Thursday, September 29, 2016

Almy Nadia, Fizz Fairuz selamat timang anak kedua



Almy Nadia, Fizz Fairuz selamat timang anak kedua
Foto yang dimuat naik Fizz Fairuz di laman Instagramnya‎.
PASANGAN selebriti Fizz Fairuz dan Almy Nadia selamat menimbang cahaya mata kedua mereka semalam.
Berita gembira itu dikongsi Fizz melalui akaun Instagram miliknya dengan memuatnaik gambar isterinya mengendong bayi mereka.
"Alhamdulilah, isteri saya telah selamat melahirkan anak kedua kamu pada pukul 9.00 PM tadi..amin. Doa yang baik-baik ye..hehehe," tulis pelakon itu tanpa mendedahkan jantina anaknya itu.
Pasangan itu sebelum itu dikurniakan anak perempuan, Afrina Arianna.
Kapsyen: Foto yang dimuat naik Fizz Fairuz di laman Instagramnya‎.

Raja Afiq impi jadi pelakon versatil



Raja Afiq
Raja Afiq
DRAMA Sayangku Kapten Mukhriz beri impak kepada karier seni pelakon baharu, Raja Afiq.
Masakan tidak, kerana karakternya sebagai Kapten Mukhriz atau Ustaz Mukhriz, namanya makin dikenali dan kelibatnya mula jadi perhatian.
Biarpun namanya dikenali menerusi watak berkenaan, namun jejaka berusia 22 tahun ini sebolehnya ingin lari dari imej Ustaz Mukhriz.
Jelas pemilik nama sebenar Raja Muhammad Afiq Raja Razali ini, dia tidak mahu hanya dikenali kerana satu watak semata-mata.
"Tidak dinafikan, ke mana saya pergi, andai ada yang perasan, orang akan panggil saya Ustaz Mukhriz.
"Tapi kalau boleh saya ingin lari dari imej tersebut kerana saya berharap untuk menjadi pelakon versatil yang boleh membawa pelbagai watak termasuk antagonis," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Raja Afiq berkata, bagi memberi kelainan dalam drama lakonannya pada masa akan datang, dia kini giat membina badan agak tampak lagi kekar berbanding kini.
"Sekarang saya sedang sibuk menjalani penggambaran Lara Cinta Ameena bersama Tiz Zaqyah dan pihak produksi minta saya bina badan agak tampak lebih matang.
"Jadi mahu atau tidak, saya terpaksa makan lebih daripada biasa dan pada masa sama, saya turut meluangkan masa ke gimnasium untuk membina badan agar tidak terlalu kecil," jelasnya.
Tidak hanya mahu dikenali sebagai pelakon versatil, Raja Afiq berkata, dia juga tidak mahu kisah cintanya lebih menjadi perhatian umum.
"Fokus utama saya untuk menceburi bidang seni kerana minat dan saya tak mahu orang lebih memberi perhatian kepada kisah cinta," katanya.

