Thursday, April 28, 2016

Hazama, 6th Sense gegar karnival MLM 2016




Hazama
Hazama
PENYANYI tengah meletup Hazama bakal menggegarkan Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru malam esok pada mini konsert Karnival Gempak Muafakat Johor sempena malam akhir Maharaja Lawak Mega 2016.
Selain Hazama, buskers yang semakin popular di persada muzik tanahair, Genji Buskers bersama Project Band akan turut membuat persembahan pada mini konsert itu.
Menurut penganjur karnival, Nor Azhar Abdul Hamid, penganjuran Karnival Gempak Muafakat Johor diadakan untuk memeriahkan malam perhitungan terakhir MLM 2016 di samping menyediakan ruang ekonomi kepada masyarakat Johor khasnya untuk berniaga melalui gerai-gerai jualan yang disediakan.
"Kami berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh penaja utama karnival ini Lace Motor Sdn Bhd dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk menganjurkan program berkenaan.
"Oleh itu kami berusaha memberikan sesuatu penganjuran terbaik dengan membawa Hazama, Genji Buskers dan Project Band untuk membuat persembahan istimewa menghiburkan pengunjung di karnival berkenaan," katanya kepada Zass.
Jelas Azhar lagi, kumpulan 6th Sense juga akan membuat penampilan istimewa di tapak karnival pada jam 8 malam sebelum bermulanya final MLM 2016, Jumaat ini.
Selain persembahan artis berkenaan, Juara MLM 2016 nanti juga akan diberi penghormatan untuk membuat persembahan secara terbuka kepada pengunjung karnival pada Sabtu ini.
"Pengunjung pasti akan merasai kemeriahan karnival ini yang diselitkan dengan pelbagai aktiviti menarik lain seperti pameran auto, larian dan juga cabutan bertuah kepada pengunjung terpilih.
"Saya mengajak penduduk Johor khasnya dan masyarakat berdekatan negeri Johor untuk datang ke karnival ini dan bersama-sama memeriahkan malam akhir MLM 2016," ujar Azhar.

