Tuesday, August 31, 2010

Paris bimbang dipenjara semula

HOLLYWOOD: Paris Hilton dicekup kerana membawa beg tangan yang mengandungi sebungkus kokain, malam kelmarin.

PARIS bersama teman lelakinya, Cy Waits. (Gambar kanan) Paris sebelum menjalani hukuman penjara tiga tahun lalu.
PARIS bersama teman lelakinya, Cy Waits. (Gambar kanan) Paris sebelum menjalani hukuman penjara tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, Paris mendakwa beg tangan itu bukan miliknya kerana beg berkenaan adalah murah dan tidak berjenama. Pewaris kepada jutawan rangkaian hotel itu menaiki kereta teman lelakinya ketika ditahan. Anggota polis yang curiga melihat kepulan asap keluar daripada kereta Cadillac hitam pasangan berkenaan mengesyaki pasangan itu melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.


Paris dan teman lelakinya, Cy Waits, 34, kemudian ditahan kerana memiliki dadah. Bagaimanapun, Paris dibebaskan atas ikat jamin.


Menurut satu sumber, Paris mengupah seorang peguam ternama untuk membelanya. “Beg tangan yang mengandungi dadah itu adalah barangan murah yang dijual di jalanan dan tidak menepati standard fesyen saya,” kata Paris.


“Paris berharap pihak berkuasa percaya dengan alasan diberikan dan melepaskannya.


“Dia amat bimbang jika kejadian itu akan menyebabkannya dipenjarakan,” kata sumber itu lagi.


Ini adalah kali ketiga Paris ditahan pada musim panas ini. Sebelum ini polis Afrika Selatan menggugurkan tuduhan ke atas Paris yang didakwa memiliki dadah ketika menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia.


Dua minggu kemudian, Paris ditahan kerana membawa ganja dalam beg tangannya di Corsica. Namun, dia tidak tidak didakwa kerana ganja yang dibawanya kurang daripada satu gram.


Paris yang melihat teman lelakinya ditahan polis Las Vegas kerana memandu di bawah pengaruh dadah meminta anggota polis supaya tidak menggeledah kereta mereka.


Selebriti itu benar-benar bimbang dengan kejadian yang menimpanya.


Peguam Paris, David Chernoff berkata: “Saya menasihati supaya orang ramai tidak membuat kesimpulan sebelum perkara ini dibawa ke mahkamah untuk pengadilan.”

Lambakan guru wanita

ENTAH di mana silapnya dunia pendidikan kini berdepan masalah lambakan guru wanita manakala lelaki pula lebih selesa memilih bidang pekerjaan lain.

SIFAT KEWANITAAN...guru wanita lebih memahami manakala pelajar lebih terbuka berkongsi masalah.
SIFAT KEWANITAAN...guru wanita lebih memahami manakala pelajar lebih terbuka berkongsi masalah.

GEMBIRA...kejayaan pelajar adalah hadiah berharga bagi guru tanpa mengira gender. GENERASI PEWARIS...pelajar adalah aset masa depan negara. SABAR...adakah guru lelaki mempunyai kesabaran tinggi untuk menangani kerenah pelajar? DIDIK ANAK BANGSA...bilangan guru lelaki perlu ditambah bagi memastikan kelangsungan sistem pelajaran negara. LEBIH LAYAK...guru lelaki dilaporkan lebih sesuai menangani isu disiplin. BEGINI... peranan guru lelaki diperlukan dalam pembelajaran subjek teknikal.


GENERASI PEWARIS...pelajar adalah aset masa depan negara.
Alasan kurang mencabar, tidak sesuai dengan jiwa dan gaji sedikit antara faktor penolakan menyebabkan guru wanita mendominasi bidang perguruan biarpun pelbagai usaha dilakukan bagi menarik golongan lelaki.

Berikutan ketidakseimbangan jantina itu, timbul persoalan, sampai bilakah senario ini akan berterusan?

Tokoh Guru Kedah Sayed Mahdzir Sayed Omar, berkata lambakan itu bukannya disebabkan golongan lelaki terlalu memilih, tetapi tawaran kerjaya lain lebih menarik.

Beliau berkata, dulu bidang kerjaya terhad, kini dengan perkembangan ekonomi memberangsangkan, wujud pelbagai bidang pekerjaan yang memerlukan kepakaran tertentu.

