Tuesday, September 1, 2015

Lokon Mula Meletus




TOMOHON: Gunung berapi Lokon yang terletak di Sulawesi Utara mula meletus dan mengeluarkan asap tebal sejak Sabtu.
Pegawai di Bahagian Pengamatan dan Penyelidikan Gunung Api Wilayah Timur, Devy Kamil Syahbana berkata, letusan itu menyebabkan berlaku gegaran kuat selama beberapa minit.
“Letusan ini disusuli dengan bunyi detuman kuat yang boleh didengari sejauh lima kilometer,” katanya.
Menurutnya, gunung berapi berkenaan mengeluarkan habuk kelabu yang ketinggiannya mencecah kira-kira 1.5 kilometer di udara.
“Bandar paling dekat adalah Sam Ratulangi Manado yang terletak 24 kilometer dari utara gunung Lokon.
“Bagaimanapun, tiada laporan abu gunung berapi mengenai bandar berkenaan,” jelasnya.
Menurutnya, walaupun Lokon meletus dengan kuat, tetapi gunung berapi itu diletakkan pada tahap berjaga-jaga.
“Kami menasihatkan supaya tiada sebarang aktviti dilakukan pada jarak 2.5 kilometer radius dari kawah gunung berapi,” katanya.

Penjaga Gol Manchester United Anders Lindegaard Sertai WBA




Anders Lindegaard menjadi pemain terbaru dari Manchester United meninggalkan kelab itu musim ini. Dia menyertai WBA secara percuma.
> Dia menjadi pemain ketiga dalam tempoh 24 jam tinggalkan United
> Sebelum itu, Javier Hernandez sertai Leverkusen dan Adnan Januzaj ke Borussia
> Jonny Evans terlebih dahulu sertai WBA beberapa hari yang lalu
> Sebelum musim baru bermula, penolong kapten United Darrent Fletcher juga sertai WBA
PENJAGA gol kedua, Manchester United, Anders Lindegaard berhijrah ke WBA dengan menandatangani kontrak dua tahun.
Dia menjadi pemain ketiga dari United menyertai kelab berkenaan.
Sebelum ini, bekas penolong kapten United, Darrent Fletcher dan pemain pertahanan, Jonny Evans terlebih dahulu berpindah ke sana.
Lindegaard tidak bermain untuk Manchester United sejak April 2014.
Pemain berusia 31 tahun yang berasal dari Denmark itu dibenar meninggalkan Old Trafford secara percuma dan peluang ini direbut dengan segera oleh pengurus WBA, Tony Pulis beberapa jam sebelum pintu perpindahan musim ini ditutup pada tengah malam Selasa.
Sepanjang tempoh lima tahun bersama United, Lindegaard hanya berpeluang bermain sebanyak 31 kali sahaja kerana prestasi tinggi penjaga gol utama kelab itu, David de Gea.
Tetapi sejak De Gea digugurkan sementara menunggu saga perpindahannya ke Real Madrid termeterai, Pengurus United, Louis van Gaal beralih kepada penjaga gol Argentina, Sergio Romero.
Namun selepas melepaskan dua gol yang menyaksikan United tumpas 1-2 di tangan Swansea Ahad lalu, kedudukan Romero turut menjadi tanda tanya besar.

Berita Mengejutkan: Pemain United Adnan Januzaj Dipinjamkan Ke Borussia Dortmund




Adnan Januzaj memperagakan jersi barunya bersama Borussia Dortmund pada Isnin.
MANCHESTER UNITED berpisah dengan seorang lagi pemainnya, kali ini Adnan Januzaj yang dipinjamkan kepada kelab Jerman, Borussia Dortmund selama semusim.
Perpindahan itu dilengkapkan pada lewat Isnin.
United sebelum ini menjual pemain pertahanannya Jonny Evans kepada West Bromwich Albion dan pada Isnin turut menjual penyerangnya, Javier Hernandez kepada sebuah lagi kelab Jerman, Bayer Leverkusen.
Pada awal musim, mereka menjual penyerang antarabangsa Belanda, Robin van Persie kepada kelab Turki, Fernabache dan tidak melanjutkan kontrak pinjaman penyerang Colombia, Radamel Falcao yang kini menyertai Chelsea.
Januzaj, 20, menyertai United dari Anderlecht pada 2011 tetapi hanya berjaya membuat penampilan untuk skuad utama pada tahun 2013. Dia telah bermain sebanyak 62 kali untuk United dan menjaringkan lima gol.
Pengurus United Louis van Gaal ingin menukar pemain tengah ini sebagai penyerang kedua di belakang Wayne Rooney. Januzaj berjaya menjaringkan gol pertamanya musim ini ketika menentang Aston Villa.
Bagaimanapun keputusan van Gaal untuk melepaskannya pergi ke Jerman mengejutkan banyak pihak memandangkan United kekurangan penyerang selepas mereka menjual Robin van Persie, tidak melanjutkan kontrak pinjaman Radamel Falcao dan yang terbaru turut menjual Javier Hernandez kepada sebuah lagi kelab Jerman, Bayer Leverkusen.

