Monday, March 30, 2009

Nita tak kesal jadi penyanyi undangan



SEBELUM ini Nita Malaysian Idol (MI) agak sepi tanpa khabar berkaitan karier nyanyian. Hinggalah baru-baru ini, Nita diberitakan bakal beraksi di Minggu Setiausaha bersama Faizal Tahir pada 22 April ini.

“Ini kali pertama saya mengadakan persembahan bersama-sama penyanyi popular macam Faizal Tahir. Peluang seperti ini bukannya boleh saya dapat setiap tahun kerana kebanyakan syarikat lebih suka memilih artis yang dah biasa mengadakan persembahan di majlis sebegini macam Anita Sarawak. Saya tak rasa kesal pun menjadi penyanyi undangan kerana saya nak tengok berapa jauh saya boleh pergi dan berapa ramai yang akan menghargainya,” ujar Nita apabila ditanya perasaannya bakal beraksi di majlis eksklusif.

Mengulas tentang karier nyanyian, Nita menyatakan dia masih aktif menyanyi tetapi mungkin ramai yang kurang menyedari kerana kebanyakan persembahannya untuk majlis-majlis korporat.

“Macam yang kita semua tahu, penjualan album sekarang amat perlahan malah sejak tahun 2005 lagi. Saya tak boleh hanya bergantung pada penjualan album sahaja. Jika nak hasilkan album sekalipun, saya tak nak buat album tangkap muat saja. Saya rasa setakat ini album saya tak ada satu pun lagu yang orang ingat, jadi saya perlu lebih teliti. Ikutkan jiwa saya lebih cenderung kepada muzik rock tapi atas faktor usia saya nak mencuba sesuatu yang berlainan seperti balada yang tak terlalu mendayu.

“Macam sekarang orang lebih kenal dengan Faizal Tahir jadi saya rasa amat gembira dan bersyukur walaupun saya hanya akan menyanyikan beberapa lagu sahaja nanti. Lagipun saya nak memulakan kembali kerjaya saya sebagai penyanyi sebab dah lama saya tak berpeluang macam ini. Saya tak kisah untuk naik tangga kembali, macam mula-mula hendak jadi artis dulu. Ini kerana saya tahu kemampuan diri dan tak kisah apa yang orang nak kata sebab ia keinginan saya,” luah Nita.



Masih setia bersama Zahid

Menyentuh kisah percintaannya dengan Zahid AF, Nita tidak ingin mengulas lebih lanjut. Namun dia mengakui yang dia masih lagi bersama dengan penyanyi tersebut.

“Dalam masa yang sama orang dah pun tahu mengenai hubungan saya dengannya. Jadi saya rasa lebih baik saya mengakuinya daripada menipu peminat. Ke mana saya pergi pun sering bersama dengannya jadi saya tak nak orang berkata sesuatu yang tak sedap saya dengar,” katanya.

Erra selamat melahirkan anak...Engku Aleesya

Erra menghitung detik bergelar ibu

PETALING JAYA: "Alhamdulillah, Suria FM sudah mempunyai seorang pendengar baru Engku Aleesya, yang selamat dilahirkan pada 11.40 pagi," begitu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin kepada mStar Online sebentar tadi.

Engku Aleesya dilahirkan seberat 4.04 kg secara normal di Damansara Specialist Center.

Emran jelas amat teruja dengan kelahiran anak sulungnya.

"Erra dan Aleesya dalam keadaan sihat," kata Emran lagi. Pelakon dan penyanyi Erra Fazira dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, pada pukul 11.30 malam tadi setelah mengalami kesakitan.

Pada jam 3 petang nanti, Engku Emran akan mengadakan sebuah sidang akhbar di Damansara Specialist Center.

Erra pernah mengalami keguguran pada awal 2008 ketika usia kandungannya dua minggu.

Erra berkenalan dengan Emran pada Jun tahun lalu. Pasangan itu kemudian memilih 7 September 2007 untuk mengikat tali pertunangan.

Pada 25 Oktober pula, pasangan itu dinikahkan di Restoran Puteri, Sungai Penchala. Erra tidak meminta wang hantaran, sebaliknya meminta senaskah al-Quran sebagai ganti.

