Wednesday, September 1, 2010

Hidup Annahita sempurna



Setiap insan pasti mendambakan kehidupan yang sempurna. Apatah lagi mempunyai pasangan yang bukan sahaja bergelar teman, tetapi juga sanggup bersama susah dan senang.

Melangkah ke satu fasa yang lain merupakan detik yang tidak mungkin dilupakan. Apatah lagi dengan kehadiran bergelar suami di sisi yang menjadi pelengkap kehidupannya.

Detik bahagia itu, kini dilalui pemilik nama Annahita Bakavoli yang telah disatukan dengan suami tercinta, Datuk Saiful Baha pada Julai tahun lalu.

Annahita yang mesra di sapa Anna mengakui kehidupannya kini telah berubah secara total dan dia begitu teruja untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan bersama-sama suami tercinta dan meraikan Aidilfitri yang bakal menjelma.

“Ramadan pada kali ini memang berbeza dan kehidupan Anna kini sudah banyak berubah. Malah sudah pasti tanggungjawab makin bertambah, tapi Anna tidak kisah dengan keadaan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Malah, Anna mengakui kerana kesibukan dengan tugasnya sebagai pengacara, dia tidak mempunyai banyak masa untuk memasak juadah berbuka puasa bersama.

“Apabila Anna ada masa Anna pasti akan memasak juadah berbuka puasa dan suami Anna memang gemarkan ikan keli. Nasib baik dia tidak cerewet mengenai makanan,” katanya.

Tambah model dan pelakon berusia 28 tahun ini, beliau mengakui jarang bersahur dan jika tersedar dari tidur mereka hanya meminum air sahaja untuk mengalas perut.

Apabila ditanya mengenai kelainan sambutan Aidilfitri kali ini, Anna berkata, dia sangat teruja kerana bakal beraya bersama dua keluarga dan situasi ini adalah sesuatu yang baru baginya.

Katanya, dia lebih senang menyambut lebaran kali ini dengan sederhana tanpa persiapan berlebihan agar tidak membazir.

“Pasti sambutan Aidilfitri kali ini berbeza dengan tahun-tahun lalu kerana pada tahun ini saya mempunyai keluarga yang lebih besar dan pastinya suasana lebih meriah,” katanya.

“Tahun ini Anna sudah menyediakan tiga pasang baju kurung berwarna kuning, biru dan putih untuk dipakai pada lebaran nanti,” katanya yang akan menyambut raya di Pulau Pinang.

Ketika ditanya mengenai juadah dan kuih kegemaran pada pagi raya, Anna berkata, kuih Almond London, lemang dan ketupat menjadi menu wajib yang perlu ada di meja makan setiap kali hari raya.



====Aktif sebagai pengacara



Sementara itu, menyentuh mengenai perkembangannya sebagai anak seni, Anna berkata dia kini aktif di dalam bidang pengacaraan dan mengakui mula jatuh cinta dengan bidang tersebut.

“Bukan tiada tawaran berlakon tetapi buat masa ini biarlah Anna fokus untuk dunia pengacaraan dulu,” katanya.

Akui Anna dia bukan tidak mahu berlakon tetapi bidang lakonan memerlukan komitmen yang sangat besar.

Tambah Anna lagi, dia kini sibuk menjalani penggambaran untuk mengacarakan program bertajuk Kes, di mana dia akan mengacarakan program tersebut bersama empat lagi selebriti seperti Zakiah Anas yang dijangka bakal ditayangkan pertengahan September ini.

“Saya juga baru saja menamatkan penggambaran sebuah rancangan TV mengenai kisah-kisah kejayaan individu di Malaysia pada Khamis lalu,” katanya.

Didakwa Menyeleweng, Persatuan Seni Desak Freddie Fernandez Berundur

Zaienal Abidin Omar (tengah) bersama pemimpin persatuan-persatuan seni selepas mesyuarat tergempar mengenai kemelut Persatuan Karyawan di PWTC, Selasa lalu.

