Wednesday, September 1, 2010

Malaika Pakai Baju Bertatah Berlian $1 Juta Euro

MODEL dan pelakon Malaika Arora Khan (gambar) akan memperagakan pakaian bertatahkan berlian yang bernilai $1 juta euro dalam satu pertunjukan fesyen di sebuah kedai perhiasan di New Delhi, hari ini.

Pakaian itu diperbuat daripada lebih 500 karat berlian terbaik Belgium, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kedai perhiasan ORRA tersebut.

Selain Malaika, model popular seperti Carol Gracias, Indrani Dasgupta dan Krishna Somani akan memperagakan barang-barang kemas yang dibuat oleh pusat-pusat rekaan ORRA di London, New York, Tokyo, Antwerp dan Mumbai.

Anak Kelapan & Terakhir Rod Stewart

Rod Stewart (kanan) dan isterinya Penny Lancaster.

PENYANYI dan penulis lirik Rod Stewart menegaskan, kelahiran anak kelapan adalah anak yang terakhirnya.

"Saya tidak boleh lagi mempunyai anak. Jika tidak, saya tidak akan senang-lenang sampai usia 90 tahun," katanya kepada media.

Rod berkata, dia dan isterinya Penny Lancaster, 39, berasa sangat teruja untuk menyambut cahaya mata.

Tentang reaksi anak-anak yang lain, penyanyi rock itu berkata: "Mereka tahu kami telah berusaha untuk menimang cahaya mata. Sekarang mereka gembira."

Rod memberitahu, dia mungkin mendukung bayinya ke pentas seperti yang pernah dia lakukan pada anak lelakinya, Alastair sebelum ini.

"Adalah baik untuk anak-anak melihat tempat kerja ayah mereka," tambahnya.

Slash Diiktiraf Di Los Angeles

Slash.

BEKAS vokalis Guns N 'Roses, Slash diiktiraf di Festival Muzik Sunset Strip, Los Angeles kerana sumbangannya dalam bidang muzik.

Penyanyi rock itu berhijrah dari Britain ke Amerika Syarikat ketika dia berusia 11 tahun dan menetap bersama keluarganya di Los Angeles.

Slash telah menghabiskan begitu banyak masa kehidupannya di kawasan barat Hollywood.

Gitaris terkenal itu mengaku amat terharu dengan penghormatan yang diberikan oleh Sunset Strip.

"Saya membawa gitar pertama kalinya di West Hollywood, kemudian belajar bagaimana bermain gitar, menubuhkan band dan mencipta nama di West Hollywood, kemudian mendapatkan kontrak rakaman di Geffen, " katanya.

Slash menganggap kehidupannya bermula di West Hollywood dan menyifatkan penghargaan Sunset Strip sebagai amat besar dalam kehidupannya.

Modern Family & Mad Men Ungguli Anugerah Emmy

Barisan pelakon Modern Family, (dari kiri) Jesse Tyler Ferguson, Julie Bowen, Steven Levitan dan Ty Burrell, bergambar di Governor's Ball selepas Anugerah Emmy di Los Angeles, Ahad.

DRAMA komedi Modern Family dan siri televisyen, Mad Men menyapu bersih hampir sebahagian besar anugerah yang dipertandingkan dalam Anugerah Emmy ke-62, kelmarin.

Mad Men memenangi siri drama terbaik itu sekali gus merangkul anugerah tersebut buat kali ketiga berturut-turut.

Manakala Modern Family dipilih menjadi rancangan komedi terbaik.

Penerbit eksekutif Modern Family, Steve Levitan melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penggemar drama tersebut.

Sementara itu, penerbit drama Mad Men, Mathew Wiener berasa teruja atas kemenangan itu dan menerima anugerah tersebut dengan rendah hati.

Penerbit Mad Men, Matthew Weiner, memegang anugerah dan bergambar bersama para pelakon (dari kiri) Jon Hamm, John Slattery dan Robert Morse.

Pemenang-pemenang lain termasuk Eric Stonestreet yang memenangi anugerah Emmy bagi kategori Penulisan Terbaik.

Dalam pada itu, komedi muzikal Glee merekodkan pencalonan tertinggi iaitu sebanyak 19 pencalonan tetapi hanya berjaya memenangi dua anugerah Emmy.

Jim Parsons yang memegang watak Sheldon Cooper dalam karya, The Bing Bang Theory meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik untuk siri komedi.

