Tuesday, March 31, 2009

I'm a mother - Erra Fazira


ERRA melalui detik-detik mencemaskan sebelum berjaya bergelar seorang ibu.


PADA tarikh 30 Mac 2009, pukul 11.40 pagi bertempat di Hospital Pakar Perubatan Damansara, lahir seorang bayi perempuan seberat 4.04 kilogram. Banyak hati yang berbunga bahagia untuk menatap bayi dengan ketinggian 51.5 sentimeter itu.

Alasannya cukup relevan. Ini kerana bayi istimewa itu merupakan puteri sulung kepada primadona filem Melayu, Erra Fazira Wan Chik dan suami tercinta, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Sememangnya ramai yang menunggu sekian lama bilakah primadona jelita itu bergelar ibu buat pertama kalinya.

Apatah lagi di kalangan media. Apabila khabar bahawa Erra,35, telah melahirkan zuriat pertamanya yang kemudian diberikan nama yang cukup indah - Engku Aleesya, lima hari lewat daripada tarikh yang dijangka doktor, para wartawan mula berkumpul di hospital berkenaan.

Gerombolan wartawan yang tiba di sana pada pukul 1 petang seolah tidak sabar menatap wajah Engku Aleesya, namun Emran yang ditemui bagaimanapun memohon dengan baik agar dirinya ditemu bual sekitar pukul 3 petang kerana mahu menguruskan hal dua permata hatinya itu.

Selepas ditemu bual, Emran tidak menolak memberi keizinan kepada beberapa teman wartawan untuk menziarahi Erra dan Aleesya.

Namun, Erra dan Emran bagaimanapun tidak mengizinkan wajah puteri mereka dirakamkan. "Kami sudah berjanji dengan keluarga. Jadi saya perlu berpegang kepada janji. Insya-Allah, wajah Aleesya akan dapat disaksikan pada majlis cukur jambul nanti," luah Erra meminta agar semua pihak memahami dan memberi sedikit privasi kepada anggota keluarga barunya itu.


SELEPAS menempuh pelbagai dugaan, kelahiran Engku Aleesha bakal melindungi dan memastikan kerukunan rumah tangga Erra dan Emran berkekalan selagi hayat dikandung badan.


Tambah pasangan ini, mereka mahu bersifat adil kepada semua media, dan janji untuk 'menayangkan' anak mereka pada majlis cukur jambul selepas 44 hari nanti akan tetap dikotakan.

Meminta maaf kepada semua pihak, Erra sendiri sebenarnya sudah tidak sabar untuk menunjukkan gambar anaknya kepada orang ramai terutama peminatnya.

Erra yang kemudian berkongsi kegembiraannya menyambut kedatangan media dengan nada ghairah menjerit kecil berkata, "I'm a mother (saya seorang ibu)". Cerianya tidak ditahan-tahan.

Malah dalam setiap bicaranya, mata Erra bercahaya. Lambang kebahagiaan tidak terperi.

"Ini satu pengalaman yang seronok dan baik. Lepas bersalin, saya ada rasa pening dan hendak muntah. Tapi itu semua berbaloi. Disebabkan sudah melebihi lima hari, saya tidak mahu mengambil risiko.

"Saya takut bayi terlalu besar dan juga takut tali pusat akan melilit kepalanya. Macam-macam saya fikir, maka saya dinasihatkan melalui prosedur induce (ubat untuk mempercepatkan pembukaan rahim)," ujar Erra.

Memilih nama Engku Aleesya, Erra menyukai maksud Aleesya dan bunyi sebutannya amat lembut. "Saya suka maksud Aleesya. Maksudnya ialah yang dilindungi. Semua ahli keluarga bersetuju dengan nama ini. Kami ada tiga nama lain tetapi nama yang lain pula agak keras nadanya. Kami sukakan nama yang ringkas sahaja," tambah Erra.

Emran yang terlebih dahulu ditemu bual turut berkongsi pengalaman menjadi bapa dengan media. Dia memberitahu, sepanjang proses bersalin, dia berada di sisi Erra dan sempat merakamkan detik-detik paling manis dalam hidupnya dengan kamera video.

"Sebenarnya hari Sabtu lagi Erra sudah sakit. Bila jumpa doktor dan menjalani ujian skrin, doktor mengatakan Erra belum bersedia untuk melahirkan anak lagi. Kemudian, semalam (29 Mac) Erra semakin sakit dan masuk hospital pada pukul 11 malam. Pada pukul 3 pagi, Erra dinasihatkan untuk mengambil suntikan epidural dan dua jam kemudian Erra dimasukkan ke dalam wad.


