![]() Salma akhirnya mengakui sudah mempunyai seorang anak berusia 3 tahun Setelah hampir empat bulan merahsiakan status sebenar diri, akhirnya Juara Mentor musim kelima, Salma menjawab semua persoalan yang diajukan, Salma juga menamatkan spekulasi tentang dirinya yang dikatakan sudah bergelar janda. Berkahwin pada usia 17 tahun dan kemudiannya bercerai setahun selepasnya, Salma bagaimana pun enggan mendedahkan nama sebenar suaminya itu.
"Saya merahsiakan perkara ini bukan kerana mahu meraih undian daripada peminat, tetapi saya tidak mahu bercerita sebab enggan terlalu memikirkan soal anak sepanjang berada di Mentor kerana takut akan terlalu merinduinya. "Anak saya sekarang berusia 3 tahun, namanya Puteri Nurul Huda. Sepanjang saya di sini dia tinggal dibawah jagaan ibu saya di Tawau, dan selepas ini jika ada rezeki, saya akan bawa dia tinggal bersama saya di Kuala Lumpur. "Tentang bekas suami, saya rasa lebih elok jika saya tidak bercerita mengenai dirinya. Dia masa lalu saya dan kalau boleh saya tak mahu ada kaitan lagi dengannya kerana saya bimbang akan trauma kerana itu. "Lagipun dia sudah berkahwin lain, biarlah dia dengan dunia dia sekarang, dan begitu juga sebaliknya. Puteri Nurul Huda memang sentiasa berada di bawah jagaan saya dan dia tidak pernah mengambil atau bertemunya sampai hari ini. "Sepanjang bergelar ibu tunggal ini, saya tidak pernah menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki dan sekarang saya mahu menumpukan sepenuhnya perhatian pada kerjaya sahaja,"jelas Salma yang mengakui bekas suaminya itu tidak menggemari minatnya dalam bidang seni suara. |
Tuesday, May 31, 2011
Salma Mengaku Janda
Tarif baru elektrik
PUTRAJAYA: Tarif elektrik bagi sektor domestik, komersial dan industri dinaikkan pada kadar purata sebanyak 2.23 sen per kilowatt sejam (kwj) daripada 31.31 sen/kwj kepada kepada 33.54 sen/kwj, berkuat kuasa esok.
Ia dilakukan selaras keputusan kerajaan menyemak semula harga gas untuk sektor elektrik di Semenanjung daripada RM10.70/MMBtu (unit termal British) kepada RM13.70/MMBtu.
Mereka akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan antara tujuh sen hingga RM30.30 atau 0.1 peratus hingga 10 peratus.
"Bagaimanapun, kerajaan akan terus membantu golongan berpendapatan rendah dengan memberikan elektrik percuma kepada pengguna yang bil elektrik mereka kurang RM20 sebulan sehingga 31 Disember 2011.
"Bantuan ini membabitkan kos RM122 juta setahun untuk 900,000 pengguna daripada 5.94 juta pengguna domestik di Semenanjung," katanya pada sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, di sini semalam.
Fah Kui juga menjelaskan pengguna komersial voltan rendah seperti peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil yang penggunaannya tidak melebihi 200kWj sebulan akan mengalami kadar kenaikan maksimum sebanyak 6.2 peratus atau RM4.60 sebulan.
"Pengusaha industri memproses makanan kecil-kecilan yang menggunakan elektrik kurang 200kWj sebulan juga mengalami kenaikan yang sama, tetapi hanya RM4 sebulan," katanya.
Menjawab soalan, beliau menolak andaian bahawa semakan tarif akan menguntungkan Stesen Tenaga Bebas (IPP) dan tidak sepatutnya dijadikan isu politik semata-mata untuk mengelirukan rakyat.
Selain itu, katanya, kerajaan tidak memberikan subsidi kepada syarikat IPP seperti didakwa sesetengah pihak sebaliknya ia adalah jumlah hasil yang dilepaskan oleh PETRONAS untuk menghasilkan tarif elektrik yang rendah kepada rakyat.
