Sunday, December 4, 2011

Kami waris buaya putih

Mohd. Zin mendakwa mereka adalah keturunan keenam buaya putih yang terkenal di Lubok China, Negeri Sembilan.


BUAYA putih memang wujud namun sangat jarang dijumpai. Spesies buaya albino ini tidak mempunyai pigmen melanin yang boleh menghitamkan kulit.


TATKALA bercerita mengenai buaya putih, ramai yang akan mengaitkan sejarah lisan turun-temurun berkenaan dengan alam mistik.

Buaya putih didakwa mempunyai kuasa sakti yang boleh memberi petunjuk mengenai sesuatu perkara yang akan berlaku malah ia juga dikatakan boleh berhubung dengan manusia.

Walaupun belum dapat dibuktikan dengan nyata kewujudan reptilia jenis ini di perairan negara, namun terdapat banyak cerita yang menyokong sisi hebat buaya putih.

Antaranya ialah kisah ulama terkenal, Tok Selehor di Tumpat, Kelantan, yang boleh berkomunikasi dengan buaya putih di sungai kampungnya.

Menurut cerita yang disampaikan, guru agama yang terkenal dalam bidang tasawuf itu dikurniakan kelebihan oleh Allah apabila dia boleh berinteraksi dengan buaya putih yang terdapat di Sungai Selehor sehingga masyarakat di sekitar kampung tersebut dapat menggunakan sungai tersebut tanpa sebarang gangguan mahupun rasa takut.

Dikhabarkan juga, buaya putih itu ditugaskan untuk menjaga keamanan di sungai tersebut yang mana sebelum itu sering berlaku ancaman dari buaya-buaya lain sehingga menyukarkan penduduk setempat keluar menjala, memancing dan mandi di sepanjang Sungai Selehor.

Buaya putih itu dikatakan masih ada di situ hingga ke hari ini.

Riwayat buaya putih tidak hanya disebut di Kelantan. Ia turut menjadi sebahagian daripada sejarah asal beberapa lokasi lain di negara ini seperti di Kuala Kubu Bharu di Selangor, Tasik Dayang Bunting di Pulau Langkawi dan Lubok China yang terletak di sempadan Negeri Sembilan-Melaka.

Baru-baru ini, penulis berpeluang bertemu dengan sebuah keluarga yang mendakwa mereka adalah waris kepada buaya putih di Lubok China, Negeri Sembilan.

Sarung buaya

Bukan sekadar mewarisi darah pemilik tubuh buaya putih, mereka juga boleh berkomunikasi dengan buaya putih yang menjelma dalam rupa nenek tua. Perantara utamanya hanya mahu dikenali Siti, 38.

"Alhamdulillah, ini anugerah Allah yang tidak ternilai. Saya dan kakak, biar saya namakannya sebagai D, dapat mendengar suara dari alam ghaib dan berinteraksi dengan mereka," kata Siti ketika ditemui di kediamannya di Lubok China.

Menurut bapanya, Mohd. Zin, 69, dia mula menyedari tentang salasilah buaya putih yang diwarisinya apabila arwah ibunya, pernah ditumpang tubuhnya oleh Nenek Putih pada tahun 1983.

"Nenek Putih asalnya manusia biasa. Kira-kira 500 tahun yang lalu, Putih jatuh ke dalam Sungai Linggi tetapi mayat wanita itu tidak ditemui.

"Sebelum itu, Putih sedang mengacau dodol sambil menyusukan anaknya di tebing sungai namun entah bagaimana dadanya terkena percikan dodol.

"Oleh kerana kepanasan, Putih meletakkan anaknya di tanah dan terus terjun ke sungai.

"Selepas menyedari kehilangan isterinya, suami Putih puas mencari namun jasad ibu muda itu tidak juga ditemui.

"Setelah berhari-hari hilang di sungai, pada satu malam, Putih muncul dalam mimpi suaminya.

"Dia meminta agar jangan mencarinya lagi kerana dia sudah bertukar menjadi buaya putih dan kini tinggal di alam ghaib," ujar Mohd. Zin.

Ibu kepada Mohd. Zin ialah cicit kepada Nenek Putih dan 28 tahun lalu, Nenek Putih pernah memasuki tubuh ibunya.


SEPANJANG didampingi Nenek Dayang, Siti juga diberi kelebihan untuk mengubati penyakit berunsur gangguan.