ANTARA reaksi wajah seorang Emran yang baru sahaja bergelar bapa.


"Pintu rahim Erra semakin membesar pada pukul 7.30 pagi dan pada pukul 10 pagi, Erra sudah bersedia untuk bersalin. Tidak sampai 20 minit doktor berada dalam bilik bersalin, Erra selamat melahirkan Aleesya pada pukul 11.40 pagi," jelas Emran mengenai anaknya yang dilahirkan secara normal itu.

Sebak melihat Aleesya

Tidak mengalami sebarang komplikasi, Erra memberitahu dirinya berasa sebak saat anaknya diletakkan atas badannya. Malah pada mulanya dia tidak tahu bagaimana untuk mendukung anaknya yang masih diselaputi bendalir.

Suaminya pula berasa cemas ketika berada di bilik bersalin kerana tidak pernah melihat Erra dalam keadaan yang begitu sakit. "Memang saya berasa cemas dan hiba tetapi saya masih mahu melihat saat anak saya dilahirkan. Rasanya seperti mimpi lagi.

"Ini satu keajaiban yang sangat sukar untuk dijelaskan dalam perkataan. Semasa menyaksikan Erra bersalin juga saya berasa insaf dan semakin menyayangi Erra," kata Emran yang akan bercuti selama seminggu untuk menemani Erra dan Aleesya.

Menyifatkan mulut anaknya seperti mulut Erra yang muncung dan kulitnya berwarna putih dengan sedikit merah jambu, Emran masih belum boleh melihat wajah anaknya itu iras wajahnya atau Erra. Wartawan yang berpeluang melihat anaknya, akui bayi itu memiliki mulut seperti Erra dan memiliki sepasang mata yang bundar.


APABILA primadona melahirkan anak sulung. Pihak media terpaksa bersabar selama 44 hari sebelum dapat merakamkan foto Engku Aleesya.


Emran yang sudah bersedia dari segi fizikal dan mental sebenarnya mahu tiga atau empat orang anak. Maka memandangkan usia Erra, Emran mahu Erra lahirkan anak lagi dalam masa terdekat. "Kalau boleh jangan rehat lama sangat. Usia Erra pun bukan muda lagi," terang Emran.

Bakal mengamalkan pantang tradisional di rumah dengan ditemani ibu dan ibu mertua serta nenek Erra, Rahimah Sakul, Erra dan Emran mempunyai pendirian sama untuk tidak mendedahkan anak mereka kepada dunia seni. Jika boleh, pasangan itu mahu anak mereka terlibat dalam bidang lain.

"Ayah dia minat golf. Kalau boleh dia nak anaknya jadi pemain golf profesional. Kami sebenarnya tidak galakkan dia menjadi artis. Namun, jika itu minat dia, kami tidak halang," kata Erra.

Sambung Emran, "Rasanya ibu dia boleh nasihatkan dia baik buruk dunia seni. Kami tahu tidak senang untuk menjadi artis. Saya hanya mahu membawa dia bermain golf."

Erra mahukan anaknya memanggil dirinya, mom dan Emran pula mahu dirinya dipanggil ayah. Bersifat terbuka dalam cara mendidik anak, Emran mahu menghormati anaknya. "Walaupun dia merupakan anak saya, saya akan hormati dia. Anak saya akan mempunyai pendirian dan hak sendiri sebagai seorang manusia."

Terlalu awal untuk bercerita mengenai hal publisiti anaknya, jika berkebolehan, Emran mahu anaknya membesar seperti orang biasa. Erra juga belum lagi bersedia untuk membawa anaknya ke lokasi penggambaran atau tempat kerja.

"Bulan Jun nanti saya akan mula bekerja dengan produksi Mertua VS Menantu. Selepas itu juga saya akan mula merakamkan album baru. Maka, masa itu anak saya masih kecil. Jadi tidak sesuai untuk bawa dia ke lokasi," beritahu Erra mengenai anaknya yang akan dijaga ibu serta ibu mentuanya.

Barbie berwajah Katrina




AKTRES jelita Bollywood, Katrina Kaif mencipta sejarah apabila wajahnya terpilih untuk diabadikan sebagai wajah anak patung yang menjadi ikon kanak-kanak di seluruh dunia, Barbie. Biarpun pemilihannya itu dikatakan tidak menyumbang sebarang kepentingan kepada India, namun Katrina menegaskan dia sangat teruja.

