebuah karya itu ia tidak menjadi penting sekiranya kerja-kerja berkenaan tidak dapat dinikmati oleh skop audiens yang lebih luas.

Dalam konteks itu kita memahami satu perkara, terjemahan menjadi satu sisi penting pengembangan mana-mana kerja sastera di dunia. Daripada kenyataan Saramago itu ternyata kerja terjemahanlah yang memungkinkan kewujudan sesebuah judul itu menjadi lebih relevan dan diberi perhatian kelompok di luar penutur bahasa yang sama dengan penulisnya.

Hal itu misalnya disedari oleh khalayak sastera Indonesia. Judul-judul baru dan penting buku-buku antarabangsa dengan cepat akan diterjemah ke dalam bahasa Indonesia. Ini membuka spektrum pembacaan yang lebih luas untuk masyarakat setempat di sana dan juga khalayak sastera serantau. Apabila buku The Silent Cry diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu Rintihan Terpendam, ia memberi peluang kepada lebih banyak pembaca di negara ini memahami isi hati penulisnya Kenzaburo Oe.

Penulis Jepun itu juga sebenarnya ialah penerima Hadiah Nobel 1994. Rintihan Terpendam merupakan judul tulisan beliau yang paling diingati. Ia membawa pembaca untuk kembali ke latar tempat di mana Oe membesar, dengan kisah-kisah dan imaginasi yang berjejak kepada permasalahan serta pengaruh budaya masyarakat Jepun dari sudut pandangannya.

Pada tahun 1935, Oe dilahirkan di sebuah kampung terpencil di dalam kawasan hutan kepulauan Shikoku. Secara tradisinya, generasi keluarga besar Oe belum pernah meninggalkan tanah tradisi mereka itu untuk meneruskan kehidupan.

Daripada latar suasana itulah Rintihan Terpendam digarap. Sejak mula menulis pada 1957 ketika masih lagi menuntut Kursus Kesusateraan Perancis di Universiti Tokyo, The Silent Cry yang pertama kali diterbitkan pada 1967 disifatkan sebagai penulisan skala besar Oe yang memaparkan pergolakan jiwa dan budaya watak-watak yang diciptakan.

Ia bercerita tentang watak-wataknya yang bermasalah; dua beradik yang menjalani kehidupan berbeza. Si abang yang berdepan dengan pelbagai krisis kehidupan dan rumah tangga kerana tidak mahu menjaga anaknya yang cacat manakala si adik yang baru pulang dari Amerika Syarikat (AS) juga punya pergolakan tersendiri. Dalam proses mencari penyelesaian itu mereka kembali semula ke kampung asal keluarga mereka di Shikoku.


BUKU ini mengisahkan dua adik-beradik yang mempunyai pergolakan berbeza tetapi disatukan dalam satu budaya.

Oe kemudiannya menekankan elemen-elemen pertentangan budaya. Pengaruh AS membangunkan kesedaran sosio budaya setempat sedikit-sebanyak diberi perhatian oleh Oe melalui watak-wataknya.

Insiden-insiden tragik yang memulakan naratif buku itu dengan sendiri seperti memberi isyarat kepada bagaimana kehidupan manusia menempuh tempoh proses pemodenan terus menjadi relevan, walaupun dilihat dengan teropong kehidupan hari ini.

Rintihan Terpendam dibuka dengan ayat-ayat diskriptif naratornya yang juga watak utama dalam novel itu. Ia dimulakan dengan kegelapan mencerminkan rasa putus asa dengan hidup.

Kegelapan dunia yang separuhnya dijelaskan perlahan-lahan, yang mengakibatkan matanya buta sebelah. Watak itu seterusnya mengadu nasib tentang kehodohan diri dan terbawa-bawa dengan perasaan itu.

Kepedihan untuk menghadapi realiti naratornya; berusia 27 tahun, berkahwin, anak cacat dan kebangkitan nafsu yang membuak-buak untuk didengari. Dia mencari cahaya cerah, untuk melanjutkan kehidupan dalam latar seperti yang digambarkan itu.

Kepunahan semangat yang diceritakan kemudian menjadi pemangkin kepada sebuah gaya penulisan besar dengan cara Oe.

Dia melanjutkan keresahan, kecerewetan dan pemerhatian tentang sejarah diri dan kelompok.


SHIKOKU iaitu kampung Kenzaburo Oe menjadi lokasi latar belakang bukunya.

Watak itu bertubi-tubi diasak dengan dugaan merimaskan yang menguji ketahanan mental dan emosi. Ini yang disebabkan gaya penyampaian Oe yang tenang walaupun sedang berbicara tentang hal yang cemas akan menelusuri sama ke dalam emosi pembaca.