Trend sosial baru Manila


MANILA menjadi negara kedua di dunia mempunyai pekerja penyumberan luar paling ramai selepas India.


WAKTU fajar menyinsing ibarat masa bergembira di sebuah bar yang dilihat bak dunia yang terbalik dekat daerah kewangan Filipina iaitu Manila.

Berbeza dengan pelanggan di bar lain, di situ pelanggan muda berkumpul dan berbicara dalam bahasa Inggeris yang pekat dengan loghat California.

Dunia mereka berbeza dengan kebanyakan orang lain kerana sewaktu penghuni kota Manila nyenyak tidur mereka perlu bekerja, manakala sewaktu orang lain bekerja mereka enak dibuai mimpi.

Minuman vodka dan bir menjadi hidangan tiga sahabat baik Cici, Pau dan Jels selepas mereka tamat tugas syif malam lain di negara yang mempunyai setengah juta tenaga kerja dalam perniagaan penyumberan luar itu.

Malah hidangan pembuka seleranya, udang dan mangga hijau yang direndam arak, mencerminkan gaya hidup penduduknya yang suka berparti.

"Saya biasa minum lapan botol Red Horse dalam satu masa tetapi masih mampu mencari jalan pulang," kata Cici, 28, mengenai minuman tempatan yang terkenal dengan kandungan alkohol tinggi dan sering digelar sebagai jus iblis.

Kumpulan wanita muda sering keluar bergembira pada hari Sabtu, mengunjungi bar, pantai atau pusat beli-belah sepanjang hari supaya mereka dapat bersosial dengan kawan-kawan di luar industri tersebut dan sekurang-kurangnya tidur pada satu malam seperti manusia normal.

Gaji berlipat kali ganda

Kehidupan adalah mengujakan dalam banyak cara bagi golongan muda, bujang dan berpendidikan dalam industri penyumberan luar di Filipina.

Pekerjaan yang menuntut mereka berkhidmat atau berkomunikasi dengan pelanggan syarikat di negara luar terutamanya di Barat memberi pendapatan AS$300 sebulan dengan jaminan tiga kali ganda kenaikan selepas beberapa tahun pengalaman. Ia upah yang bagus di negara yang mana satu pertiga penduduknya hidup dengan hanya AS$1 sehari.

Terdapat banyak peluang pekerjaan yang datang dengan faedah lumayan seperti gaji sehingga mencecah 13 dan 14 kali ganda sebulan, bonus persembahan dan insurans perubatan percuma.


PEKERJA penyumberan luar perlu memberi perkhidmatan kepada pelanggan di negara asing terutamanya di negara maju.


Industri berkenaan telah mewujudkan jutaan pusat panggilan, perakaunan dan tugas pejabat lain dari negara maju telah menyumbang kepada sebahagian besar ekonomi negara berkenaan.

Sebanyak 500,000 pekerja Filipina kini menjadi tenaga kerja penyumberan luar terbesar di dunia selepas India.

Pendapatan negara hasil industri berkenaan telah mencecah lima peratus daripada produk domestik kasar dan berkembang dengan kadar digit berganda setiap tahun, menurut kumpulan industri Pertubuhan Pemprosesan Perniagaan Filipina.

Dalam peringkat mikro, ia turut menyumbang kepada keseluruhan industri perkhidmatan yang beroperasi 24 jam sehari tujuh hari seminggu seperti kedai serbaneka, bar dan restoran makanan segera. Kebanyakannya beroperasi di sekitar menara pejabat kakitangan penyumberan luar itu.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai cara industri berkenaan membentuk masyarakat muda termasuklah tekanan yang dihadapi ketika mereka membantu pelanggan dan klien di bahagian lain di dunia.

Waktu kerja pada waktu malam, klien yang cerewet, bebanan kerja dan kehendak persembahan sering membuatkan kakitangan terutamanya pekerja pusat panggilan hilang pertimbangan.

Cici, Pau dan Jels dalam temu bual dengan AFP tanpa mendedahkan nama penuh, pernah terbabit dengan kerja di pusat panggilan ketika ia mula diperkenalkan.

"Kadang-kadang kami perlu menguruskan 300 panggilan dalam satu-satu masa dan 150 yang lain sedang menunggu. Kamu tidak akan ada masa untuk berehat," kata Pau, 32, yang kini bekerja menguruskan pembelian kelengkapan pejabat untuk sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) yang menawarkan gaji lebih tinggi.