Anthony Martial Tiba Di Manchester Lengkapkan Perpindahan Ke United




Anthony Martial kini melengkapkan perpindahannya ke Manchester United dari Monaco.
> Manchester United berjaya dapatkan pemain remaja berusia 19 tahun dari Monaco
> Harga perpindahan itu bernilai £36 juta tapi boleh meningkat kepada £58 juta
> Ini termasuklah bayaran bonus dan anugerah lain
> Martial akan mencatat sejarah sebagai pemain termuda paling mahal dalam sejarah
> Louis van Gaal terpaksa membawa masuk penyerang baru ekoran ketumpulan barisan serangannya
> United tumpas 1-2 di tangan kelab kerdil Swansea City Ahad lalu
PEMAIN sensasi Perancis, Anthony Martial dari kelab Monaco tiba di Ibu Pejabat Manchester United di Carrington untuk menjalani ujian perubatan sekaligus melengkapkan perpindahannya ke kelab tersebut yang bakal mencatat sejarah sebagai pemain termuda paling mahal di dunia.
Kedua-dua belah pihak bersetuju dengan bayaran perpindahan berjumlah £36 juta untuk pemain berusia 19 tahun itu.
Persetujuan itu dicapai di saat-saat akhir sebelum pintu perpindahan untuk musim ini ditutup pada Selasa.
Para jurugambar telah berjaya merakamkan fotonya sedang dipandu masuk ke pusat latihan United itu pada Isnin.
Adalah difahamkan, sebahagian daripada persetujuan perpindahan Martial ke United turut melibatkan pertukaran salah seorang pemain United ke Monaco.
Pada mulanya Monaco mahukan penyerang United, Javier Hernandez tetapi oleh kerana United telah memberi persetujuan untuk menjual pemain itu kepada Bayer Leverkusen, mereka meminta Marcos Rojo, pemain pertahanan United dari Argentina.
United dikatakan bersetuju dengan permintaan itu setelah tercetusnya insiden perbalahan antara pengurus United, Louis van Gaal dengan Rojo. Sejak Rojo pulang dari cuti akhir musim yang panjang, dia tidak pernah tersenarai dalam kesebelasan utama United sepanjang musim baru ini.
Martial yang baru sahaja disenaraikan dalam skuad kebangsaan Perancis untuk perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Negara-Negara Eropah telah diberikan keizinan khas oleh Persekutuan Bolasepak Perancis untuk meninggalkan kem latihan kebangsaan untuk proses ujian perubatan di Manchester.
United terdesak untuk mendapatkan seorang penyerang baru yang muda dan pantas setelah mereka bergelut untuk menjaringkan gol dalam perlawanan liga musim ini.
Selepas empat perlawanan liga mereka hanya mampu memperolehi empat gol.
Ahad lalu United tumpas di tangan kelab kerdil, Swansea City 1-2 dengan penyerang tunggal mereka, Wayne Rooney terlepas peluang sekurang-kurangnya tiga percubaan terbuka di depan gol.
Selepas menjual Robin van Persie kepada kelab Turki, Fernabache, melepaskan Radamel Falcao kepada Chelsea, Hernandez kepada Leverkusen, United sudah tidak mempunyai penyerang bertaraf dunia melainkan Rooney.
Rooney yang kini mencecah usia 30 tahun mendapati pergerakannya semakin perlahan dan ini menyukarkannya mencuri peluang menjaringkan gol dalam sebuah liga yang pantas sepertimana Liga Perdana Inggeris.
Tahun lalu United menjual penyerang antarabangsa England, Danny Welbeck kepada Arsenal.

Perpindahan De Gea Ke Real Madrid Gagal




David De Gea.
IMPIAN David De Gea untuk berhijrah ke Real Madrid berkecai apabila Manchester United gagal menyerahkan kertas kerja yang sepatutnya sebelum pintu perpindahan pemain ditutup.
Namun tiada pengumuman rasmi dikeluarkan kedua-dua pihak setakat ini.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk menjual De Gea ke Real, United merancang untuk membawa masuk Keylor Navas.
De Gea telah menandatangani kontrak baharu bersama kelab Sepanyol itu tetapi kertas kerja tidak sampai ke pejabat Real sebelum pintu perpindahan pemain ditutup tengah malam Isnin.
Menurut Laporan di Sepanyol, United bertanggungjawab terhadap kegagalan perpindahan itu kerana kertas kerja berkenaan tiba di Ibu Pejabat Persekutuan Bola Sepak Sepanyol seminit selepas pintu perpindahan ditutup.
United berkata mereka mempunyai bukti bahawa kertas kerja yang dikehendaki dihantar tepat pada masanya.
Namun, Real dipercayai akan cuba untuk merealisasikan perpindahan tersebut dengan mengemukakan rayuan kepada Fifa yang bertanggungjawab membenarkan perpindahan antarabangsa.
Sekiranya diluluskan, Navas akan menyertai United sebagaimana yang dirancang.