Mengenai kemungkinan semakan tarif akan melonjakkan kadar inflasi, Fah Kui berkata kajian mendapati ia hanya akan meningkat 0.27 peratus kadar inflasi.
"Kenaikan kadar inflasi itu dianggap minimum kerana kurang daripada satu peratus," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan menetapkan sebanyak satu peratus daripada kutipan bil elektrik bulanan yang melebihi 300 kWj disumbangkan kepada Dana Tenaga Boleh Baharu bagi menampung kos tinggi penjanaan elektrik menggunakan tenaga boleh diperbaharui oleh pemaju bebas atau individu.
INFO: Pakej Penstrukturan Tarif Elektrik yang diluluskan kerajaan untuk dilaksanakan oleh TNB
- Menaikkan kadar diskaun di luar waktu puncak bagi Penyimpan Tenaga Thermal (TES) daripada 1.5 sen/kWj kepada 3.5 sen/kWj untuk menyokong pembangunan teknologi hijau dan pengurusan tenaga (DSM)
- Mengurangkan kadar tunggu sedia charge yang dikenakan ke atas pepasangan penjanaan bersama daripada RM25/kWj sebulan kepada RM12/kWj sebulan untuk pengguna voltan tinggi dan RM14/kWj sebulan untuk pengguna voltan sederhana bagi menggalakkan penggunaan tenaga lebih cekap
- Memberi potongan 10 peratus daripada kadar tarif biasa kepada institusi pendidikan yang dibiayai sebahagiannya oleh kerajaan, seperti yang diberikan kepada rumah ibadat, institusi kebajikan dan institusi pendidikan yang dibiayai sepenuhnya kerajaan
- Syarikat rawatan air, pengagihan air dan pembetungan diletakkan di bawah kategori tarif industri
- Mengekalkan Tarif Khas Pertanian yang diperkenalkan pada 2006.
Kerajaan Prihatin
- Elektrik percuma kepada pengguna yang bil elektrik mereka berjumlah kurang RM20 sebulan sehingga 31 Disember 2011.
- Bantuan membabitkan RM122 juta setahun untuk 900,000 pengguna daripada 5.94 juta pengguna domestik di Semenanjung
Bertukang ‘cipta bunyi’ imaginasi
Sebahagian daripada alat muzik rekaan Megat Azuar.INSAN ini amat teliti dengan bunyi-bunyian, justeru tidak hairanlah banyak bunyi dan irama baru akan terlontar jika dia menyertai mana-mana persembahan permainan alat genderang (percussion) bersama rakan-rakannya.
Apabila Megat Azuar Musa, 42, memberitahu hampir semua alat muzik unik koleksinya terhasil melalui ilham yang singgah di kepala dan kemudian diterjemah sendiri menjadi alat muzik, telinga seakan tidak percaya mendengar realiti ini.
Secara tidak langsung wujud jurang antara dirinya dengan pemain alat genderang (percussionist) lain apabila dia sentiasa ‘mencari’ bunyi-bunyian baru mengikut inspirasi dan naluri, lalu mencipta alat muzik yang berupaya mengeluarkan bunyi imaginasi.
Beginilah cara bermain 'Foot Shekere'. “Inspirasi kini menjadi hobi. Walau cara saya pukul, palu atau tepuk gendang nampak sama sahaja dengan orang lain, tapi kalau diamati betul-betul, bunyinya tak sama,” katanya kepada Mingguan mStar.
Melihat hasil kerjanya yang sempurna, pasti ramai yang menyangka dia serius dalam salah satu bidang; muzik atau pertukangan, namun bapa kepada dua anak ini sebenarnya hanya bertukang membuat alat muzik di rumah sekadar memenuhi masa lapang dan jika dia dijemput mengadakan persembahan.
“Saya suka bertukang dan minat muzik instrumental. Bila dua minat ini digabungkan, macam inilah jadinya,” katanya yang mempunyai bisnes sendiri.
Kreatif
Salah satu gendang ciptaannya yang dibuat menggunakan barangan terpakai. KETIKA ditemuramah, tangan dia rancak menepuk dua conga separuh ketinggiannya.
