Tuesday, October 4, 2016

Logo silat cekak di puncak Kinabalu



Logo silat cekak di puncak Kinabalu
Logo silat cekak berjaya dihamparkan di puncak Kinabalu jam 7 pagi pada 29 September lalu.
KUALA TERENGGANU - Tarikh 29 September merupakan tarikh bersejarah bagi Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Terengganu (PSSCM) dan Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) kerana berjaya menghamparkan bendera gergasi silat cekak bersaiz lebih 12 meter di puncak South Peak, Gunung Kinabalu.
Ketua program, Mohd Azwarin Ahmed berkata, misi menghamparkan logo silat cekak di puncak tertinggi Asia Tenggara sebagai simbol bagi mengangkat martabat seni mempertahankan diri yang menjadi warisan dan kebanggaan negara.
“Alhamdulillah, kita telah berjaya merealisasikan Program Kembara Cekak Ke Puncak sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun Silat Cekak PSSCM pada 26 hingga 30 September 2016 di Gunung Kinabalu, Sabah.
“Kita nekad menjayakan misi ini kerana bagi kita, seni silat haruslah diangkat martabatnya di tempat yang sepatutnya seiring dengan tarafnya yang telah di nobatkan sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara,” katanya.
Beliau yang juga tenaga pengajar PSSCM Cawangan Terengganu berkata, cabaran yang mengambil masa persiapan selama tiga bulan itu turut disertai Pendaki Gunung Everest 2007 iaitu Muhamad Rafi Kori, Hairy Helmi@Khairy Mustaffa dan Mohd Ghazali Kori dari Terengganu Backpackers.
Katanya, logo gergasi itu yang disiapkan dalam masa tiga hari itu direka khas oleh ahli pasukan dengan bantuan warga Kampung Pulau Manis Serada, Kuala Terenganu.
“Mengikut pemandu arah yang membawa kumpulan kami, belum pernah ada bendera atau logo sebesar ini dibentangkan di puncak Kinabalu.
“Sepanjang usaha kami menjayakan misi ini, ramai pendaki-pendaki dari luar negara seperti daripada United Kingdom (UK), United States (US), Holland, Australia, Indonesia, Thailand, Singapura dan lain-lain menyatakan kekaguman atas usaha yang dijalankan lebih-lebih lagi apabila kami mengenakan pakaian busana tradisional dan pakaian rasmi silat cekak,” katanya.
Katanya, sebelum misi membentangkan logo gergasi silat cekak di puncak gunung pada jam 7 pagi 29 September lalu, ahli pasukan terlebih dahulu berjaya sampai di Puncak Gunung Kinabalu, Puncak Low’s Peak (4095 meter) tepat jam 6 pagi.
Beliau berkata, puncak Low’s Peak adalah puncak tertinggi daripada 15 puncak yang terdapat di Gunung Kinabalu.
Dalam pada itu, katanya, pasukan itu turut mengambil kesempatan untuk menziarahi salah satu keluarga malim gunung yang terlibat dalam tragedi kemalangan gempa bumi Gunung Kinabalu pada 6 Jun tahun lalu.
Katanya, pihaknya turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada isteri mendiang Joseph Solungin di kediaman mereka di Kampung Kiau, Kota Belud.

Ribuan sertai pertandingan menara manusia tertinggi



Ribuan sertai pertandingan menara manusia tertinggi
Tradisi ini bermula pada abad ke -18 di wilayah Catalonia berasal daripada sebuah tarian berupa menara manusia.
TARRAGONA - SEPANYOL. Dianggarkan beribu-ribu orang bertanding untuk membina menara manusia tertinggi dalam sebuah pertandingan tradisional di Sepanyol lapor Dailymail.co.uk
Concurs de Castells merupakan satu acara dwi-tahunan yang diadakan di Tarragona, Timur Laut Sepanyol menyaksikan satu pasukan yang memiliki sehingga 500 orang membina satu menara menakjubkan dikenali sebagai Castell setinggi lebih 10 tingkat.
Salah seorang pegawai pertandingan mengatakan tradisi ini bermula pada abad ke-18 di wilayah Catalonia serta dipercayai berasal daripada sebuah tarian berupa menara manusia.
“Pertandingan dimulakan dengan tembakan di udara dan anda dapat melihat setiap pasukan yang memakai warna baju yang sama termasuk kanak-kanak akan membina menara mereka.
“Ahli terkuat dan yang terberat akan diletakkan di bahagian bawah menara manakala yang ringan akan membuat pendakian ke bahagian atas,” katanya.
Pasukan-pasukan ini akan bersaing sebanyak lima pusingan dan mata akan diberikan mengikut kesukaran dan ketinggian setiap castells.
Seharusnya pertandingan ini tidak lah berbahaya namun begitu, terdapat juga kecederaan ringan kepada peserta sekiranya menara-menara ini terbalik.
Kira-kira 20,000 orang penonton dari seluruh dunia hadir untuk menyaksikan pertandingan ini yang juga turut disenaraikan dalam warisan budaya Unesco.