Hans Isaac seimbang bisnes, kerjaya




Hans Isaac

WAJAH selebriti ini sudah lama tidak muncul dalam mana-mana drama bersiri. Jika filem pula, mungkin hanya sekali dalam setahun.
Bukanlah bermaksud sombong atau meninggi diri, hakikatnya, Datuk Hans Isaac terlalu sibuk dengan imejnya sebagai ahli korporat yang berjaya.
“Mungkin orang tidak nampak, tetapi sebenarnya saya perlu menguruskan empat syarikat secara serentak.
“Saya banyak bekerja di belakang tabir, melibatkan diri dalam bidang minyak dan gas (O&G), pengarahan, penerbitan dan seni teater.
“Saya terlalu kuat bekerja, bahkan jadual saya juga padat dan perlu bekerja sehingga jam 11 ke 12 malam,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas rakaman Sembang Teh Tarik Kaw di Studio Pinewood Iskandar Johor Bahru, baru-baru ini.
Namun, tanpa disedari, pemilik nama sebenar Gerald Hans Isaac ini sudah pun berkecimpung selama 25 tahun dalam industri seni hiburan.
“Terlalu banyak kenangan pahit manis dan jatuh bangun yang sudah saya lalui sepanjang tempoh itu,” katanya.
Lebih membanggakan, pelakon filem Persona Non Grata ini juga pernah bekerja di bawah produksi luar negara seperti Thailand, Singapura dan Filipina.
“Saya bakal muncul dalam sebuah filem Indonesia berjudul Bayang. Sebelum ini, saya berlakon dengan produksi Filipina bagi menjayakan filem Miss You Like Crazy dan Singapura untuk Carmina.
“Saya suka bekerja dengan produksi luar kerana mereka membawa saya sebagai pelakon. Ia adalah satu penghargaan buat saya,” katanya.
Terus bangkit, teraju utama filem Nota ini mengakui masih belum puas dengan pencapaian yang dimilikinya terutama dalam bidang seni.
“Jika untuk industri, ada beberapa impian saya yang masih belum digapai mengikut elemen yang berbeza.
“Menerusi bidang teater, impian terakhir saya  adalah untuk mementaskan teater, Rejang di Kota London. Saya mahu menjadi produksi pertama tempatan yang berkemampuan mementaskan teater di sana.
“Bagi filem pula, saya mahu menghasilkan sebuah filem yang berkisarkan kehidupan mendiang ibu saya, Carmina Anciano Isaac. Saya tidak akan berlakon dalam filem itu, tetapi apabila menghasilkannya, saya rasa itu sudah cukup memberi kepuasan,” katanya.
Pada masa sama, Hans tampil menerbitkan teater Lawak Ke Der yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 hingga 8 Mei depan.
“Acara ini hanya diadakan setahun sekali, jadi selaku pengarah, saya akan pastikan setiap pelawak terlibat tidak mengulang idea yang sama. Untuk itu, saya tetapkan syarat supaya idea haruslah segar bagi menjaga kualiti persembahan agar pelawak tidak hambar,” katanya.
Bakal berkahwin?
Beralih kepada sisi peribadinya, Hans yang kini sudah berusia 45 tahun mengakui tidak pernah menyesal kerana lambat mendirikan rumah tangga.
Pelakon filem Misteri Jalan Lama itu sebaliknya memberikan gambaran buruk sekiranya berkahwin awal lantaran tidak bersedia menunaikan tanggungjawab sebagai suami.
“Jika saya berkahwin awal, mungkin perkahwinan itu tidak akan bahagia.
“Mungkin saya akan bercerai. Saya tidak mahu perkara itu terjadi dalam hidup saya,” katanya.
Disifatkan sebagai terlalu memilih dan cerewet dalam soal jodoh, Hans mengakui mengharapkan wanita yang sempurna untuk dijadikan teman hidup.
Namun, seiring dengan peredaran usia, pelakon filem Lemak Kampung Santan ini akhirnya akur tiada yang sempurna di dunia ini.
“Ada teman memberitahu, dalam mencari pasangan hidup tidak ada yang sempurna. Mungkin 20 peratus tidak sempurna dan hanya 80 peratus.
“Jadi, sebagai lelaki, sayalah yang perlu berusaha untuk melengkapkannya supaya menjadi sempurna.
“Dengan usia sekarang dan keyakinan yang tinggi untuk berkahwin, saya juga yakin menyatakan andai saya berkahwin sekarang, saya boleh menjadi lelaki yang penyayang serta suami terbaik,” katanya.
Mengakui sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seseorang, Hans bagaimanapun enggan menceritakannya dengan lebih lanjut.
Katanya, situasi itu didorong oleh pengalaman silam yang akhirnya menyebabkan hubungan cintanya kecundang di tengah jalan.
“Saya belum bersedia umumkan siapakah orangnya. Adakah dia artis atau orang biasa tunggulah masa yang sesuai,” katanya.