Conga tersebut bukan dihasilkan sendiri, namun sudah cukup mengagumkan apabila dia memberitahu besi tempat letak conga (conga stand) itu adalah rekaannya.
“Masa persembahan, conga perlu dipegang. Saya reka conga stand sebab nak main banyak jenis gendang dalam satu persembahan.
“Sebagai multi-percussionist, saya kena kreatif dan pantas. Saya pernah saya main lapan conga dalam satu masa,” katanya.
Rekaan Megat Azuar, kick bass yang dicipta bagi menghasilkan bunyi bass drum juga tidak kurang hebatnya.
Ikatan berbentuk berlian dan jenis tali pada djambe menghasilkan bunyi menakjubkan. Speaker yang dipasang terbalik pada kayu empat segi terpakai dan dibaluti permaidani terpakai itu berupaya mengeluarkan bunyi hampir sama apabila pemain drum bass memukul drum di pentas.
“Ilham mencipta kick bass saya dapat bila tersalah pasang wayar speaker dan mikrofon dalam satu majlis.
'Conga Stand' dicipta bagi memudahkan conga dimainkan dalamm satu-satu persembahan.“Alat ini unik kerana dalam masa yang sama saya juga dapat main foot shekere,” sambil menunjukkan cara bermain kick bass dan foot shekere secara serentak.
Foot shekere adalah alat yang akan berbunyi apabila manik yang diikat dengan tali bersentuhan dengan mangkuk kayu.
Dia memadankan cymbal stand dan extension cymbal stand yang ada pada set drum untuk menghasilkan alat muzik ini.
Kick Bass yang unik dan mampu menghasilkan bunyi menakjubkan. Seni barang terpakai
Terhasilnya sesebuah alat muzik dengan keringatnya sendiri, maka itulah kepuasan yang dicari-cari Megat Azuar.
Walau tidak memerlukan kos yang besar, namun hobi ini dianggap mencabar dan menuntut kesabarannya.
“Setakat ini saya banyak guna barangan terpakai dan sedia ada. Saya cuba guna apa yang ada dulu. Kalau kena beli, saya beli,” katanya sambil menunjukkan pula djambe dan gendang dikir.
Kayu dan kulit untuk membuat djambe adalah percuma, begitu juga ukiran di bahagian bawah alat ini yang dibuat seorang teman.
Cabaran timbul ketika dia mengikat tali berbentuk berlian di sekeliling kayu bulat.
“Kalau salah ikat bunyi tak menjadi dan mungkin bunyinya tak kekal lama. Ikatannya nampak cantik tapi ramai tak tahu bentuk dan cara ianya ada fungsi. Begitu juga jenis tali yang digunakan,” katanya.
Cabaran tugas sebagai diplomat
Malone gemar melayani gubahan lagu-lagu cinta Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. ZAMAN kanak-kanaknya, Bettina (Tina) Malone jarang sekali menghabiskan masa di kampung halaman sendiri di Ashville, Carolina Utara. Sebaliknya, sebagai anak kepada kakitangan Bank Dunia selama lebih 30 tahun, Tina amat beruntung kerana berpeluang mengelilingi dunia dan menyelami budaya asing pada awal perkembangan mindanya.
“Sejak dahulu lagi saya ingin bekerja di luar Amerika Syarikat (AS). Mengikut bapa ke pelbagai destinasi asing menguatkan lagi kecenderungan untuk menjelajah apabila dewasa.
“Malah peluang bercuti di tanah air setahun sekali juga jarang saya gunakan. Sudah tiga tahun kami sekeluarga menyambut Hari Natal di Malaysia,” kata Pegawai Media dan Maklumat Kedutaan Besar AS itu kepada Mingguan mStar baru-baru ini.
Tina, 48, ditugaskan sebagai pegawai diplomat di Kuala Lumpur sejak Jun 2008 untuk mengendalikan Bahagian Hal Ehwal Awam setelah ditukarkan dari Kedutaan AS di Addis Ababa, Habsyah pada 2004 hingga 2007.