Kita akan melihat perlahan-lahan isi di sebalik kulit novel versi bahasa Melayu itu yang dipermukaan luar kerap menimbulkan rasa janggal kerana pertembungan gaya bahasa penterjemah.

Terjemahan itu diambil dan dialih bahasa daripada versi Inggeris novel berkenaan, yang diterbitkan oleh Kodansha Ltd.

Oleh kerana tajuk-tajuk buku yang popular tidak semestinya mengandung rasa dan pengalaman yang sama penting dengan buku itu ia menyebabkan tidak banyak perhatian diberikan kepada penulis Jepun berkenaan. Dengan adanya edisi terjemahan dalam bahasa Malaysia itu seharusnya ia menjadi antara tanda aras kepada kesediaan khalayak pembaca untuk terus mencari dan merasakan pengalaman-pengalaman lain seperti yang terdapat dalam buku-buku besar tulisan pengarang tersohor dunia.

Populariti pelancongan gay


NEPAL mahu mengangkat industri pelancongannya tanpa menidakkan hak golongan gay.

IA mungkin kedengaran pelik di sebuah negara yang masih tertutup dan tebal dengan kepercayaan tabu. Tahun ini Nepal akan menyaksikan sebuah perkahwinan diraja yang agak berbeza apabila seorang kerabat diraja India akan berkahwin dengan pasangannya di sebuah kuil Hindu di Kathmandu.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Nepal, putera raja itu berkahwin secara terbuka dengan seorang lelaki.

Acara tersebut merupakan satu permulaan yang dipercayai oleh penggubal undang-undang Nepal, Sunil Babu Pant akan mendatangkan bisnes yang menguntungkan kepada Nepal.

Pant percaya program tersebut dapat melonjakkan industri pelancongan Nepal yang selama ini terumbang-ambing ekoran perang sivil yang berakhir pada 2006.

Pant merupakan satu-satunya Ahli Parlimen yang mengamalkan gaya hidup gay telah menubuhkan sebuah agensi pelancongan untuk pelancong homoseksual yang menurutnya didiskriminasi di kebanyakan negara Asia.

Pant percaya Nepal yang agak terbuka mengenai isu gay mampu menjana pendapatan bernilai AS$670 juta (RM2.3 bilion) daripada pasaran dunia.

"Jika kami dapat membawa satu peratus daripada pasaran tersebut ke Nepal ia sudah memadai, tapi saya berharap kami dapat menarik sepuluh peratus.

"Pilihan untuk pelancongan gay dalam rantau ini sangat terhad dan tiada saingan dari India atau China. Nepal merupakan salah satu tempat di mana pelancongan pengembaraan boleh didapati," kata Pant yang telah dipilih mewakili satu parti komunis di parlimen.


SUNIL BABU PANT


Pant memberitahu, dia amat teruja sejak menubuhkan agensi pelancongan tersebut, Pink Mountain.

Syarikat tersebut menawarkan lawatan bertemakan gay ke tempat-tempat pelancongan utama Nepal termasuk kuil Hindu yang terdapat ukiran tuhan Shiva separuh wanita dan separuh lelaki.

Rancangan Pant juga mendapat sokongan daripada Kementerian Perlancongan Nepal yang merupakan sebuah negara Hindu konservatif dan mempunyai polisi progresif mengenai homoseksual di Asia.

Dua tahun lepas Mahkamah Tinggi negara tersebut telah mengarahkan kerajaan menggubal undang-undang bagi memastikan hak golongan gay dan lesbian terbela selepas sebuah kumpulan yang diketuai oleh Pant, Blue Diamond Society menyerahkan satu petisyen.

Cetuskan publisiti

Perlembagaan baru sedang didrafkan oleh penggubal undang-undang yang diharapkan dapat mendefinisikan perkahwinan sebagai satu ikatan di antara dua orang dewasa tanpa menghiraukan gender sekali gus menghapuskan diskriminasi terhadap gender.

Setiausaha bersama Kementerian Pelancongan Nepal memberitahu, kerajaan tidak mempunyai polisi yang spesifik terhadap pelancongan gay tetapi mereka menyokong usaha Pant.

"Kerajaan telah mengumumkan misinya untuk menarik satu juta pelancong ke Nepal pada 2011. Ia merupakan peningkatan yang ketara.

"Nepal merupakan destinasi yang selamat sekarang. Kami mahu membangunkan destinasi pelancongan yang baru dan mendapatkan pelancong selepas perang sivil," katanya.


NEPAL sebuah negara yang kaya dengan pelbagai tarikan semula jadi.

Pada tahun 2009 sebanyak 500,000 pelancong asing telah mengunjungi Nepal. Perkahwinan putera India Manvendra Singh Gohil, kerabat diraja yang pernah memerintah Rajpipla di barat Gujarat, dilihat telah mencetuskan publisiti yang amat diperlukan oleh industri pelancongan Nepal.

Pant percaya selepas melangsungkan upacara perkahwinan pasangan lesbian dari Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) di Mustang, Himalaya banyak lagi acara dan pelancong datang ke Nepal.

Pant terdorong untuk meningkatkan ekonomi Nepal dan berharap inisiatif itu dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat marginal di negara miskin itu.

"Kebanyakan pakar kecantikan dan pendandan rambut terbaik di Nepal adalah daripada komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Mereka terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan sukar mendapat pekerjaan. Justeru, perkahwinan gay merupakan satu usaha yang membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak iaitu golongan tersebut dan kerajaan," katanya.

Bangga jaga taman kota

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ke-36 pada hari ini cukup bermakna kepada para pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang selama ini berusaha mencantikkan ibu negara Malaysia itu dengan menanam dan menjaga pelbagai pokok bunga.



TANGANNYA memegang erat sebatang penyapu, gunting pokok dan cangkul untuk digunakan semasa bekerja. Daripada lagaknya pemuda yang leka menanam pokok-pokok bunga di Taman Tasik Perdana itu baru berusia 22 tahun.

Sebagai Pembantu Am Rendah Bahagian Taman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd. Azrul Bahagia tidak kisah untuk memikul beban kerja yang mungkin tidak pernah terlintas di fikiran kebanyakan anak muda.

Maklumlah pekerjaan itu tidak memberinya peluang untuk berpenampilan segak bergaya, glamor atau berada di dalam pejabat berhawa dingin. Meskipun tidak berpeluang menikmati dunia kerjaya elit seperti anak-anak muda lain, Azrul tidak pernah sekali pun malu dengan pekerjaannya itu.

Bahkah dia seronok dan tidak sedikit pun terlintas di fikirannya pekerjaan itu tidak sehebat bidang-bidang lain.

"Walaupun usia saya masih muda tetapi saya tidak malu mengaku bahawa pekerjaan yang saya ceburi ini amat membanggakan. Saya bukannya mencuri tetapi rezeki yang saya terima setiap tahun adalah rezeki yang halal.

"Itulah matlamat saya apabila memilih untuk bersama DBKL," akuinya ketika ditemui di sekitar Dataran Merdeka baru-baru ini.


TAMAN-TAMAN yang terdapat di Kuala Lumpur dimanfaatkan oleh warga kota sebagai tempat riadah.

Tidak memilih untuk meneruskan pengajian setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak ketiga daripada 12 beradik itu nekad bekerja supaya dapat meringankan tanggungan orang tuanya.

Justeru, cara terbaik yang dilakukan Azrul ialah berpindah ke Kuala Lumpur yang dianggap sebagai lubuk rezeki.

Berasal dari Kampung Gajah, Perak, Azrul menjejak kaki di ibu kota dua tahun yang lalu. Menumpang teduh di rumah bapa saudara, Azrul sedikit pun tidak pernah melihat kehidupannya akan dikongkong oleh bapa saudaranya.

Malah, dia menarik nafas lega kerana sekurang-kurang dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan.

"Gaji yang saya terima mungkin tidak seberapa tetapi ia cukup untuk sara diri, sedikit simpanan dan diberi kepada orang tua," ujarnya. Azrul yang baru setahun berkhidmat dengan DBKL, memulakan rutin hariannya pada pukul 7.30 pagi sehingga 4.30 petang setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad.

Azrul akan keluar rumah seawal pukul 6.30 pagi akan terus ke stor di Jalan Cendarasari, Kuala Lumpur untuk menerima arahan penyelia bagi agihan tugas yang perlu dilaksanakan.

Tiada masalah

Biasanya, Azrul akan bergerak secara berkumpulan untuk mencantikkan seluruh taman di sekitar ibu kota. Setiap hari rutin kerjanya adalah menggunting pokok bunga, membersihkan halaman atau menanam pokok-pokok bunga baru.

Sepanjang memikul tugas itu, dia tidak pernah berdepan dengan masalah besar kerana pengalaman di kampung membantu bapanya di kebun.

"Kerja menanam pokok sudah biasa dalam diri saya, lagipun ayah saya ada dusun. Setakat kerja-kerja macam ini saya anggap ia tugas yang mudah," jelasnya sambil menggemburkan tanah.

Menurut Azrul, walaupun terpaksa berdepan dengan hujan dan panas terik, itu tidak menjadi masalah kepadanya. Malah, disebabkan kerjanya dilakukan secara berkumpulan, ia membuatkan Azrul rasa lebih selesa.

Tunjuk ajar daripada pekerja yang lebih berpengalaman menjadikan Azrul lebih gembira untuk bekerja setiap hari.

"Kalau hujan lebat memang kerja tergendala seketika. Tetapi kalau setakat hujan rintik-rintik biasanya kami akan teruskan juga kerana kerja siap cepat maka saya juga yang senang," terangnya.


DARI kiri: Periasamy, dan Azrul melakukan tugas mencantas pokok sambil dipantau oleh Muhammad Khuzairi (mencangkung).




Di samping itu, kursus dan latihan turut diberikan kepada setiap kakitangan yang memfokuskan aspek pertanian. Adakah apa yang diusahakannya selama ini benar-benar memuaskan hati Azrul?

Azrul menjelaskan, disebabkan tidak ramai remaja yang bersedia melakukan pekerjaan itu dia berasa sangat berbangga dengan tugas tersebut.

Tambahan pula, mengindahkan bandar raya Kuala Lumpur merupakan tugas besar dalam negara.

"Bila saya lalu di kawasan yang saya jaga, hati ketika itu memang cukup bangga. Hati kecil saya akan berkata, inilah hasil titik peluh aku kepada negara. Walaupun orang tidak dapat menilainya tetapi saya amat puas hati.

"Sekurang-kurangnya ada juga rasa tanggungjawab kepada negara," akuinya sambil tersenyum.

Lain pula cerita yang dikongsikan oleh rakan sekerja Azrul, Periasamy M. Andy, 54. Beliau berkhidmat menguruskan beberapa taman DBKL sejak 31 tahun lalu.

Tempoh itu sebenarnya terlalu lama dan apa yang membuatkan dia kekal dengan pekerjaan itu ialah kerana keselesaan.

Dia yang pernah bekerja di tapak pembinaan sebelum ini mengakui naluri cukup serasi dengan tumbuhan hijau. Disebabkan faktor di tapak binaan lebih teruk berbanding bekerja dikelilingi tumbuh-tumbuhan, Periasamy tidak merasakan kerjanya itu sesuatu yang membebankan.

"Kerja di tapak pembinaan memang teruk. Pekerja perlu betul-betul kuat, duduk di tengah panas, habuk dan sebagainya. Sekarang ini jaga taman lagi mudah, saya dikelilingi pokok-pokok bunga dan hati pun senang," jelasnya.

Bapa kepada dua orang cahaya mata itu menyifatkan perubahan zaman turut menjadikan kerjayanya semakin mudah.

Ketika dia mula bekerja pada 1978, setiap pekerja perlu bekerja keras untuk melakukan proses menggali tanah.

Ketika itu, Periasamy yang berasal dari Kuala Lumpur terpaksa menggunakan peralatan seperti cangkul. Hari ini senarionya juga telah berubah.

"Sekarang kita pakai mesin jadi kerja senang. Bayangkan dulu kalau hendak tanam pokok bunga yang besar memang kami akan runsing sebab kita perlu menggali tanah secara manual," terangnya.


PERIASAMY (kiri) dan Azrul seronok dengan kerja-kerja mencantikkan taman di sekitar Kuala Lumpur.

Sepanjang berkhidmat dengan DBKL, Periasamy pernah ditugaskan menjaga keseluruhan kawasan Taman Tasik Perdana selama sepuluh tahun dan Taman Tasik Titiwangsa selama dua dekad. Kini, tenaganya itu diperlukan untuk menjaga kebersihan di sekitar Dataran Merdeka, Masjid Jamek dan Bank Negara.

Hari ini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ke-36, Azrul dan Periasamy antara individu yang paling sibuk di ibu kota sejak empat minggu lalu.

Semua itu dilakukan bagi memastikan bandar raya Kuala Lumpur ceria dan bersih dengan bunga-bunga berwarna-warni. Mereka akan bekerja sehari suntuk hingga awal dinihari.

Sementara itu, Penyelia Pertanian DBKL Bahagian Taman, Muhammad Khuzairi Abdul Manaf menjelaskan, sebulan sebelum menyambut Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setiap pekerja dikerahkan untuk bekerja lebih masa.

Mereka diberi kelonggaran untuk berehat beberapa jam pada sebelah petang dan menyambung semula kerja pada pukul 8 malam sehingga pukul 1 pagi.

"Selalunya pada masa itu mereka akan melakukan kerja dengan menggunakan bahu jalan atau di tengah-tengah laluan kedua-dua arah lalu lintas. Waktu itu dipilih kerana kereta pun kurang.

"Selalunya apa yang mereka lakukan ialah bukan membersihkan kawasan tetapi menggantikan pokok baru," katanya yang sudah berkhidmat selama 28 tahun dengan DBKL.