Tuesday, June 26, 2012

Almy Nadia Nekad Enggan Terjerat Dengan Kontroversi

Almy Nadia.

PETALING JAYA:Pelakon Almy Nadia mengambil pendekatan enggan membuka mulut mengenai hubungannya dengan aktor Fizz Fairuz selepas kenyataannya sebelum ini telah disalahertikan.

Almy, 25, berkata, pendekatan itu diambilnya kerana dia tidak mahu terus terjerat dengan kontroversi sedemikian rupa pada masa akan datang.

"Apabila wartawan bertanya mengenai lamaran Fizz untuk memperisterikan saya, jawapan yang diberikan adalah jujur dan ikhlas daripada hati saya.

"Buat apa saya hendak menipu atau menokok tambah perkara yang tidak berlaku tetapi rupa-rupanya apa yang keluar daripada mulut saya telah ditafsirkan dengan cara berbeza sehingga banyak pihak menghentam saya.

"Sebab itu saya tidak mahu lagi bercakap mengenai hal-hal peribadi kerana enggan lagi dituduh dengan macam-macam tohmahan," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Almy, dia perlu berkorban bagi memperbaiki situasi yang keruh dan tidak menafikan kelantangannya memberikan kenyataan mengenai hubungan mereka telah menyumbang kepada kekecohan tersebut.

Dalam pada itu, Almy memberitahu hubungannya dengan Fizz masih berada dalam keadaan baik dan mengakui ada bertemu dengannya untuk berbincang mengenai perkara berbangkit yang timbul di antara mereka berdua.

Almy bagaimanapun enggan mendedahkan kedudukan sebenar hubungan itu dan biarlah perkara itu diketahui oleh mereka berdua dan Allah sahaja.

"Rasanya biarlah antara kami dan Allah sahaja yang tahu dan tidak perlu lagi kecoh-kecoh dan sejujurnya saya lebih senang dengan keadaan begini.

"Hubungan kami pun masih baik dan sering bertemu untuk berbincang malah kami ada melakukan aktiviti sukan bersama selain Fizz ada datang ke hospital untuk melawat semasa saya menjalani pembedahan apendiks tempoh hari," katanya.

Bagaimanapun kata Almy, di sebalik kekecohan itu, dia mengakui ada hikmah tersembunyi kerana mereka lebih banyak berkomunikasi bagi menyatakan rasa yang terpendam di dalam hati masing-masing.

"Kejadian itu ada hikmahnya apabila kami lebih banyak berkomunikasi untuk menyatakan apa yang terpendam supaya tidak lagi timbul salah faham," katanya.

Hubungan kedua-dua pelakon itu menjadi panas selepas Almy memberikan kenyataan dengan mengatakan hubungannya dengan Fizz Fairuz diibaratkan seperti retak menanti belah.

Ia disebabkan mereka tidak lagi mesra sejak dua tahun kebelakangan ini.

Reaksi itu dibuat dua minggu selepas Fizz memberitahu media hasratnya untuk memperisterikan Almy.

Zizan Razak Tidak Mahu Kerja Selepas 12 Malam

Zizan Razak

KUALA LUMPUR: Pelawak Zizan Razak, 28, menetapkan syarat kepada mana-mana pihak produksi untuk tidak bekerja lebih dari pukul 12 tengah malam kerana faktor kesihatan.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata, sekiranya pihak penerbit tidak boleh menerima syarat-syarat itu, dia sanggup menolak tawaran yang diberikan walaupun bayaran yang ditawarkan lumayan.

"Sejak dimasukkan ke hospital akibat keradangan otot pada 29 April lalu, saya menyedari penjagaan kesihatan amat penting.

"Alhamdulillah, sejak keluar daripada hospital, doktor menasihatkan supaya mengehadkan waktu bekerja dan kini, setiap kali menerima tawaran berlakon, saya menetapkan syarat untuk bekerja sehingga pukul 12 tengah malam sahaja.

"Mujurlah setakat ini, tiada produksi yang merungut dan mereka sangat memahami dengan keadaan saya ini," katanya.

Beritahu Zizan, kesibukannya bermula sejak menerima anugerah Pengacara Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) pada April lalu.

Atas dasar ingin membalas budi, dia sanggup bekerja keras agar peminat-peminatnya bangga terhadap pencapaian tersebut.

"Anugerah itu sebagai bukti peminat adalah tulang belakang utama dalam setiap kejayaan saya, mereka sanggup berhabis wang untuk mengundi.