"Ketika itu, ibu saya merangkak-rangkak seperti buaya.

"Ibu saudara saya yang ketika itu tahu serba sedikit cerita bertindak menjadi orang tengah dan berdialog dengan Nenek Putih.

"Saya masih ingat lagi perbualan itu. Selepas memberi salam, ibu saudara saya mula bertanya, kenapa nenek datang?

"Jawabnya, nenek datang ni nak tengok anak cucu dalam kesusahan.

"Nenek datang dengan siapa?

"Nenek datang seorang.

"Datang naik apa nek? Nenek dari mana?

"Datang naik perahu. Nenek datang dari Sungai Linggi.

"Kenapa pula nenek menggigil-gigil ni?

"Nenek sojuk.

"Macam mana nenek nak balik ni?

"Cuba ekau tengok dalam kopai den (beg yang dianyam daripada rotan) yang tergantung kek tiang tu. Ado bondo dalam tu.

"Bila saya tengok dalam kopai, ada sebotol minyak merah dan apabila minyak itu dilalukan di hidung emak saya, emak saya beransur pulih," cerita Mohd. Zin yang menceritakan detik awal keluarganya mengetahui tentang kewujudan Nenek Putih dalam susur galur keluarga mereka.

Jelasnya lagi, itulah sejarah sebenar buaya putih Sungai Linggi.

"Sejarah ini diceritakan sendiri oleh Nenek Putih melalui sarungnya, iaitu tubuh Siti," kata Mohd. Zin.

Menjadi sarung bermakna badan wanita ini dipinjam oleh roh berkenaan dan digunakan sebagai perantara untuk berkomunikasi dengan alam nyata.

"Pada hari pertama Nenek Putih memasuki tubuh saya, kepala dan badan saya tidak berhenti bergoyang seperti buaya.

"Suara saya turut berubah dan badan saya membongkok seperti wanita yang sangat tua.

"Bukan setakat keluarga, saya juga takut dengan keadaan saya ketika itu.

"Apa tidaknya, bila nak bercakap, suara orang lain yang keluar, bila saya membaca al-Quran pun, suara Nenek Putih yang membacanya, bukan saya.

"Dalam keadaan bergoyang-goyang itulah Nenek Putih mengarahkan saya ke Sungai Linggi dan membaca surah Yasin di sana. Nenek Putih berjanji untuk menunjukkan dirinya selepas itu," kata Siti.

Mengaji

Enggan menunggu lama, dia dan beberapa ahli keluarganya bergegas ke Sungai Linggi.

"Di awal pembacaan, air sungai seakan bergelombang.

"Adik lelaki saya yang membaca Yasin suaranya tiba-tiba berubah menjadi sangat merdu. Lagu taranum yang dibawakan tidak pernah kami dengar sebelum ini. Suaranya sangat merdu," cerita D, yang sering bertindak menjadi penterjemah apabila penghuni alam ghaib memasuki tubuh adiknya.

"Menurut Nenek Putih, itu ialah suara pasangannya, seekor buaya jantan di alam ghaib," jelas D.

Bagai dikata, sebaik sahaja mereka selesai membaca surah Yasin, timbul buaya putih di tebing di seberang sungai.

"Warnanya putih keemasan, saiznya juga besar daripada buaya yang lain," tambahnya.

Selain Nenek Putih, Siti memberitahu, pendamping setia yang sentiasa berada bersamanya ialah Nenek Dayang.

Nenek Dayang merupakan ketua dayang istana ketika Zaman Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511.

Dalam pertemuan pada petang itu juga, penulis dan jurufoto sempat berbual-bual dengan penghuni alam ghaib yang menjadi teman Siti selama ini.

"Siapa sebenarnya nenek ini?

"Nama nenek Siti Fatimah. Nenek dulu kerja di istana sebagai ketua dayang semasa Zaman Kesultanan Melayu Melaka.

"Nenek meninggal dunia tidak lama selepas itu dan roh nenek diangkat ke alam ghaib.

"Nenek Putih yang ghaib menjadi buaya itu adalah anak saudara nenek," ujar Nenek Dayang yang muncul dalam tubuh Siti selepas diberi salam dan selawat sebanyak tiga kali.

Ketika Nenek Dayang memasuki tubuh sarungnya, memang boleh dilihat perbezaan antara dua karakter tersebut.