"Sesetengah lelaki memilih bidang perguruan, mungkin gagal mendapat pekerjaan lain di luar atau guru adalah pilihan terakhir mereka."Dari segi fizikal dan emosi, kerjaya ini lebih sesuai dengan wanita, malah pelajar rasa lebih selesa kerana wanita penuh kelembutan.


"Bagaimanapun, peranan guru lelaki juga penting kerana ada bidang tertentu yang tidak mampu dilakukan guru wanita," katanya.

Mengikut statistik Kementerian Pelajaran pada April 2010 mendapati bilangan guru lelaki berkhidmat di sekolah kini ialah 126,580 manakala guru wanita 279,650 orang.

Sayed Mahdzir, berkata sukar meneka mengapa kerjaya guru didominasi wanita namun hakikatnya, golongan itu mempunyai kredibiliti dan kesabaran melaksanakan tugas.

Walaupun guru wanita dikatakan lebih garang, pelajar mudah berkomunikasi dan ini memudahkan proses pembelajaran.

"Guru wanita mempunyai emosi lembut, mudah berunding dan lebih memahami menyebabkan kerjaya ini. Waktu bertugas juga agak fleksibel.

"Meskipun bebanan tanggungjawab semakin berat, mereka berkemampuan apatah lagi kerjaya ini bagaikan tugasan hakiki sejak dulu," katanya.

Namun, katanya, dalam beberapa aspek, kepakaran guru lelaki memang dituntut terutama membabitkan penggunaan fizikal, disiplin dan pendidikan jasmani .
"Malangnya, kekurangan itu menyebabkan guru perempuan terpaksa melakukannya, sudah tentu membebankan.

"Justeru, keseimbangan jantina juga penting bagi memastikan pelaksanaan bidang tugas mengikut kesesuaian mampu dilaksanakan," katanya.

Ditanya apakah bidang tugasan menuntut komitmen penyertaan guru lelaki, beliau berkata disiplin lebih sesuai kerana pelajar mudah memperlekehkan guru wanita.
Katanya, gejala sosial di kalangan pelajar terutama memerlukan mekanisme dan pemantauan sesuai yang hanya berkesan jika ditangani guru lelaki.

"Penting mengimbangi jantina antara dua golongan supaya penyelarasan tugasan dapat diseimbangkan kerana kemampuan guru wanita terbatas.

"Bayangkan apa akan jadi jika krisis ini berterusan, siapa yang akan menanggung akibatnya pada masa depan. Justeru, tindakan agresif perlu dilakukan bagi menarik guru lelaki menyertai kerjaya ini," katanya.

Beliau meminta Kementerian Pelajaran menambah kouta pengambilan guru lelaki selain menyediakan skim gaji lebih menarik.

"Itu antara langkah boleh dilakukan, untuk jangka masa panjang. Dulu, lelaki suka jadi guru, kini sebaliknya.

"Fenomena ini menyedihkan kerana gabungan antara guru lelaki dan perempuan boleh melahirkan kecemerlangan dalam akademik," katanya.

Beliau tidak menafikan kejatuhan disiplin pelajar juga disebabkan kurangnya peranan dimainkan guru lelaki namun bukan aspek kecemerlangan.
"Kewibawaan guru wanita tidak perlu dipersoalkan, mereka komited. Ini bukan masa mencari kesalahan orang lain.

"Selesaikan dulu kekurangan sedia ada. Letakkan kepentingan mendidik anak bangsa di tangga paling atas supaya tidak sesiapa menjadi mangsa," katanya.

>INFO

Lebih 80 peratus atau 54,400 daripada kira-kira 68,000 permohonan untuk mengikuti Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) yang diterima Kementerian Pelajaran bagi pengambilan Jun lalu membabitkan golongan wanita.
Justeru, pelbagai usaha diambil bagi mengatasi kekurangan itu, antaranya mengambil keputusan mengimbangkan pengambilan guru lelaki dan wanita.

Maizawati Hanya Menang Anugerah Fotogenik

Sheela Arumugam (tengah) memenangi gelaran Mrs Beauty Malaysia 2010.

SELEBRITI Maizawati Zainal, 35, telah memenangi Anugerah Fotogenik dalam pertandingan Mrs Beauty Malaysia 2010 yang berlangsung di Dewan Seri Endon Puspanitapuri, Presint 10, Putrajaya, Ahad.

Bagaimanapun dia akur apabila kalah kepada Sheela Arumugam, 27, dari Negeri Sembilan yang memenangi tempat pertama dalam pertandingan itu.