Katanya, kakitangan pusat panggilan selalunya mempunyai hanya dua kali rehat selama 15 minit untuk merokok dan 30 minit waktu makan pada setiap syif lapan jam.

Cici memberitahu, satu daripada bahagian paling sukar bagi kerja pusat panggilan adalah berurusan dengan pelanggan yang marah dan mahu bercakap dengan seseorang dari negara lain.

"Seorang pelanggan berkata: 'Saya tidak mahu bercakap dengan anda. Saya mahu bercakap dengan orang Amerika'...Saya menangis," kata Cici.

Kadar hubungan seks tinggi

Walaupun pekerja industri berkenaan memperoleh pendapatan 53 peratus lebih tinggi berbanding pekerja dengan lingkungan umur sama dalam industri berbeza, satu pertiga daripadanya berhenti setiap tahun. Ia berdasarkan kajian Organisasi Pekerja Antarabangsa yang dikeluarkan bulan lalu.


PENDEDAHAN kepada gaya hidup Barat menyebabkan golongan muda turut terikut-ikut dengan gejala sosial tersebut.


Ketibaan industri penyumberan luar 10 tahun lalu turut membawa perubahan nilai, diet dan amalan seksual, kata seorang profesor dari Institut Populasi Filipina, Josefina Natividad.

"Apa yang mengejutkan kami adalah kadar hubungan seks sebelum perkahwinan amat tinggi bagi orang yang bekerja dalam sektor penyumberan luar sama ada di pusat panggilan atau bukan pusat panggilan," katanya yang akan menyiapkan kajian kesihatan dan gaya hidup ke atas golongan muda Filipina bersama pasukannya tahun ini.

Kuat minum dan merokok, membesarkan anak luar nikah dan pembelian banyak makanan ringan turut dikenal pasti sebagai antara gejala sosial dalam kalangan pekerja penyumberan luar.

"Dunia sudah berbeza kini dan setiap perkara dikatakan berpunca daripada perkembangan teknologi," katanya.

Kedua-dua Cici dan Pau mengatakan mereka mendengar kisah serupa di pusat panggilan tempat mereka pernah bekerja, di mana katil disediakan di tempat rehat untuk kakitangan yang keletihan.

"Tempat tidur dikongsi lelaki dan perempuan. Beberapa teman mengatakan sesuatu telah berlaku di sana," kata Cici.

Trend berkenaan dibimbangi mempunyai implikasi ke atas kesihatan awam, kata pegawai untuk program United Nations Joint untuk HIV/ AIDS, Teresita Maris Bagasao.

Nasi Padang asli Indonesia


RESTORAN Mahkota Padang menawarkan masakan asli Padang pada harga berpatutan.


NASI Padang sudah menjadi salah satu menu kegemaran ramai rakyat Malaysia ketika ini. Justeru, tidak lengkap Ramadan sekiranya anda belum berkesempatan mengunjungi restoran nasi Padang yang berhampiran dengan kediaman masing-masing.

Restoran Mahkota Padang yang terletak di The USJ 19 City Mall, Subang Jaya yang baru dibuka bulan lalu bukan sahaja menawarkan rasa nasi Padang asli, tetapi tenaga kerjanya juga dibawa khas dari Indonesia.

Pemiliknya, Adnan Sujadi memberitahu, terdapat 40 menu istimewa yang dihidangkan setiap hari sepanjang Ramadan untuk berbuka puasa. Antaranya kari ayam, kambing dan ikan, deng deng, udang dan ayam kampung goreng, pilihan sayur goreng dan mi.


PELBAGAI menu yang dihidangkan di Restoran Mahkota Padang.


Paling menarik ialah gulai abalon yang berharga RM100 untuk satu hidangan. Walaupun harganya agak mahal, Adnan memberitahu ia menjadi pilihan ramai.

"Kepada yang ingin menikmati hidangan gulai abalon, mereka perlu membuat tempahan sehari lebih awal kerana ia hanya dimasak berdasarkan tempahan yang diterima.

"Harga hidangan lain pula berpatutan dan bermula dari RM1.50 untuk kuih-muih," katanya.

Jangan ketinggalan menikmati hidangan istimewa jus avokado yang begitu sinonim dengan restoran Nasi Padang.