MOHD. ZIN turut mendakwa keluarganya tidak pernah diganggu ancaman buaya. - Gambar hiasan


Tutur kata dan intonasi Nenek Dayang lebih lembut. Riak wajahnya tidak sebujur wajah asal Siti dan pandangan matanya pula lebih redup.

"Kenapa nenek pilih Siti sebagai sarung nenek?

"Di alam ghaib, nenek boleh tengok semuanya. Kita tahu mana waris kita yang lurus jalan hidupnya.

"Nenek memang sudah lama tunggu Siti. Nenek juga sudah tahu, bapa sarung nenek ini akan berkahwin dengan ibunya dan melahirkan Siti," jelasnya.

Ditanya tentang kehidupan di alam ghaib, Nenek Dayang menjawab, hidup di alam sana sangat indah.

"Setiap masa diisi dengan zikir memuji Allah. Kalau manusia biasa boleh melihat keindahan dunia ghaib, mereka akan merasakan kemanisan ibadah.

"Mereka akan rasa lebih dekat kepada Allah dan tidak akan berhenti menyediakan bekalan untuk menuju akhirat yang kekal abadi," katanya penuh hemah.

Siti dan D pernah berjumpa dengan beberapa orang guru agama untuk bertanyakan perkara aneh ini namun sehingga hari ini mereka masih belum dapat jawapannya.

Rodok rahim sendiri


SEDAR dirinya bersalah, Kaveetha tidak sanggup meneruskan kehamilan bahkan dia sanggup menggugurkan kandungannya dengan merodok rahim menggunakan lidi sate. - Gambar hiasan


AKIBAT mudah termakan pujuk rayu teman lelaki, Kaveetha (bukan nama sebenar) akhirnya terpaksa menggugurkan kandungan sebanyak dua kali dalam tempoh setahun.

Cerita Kaveetha, pengalaman negerinya bermula setelah dia berkenalan dengan seorang lelaki yang berasal dari ibu negara. Kaveetha menamakan jejaka itu sebagai Ravi.

Kata Kaveetha, perkenalan itu terjalin semasa dia berada di semester akhir pengajian Diploma Kejururawatan di sebuah kolej sains kesihatan yang terletak di Selangor.

Cerita Kaveetha, hidup jauh dari keluarganya di utara tanah air sebenarnya memberi seribu kelegaan kepada gadis ini.

Walaupun rutin hariannya sibuk dengan jadual kelas yang padat, itu tidak menghalang Kaveetha untuk keluar meluangkan masa malam berpeleseran di ibu kota dengan rakan sekuliahnya.

"Saya memang suka keluar, lebih-lebih lagi bila hujung minggu, tapi itu tidak bermakna saya mengabaikan pelajaran.

"Pada dua tahun pertama, saya lulus semua subjek malah sering mendapat pujian daripada pensyarah," katanya.

Namun semua itu berubah ketika dia di semester kelima.

Semuanya bermula sejak dia mengenali Ravi, seorang jurujual kereta bermulut manis ketika dia keluar bersama rakan-rakannya.

Kemesraan yang ditunjukkan Ravi membuatkan hati Kaveetha terpaut dengan lelaki itu.

Ketagih seks

Mulanya, dari kawan biasa, mereka menjadi pasangan kekasih intim walaupun hanya sebulan berkenalan.

Boleh dikatakan hampir setiap hari selepas tamat kelas, Ravi akan datang ke kolej untuk menjemput Kaveetha.

"Awalnya kami hanya keluar makan dan berbual kosong sahaja.

"Lama-kelamaan, dek kerana kasih sayang yang menebal, kami banyak menghabiskan masa di rumah sewa Ravi sebelum dia hantar saya pulang ke rumah pada lewat malam.

"Kawan-kawan mula risau melihat keadaan saya. Mana tidaknya, apabila bersama Ravi, saya lupakan semua perkara, termasuklah pelajaran," jelas Kaveetha.

Adat orang muda mabuk bercinta, pasangan ini tidak terlepas melakukan seks setiap kali menghabiskan masa bersama.

Ketika itu, Kaveetha mengakui tidak lagi fokus kepada pengajiannya.

"Ada suatu ketika kami hidup seperti suami isteri. Saya mula angkut kain baju untuk tinggal di rumah Ravi.