AF 7: Nyanyian peserta ‘average’, Hafiz paling cemerlang

PRESTASI kebanyakan peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada minggu ketiga semalam kurang menampakkan tanda-tanda mereka mampu bergelar ikon cuma terdapat beberapa peserta yang menunjukkan peningkatan dan konsisten semasa melakukan persembahan mereka.

Antara peserta yang dimaksudkan adalah Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz, 19, Ismaliza Ismail (Isma), 30, dan Nur Fazelah @ Zizie Mohd Tahil (Zizi), 24.

Salah seorang peserta yang tersingkir pada Sabtu lalu iaitu Zuzafrini Zulkifli (Rini), 25, turut menunjukkan persembahan yang mempunyai peningkatan berbanding dua minggu lalu.

Vokal Rini bertambah baik dan jelas ketika dia menyampaikan lagu Seloka Cinta Remaja nyanyian asal oleh Seha Freedom.

Kini tinggal 11 peserta yang tinggal untuk meneruskan perjuangan pada minggu ke empat nanti.

Tidak hairanlah jika Rini yang praktis menari dalam tempoh empat hari mendapat pujian daripada pengkritik tetap Datuk Khadijah Ibrahim iaitu ‘persembahan awak ‘improve so much’ dan awak seperti betul-betul bercakap dengan audiens’.

Namun, pengkritik tetap Adlin Aman Ramli menyifatkan persembahan Rini ‘kasual’ dan tiada yang menarik.

Begitu juga dengan Mohd Yazid Ibrahim (Yazid), 22, yang menunjukkan persembahan lebih bagus berbanding minggu terdahulu menerusi lagu Pawana yang dinyanyikan oleh Search.

Khaty Ibrahim memberikan kritikan positif kepada Yazid iaitu ‘audiens dalam genggaman anda dan persembahan yang hebat’.

Sidi antara peserta yang menunjukkan prestasi merosot.

Pengkritik jemputan Prof. Madya Khairil Johari Johar juga mengatakan persembahan Yazid boleh membuatkan penyanyi asal lagu tersebut, Amy Search berbangga dengannya dan membawa penonton ke zaman 2000.

Malah, pengetua Datin Seri Tiara Jacquelina juga memuji persembahan Yazid yang disifatkan sudah keluar dari kepompong.

Sementara pelajar-pelajar lain dianggap membuat persembahan yang ‘average’ seperti diperkatakan oleh Adlin persembahan mereka pada tahap ‘biasa-biasa’ sahaja.

Bukan mudah untuk mendengar kata-kata pujian daripada tunang pelakon Emelda Rosmila ini melainkan kepada tiga peserta iaitu Zizi, Hafiz dan Isma.

Hafiz sudah tiga minggu berturut-turut memegang gelaran pelajar cemerlang.

Antara kritikan positif yang dilontarkan kepada Zizi: “Tahniah, awak buat yang bagus untuk dangdut dan ‘rapping’.

“Ini contoh persembahan yang saya maksudkan. Awak bukan sekadar menyanyi sahaja tetapi turut memberikan persembahan dalam bentuk fizikal.”

Selain itu, Adlin memuji Isma dengan: “Terima kasih kerana memberikan persembahan yang baik. Awak merupakan individu yang ‘colourful’ dan ‘interesting’.”

Begitu juga dengan Hafiz yang Adlin rasakan memang dilahirkan bakat seperti itu.

Isma masih mengekalkan undian peratusan tertinggi.

“Dalam tiga minggu ini, awak memang ‘pure’ dan harus diberikan peluang untuk bergelar ‘champion’.

“Range awak boleh pergi jauh dan satu level dengan Allahyarham Sudirman,” ulas Adlin mengenai persembahan Hafiz menerusi lagu Mat Disko yang dinyanyikan oleh Sudirman.

Selebihnya Adlin melontarkan kritikan negatif seakan-akan tidak berpuas hati dengan keseluruhan persembahan yang ditunjukkan oleh kebanyakan peserta pada minggu ketiga itu.

Kata Adlin, konsep lagu 80-an tidak memberikan apa-apa transformasi dan tidak menguji para peserta.

Obri belum cukup matang untuk bergelar seorang penyanyi.

“Pada minggu pertama, persembahan peserta nampak gempak tetapi minggu ini ramai yang tarik ‘handbreak’.