Sebelum itu, beliau yang memiliki Ijazah Sarjana dalam Hal Ehwal Antarabangsa, Perubahan dan Pembangunan Sosial John Hopkins University School of Advanced International Studies (SAIS) Washington, DC pernah ditugaskan di Islamabad, Pakistan dan Manila, Filipina.
Tina Malone, di pejabatnya di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur.Tina juga memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Dunia Ketiga William Smith College yang membakar semangat beliau untuk mengubah nasib masyarakat dunia ketiga menerusi penghayatan dan pemahaman terhadap peradaban setempat.
“Sebelum bekerja sebagai pegawai diplomat, saya pernah bergiat aktif dalam bidang pembangunan antarabangsa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menjadi sukarelawan Peace Corps di Niger, Afrika Barat pada 1989 hingga 1990,” ujarnya yang mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Malaysia selain fasih berbahasa Perancis.
Dalam kesibukan menjalankan tugas, kesihatan tidak diabaikan, Tina Malone (dua dari kiri) bersama rakan-rakan sepejabat Kedutaan Amerika Syarikat menyertai pasukan bola tampar.Tina dengan yakin mengakui bahawa dia memiliki tugas paling menarik berbanding rakan sejawat lain di kedutaan. Ini jelas tergambar pada raut wajah beliau ketika menjelaskan peranannya sebagai pegawai yang menguruskan pihak media dan berdepan pelbagai isu ‘hangat’ berkaitan hubungan dua hala AS-Malaysia.
“Pendedahan banyak memberi ilmu kepada saya untuk melaksanakan tugas dengan efektif. Sebagai pegawai yang memantau perkembangan sosial, ekonomi, hubungan politik dan isu-isu semasa berkaitan Malaysia, ia banyak membantu saya lebih memahami keunikan negara ini dalam mengembangkan strateginya tersendiri.
“Kepelbagaian kaum di negara ini mengelirukan saya pada peringkat awal. Sukar bagi saya membezakan penduduk tempatan dengan asing lebih-lebih lagi di pusat bandar.
“Pernah saya membuat pesanan di restoran dalam bahasa Malaysia, rupa-rupanya pekerja Bangladesh itu tidak faham apa yang saya katakan dan memandang saya dengan pelik!” ujarnya sambil ketawa.
Tina Malone bersama keluarga ketika bercuti di Cherating, Pahang.Setelah tiga tahun menjalani kehidupan di Kuala Lumpur, jiwa Tina dipenuhi cinta terhadap keunikan unsur seni tempatan terutama legenda Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“Saya mempunyai citarasa eklektik terhadap muzik antarabangsa. Selain Anuar Zain dan Dewa, lagu-lagu cinta P Ramlee adalah kegemaran saya,” kata ibu kepada remaja lelaki kembar berusia 12 tahun ini.
Menurutnya, sejak berusia sembilan minggu, anak-anak kembarnya itu dijagai suaminya. Ini kerana ketika itu Tina masih berkecimpung dalam NGO.
“Bila mereka besar sedikit, saya dan suami lebih stabil tetapi masih mengelilingi dunia untuk mencari rezeki. Lalu, kami mengambil keputusan agar suami bersara daripada pasukan tentera Perancis dan membawa anak-anak ke mana sahaja kami pergi.
“Kini, kami mementingkan pendedahan positif demi pendidikan anak-anak. Kediaman kami sentiasa hampir dengan sekolah agar mereka selesa belajar walaupun di negara asing,” jelas Tina yang bakal menghakhiri tugasnya di Kuala Lumpur dan ditukarkan ke Manila mulai Jun ini.
Mak nyah ‘golongan yang dikasihi’ - Jakim
Zakuan Sawai.JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memecahkan tembok prejudis yang selama ini mengaitkan para pemimpin agama dalam menangani isu penerimaan masyarakat terhadap mak nyah apabila mempelopori inisatif membimbing golongan itu ke jalan benar.