Tania Hudson tidak pilih watak



Tania Hudson
Tania Hudson
PELAKON Tania Nadira Hudson tidak kisah memegang apa-apa watak asalkan sesuai dengannya.
Adik kepada pelakon cantik, Natasha Hudson itu berkata, dia bukan memilih dan bersedia melakonkan apa-apa sahaja watak.
“Saya boleh menerimanya asalkan ia tidak bertindih dengan filem atau drama yang saya sedang lakonkan pada waktu tersebut,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Tania juga baharu sahaja selesai menjalani sesi penggambaran filem KL Special Force arahan Syafiq Yusof beberapa minggu lalu.
Menerusi filem tersebut, Tania membawa watak sebagai anak kepada ketua kumpulan kongsi gelap dan juga teman wanita kepada Fattah Amin, peneraju utama KL Special Force.
“Saya juga akan tampil dalam filem Abang Long Fadil 2 yang juga sudah selesai penggambarannya dengan memegang watak sebagai Yana, seorang wartawan yang cuba membantu Abang Long Fadil yang dilakonkan oleh Zizan Razak,” katanya.
Tania berkata, cukup berdebar menunggu detik tayangan kedua-dua filem lakonannya itu.
Dalam pada itu, Tania berkata, dia mahu fokus dalam dunia lakonan memandangkan sudah agak lama berehat dan kini aktif semula pada November tahun lalu.
“Saya tidak mahu fikir apa yang terjadi kepada saya sebelum ini. Saya mahu pandang ke hadapan dan tidak mahu menoleh lagi,” katanya.
Minat bersukan
Jika tidak terikat dengan jadual penggambaran, Tania akan memanfaatkan aktivitinya dengan bersukan, yang menjadi minatnya sejak dahulu lagi.
“Saya akan ke gimnasium berdekatan untuk bersenam. Kalau tidak apa-apa hal dalam sepanjang minggu, saya akan pergi ke gimnasium setiap hari,” katanya.
Selain ke gimnasium, gadis berusia 30 tahun itu turut meminati aktiviti lasak seperti memanjat bukit dan meredah sungai bersama rakan-rakannya.

Lepas cerai Cat Farish akui sunyi



Lepas cerai Cat Farish akui sunyi
SELEPAS disahkan bercerai April lalu, penyanyi Cat Farish mengakui berasa sedih dan sunyi tanpa anak-anak di sisi.
"Bila dah sembilan tahun berkahwin, duduk bersama dan mempunyai tiga orang anak dan tiba-tiba terpaksa berpisah, hati siapa tidak sedih," ujarnya dipetik Media Hiburan.
Menurutnya, dia kini tinggal seorang diri dan kesemua anaknya di bawah jagaan bekas isterinya.
"Anak-anak di bawah jagaan bekas isteri tapi saya boleh tengok bila-bila masa yang saya mahukan.
"Tak ada masalah tentang itu cuma itulah rasa sunyi tu lain," katanya.
Hasil perkahwinan bersama Hartinu Ramli, 33, Cat atau nama sebenarnya Farish Zaquan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Nia Karlysaa,9 Eva Latheefa,6 dan Qul Iskandar, 5.

Tun M tanya, Yusuf besar nak jadi apa?



Tun M tanya, Yusuf besar nak jadi apa?
Paparan skrin sedutan video yang dikongsikan di laman sosial Instagram Hairul Azreen.
"TERUJA dan berbesar hati," itu perasaan pasangan pelakon, Hanis Zalikha dan Hairul Azreen tatkala dapat bersua muka‎ dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di London.
Berkongsi klip video di Instagram tentang pertemuan itu, Hairul Azreen menulis ALLAH telah menunaikan permintaannya untuk bertemu Mahathir.
"Jom kita doakan untuk Tun dan keluarga," tulisnya lagi dalam perkongsian itu.
Dalam perkongsian video itu turut memaparkan Mahathir sempat 'berbual' dengan anak pasangan itu, Yusuf Iskandar.
"Besok (besar nanti) nak jadi apa?," tanya Mahathir dan pertanyaan itu disambut Hasmah yang mengatakan "dia (Yusuf) nak bercakap tu".
Menurut Hanis Zalikha, Yusuf yang kini berusia 3 bulan memang suka bersembang.
Difahamkan Mahathir bersama rombongan ke London atas urusan kerja. Sementara Hairul Azreen dan Hanis Zalikha bercuti ke sana.

