Sunday, February 1, 2009

Anggap Hari Kekasih bodoh




Neha Dhupia bukan tak pernah bercinta. Malah sekarang, pelakon ini sedang bercinta dengan kekasih sekian lamanya yang merupakan seorang pemain skuasy terkenal, Ritwik.

Tapi satu realiti, dia membenci Hari Kekasih yang disambut pasangan kekasih di seluruh dunia pada 14 Februari setiap tahun.

"Saya rasa menyambut Hari Kekasih merupakan satu konsep yang bodoh. Kenapa nak meraikannya? Hari Kekasih bukannya festival.

"Saya juga tidak melihat signifikan Hari Kekasih. Saya tak akan menyambut atau meraikannya," katanya serius.

Namun di sebalik rasional Neha membenci Hari Kekasih, dia juga menyimpan kenangan sendiri mengapa membenci hari berkenaan.

Kata Neha: "Sebab masa sekolah dulu, saya gemuk. Ramai teman wanita lain dapat hadiah atau coklat pada sambutan hari tersebut kecuali saya. Sebab itu saya benci Hari Kekasih."

Penduduk gempar dengan penemuan 'pocong'


PENDUDUK kampung cuba membuka kain putih yang membalut salah satu ‘pocong’ dekat Kampung Tembioh, Kota Tinggi, Johor kelmarin.





KOTA TINGGI - Penduduk sebuah kampung tradisional di pinggir bandar ini digemparkan dengan satu kejadian aneh lewat petang kelmarin, ekoran penemuan lima objek menyerupai 'pocong' terdampar di tebing Sungai Johor.

Menurut dua sahabat, Mohd. Izzuddin Abd Karim, 18, dan Mohd. Razif Ismail, 17, dari Kampung Tembioh dekat sini, mereka terkejut apabila terlihat objek tersebut yang tiba-tiba timbul dan 'melanggar' paha kanannya ketika sedang asyik menjala ikan di tebing sungai berkenaan.

Mohd. Izzuddin berkata, sudah menjadi kebiasaan bila ada masa terluang beliau bersama rakannya akan menjala ikan di tepi sungai itu tetapi belum pernah terjumpa perkara aneh seperti itu sebelum ini.

Menurutnya, mereka mula turun menjala kira-kira pukul 6 petang dan sebaik tiba di tebing berhadapan dewan badminton di sini, tiba- tiba dia terhidu bau yang agak wangi seakan- akan bunga kemboja atau kapur barus tetapi tidak mengendahkannya.

"Apa lagi, saya dan rakan (Mohd. Razif) bagaikan tergamam seketika dan bergegas naik ke darat ekoran terperanjat sebaik terlihat benda itu,'' katanya ketika ditemui di sini semalam.

"Ekoran kejadian itu saya terus menceritakannya kepada rakan-rakan lain tetapi mereka tidak mempercayainya sehinggalah muncul empat lagi objek yang serupa semalam tidak jauh dari tempat 'pocong' pertama ditemui."

Menurut Mohd. Izzuddin lagi, kelima-lima objek itu kelihatan seolah-olah seperti mayat yang telah lengkap dikafan dengan kain putih.

Ada kaitan sihir 'bungkem'




KOTA TINGGI - Penemuan lima 'pocong' di tebing Sungai Johor di Kampung Tembioh di sini kelmarin, bukan saja menggemparkan penduduk malah menimbulkan persoalan sama ada ia mempunyai kaitan dengan kegiatan sihir yang dikenali sebagai 'bungkem'.

Seorang penduduk, Juffri Juraimee, 55, mendakwa, kemunculan lima objek yang menyerupai 'pocong' itu berkemungkinan bertujuan untuk menyihir seseorang.

"Menurut orang-orang tua, mangsa yang disihir atau 'bungkem' biasanya akan merana sehingga boleh membawa kepada kematian.