Jika selama ini penguatkuasa jabatan agama Islam di peringkat negeri sibuk ‘mengejar’ mak nyah untuk tangkapan atas jenayah memperdagangkan seks, kini agensi sama tetap menjejaki golongan tersebut tetapi demi membuka laluan kepada mereka untuk membina kehidupan baru.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Zakuan Sawai menjelaskan, tindakan drastik bukan lagi penyelesaian terbaik untuk menangani isu mak nyah, sebaliknya pendekatan alternatif yang lebih terbuka harus diambil bagi membantu mereka.
“Mak nyah juga takut dengan jabatan agama. Selama ini mereka dikecam dan dijejaki kerana stereotaip negatif bahawa ‘ini golongan songsang yang dilaknati’. Kami tidak begitu. Jakim menggelarkan mak nyah sebagai ‘golongan yang dikasihi’,” katanya kepada Mingguan mStar pada Program Mukhayyam Bersama Golongan Mak Nyah Siri II di Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Program selama empat hari berakhir Jumaat lalu itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia (MAC), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Kementerian Kesihatan, MARA, Dagang Halal dan Drug Intervention Community (DIC) Pahang melibatkan 30 mak nyah.
Ia merupakan kesinambungan daripada program yang pertama kali diadakan di Jelebu, Negeri Sembilan pada Mac lepas dalam usaha membantu golongan mak nyah membina semangat baru untuk membina masa depan positif dari aspek peluang pekerjaan, bimbingan kerohanian, penerimaan masyarakat dan mengawal penularan HIV/AIDS di kalangan transgender dan transvestit.
Halangan 'high rope' menggerunkan tetapi berjaya diharungi semua peserta. Jelas Zakuan, pihaknya menerima sejumlah peruntukan daripada Kementerian Kesihatan bagi melaksanakan kempen kesedaran HIV di kalangan umat Islam. Program Mukhayyam, katanya, merupakan sebahagian kempen tersebut dan kini menjadi contoh modul terbaik untuk mendekati golongan sasar yang boleh dikatakan paling terpinggir daripada lapisan sosial.
Zakuan mendedahkan, bukan hanya pemimpin agama malah pihak media dan majikan masih diselubungi prejudis terhadap mak nyah sehingga menyukarkan golongan itu keluar dari dunia ‘tradisi’ gelap mereka untuk mencari rezeki atau pendapatan lumayan bagi menampung gaya hidup mereka.
“Kita mesti buka mata, ramai maknyah sudah berjaya walaupun fizikal mereka tidak berubah 100 peratus menjadi lelaki. Jangan paksa mereka berubah secara fizikal. Itu tidak penting. Yang penting mereka tidak buat kerja hina, kenapa perlu hina mereka?
“Yang masih menjadi pekerja seks di lorong-lorong hanyalah minoriti yang terdesak apabila dibuang oleh keluarga dan masyarakat,” tegas beliau yang kekal berhubung dengan para peserta Mukhayyam bagi memantau perkembangan mereka.
Zakuan menjelaskan, selain manual panduan HIV & Islam (inisatif bersama Kementerian Kesihatan, Jakim dan MAC), pihaknya turut melaksanakan modul latihan khusus fasilitator bagi mengubah corak pemikiran generasi lama dan baru dalam melaksanakan pendekatan outreach di kalangan maknyah yang merupakan pekerja seks serta penghidap HIV.
Walaupun tidak berhenti mengomel, kesemua peserta tidak mahu ketinggalan melakukan cabaran. Pendekatan ekstrem berbentuk keagamaan, jelasnya, sukar dijamin keberkesanan malah meluaskan lagi jurang antara pendakwah dan golongan sasar yang sudah lama dilupakan masyarakat malah terpinggir dari kasih sayang keluarga dan perhatian umum.
“Oleh itu kami berhubung rapat dengan mak nyah di peringkat negeri. Mak nyah yang sudah berubah dan berjaya menjadi inspirasi kepada generasi yang masih sesat di lorong-lorong gelap.