“Lupakan 80-an kerana ia agak lambat. Dulu, AF7 berjanji nak cari ikon yang lebih baik daripada sebelumnya.

“Untuk menjadi seorang ikon, peserta kena ada idea yang kreatif,” katanya.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria Khairul Mizan Shagul, idea untuk menyanyikan lagu 80-an sememangnya datang daripada tenaga pengajar secara kolektif.

Anggun dari Indonesia turut diundang untuk menghiburkan penonton.

“Dari minggu ke minggu, AF akan memberikan tema yang berbeza untuk menyerikan format pembelajaran.

“Cabaran lagu yang diberikan harus dihayati dengan cara tersendiri. Ada yang menyampaikan lagu dengan baik seperti lagu sendiri.

“Lagipun, ada penonton dan pelajar yang bukan dari tahun 80-an,” katanya.

Dalam pada itu, Tiara pula mencelah fokus dan sasaran fakulti memilih tema lagu 80-an menerusi kaedah yang berbeza.

Obri dan Rini tersingkir pada minggu lalu.

“Para peserta memulakan kelas mereka dengan Cikgu Ida Nerina di mana mereka mempelajari cara untuk menyampaikan mesej terlebih dahulu sebelum mempelajari melodi.

“Selepas itu, mereka membawakan isi nyanyian mengikut pergerakan yang sepatutnya melalui pendekatan teater muzikal iaitu menyampaikan kisah dan cerita dalam lagu.

“Lagu 80-an merupakan gubahan yang indah dan boleh dikatakan hampir setiap lagu berunsurkan penceritaan,” ujar Tiara.

Dari segi persembahan, Tiara menambah setiap pelajar memberikan lonjakan bermula dari Yazid sehinggalah Hafiz.

Obri tenang ketika diumumkan terkeluar oleh hos AC Mizal.

“Kami sangat berbangga dengan peningkatan semua pelajar,” luahnya.

Tiara juga memberitahu yang dia tidak tersinggung dengan kritikan pedas yang diberikan oleh Adlin.

“Saya tak tersinggung. Itu memang stail dia. Lagipun, dua memberikan kritikan yang detail. Jadi, saya boleh ambil ikhtibar daripada komen-komen itu dan memperbaiki kelemahan peserta dari minggu ke minggu,” tuturnya.

Obri tak jangka tersingkir, Rini terima adat realiti tv

Rini sugul ketika diumumkan terkeluar.

Pada Sabtu lalu, penyingkiran Obri dan Rini merupakan kejutan daripada Astro apabila dua peserta disingkirkan.

Namun begitu, Obri atau Ahmad Sobri Hasmuni, 24, tidak menyangka yang dia boleh tersingkir pada minggu itu.

“Saya tak fikir pun yang saya akan terkeluar kerana niat saya hanya untuk belajar. Saya sentiasa seronok ketika mengikuti semua kelas terutama kelas vokal.

“Sebenarnya, saya meminati AF ini dari musim pertama lagi tetapi waktu itu mak saya tak benarkan saya menyertainya dan meminta saya menamatkan pengajian terlebih dahulu,” beritahu Obri yang mempunyai Ijazah dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya.

Sementara Rini pula menerima penyingkiran tersebut sebagai adat dalam program realiti tv.

“Sebagai pelajar, saya hanya meletakkan diri saya ditempat seorang pelajar yang harus menerima keputusan penonton memandangkan program ini merupakan realiti tv yang mempunyai penyingkiran.

“Saya sudah cuba memenuhi citarasa penonton dan menjadi pelajar yang bagus tetapi mungkin saya tidak menepati kehendak mereka,” ulas Rini.

AIM 16: Estranged ungguli 8 pencalonan

BAND indie Estranged mengungguli 8 pencalonan bagi 6 kategori dalam Anugerah Industri Muzik ke-16 yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei depan pukul 8.30 malam.

Estranged dianggotai oleh empat anak muda iaitu Richael Lawrence Gimbang atau Rich, (vokal), Solihuddin Hormat (bass), Nor Hanafi (gitar utama) dan Azwin Andy Malik (dram). Rich adalah antara peserta yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ke-3 yang dimenangi oleh Mawi.