"Namun, ilmu tersebut tidak akan menjadi sekiranya objek yang digunakan untuk menyihir seseorang itu dijumpai orang lain," katanya ketika ditemui semalam.

Ujar Juffri, penemuan 'pocong' tersebut hingga kini masih menjadi tanda tanya penduduk di situ kerana kejadian seumpama itu adalah yang pertama kali berlaku di situ.

Bagaimanapun, terdapat juga pendapat mengatakan penemuan 'pocong' tersebut merupakan antara aktiviti membuang ancak, saka atau rawatan penyakit secara tradisional.

Cerewet dan kehendak diri Anuar Zain




ORANGNYA mementingkan kesempurnaan. Daripada segi penampilan diri hingga kepada nyanyian serta produk yang dihasilkan, semuanya dijaga rapi oleh empunya diri. Mungkin kerana itu ramai menganggap dia cerewet. Namun tegas Anuar, itu haknya. “Saya bukan cerewet tapi teliti,” ujarnya.

Menurut Anuar, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memberikan yang terbaik terutama buat peminat yang selama ini sanggup mengeluarkan wang untuk menyaksikan persembahan dan membeli albumnya. Kata Anuar lagi, selain untuk kepuasan, memang tiada dalam istilah ‘kerja asal boleh’ dalam hidupnya kerana apa sahaja yang dilakukan adalah punca rezeki.

Malah kalau mahu bertahan lama dalam bidang ini, selain memberikan yang terbaik, kita juga perlu tahu kehendak dan hala tuju diri.

“Jangan kata saya sombong dengan kenyataan begitu kerana bagi saya, itu (sikap cerewet dan ketelitian) perlu ada dalam diri setiap manusia,” tegasnya. Mungkin ya, Anuar Zain yang digelar jejaka idaman Malaya ini sangat mementingkan ketelitian dalam mencari kesempurnaan dengan apa yang dikerjakan.

Tetapi dia juga sebenarnya mempunyai sikap toleransi dan kesabaran yang tinggi. Malah dalam usaha menggapai impian merealisasikan konsert sulungnya, dia tidak pernah mengalah. Tidak lelah mengetuk pintu mencari penajaan, dia tahu ia bukan satu kerja mudah dan cabaran itu juga membuatkan dia tabah untuk terus mencuba.

Kerana selain percaya pada rezeki yang ditentukan oleh-Nya, Anuar yakin, pasti satu hari nanti dia akan ketemu dengan mereka yang benar-benar mahu berkerjasama.

“Ini tentang duit orang tapi saya buat proposal dan jumpa semua orang selagi tak letih, hantar selagi boleh tetapi saya tidak akan pernah sekali-kali memaksa mereka. Ini adalah ikhtiar saya,” katanya mengenai perancangan konsert yang masih belum nampak hasilnya.

* Intim bersama

Pun begitu, dalam usaha mencari penajaan bagi konsertnya, Anuar tetap fokus dalam kerjaya. Perancangannya tahun ini dibuka dengan satu persembahan eksklusif buat peminat setianya. Pada 6 Februari ini, bertempat di Hotel Concorde, Anuar bakal beraksi bersama iringan piano petikan pengarah muzik, Alwyn Santiago dalam persembahan Anuar... Piano... & You.

Kata Anuar, persembahan itu nanti hanya berskala kecil. Hanya kira-kira 35 meja yang akan dijual.

Demi kepuasan diri dan penghargaan buat peminat yang selama ini menyokongnya, pelontar lagu-lagu cinta popular ini mahu memberikan satu pengalaman berhibur yang tidak akan dilupakan.

“Melihat orang terhibur, cukup memuaskan. Saya juga sebenarnya suka menghibur di venue yang kecil. Yang saya boleh nampak penontonnya dan sama-sama merasai getaran keindahan hiburan yang saya berikan,” katanya.

Justeru sudah pasti ramai peminat yang berkira-kira untuk menikmati hiburan bersama Anuar apalagi jejaka itu sudah hampir setahun tidak muncul apabila kali terakhir beraksi pada Mei lalu di Kuala Lumpur.