"Saya berasa diberikan penghormatan dan dalam masa yang sama sangat teruja. Meminjamkan wajah kepada anak patung yang pernah menjadi permainan kesayangan ketika kanak-kanak dulu memang sesuatu yang di luar dugaan saya. Dan sudah tentu saya sangat gembira. Apatah lagi tahun ini Barbie meraikan ulang tahunnya yang ke-50," ujar Katrina kepada IANS.

Tambahnya: "Biarpun ia tidak menyumbang kepada India khususnya di peringkat global, namun saya berasa bangga kerana saya merupakan bangsa India pertama yang terpilih untuk diabadikan menjadi wajah Barbie. Bayangkan saya dipakaikan dengan kostum Barbie dan diedarkan di seluruh dunia."

Menurut Katrina lagi, pemilihan dirinya itu membuktikan dia digemari golongan kanak-kanak. "Saya tidak akan dipilih untuk menjadi wajah Barbie sekiranya golongan kanak-kanak tidak menyukai saya. Atas sebab inilah saya merasa cukup teruja dipilih," tuturnya lagi.

Aktres berusia 24 tahun itu mengayakan kostum Barbie versi dirinya pada pertunjukan fesyen yang didedikasikan buat Barbie sempena Minggu Fesyen Lakme di Mumbai pada 27 Mac lalu.

Terbuka soal seks


GUL (kiri) mahu menguji kecenderungan seksualnya.


Dia cukup dikenali sebagai aktres yang memiliki sikap penuh terbuka. Justeru, aktres Gul Panag tidak kisah untuk mengakui dia juga berfikiran terbuka mengenai seks.

"Saya memiliki teman lelaki pertama ketika berusia 13 tahun. Jadi, saya fikir saya adalah heteroseksual. Tapi, saya terbuka untuk menguji mengenai status seksualiti saya. Lagipun, kita tidak akan tahu mengenainya kalau tidak mencuba terlebih dahulu," tegasnya.

Dalam pada itu, Gul mengulas mengenai aktres jelita, Raima Sen yang baru muncul dengan filem terbarunya, Straight. Filem itu mengisahkan mengenai seorang lelaki yang keliru mengenai orientasi seksualnya lakonan Vinay Pathak. Raima melakonkan watak kekasih lelaki tersebut.

"Raima kelihatan menggiurkan dalam filem itu. Saya cuba bayangkan Raima dan kekasihnya yang homoseksual itu hidup penuh harmoni bersama saya," ujarnya dalam nada bergurau.

Dalam pada itu, Gul mengakui dia pernah jatuh cinta dengan lelaki yang dianggapnya hebat tetapi terkejut apabila mendapati lelaki itu sebenarnya gay.

"Ramai lelaki yang saya jumpa kelihatan sangat jantan. Namun, akhirnya saya kecewa apabila mendapati mereka sebenarnya adalah gay," ujarnya.

Terjumpa senjata Jepun


SENJATA dan peluru lama dipercayai tinggalan tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua yang ditemui di Jalan Kota Tinggi-Mersing baru-baru ini.


JOHOR BAHRU – Sekumpulan lelaki tidak menyangka objek-objek pelik yang pada mulanya mereka sangka ranting-ranting kayu, rupa-rupanya senjata peninggalan zaman Jepun.

Sebelum itu, mereka ke sebuah kawasan lapang di tepi jalan Batu 14 Jalan Kota Tinggi-Mersing, Kota Tinggi petang Jumaat baru-baru ini.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian mereka terkejut apabila tiba-tiba ternampak kelibat seperti dahan-dahan kayu di situ.

“Setelah didekati, rupa-rupanya ada sebanyak 18 batang besi berkarat bersalut tanah yang merupakan senjata lama,’’ kata Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff di sini semalam.

Menurut Mokhtar, ketika ditemui pada pukul 4.30 petang kesemua senjata berbentuk laras senapang itu masih boleh digunakan.

Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku ketika kumpulan lelaki itu menemuinya.

Difahamkan, lokasi tersebut merupakan tempat persembunyian penduduk tempatan membuat serangan hendap terhadap tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Menurut Mokhtar lagi, turut ditemui di sekitar tempat tersebut ialah 20 butir peluru lama di sebuah lubang.

