Thursday, April 1, 2010

Istana Budaya intai Ella


SELEPAS rocker lelaki, Amy berjaya menggegar Istana Budaya, kini giliran wakil rockers wanita, Ella pula menjejakkan kaki membuat persembahan di Istana Budaya.


SELEPAS membawa masuk rockers lelaki, Amy Search dalam panggung Istana Budaya, nampaknya pihak Istana Budaya sudah ada rancangan mahu membawa rockers wanita pula membuat persembahan di panggung berprestij ini.

Siapa lagi rockers wanita yang kita ada kalau bukan Ella. Ya, Marilyn dapat tahu, pihak Istana Budaya sangat berminat untuk membawa Ella pula selepas Amy sukses dengan konsert solonya.

Kalau betullah apa Marilyn dengar, memang cayalah Istana Budaya. Nampaknya Istana Budaya tak main kasta. Maksudnya tak adalah artis yang nampak mahal saja boleh membuat persembahan di situ dan artis-artis rock tanah air kita yang sudah ada empayar sendiri tidak berpeluang beraksi di Istana Budaya.

Marilyn pun puji sikap Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani atau mesra dengan panggilan Abang Joe yang begitu terbuka menerima artis-artis kita membuat persembahan di sana.

Khabarnya, Abang Joe kata, jika bukan mereka, siapa lagi yang mahu membantu artis-artis tempatan mempersembahkan kredibiliti mereka. Jadi jika kena dengan gayanya, Istana Budaya lapang dada menerima sesiapapun.

Hai, Marilyn harap sangat, Ella turut memberi respons positif terhadap keinginan Istana Budaya ini. Lagipun Ella memang sudah terkenal dan bukan sehari dua menjadi penyanyi. Lagu-lagunya juga dari zaman 80-an hingga sekarang memang banyak pengikut. Tentang peminat? Ah, Marilyn percaya, kalau Ella buat persembahan seminggu di Istana Budaya pun, mesti sesak dengan peminat-peminat setianya. Marilyn sangat pasti.

Ganjaran semakin meningkat


SHABERY mengalungkan pingat kepada Nur Suryani selepas mengadakan pertemuan dengan penembak negara itu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.


KHABAR gembira diterima oleh seluruh atlet Malaysia semalam. Kerajaan telah bersetuju menaikkan pembiayaan bulanan bagi atlet yang layak beraksi pada Sukan Olimpik serta kenaikan insentif Sukan SEA di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam). Bagi atlet yang layak ke Sukan Olimpik, mereka akan menikmati pembiayaan bulanan sebanyak RM2,000 sebulan berbanding RM1,000 sebelum ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, tempoh pembiayaan tersebut adalah setahun sebelum temasya tersebut sehingga Sukan Olimpik bermula.

Katanya, kerajaan juga akan menaikkan insentif Sukan SEA di bawah Shakam daripada RM5,000 kepada RM10,000 untuk pingat emas pertama yang dimenangi seseorang atlet.

Pingat emas kedua dan berikutnya pula akan kekal sebanyak RM5,000.

"Kenaikan Shakam hanya bagi Sukan SEA sementara insentif bagi Sukan Komanwel, Asia dan Olimpik, tidak berubah.

"Kenaikan tersebut diberikan selepas kementerian dan MSN mengkaji jumlah pemberian insentif Sukan SEA di negara-negara jiran," kata Shabery selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil semalam.

Bagi pemenang emas acara berpasukan pada Sukan SEA, pasukan yang lebih lima atlet akan mendapat RM10,000 sementara bagi pasukan kurang dari lima atlet, setiap seorang akan menerima RM2,000.

Sebagai rekod, bagi Sukan Komanwel dan Sukan Asia, pemenang pingat emas menerima RM80,000, perak (RM40,000) dan gangsa (RM20,000).

Insentif bagi pemenang pingat emas Olimpik pula ialah sebanyak RM1 juta untuk emas, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).

Lagi serangan berani mati


ANGGOTA-ANGGOTA forensik memeriksa lokasi letupan bom dua penyerang berani mati di Kizlyar, Rusia semalam.


MOSCOW - Dua pengebom berani mati membunuh 12 orang semalam dalam dua serangan terhadap pihak polis di Caucasus Utara, sebuah kawasan yang didiami ramai penduduk Islam di Rusia.

Keganasan terbaru itu berlaku hanya dua hari setelah 39 orang mati dalam dua serangan bom berani mati berasingan di sini.

Sembilan anggota polis termasuk seorang ketua polis tempatan maut dalam serangan terbaru di Caucasus Utara, melibatkan wilayah Dagestan yang kucar-kacir akibat penentangan penduduk Islam terhadap pemerintahan anti-Moscow.

Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin berkata, beliau tidak menolak serangan terbaru itu berkait rapat dengan serangan berani mati di Moscow oleh dua pengebom wanita pada Isnin lalu yang dilakukan bagi membalas dendam ekoran tindakan pemerintah Rusia membanteras keganasan militan.

Pada satu kejadian, seorang pengebom berani mati dalam sebuah kereta meletupkan dirinya apabila polis cuba memintasnya di bandar Kizalyar dekat Dagestan.

Semasa penyiasat dan penduduk berhimpun di tempat kejadian, seorang lagi pengebom berani mati yang memakai pakaian seragam polis meletupkan dirinya dengan membunuh seorang ketua polis tempatan.

Penasihat punca Woods gila seks


WOODS


NEW YORK - Bintang golf dunia, Tiger Woods menjadi seorang yang suka mengikut nafsu dan 'gila' seks kerana dia bergaul dengan dua orang 'penasihatnya' iaitu legenda bola keranjang profesional, Micheal Jordan dan Charles Barkley yang terkenal dengan kehidupan suka berfoya-foya, lapor sebuah akhbar semalam.

Pendedahan itu dibuat oleh bekas penasihatnya yang merupakan seorang peguam, John Merchant dalam satu temu ramah dengan majalah Vanity Fair baru-baru ini.

"Saya memberitahu Woods, jauhkan diri daripada Jordan kerana dia tidak memberi apa-apa selain bermain bola keranjang," kata Merchant.

Menurutnya, jika Woods mempunyai penasihat yang lebih baik, nasibnya tidak buruk seperti sekarang.

Pada tahun lalu, media mendedahkan satu siri kecurangan Woods yang menjalin hubungan seks dengan sejumlah wanita sehingga hampir menjejaskan rumah tangga dengan isterinya, Elin Nordegren.

"Saya menyayangi budak itu (Woods). Saya melihatnya membesar sejak bertahun-tahun lamanya. