Wednesday, April 1, 2009

Mahu jadi Batman


CHACE CRAWFORD


CHACE CRAWFORD mengakui dia begitu teringin untuk melakonkan watak Batman yang pernah dilakonkan oleh Val Kilmer, George Clooney dan Christian Bale.

Pelakon siri TV popular, Gossip Girls berusia 23 tahun itu berkata: "Saya memang mahu terjun ke layar perak. Gossip Girls merupakan batu loncatan bagi saya untuk mengembangkan lagi bakat lakonan ke layar perak. Dan kalau boleh, saya mahu sangat melakonkan watak Batman dan wataknya ketika menjadi manusia iaitu Bruce Wayne."

Dalam pada itu, Crawford mendakwa penglibatannya sebagai pelakon Gossip Girls telah membuka jalan buatnya untuk mengaitkan dirinya dengan Bruce Wayne.

"Entahlah, tapi saya berasa cukup dekat dengan watak Bruce Wayne. Harap-harap impian saya itu akan tercapai," tegasnya

Bakal pengantin mabuk?


ANNA FARIS dan kekasihnya, Chris Pratt.


ANNA FARIS mahu melakukan suatu kelainan pada majlis perkahwinannya nanti. Menurut pelakon siri filem Scary Movie itu dia mahu melambakkan majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada hujung tahun ini dengan banyak botol arak.

Anna yang mengikat tali pertunangan dengan pelakon Chris Pratt pada Januari lalu hanya mahukan sebuah majlis perkahwinan yang dijalankan secara kecil-kecilan tetapi lengkap dengan koktel arak dari jenis margarita.

Katanya: "Kami bercadang mahu berkahwin pada penghujung tahun ini, tetapi kami masih memikirkan mengenainya. Saya tak mahu majlis besar-besaran.

"Saya ada rakan baik yang baru melangsungkan perkahwinan dan pengiring pengantin sahaja sudah berjumlah 13 orang. Saya tak mahu seperti itu. Ia bukan apa yang saya mahukan. Tapi yang penting, saya mahu menghidangkan margarita dalam jumlah yang banyak."

Aktres berusia 32 tahun itu juga mengakui dia tidak mahu tergesa-gesa berkahwin selepas gagal dalam perkahwinan pertamanya dengan aktor Ben Indra.

"Kali ini, saya mahu lakukannya (proses perkahwinan) dengan perlahan. Saya dan Chris berbincang dari hati ke hati dan tidak mahu perkahwinan kami itu berlaku dalam keadaan kelam-kabut dan tanpa perancangan rapi," ujarnya.

Awas bila berumur 30 tahun - Berisiko dapat penyakit berbahaya jika tidak amal hidup sihat







KUALA LUMPUR - Bagi mereka yang berumur 30 tahun ke atas berhatilah-hatilah kerana anda mungkin terdedah kepada risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Justeru, pemeriksaan awal amat penting kepada golongan umur berkenaan bagi memastikan tahap kesihatan mereka dan seterusnya menjalani rawatan pemulihan yang disarankan.

Pakar diet dan nutrisi Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. Fatimah Arshad berkata, beliau dan beberapa penyelidik lain pernah menjalankan kajian yang sama di beberapa gugusan Felda di Pahang sebelum ini membabitkan 1,000 responden berumur antara 35 dan 55 tahun.

"Kesemua responden yang diambil merupakan individu yang dianggap sihat, bagaimanapun selepas pemeriksaan didapati satu per-tiga daripada mereka menunjukkan tanda-tanda menghidap penyakit sedemikian.

"Ini amat mengejutkan, memandangkan kebanyakan responden merupakan golongan yang aktif melakukan kerja-kerja di ladang dan sebagainya," katanya di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad bahawa tinjauan yang dilakukan kementerian mendapati ramai di kalangan rakyat di negara ini tidak menyedari bahawa mereka adalah penghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Tambah Fatimah, sebagai langkah awal adalah disarankan mereka yang berusia 30 tahun ke atas menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan risiko terhadapnya dapat dikurangkan.

2 wanita miliki DVD, VCD didenda RM1.04j


CHOOI FUN (belakang) dan Shuk Kuen (depan) yang masing-masing didenda RM1.04 juta oleh Mahkamah Seksyen Shah Alam semalam kerana memiliki VCD dan DVD cetak rompak.


SHAH ALAM - Seorang wanita hamil dan rakannya yang merupakan ibu kepada seorang bayi berusia enam bulan tercengang sebelum mengalirkan air mata selepas Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhi hukuman denda RM1.04 juta bagi setiap seorang.

Kedua-dua wanita muda itu didenda selepas mereka didapati bersalah memiliki 520 keping cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak empat tahun lalu.

Hakim Azimah Omar turut memerintahkan Wong Chooi Fun, 27, yang hamil lima bulan dan Ng Shuk Kuen, 27, dipenjara lima bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan wang denda tersebut.

Azimah semasa membaca keputusan itu berkata, beliau menjatuhkan hukuman berat itu kerana tidak mahu Malaysia dilihat tidak serius dalam memerangi gejala cetak rompak.

"Kita tidak mahu negara kita dikatakan tidak serius dalam menangani kes cetak rompak dan kita juga tidak mahu negara kita dipanggil sebagai pusat pelanggaran hak cipta," kata Azimah.

Kedua-dua wanita itu melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Maxwell, Rawang, pada pukul 6.15 petang, 23 Disember 2005.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 41 (1)(d) Akta Hakcipta 1987 dan dihukum mengikut Seksyen 41 (1)(i) Akta Hakcipta 2003 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Azimah lagi, mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam melebihi kepentingan kedua-dua tertuduh walaupun seorang daripada mereka sedang hamil.

Pulang selepas setahun ditahan


SITI Aishah dibebaskan hukuman penjara tiba di KLIA semalam. Turut kelihatan suaminya Jaafar (bersongkok kanan).



KERATAN Kosmo! 30 Mei 2008.


SEPANG - Suasana sedih bercampur gembira menyelubungi ahli keluarga wanita kurang upaya (OKU), Siti Aishah Hamid, 43, yang dibebas daripada tuduhan membawa dadah oleh mahkamah di Karachi, Pakistan sebaik dia melangkah masuk ke balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Kepulangan Siti Aishah berusia 44 tahun itu turut disambut oleh suaminya, Jaafar Noor, 44, serta beberapa ahli keluarga lain.

Siti Aishah tiba dari Karachi ke KLIA pukul 7 pagi selepas menempuh perjalanan selama enam jam.

Turut menyambut kepulangan wanita itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bayan Baru, Norman Zahalan dan beberapa pegawai dari Wisma Putra.

Sebaik tiba, Siti Aishah terus dibawa ke sebuah bilik khas oleh sepasukan polis dari Jabatan Narkotik Bukit Aman untuk direkod keterangan.

Jaafar berkata, dia bersyukur kerana Siti Aishah pulang dengan selamat selepas melalui episod malang selama hampir setahun selepas ditahan pihak berkuasa Pakistan pada 24 April tahun lalu.

"Syukurlah sebab dia (Siti Aishah) sudah balik," kata beliau.

Siti Aishah bagaimanapun ketika ditemui selepas hampir empat jam keterangannya diambil polis enggan ditemu bual.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Siti Aishah telah ditahan di Karachi, Pakistan selepas pihak negara itu menemui bungkusan heroin seberat 950 gram yang tersorok pada sisi sebuah beg mekap milik wanita itu.

Bagaimanapun, mahkamah di Pakistan baru-baru ini membuat keputusan Siti Aishah didapati tidak bersalah kerana menjadi mangsa penipuan pihak tertentu.

Siti Aishah yang menghidap penyakit tulang rapuh (SLE) dipercayai terpedaya dengan taktik menawarkan hadiah berupa pakej melancong ke Singapura menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Haliza tidak mahu berlakon


MASIH solo... Pada usia mencecah 36 tahun, Haliza masih belum bersedia bergelar isteri.


KALAU sudah namanya artis, apa sahaja yang dilakukan sama ada baik atau tidak pasti menjadi perhatian dan bualan umum. Justeru, sedikit kesalahan yang dilakukan kalau tidak kena gaya tentu sahaja mengundang pelbagai kata nista sebagai habuan.

Benar atau tidak, segala tohmahan yang dilemparkan hanya yang empunya diri lebih mengetahui dan bagi aktres yang cukup terkenal dengan sikap degil dan keras kepala, Haliza Misbun,36, katalah apa sahaja terhadap dirinya, namun melatah tidak sekali.

Dia yang mula mencuri tumpuan penonton menerusi filem Abang 92 pada tahun 1992 bagaikan sudah lali dilambakkan dengan pelbagai gosip.

Selepas satu isu, timbul pula isu lain yang terpaksa ditempuhi. Bagaimanapun, menariknya tentang anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini,dia tidak pernah mengamuk tidak tentu pasal biarpun kadangkala cerita-cerita negatif yang digembar-gemburkan mengguris hatinya.

Kebelakangan ini, kelibat Haliza jarang sekali dilihat beraksi dalam mana-mana drama mahupun filem tempatan.

Bukan merajuk jauh sekali cuba mengelakkan diri, tetapi Haliza lebih selesa melakukan tugas-tugas di belakang tabir sebagai pengarah dan penerbit.

Ketika ditemui pada sidang media pelancaran dokumentari terbaru arahannya, Jelajah Kasih di Restoran Bora Ombak baru-baru ini, pelakon yang sudah menghambakan diri dalam bidang lakonan sejak 17 tahun lalu itu memutuskan untuk tidak lagi aktif sebagai pelakon.

Dia sebaliknya mahu lebih fokus terhadap kerja-kerja pengarahan dan penerbitan pelbagai program televisyen.

"Saya sudah lama berlakon. Bermula tahun 1992 sehingga kini, sudah 17 tahun berlakon. Kini saya rasa sudah sampai masanya saya perlahankan aktiviti lakonan.

"Memandangkan saya sekarang sudah ada syarikat produksi sendiri (Helle Pictures (M) Sdn. Bhd.), saya mahu tumpukan kepada kerja-kerja di belakang tabir pula.

"Bagaimanapun, itu bukan bermakna saya tidak mahu berlakon langsung selepas ini, saya akan berlakon tetapi kena memilih.

"Tidak lama lagi saya bakal muncul dalam tiga telemovie dan ketiga-tiganya adalah antara lakonan saya yang terakhir," kata heroin siri Cinderella yang pernah ditayangkan di TV3 tidak lama dulu itu.

Selepas berjaya menerbitkan 13 episod dokumentari, Jurnal Kembara Eropah yang ditayangkan di RTM, Haliza dan krewnya bakal bertolak ke Australia awal Mei ini bagi meneruskan pengambaran siri jelajah musim keduanya, Jurnal Kembara Australia.

Sebuah lagi dokumentari arahan Haliza yang bakal menemui penonton setia TV1 ialah dokumentari terbitan Eurofine (M) Sdn. Bhd., Jelajah Kasih.

Bercerita tentang dokumentari tersebut, kata Haliza, pengisiannya meliputi perjalanan pencarian keluarga dan saudara mara kanak-kanak Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim).

Bersama pengasasnya Norlina Alawi, selama hampir dua bulan bermula 5 Disember tahun lalu, krew Jelajah Kasih menjejaki keluarga kanak-kanak Pernim.

Antara negeri-negeri yang mereka kunjungi termasuklah Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Menurut Haliza, Jelajah Kasih diterbitkan bagi membuang tanggapan serong masyarakat yang sering memandang jijik terhadap para pesakit HIV selain sebagai medium pembelajaran kepada umum dalam menyelami isi hati para pengidap penyakit tersebut.

"Walaupun pernah mengarahkan program dokumentari sebelum ini, tetapi saya masih lagi tercari-cari peluang untuk melakukan sesuatu yang baru di luar bidang saya.

"Ada juga cita-cita sebelum ini untuk buat sesuatu program berbentuk kebajikan dan Jelajah Kasih membuka jalan untuk saya. Sesuatu perubahan yang saya rasakan dalam diri saya sekarang ialah semakin tenang berbanding sebelum ini.

"Melihatkan ketabahan kanak-kanak memerangi penyakit dalam program ini mengajar saya erti bersyukur, insya-Allah, jika diberi peluang untuk buat lagi program berbentuk kebajikan seperti ini memang saya mahu cuba," kata Haliza lagi.

Jelajah Kasih bakal bersiaran mulai 27 April ini di TV1, setiap Isnin pukul 11 pagi.

Selain dokumentari, Haliza kini dalam proses menyiapkan tiga telemovie lakonannya termasuk dua telemovie arahan Murali iaitu Bangkitnya Aku dan sebuah kisah komedi, Bedah Siasat. Satu lagi telemovie adalah arahan Pierre Andre iaitu Sophilea.