Menerusi album ‘Remain Unknown’, Estranged tercalon bagi kategori Kulit Album Terbaik (Pereka Vignes Balasingam), Rakaman Album Terbaik (Jururakam JD Wong), Lagu Rock Terbaik (Aurora dan Yang Pernah), Album Inggeris Tempatan Terbaik (Produser Estranged dan JD Wong), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Dances of The Spirit dan In No Time) dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (Aurora).

“Kami gembira sangat apabila tercalon dan cukup berbangga kerana AIM merupakan anugerah yang paling ditunggu.

"Kami akan 'perform' jika menang,"ulas Estranged yang bakal muncul dengan album baru pada tahun depan.

Dalam perkembangan lain, mereka telah mengeluarkan dua buah single terbaru dan akan menjayakan ‘road tour’ di Sabah dan Sarawak.

Menyusuli Estranged adalah Datuk Siti Nurhaliza dan Joe Flizzow dengan 7 pencalonan di mana Joe Flizzow menandingi 1 kategori daripada Siti.

Johan Ishak atau Joe Flizzow tercalon dalam 5 kategori iaitu Artis Baru Terbaik, Kulit Album Terbaik menerusi album President (Pereka Nadia Jasmin), Lagu Hip Hop Terbaik (Bergerak, Isabella dan Mengapa Harus Bercinta?), Album Inggeris Tempatan Terbaik (Produser DJ T-Bone, Goldfish, Koko, Syaheed, Terrytyelee, DJ Iman, Don M, Joe Flizzow dan Khan), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (All Around My World).

Sementara Siti pula layak bertanding bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Wanita) menerusi dua buah lagu iaitu Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman, Album Pop Etnik Terbaik melalui album Lentera Timur (Produser Johari Teh, Johan Nawawi, Aubrey Suwito, M. Nasir, Khairil Johari Johar, Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan, Pak Ngah, Zul Mahat, S. Atan dan Datuk Siti Nurhaliza), Lagu Pop Etnik Terbaik (Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman), dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (Pada CintaNya-Audi Mok dan Di Taman Teman-Fauzi Marzuki).

Reshmonu yang tampil dengan album Melayu pertamanya, Harapan turut tidak ketinggalan dicalonkan 5 pencalonan dalam 4 kategori.

Sama seperti Siti, dua buah lagu Reshmonu atau mesra dengan gelaran Resh turut dicalonkan menerusi Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki) iaitu Doa Untuk Dia dan Sayu.

Turut serta adalah kategori Rakaman Album Terbaik (Jururakam Reshmonu, Murali, Will Quinell dan C. L. Toh), Video Muzik Terbaik (Pengarah Reshmonu- Oh Anok Anok), Album Pop Terbaik (Produser Reshmonu dan Kavita Rajoo).

Dalam pada itu, band indie Hujan, Butterfingers, Malique, dan Misha Omar masing-masing dengan 4 pencalonan dalam 3 kategori.

Selain Joe Flizzow, Hujan yang dianggotai oleh Mohammed Noh Salleh atau Noh (vokal), Mohammad Hezry atau AG (gitaris), Azham Ahmad Ambobzeela (dram) dan Azhar atau Jaja (bass) turut dicalonkan kategori Artis Baru Terbaik bersama-sama Malique Ibrahim, Meet Uncle Hussain dan Suki.

Kategori lain yang turut mencalonkan Hujan adalah Album Rock Terbaik (Hujan-Produser Noh Hujan) dan Lagu Rock Terbaik (Bila Aku Sudah Tiada dan Dugaannya).

Sementara Butterfingers dicalonkan dalam kategori Video Muzik Terbaik menerusi video muzik lagu Mati Hidup kembali dan 1000 Tahun (Mahu Hidup) yang diarahkan oleh Kerol, Album Rock Terbaik melalui album Kembali yang diterbitkan oleh Butterfingers dan Faizal Shahrin, Lagu Rock Terbaik iaitu 1000 Tahun (Mahu Hidup) yang dicipta sepenuhnya oleh Loque.

Butterfingers dianggotai oleh Loque, Kadak, Emmet dan Kalai.

Bekas ahli Too Phat, Malique pula menjadi saingan terdekat rakan seperjuangannya, Joe Flizzow menerusi kategori Lagu Hip Hop Terbaik (Mentera Beradu dan Ok).