“Mak nyah ‘veteran’ ini bukan sahaja meyakinkan mereka agar keluar dari kancah itu tetapi menyedarkan ‘adik-adik’ agar kembali kepada keluarga dan memohon restu keluarga sebelum berjaya ‘membersihkan’ diri dari seks rambang dan dadah serta mengecapi impian dalam bidang kecenderungan masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak tanpa mengira agensi kerajaan, pusat khidmat pelanggan mahupun majikan swasta agar mengikis stigma berkaitan maknyah dalam usaha mengurangkan diskriminasi yang selama ini memaksa mereka memilih kegelapan berbanding sinar dalam mencorak kehidupan mereka.
Demi kehidupan lebih baik...
Sesi taklimat berkaitan peluang kerjaya, kesedaran mengenai HIV/AIDS dan kursus kerohanian antara modul program Mukhayyam Siri II di Pahang, baru-baru ini. SERANGAN stigma negatif terhadap mak nyah merupakan faktor utama yang memaksa golongan tersebut terjerumus ke dalam dunia hitam. Prejudis tidak berkesudahan daripada media, pemimpin agama, majikan, dan ahli keluarga sendiri membuatkan golongan transgender itu memilih kelompok salah sehingga terbabit gejala sosial seperti pelacuran dan penyalahgunaan dadah.
Pun begitu, tidak semua transgender (TG) mahu terus sesat dan bergelumang dosa. Sebaliknya, ramai di antara mereka terbuka kepada peluang untuk memperbaiki diri dari aspek fizikal dan kerohanian demi mencari asas menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
Justeru tidak hairanlah Program Mukhayyam Bersama Golongan Mak Nyah Siri II anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia (MAC), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Dagang Halal di Kuantan, Pahang minggu lalu mendapat sambutan hangat di kalangan mak nyah sekitar Pahang.
Antaranya, maknyah veteran digelar ‘Kak June’ yang sejak lebih sedekad lalu menanam hasrat untuk membantu ‘adik-adik’ (maknyah generasi baru) membina kehidupan lebih baik dan membuang persepsi masyarakat bahawa golongan itu tidak mempunyai masa depan.
Kak June, 48, yang berasal dari Kuantan berkata, dia bertuah kerana dihormati oleh ‘adik-adik’ lain yang memberi peluang kepadanya untuk mendekati dan membantu golongan itu dengan berkesan.
“Kak June bersyukur kerana mereka hormatkan saya dan rasa hormat itu lebih baik daripada mereka takutkan saya. Saya tidak mahu itu berlaku. Peluang ini yang saya ambil untuk mendekatkan diri dengan mereka dan mengetahui masalah dan cara untuk membantu,” katanya kepada Mingguan mStar.
Memuji program Mukhayyam yang turut mendapat sokongan padu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Kak June gembira dengan inisatif para pemimpin agama turun padang bagi menarik lebih ramai golongan mak nyah menyertai program seumpama itu.
“Sebelum ini mereka hanya tahu menghukum kami tanpa menyelami sisi lain golongan mak nyah. Syukur pendekatan yang digunakan oleh JAKIM nyata memberi medium kepada golongan ini untuk mengadu nasib dan mendapatkan bantuan.
Mak nyah diajar teknik simpulan tali sebelum melakukan cabaran 'high rope'.“Semua 30 orang peserta program ini nyata terkejut dengan pendekatan pihak JAKIM yang mendekati mereka sebagai seorang kawan dan kita semua boleh duduk satu meja untuk berbual-bual sambil meluahkan apa yang terbuku dihati,” ujarnya yang memainkan peranan penting dalam meyakinkan mak nyah menyertai program itu secara sukarela.
Sementara itu, mak nyah berpengalaman mengendalikan kursus motivasi, Miesya, 26, berpendapat, lebih ramai tenaga fasilitator mak nyah diperlukan bagi menjamin keberkesanan program seumpama itu. Ini kerana ‘lelaki sejati’, katanya, sukar memahami sensitiviti maknyah terutama apabila berdepan cabaran fizikal dan modul melibatkan aspek kerohanian.