KUALA LUMPUR: Pemimpin persatuan-persatuan seni, Selasa, sepakat menolak kepimpinan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez daripada menerajui persatuan itu sebaliknya menyokong ahli seumur hidup Karyawan, Zaienal Abidin Omar untuk mengambil alih kepimpinan berkenaan.

Dalam mesyuarat tergempar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang Selasa, persatuan-persatuan berkenaan juga mendesak Freddie supaya berundur diri.

Pemimpin-pemimpin persatuan itu ialah Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M.Daud, Setiausaha Persatuan Artis Cina Malaysia, Ong Peng Chu, dan Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Mokhtar Abu Bakar.

Turut mendesak Freddie berundur ialah Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim, Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam), Ismail Ahmad dan Presiden Persatuan Artis Veteran Malaysia, Datuk Ismail Hudson.

Hadir sama artis veteran Datuk Aziz Satar.

Dalam mesyuarat yang diadakan itu mereka turut mendakwa sepanjang menjadi Presiden Karyawan, Freddie dikatakan telah melakukan banyak penyelewengan.

Zaienal Abidin akan menentang Freddie bagi merebut jawatan Presiden Karyawan.

“Berdasarkan kepada mesyuarat yang diadakan, pihak kami memang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Freddie dan menyokong Zaienal Abidin untuk bertanding jawatan itu kerana kami mahu industri hiburan ini menjadi aman,” kata M.Daud ketika berucap pada majlis tersebut.

Kemelut Karyawan menjadi semakin tegang apabila pada Ahad lalu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan di Pawagam Mini P.Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) terpaksa ditangguhkan apabila berlaku kekecohan.

Mesyuarat berkenaan diadakan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa- Kuasa Khas) pada 2 Julai lalu mengarahkan satu Mesyuarat Agung di adakan dalam tempoh 60 hari dari perintah yang dikeluarkan.

Zaienal Abidin berkata, dia masih lagi ahli seumur hidup Karyawan yang sah dan layak untuk bertanding jawatan berkenaan.

Katanya, dia mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli sehingga kehadirannya dalam AGM tersebut disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar menyebabkan Freddie merasakan kedudukannya semakin goyang.

Atas dasar itu ujar Zaienal Abidin dia berhasrat mengambil alih persatuan yang ditubuhkan atas inisiatifnya sebelum ini.

Bercerita mengenai kekecohan yang berlaku Ahad lalu itu ujar Zaienal Abidin ia disebabkan kegagalan jawatankuasa bebas yang dilantik mengendalikan mesyuarat kerana tidak mempunyai pengalaman.

Komen pemimpin-pemimpin persatuan

“Saya tidak sukakan cara Freddie kerana dia gemar melakukan tindakan menentang arus.” - Ismail Ahmad (Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia - Swam)

“Tak mahu Freddie menjadi duri dalam daging. Bila jadi isu seperti ini, kami mahu pemimpin yang boleh majukan industri kita.” – Mokhtar Abu Bakar (Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia – Profima)

“Kekecohan yang berlaku tidak begitu manis. Kami bersatu mahu singkirkan Freddie Fernandez.” – Datuk Ismail Hudson (Presiden Persatuan Artis Veteran).

“Kita patut tolong-menolong dalam persatuan tetapi Freddie selama ini banyak memburukkan persatuan sehingga sanggup hantar surat kepada menteri untuk tutupkan persatuan lain.” – Ong Peng Chu (Setiausaha Persatuan Artis Cina Malaysia).

Isu Pegang Sepanduk Di Mekah, Linda Onn Terkilan

Linda Onn bersama jemaah ketika mengerjakan umrah pada Jun lalu. Gambar Linda bersama sepanduk ini disindir penulis pojok Siti Jarum menyebabkan Linda berasa terkilan. Gambar ihsan blog Linda Onn.

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn terkilan dengan laporan sebuah akhbar Ahad lalu, yang kononnya mendakwa pemergiannya ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah dari 15 hingga 25 Jun lepas seperti hendak menunjuk-nunjuk.