Lagi peserta wanita tersingkir


Fifi tenang menerima keputusan undian penonton.


SABAN minggu peminat-peminat setia rancangan realiti One In A Million Musim 3 (OIAM 3) menyaksikan penyingkiran demi penyingkiran peserta berlaku.

Penyingkiran peserta dalam program realiti ini bukan merupakan satu perkara yang baru, kerana memang begitu format OIAM ia diperkenalkan lagi.

Berbeza dengan dua musim yang pertama, penyingkiran peserta di OIAM3 dilihat sedikit menarik apabila seorang demi seorang peserta wanita menjadi mangsa disingkirkan daripada program realiti yang menawarkan hadiah wang tunai RM1 juta.

Bermula dengan penyingkiran Ayu, Han, Pija dan Anith, minggu lepas menyaksikan giliran Fifi mengikut jejak langkah kawan-kawannya yang lain apabila diumumkan sebagai peserta yang mendapat undian terendah sebelum persembahan minggu keenam berlangsung.

Penyingkiran Fifi, menjadikan hanya tinggal dua orang lagi peserta wanita berjuang untuk merebut hadiah lumayan yang disediakan iaitu Ester dan Amylea.

Bagi juri tetap OIAM, Paul Moss, tidak terkejut dengan keputusan tersebut, memandangkan persembahan Fifi dengan lagu Pria Terhebat pada minggu sebelumnya paling kurang menyerlah berbanding peserta-peserta lain.

Paul Moss juga tidak menafikan bakat yang ada pada Fifi, memandangkan Fifi pernah membuat persembahan yang boleh dibanggakan terutamanya pada minggu kedua dan ketiga.

"Cuma mungkin persembahan minggu kelima agak kurang memuaskan seterusnya menyebabkan Fifi mendapat undian terendah," ujarnya.

Syafinaz juga turut sependapat dengan rakannya, Paul Moss, dan percaya bakat Fifi mampu mewarnai lagi dunia hiburan kelak.

Ketika diminta mengulas sama ada penonton bias terhadap peserta lelaki berbanding wanita, Syafinaz berkata, banyak kemungkinan yang boleh dijadikan faktor penyingkiran peserta wanita.

"Secara logiknya, peserta wanita kurang menonjol berbanding peserta lelaki. Apatah lagi, peserta lelaki sendiri menunjukkan persembahan yang lebih memuaskan di samping masing-masing mempunyai gaya tersendiri.

"Hasilnya, pengundi-pengundi negara ini menterjemahkan keadaan tersebut dengan memberikan undian terendah kepada peserta wanita.

"Bukan tidak pernah kami ingatkan sebelum ini, namun ada lagi peserta yang tidak menunjukkan peningkatan daripada kualiti suara, gaya dan persembahan pentas serta terus selesa berada di zon selamat." kata wanita tinggi lampai itu.

Bagi Syafinaz, setakat minggu tersebut, hanya Tomok dan Ester yang telah keluar daripada zon selesa mereka dan berani mengambil risiko bermain dengan muzik.

"Persembahan kedua-duanya memang menunjukkan peningkatan dan mereka bijak dalam susun atur muzik yang bakal dinyanyikan.

"Cuma kelebihan Tomok pada malam ini berbanding Ester ialah lebih bertenaga dan berani mengubah lagu Ingin Bersamamu kepada satu genre muzik yang baru.

"Persembahan Ester juga tidak kurang hebatnya, dan saya lebih menggemari melodi yang didendangkan oleh Ester berbanding lagu asalnya," tambahnya.

Kenyataan Syafinaz disangkal oleh Paul Moss yang merasakan persembahan Ester kurang memberikan impak sehingga meninggalkan kesan mendalam untuk diingati penonton.

Bersandarkan itu, Syafinaz, Paul Moss dan pengkritik jemputan, Francesca Peter sebulat suara memilih Tomok sebagai pemegang imuniti.

Minggu lepas juga menyaksikan Tomok sekali lagi berjaya mencuri perhatian penonton dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Ingin Bersamamu dendangan pengkritik tetap OIAM, Syafinaz.

Gusar sedikit dengan pilihan Tomok, namun ia dapat ditepis Tomok seawal persembahan sehingga usai.

Nyata kelebihan penyanyi utama kumpulan New Boyz ini terserlah, bukan sahaja memiliki suara yang bagus, tetapi juga bijak berkarya mencorak persembahan.