Kecuali mereka yang fanatik yang sanggup ikut turun ke Singapura menyaksikan persembahannya di Esplanade Theater pada 8 November lalu.

Tentu sekali persembahan eksklusif itu juga ditunggu-tunggu peminat kerana buat julung kalinya Anuar hanya akan beraksi dengan petikan piano.

“Ya, hanya saya, piano dan pendengar. Intim sekali,” katanya sambil tersenyum.

Juga sudah tentu, jangan lupa bersiap diri untuk menyaksikan persembahan sempena Minggu Setiausaha yang bakal berlangsung April nanti. Hanya satu show dan ia sememangnya eksklusif, kata Anuar yang mengakui menerima beberapa tawaran tetapi hanya mahu berkolaborasi dengan satu penganjur.

* Optimis

Anuar Zain, album yang ketiga yang mengambil judul namanya itu nyata memberikan satu impak terutama pada sembilan bulan pertama pemasarannya apabila berjaya terjual sehingga lebih 31,000 unit.

Biar banyak kata-kata kurang enak dilontarkan saat album itu sedang meniti populariti gara-gara persoalan mengenai kolaborasinya dengan pengkarya seberang namun Anuar berpegang pada prinsip, muzik seharusnya melangkaui sempadan.

Sememangnya kalau melihat optimisme Anuar terhadap lagu dan gubahan karya yang terkandung dalam album itu, percaturan tersebut sekurang-kurangnya memberi nuansa baru kepada dunia muzik tempatan.

Tetapi kata Anuar, disebabkan itu dia dilabel sebagai lupa diri. “Saya bukan orang yang mudah lupa diri. Jangan cepat membuat andaian, tanggapan sekiranya saya tak pilih lagu sesiapa. Ia tentang kesesuaian. Masalahnya bila saya tak terima lagu, kata saya macam-macam,” jelasnya.

Selalu bersemangat dalam menerbitkan produk baru namun penyanyi itu bertegas, bahawa pembikinan album tak seharusnya berlaku sekadar mahu ada sebuah yang baru. Kerana kata Anuar, penghasilan album bukan sekadar mahu buat duit kerana duit sebenarnya datang daripada show yang diperoleh. “Ia lebih kepada kepuasan,” ujarnya.

Sedang dalam perancangan untuk menerbitkan album terkini, Anuar inginkan sebuah album yang simple namun menegaskan, itu tidak bermakna melodi dan liriknya dibuat sambil lewa malah perlukan kelainan daripada segi persembahan.

“Ya, mungkin itu yang menyebabkan saya cerewet. Tapi bagi saya perkara itu penting,” katanya yang sudah memperoleh sebuah lagu pilihan, datangnya dari pencipta Indonesia.

Anuar mengakui kerana maklum balas mereka yang cepat, industri khususnya pengkarya kita seharusnya mengikut jejak langkah mereka yang cekap. Kita perlu belajar untuk bertindak cepat, kata Anuar yang mengakui adakalanya dia menerima lagu terlalu lambat sedangkan dia sudah meminta sedari awal, juga ada yang takut penolakan menyebabkan ada pengkarya yang tidak mahu memberi lagu kepadanya.

“Saya dengar setiap lagu yang saya dapat. Kalau saya suka, saya ambil. Pihak pengurusan tidak campur tangan dalam hal ini dan saya tidak berkompromi untuk memilih yang terbaik untuk saya. Hak memilih lagu, hak saya. Saya yang menyanyi, saya yang inginkan kemahuan saya.

“Saya juga kurang percaya pada konsep penciptaan lagu custom made. Selalu saya lihat perancangan begitu gagal kerana adanya pembatasan. Tak perlu ada idea melodi apa yang sepatutnya dinyanyikan oleh saya atau oleh sesiapa juga.