"Sebab itu saya bekerja tanpa mengira waktu, selagi ada kudrat, selagi itulah saya bekerja. Tapi lain pula jadinya apabila saya pula yang ‘tumbang’," selorohnya.

Sementara itu, filem lakonan Zizan iaitu Mael Lambong telah pun ditayangkan sejak 21 Jun lalu.

Menurut Zizan, dia tidak sangka jenama 'Mael Lambong' yang direka sendiri ketika menyertai Maharaja Lawak bersama Johan mendapat perhatian daripada pengarahnya, Ahmad Idham.

"Jujur saya katakan, 'Mael Lambong' adalah satu watak rekaan yang sangat saya sayangi, tak sangka pula ia difilemkan terus.

"Bagus juga, kerana saya juga mahu Mael Lambong dijadikan sebuah drama berepisod," tuturnya.

Filem itu mengisahkan tentang Mael Lambong (Zizan), seorang penarik kereta profesional terjebak dengan sebuah komplot apabila bertemu dengan Maria (Juliana Evans) secara tidak sengaja.

Antara pelakon lain yang membintangi filem tersebut ialah Shenty Feziliana, Shuib (Sepah) dan Sabri Yunus.

Heliza Helimi Tempuh Pelbagai Pengalaman Kerana Makanan Halal

Heliza Helmi

KUALA LUPUR: Penyanyi Heliza Helmi menjelaskan, bergelar pengacara bagi rancangan Rasa Halal Antarabangsa siaran Astro Oasis merupakan satu peluang luar biasa apabila dia dapat meneroka pelbagai jenis makanan di lima buah negara.

Heliza berkata, pengalaman berada di Turki, United Kingdom, Perancis, Australia dan Korea Selatan itu amat menarik kerana dia juga dapat melihat perkembangan Islam di negara berkenaan.

“Ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga dan bernilai buat saya. Bukan mudah untuk saya merasai kepelbagaian makanan halal yang terdapat di tempat orang. Ia amat menakjubkan,” katanya pada sidang media program berkenaan di sini, Isnin.

Hadir sama Pengurus Saluran Astro Oasis, Izlan Basar serta wakil agensi pelancongan negara berkenaan.

Heliza berkata, antara pengalaman menarik lain apabila dia menjadi minat terhadap Kimci iaitu sejenis makanan tradisional daripada sayur-sayuran di Korea selepas menikmatinya kerap kali sedangkan dia tidak menyukainya sebelum ini.

Dalam masa yang sama dia juga berhadapan dengan cabaran apabila sukar mencari lokasi untuk mendirikan solat sehingga terpaksa menunaikan ibadah di set penggambaran.

“Pernah juga saya berhadapan dengan masalah untuk bersolat tetapi saya dapat juga melaksanakannya kerana saya percaya terhadap kepentingan perkara itu walaupun di negara mana sekalipun kita berada,” jelasnya,

Heliza (bertudung) dan Izlan Basar (empat dari kiri) bersama wakil agensi-agensi pelancongan dan wakila Astro yang terlibat dalam program Rasa Halal Antarabangsa.

Sementara itu Izelan berkata, sambutan penonton terhadap program itu yang diperkenalkan pada tahun 2008 menyebabkan Astro Oasis terpaksa melanjutkannya sehingga ke musim yang keempat.

Program terbaru selama 26 episod itu kata beliau antara lain bertujuan untuk memudahkan rakyat negara ini yang ingin melancong ke lima negara terbabit mendapatkan informasi berhubung lokasi yang menyediakan makanan halal serta kemudahan beribadah.

“Berdasarkan kepada kajian kami, rakyat Malaysia gemar melancong ke lima negara berkenaan dan tentu sekali mereka tercari-cari di manakah lokasi makanan halal.

“Jadi, pihak kami telah mengambil pendekatan untuk memberi pengetahuan kepada mereka dengan menerbitkan rancangan ini,” kata beliau.

Rasa Halal Antarabangsa terbitan syarikat produksi E-Style Sdn Bhd ini bakal menemui penonton pada setiap Khamis bermula 28 Jun ini di Astro Oasis (saluran 106) pukul 7.30 malam.

Nurul Wahab Tidak Jahil Ajar Suami Tentang Islam

Nurul Wahab. RAJA FAISAL HISHAN

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab menegaskan dia bukanlah manusia yang terlalu jahil tentang agama Islam sehingga tidak mampu untuk membimbing suaminya, Eric Daniel Depp, menjadi Muslim sebenar.