"Formula saya ialah saya kena menjadikan lagu tersebut seolah-olah milik sendiri terutamanya apabila melibatkan susunan muzik serta persembahan.

"Pemilihan lagu juga penting. Kita perlu menanggung risiko dengan lagu yang dipilih, sama ada ia bakal disukai penonton atau tidak.

"Saya bersyukur kerana mendapat imuniti pada minggu ini dan ia juga berada di luar jangkaan saya," ujar Tomok sambil tersenyum kerana percaturannya berjaya.

Mengimbau kembali persembahan Tomok sepanjang enam minggu ini, Tomok kelihatan lebih selesa membawa lagu yang rancak dengan suntikan elemen rock.

Percubaannya membawakan lagu balada seperti minggu lepas nyata tidak berjaya menarik perhatian pengkritik.

Tomok yang bimbang dilabel sebagai penyanyi yang hanya boleh membawa satu genre lagu, berjanji akan terus cuba mempelbagaikan persembahan pada minggu-minggu akan datang.

Selain Tomok (mempersembahkan lagu Ingin Bersamamu) dan Ester (I Don't Love), lima peserta lain terus berjuang merebut gelaran jutawan baru OIAM 3 ialah Simon (Eternity), Rizu (Naluri Lelaki), Aweera (Enter Sandman), Amylea (Satu Dalam Sejuta) dan Nine (Nakal).

Transformasi penghayatan pelajar


HAFIZ yang menyanyikan lagu Mat Disko minggu lalu menerima pujian kerana memberikan persembahan konsisten setiap minggu.


KONSERT minggu ketiga rancangan realiti popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang melabuhkan tirainya Sabtu lalu menyaksikan naratif yang bukan baru apabila menyingkirkan dua pelajarnya serentak iaitu Rini (Zuzafrini Zulkifli) dan Obri (Ahmad Sobri Hasmuni).

Melihat kepada transformasi yang cuba diketengahkan pada musim kali ini, seharusnya tidak memandang hanya kepada perubahan yang nampak ketara secara drastik pada luarannya sahaja.

Sudah pasti tenaga pengajar terutama pengetuanya, Datin Seri Tiara Jacquelina punya agenda dan inisiatif tersendiri dalam membentuk barisan pelajar yang bukan setakat mampu menyanyi tetapi juga mampu menghibur dan menjiwai setiap lagu yang disampaikan.

Berbalik kepada konsert minggu lalu, mungkin masih ramai yang tertanya-tanya di mana letaknya cabaran buat para pelajar AF7 apabila kesemua mereka bagaikan 'terperangkap' dalam tema lagu-lagu era 80-an yang santai tanpa menguji kemampuan vokal mereka.

Apatah lagi, hampir kesemua pelajar AF7 mempunyai suara yang baik malah, ada diantara pelajar AF7 seperti Isma, Claudia dan Rubisa sudah pun mempunyai asas nyanyian sebelum ini.

Turut mempertikaikan hal itu ialah pengkritik tetap, Adlin Aman Ramli. Ketika mengkritik persembahan Rubisa, Adlin dengan lantang menyuarakan bahawa pemilihan tema sedikit membantutkan proses pembelajaran para pelajar.

"Malam ini saya tengok macam lambat sikit, seperti ditarik hand brake sebab konsert pertama saya tengok okey tapi malam ini nyanyian biasa sahaja dan tema pun tidak memberi cabaran.

"Kita memang nak tengok persembahan setiap minggu tetapi dalam masa yang sama kita kena cari ikon penyanyi yang lebih baik daripada sebelum ini jadi tak perlulah tarik hand brake," kata Adlin.

Namun, ketika ditemui pada sidang media sujurus tamat konsert tersebut, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul memberitahu pemilihan tema pada setiap minggu adalah sebagai menuruti format AF7 dalam melakukan transformasi.

"Untuk minggu ini kita cuba transformasi cara penghayatan para pelajar, ternyata ada beberapa pelajar yang dapat menyanyi dengan baik dan jadikan lagu yang mereka nyanyikan seperti lagu mereka sendiri.

"Walaupun mereka bukan dilahirkan di era 80-an, tetapi mereka dapat menghayati lagu-lagu yang diberikan," katanya.

Mencari kelainan, menurut pengetuanya sendiri, minggu lalu metode pembelajaran dilakukan berbeza daripada minggu-minggu sebelumnya agar penyerapan, penjiwaan dan penghayatan mampu dikuasai oleh barisan pelajar.