“Saya suka dengan cara saya. Saya pilih sesuatu yang saya dengar dan saya suka. Lagipun, dalam kes saya, selera saya berubah-ubah. Saya bukan seorang yang terikat dengan sesuatu untuk satu jangka masa sedangkan banyak idea, pengaruh dan pendedahan yang saya peroleh sepanjang perjalanan itu.

“Dan kalau nak kata saya demanding, cerewet maka itu adalah hak saya untuk memastikan kualiti produk saya. Kerana itu bagi saya ayat yang tepat adalah teliti. Oleh kerana pentingkan kesempurnaan maka saya jadi amat teliti,” jelasnya.

Abby naik pangkat


Aksi mesra Abby dan Zul yang dirakamkan majalah URTV keluaran terbaru.


Sekarang ini orang dah mula bercakap mengenai keintiman hubungan Abby Abadi,31, dengan pelakon baru Zulkifli Ariffin, 23. Cakap-cakap itu tentulah perkara yang tak elok. Antara tohmahan yang dilemparkan, belum pun lepas edah, Abby seperti dah angau semacam terhadap Zul.

Lebih buruk lagi ada juga peminat yang membuat pelbagai andaian selepas Melodi pada Ahad lalu

merakamkan gambar mereka di Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang, Selangor yang baru

pulang dari Guangzhou, China. Seperti yang dijelaskan Abby sebelum ini, dia pergi ke negara itu (pada 16 hingga 22 Januari lalu) atas urusan perniagaan yang turut ditemani dua lagi rakan mereka.

Cuma pada hari kejadian Abby dan Zul terpaksa pulang bersama kerana rakan mereka itu meneruskan perjalanan ke Beijing dan Hong Kong untuk meninjau peluang perniagaan di bandar raya itu.

Dalam masa yang sama ada juga beberapa pihak berpendapat, Abby sebenarnya terlupa, Zul cuba menggunakan populariti Abby itu untuk mendapat tempat dalam dunia seni. Sebagai pelakon baru, Zul perlu mencari tapak untuk berjaya dan menjadikan Abby sebagai batu loncatan. Antara contoh, Zul diterima oleh Skop Production memegang watak Inspektor Ashraff dalam drama bersiri Gerak Khas selepas Abby memperkenalkannya kepada produser Yusof Haslam.

Malam Rabu lalu saya bersembang panjang dengan Abby berhubung perkara itu.

“Saya harap peminat diluar sana jangan terus mengeruhkan suasana,” kata Abby. Malam berikutnya pula saya cuba mendapatkan Zul dan dia menolak persahabatannya dengan Abby kerana ada tujuan lain.

“Saya tidak menggunakan Abby untuk kepentingan saya,” kata Zul. Kepada wartawan NIEZAM ABDULLAH mereka meluahkan persoalan sebenar.

Sebelum saya nak Abby tolong jawab beberapa soalan panas, saya nak minta komen sikit kemunculan Abby dalam Gerak Khas.

ABBY ABADI: Masa watak saya ditamatkan dulu, saya kononnya ikut suami berpindah luar Kuala Lumpur. Tapi kali ini saya muncul semula dengan memegang watak Asisten Supritendan (ASP) Aleeza. Naik satu pangkat lagi.

Bagaimana dengan Zul dalam drama ni?

Dia jadi Inspektor Ashraff. Dalam drama Gerak Khas ni Zul kiranya staf sayalah.

Bagaimana untuk masa akan datang Norman tiba-tiba dipertemukan dengan Abby dalam drama ini. Boleh terima?

Tak berani nak cakap. Ini bukan soal professional atau tak? Apa yang jadi antara saya dengan dia benda yang serius. Benda ini sangat-sangat memberi kesan kepada kehidupan saya. Saya tak tahulah apa yang akan berlaku kalaulah kami dipertemukan dalam drama.

Sekarang ini orang macam dah pandang serong pada Abby gara-gara buat kenyataan berkawan dengan Zul. Abby tak fikir apa-apa?