Ain Sufia mahu pelbagaikan bakat seni



Ain Sufia mahu pelbagaikan bakat seni
MUNGKIN ramai tidak perasan, Ain Sufia atau juga dikenali sebagai Ain Kumpulan Awok sebelum ini dikenali sebagai seorang pelawak merupakan seorang pelakon pentas. Minat mendalam dalam bidang lakonan juga membuatkan anak kelahiran Negeri Sembilan ini tekad memilih bidang seni sebagai kerjaya utamanya.
“Saya bermula sebagai seorang pelakon pentas. Saya cenderung kepada bidang lakonan semenjak zaman belajar lagi. Saya cuba menimba pengalaman menerusi peluang yang diperoleh. Namun ia bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi banyak bakat baru yang turut mencari peluang menempatkan diri dalam industri.
“Namun siapa sangka penglibatan saya menerusi program Bintang Mencari Bintang (2013) membuka lembaran baru dalam hidup saya. Bukan sebagai pelakon, tetapi pelawak. Saya sendiri tidak menyedari dalam diri saya ini ada bakat seorang pelawak. Bersama seorang lagi anak didik Raja Azura dalam program tersebut iaitu Filzah Azmi, kami digabungkan menjadi kumpulan Awok. Di sinilah saya mula dikenali sebagai seorang pelawak,” imbas graduan Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Teater) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini.
Begitu pun, kata Ain, minatnya dalam bidang lakonan tidak pernah terpadam dan sentiasa mencari peluang untuk memenuhi tawaran berlakon.
“Saya tidak menafikan peminat lebih kenal saya sebagai pelawak berbanding pelakon. Malah orang mula sedar kewujudan saya dalam industri pun kerana bidang komedi. Namun itu tidak bererti saya harus meninggalkan lakonan yang menjadi minat saya sebelum  ini. Alhamdulillah, tawaran berlakon tidak putus datang dan memberi peluang kepada saya untuk mencuba pelbagai watak.
“Saya mahu memberi tumpuan kepada kedua-duanya kerana ia saling berkaitan. Banyak benda baru yang telah saya belajar dan secara tidak langsung juga memberi pengalaman yang berbeza. Jika terlibat dengan program lawak, orang akan melihat saya dengan karakter yang sentiasa ceria. Namun dalam lakonan, saya banyak ditawarkan dengan watak-watak serius dan bertentangan sama sekali dengan karakter saya di pentas komedi,” katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Sri Bulan untuk Slot Tribute P Ramlee.
Tidak sekadar itu, pelakon yang pernah membintangi teater Nyiur Gading Puncak Mahligai ini juga merupakan seorang penyampai radio online, SkyLive. Kepetahannya berkata-kata membuatkan penampilannya di radio diterima baik pendengar.
“Saya hanya mencuba-cuba, tidak sangka pula menerima respons yang begitu positif dari pendengar. Semua ini menjadi motivasi terbaik untuk saya memperbaiki segala kekurangan diri dan terus melangkah ke depan.
“Biarpun terpaksa berdepan dengan rutin harian yang agak sibuk, saya sebaiknya cuba menjaga disiplin diri agar segala kerja yang dilakukan itu berjalan dengan lancar. Malah dalam masa yang sama juga tidak menyusahkan pihak lain yang bekerjasama dengan saya. Bagi saya, tidak harus ada kompromi tentang disiplin jika kita mahu berjaya,” ujarnya bersungguh.
Meskipun banyak terlibat dengan tawaran kerja secara solo, Ain menegaskan tidak pernah mengetepikan komitmennya dengan kumpulan Awok.
“Kami saling menyokong dan memahami semenjak mula terlibat dalam industri ini sehinggalah sekarang. Bila ada tawaran yang memerlukan kami tampil berdua, kami akan melakukannya sama-sama dan begitulah sebaliknya. Saya dan Filzah juga sering membuat video sketsa komedi dikenali sebagai Geng Very Style yang boleh ditonton di laman Youtube. Video-video ini kami hasilkan khas buat peminat yang sentiasa menyokong kumpulan Awok,” katanya.