Selepas Hilangnya Kasih Shuhaimi Lua pertaruh Rajuk




Selepas Hilangnya Kasih Shuhaimi Lua pertaruh Rajuk

SELEPAS berjaya menarik perhatian ramai menerusi telefilem Hilangnya Kasih yang disiarkan di slot Skrin Di 9, 22 Februari lalu, pengarah dan penerbit berkaliber, Shuhaimi Lua kembali mempertaruhkan sebuah lagi telefilem, Rajuk.
Bagaimanapun berbeza dengan Hilangnya Kasih yang tampil dengan genre berat, Rajuk pula merupakan sebuah karya bergenre komedi yang diterbitkan menerusi Tanah Beris Film Production Sdn Bhd.
Telefilem ini juga akan disiarkan menerusi slot Skrin Di 9 pada 2 Mei ini, bermula jam 8.30 malam.
Rajuk dibarisi pelakon hebat seperti Shamsul Ghau Ghau, Rosnah Mat Aris, Niezam Zaidi, Azad Jasmin, Mawar Rashid, Baharin Kadir, Shaafeeka Farhana dan Eqbal Eisid.
Menurut Shuhaimi, biarpun judulnya tampak berat, namun telefilem ini lebih menjurus ke arah kekeluargaan dan berbentuk komedi.
“Telefilem ini adalah hasil tulisan skrip Shahremy Ikmal dan olahan oleh Zyza Backy.
“Ia mengisahkan seorang ayah yang berubah sikap, iaitu kuat merajuk selepas kematian isterinya dan anak-anaknya berusaha untuk memujuk ayah mereka dengan pelbagai cara,” katanya kepada Zass.
Menjalani penggambaran di sekitar Pekan, Pahang dari 7 hingga 13 Mac lalu, Shuhaimi berkata, dia turut menyelitkan kesan khas di dalam telefilem ini.
“Saya mahu menampilkan kelainan di dalam telefilem ini dan tidak mahu nampak sama seperti telefilem lain. Oleh sebab itu, saya selitkan kesan khas menerusi beberapa babak.
“Bagaimanapun tidaklah secara keterlaluan dan hanya pada babak-babak yang bersesuaian untuk menambah mood ketika menonton," katanya yang sebelum ini pernah mengarahkan drama hebat seperti Maaf Jika Aku Tak Sempurna, Rebah Taubat, Perempuan Tanpa Rahim, Beruk Tok Ayah, Ramadhan Jangan Tinggal Kami dan Nasuha.
Puji pelakon
Bercerita lanjut mengenai pembikinan telefilem ini, Shuhaimi berkata, dia tidak mengalami masalah atau cabaran kerana segalanya diaturkan lebih awal.
“Saya mengamalkan sikap bekerja lebih awal menerusi praproduksi di mana saya akan tinjau kawasan, bincang dengan penaja dan juga pelakon sebelum menjalani penggambaran.
“Malah pelakon juga memberi komitmen yang cukup baik sepanjang penggambaran telefilem ini, walaupun ada lama dan baharu, tetapi mereka tidak ada masalah bekerjasama. Begitu juga dengan Shamsul, biarpun sudah berhijrah kini, tapi dia sporting untuk menjayakan babak seperti menari,” katanya.
Rajuk mengisahkan Pak Tam (Shamsul) kematian isterinya, setahun yang lalu. Sejak kematian isterinya itu, Pak Tam mula berubah sikap. Keadaan itu merisaukan kedua-dua anaknya iaitu Hisyam (Azad) dan Azmir (Niezam), tambahan pula majlis kenduri kahwin Hisyam akan dilangsungkan tidak lama lagi.
Pak Tam cuba gembirakan hatinya dan tidak mahu menyusahkan kedua-dua anaknya itu dan berjanji untuk menguruskan majlis kenduri kahwin yang mereka rancangkan  dengan jayanya.
Bagaimanapun, rajuk Pak Tam kembali apabila pakaian istimewa yang dijahitkan oleh arwah isterinya hilang menyebabkan dia tidak pedulikan lagi majlis kenduri yang akan diadakan nanti.
Hisyam dan Azmir beranggapan Pak Tam berkeadaan begitu disebabkan tekanan akibat kematian emak mereka dan dua beradik itu mula merancang menjodohkan ayah mereka dengan Mak Ros (Rosnah).
Apakah yang akan terjadi seterusnya? Adakah Pak Tam dan Mak Ros bersetuju?  Ke mana baju Pak Tam menghilang?
Semua jawapan itu akan terjawab di dalam Rajuk.

Jihad Music The Gig




Jihad Music
TANPA kita sedar medium muzik bukan hanya memberi hiburan semata-mata, tetapi ia juga mampu dijadikan sebagai platform membantu golongan yang memerlukan.
Di atas rasa tanggungjawab itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), KengkawanProject dengan kerjasama Alternate Steps menganjurkan konsert amal Jihad Music The Gig yang bakal menampilkan persembahan daripada Alfarabiband dan penampilan istimewa Sam Cromok.
Ketua Alfarabiband, Nazri Alias berkata, peminat yang hadir bukan sahaja berpeluang menyaksikan persembahan, malah secara tidak langsung membantu mereka yang memerlukan.
“Konsert ini bukan semata-mata menghiburkan penonton yang hadir atau hanya bercakap mengenai muzik, namun di sebaliknya penganjuran ini adalah untuk membantu golongan yang kurang mampu.
“Sebahagian hasil penjualan tiket nanti, kita akan salurkan ke tabung amal KengkawanProject yang digunakan untuk program Ramadan ini.
“Beberapa artis lain turut membuat persembahan pembukaan pada konsert nanti,” katanya kepada Zass.
Tambah Nazri, pada konsert itu juga Alfarabiband melancarkan single terbaru mereka Form Mula hasil kolaborasi bersama Sam Cromok.
Jihad Music The Gig bakal berlangsung pada 7 Mei ini bertempat di Talent Lounge, Damansara Perdana bermula 2 petang.
Tiket dijual pada harga RM70 boleh dibeli secara terus di lokasi konsert berlangsung.
Alfarabiband adalah kumpulan muzik yang mengetengahkan muzik progresif metal dalam menyampaikan mesej berunsurkan perjuangan dan motivasi.