Linda menerusi blognya yang disiarkan pada Isnin lalu berkata tuduhan itu amat mengguris hatinya kerana pemergiannya ke Tanah Suci Mekah adalah ditaja oleh syarikat pelancongan Gemilang Travel yang menjalinkan kerjasama dengan stesen radio Suria FM.

Katanya, sepanjang berada di Mekah, Linda menjalankan tugasan dengan melaporkan segala perkembangan mengenai rombongan tersebut yang mana ia merupakan perjanjian yang telah dimeterai di antara stesen radio itu sebagai radio rasmi dengan ejen pelancongan berkenaan.

“Linda diberi tugasan membuat liputan perjalanan sebelum berangkat, semasa berada di Madinah, Mekah sehinggalah perjalanan pulang Linda ke Malaysia. Semua itu merupakan perjanjian di antara Gemilang Travel dan juga Suria FM.

“Sepanjang mengikuti rombongan itu Linda membuat lintasan secara langsung sebanyak dua kali sehari bagi mempromosi syarikat berkenaan,” katanya dalam blog tersebut.

Ahad lalu ruangan pojok Siti Jarum di dalam Pancaindera, Mingguan Malaysia telah menyindir Linda Onn yang bergambar dengan memegang sepanduk tertulis “Umrah Bersama Linda Onn” seperti memberitahu dia berjaya mengerjakan umrah.

Tindakan itu kata Siti Jarum seperti pendaki yang biasanya memegang sepanduk setiap kali berjaya menawan puncak gunung.

Mengenai tindakannya bergambar dengan memegang sepanduk itu kata Linda ia dibuat bukan atas kehendak dia sebaliknya sepanduk itu disediakan oleh ejen pelancongan atas dasar mempromosikan syarikat mereka.

Ujar Linda sudah beberapa kali dia mengerjakan umrah tetapi tidak pernah pun membawa sepanduk melainkan untuk rombongan umrah anjuran syarikat pelancongan berkenaan.

Katanya, dia tidak sedikit pun terlintas untuk memberitahu telah berjaya melakukan umrah dengan memegang sepanduk itu.

“Bila diminta bergambar sebagai duta kecil, Linda pun bergambar beramai-ramai dengan jemaah yang lain dan tidak terniat untuk menjadikan ia sebagai pengesahan yang Linda berjaya melakukan umrah,” katanya.

Sementara itu dalam satu kiriman SMS kepada mStar Online, Selasa, personaliti ini memberitahu dia benar-benar terkilan dengan sindiran itu kerana ia memperlihatkan seolah-olah dia mempermainkan kerja baik yang dilakukan.

“Linda betul-betul kecil hati. Ini soal ibadat. Kalau soal lain, Linda tak pernah rasa (terkilan) macam ni,” katanya sambil membenarkan mStar Online memetik tulisan di dalam blognya.

Abby Enggan Masuk Campur Norman & Memey Bertunang

Abby Abadi.

PELAKON Arbaeyah Abdul Manan (Abby Abadi), 32, enggan mengulas keputusan bekas suaminya, Mohd Nor Hakim Zaidon (Norman), 34, untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Suhaiza Suhaimi (Memey), 22, pada Hari Raya keempat nanti.

Malah dia enggan masuk campur urusan pasangan tersebut kerana menganggap ia tidak ada kena-mengena dengannya lagi.

Abby dan Norman bercerai pada 18 Disember 2008.

Memey dan Norman

"Saya tidak berminat nak tahu dan komen mengenai pertunangan mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Selasa lalu media melaporkan Norman dan Memey membuat keputusan untuk bertunang pada Hari Raya keempat di rumah keluarga Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

Keputusan itu dipersetujui apabila Norman berkunjung ke kampung Memey dan selepas keluarga mula berbincang untuk mengadakan majlis pertunangan tersebut.