"Kami tidak mampu lagi menahan gelora nafsu. Bukan tidak fikir mengenai ibu dan bapa, tetapi kalau saya dedahkan hubungan saya dengan Ravi belum tentu mereka akan membenarkan kami terus bercinta.

"Sebab itu kami lebih suka menyembunyikan hubungan ini daripada pengetahuan mereka," katanya yang mengakui hampir setiap malam mengadakan hubungan seks dengan Ravi.

Rodok rahim sendiri

Percintaannya dengan Ravi bukan sahaja mengorbankan maruah Kaveetha, malah dia mula mahir menipu ibu dan bapanya.

"Apabila cuti semester tiba, saya tidak pulang ke rumah. Saya beritahu ibu dan bapa, saya terlibat dengan program yang dianjurkan kolej, sedangkan saya semasa itu menghabiskan masa dengan Ravi," cerita Kaveetha penuh kesal.

Bagaimanapun, kemanisan hidup yang dikecapi Kaveetha tidak lama apabila disahkan hamil dua bulan.

"Saya panik. Saya tidak mahu simpan bayi ini. Macam-macam perkara bermain di fikiran.

"Untuk memberitahu keluarga tentang kandungan tersebut, itu satu perkara yang mustahil.

"Akhirnya selepas tiga hari berbincang, kami akhirnya memutuskan untuk menggugurkan kandungan tersebut di sebuah klinik swasta di Kuala Lumpur dengan bayaran RM900," jelas Kaveetha.

Selepas kejadian itu itu, dia menjadi lebih berhati-hati. Mereka cuba untuk tinggal berasingan tetapi itu hanya bersifat sementara sahaja.

"Kami bagaikan ketagih dengan seks dan tidak mampu untuk tinggal berjauhan.

"Saya ditakdirkan mengandung untuk kali kedua beberapa bulan selepas itu.

"Doktor mengesahkan saya hamil hampir empat bulan.

"Kami nekad untuk menggugurkan kandungan tersebut. Kami juga berazam untuk lebih serius dalam hubungan dan merancang untuk berkahwin," kata Kaveetha.

Bagaimanapun, setelah pergi ke tiga klinik, tidak ada doktor yang mahu mengambil risiko mencuci rahimnya kerana kandungan sudah membesar.

"Saya mula takut. Macam-macam perkara saya buat termasuklah makan nanas, minum air tebu dan tapai, tetapi tidak ada apa-apa yang berlaku," ujarnya.

Ketakutan itu akhirnya memaksa Kaveetha menggugurkan sendiri kandungannya dengan merodok kemaluannya dengan beberapa batang lidi sate.

Akibatnya, berlaku pendarahan serius dan dia terpaksa dikejarkan ke hospital kerana kehilangan banyak darah.

"Lebih buruk, rahim saya cedera teruk akibat tusukan lidi.

"Ravi terpaksa memberitahu keluarga tentang keadaan saya memandangkan saya perlu menjalani pembedahan segera.

"Saya tidak mampu berkata apa-apa selain hanya menangis kesal.

"Keluarga tidak boleh terima keadaan saya malah abang-abang saya hampir bertumbuk dengan Ravi di hospital," kata Kaveetha.

Ekoran kejadian itu, dia dan Ravi akhirnya dikahwinkan.

"Walaupun sudah tiga tahun berkahwin dan mempunyai seorang anak, hubungan kami dengan kedua-dua keluarga masih dingin.

"Cuma ibu saya sahaja yang boleh menerima keluarga kami," katanya yang kini bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat guaman.

Telur tingkatkan ingatan


ZAT kolin dalam telur ayam mampu meningkatkan memori. - Gambar hiasan


AYAM dan telurnya sudah lama menjadi antara pilihan diet yang baik dalam menu makanan sihat.

Kajian terbaharu mendapati bahawa seseorang yang mengambil makanan tersebut mampu untuk meningkatkan memori pada otak manusia.

Sekumpulan saintis Universiti Boston, Amerika Syarikat mendapati bahawa, kandungan zat kolin dalam telur didapati boleh melambatkan proses penuaan otak.

Nutrien yang terdapat dalam kumpulan vitamin B itu banyak ditemui dalam makanan seperti ayam, telur, ikan air masin dan kekacang.