“Sebahagian aktiviti berjalan dengan baik kerana maknyah suka menonjolkan diri dan bersaing. Namun sesi taklimat perlu penyampaian sesuai kerana maklumat diberikan itu penting untuk membantu mak nyah apabila keluar (dari dunia hitam) kelak,” jelas Miesya yang merupakan urusetia motivasi Nur Insani Training & Consultancy.
Tambah Miesya, antara cabaran mengendalikan kursus bersama maknyah sudah tentu pengisian kerohanian. Pendakwah aktif sebagai guru mengaji Al-Quran, nasyid, berzanji, marhaban dan bekas juara Tilawah al-Quran tidak lama dahulu, Miesya mengambil pendekatan tersendiri bagi menggalakkan golongan maknyah beribadah kepada Allah.
“Seorang peserta malah menangis apabila pertama kali mengambil wuduk. Ramai tidak yakin penerimaan Allah dengan keadaan fizikal dan sejarah hitam yang pernah mereka lalui. Bagaimanapun akhirnya semua peserta sebulat hati bersolat jemaah bersama-sama,” ujar Miesya yang melaungkan azan setiap kali waktu solat dan mengetuai bacaan surah Yasin.
Menurut Mimi, 27, pula, hanya tanggapan positif dan semangat membuak-buak menyelubungi dirinya setelah mendapat jemputan menyertai program Mukhayyam secara sukarela. Ini dipacu keghairahannya terhadap aktiviti luar selain rasa ingin tahu.
Katanya yang berasal dari Johor, fikiran positif penting jika golongan mak nyah yang merupakan bekas pekerja seks sepertinya ingin berubah demi mencapai potensi sepenuhnya dalam menjalani kerjaya dan kehidupan normal di masa depan.
“Memang rugi maknyah yang tidak mengambil peluang ini. Semua perkara yang dibangkitkan berkait rapat seperti jangkitan kelamin, HIV/AIDS, langkah pencegahan dan kaedah rawatan harus disebarkan terutama kepada pekerja seks kerana ramai langsung tidak tahu menahu tentang penyakit berbahaya ini,” kata Mimi yang merupakan jurusolek bebas.
Sahabat karibnya, Anggun, 29, juga bekas pekerja seks ketika berusia belasan tahun antara mak nyah yang sedang membina hidup baru dengan merealisasikan syarikat peragaan fesyen profesional dan komprehensif.
Aktiviti lasak memperlihatkan semangat berpasukan di kalangan mak nyah.Pengarah Anggun Modelling Academy & Agency itu bercadang mengikuti kursus Sijil Latihan Dual Negara (SLDN) sebagai asas sebelum memperolehi pentauliahan bagi menyediakan latihan kepada bakal jurulatih peragaan di negara ini.
“Cabaran lebih hebat kerana orang sukar memberi kepercayaan kepada golongan mak nyah untuk menjalankan perniagaan. Pun begitu, ini bukan alasan untuk maknyah putus asa dan kembali ke lorong gelap. Kita patut jadikan ia pendorong untuk membina kehidupan lebih baik,” ujarnya.
Seorang lagi bekas pekerja seks dikenali sebagai Mona, 24, berkata, pada awalnya dia enggan mengikuti program selama empat hari itu. Malah suara lantang Mona paling kerap kedengaran ketika aktiviti kembara lasak kerana mengadu keletihan.
“Sebelum ini saya rasa tersisih tetapi layanan Jakim, JAIP dan MAC meyakinkan saya bahawa ada orang yang masih mengambil berat dengan kekurangan kami sebagai mak nyah dan sedia menghulurkan bantuan. Aktiviti yang dijalankan semuanya cukup menyeronokkan dan memberi pengalaman baru kepada mak nyah seperti kami,” katanya yang berasal daripada Sabah.
Mempunyai sijil dalam bidang jahitan, Mona berkata, slot bersama Pusat GIATMARA memberikannya sinar untuk memperbaiki kemahiran yang ada dan berminat untuk meneruskan pelajaran untuk masa depannya.