Belum mahu kahwin

Kebanyakan wanita apabila mula berganjak usia ke angka 30-an, pasti runsing memikirkan soal jodoh.

Namun bagi Haliza sendiri, yang sebelum ini lebih gemar menjalin hubungan cinta dengan lelaki bangsa asing tidak mahu menjadikan angka sebagai taruhan untuknya terburu-buru mendirikan rumah tangga.

Sebelum ini, Haliza dikatakan pernah menjalinkan hubungan dengan pelakon Indonesia berdarah kacukan Jerman, Ari Wibowo.

Malah, pernah juga dia menjalin hubungan dengan dua jejaka Inggeris, seorang dari Austria dan terbaru, lelaki berasal dari Eropah.

Berulang kali ditanya, berkali-kali juga Haliza meluahkan untuk tidak berkahwin.

Mengakui masih berhubung, barangkali, Haliza punya alasan sendiri dalam membuat keputusan besar yang bakal mempengaruhi perjalanan hidupnya kelak.

"Sebenarnya, dalam perhubungan saya banyak korbankan kepentingan saya sendiri demi menjayakan banyak perkara, sebab itu saya rasa tidak mahu berkahwin.

"Ini apa yang saya rasa sekarang. Saya terlalu pentingkan diri dan sentiasa mahu menang dalam segala segi.

"Saya tidak tahu apakah ada lelaki yang boleh mengubah sikap saya. Bukan kerana saya kecewa tetapi saya terfikir adakah di kalangan lelaki di luar sana yang boleh menerima saya yang sentiasa nak menang kerana saya jenis yang tidak suka dikongkong," jelas Haliza tentang situasi hubungan cintanya.

Kembara seni penyanyi No. 1


MENAWAN... Meski tampil ringkas, Siti tetap jelita dan semakin langsing.


HARI ini, 1 April 2009 menandakan genap 14 tahun anak seni yang tiada tandingan ini melayari kehidupan di pentas yang penuh pancaroba.

Tarikh keramat itu juga merupakan permulaan segalanya bagi wanita ini apabila album sulungnya, Siti Nurhaliza yang memuatkan lagu popular Jerat Percintaan dan Jawapan Di Persimpangan dipasarkan.

Sepanjang tempoh itu jugalah, peminat dan pemerhati muzik tempatan serta nusantara menyaksikan transisi figura unggul ini membina dirinya menuju kematangan, baik dalam kerjaya seninya mahupun kehidupan peribadinya.

Tempoh 14 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat untuk wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk membina empayar seninya sehingga mampu digelar penyanyi nombor satu negara.

Katalah dan lemparkanlah apa sahaja kata-kata nista walaupun kedengaran kurang enak kepadanya, langsung tidak akan membuatkan dirinya berganjak dari apa sahaja yang beliau ingin lakukan demi kebahagiaan dan kebaikan dirinya.

Lakaran kehidupan biduanita muda negara ini sememangnya penuh warna-warni. Suka, duka, pahit dan manis.

Lengkap segala rencah dan menyingkap sejarah kariernya, perjalanannya untuk menduduki takhta teratas seperti hari ini tidak berlaku semalaman.

Sebaliknya, panas terik dan hujan badai yang perlu dilaluinya tanpa mengira penat lelah di awal kemunculannya untuk mencipta nama sebagai seorang penyanyi selepas kejayaannya merangkul gelaran juara Bintang HMI 1995.

Bukan itu sahaja, di kala usia yang ketika itu mencecah 16 tahun, Siti mengorbankan usia remajanya dalam menggapai impian dan cita-cita untuk bergelar seorang penyanyi sedangkan rakan-rakan sebayanya bertarung dengan buku serta bersengkang mata siang dan malam untuk memperoleh kejayaan cemerlang di dalam pelajaran.

Itulah dinamakan takdir dan sememangnya sudah tertulis di loh mahfuz bahawa masa depannya sememang cukup cerah dalam bidang seni suara.

Siti cukup bertuah kerana dia hadir dengan pakej yang lengkap yakni suara gemersik bagaikan buluh perindu di samping memiliki wajah jelita dan manis.

Selain kehebatan vokalnya, keperibadiannya yang masih lagi mempertahankan budaya dan adat ketimuran juga menjadi faktor mengapa Siti diminati dan disanjung oleh pemujanya.