Kata Maizawati, mungkin dia kalah kerana persembahannya yang tidak lancar pada majlis yang dihoskan oleh pelakon Bollywood terkenal, Shakti Kapoor itu.

“Saya memakai tumit tinggi yang tidak selesa sehingga tumit kasut itu termasuk dalam lubang dan menyebabkan saya hampir terjatuh. Jadi, saya reda dengan kekalahan ini,” katanya yang mewakili negeri Sabah, negeri suaminya, Mohd Yassin Ben@Abd. Rahim, 23, dalam pertandingan itu.

Maizawati.

Maizawati atau mesra disapa Maiza membawa pulang hadiah berupa mahkota dan trofi.

Sementara Sheela yang merangkul gelaran Mrs Beauty Malaysia 2010 membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, pakaian, kasut, trofi dan mahkota serta berpeluang mara ke pertandingan Mrs Beauty World 2010 yang akan berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Pertandingan anjuran MBQ World Sdn Bhd itu bertujuan mencungkil bakat dan model baru untuk menyerlah potensi mereka secara menyeluruh dalam bidang fesyen dan kecantikan, televisyen komersial dan radio, medium pengiklanan, termasuk lakonan dan nyanyian.

Pertandingan itu terbuka kepada wanita yang telah berkahwin, berusia 21 tahun ke atas dan berwarganegara Malaysia. Mereka perlu mewakili negeri sendiri atau negeri suami masing-masing.

Yang membezakan pertandingan ini dengan pertandingan ratu cantik yang lain, Presiden MBQ World, Datuk Molly Malakias Yoshioka berkata, penganjur menetapkan para peserta tidak memakai bikini, pakaian renang atau kostum yang jarang.

Seramai 14 peserta bertanding dalam pertandingan tersebut yang disertai pelbagai golongan seperti Melayu, Cina dan India.

Para pemenang yang lain adalah:

Naib juara dan Anugerah Personaliti Terbaik-Junaida (Selangor)

Tempat ketiga dan Anugerah Kulit Cantik- Shariah Ahmad (Perlis)

Tempat keempat dan Anugerah Wajah Cantik- Ruzaina Mat Nasir (Kelantan)

Tempat kelima- Tengku Putri Nor Azilina Tengku Ahmad Shah (Kuala Lumpur)Anugerah Model Terbaik- Nooraini Harun (Johor)

Anugerah Temubual Terbaik- Vimleswary K Rajan (Pahang)

Anugerah Pakaian Terbaik- Siti Raihan Mohd Radzi (Terengganu)

Anugerah Senyuman Terbaik- Vickneswary (Kedah)

Anugerah Bakat- Rubah Rajoo (Perak)

Pakaian Negeri Terbaik- Rohani Lee Simpan (Sarawak)

Anugerah Congeniality- Sheela Nagamah Miniasphirn (Pulau Pinang)

Aida Aris Nikah Duda Sabtu Ini

PETALING JAYA: Selepas beberapa kali putus cinta, pelakon drama popular, Aida Aris (gambar),38, akhirnya memilih 4 September ini sebagai tarikh bersejarah dalam hidupnya apabila dia membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Aida atau nama sebenarnya Siti Rohaida Mat Aris yang sudah sekian lama menjanda memilih Husfarid Shaikh Ali @ Shaikh Hussein,38, atau Farid sebagai bakal suaminya.

Majlis pernikahan mereka dijadual akan di adakan di Taman Sera Ukay, Hulu Kelang, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 pagi.

Menurut Aida, dia dan Farid berkenalan pada Februari lalu melalui rakan artis iaitu Sharifah Haslinda sebelum membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan beberapa bulan kemudian.

Kata Aida, dia tidak berfikir panjang apabila Farid mengajaknya untuk mendirikan rumah tangga kerana merasakan sudah tiba masanya dia menjadi isteri selepas sekian lama hidup tanpa suami.

“Hati Aida telah terbuka untuk berumah tangga. Ini semua sudah ditakdirkan,” katanya di sini, Selasa.

Farid merupakan pramugara Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan seorang duda yang berasal dari Pulau Pinang.

Menurut Aida, dia masih belum merancang majlis resepsi perkahwinannya kerana mahu memberi tumpuan terhadap majlis akad nikah pada Sabtu ini terlebih dahulu.