Fasha Sandha idam watak 'superwoman'



Fasha Sandha idam watak 'superwoman'
TEMPOH lebih 15 tahun di dalam gelanggang lakonan tempatan barangkali sudah cukup memberi ruang yang selesa buat Fasha Sandha, 32, dalam skala seni hiburan tempatan.
Ternyata, usaha dan kerja kerasnya dalam membina nama kian berbaloi apabila drama terbaru lakonannya, Lara Aishah yang ditayangkan menerusi saluran Astro Prima dan Maya HD mendapat sambutan yang di luar jangkaan.
Ditanya mengenai sambutan baik yang diterima di kalangan penonton itu, Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan melahirkan rasa gembira dan terima kasih buat penonton yang tidak jemu-jemu mengikuti perkembangan filem dan drama lakonannya.
Menerusi drama tersebut, aktres ini memegang watak sebagai Aishah dan antara pelakon lain yang turut sama terlibat ialah Nazim Othman (memegang watak sebagai Iskandar) Shah Jaszle (Zack), Afzan A. Rahman (Azlan), Dayana Roza (Wani) dan ramai lagi.
“Alhamdulillah, drama tersebut merupakan permulaan buat saya secara peribadi untuk melakonkan watak yang lebih berat dan berlainan daripada sebelum ini.
"Syukur, drama tersebut mendapat sokongan di kalangan penonton dan ia jadi trending hampir setiap hari di media sosial.
“Khabarnya juga rating yang diterima pun tinggi. Sudah tentunya saya rasa seronok dan bangga. Tentunya, ia merupakan satu pencapaian buat saya apabila drama yang dilakonkan mendapat sambutan yang memberangsangkan. Terima kasih kepada  semua yang menyokong,” katanya.
Seiring dengan kebolehan dan kepercayaan produser terhadap kualiti lakonannya juga, ibu tunggal ini turut menyuarakan hasrat mengidamkan watak yang lebih terkesan dan mendalam bagi mencabar kebolehan diri selepas ini. Katanya lagi, jika diberi peluang dia mahu saja melakonkan watak seorang superwoman!
“Watak idaman, kalau boleh saya mahu beraksi sebagai superwoman. Maksud saya peranan yang lebih ekstrem daripada watak yang pernah saya bawa sebelum ini, Insya-ALLAH,” ujar Fasha yang kekal sibuk di lokasi penggambaran Lara Aishah sehingga penghujung November hadapan.
Fokus satu bisnes
Berkongsi perihal bisnes salon rambutnya yang sudah pun enam tahun beroperasi, Fasha nyata optimis terhadap apa yang dilakukannya sekarang.
Pun begitu, aktres versatil ini mengakui tidak mahu terburu-buru membuka perniagaan lain misalnya produksi sendiri bagi mengelakkan dirinya kelam-kabut di kemudian hari.
“Soal bisnes, Alhamdulillah saya seronok dalam mengusahakan salon rambut iaitu Chinta Hair Salon & Beauty dan kami pun sudah mempunyai pelanggan tetap.
"Jujurnya saya tidak terfikir lagi untuk membuka produksi sendiri kerana saya sedia sibuk dengan komitmen sebagai seorang pelakon, pengusaha salon dan duta produk," katanya.
Fasha tidak terfikir untuk ke arah itu kerana buat masa sekarang, lebih baik untuknya memberi fokus dengan apa yang saya usahakan sekarang ini.
"Lebih-lebih lagi komitmen saya kini hanyalah untuk drama Lara Aishah kerana tempoh penggambarannya yang panjang iaitu 100 episod,” terangnya ringkas.
Dalam perkembangan lain, Fasha kini merupakan wajah wakilan untuk beberapa jenama antaranya haruman Fasha Sanda by D’haja.
“Pada masa sama, saya ada mendapat tawaran untuk berlakon di dalam sebuah filem selepas ini. Namun saya masih belum beri jawapan sama ada mahu menerima atau pun tidak kerana saya ada terfikir untuk berehat seketika selepas selesai penggambaran drama Lara Aishah,”katanya lagi.