Cukup luar biasa

Tidak terhenti setakat itu, siapa yang boleh lupa kejayaan sulungnya dalam bidang nyanyian apabila lagu dendangannya, Jerat Percintaan dinobatkan sebagai Juara Lagu 1996 dengan mengalahkan penyanyi wanita popular ketika itu, Ziana Zain.

Bermula detik itu, Siti tidak lagi menoleh ke belakang dan dia menjadi semakin yakin dengan dirinya yang mampu untuk mencipta nama sebagai seorang penyanyi popular.

Malah, namanya juga semakin meniti di bibir masyarakat serta peminat yang mula menyanjung bakat besar yang dikurniakan Allah s.w.t. kepadanya itu dan dia berjaya mencipta populariti yang cukup luar biasa.

Sudah menjadi adat manusia yang perasaan cemburu dan iri hati akan tetap terbit dalam hati dan setiap kali Siti mencipta kejayaan serta kecemerlangan, ia pasti akan mengundang perasaan ketidakpuasan dan polemik di kalangan peminat dan karyawan seni tanah air sendiri.

Siapalah kita untuk mempersoalkan setiap rezeki yang telah ditentukan oleh Allah.

Siti sendiri mungkin tidak pernah bermimpi mahupun memasang impian untuk menggenggam kejayaan luar biasa seperti yang dikecapinya hari ini.

Ruangan ini juga terlalu terhad untuk menyenaraikan kejayaan dan kegemilangan yang diraih Siti sepanjang 14 tahun bergelar penyanyi dan penghibur tersohor negara dan juga nusantara.

Sehingga kini, dianggarkan lebih daripada 150 anugerah dari dalam dan luar negara yang menjadi milik mutlak penyanyi berdagu lekuk ini sehingga tidak terhitung jumlahnya.

Namakan saja. Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Era, Anugerah Planet Muzik dan pelbagai anugerah lagi, semuanya sudah menjadi prasasti seni seorang yang bernama Siti Nurhaliza.

Bukan sekadar kisah kejayaannya yang menjadi perhatian tetap kehidupan peribadinya juga cuba ditelanjangkan.

Tetapi ketegaran Siti mempertahankan privasinya amat disanjung tinggi sehinggalah dia mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya dengan seorang ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006 dalam perkahwinan yang dilabelkan sebagai wedding of the year.

Pun begitu, bahtera perkahwinan mereka berdua yang akan menginjak usia tiga tahun pada Ogos nanti tidak pernah henti diuji. Walaupun pelbagai kata-kata kurang enak menyelubungi ikatan suci mereka, namun, cinta mereka tetap kukuh dan bahagia sehingga ke saat ini meskipun jurang usia mereka sangat besar.

Konsert amal

Berbalik kepada karya seninya, sepanjang 14 tahun ini, evolusi muzik nyanyian Siti dilihat begitu ketara. Mengenali Siti, beliau tidak pernah lelah untuk mencuba sesuatu yang baru dalam memberikan yang terbaik untuk mengukuhkan lagi legasi seninya.

Lagu-lagu hits dan popularnya antaranya seperti Aku Cinta Padamu, Cindai, Purnama Merindu, Hati Kama (duet bersama Noraniza Idris), Kau Kekasihku, Balqis, Percayalah, Nirmala, Dialah Di Hati, Bukan Cinta Biasa, Biarlah Rahsia, Ku Mahu, Melawan Kesepian serta yang terbaru, Di Taman Teman sememangnya cukup diminati

Apa yang pasti, rangkaian lagu-lagunya itulah yang berjaya meletakkan dirinya di puncak tertinggi. Yang amat diimpikan oleh penyanyi bersuara emas ini adalah untuk mendokumentasikan lagu-lagu dendangannya itu dalam satu konsert khas yang akan diadakan sekitar bulan Jun depan.

Semuanya itu adalah untuk meraikan ulang tahunnya ke-14 bersama peminat-peminatnya yang tidak pernah henti menyokongnya serta menjadi tulang belakang kejayaannya selama ini.

Bukan tidak pernah dia membuat persembahan sedemikian rupa kerana pentas agung Royal Albert Hall, London pernah menjadi saksi lagu-lagunya berkumandang di segenap maya dewan penuh keramat itu pada tahun 2005.