Tapak kaki terbesar dinosaur ditemui



Tapak kaki terbesar dinosaur ditemui
Kesan tapak kaki yang ditemui.
GOBI DESERT - MONGOLIA. Kesan tapak kaki dinosaur terbesar yang pernah direkodkan ditemui di Gobi Desert yang memberi petunjuk baru tentang hidupan gergasi yang pernah hidup di bumi berjuta-juta tahun yang lalu.
Ekspedisi bersama penyelidik Mongolia dan Jepun menjumpai tapak kaki gergasi dengan ukuran 106 sentimeter (42 inci) panjang dan 77 sentimeter lebar.
Ia merupakan salah satu daripada penemuan kesan tapak kaki di pandang pasir Mongolia.
Bulan lalu, satu fosil ditemui di lapisan geologi yang terbentuk antara 70 juta dan 90 juta tahun yang lalu, kata penyelidik dipetik AFP.
Ia acuan  pasir semulajadi yang telah ditinggalkan dari kesan tapak kaki di kawasan berlumpur.
Kesan tapak kaki itu dipercayai adalah dari spesis dinasour Titanasaur, iaitu haiwan berleher panjang dan boleh membesar lebih 30 meter panjang dan 20 meter tinggi.
"Ini adalah penemuan yang sangat jarang berlaku kerana ia adalah satu jejak fosil terpelihara yang lebih dari satu meter panjang dengan kesan cengakaman kuku," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Okayama University of Science.
Universiti Jepun bekerjasama dengan Akademi Sains Mongolia dalam kajian ini.

Sunday, October 2, 2016

Anis Percaya Gosip Raja Afiq Tidur Bersama Niena Baharun Fitnah



Anis Al-Idrus anggap gosip tidak logik.
PETALING JAYA: Pelakon Anis Al-Idrus menganggap isu grup WhatsApp palsu kononnya milik aktres Niena Baharun yang mendedahkan wanita itu tidur bersama pelakon Raja Afiq adalah tidak logik dan fitnah semata-mata.

Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus, 28, berkata, dia tidak perlu sebarang penjelasan daripada kekasihnya berikutan perkara tersebut tidak berlaku.

"Gosip sudah menjadi lumrah dan paparan perbualan di grup WhatsApp palsu itu sudah terang-terangan adalah fitnah kerana ia langsung tidak logik.

"Saya tidak perlu minta penjelasan daripada dia kerana ia hanya gosip, buat apa nak perbincangkan masalah yang sememangnya tidak benar," ujarnya.

Raja Afiq dan Niena Baharun.
Penyanyi lagu Mengapa ini ditanya mengenai isu apabila individu yang menyamar sebagai Niena Baharun dan mendakwa sudah tidur bersama pelakon gandingannya dalam drama Sayangku Kapten Mukhriz iaitu Raja Afiq.

Dalam satu mesej grup WhatsApp, individu itu memaklumkan dia dan Afiq menghabiskan masa bersama sepanjang malam sebelum pelakon lelaki itu pulang ke rumahnya pada pukul 10 pagi.

Individu terbabit juga meminta supaya peminatnya tidak menghebahkan hal itu kepada umum kerana tidak mahu menimbulkan masalah.
Paparan skrip kumpulan Whatsapp yang tersebar.
Dalam pada itu, Anis berkata, perkara tersebut juga tidak menjejaskan kepercayaan dan hubungan cintanya dengan aktor berkenaan.

"Ia langsung tidak menjejaskan hubungan kami. Malah kami hanya ketawa apabila cerita-cerita sebegini keluar.

"Saya juga selalu berfikir betapa rajinnya mereka di luar sana yang gemar membuat benda-benda sebegini seolah-olah mereka terlalu banyak masa terluang," ujarnya.

Dalam pada itu, Anis berkata, sejak melangkah ke bidang seni, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran sebagai anak seni.