"Diet yang kaya kolin dapat membuatkan perbezaan usia pada otak," kata Ketua Penyelidik, Dr. Rhoda Au.

Hasil kajian tersebut mendapati bahawa selain faktor pendidikan, kandungan lemak dan kalori, pengambilan kolin dapat meningkatkan memori seseorang.

Pada umumnya, seorang lelaki memerlukan kira-kira 550 miligram (mg) kolin setiap hari, manakala perempuan perlu mengambil kolin kira-kira 425 mg sehari.

Uji kecekapan tangkap cakera



SUASANA padang Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sama seperti waktu-waktu petang lain. Ia penuh dengan para penuntut yang beriadah. Ada yang bermain hoki, bola jaring mahupun bola sepak, malah tidak kurang juga yang hanya menjadi penonton setia di tepi-tepi padang sambil berbual dan mencuci mata.

Kehadiran beberapa objek piring persis objek terbang yang tidak dikenali (UFO) di udara tidak diendahkan.

Objek seperti piring berterbangan pada setiap petang itu adalah fenomena yang lazim dilihat. Ia bukan UFO yang sinonim dikaitkan dengan makhluk asing tetapi ia adalah frisbee. Permainan itu dikenali sebagai Ultimate Frisbee.

Hakikatnya, sukan itu agak asing di Malaysia kerana tidak ramai yang mengetahuinya.

Namun, sukan yang agak popular di Lembah Klang itu semakin berkembang di Malaysia pada momentum yang sederhana.

Ia dimainkan dengan cakera frisbee seberat 175 gram, berdiameter antara 20 hingga 25 sentimeter iaitu saiz yang mengikut piawaian antarabangsa. Bahannya pula diperbuat daripada plastik.

Penentuan mata sukan ini berdasarkan penyerahan cakera frisbee kepada pemain sehingga sampai ke zon hujung (end zone) pihak lawan sama seperti American Football atau ragbi.

Musim panas


KECEKAPAN menangkap cakera frisbee sangat penting bagi mengelakkan lemparan bertukar tangan kepada pihak lawan.


Sukan Ultimate Frisbee bermula pada tahun 1968 apabila seorang pelajar, Joel Silver yang menuntut di Columbia High School, Maplewood, New Jersey, Amerika Syarikat (AS) mencadangkan pada majlis pelajar sekolahnya supaya mewujudkan pasukan frisbee sekolah.

Kemudian ia mula dimainkan oleh sekumpulan pelajar pada musim panas. Silver belajar mengenai sukan ini apabila mengikuti kem musim panas di Northfield Mount Hermon, Massachusetts daripada seorang guru di situ iaitu Jared Kass.

Sukan ini menggunakan objek umpama piring yang dinamakan mydisc atau discraft. Ia lebih dikenali dengan nama frisbee dalam kalangan masyarakat umum.

"Sukan Ultimate Frisbee ini memerlukan tujuh orang pemain dalam satu pasukan. Ia mempunyai dua kategori iaitu single gender seperti terbuka lelaki dan terbuka wanita dan kategori terbuka campuran," kata Donny Man, 25, yang merupakan jurulatih pasukan Ultimate Frisbee UiTM, Shah Alam, All Ultimate Reject (AUR).

Di Malaysia, penglibatan wanita dalam sukan Ultimate Frisbee masih kurang.

Donny yang merupakan bekas pelajar UiTM Shah Alam yang juga mantan kapten pasukan AUR memberitahu, bagi kategori campuran, nisbah pemain lelaki dan wanita adalah empat lelaki dan tiga wanita.

Sukan yang mengambil masa satu jam ini dimainkan selama 30 minit dan tempoh rehat lima minit sebelum baki 30 minit permainan bermula semula. Namun, ia tertakluk pada peraturan yang ditetapkan oleh pihak penganjur kerana adakalanya tiada waktu rehat.

Pasukan Ultimate Frisbee di Lembah Klang kebanyakannya adalah daripada pasukan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Gelanggang atau padangnya berbentuk segi empat tepat sama seperti sukan American Football. Ia terdiri daripada kawasan jaringan gol di penghujung padang iaitu zon hujung (end zone).

Garisan gol adalah garis yang memisahkan kawasan permainan dari kawasan end zone yang merupakan kawasan untuk mendapatkan mata. Setiap end zone perlu ditandakan dengan kon.