Kepada yang berminat, boleh menghubungi Andan di talian 012-352 7627 atau berkunjung ke Restoran Mahkota Padang yang terletak di aras G, The USJ 19 City Mall, Subang Jaya.

Tidak melekit, tidak berminyak


JOHNSON'S memperkenalkan minyak bayi baru yang sesuai digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk urutan merehatkan badan.


WALAUPUN kita berada di negara tropika dengan cuacanya tidak melampau seperti di kutub utara atau padang pasir, kita masih terdedah kepada masalah kulit kering.

"Keadaan ini disebabkan, kebanyakan daripada kita menghabiskan banyak masa di persekitaran yang mempunyai penyaman udara," kata Joyce Lee yang merupakan Pengarah Urusan Johnson & Johnson.

Tambahnya, faktor gaya hidup juga menjejaskan tahap kelembapan kulit termasuklah penggunaan mekap, kurang tidur dan tabiat merokok.

Penyelesaian bagi kulit kering sebenarnya amat mudah kerana terdapat banyak produk penjagaan kulit muka dan badan yang khas untuk kulit kering dan melindunginya daripada cela.

Kebanyakan pelembap badan dapat melembapkan kulit akan tetapi minyak bayi Johnson's lazimnya digunakan oleh para ibu untuk melembap dan mengurut bayi.

Ia juga menjadi kegemaran para ibu dan wanita untuk memberi kelembapan pada bahagian yang sangat kering seperti siku, lutut, buku lali, tumit malah rambut.

Walau bagaimanapun, dengan cuaca negara ini yang panas dan lembap, kadangkala timbul rasa melekit apabila kita menggunakan pelembap dan minyak terutamanya apabila berpeluh. Ia menjadikan kita tidak gemar menggunakan pelembap, lebih-lebih lagi minyak badan bayi.

Bagi mengatasi masalah tersebut sempena pelancaran semulanya tahun ini, Johnson's Baby Oil Lite mengadakan cabaran kepada pengguna baru-baru ini untuk menamatkan mitos bahawa minyak badan bayi lebih berminyak dan melekit.

Dalam cabaran ini, pengguna atau pelanggan di pasar raya atau pasar raya besar ditanya beberapa soalan untuk menentukan sama ada mereka menggunakan minyak badan. Mereka kemudiannya diberikan Johnson's Baby Oil Lite dan jenama X minyak badan zaitun pada tangan masing-masing.

Seterusnya, kertas minyak muka digunakan untuk menentukan sama ada terdapat residu atau baki minyak.

Ujian kertas minyak muka Johnson's Baby Oil Lite mempunyai kilauan dan residu minyak yang kurang berbanding minyak zaitun.

"Cabaran ini terdiri daripada ujian rahsia dan soalan kaji selidik yang direka untuk menunjukkan bahawa minyak bayi tidak memberikan rasa berminyak seperti yang selalu disangka oleh kebanyakan wanita," kata Joyce.

Semasa tempoh cabaran, seramai 4,450 wanita Malaysia mengambil bahagian dan hampir kesemuanya bersetuju bahawa Johnson's Baby Oil Lite tidak berminyak dan pantas menyerap ke dalam kulit.

Keputusan kajian itu mendapati 97 peratus wanita menyatakan bahawa ia membuatkan kulit mereka selembut bayi; 98 peratus wanita menyatakan bahawa ia menyerap dengan pantas ke dalam kulit; 95 peratus pula menyatakan tidak rasa berminyak selepas menggunakannya dan 90 peratus daripada mereka menimbang keputusan untuk membeli produk tersebut.

Menurut Joyce, Johnson's Baby Oil Lite dirumus dengan formula ultra pantas yang membantu melega dan melindungi kulit daripada kekeringan. Minyak yang pantas menyerap membolehkan kulit bernafas secara semula jadi, menjadikan kulit rasa selembut dan selicin kulit bayi. Ideal digunakan untuk mengurut, membersih dan melembapkan kulit kering dan sensitif.

Selain bertindak sebagai agen pelembap yang baik, minyak badan bayi itu juga sesuai digunakan oleh seluruh keluarga dalam pelbagai cara.

Minyak tersebut juga sesuai untuk mengurut diri di bahagian leher yang sengal, bahu, tangan atau kaki apabila rasa letih. Sesetengah wanita pula menggunakannya untuk menanggalkan mekap terutama olesan kosmetik di mata dan bibir di mana kulit lebih lembut.