Selain itu, suami kepada pelakon dan model jelita Melissa Maureen Rizal ini turut tercalon dalam kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (KL Streets).

Penyanyi wanita yang tercalon banyak kategori selepas Siti iaitu Misha Omar turut bersaing dengan penyanyi itu bagi kategori Lagu Pop Etnik Terbaik (Nafas Cahaya).

Misha juga bakal bersaing dalam kategori Album Pop Terbaik menerusi album Misha Omar yang diterbitkan oleh Ramli M.S, Ajai, Aidit Alfian, Azmeer, Cat Farish dan Nurfatimah dan Lagu Pop Terbaik (Cinta Adam dan Hawa dan Sampai Di Sini).

Raja SMS Asmawi Ani atau Mawi juga tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam pertandingan ini apabila dia berjaya mendapat 4 pencalonan dalam 2 kategori iaitu Album Nasyid Terbaik menerusi album Allah Habeebi yang diterbitkan oleh Farihin, M. Nasir, Edry KRU dan Othman Mahmood dan Lagu Nasyid Terbaik (Allah Habeebi, Serulah Namanya dan Teman Hakiki).

Jumlah pencalonan meningkat 40 peratus

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM 16 Rosmin Hashim, berikutan penambahan 12 kategori khusus untuk mengiktiraf single-single yang diterbitkan, jumlah pencalonan yang diterima oleh Akademi (Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM)) meningkat sebanyak 40 peratus dalam tahun ini.

“Ini mencerminkan trend semasa industri muzik di mana lebih banyak single diterbitkan berbanding album oleh syarikat-syarikat rakaman, penerbitan mahupun artis sendiri.

“Oleh itu, AIM buat julung kalinya memperkenalkan 12 kategori iaitu Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Lagu, Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita), Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Album Hip Hop Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Cina Terbaik dan Lagu India Terbaik.

“Selepas mendapat maklum balas dari para hakim pada tahun lalu, pihak Akademi juga telah menggabungkan kategori Susunan Lagu Terbaik yang sebelum ini dipecah dua mengikut kategori bahasa Melayu dan bukan Melayu.

“Jumlah lagu untuk memenuhi kriteria album juga telah dikecilkan dari 8 lagu kepada 5 lagu,” katanya ketika majlis sidang media di Hotel Concorde Kuala Lumpur, semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi PAIMM Datuk Aziz Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif ntv7 Suridah Jalaluddin, Naib Presiden Kanan, Pemasaran Celcom (Malaysia) Berhad Zalman Aefendy Zainal Abidin, Pengurus Besar Media Prima Radio Network Seelan Paul, Rakan Kongsi, Ernst & Young Ahmad Zahirudin Rahim dan rakan artis.

Mereka adalah Noh (Hujan), Raihan, Goldkartz, Alyah, Shila OIAM, Ayu OIAM, Nikki, Farhan, Mawi, Reshmonu, Joe Flizzow dan ramai lagi.

Fakta mengenai AIM 16

- Proses penjurian terakhir telah dilangsungkan pada 8 Mac lalu di mana ‘top 5’ bagi semua kategori telah ditetapkan selepas menjalani dua pusingan di mana para juri mendengar dan melihat semua pencalonan bagi semua kategori dan memilih ‘top 10’ atau lebih di pusingan pertama.

- Ada kalanya jika sesuatu kategori itu tidak cukup pencalonan kerana kurang album dalam pasaran atau mutunya tidak memenuhi kriteria-kriteria juri maka didapati jumlah yang dipilih kurang dari angka tersebut. Misalnya kategori Album Pop Etnik Terbaik yang mempunyai 4 pencalonan sahaja manakala Album India Tempatan Terbaik dengan hanya 3 pencalonan.

- Kesemua 29 kategori dipertandingkan di mana pecahannya adalah Muzik Melayu Tenpatan- 12, Muzik Inggeris Tempatan- 10, Muzik Cina Tempatan- 3, Muzik India Tempatan- 3, dan Muzik Luar Negara- 1.