Black: Masih Di Sini Hadiah buat peminat




Black

SETIAP tahun, penyanyi ini pasti menampilkan nyanyian yang menghiburkan. Tambahan pula vokal mantap yang dimiliki juara program Mentor musim ketiga ini tidak pernah mengecewakan.
Lagu Aku Rindu Sayang Kamu, Sofea Jane dan Leia antara karya yang berjaya melonjakkan namanya di persada industri hiburan tanah air di awal kemunculannya.
Selepas menampilkan Obsesi pada 2011, kini Hanifah Hanafiah atau Black tampil dengan album terbarunya, Black...Masih Di Sini.
Lima tahun bukanlah tempoh masa pendek untuk menghasilkan sesebuah album, namun Black memiliki alasan tersendiri.
“Alhamdulillah, akhirnya album ini dapat juga dilancarkan. Bagi saya, ini adalah satu penantian yang penuh onak duri kerana masa yang diambil agak panjang.
“Dalam menghasilkan album, saya menitik beratkan kualiti karyanya dan kalau boleh saya bukan hanya mahu ia menghiburkan peminat saya malah akan memberi impak yang positif dalam kehidupan mereka.
“Saya mahu berterima kasih kepada pihak yang sering menyokong kerjaya saya dari awal sehingga kini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran album  Black...Masih Di Sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai buah tangan terbarunya itu, Black memberitahu ia memuatkan sebanyak lima single yang pernah dilancarkan sebelum ini seperti Teman Pengganti, Puisi Sang Dewi, Mana Mungkin, Si Putih Si Merah dan Takkan Terpisah.
“Memang kesemua lagu yang dimuatkan dalam album ini telah dilancarkan sebagai single dan tidak ada lagu baharu. Mungkin album ini boleh dijadikan sebagai koleksi untuk peminat.
“Sebenarnya album ini telah disiapkan awal tahun lalu dan Mana Mungkin adalah single baharu yang dimuatkan dalam album ini namun atas sebab tertentu, pihak label terpaksa menangguhkan pelancarannya.
“Biarpun begitu, apa yang istimewanya mengenai album ini, kita selitkan sekali sekeping CD yang memuatkan lagu-lagu yang sama dalam versi karaoke dan muzik video sebagai hadiah kepada peminat,” katanya yang bakal terlibat dengan jelajah promosi album di Langkawi menerusi  Karnival Belia Langkawi bersama Black pada 29 April sehingga 1 Mei ini.
Tulis lagu
Bercerita mengenai perkembangan terbarunya selain album, Black memberitahu selain nyanyian, dia juga mahu berjinak-jinak dalam penulisan lagu.
“Sebenarnya selepas pelancaran album ini, saya akan tampil dengan single baharu iaitu Anugerah Terindah ciptaan Omar K.
“Dan selepas terhasilnya single itu, Insya-ALLAH, saya akan tampil dengan sebuah lagu yang menampilkan hasil tulisan saya sendiri,” katanya.
Selain itu, Black memberitahu dalam tempoh masa yang terdekat dia bakal terlibat dengan rakaman semula lagu tema kempen Ramadan TV3, Syukur Selalu.
“Lagu masih sama cuma dari susunan muziknya akan berubah sedikit.
“Saya masih akan berduet bersama Dayang Nurfaizah seperti tahun lalu,” katanya.