Nurul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 35, berkata, walaupun pada luaran penampilannya dilihat moden, namun dia tahu tentang tanggungjawab untuk mendidik suaminya yang berasal dari Perancis itu.

"Jangan ingat luaran saya berimej moden dan saya tidak tahu apa-apa tentang agama yang dianuti. Saya tidak perlu menunjuk atau membuktikan kepada sesiapa kerana ia adalah di antara saya dan Allah sahaja yang mengetahui.

"Lagipun, untuk membimbing seorang mualaf mengenali Islam bukannya boleh dibuat dalam masa sehari. Nabi Muhammad S.A.W pun mengambil masa lama untuk menyebarkan agamanya," katanya yang ditemui pada pelancaran duta produk kecantikan Skinz Infinate di Flora Terrace, di sini, petang Isnin.

Nurul dan Eriq Depp

Nurul diminta mengulas kononnya dia gagal membimbing suaminya yang baru memeluk Islam untuk menjadi seorang Muslim yang mengamalkan ilmu-ilmu agama itu.

Tambah Nurul, dia juga mempunyai cara tersendiri dalam membimbing hal-hal agama terhadap suaminya yang berusia 47 tahun itu dan berharap isu suaminya tidak diberi pendedahan Islam sewajarnya tidak lagi timbul.

"Mujurlah Eriq seorang yang begitu positif dalam memandang kehidupan dan isu-isu sebegini tidak mengecilkan hatinya pun. Setakat ini dia faham dengan amalan harian yang saya lakukan iaitu menunaikan solat lima waktu serta mengaji kitab Al-Quran.

"Kita tidak boleh terlalu memaksa kerana dia juga mempunyai pegangan agama lain sebelum ini, cuma untuk berubah arah semua itu perlu dibuat perlahan-lahan," tegasnya.

Nurul yang baru pulang daripada meraikan majlis resepsi perkahwinannya di Bali, Indonesia pada 19 Jun lalu memberitahu, selepas pelbagai persoalan yang timbul mengenai perkahwinannya, dia mengambil pendekatan untuk tidak menceritakan tentang hal-hal peribadinya lagi.

"Cukuplah semua orang dah tahu bahawa saya kini sudah berkahwin. Selepas ini, saya tidak akan menceritakan apa-apa tentang hal-hal peribadi.

"Pengalaman lalu telah mengajar saya dan apa yang dapat disimpulkan, buatlah apa sahaja, orang tetap akan mengkritik.

"Bagaimanapun, saya tidak kisah jika orang masih lagi ingin memperkatakan tentang diri ini, saya terima dengan hati yang terbuka," ujarnya.

Nurul dan Eriq bernikah di Duchess Place, Jalan Ampang, dekat sini pada 6 Jun lalu.

Eric telah memeluk Islam sejak 13 Februari lalu dan langkah itu berjaya meyakinkan Nurul untuk mengangkat lelaki tersebut sebagai suami.

‘Dah kalis gosip’

SEPENDAPAT...Sorak Goool Harian Metro memberi peluang kepada Remy dan Tasha untuk mendekati peminat.
SEPENDAPAT...Sorak Goool Harian Metro memberi peluang kepada Remy dan Tasha untuk mendekati peminat.

JAUH malam sambil menanti perlawanan bola sepak Isnin lalu dengan riuh-rendah suasana di Pasir Gudang, Johor Bahru tidak sekali menghalang dua bintang popular ini untuk bersembang panjang.

Pertama kali dipertemukan, keserasian sudah mula terpancar. Meskipun Remy Ishak atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak kurang sihat malam itu, namun celoteh pelakon baru, Tasha Shila jelas membangkitkan semangatnya untuk borak sama.

  • Foto

  • Foto

    SELAMBA...Tasha bersama Remy melihat kehebatan pengacara, Along Cham menimbang bola.

  • Foto

    MERIAH...Remy dan Tasha sempat memberi pelbagai hadiah kepada peminat yang hadir.

Topiknya yang mungkin ada persamaan antara mereka berdua adalah segala macam gosip dan kontroversi yang melanda kedua-duanya bagai tiada penghujung. Namun baik Remy mahupun Tasha, kedua-duanya mengharapkan agar episod duka dan pahit itu tidak lagi diungkap kerana peminat sudah sedia maklum.