Aida sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon dan penerbit rancangan televisyen di Astro iaitu, Bob Azrai pada tahun 2005 tetapi berpisah tidak lama kemudian tanpa dikurniakan sebarang cahaya mata.

Selepas itu Aida bercinta dengan penyanyi Zul (Handy Black) beberapa tahun tetapi sayangnya hubungan itu tidak berpanjangan apabila mereka membuat keputusan untuk memutuskan hubungan secara baik.

Faezah Elai Takut Dikritik

PELAKON dan model Faezah Elai, 28, mengakui bimbang menanti reaksi penonton terhadap beberapa buah filem yang bakal ditayangkan akhir tahun ini selepas lakonan untuk filem pertamanya berjudul Otai menerima kritikan hebat.

Gadis berusia 28 tahun ini memberitahu empat filem yang bakal ditayangkan iaitu Cun, Adik Manja The Return, Mantera dan Senjakala.

Mutu lakonannya dalam filem-filem itu telah menunjukkan peningkatan.

Dia juga mengakui trauma untuk berlakon filem selepas Otai, menganggap peluang kedua ini sebagai masa paling sesuai untuk dia melangkah semula ke dunia perfileman.

"Selepas dikritik tentang lakonan pertama saya iaitu untuk filem Otai, saya memang betul-betul kecewa dan tak mahu berlakon filem lagi. Maklumlah, itu lakonan pertama saya, mereka seharusnya faham.

"Selepas itu saya ambil keputusan untuk belajar dari bawah. Saya cuba berlakon drama dan tunjuk pada masyarakat tentang bakat lakonan saya. Alhamdulilah saya belajar sedikit demi sedikit dan saya pasti ramai yang dah boleh terima.

"Saya juga yakin sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa saya benar-benar boleh berlakon" ujarnya yang baru selesai penggambaran filem Senjakala arahan Ahmad Idham.

Bekas pramugari MAS ini memberitahu bukan mudah untuk bangkit semula selepas kemunculan pertama telah memberi persepsi buruk di mata penonton.

"Awal kemunculan dulu mereka kata saya kaku, saya pula berlakon dengan nama-nama besar seperti Nasha Aziz dan Apek. Banyak kelemahan yang orang boleh nampak bila kita berlakon dengan mereka yang betul-betul berpengalaman.

"Jadi, untuk bangun semula dan buktikan kemampuan saya bukan satu yang mudah. Tapi Alhamdulilah melalui drama-drama terutamanya Suteramaya telah membuka mata orang ramai.

"Selain itu, saya rasa lebih kuat untuk terima kritikan, apa pun orang nak cakap tentang lakonan saya, saya dah boleh terima," katanya.

Dalam pada itu, anak mami ini juga mengakui gemar membawakan watak wanita solehah berbanding watak lain.

"Orang dah biasa nampak saya bawa watak kasar sehinggakan ada yang anggap diluar set penggambaran juga begitu. Tapi itu bukan saya, saya tidak kasar, saya seperti wanita biasa.

"Kalau diberi pilihan saya mahu membawakan watak-watak perempuan baik, solehah dan menegakkan Islam. Itu juga cabaran bagi saya," katanya.

Sementara itu berceria tentang impian jangka panjang, pelakon La Dolce Amira ini mempunyai hasrat terpendam. Dikala ramai artis memilih membuka bisnes butik atau restoran, Faezah mempunyai misinya tersendiri.

"Saya tidak berminat untuk buka butik atau restoran, saya lebih suka buka tadika sebab saya suka kanak-kanak. Bagi saya bila jumpa anak kecil, tekanan hilang," katanya.

Farrah Adeeba Bimbang Tinggalkan Anak

BUKAN mudah pengacara Farrah Adeeba Mohamed Ashraf(gambar), 32, hendak meninggalkan anak angkatnya, Mohammad Razique Abdullah, yazng berusia setahun setiap kali mempunyai urusan di luar.

Pelbagai perasaan menyelubungi dirinya dan pernah sekali terbit rasa bimbang ketika menjalani penggambaran drama Nurul Iman di luar Kuala Lumpur walaupun anaknya itu dijaga oleh ibu dan neneknya.

Kata Farra perasaan rindu terhadap anak tidak dapat dibendung sehinggalah dia bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku setiap kali meninggalkan anak kesayangannya itu.

“Apabila berada jauh dari anak saya, tentu saja perasaan rindu itu hadir dan saya sentiasa teringatkannya,” kata Farrah.