"Cara permainannya juga lebih kurang sama, cuma dalam sukan ini seseorang pemain itu perlu menangkap cakera frisbee daripada rakan sepasukannya dan berada di dalam end zone bagi mendapatkan mata berbanding American Football yang memerlukan seseorang pemain itu membawa bola sambil berlari sebelum melakukan touch down," ujarnya.

Frisbee merupakan sukan unik kerana ia adalah gabungan American Football, ragbi dan bola jaring. Selepas seseorang itu menangkap cakera frisbee, dia tidak dibenarkan berganjak atau berlari dan hanya boleh melakukan gerakan seperti permainan bola jaring.

"Seseorang pemain itu perlu melemparkan cakera frisbee pada rakan sepasukannya dalam kiraan sepuluh yang dibilang oleh pihak lawan yang berada dekat dengannya, jika gagal cakera frisbee akan berpindah kepada pihak lawan.

"Berbanding sukan lain, sukan ini tiada pengadil kerana ia dimainkan dengan semangat Spirit Of The Game (SOTG)," jelas pemuda yang berasal dari Sarawak ini.

Setiap pemain yang berjaya menyambut frisbee di end zone akan mendapat satu mata. Pasukan yang menang akan ditentukan dengan jumlah markah tertinggi selepas masa permainan tamat.

Dibantu kapten


PEMAIN dalam sukan ini dilarang membuat sebarang sentuhan ke atas pemain lain dan bermain dengan semangat Spirit Of The Game.


Setiap pemain tahu peranan masing-masing dan menghormati pihak lawan tanpa perlu berlaku pergaduhan.

Walaupun timbul salah faham, dua pemain yang terlibat akan menyelesaikan secara baik tanpa campur tangan pemain-pemain lain.

Andai kata masalah tersebut tidak diselesaikan, kapten kedua-dua pasukan akan membantu tetapi keputusan tetap di tangan pemain yang terlibat.

"Jika gagal juga, khidmat pemerhati diperlukan untuk membantu menyelesaikan masalah, namun keputusan bukan di tangannya.

"Sukan ini adalah sukan tanpa sentuhan (non contact). Jika ada pemain melakukan sentuhan pada masa yang sama mahu merampas frisbee daripada tangan pemain pasukan lawan, ia dikira fault dan pemain yang ditepis itu yang akan menjerit fault untuk memberitahu dirinya disentuh," kata Donny sambil menunjukkan demonstrasi mengenai situasi tersebut sambil dibantu kapten pasukan AUR, Ramlan Muhammad Rashid, 21.

Tidak seperti sukan bola sepak, bola jaring, American Football mahupun ragbi yang permainannya dimulakan di bahagian tengah, sukan ini bermula pada hujung padang yang dinamakan end zone dengan melakukan lemparan pemula (pull) ke end zone pasukan lawan untuk disambut oleh lawan sebelum pasukan pihak lawan naik ke end zone pasukan bertahan untuk mendapatkan mata.

Pasukan yang berjaya mendapatkan mata akan memulakan permainan dengan membuat pull.

"Sama seperti permainan lain, Ultimate Frisbee juga mempunyai posisi tertentu. Terdapat tiga posisi dalam permainan ini iaitu handler, mid dan deep.

"Biasanya posisi handler dimainkan oleh pemain yang merupakan pembaling terbaik, mid pula merupakan pemain tengah yang mengacah pihak lawan untuk mendapatkan frisbee manakala deep pula bertindak sebagai penerima cakera frisbee. Biasanya posisi deep diberi kepada pemain yang cekap menangkap dan bijak membaca pergerakan cakera frisbee," kata Ramlan.

Cakera frisbee akan bertukar tangan pada pihak lawan (turn over) dengan beberapa cara. Pertama, apabila berlakunya interset iaitu apabila pihak lawan berjaya menangkap dan menjatuhkan cakera frisbee yang berada di udara.

Kedua, apabila seseorang pemain itu tersalah baling cakera frisbee kepada pihak lawan dan ketiga, ketika seseorang pemain yang cuba untuk menangkap cakera frisbee tetapi cakera tersebut terjatuh ke tanah (biasanya berlaku kepada pemain amatur).

"Terdapat tiga teknik lemparan cakera frisbee iaitu pukulan kilas (backhand), pukulan depan (forehand) dan hantaran atas kepala dengan kedudukan cakera frisbee menegak (hammer).