Ibarat sengaja mengundang suasana hambar dan mengganggu ‘mood’ gembira malam itu jika segala gosip itu diungkit kembali, Remy dan Tasha mohon agar diberikan sedikit ruang untuk masing-masing bernafas lega.


Jelas Remy yang sudah kalis dengan pelbagai dakwaan dan gosip sebelum ini termasuk hubungan cintanya dengan Tiz Zaqyah, biarlah yang berlalu dilepaskan tenang tanpa perlu diingatkan kembali kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.


“Saya akur tugas media dan saya juga faham akan status selebriti yang mana membuatkan kisah peribadi saya dipaparkan secara umum kerana peminat sendiri ingin tahu akan segala macam mengenai diri saya. Itu hakikat yang sudah lama saya telan dan kini semakin positif menerimanya.

“Bagaimanapun saya manusia biasa yang ada kalanya tidak mampu lari daripada emosi yang mana saya inginkan soal peribadi itu tidak sekali diperdagangkan kepada umum. Itulah yang kadang-kadang menimbulkan kekeliruan kepada diri saya, tersepit di antara banyak hati yang perlu dijaga dan juga komitmen saya sebagai seorang pelakon.

“Apapun jika diberi peluang dan kesempatan, saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan apa-apa kisah peribadi atau isu yang akhirnya boleh merosakkan reputasi dan nama baik. Saya ingin dikenali sebagai seorang pelakon dan lebih baik saya diperkatakan mengenai lakonan dan peningkatan saya dalam menghidupkan sesebuah watak.

“Namun saya bertuah kerana peminat memahami dan tidak henti memberikan sokongan kepada saya selain keluarga dan teman-teman rapat,” katanya.

Aktor kacak berusia 30 tahun yang sebelum ini berjaya memikat jiwa penonton menerusi filem Anak Halal, Cun dan Nur Kasih The Movie bagaimanapun menyifatkan segala macam kisah yang terpapar selama ini adalah kehendak orang sekeliling dan bukannya dirinya.

“Sebenarnya peminat yang menyukai jika saya menjalinkan hubungan cinta dan berkongsi segala sisi peribadi saya. Media pula berperanan untuk menyalurkan apa yang diinginkan dan saya sebagai anak seni faham dan akur akan situasi begitu. Inilah harga yang perlu dibayar menjadi seorang selebriti. Jauh mana ingin bersembunyi, pasti ada saja yang dapat menghidu,” selorohnya.

Lain bagi Tasha atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abd Razak yang mula mencipta nama menerusi filem Ratu The Movie dan Klip 3GP, kemunculannya bagai mencetus pesona tersendiri. Mana tidaknya, dalam ramai bintang muda berbakat dan penuh cerita, wajah gadis berusia 25 tahun ini diangkat menjadi Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini.

Walaupun ada yang mempertikai dan mempersoalkannya, hakikatnya, Tasha bakat baru yang menyerlah baik.

Mula kisah ditaja, gambar bersosial yang tersebar hinggalah perselisihan faham dengan seorang lagi pelakon, sedikit sebanyak ia meletak namanya di gelanggang yang berbeza.

Jelasnya, itulah masam manis dunia seni.

“Jika ikutkan hati dan tidak berfikir panjang, ingin sekali saya bangkit mempertahankan diri. Namun kalau dilihat dari skala yang lebih luas dan perjalanan yang baru hendak bermula, saya lebih suka berdiam dan membiarkan saja orang bercakap. Kalau penat nanti, diamlah mereka.

“Saya rasa itulah rahsia terbaik untuk tidak lebih lama terjerat dengan kisah sebegitu kerana jika dilayan atau memberi sebarang kenyataan balas, ia tidak akan berakhir malah lebih memburukkan keadaan. Saya ingin lama dalam lapangan ini dan saya punya perancangan sendiri untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya satu hari nanti.

“Sudah tentu perkara sebegini tidak akan menjadi alasan untuk melemahkan semangat saya ataupun merosakkan perjalanan saya,” katanya.


Remy sokong Jerman dan Sepanyol

TERLANJUR mengundang dua bintang popular ini di sambutan Sorak GoooL Harian Metro bersama Hotlink di Pasir Gudang, Johor Bahru yang lalu, pastinya persoalan mengenai pasukan kegemaran mereka tidak terlepas.

Remy umpamanya yang tampak bersemangat hadir mengenakan jersi mengakui menyokong pasukan Jerman dan Sepanyol untuk perlawanan Euro 2012 ini.