Saya tak rasa pun orang pandang macam tu. Sebab saya bukan buat kesalahan besar pun. Saya tak perlu risau. Tapi kalau mana-mana pihak rasa ia kesilapan saya, saya minta maaf. Apa yang boleh saya kata, saya dapat sokongan yang baik daripada orang di belakang saya.

Dalam masa yang sama ada juga orang bercakap Zul kononnya nak ambil kesempatan pada Abby. Abby saja yang tak sedar. Apa komen Abby?

Saya sebenarnya nak bantu dia. Nak tolong dia sebab dia minat sangat dalam bidang lakonan. Saya nampak kesungguhan dia untuk berdikari. Bakat berlakon itu ada pada dia. Kalau betul Zul nak gunakan saya, saya harap benda itu tak berlaku.

Orang semakin pandang serong pada Abby. Kononnya belum habis edah, dah over?

Saya tak menafikan pandangan orang macam tu memang ada. Kalau boleh saya tak nak benda-

benda ini semua, orang akan pandang sinis pada saya. Ada juga yang nak saya kahwin saja dengan Zul kerana gosip kami tu. Macam-macam reaksilah.

Apa kata Zul pula?

Itu kena tanya dialah. Tapi terus terang kata Zul dia tak selesa dengan keadaan itu. Saya minta semua pihak tak jodoh-jodohkan kami. Mula-mula dulu kami anggap situasi ini biasa saja tapi sekarang dah jadi yang tak seronok. Dia baru nak berkembang. Ada keluarga. Banyak hati kena jaga.

Kisah Abby balik dari China dengan Zul berdua pada 22 Januari lalu jadi kontroversi. Kononnya sampai menyorok di balai ketibaan takut dengan wartawan.

Saya harap tak ada orang yang nak tokok tambah cerita. Kami pergi China empat orang. Jangan nak pandang yang tak elok. Penerbangan kami tertunda. Sampai pukul 1.30 petang, kira-kira pukul 2 petang kami keluarlah. Tak ada pun nak menyorok. Ada laporan kata kami dihalau baru nak keluar itu tak betul. Ada yang kata kami berpegang-pegangan tangan, itu pun merepek. Saya tak akan buat macam itu. Kalau nak buat laporan pun berpada-padalah. Ada benda boleh buat gurau, ada benda yang tak boleh.

Orang selalunya beranggapan yang tak baik. Apatah lagi soal hubungan Abby dengan Zul. Apa komen Abby?

Kadang-kadang saya fikir juga. Dalam apa juga situasi orang akan tetap cari salah saya. Saya kata saya tak ada apa-apa (hubungan dengan Zul), orang akan tetap kata kami ada hubungan. Susah macam ini.

Apa Abby rasa bila dikatakan hubungan Abby dengan Zul ditahap serius?

Kita orang kawan. Saya tak berani nak komen apa-apa. Jangan nak jodoh-jodohkan kami. Ia tak akan berlaku. Kami tak ada apa-apa. Bila jadi macam ini, kami rasa tak seronok sampaikan kami pernah bertikam lidah sebab orang nak “jodohkan” kami.

"Lantaklah apa korang nak kata" – Zul Abby Abadi

image ZUL: Zul ke China dengan Abby dan dua lagi teman. Abang angkat Zul khabarnya. Nak cari bisnes apa?

Di Guangzhou, China pusat segala fabrik. Kami ingat nak buat bisnes beli fabrik dari sana dan jual di Malaysia. Di sana barang memang murah. Kain-kain dia ada kualiti. Daripada kita ambil melalui orang tengah, lebih baik kita tengok sendiri dan bawa masuk barang-barang tu. Tapi masih di peringkat perancangan lagi. Terlalu awal. Tapi kita rancanglah dulu.

Rancang-rancang juga. Sekarang ni orang dah buat macam-macam spekulasi Zul dan Abby.