"Gosip sebenarnya jika kita lihat dengan kaca mata yang waras, ia terbahagi kepada positif dan negatif.

"Jadi terpulang kepada setiap individu, sejak menceburi industri saya sudah pun tanamkan bahawa saya perlu kuat menghadapi cabaran-cabaran sebegini," ujarnya.

Rozita Rohaizad Enggan Peduli Dicemuh Kerana Lagu 'Anak Ikan'



Rozita tidak ambil peduli dengan kritikan diberikan terhadapnya.
PETALING JAYA: Penyanyi Rozita Rohaizad enggan mengambil peduli tentang cemuhan segelintir pihak yang menganggap dirinya tidak sedar diri apabila muncul dengan lagu terbaharu berjudul Anak Ikan.

Rozita, 59, berkata, usia bukan penghalang untuk dia muncul dengan lagu genre dangdut itu dan meminta masyarakat agar menghormati perjuangannya sebagai anak seni.

"Saya sedar ramai yang kritik dan menganggap saya tidak sedar diri tapi saya malas untuk ambil peduli dan membaca komen-komen negatif itu.

"Saya harap mereka berhenti menghukum saya dengan meminta saya menjadi makcik-makcik di dapur, saya seorang yang ceria dan sentiasa gembira dengan apa yang saya lakukan," ujarnya.

Rozita ketika membuat persembahan di pelancaran Dangdut Asia baru-baru ini.
Dia menjawab tentang segelintir pihak yang mengkritik persembahannya dalam sebuah video pada pelancaran lagu tersebut minggu lalu. Mereka mengganggap ia sebagai tidak sesuai kerana faktor usianya.

Sementara itu, Rozita turut menjelaskan maksud lagu tersebut Anak Ikan yang menujukan kepada kekasih muda itu hanyalah sekadar hiburan semata-mata.

Tambah anak kepada Allahyarham Seniwati Mariani ini, dia tidak pernah mempunyai hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki yang lebih muda daripada usiannya.

"Lagu tersebut hanya hiburan semata-mata dan tidak menggambarkan diri saya pun. Saya akui ada berkawan dengan ramai lelaki yang lebih muda tapi hanya kawan-kawan sahaja.

"Saya suka lagu ini kerana ia catchy dan bertenaga apabila dipersembahkan di atas pentas," ujarnya.

Sementara itu, Rozita berkata, dia perlu menjaga stamina dan kesihatan dengan baik dalam mempromosi lagu yang memerlukannya untuk banyak menari.

Istilah 'anak ikan' sering digunakan dalam dunia hiburan bagi merujuk kepada lelaki muda kacak yang sering menjadi perhatian ramai.

Zahiril Adzim Masih Dibayangi Watak Daim



Zahiril Adzim tidak kisah sekiranya ada peminat mahu memanggilnya dengan nama Daim.
PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim mengakui sukar untuk lari daripada wataknya sebagai Daim menerusi filem Juvana memandangkan ia sudah melekat di hati peminat.

Zahiril, 32, berkata, peranan diterimanya selepas Juvana juga gagal menandingi kekuatan pada watak Daim yang dibawanya.

"Hendak 'cuci' daripada watak Daim itu memang sukar memandangkan sudah lima tahun Juvana diterbitkan daripada drama bersiri sehinggalah tiga buah filem.

"Saya mungkin boleh lari daripada Daim sekiranya ada naskhah lain yang lebih kuat daripada Juvana sekali gus membolehkan peminat melupakan peranan tersebut.

"Bagaimanapun sehingga hari ini masih belum ada watak yang mampu menandingi kekuatan Daim itu sendiri," katanya.

Naskhah terakhir Juvana iaitu Juvana 3: Perhitungan Terakhir sedang ditayangkan di pawagam sejak 29 September lalu.

Peneraju utama Juvana 3: Perhitungan Terakhir; Adam Shahz (kiri), Johan As'ari dan Zahiril Adzim.
Selain Zahiril, filem arahan Faisal Ishak itu turut membariskan pelakon seperti Johan As'ari, Adam Shahz, Nad Zainal, Hasnul Rahmat dan Hafreez Adam.

Dalam pada itu, Zahiril berkata, dia tidak kisah sekiranya masih ada peminat yang memanggilnya dengan nama Daim walaupun trilogi drama dan filem Juvana sudah berakhir.

Zahiril berkata, ia menunjukkan wataknya itu berjaya meninggalkan kesan kepada penonton dan mengakui sering disapa dengan nama berkenaan setiap kali bertemu peminat.
"Rasanya ramai yang tidak tahu nama sebenar saya kerana setiap kali saya bertemu peminat lebih ramai memanggil saya 'Daim' berbanding 'Zahiril'.
"Tetapi tidak mengapa, ia bukan satu isu besar kerana Daim meninggalkan kesan mendalam kepada penonton sehingga ia diingati.

"Walaupun Juvana sudah berakhir tetapi legasi yang ditinggalkan masih kekal dan ia telah menjadi satu jenama," katanya.

Sementara itu, Zahiril memberitahu, penggambaran Juvana 3: Perhitungan Terakhir  adalah paling sukar kerana ia banyak melibatkan banyak aksi yang memerlukan kekuatan fizikal.

Bagaimanapun katanya, disebalik aksi mendebarkan naskhah terakhir itu banyak mengingatkannya kepada drama bersiri yang diterbitkan pada 2011 kerana ia banyak mengangkat tentang persahabatan, pengorbanan dan kesetiaan.

"Juvana 3 memang banyak aksi dan memerlukan tenaga fizikal yang kuat tetapi ia pada masa sama saya berasa puas kerana dapat memberi yang terbaik.

"Naskhah terakhir ini juga mengumpulkan semua barisan asal drama bersiri Juvana lima tahun lalu dan banyak mesej positif diselitkan," ujarnya.

Elfira Loy Tidak Bimbang Randy Pangalila Tunangan Orang



Elfira Loy tidak bimbang akan kembali dikaitkan dengan aktor Randy Pangalila.
PETALING JAYA: Pelakon Elfira Loy tidak berasa bimbang kembali dikaitkan dengan aktor Indonesia, Randy Pangalila apabila mereka bakal digandingkan dalam siri Oh My English!musim terbaharu.

Elfira atau Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 22, berkata, umum mengetahui dia dan Randy sekadar teman biasa tambahan pula pelakon itu sudah menjadi tunangan orang.

"Terkejut juga saya apabila diberitahu pihak produksi kami akan digandingkan sekali lagi dengan Randy kerana kami pun sudah lama tidak bertemu.
Randy Pangalila.
"Kalau ada yang hendak mengaitkan kami bercinta seperti mana berlaku dahulu saya tidak bimbang kerana ia tidak benar dan Randy pun sudah bertunang," katanya.
Elfira sebelum ini pernah bergandingan dengan Randy dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman yang disiarkan menerusi Astro Ria.

Drama bersiri berkenaan berjaya mendapat rating tertinggi sehingga peminat mengaitkannya bercinta dengan Randy.

Pelakon kecil molek itu juga pernah dikaitkan bercinta dengan seorang lagi pelakon Indonesia iaitu Baim Wong sehingga Elfira diburu oleh media di negara tersebut.

Dalam pada itu, Elfira berkata, perkara itu terjadi mungkin disebabkan peminat menyukai keserasian mereka menerusi drama lakonan sehingga ia terbawa-bawa ke dunia realiti.

Bagaimanapun katanya, dia melihat situasi tersebut dari sudut positif kerana ia mampu memberi promosi kepada drama lakonannya.

"Seperti Dalam Hati Ada Taman ia drama bersiri pertama yang mendapat rating melepasi satu juta tontonan di Astro.

"Ia buktikan penonton menyukai drama itu selain keserasian di antara saya dan Randy menjadi," ujarnya.
Elfira, Sherry dan Ardell bergandingan sebagai hos program travelog Extreme Roadtrip.
Dalam perkembangan lain, Elfira berkata, dia bakal muncul dengan program travelog terbaharu iaitu Extreme Roadtrip yang turut mengandingkannya dengan Sherry Alhadad dan Ardell Aryana.

Kata Elfira, dia teruja dengan program berkenaan kerana selain berkongsi tip dengan penonton tentang tempat menarik untuk dilawati dia juga dapat melakukan aktiviti lasak yang mencabar.

"Ia bukan sekadar sebuah program travelog tetapi penonton dapat melihat sendiri kami melakukan beberapa cabaran yang sukar.

"Saya memang sukakan aktiviti lasak kerana ia mampu mencabar sejauh mana kekuatan diri kita dalam menempun sesuatu halangan.

"Banyak yang kami pelajari sepanjang tempoh menyiapkan program ini," jelasnya.