“Saya memang meminati sukan bola sepak sejak dulu lagi. Bayangkan, saya pernah mewakili daerah dalam sukan ini ketika zaman persekolahan dulu kerana prestasi yang baik. Bola sepak ibarat sukan yang sudah pun dilihat seperti gaya hidup yang mana kesemua peminatnya begitu taksub memberi sokongan untuk pasukan kegemaran terutamanya ketika perlawanan besar seperti Euro ini.

“Saya sememangnya peminat setia pasukan Sepanyol dan Jerman yang saya lihat punya kemahiran dan gaya permainan tersendiri,” katanya.

Anak kedua empat beradik yang berasal dari Melaka ini tidak keseorangan sebaliknya Tasha yang tidak langsung meminati bola sepak turut hadir menemaninya bagi memberikan sokongan kepada sambutan Sorak Goool Harian Metro.

Kempen yang dianjurkan oleh Hotlink ini diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan Euro 2012 dan memberikan peluang terbaik untuk selebriti terkenal mendekati peminat dengan menyaksikan perlawanan bola sepak bersama.

Jelas Tasha yang mengakui hanya mengenali beberapa pemain yang popular saja, Sorak Goool setidak-tidaknya menyediakan platform kepadanya untuk bertemu peminat yang sanggup turun sama memberikan sokongan.

“Saya seronok sepanjang menyertai majlis ini kerana walaupun tidak tahu menahu mengenai sukan bola sepak, saya tetap berpeluang melayan peminat dan menyertai segala aktiviti yang disediakan. Mana tidaknya, selain menonton perlawanan bola sepak, pelbagai hadiah menarik disediakan pihak penganjur dan peminat berpeluang untuk bertemu saya lebih dekat lagi.

“Justeru saya rasa sangat gembira kerana berpeluang mengikuti penjelajahan Sorak Goool ini,” katanya lagi.

Hafiz tembusi Indonesia

pix_gal0
SELEPAS tiga tahun album sulungnya yang berjudul Masih Jelas berada di pasaran, Hafiz akan melancarkan album kedua yang menggunakan namanya sebagai judul, di Jakarta, Indonesia, bulan depan.

Berasa bertuah kerana diberi peluang menembusi pasaran muzik negara itu, Hafiz muncul sebagai segelintir artis Malaysia yang berjaya memasuki pasaran negara seberang selepas Datuk Sheila Majid, Search, Slam dan Datuk Siti Nurhaliza.
Umum mengetahui, bukan senang untuk artis negara ini menempatkan diri dalam pasaran muzik negara garuda itu. Namun, selepas bernaung di bawah empayar penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani, pada program Mania barubaru ini, sedikit ruang bagai terbuka buat Hafiz yang juga juara rancangan terbabit.
Jika sebelum ini ura-ura pelantikan Dhani sebagai pengetua Akademi Fantasia 9 mendapat kecaman hebat pelbagai pihak, sebaliknya pemilihannya dalam Mania yang juga terbitan Astro membuka peluang kepada artis tempatan mencuba nasib di seberang.

Album ini akan dilancarkan bulan depan, tetapi belum ditentukan lagi tarikhnya. Album ini adalah hasil kerjasama antara Warner Music Malaysia dengan Indonesia.

Dalam album terbaru ini, ada lima lagu termasuk tiga lagu baru yang dirakamkan di Indonesia. Lagu-lagu ini lebih kepada konsep balada, yang mendapat sentuhan komposer keduadua negara, katanya ketika dihubungi HIP.

Album yang mendapat sentuhan komposer terkenal Indonesia, Andy Bayou dan komposer tempatan, LY, itu turut memuatkan lagu berjudul Patah Hati dan difahamkan akan dilancarkan pada 11 Julai ini.
Selain melancarkan albumnya di sana, Hafiz juga dijangka mengadakan siri promosi termasuk persembahan jelajah di bandar besar sekitar Indonesia.

Hafiz masih belum tahu mengenai program yang akan dijalankan ketika pelancaran itu nanti kerana semuanya diuruskan pihak pengurusan dan masih menantikan kata putus daripada Warner Music Indonesia.

Hafiz rasa amat bersyukur dan gembira kerana diberi peluang bukan saja merakamkan lagu di sana tetapi turut melancarkan album, kerana kita semua tahu bukan senang untuk artis Malaysia, terutama artis baru macam Hafiz memasuki pasaran muzik di sana, katanya.