Keluarga punca ramai kanak-kanak hilang
Ong Saw InDI Malaysia, kita mungkin boleh menarik nafas lega apabila kes kanak-kanak hilang (bawah 13 tahun) yang dilaporkan tidak menunjukkan angka membimbangkan.
Tetapi, agak kurang enak didengar apabila hampir semua kes kanak-kanak hilang didapati berpunca dari rumah.
"Kita dapati mereka ini hilang kerana dilarikan ibu atau bapa yang mempunyai masalah rumah tangga.
“Ada juga kanak-kanak yang keluar rumah dan enggan pulang kerana kurang perhatian di rumah lalu memilih untuk bermalam di rumah kawan tanpa memberitahu ibu bapa,” kata Pegawai Penyiasat Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Suprintendan Ong Saw In kepada Mingguan mStar.
Berdasarkan statistik, terdapat peningkatan terhadap kes kanak-kanak yang dilaporkan hilang tahun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Pada 2009, sebanyak 50 kes kanak-kanak hilang dilaporkan dan angka ini meningkat kepada 54 kes pada tahun 2010 dengan peningkatan sebanyak lapan peratus.
Untuk tempoh Januari hingga April tahun ini pula, seramai 20 kanak-kanak dilaporkan hilang.
Menurut Ong, walaupun kes kanak-kanak hilang menunjukkan pertambahan dari tahun ke tahun, namun kes yang berjaya diselesaikan pihak polis turut meningkat.
“Pada 2009 kita berjaya selesaikan 45 kes dan 51 kes pada 2010. Tahun ini pula, semua kanak-kanak yang dilaporkan hilang telah ditemui semula.
“Ini menunjukkan pihak polis sentiasa serius dan sering berusaha meningkatkan kecekapan dalam mendapatkan semula mereka yang hilang,” katanya.
Dalam pada itu, Ong tidak menafikan masyarakat sering mengaitkan kanak-kanak hilang dengan sindiket penculikan.
Adik Nisha dan Lee Xin Ru masing-masing berumur dua tahun dan masih hilang. Maklumat kehilangan mereka disebar dengan pantas di setiap negeri menerusi Nur Alert. Kanak-kanak hilang dikatakan dijadikan peminta sedekah, buruh kasar, pelacur atau dibunuh untuk diambil organ dalaman.
“Di luar negara kita memang pernah dengar kes-kes sebegini. Tapi setakat ini kita belum pernah terima sebarang laporan tentang sindiket ini.
“Sama ada ia benar atau tidak, yang penting ibu bapa harus sentiasa berwaspada terhadap keselamatan anak mereka bagi mengelakkan kejadian tak diingini,” katanya.
Tak tutup kes
KECEKAPAN pihak polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa pihak dalam menyiasat serta menghebahkan maklumat tentang kes-kes ini banyak membantu ibu bapa mendapatkan semula anak yang dilaporkan hilang.
Pada Julai 2010, Nur (National Urgent Response) Alert diperkenalkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Nur Alert akan menyebarkan maklumat pantas tentang kanak-kanak 12 tahun ke bawah yang hilang tanpa melibatkan tebusan, ugutan atau ancaman bunuh.
“Penyebaran dibuat dengan persetujuan ibu bapa atau penjaga sah kanak-kanak sehingga kanak-kanak hilang ditemui,” katanya.
Ong berkata, sistem ini telah dilaksanakan terhadap kes kehilangan adik Nisha dan Lee Xin Ru dari Pahang yang kedua-duanya berusia dua tahun.
Sehingga kini kedua-dua mereka masih belum ditemui.
Mengulas kes kanak-kanak hilang dalam tempoh yang lama dan gagal dikesan pihak polis, kes tidak akan ditutup dan pihak polis akan terus menjalankan siasatan.
“Kita masih siasat dan terima maklumat yang ingin diberi orang ramai terhadap kanak-kanak hilang ini,” katanya.
Selain adik Nisha dan Lee, polis juga masih menyiasat kes adik Sharlinie dan Muhamad Asmawi yang hilang pada 2008.