- Album yang layak dicalonkan adalah album yang diterbitkan pada tarikh kelayakan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2008. Semua pencalonan dibuat oleh syarikat yang menerbitkan album 1 lagu yang dicalonkan dan mereka mestilah menjadi ahli (Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

- Jumlah pencalonan tahun ini adalah 707, yang terbanyak dalam sejarah AIM. Ini disebabkan kewujudan kategori membabitkan single yang bertambah pada tahun ini.

- Jumlah juri yang terbabit bagi kedua pusingan ialah seramai 143 orang. Mereka terdiri daripada individu-individu yang terlibat secara langsung atau tidak dalam industri muzik yang terdiri dari penerbit, pencipta, penulis lirik, pemuzik, ‘arrangers’, jurutera studio, penyampai radio, wartawan hiburan dan lain-lain.

- Ketua juri, Ramli MS dan pihak juruaudit Ernst & Young bertanggungjawab untuk memastikan kesahihan dan proses penjurian berjalan dengan produser dan piawaian yang diperakui.

- Para finalis AIM 16 akan dibawa menjelajah tanahair dalam persembahan bergerak mereka di Kuantan Parade, Pahang (4 April), Plaza Alam Sentral, Shah Alam (11 April), Village Mall, Sungai Petani (18 April) dan Queensbay Mall, Pulau Pinang (25 April).

- Tiket-tiket untuk menyaksikan AIM 16 mula dijual pada 10 April dengan harga RM50. Untuk tempahan, hubungi 03-4044 5388.

- AIM 16 yang ditaja oleh Celcom turut disiarkan secara langsung di ntv7 dan diperdengarkan di radio Hot FM pada 2 Mei pukul 8.30 malam.

Gwyneth takut Freida 'rampas' kontrak Estee Lauder

Gwyneth risau jika Freida Pinto merampas kontrak sebagai duta produk kecantikan Estee Lauder

GWYNETH Paltrow nampaknya takut jika bintang Slumdog Millionaire, Freida Pinto akan merampas kontrak $1 juta setiap tahun sebagai duta produk kecantikan Estee Lauder yang dipegangnya ketika ini.

Aktres popular itu telah dilantik menjadi 'wajah' produk tersebut sejak tahun 2005 menggantikan pelakon Hollywood terkenal, Elizabeth Hurley.

Namun, Paltrow amat susah hati memikirkan bintang Bollywood yang makin melonjak naik itu mungkin akan menggantikan tempatnya itu kelak.

"Gwyneth mengaut berjuta-juta dolar melalui kontrak itu dan iklan-iklan tersebut sebenarnya yang membuatkan dia terus kaya," kata satu sumber menerusi Daily Mail.

Tambah sumber tersebut: "Berita yang mengatakan Estee Lauder sedang berbincang dengan Freida amat mengejutkan Gwyneth. Kehilangan kontrak dengan Estee Lauder akan memberi impak besar terhadapnya.

"Dia ingin sangat mengetahui apa yang dirancangkan oleh Estee Lauder terhadap Freida dan berharap dirinya tidak dipinggirkan."

Yatt akhiri zaman solo

Yatt akhirnya bergelar isteri kepada Abdul Mutalib setelah mengikat tali pertunangan tahun lalu

DENGAN sekali lafaz, pelakon Haryati Hamzah yang mesra disapa Yatt, 29, akhirnya sah bergelar isteri kepada kekasih hatinya, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 29, pada majlis pernikahan mereka di Seremban, semalam.

Majlis yang bermula sekitar 2.30 petang itu diadakan secara sederhana dan dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak, saudara-mara dan kenalan rapat mereka.

Pada majlis bersejarah mereka itu, Yatt menerima mas kahwin sebanyak RM280.80 serta lima dulang hantaran oleh pihak lelaki dan berbalas tujuh oleh pihak perempuan.

Yatt bagaimanapun merahsiakan jumlah wang hantaran yang diberikan oleh suaminya itu.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 2 Februari tahun lalu setelah hampir lima tahun mengenali hati budi masing-masing.

Setelah merasakan keserasian antara mereka wujud, Yatt akhirnya yakin jejaka yang bertugas sebagai pengurus SportsPlanet di Ampang itu adalah lelaki yang paling layak bergelar suaminya.

Setelah hampir lima tahun mengenali hati budi masing-masing, Yatt merasakan Mutalib adalah jejaka yang layak menjadi suaminya

Majlis pernikahan mereka semalam akan berlangsung di rumah keluarga Yatt di Seremban, Negeri Sembilan.

Majlis persandingan di sebelah pihak lelaki pula akan dibuat di Dewan Seri Endon, Putrajaya pada 4 April depan manakala persandingan di sebelah perempuan pula akan dibuat di sesi malam pada tarikh dan lokasi yang sama.

Menariknya, hari bersejarah pasangan ini juga turut mendapat tajaan yang melimpah-ruah; bermula dengan kad jemputan perkahwinan, rawatan kecantikan, baju pengantin, pelamin, solekan dan katering.

Butik Lynda Rahim adalah penaja utama sebagai perancang perkahwinan, persalinan dan hiasan majlis persandingan. D&D Beauty House pula akan menaja pelamin nikah manakala hiasan majlis pernikahan itu akan ditaja oleh Butik Pesona Anggun.

Antara penaja lain ialah Saddiq Solutions (kad jemputan), Den Wahab dan Udaimatunnur (persalinan nikah), Amy Janz dan Fiza Zainudin (solekan), Chef Zainal Tanjung Puteri (kek perkahwinan), My Aroma dan KK Cleaning Services (cenderahati), Kickstart Gymnastic (persembahan), Skin Basic (rawatan pelansingan badan) dan Seri Keningau Catering (katering).

Aweera menyanyi atau hanya senandungkan lagu Enter Sandman?

Salah satu aksi persembahan bertenaga Aweera

TIMBUL persoalan sama ada Aweera menyanyi atau hanya senandungkan lagu Enter Sandman dalam persembahannya di One In A Million (OIAM) minggu lepas sehingga juri Syafinaz mengakui dia lebih menghayati lagu band yang melatari penyanyi bergenre rock itu.

"Aweera tidak menyanyi tetapi menjerit-jerit. Saya lebih menghayati lagu band kat belakang," komen Syafinaz sejujur-jujurnya ketika ditanya hos mengenai persembahan penyanyi berusia 18 tahun itu.

Katanya, maklum balasnya mengenai pembawaan lagu itu adalah berbelah bagi walaupun ia jelas memiliki elemen rock sebanyak 80 peratus.

Cuba membaca minda penyanyi itu, Syafinaz terus bertanya, "Adakah Aweera memilih lagu tersebut kerana tidak perlu menyanyi?"

Ini ditambah pula pendapat ikhlas seorang juri tetap, Paul Moss bahawa Aweera sebenarnya lebih kepada `humming (senandung)' daripada menyanyi.

Memang benar, lebih kuat muzik daripada kumpulan sokongan berbanding kelantangan suara peserta OIAM itu sendiri. Amat mengecewakan lontaran vokal itu berakhir tidak sehebat aksi persembahannya terutama pada babak-babak awal.

Imej rock Aweera memukau para penonton OIAM, minggu lalu

Di awal persembahan, Aweera bertopi koboi sambil tangannya memegang gitar. Dia berseluarkan jeans serta memakai T-shirt berwarna hitam.

Gaya koboi tersebut jelas menepati imej rocker yang cuba ditonjolkan oleh Aweera kepada para penonton selama ini.

Dia memiliki segala-gala `ramuan serta resipi' penyanyi rocker di atas pentas. Boleh dikatakan pakejnya pada malam itu paling menyerlah berbanding peserta-peserta lain.

Kehadiran Aweera di pentas begitu terasa! Jika OIAM dinilai dari aspek aura penyanyi atas pentas, pada pendapat penulis, Aweera sudah mendapat skor sembilan daripada 10 markah.

Apabila tirai persembahan dibuka, Aweera bagai dirasuk roh penyanyi utama rock untuk kumpulan pemuzik antarabangsa Korn bernama Jonathan Davis.

Terkinja-kinja dan berpusing-pusing di setiap ceruk pentas. Rambutnya pula habis kusut-masai dek terayun-ayun ke kiri, kanan, atas dan bawah.

Juri undangan, Francissca Peter yang terhibur berkata: "He is so hot rocking. You are hot with or without guitar.. You run around the stage".

Terkenangkan Aweera mirip penyanyi antarabangsa itu yang menggegarkan konsert Festival Muzik Antarabangsa Sunburst Kuala Lumpur 2009, baru-baru ini.

Kenapa? Terlalu "bising" sehingga tidak dapat mendengar sepatah daripada lirik lagunya. Mungkin muzik kumpulannya terlalu tinggi sehinggakan menenggelamkan suaranya.

Selain itu, suara garaunya langsung tidak membantu kejelasan bunyi.

Ataupun, mungkin wartawan ini yang sememangnya bukan peminat lagu rock dikira gagal menghayati lagu nyanyian asal artis Metallica itu yang didendangkan rocker dari Perlis tersebut.

Itulah cubaan berani salah seorang peserta OIAM yang cuba mencari suara identiti milik mereka. Bukankah slogan OIAM ialah Find Your Own Voice?

Hakikatnya, Aweera seperti mana Rizu menyanyikan lagu bertajuk Naluri Lelaki yang dipopularkan Samson (Naluri Lelaki - Samson), Simon (Eternity - Robbie Williams), Amylea (Satu Dalam Sejuta - Amylea) dan Nine (Nakal - Gigi) telah melakukan yang terbaik pada Jumaat lalu tetapi "ada yang tak kena" dengan nyanyian mereka.

Rizu tampak macho mendendangkan lagu Naluri Lelaki

Rizu, 19, misalnya dengan vokal tinggi melampiaskan suara lelaki macho tetapi Moss menyifatkan pembawaan lagu Rizu sebagai `tiada klimaks, tiada ekspresi wajah, tiada ciri-ciri pada suara' dan tiada apa-apa secara total.

Simon lebih menonjol menyanyi sambil bermain gitar

Penyanyi berasal dari Kuala Lumpur itu bagaimanapun mempunyai `wow' sendiri dan dilihat dapat berkomunikasi baik dengan penonton.

Sementara itu, Simon, 25, pula telah berusaha berhubung dengan audiens tetapi penampilannya tanpa gitar menyebabkan kelibatnya atas pentas sedikit kaku.

Penyanyi yang menjadikan Jon Bon Jovi sebagai idolanya itu sebenarnya cuba menyuntik faktor X (daya tarikan) pada setiap minggu dia bertanding di OIAM.

Sekelumit nasihat Syafinaz kepada Simon: "Kalau tak tonjolkan X-factors, macam wall paper sahaja. Biasa saja. Tapi Simon dah cuba".

Francissca Peter mengkehendaki Simon mengawal pentas untuk berjaya dalam pertandingan itu.

Amylea menyanyi lagunya, Satu Dalam Sejuta pada OIAM minggu lepas

Dalam pada itu, Amylea mendapat pujian daripada Francissa and Syafinaz kecuali Moss yang berasa persembahannya barangkali membosankan malam itu.

Kedua-dua juri perempuan itu berasa Amylea mempunyai vokal yang unik dan Syafinaz berkata, Amylea semakin cantik dari sehari ke sehari.

Sementara itu, Nine, 27, gagal mengulangi persembahan cemerlang pada minggu sebelumnya sehingga Syafinaz menyifatkan suaranya seksi pada minggu tersebut.

Kali ini, Syafinaz berpendapat, nyanyian Nine itu hilang intonasi dan `terlalu mengganggu'.

Turut mengulas persembahan Nine, Moss memberitahu: "Voice disappears.... key song, intensity... something vocally missing".

Secara keseluruhannya, masing-masing telah cuba menjadikan lagu dendangan mereka dinyanyikan mengikut stail tersendiri. Mereka juga telah keluar dari kepompong yang selesa untuk mencetuskan kelainan dalam persembahan mereka.

Hanya Esther dan Tomok, menurut para juri, benar-benar mewarnai malam tersebut dengan persembahan vokal menarik, artistik dan kreatif.

Mengenai Esther yang berharap setanding penyanyi antarabangsa Mariah Carey suatu hari nanti, Syafinaz berkata, Esther memiliki kelebihan dan kebolehan mencantikkan lagu.

Mengenai Tomok, Moss berkata, "Taking risk is a strategy. You can mix and match brilliantly. Really. You can turn it 180 degree yet retain the melody".

Antara mereka berdua, Tomok diberikan imuniti, Fify tersingkir.