"Pada minggu ketiga ini kami bersetuju untuk melihat penceritaan dalam lagu itu sampai. Lagu-lagu pada minggu ini kesemuanya ada cerita yang tersendiri jadi, tema ini dibuat untuk melihat sama ada sampai atau tidak.

"Sebab itu kali ini kami tukar kaedah belajar bermula dengan kelas cikgu Ida, kita cuba dapatkan penghayatan daripada mereka.

"Kemudian baru kita belajar melodi dan lagu dengan cikgu Shafi dan cikgu Siti Hajar dan seterusnya diisi dengan elemen lain seperti tarian," katanya.

Sukar pilih pelajar cemerlang

Peningkatan demi peningkatan terhadap mutu persembahan dan nyanyian membuatkan barisan tenaga pengajarnya sukar menentukan siapa yang bakal dinobatkan sebagai pelajar cemerlang setiap minggu.

Biarpun tidak menunjukkan peningkatan yang begitu ketara, namun, kata Tiara, asalkan pelajar itu ada peningkatan sepanjang minggu dan mampu mengaplikasikan setiap yang diajar dalam persembahan, maka mereka berpeluang menjadi pelajar cemerlang.

"Bagi kami di akademi, memang kami nampak banyak sangat lonjakan daripada semua pelajar. Mereka mengisi lagu yang dinyanyikan lebih daripada bawa melodi semata-mata.

"Kami juga bangga dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh semua pelajar, sehinggakan sampai satu tahap agak susah kami nak memilih siapa di kalangan mereka sebagai pelajar terbaik.

"Seperti Yazid, memang kami terkejut dia boleh buat persembahan dengan baik minggu ini berbanding minggu-minggu sebelum ini," kata Tiara lagi.

Nasib Rini dan Obri

Seperti yang umum sudah ketahui, Rini, 25, dan Obri, 24, adalah pelajar AF7 yang dikeluarkan serentak pada konsert minggu ketiga Sabtu lalu.

Mereka menuruti langkah penyanyi Nas Adila yang menjadi pelajar AF7 pertama yang disingkirkan.

Lambat keluar dari kepompong ibarat padah buat Obri yang berasal dari Johor Bahru itu kerana dua minggu berturut sebelum ini dia tidak henti menerima kritikan pedas daripada pengkritik rancangan itu.

Dia yang menyanyikan lagu Abang Beca dendangan asal Broery Marantika, bagaimanapun berjaya keluar daripada kepompongnya apabila berjaya mencuri tumpuan penonton dengan aksi persembahan yang menghiburkan.

Mahu mempelajari segala ilmu daripada barisan tenaga pelajar, membuatkan Obri tidak mahu memikirkan tentang penyingkiran biarpun sering dikritik tentang persembahannya.

"Sebenarnya, saya memang tak jangka akan keluar pada malam ini kerana dalam otak saya sentiasa fikir nak belajar.

"Tentang kritikan, bagi saya itu bukanlah isu yang besar kerana ia bukanlah sesuatu yang boleh menjatuhkan sebaliknya membantu untuk saya buat lebih baik," katanya.

Sementara itu, Rini yang menyampaikan lagu Seloka Cinta Remaja yang dipopularkan oleh Seha pada malam konsert lalu tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam AF7.

"Sebaliknya, saya letakkan diri sebagai pelajar yang mahu cuba mengumpul seberapa banyak peluang dan ilmu yang diajar oleh cikgu-cikgu AF.

"Saya terima hakikat bahawa rancangan realiti TV memang begini, jadi tidak mahu letak harapan yang tinggi," katanya.

Dengan penyingkiran itu, 11 pelajar yang bakal meneruskan perjuangan ialah Akim, Aril, Hafiz, Sidi,dan Yazid.

Pelajar lain adalah Qhaud, Claudia, Isma, Zizi, Rubisa dan Aishah.

Monday, March 30, 2009

Almy tak kisah Fizz jadi gay



TINDAKAN berani Fizz Fairuz melakonkan watak homoseksual dalam dua buah drama iaitu, ‘Donut’ dan ‘Mabuk Estrogen’ dalam produksi milik pengarah, pelakon dan penerbit Sheila Rusly, sememangnya mengundang pelbagai kontroversi. Dia yang biasanya memegang watak serius yang penuh sifat ‘kejantanan’ tidak disangka pula sanggup menerima watak sedemikian untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pelakon.

Bukan sahaja sanggup menjadi ‘Mak Nyah’ dalam drama ‘Donut’, tetapi dia juga sanggup melakonkan babak bercium dengan Roslan Shah dalam drama ‘Mabuk Estrogen’. Walaupun ramai yang mengecam tindakannya itu, namun bagi buah hatinya - siapa lagi kalau bukan si cantik manis, Almy Nadia - tidak pula mempengaruhi hubungan mereka.

Bagi Almy, Fizz hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pelakon dan apa sahaja aksinya dalam kedua buah drama itu hanyalah lakonan semata-mata. Dia yang menyokong sepenuhnya keputusan Fizz untuk membintangi drama yang penuh ‘kontroversi’ itu, juga percaya bahawa imej Fizz tidak akan terjejas dengan hanya lakonan seperti itu.

“Itu cuma lakonan. Sebagai pelakon tak salah dia mencuba watak yang berlainan lagipun sudah menjadi tugasnya untuk berlakon. Saya tak kisah dia nak berlakon apa pun, walaupun jadi ‘Mak Nyah, ‘gay’ atau kena bercium sekalipun. Yang penting, kami percaya antara satu sama lain,” kata Almy ketika dihubungi baru-baru ini.

Seperti mana Fizz sentiasa memberi kebebasan padanya untuk melakonkan apa sahaja watak, kata Almy, dia juga harus bersikap terbuka menerima apa sahaja keputusan kekasihnya bagi mengembangkan lagi bakat lakonan masing-masing. Malah akui Almy, aksi beraninya melakonkan ‘babak panas’ dalam filem seram ‘Rasukan Ablasa’ sebelum ini juga tidak pernah mendapat bantahan dari Fizz.

“Memang dia ada memberitahu saya tentang lakonannya dalam drama Mabuk Estrogen itu, tapi bukannya untuk meminta kebenaran, sebaliknya supaya saya tidak terkejut kalau ia akan menjadi kontroversi nanti. Apa sahaja keputusannya saya terima sahaja.

“Antara kami masih belum ada ikatan apa-apa lagi. Jadi kami tidak mahu mengongkong antara satu sama lain. Kalau boleh saya nak biar dia merasaikan kepuasan berlakon dulu. Lagipun berlakon inilah ‘periuk nasi’ kami. Kalau memilih sangat, nanti hilang pula rezeki. Kalaulah dah bertunang atau berkahwin, lain pula situasinya nanti. Apa sahaja watak kenalah bawa berbincang dulu,” ujarnya.


Soal kahwin ketepikan dulu

Ditanya bila lagi mereka akan mendirikan rumah tangga, kata Almy, baik dia mahupun Fizz masih belum bersedia untuk ke arah itu. Terlalu banyak agenda yang harus mereka laksanakan terlebih dahulu. Selain mahu mengukuhkan karier masing-masing, mereka juga harus memiliki persediaan untuk melangkah ke alam baru itu nanti.

“Sepanjang tiga tahun bercinta, Alhamdulillahlah, hubungan kami semakin baik. Mungkin itulah yang dikatakan ‘tak kenal maka tak cinta’. Dalam tempoh ini juga saya dapat rasakan kami semakin mengenali antara satu sama lain dan yang paling penting, kami serasi. Tapi soal kahwin ni, biarlah dulu dan kami tak pernah rancang. Insya-Allah, Kalau dah tiba masanya, adalah kad jemputan dihantar nanti,” kata Almy dengan nada yang ceria.

Beralih tentang karier seninya, Almy memberitahu dia kini sedang menjalani dua penggambaran drama iaitu Suria Kasandra untuk Samarinda (TV3), dan Agen Gus-Gus untuk siaran Astro.

“Dua-dua drama ini memberikan kelainan pada saya. Dalam drama Suria Kasandra misalnya, saya diberi peluang untuk melakonkan dua watak sekali gus yang mana saya kena melakonkan watak baik dan juga watak jahat dalam satu masa yang sama. Memang susah bawa dua watak ni, sebab saya kena jadi ‘bermuka-muka’ dan banyak bermain dengan ekspresi wajah serta emosi.

“Dalam drama Agen Gus-Gus pula, buat kali pertamanya saya berlakon sebagai wartawan dan akan berkawan dengan ‘Alien’. Terus-terang saya memang ‘enjoy’ berlakon drama ini kerana ia memang menyeronokkan. Maklumlah drama komedi!” kata Almy.