Majlis kenduri dan persandingan pula dijangka dilangsungkan pada awal tahun depan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada Abby akan mengikut langkah pasangan tersebut untuk bertunang dengan pelakon baru Gerak Khas, Zulkifle Ariffin, Abby berkata, dia tidak pernah memikirkan perkara tersebut.

"Tidak ada dan tidak pernah terfikir ke arah itu," katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Gerak Khas dan telefilem berjudul Sabar.

Isteri Arwah Din Beramboi Sayu Sambut Ramadan Tanpa Suami

Pak Nil menghiburkan anak-anak dan balu Allahyarham Din Beramboi, Suhaini Che'man (paling kanan) semasa rakaman Era TV 1Malaysia di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

BALU kepada Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri (Din Beramboi), Suhaini Che'Man mengakui arwah suaminya merupakan individu yang paling mengambil berat kebajikan mereka sekeluarga pada bulan Ramadan.

"Pada bulan Ramadanlah dia akan bertungkus lumus memastikan keperluan berpuasa terlaksana. Misalnya kalau saya tak sihat atau tak sempat masak, dia akan tentukan apakah menu berbuka pada hari itu.

"Arwah memang selalu memasak di rumah dan sukakan masakan kampung," katanya kepada mStar Online.

Menurut Suhaini, arwah tidak pernah berbuka puasa berjauhan dengan mereka sekeluarga.

Ini kerana katanya, sesibuk mana sekalipun, arwah tetap akan balik ke rumah pada waktu petang walaupun hanya tinggal lima minit sebelum sampai waktu berbuka puasa.

Jelasnya lagi, arwah juga selalunya akan menolak mana-mana jemputan yang tidak membenarkan dia membawa ahli keluarga bersama kerana enggan terlepas peluang berbuka puasa bersama.

"Sekiranya jemputan itu amat penting dan tidak dapat ditolak, arwah akan membawa kami sekeluarga ke pasar raya yang terletak berdekatan. Lepas itu, dia akan mencari kami," katanya dalam nada sayu mengimbas kenangan bersama Allahyarham.

Suhaini mengakui dia masih terasa kehilangan arwah suaminya terutama pada bulan yang mulia ini.

Selepas kehilangan suami tercinta, dia yang kini menganggur menjalankan perniagaan membuat kuih-muih dan hamper secara serius.

"Jika dulu tak serius, sekarang kena serius. Misalnya dulu, arwah meminta saya menyiapkan 20 buah hamper untuk diserahkan kepada kawan-kawan. Sekarang saya menyiapkannya untuk dijual bagi mencari nafkah," katanya.

Paris Hilton Sangka Kokain Gula-Gula Getah

Paris Hilton.

SELEBRITI Paris Hilton, 29, yang ditangkap kerana dituduh memiliki dadah jenis kokain mendakwa beg yang terdapat dadah itu bukan miliknya.

Dia juga menyangka kokain itu adalah gula-gula getah.

Sekiranya sabit kesalahan memiliki kokain seberat 0.8 gram, Hilton berkemungkinan dikenakan hukuman penjara selama empat tahun.

Hilton juga menegaskan bahawa tas yang mengandungi kokain itu bukan miliknya dan dia telah meminjam beg tangan itu daripada seorang teman.

Britney Impikan Pernikahan Sederhana Dengan Jason Trawick

Britney Spears.

BINTANG pop Britney Spears merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya Jason Trawick tetapi hendak melakukan majlis berkenaan secara sederhana.

Ini akan menjadi pernikahan Britney yang ketiga.

"Mereka sudah memutuskan untuk melakukan satu acara yang kecil dan intim pada akhir tahun ini," katanya kepada media.

Spears sebelum ini pernah berkahwin dengan Jason Alexander (2004) tetapi bercerai beberapa hari kemudian. Pada tahun yang sama, dia berkahwin dengan Kevin Federline.

Pada tahun 2006, dia menuntut cerai dari Federline selepas mempunyai dua orang anak.