Tidak takut jika albumnya itu dikatakan mirip lagu penyanyi Indonesia, Hafiz menganggap setiap orang punya pandangan dan selera mereka sendiri.

Julung kali bekerjasama dengan Dhani bukan saja memberinya banyak pendedahan mengenai muzik, sebaliknya membuka peluang untuknya dikenali di negara asal penggiat muzik terkemuka itu.

Dia seorang yang tegas tetapi banyak memberi input dan tunjuk ajar. Hafiz harap album ini mendapat tempat di hati peminat di sana dan membuka lebih peluang untuk Hafiz melebarkan sayap di Indonesia, katanya.

Merancak teknologi Lumia

GAYA menawan dan fungsi komunikasi menyeluruh menjadi pelengkap Nokia Lumia 900.

TERUS mempertaruh sistem operasi Windows pada gajet selular Lumia mereka, syarikat teknologi Nokia memperkenalkan dua lagi model terkini untuk platform sama.

Kali ini, Nokia Lumia 610 disasarkan untuk pengguna baru yang mahu berjinak-jinak dengan peranti telefon pintar sementara Nokia Lumia 900 pula bakal menawarkan pengalaman komunikasi sempurna.

Menurut Pengurus Pasaran Produk Nokia Malaysia, Glen Cha, kedua-dua model berkenaan dicipta dengan prestasi terbaik demi melengkapkan aktiviti bekerja dan berhibur.

''Bagi Lumia 610, walaupun direka untuk pengguna amatur, namun ia masih menawarkan fungsi dan spesifikasi sangat kompetitif.

''Manakala Lumia 900 pula yang menggabungkan gaya dan teknologi pasti akan memberi kepuasan operasi kepada pengguna,'' katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lumia 610 dilengkapi paparan skrin 3.7 inci beresolusi tinggi, kamera lima megapiksel serta memori binaan dalam lapan gigabit (GB).

Ia turut disempurnakan bersama kemasan metalik, reka bentuk nipis, capaian Wi-Fi serta fungsi flip untuk senyap.

Melihat pula kecemerlangan Lumia 900, ia terbina bersama rangka poli karbonat unik serta dilengkapi skrin AMOLED bersaiz 4.3 inci sesuai untuk kepuasan tontonan maksimum.

Lebih menarik, menerusi teknologi ClearBlack, peranti itu menawarkan paparan dan warna sangat jelas walaupun berada di bawah terik matahari.

Untuk fungsi pengimejan, Lumia 900 dilengkapi kamera berkuasa lapan megapiksel dengan kelebihan lensa Carl Zeiss, lampu flash LED berkembar, pemfokusan auto dan berskrin luas.

Kamera hadapannya beresolusi satu megapiksel sesuai untuk rakaman foto berkualiti serta menyokong aktiviti panggilan video.

Pengguna Lumia 900 juga tidak perlu risau tentang jangka hayat kuasa telefon mereka kerana ia mempunyai ketahanan bateri maksimum hanya dengan sekali cas.

Kelebihan lain Lumia 900, ia menyokong platform pelayaran Internet HTML 5 dan akses kepada storan awan dikenali sebagai SkyDrive.

Daripada segi fungsi antara muka utama untuk kedua-dua peranti itu, ia tersedia dalam paparan berpetak yang dikemaskini dalam masa nyata dikenali sebagai Live Tiles.

Menerusinya, pengguna boleh mencapai semua aplikasi seperti laman web rangkaian sosial, mesej, temujanji serta akses foto dan muzik secara lebih cepat.

Bagi aplikasi People Hub pula, ia akan mengintegrasi kesemua kontak pengguna bersama akaun laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Linkedln bagi kemudahan paparan hanya pada satu klik.

Pelayaran Internet juga akan menjadi lebih produktif melalui model-model Lumia ini kerana ia disokong platform Internet Explorer 9 dan pelayar Bing selain aplikasi kerja Office serta Outlook Mobile.

Akhir sekali, kedua-duanya turut tersedia bersama aplikasi Nokia Maps dan Nokia Drive untuk kemudahan navigasi perjalanan di 100 buah negara seluruh dunia.

Nokia Lumia 610 dengan pilihan warna hitam, putih, merah jambu dan biru kini ditawarkan pada harga RM699 manakala Lumia 900 berkapasiti storan 16 gigabit (GB) dijual pada harga RM1,799 untuk warna biru, hitam dan putih.