"Sentuhan badan tidak dibenarkan," ujar Ramlan yang merupakan penuntut semester ketiga, Ijazah Sains Sukan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.


CAKERA frisbee yang digunakan selaras dengan standard antarabangsa iaitu 175 gram. - Gambar hiasan.


Kepantasan dan kecergasan diperlukan oleh seseorang pemain kerana sukan ini memerlukan seseorang itu berlari pantas selain mempunyai kecekapan menerima dan melempar cakera frisbee selain bergantung kepada strategi permainan.

Berjinak-jinak

"Cabaran permainan ini ialah apabila terpaksa bermain dalam keadaan angin kuat, hujan dan panas.

"Sesuatu perlawanan hanya akan dihentikan apabila berlaku kilat dan petir kerana khuatir keadaan tidak diingini berlaku," katanya sambil memberitahu fizikal yang tinggi merupakan satu kelebihan kepada seseorang pemain.

Seorang pemain AUR wanita, Norkadijah Md. Isa, 25, memberitahu, dia mula berjinak-jinak dalam sukan tersebut sejak tahun 2007 atas ajakan rakan-rakannya.

Sebelum berkecimpung dalam Ultimate Frisbee, Norkadijah yang sebelum ini menuntut di UiTM Arau, Perlis aktif dalam sukan bola jaring dan olahraga.

"Peluang untuk bermain bola jaring dan olahraga di sini sukar kerana banyak saingan, jadi saya mengambil keputusan mencuba sukan ini kerana ia membolehkan saya mengaplikasikan sukan olahraga dan bola jaring dalam masa yang sama.

"Sehingga kini saya pernah bermain posisi deep dan mid. Namun, selepas mengalami kecederaan pada lutut, larian saya agak terbatas. Sehubungan itu, saya giat berlatih untuk menggalas posisi sebagai handler pula," katanya yang kini bermain pada posisi mid dalam AUR.

Dalam pada itu, salah seorang pemain AUR, Dickson Sittie, 23, mula serius dalam sukan tersebut pada tahun lalu walaupun mula bermain Ultimate Frisbee pada tahun 2006.

Dia yang sebelum ini aktif bermain bola, sepak takraw dan olahraga tertarik dengan sukan ini kerana ia menggabungkan beberapa jenis sukan dan tiada pengadil berbanding sukan-sukan lain.

"Saya sudah bermain untuk semua posisi. Bagi saya semua posisi sama pentingnya kerana semuanya perlu bergandingan untuk bermain dengan baik bagi memenangi sesuatu perlawanan," ujarnya.

Mana Engku Emran?

ENGKU EMRAN


MULANYA agak berat juga Diva nak tulis tentang pertanyaan ramai pihak berkaitan dengan bos Bernama TV ni. Tetapi memandangkan ramai yang bertanya status Engku Emran Engku Zainal Abdin di saluran berita itu, Diva pun tiba-tiba menjadi detektif kepoh.

Kalau bukan di Bernama, Diva yakin Emran ada profil kukuh dalam liga tersendiri.

Pengetahuan dan pengalaman dia di radio dan agensi berita selama ini membuktikan suami Erra Fazira itu mampu menyandang kerusi yang setaraf bahkan lebih baik daripada apa yang pernah dia duduki.

Bekas nakhoda saluran radio boleh tahan popular itu buat kejutan dua tahun lalu kerana tinggalkan zon selesa di Suria FM. Tapi tidak mustahil jika abang Emran kita ni akan menyertai kumpulan penyiaran baharu Asian Broadcasting Network.

Diva pun tiba-tiba gedik nak tahu perkembangan Emran apatah lagi tidak lama dahulu dia pernah didakwa menjalin hubungan terlarang dengan rakan sekerja.

Kalau nak tahu juga apa Emran sedang buat sekarang, apa kata yang sibuk bertanya itu, usulkan sendiri kepada pemain watak Mazni dalam Badai Semalam, ada berani?

Hafiz usung kekasih baharu


HAFIZ


DIVA suka sangat dengan keserasian Hafiz dengan Adira bila dengar dan tengok klip video lagu tema Ombak Rindu, meruntun-runtun jiwa ini. Dalam hati, Adira dengan Hafiz memang padan, patutlah mereka asyik dikatakan bercinta, sama-sama boleh menyanyi, sama-sama muda remaja.