Tetapi kata Siti, kali ini konsert yang akan diadakan di pentas bertaraf dunia, Istana Budaya itu akan memberikan satu persembahan dan pendekatan yang cukup berbeza.

Malah dia tidak segan untuk mengakui konsep persembahan yang ada di dalam kotak fikirannya kini adalah berinspirasikan daripada konsert Celine Dion Live In Vegas.

Meskipun begitu, ia bukanlah sembarangan konsert kerana ia adalah konsert amal di mana sebahagian daripada hasil penjualan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa.

"Tapi saya sedar apa sahaja yang saya lakukan semuanya kena ukur di baju sendiri. Saya mahu manfaatkan segala kemudahan yang ada di Istana Budaya demi mempamerkan satu kelainan demi peminat saya.

"Saya tidak mahu bercerita lanjut tentang konsert ini kerana masih terlalu awal dan semuanya masih lagi di peringkat perbincangan. Kertas kerja juga sudah diserahkan kepada pihak Istana Budaya.

"Apa yang saya harapkan kini adalah untuk mendapatkan penajaan daripada pihak-pihak korporat dan swasta bagi merealisasikan konsert amal ini," jelasnya yang kelihatan semakin langsing itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Secretaries' Week Luncheon Special Exclusively With Kris Dayanti and Siti Nurhaliza di Hotel Quality City Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pegawa Operasi Cash Band, Johan Thomas Low dan Penolong Pengurus Eksekutif Hotel Quality City Centre, Hidzir Abdul Hamid.

Kris akan membuat persembahan pada 21 April, manakala Siti pula pada 22 April dan persembahan mereka akan berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade (MECC).

Bercerita lanjut tentang persembahan eksklusif sempena minggu setiausaha tahun ini, Siti melahirkan rasa terujanya kembali berkolaborasi dengan hotel berkenaan untuk kali keenam.

Apatah lagi, sudah dua tahun dia tidak mengadakan persembahan pada minggu setiausaha. Lebih manis lagi, tahun ini juga merupakan persembahan Siti yang pertama selepas bergelar seorang isteri.

Khabarnya juga pihak Hotel Quality telah melamar dan berusaha mendapatkan Siti sejak bulan September tahun lalu untuk persembahan eksklusif ini.

"Tawaran pihak Hotel Quality memang sukar untuk saya tolak kerana kami mudah untuk bekerjasama dan sikap toleransi itu ada. Apa yang pasti, setelah dua tahun berehat, saya akan memberikan persembahan yang berbeza kali ini.

"Saya mahu mereka berasa puas dan gembira agar ia setimpal dengan harga yang mereka laburkan untuk persembahan saya yang akan berlangsung selama 45 minit hingga satu setengah jam itu," kata anak kelima daripada lapan adik-beradik itu lagi.

Mengenai kerjaya seninya yang semakin rancak selepas perkabungan sempena pemergian ayahanda tercinta, Allahyarham Tarudin Ismail pada 15 Februari lalu, ternyata Siti tidak menang tangan memenuhi undangan nyanyian dan rakaman program televisyen.

Berterima kasih

Siti juga akan menjadi salah seorang artis yang akan membuat persembahan pada malam Anugerah Bintang Popular pada 12 April depan dan berkemungkinan besar juga pada anugerah berprestij, Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) nanti.

Malah, penyandang Vokal Wanita Terbaik AIM sebanyak sembilan kali ini juga kembali menyambung promosi bagi album Lentera Timur yang mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

"Alhamdulillah, Lentera Timur dapat diterima dengan baik oleh peminat dan pendengar radio. Selepas ini, lagu Cinta Ini ciptaan Katon Bagaskara akan menyusul sebagai single kedua. Malah, video klip lagu berkenaan juga sudah ditayangkan di televisyen.

"Dalam masa yang sama, lagu Ada Masa Mata karya M. Nasir juga mendapat tempat di corong radio. Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan untuk album ini," ujarnya yang tidak akan mencalonkan lagu-lagu terbarunya dalam Muzik-Muzik 24 tahun ini.

Pada kedua-dua hari itu nanti, pelakon dan pelawak terkenal, Dee akan bertindak sebagai hos, manakala Dasha Logan yang merupakan anak kepada mendiang Loga daripada kumpulan Alleycats akan beraksi untuk persembahan pembukaan.