Mia Sara tampil jenama sendiri




Mia Sara

GOLONGAN artis menceburi bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia semakin menjadi pilihan di kalangan mereka untuk menambah pendapatan sedia ada dengan memperkenalkan pelbagai produk keluaran sendiri.
Usia bukan penghalang, selepas tampil dengan imej bertudung, pelakon cilik Mia Sara turut tertarik untuk melakukan perkara yang sama dengan melancarkan jenama pakaiannya sendiri iaitu MS Couture.
Menurut bintang telefilem Strawberi Karipap Hello Gold Coast ini, idea untuk memulakan perniagaan tersebut timbul sejak penghijrahannya pada Disember lalu.
"Alhamdulillah, saya mula berjinak-jinak dalam bidang ini sejak awal Januari lalu selepas pulang daripada menunaikan umrah.
"Saya bermula dengan menghasilkan tudung terlebih dahulu sebelum mengembangkannya kepada baju kurung dan jubah.
"Sebenarnya, perancangan untuk perniagaan ini adalah merupakan salah satu matlamat untuk jangka masa yang panjang buat diri saya untuk memiliki perniagaan dengan jenama sendiri," katanya pada majlis pelancaran MS Couture, baru-baru ini.
Bercakap lebih lanjut mengenai jenamanya itu, Mia memberitahu setakat ini dia memperkenalkan tiga jenis tudung, Muna Sumiyah, Shuhrah dan Mahabbah dengan kualiti terbaik yang direka khas untuk golongan ibu dan kanak-kanak.
"Setiap satu rekaan tudung ini memiliki keistimewaannya yang tersendiri dan yang paling penting adalah kualiti untuk menjamin keselesaan kepada mereka yang memakainya.
"Begitu juga dengan jubah, kita telah hasilkan tiga rekaan seperti Marissa, Sofia dan Madeena. Dan satu rekaan baju kurung moden yang diberi nama Samira," katanya yang gembira dengan sambutan baik terhadap perniagaannya itu.
Dalam perkembangan lain, Mia memberitahu dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama Strawberry & Karipap.
“Selain perniagaan, saya bersyukur karier lakonan masih berjalan dengan baik dan kalau boleh saya mahu seimbangkan kedua bidang ini," katanya.

Kluang Kreatif1020 jadi lokasi tarikan baharu




Kluang Kreatif1020 jadi lokasi tarikan baharu
Pelukis sedang menyiapkan lukisan 3D di atas jalan.
KLUANG - Majlis Perbandaran Kluang (MPK) melancarkan program Kluang Kreatif1020 sebagai tempat tumpuan baharu untuk masyarakat di daerah ini beriadah bersama keluarga.
Yang Dipertua MPK, Ismail Abu berkata, program itu inisiatif pihaknya mempelbagaikan pusat rekreasi di daerah ini, selain Taman Tasek Putih Kluang dan Taman Merdeka.
Beliau berkata, Kluang Kreatif1020 adalah program mencantikkan lorong belakang kedai dengan lukisan mural, 3D dan kesenian.
“MPK memperuntukkan RM20,000 untuk mencantikkan lorong belakang sepanjang 100 meter di Jalan Teoh Siew Khor dengan 24 mural.
“Lukisan mural ini melibatkan dua dinding di belakang lorong premis untuk dijadikan laman kreatif sebagai daya tarikan kepada masyarakat di daerah ini.
“Kali ini kami beri peluang kepada masyarakat di daerah ini untuk melihat sendiri bagaimana lukisan mural dibuat. Jika sebelum ini kita hanya akan war-warkan kepada orang ramai apabila siap, tetapi inilah kelainan ingin diketengahkan untuk menunjukkan cara lukisan tersebut dihasilkan,” katanya selepas pelancaran program Kluang Kreatif1020 di belakang lorong Jalan Teoh Siew Khor, di sini, semalam.
Ismail berkata, nama Kluang Kreatif1020 dipilih sempena pembukaan daerah Kluang sejak 1910 dan perubahan yang akan dialami hingga 2020.
Katanya, konsep diketengahkan adalah berdasarkan keadaan zaman pembukaan, kini dan masa akan datang.
“Laman kreatif ini akan dilukis dengan lukisan menggambarkan daerah ini sendiri yang lebih kepada kereta api dan kopi.
“Itulah yang menjadi keistimewaan di daerah ini dan ia akan dijalankan secara berperingkat. Lorong belakang ini adalah fasa pertama termasuk dalam projek Rancangan Khas Kawasan (RKK)," katanya.