Cuma akhir-akhir ini sahaja, Diva tak yakin Hafiz dan Adira sedang bercinta.

Sudah beberapa kali Diva terserempak dengan Hafiz bersama gadis lain, orang yang sama pula itu. Dari jauh, mereka nampak mesra lain macam, lenggok tubuh mereka tak ubah macam pasangan bercinta.

Tak tahulah kalau setakat kawan biasa, tapi kalau kawan sahaja, rasanya tak begitu.

Terfikir mana perginya Adira? Adakah mereka masih berkawan atau memang Hafiz dengan Adira sebelum ini memang tak ada apa-apa hubungan istimewa?

Diva cuma usik-usik manja sahaja, macam manja cara Hafiz dengan gadis itu.

Friday, December 2, 2011

Firus Ustazah Pilihan Musim Pertama


SHAH ALAM: Kemuncak pencarian Ustazah Pilihan musim pertama berakhir apabila Firus Akhtar Mohamad Bohari, 27, (gambar) muncul sebagai juara.

Firus yang berasal daripada Kuala Lumpur itu mengalahkan pesaing terdekatnya, Nurul Hidayah Kamarudin, 26 yang menduduki tempat kedua.

Juara sulung program tersebut menerima tajaan biasiswa di Universiti Al-Madinah oleh Yayasan Aminah, pakej haji dan umrah tajaan Al-Riyadh and Travel dan sebuah kereta Peugeot 207.

Selain itu, Firus turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 sumbangan Astro, RM5,000 sumbangan Bank Islam dan beberapa hadiah sampingan lain.

Firus ketika ditemui selepas program peringkat akhir berkata, dia tidak menyangka akan menang pada program itu namun bersyukur rezeki berpihak kepadanya.

"Sejujurnya jika hendak dibandingkan dengan peserta lain mereka juga hebat-hebat belaka.

"Tambahan pula saya tidak mempunyai pendidikan khusus peringkat universiti dalam bidang pengajian agama. Namun rezeki berpihak kepada saya malam ini," ujarnya.

Namun Firus memberitahu sepanjang hampir dua bulan berada di dalam program itu dia tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk berjaya.

Ujarnya, melalui Ustazah Pilihan dia banyak menimba ilmu dengan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar dan pengetua iaitu Dr Robiah K Hamzah.

"Saya mengharapkan melalui kemenangan ini akan menjadi batu loncatan buat saya untuk terus berdakwah kepada masyarakat mengenai Islam," katanya.

Firus mempunyai Sarjana Pengajian Islam dan Timur Tengah dari Universiti Washington dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Parsi dari Universiti Al-Zahra, Iran.

Sementara itu, ibu kepada Firus, Aishah Mohd Said, 56, melahirkan rasa syukur dengan kemenangan anak sulung dari enam adik beradik itu.

Aishah berkata, anaknya itu seorang yang pandai berdikari dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu.

"Dia seorang yang ringkas, berdikari dan suka berusaha tanpa membebankan orang lain," ujarnya.

Pertandingan akhir Ustazah Pilihan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada malam Khamis itu turut menerima kejutan apabila menyingkir dua peserta iaitu Masfira Mustapha (tempat keempat) dan Siti Fatimah Mohd Sharif (tempat ketiga).

Pada malam penentuan itu, semua peserta diberi tugasan untuk mendekati permasalahan dan implikasi pernikahan di sempadan.

Pemenang pada malam itu dinilai berdasarkan tugasan (40 markah), ujian bertulis (40 markah) dan hujah (20 markah).

Juri dan mudir yang mengadili program akhir malam terdiri daripada Pengetua rancangan itu, Dr Robiah serta dua tenaga pengajar iaitu Prof Dr Muhaya Mohamad dan Zawiah Hassan.

Ia dihoskan oleh Farah Diana Anuar dan Siti Rohani Surani.

Tidak seperti program realiti lain, format Ustazah Pilihan berasaskan modul pengajian yang berlandaskan agama dan akidah dan tidak sama sekali menerapkan elemen komersial.

Program siri pencarian berunsur Islam juga ini tidak terikat dengan undian bebas khidmat pesanan ringkas (SMS).

Turut hadir dalam acara kemuncak itu adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Rancangan itu dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis.