Friday, April 1, 2011

Peniaga buat laporan SPRM


MOHD. ZAMAN (tengah) menyerahkan laporan penjualan Pasar Lama Arked MPKB kepada Che Aziz (kiri) di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Kira-kira 30 peniaga Pasar Lama Arked Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam bagi menggesa siasatan dibuat berhubung transaksi wang bernilai RM44.8 juta membabitkan urusan jual beli pasar itu, Bazar Tengku Anis dan Bazar Tok Guru.

Peniaga terbabit mendakwa, transaksi tersebut menimbulkan tanda tanya memandangkan kerajaan negeri Kelantan dikatakan telah menjual Pasar Lama MPKB dengan nilai RM3.8 juta kepada sebuah syarikat swasta dan pada masa sama membeli tingkat satu Bazar Tengku Anis dengan harga terlalu tinggi iaitu RM18 juta untuk menempatkan mereka di situ.

Mohd. Zaman Yusoff yang mengetuai kumpulan peniaga terbabit berkata, Bazar Tok Guru juga perlu disiasat, bagaimana bazar itu yang asalnya dibangunkan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), akhirnya terpaksa dibeli balik daripada pemaju swasta dengan jumlah RM23 juta.

Automotif penyumbang terbesar


HONG TAT (lima dari kanan) dan Wong Phui Yee (empat dari kanan) bersama para pemenang lain peraduan sempena ulang tahun Maybank yang ke-50 tahun di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Malayan Banking Bhd. (Maybank) menyasarkan pertumbuhan dua digit dalam segmen pinjaman pengguna, pembiayaan auto, unit amanah, kredit kad dan gadai janji pada tahun ini.

Naib Presiden Eksekutif Kanan dan Ketua Perbankan Penggunanya, Lim Hong Tat berkata, pada masa ini, segmen automotif menjadi penyumbang kedua terbesar kepada bank dan mengunjurkan ia akan menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan pada tahun ini.

"Berdasarkan kepada keadaan tiga bulan pertama ini, beberapa segmen perniagaan menunjukkan pertumbuhan positif," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah sempena ulang tahun ke-50 Maybank di sini semalam.

Pada majlis berkenaan, seorang pemenang, Wong Phui Yee telah menerima hadiah wang tunai RM500,000 diikuti empat pemenang bulanan lain yang menerima RM50,000 setiap seorang.

Dafi, Ana Raffali dalam muzikal KMJ 60-an


BARISAN karyawan muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an bergambar selepas sidang akhbar yang diadakan di Restoran Istana Bambu, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.


USAI pementasan beberapa siri teater sejak awal tahun, kini tiba giliran Belbis Sdn. Bhd., dengan kerjasama Istana Budaya mementaskan teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an (KMJ) yang akan menemui penonton pada 25 Mei depan.

Menariknya tentang KMJ 60-an, barisan pelakon yang membintangi teater muzikal itu bukan hanya terdiri daripada muka-muka baru seperti Dafi, Ana Raffali dan Iqbal Mazlan (Pilih Kasih), tetapi turut dilakonkan oleh penyanyi-penyanyi dari era 60-an.

Antaranya ialah Datuk Ahmad Jais, A. Rahman Onn, L. Ramlee, J. Sham, A. Halim, Husin Ismail, A. Rozaimi, Fatimah M. Amin termasuk dua buah band yang akan mengiringi keseluruhan teater tersebut iaitu The Rhythm 60’s dan The Wanderers.

Menurut pengarah persembahan yang juga merupakan pengarah skrip, Lokman Abdul Ghani, meskipun ia merupakan sebuah teater muzikal, namun ia masih dilengkapi dengan sebuah jalan cerita.

“Teater berkenaan akan mempersembahkan lakonan dari tiga era berasingan iaitu era 60-an, 70-an dan 80- an.

“Begitupun, 80 peratus merupakan babak pada era 60-an termasuk elemen imbau kembali, manakala selebihnya akan berkisar pada tahun 1970-an dan 80-an sebagai penyambung cerita,” katanya yang ditemui selepas sidang akhbar memperkenalkan para pelakon di Istana Bambu, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Ditanya tentang pemilihan Dafi, Anna dan beberapa muka baru dalam dunia teater, Lokman memberitahu, dia amat yakin dengan kemampuan semua pelakon yang telah dipilih.

“Selain Dafi dan Ana, kita juga ada Gambit, Azrul (Raja Lawak) dan Anne Ngasri. Secara keseluruhan, saya yakin dengan mereka meskipun ia merupakan percubaan pertama Ana dan Dafi.

“Sebenarnya sejak awal, saya sasarkan mahu mencari pelakon, bukan penyanyi. Tetapi semua pelakon terikat dengan komitmen masing-masing. Atas sebab itu, saya tawarkan kepada penyanyi dan mereka berminat.

“Lagipun pada saya, penyanyi juga sudah tidak asing dengan pentas kerana mereka menyanyi pun di atas pentas,” ujarnya.

KMJ 60-an mengisahkan Rey yang kembali ke kampung halaman selepas sekian lama menghilangkan diri. Dengan menggunakan teknologi moden, dia telah ditemukan semula dengan rakan karibnya, Azizan selepas hampir 30 tahun berpisah.

Perjumpaan mereka telah banyak mengimbau sejarah terutama semasa mereka menuntut di kolej. Namun begitu, Rey sebenarnya cuba mencungkil berita tentang kekasihnya, Rose yang dikenali semasa menuntut di kolej yang sama sekitar tahun 60-an.

Sementara itu, bagi Dafi dan Anna, peluang ditawarkan berlakon teater merupakan peluang untuk mereka mengorak selangkah lagi ke arah cabang industri hiburan.

“Saya memang minat teater sejak menuntut di universiti dan tawaran ini saya terima sebagai salah satu peluang untuk saya mencuba bakat dalam teater.

“Sebagai persediaan, saya perlu bersedia mental dan fizikal serta vokal kerana saya juga akan menyanyi sebanyak dua atau tiga buah lagu nanti,” ujar Ana.

Dafi pula memberitahu dia teruja kerana berpeluang berlakon teater untuk kali pertama. “Lebih mengujakan saya kerana ia dipentas di Istana Budaya,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani, Ketua Pegawai Eksekutif Belbis Sdn. Bhd., Afandy Alias dan antara barisan pelakon seperti Ifa Raziah, Siri Nursaida Tarudin dan Radhi Khalid.

Teater muzikal KMJ 60-an akan dipentaskan bermula 27 Mei sehingga 5 Jun depan.

Kanta lekap seksa Pattinson


ROBERT PATTINSON


DI sebalik populariti dan kekayaan yang dikecapi melalui filem Twilight, aktor kacak, Robert Pattinson sebenarnya perlu membayar sejumlah pengorbanan yang lebih mahal untuk menjayakan wataknya sebagai pontianak.

Aktor kelahiran Britain itu sebenarnya 'terseksa' dengan kanta lekap yang terpaksa dipakai sepanjang penggambaran filem untuk menjayakan wataknya.

"Saya amat gembira apabila semuanya sudah berakhir," katanya yang menggambarkan betapa leganya dia apabila bahagian terakhir filem itu telah selesai menjalani penggambaran.

Selain 'membenci' kanta lekap, Pattinson turut berdepan dengan masalah untuk memakai alat itu dan khabarnya dia memperlukan dua orang pembantu untuk membantunya.

"Sebenarnya ia amat memalukan setelah bertahun-tahun. Setiap pagi, ia (memakai kanta lekap) menjadi proses yang panjang. Semua orang sudah bisa melakukannya sendiri dan saya masih perlu dua orang untuk membantu saya kerana saya tidak boleh melakukannya sendiri," tambah Pattinson kepada Splash News.

21 maut banjir di selatan Thai


BANJIR lumpur yang melanda selatan Thailand.


BANGKOK - Seramai 21 orang terkorban, manakala beribu-ribu pelancong asing terkandas di gugusan pulau selatan Thailand selepas rantau itu dilanda bah dan banjir lumpur.

Perkhidmatan kereta ke rantau berkenaan telah dibatalkan dengan tiga lapangan terbang ditutup, termasuk sebuah lapangan terbang utama di Pulau Koh Samui yang merupakan destinasi pelancongan popular.

Turut ditutup ialah lapangan terbang Nakhon Si Thammarat dan Surat Thani.

Tentera laut Thailand menghantar empat buah kapal perang yang dilengkapi bot dan helikopter untuk menghantar bekalan asas, selain mengeluarkan pelancong serta penduduk kampung di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

"Tentera darat dan laut bekerjasama untuk membantu mereka yang terkandas. Penduduk yang tinggal di kawasan berlakunya banjir lumpur juga dipindahkan," kata menteri di pejabat perdana menteri, Satit Wongnongtoey.

Hampir sejuta orang terjejas dalam kejadian banjir akibat hujan lebat selama seminggu di selatan Thai.

Setakat ini, banjir lumpur dilaporkan berlaku di tiga kawasan di wilayah Krabi.

Sekurang-kurangnya 10 terkorban di sebuah kampung manakala 10 yang lain masih hilang.

Ketua Pengarah Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana, Wiboon Sangruanpong berkata, adalah terlalu awal untuk membuat anggaran kemusnahan akibat banjir kali ini.

Beliau turut memberi amaran bahawa kejadian banjir lumpur dijangka terus berlaku dalam tempoh beberapa hari lagi.

Jepun mengaku kalah


SEBUAH bangunan di loji Fukushima Daiichi dikelilingi palang-palang besi yang rosak dalam gempa bumi pada 11 Mac lalu.


TOKYO - Jepun akhirnya mengaku kalah dalam usaha mengekang pencemaran radiasi di empat reaktor nuklear loji Fukushima Daiichi yang rosak dan akan menutup kesemua reaktor berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa pegawai berkata, dalam sedikit masa lagi, semua bekalan kuasa ke reaktor-reaktor itu akan ditutup, manakala usaha untuk menyejukkan batang-batang bahan api nuklear akan dihentikan.

Langkah terakhir, melibatkan proses mencurahkan bertan-tan konkrit untuk menimbus reaktor-reaktor itu. Sekali gus memastikan tiada radiasi yang bocor keluar.

Perkembangan itu berlaku selepas agensi keselamatan nuklear Jepun mendedahkan bahawa bacaan radiasi di dalam laut sekitar loji Fukushima Daiichi melonjak sebanyak 4,385 kali ganda berbanding takat yang dibenarkan.

Pengumuman dramatik tentang penutupan semua empat reaktor itu dibuat pada Selasa lalu oleh Pengerusi Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO), Tsunehisa Katsumata yang mengendalikan loji nuklear tersebut. .

Loji Fukushima Daiichi terletak sekitar 240 kilometer dari ibu negara Jepun, Tokyo.

Katsumata berkata, beliau berasa kasihan kepada orang ramai yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka atau terpaksa tinggal di dalam rumah disebabkan oleh krisis nuklear berkenaan.

"Saya memohon maaf kerana kesusahan dan ketakutan yang berlaku akibat kebocoran radiasi ini," kata Katsumata.

"Kami telah gagal untuk menyejukkan reaktor-reaktor terbabit. Tetapi kami melakukan usaha paling maksimum untuk menstabilkan keempat-empat reaktor itu," tambahnya.

Krisis nuklear bermula selepas sistem penyejukan reaktor-reaktor nuklear di loji Fukushima Daiichi rosak akibat gegaran kuat gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter yang melanda pada 11 Mac lalu, disusuli oleh tsunami.

Tidak lama kemudian, beberapa letupan dan kebakaran menyebabkan kebocoran radiasi berlaku di loji tersebut.

Setakat kelmarin, tahap radiasi di dalam laut sekitar loji Fukushima Daiichi ialah 3,355 kali ganda daripada bacaan normal.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang jurutera nuklear Amerika Syarikat (AS), Michael Friedlander memberitahu stesen televisyen CNN bahawa dia bimbang kesan pencemaran air laut yang berlaku.

"Plankton menyerap radiasi, ikan memakan plankton, ikan besar pula memakan banyak ikan kecil. Justeru, kandungan radiasi akan berlaku dalam rantaian makanan," katanya.

Aktiviti menangkap ikan kini dilarang dalam lingkungan sekitar 20 kilometer dari loji Fukushima Daiichi.

Terselamat selepas terjatuh dari tingkat lapan


ANGELO NICOTRA dan gambar sinar-X menunjukkan tulang tangannya yang patah (kanan).


BIRMINGHAM, Britain - Seorang lelaki, Angelo Nicotra bernasib baik dapat berjalan semula setelah hampir semua tulangnya patah akibat terjatuh dari tingkat sembilan flatnya pada ketinggian 30.48 meter, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebanyak 14 tulang lelaki berusia 22 tahun itu patah, manakala beberapa lagi tulangnya retak apabila dia menghempap laluan konkrit di laman flat berkenaan.

Dia telah mengambil pil tidur dan tidak dapat mengingati insiden terjatuh dari tingkap bilik tidurnya pda Disember tahun lalu.

Doktor-doktor yang merawatnya kagum kerana dia tidak mati dalam kejadian tersebut.

Namun, Nicotra terpaksa menjalani lapan pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya.

"Doktor-doktor cuma memberi saya peluang 20 peratus untuk hidup. Mereka terkejut saya sembuh dengan begitu cepat dan kini boleh berjalan semula," katanya di sebuah hospital di sini kelmarin.

Mengulas kejadian itu pakar ortopedik Hospital Heartlands, tempat dia dirawat, Dr. Andreas Sambatakasis berkata: "Saya belum pernah melihat seseorang terselamat selepas terjatuh dari tempat begitu tinggi,".