Hernandez Berhijrah Ke Bayer Leverkusen




Hernandez bersama Pengarah Sukan Bayer Leverkusen, Rudi Voller selepas menyempurnakan perpindahannya dari Old Trafford.
BERLIN: Bayer Leverkusen berjaya menyempurnakan perpindahan penyerang Javier Hernandez dari Manchester United untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain Korea Son Heung-min yang menyertai Tottenham Hotspur pada minggu lalu.
"Perpindahan ini akan berupaya menyesuaikan skuad kami dengan cabaran lebih besar dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
"Selepas melepasi saingan peringkat kumpulan (Liga Juara-Juara Eropah) kami mahu mencipta sejarah bersama Javier Hernandez," kata Ketua Eksekutif Leverkusen, Michael Schade dalam satu kenyataan pada Isnin.
Nilai perpindahan tersebut tidak didedahkan kepada media tetapi ia dipercayai bernilai 13 juta euro (RM61.21 juta).
Hernandez, 27, menyertai United pada 2010 tetapi dipinjamkan ke Real Madrid pada musim lalu.
Dia akan kekal bersama kelab Bundesliga itu sehingga 2018.
Leverkusen menewaskan Lazio dengan agregat 3-1 untuk mara ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Kelab itu akan bertemu Barcelona, AS Roma dan BATE Borisov.

Manchester City Umum Ketibaan Pemain Terbaik Bundesliga Kevin De Bruyne




De Bruyne bergaya dengan jersi barunya sebagai pemain Manchester City.
> Mereka bayar Wolfsburg £52 juta untuk pemain asal Belgium itu
> Pemain berusia 24 tahun itu adalah pemain terbaik Bundesliga musim lalu
> Jumlah yang dibayar itu adalah rekod perpindahan baru untuk City
> De Bruyne adalah bekas pemain Chelsea pada 2012 tetapi pindah ke Wolfsburg pada 2014
> Dia kini menandatangani kontrak enam tahun dengan City
CALON popular juara Liga Perdana Inggeris musim ini, Manchester City mengumumkan ketibaan pemain terbaik liga Jerman, Kevin De Bruyne dari Wolfsburg yang dibeli pada harga £52 juta iaitu rekod baru perpindahan buat kelab berkenaan.
Pemain berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak selama enam tahun dengan City dengan bayaran gaji di sekitar £200,000 seminggu.
De Bruyne pernah bermain selama dua musim dengan Chelsea sebelum berpindah ke Wolfsburg pada tahun 2014. Dia terpilih sebagai pemain terbaik Liga Jerman musim lalu - sekaligus menaikkan sahamnya di pasaran Eropah.
Dan kini pemain yang berasal dari Belgium itu menyertai nama-nama terkenal lain seperti Raheem Sterling, Nicolas Otamendi dan Fabian Delph sebagai pemain baru Manchester City.
Dia memulakan kariernya dengan kelab Belgium, Genk selama empat tahun sebelum Chelsea menyambarnya pada 2012.
Dua tahun sebelum itu, dia sudah pun mencipta nama sebagai pemain regular skuad kebangsaan Belgium.
Ketika De Bruyne menyertai Chelsea pada Januari 2012, kelab itu di bawah Andre Villas-Boas. Chelsea membayar £7 juta untuk mendapatkannya.
Selepas Villas-Boas dipecat dan digantikan dengan Roberto Di Matteo, De Bruyne bergelut untuk menempatkan diri sebagai pilihan utama.
Dia dipinjamkan kepada kelab Jerman, Werder Bremen pada Ogos 2012. Di liga inilah dia menyerlah sebagai seorang pemain berbakat.
Sekembalinya dia ke London, Jose Mourinho telah mengambil alih pengurusan Chelsea.
Mourinho tidak dapat memberi jaminan kepada De Bruyne yang dia akan menjadi pilihan utama setiap minggu yang sekaligus mendorongnya untuk memohon berpindah ke kelab lain dan Mourinho tidak langsung menghalang.
Lima bulan selepas musim 2013-14 bermula dia meninggalkan Chelsea untuk kembali ke Bundesliga tapi kali ini dengan Wolfsburg.
Kelab Jerman itu membayar sebanyak £18 juta untuk mendapatkan khidmatnya.
Musim lalu, dia menjaringkan 16 gol dan muncul pemain terbaik liga.