Bercerita mengenai dunia lakonan, kata Farah dia menerima tawaran berlakon drama Nurul Iman selepas mendapat tawaran dari syarikat produksi berkenaan yang berkehendakkan individu yang berkemahiran bercakap Bahasa Arab.

Atas sebab itu pengacara Wanita Hari Ini (WHI), Akademi Al-Quran (AQ) dan Cari Menantu ini sukar untuk menolak tawaran yang diberikan.

“Pada mulanya saya tak terfikir untuk berlakon, tetapi memandangkan mereka mencari seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Arab, saya terima juga. Lagipun, syarikat itu banyak menerbitkan drama genre Islamik dan dakwah. Misalnya drama Cinta Madinah,” katanya kepada mStar Online.

Drama 13 episod Nurul Iman sedang disiarkan di RTM2 pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 1.30 petang, mulai 11 Ogos lalu.

Turut membintanginya oleh Abdul Rahman Suud, Zarina Zainoordin, Khatijah Tan, Maimon Mutalib, Faizal Yusuf dan Zainab Othman.

Penonton diajak berkongsi paparan kehidupan watak Hijaz, pemuda yang menjadi mangsa dengki abang-abangnya yang tamak dan ingin membolot harta ayah mereka hingga sanggup menganiaya adik mereka sendiri.

Menurut Farrah, setelah melalui pengalaman berlakon, dia akui bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab itu. Jika menjadi pengacara, dia boleh menjadi diri-sendiri, tetapi berlainan pula perasaannya apabila bergelar seorang pelakon.

“Saya rasa sangat tercabar apabila perlu melakonkan watak yang bukan menjadi diri-sendiri. Misalnya saya perlu menangis dalam satu babak itu, sedangkan saya bukanlah seorang yang penyedih.

“Tetapi akhirnya saya berjaya melakukannya setelah memikirkan perasaan bagaimana jika orang yang disayangi meninggalkan saya,” beritahunya yang telah menyelesaikan penggambaran drama tersebut.

Bermula Jun lalu, dia belum menerima apa-apa tawaran kerja melainkan mengacara program Nasi Lemak Kopi 'O'.

Selain itu, dia juga menguruskan butiknya, Najjah yang berhadapan dengan Giant, Kota Damansara. Butik yang telah beroperasi hampir lebih setahun lalu itu menyediakan busana muslimah berkonsepkan kontemporari.

Antaranya ialah tudung yang dijual pada harga RM15 hingga RM99 manakala baju pula berharga RM79 hingga RM439.

SimplySiti Sasar Pasaran Indonesia

KUALA LUMPUR: Produk kosmetik SimplySiti yang diasaskan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, dijangka mengembangkan sayapnya ke Indonesia tahun depan, selain meninjau peluang pemasaran di negara itu.

Siti Nurhaliza yang juga Presiden Simplysiti Sdn Bhd berkata, setakat ini permintaan produk keluaran syarikat itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.

"Kami sedang menjalankan kajian dan pembangunan produk penjagaan badan dan merancang mengeluarkannya tahun hadapan," kata Siti Nurhaliza ketika ditemui pada majlis pelancaran SimplySiti "Gold Edition" dan majlis ulang tahun perkahwinan beliau, di sini, Isnin.

SimplySiti juga menyasarkan untuk mengeluarkan lebih daripada 20 jenis produk.

Gold Edition telah berada dalam pasaran pada pertengahan Ogos lalu dan jualannya memberangsangkan.

Jenama yang mendapat pengiktirafan halal itu, diproses di Korea dan dipasarkan pada harga yang berpatutan.

Antara rangkaian Gold Edition keluarannya ialah Simply 4 Eye Color, Simply Shading Blush, Simply Gorgeous Lip Colour dan Simply Glitz Lip Gloss.

Simply 4 Eye Color yang turut mendapat permintaan ramai kerana mempunyai empat warna asas bagi mendapatkan mata yang menawan didatangkan bersama warna baharu iaitu asas pembayang, hitam, warna cerah coklat dan warna pembayang mata emas.

Produk SimplySiti boleh didapati di semua cawangan Watsons, Jusco Alpha Angle, Taman Equine, Cheras Selatan & Ayer Keroh Melaka dan kedai konsep kiosk SimplySiti yang diiktiraf di seluruh negara.

Selain itu SimplySiti juga boleh didapati di kaunter Sogo sepanjang bulan Ramadan.