Saya pergi sana keluarga pun tahu. Yang penting tujuan dan niat saya bersih. Kalau orang nak kata saya apa-apa pun, lantaklah. Saya tak boleh buat apa.

Ada laporan menyebut Zul tak jaga hati pihak tertentu termasuklah girlfriend Zul. Yalah, sejak dah berkawan dengan Abby!

Benda tu saya tak nak sentuh. Susah nak hurai panjang-panjang. Tapi saya nak jelaskan sekarang yang saya single. Tak ada kekasih.

Bagaimana hati dan perasaan Zul terhadap Abby?

Benda ini dah banyak kali saya cakap dah. Tapi orang terus bertanya dan bertanya. Jawapannya sama. Kami masih kawan. Terpulanglah orang nak anggap macam-macam.

Timbul pula dakwaan Zul nak gunakan Abby untuk ambil kesempatan mengejar populariti. Boleh komen?

Sebenarnya saya gunakan kesempatan untuk belajar dengan dia. Tapi saya tak gunakan dia untuk tujuan kejar populariti saya. Benda tu tak terlintas langsung. Tak pernah niat macam itu pun. Kalau saya tak berusaha nak kembangkan bakat dan cari rezeki, tak berhasil juga. Kalau asyik keluar majalah pun tapi tak ada usaha, tak boleh berjaya.

Apa komen keluarga?

Dia orang faham. Dia orang tak kata apa-apa pun. Mereka pandang positif.

Tini & Sol tunggu hari bahagia

Seorang selebriti terkenal, seorang lagi bekerja di belakang tabir sahaja. Kerana dia selebriti, sudah pasti ini akan menjadi tumpuan apabila mahu mendirikan rumah tangga. Sudah pasti sedikit sebanyak akan terkena tempias populariti pasangannya itu.

Itulah hakikat yang terpaksa ditempuhi penyampai radio Hot FM, Kartini Kamalul Arifin dan pasangannya Nursulhi Jasmin (Sol) yang bakal mendirikan rumah tangga Februari ini.

Mereka mahu cerita perkahwinan ini agar tidak disiarkan terlalu awal sebelum hari bahagia menjelang kerana bimbang berlaku perkara yang buruk nanti.

Bukan mudah mengorek cerita daripada Sol kerana dia bukanlah selebriti popular seperti Tini yang sudah biasa berhadapan dengan media. Namun ia tidak menjadi penghalang kepada pengurus acara Hot FM ini untuk terus bercerita mengenai bakal isteri popularnya.

Mereka yang bakal dinikahkan di Dewan Perdana Felda 22 Februari ini. Majlis resepsi juga diadakan selepas majlis pernikahan bertemakan tradisional dengan rona merah hati, warna kegemaran Tini.

Pada saat usia semakin menginjak dewasa, mungkin sudah tiba masa untuk pasangan ini membina mahligai impian mengikut jejak langkah yang lain. Sudah pasti satu lagi fasa kehidupan bakal dilalui mereka yang pastinya akan mematangkan mereka.

l Buat persiapan sendiri

Sudah pasti setiap pasangan mengharapkan agar perkahwinan yang bakal mereka bina akan bergemerlapan dan menjadi hari yang paling diingati dalam hidup. Bukan mahu menandingi sesiapa, tetapi cukuplah jika ia meninggalkan kenangan manis kepada keluarga dan peminat.

Menurut Tini, untuk majlis resepsi bagi pihaknya, boleh dikatakan hampir semua persediaan dilakukan oleh kaum keluarganya terutama ibunya.

"Bukan Tini tak percayakan pada perunding perkahwinan, tapi ahli keluarga sendiri yang mahu terlibat sama dalam perkahwinan ini. Jadi, tidak ada salahnya untuk Tini dan keluarga sama-sama berganding bahu.

"Boleh dikatakan keseluruhan persiapan termasuklah bunga telur dan hiasan dalam dewan akan dibuat sendiri. Ia akan memberikan lebih kepuasan kepada Tini," ujar bekas pengacara 3R ini.

Jika kebanyakan artis lain sanggup ke luar negara semata-mata untuk membeli persiapan perkahwinan, lain pula ceritanya bagi pasangan ini. Kebanyakan keperluan boleh didapati di negara sendiri.

"Tak praktikal rasanya semata-mata mahu ke luar negara bagi mendapatkan barang-barang perkahwinan." kata Tini.

l Sol lelaki yang baik

Lewat petang berbicara mengenai pasangan ini, Tini mengatakan rasa kagumnya bila mendapat 'petunjuk' untuk bersuamikan Sol sebagai pilihan hati. Jelasnya, Sol bukanlah seorang lelaki yang romantik tetapi lebih praktikal. Sikap praktikal yang ditunjukkan oleh Sol selama inilah yang membuatkan Tini lebih menghargai hubungan tersebut.

"Keserasian antara kami memang wujud sejak mula-mula menjalinkan hubungan lagi. Tini seorang yang lasak dan tidak mempunyai karakter yang agak kuat.

"Jika menghadapi sebarang masalah atau dilanda kesedihan, Sol pandai memujuk dan memberikan nasihat kepada Tini. Sikap itulah yang benar-benar membuatkan Tini 'cair' dan mahu menjadi suri hidup Sol.

"Paling mencabar apabila melalui episod percintaan jarak jauh. Apa tidaknya, Tini menyambung belajar di London, manakala Sol pula di Malaysia.

"Kami hanya berhubung melalui e-mel dan hanya sesekali menelefon. Apa tidaknya, pada waktu itu baru Tini rasakan bahawa masa yang ada bersama memang terhad dan cukup Tini hargainya.

"Kalau ada bersama sudah pasti banyak perkara yang dapat dikongsikan bersama-sama. Tapi pada waktu itu Sol bukanlah orang pertama yang tahu apa sahaja perkara yang berlaku pada Tini," katanya pemilik Ijazah Kewartawanan dari Universiti of London.

Bila memasuki alam perkahwinan nanti, kata Tini tidak banyak perkara yang bakal berubah dalam hidupnya. Dahulu hanya dia keseorangan menghadapi suka dan duka, tetapi akan datang dia sudah punya pasangan yang bakal mendengar setiap kisah yang berlaku dan sama-sama menghadapinya.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa perkahwinan adalah penamat segala- galanya. Tini pula optimis bahawa perkahwinan adalah satu permulaan kepada kehidupan yang sebenar. Tidak banyak perkara yang akan berubah jelasnya.

Apa yang penting, dia mahu perkahwinan ini bakal mematangkannya dan menjadikannya lebih baik berbanding sebelumnya.

l Keluarga terkejut

Bagi Sol pula, saat yang paling sukar dilupakan apabila membawa Tini berjumpa dengan keluarganya di Kota Tinggi, Johor. Bukan kerana keluarganya tidak merestui, tetapi hampir kesemua ahli keluarganya terkejut dengan bakal isterinya, seorang selebriti terkenal.

"Memang saya merahsiakannya daripada pengetahuan ahli keluarga yang lain. Tetapi, akhirnya saya terpaksa memberi tahu juga apabila hubungan menjadi semakin serius. Setakat ini keluarga saya dapat menerimanya dan gembira dengan perkahwinan ini.

"Bagi saya, Tini seorang yang suka dimanjakan. Sikapnya yang berterus terang juga memang saya senangi," ujar anak kelahiran Johor ini.

Adatlah menjadi orang popular, sudah pasti menjadi tumpuan peminat. Sol juga tidak terkecuali terkena tempiasnya. Bagi Sol, dia sudah bersedia menghadapi semuanya asalkan ia tidak menjejaskan kehidupan mereka.

Sol juga tidak akan menghadkan aktiviti seni Tini selagi dia pandai untuk membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga serta menjaga batas-batas sebagai seorang isteri nanti.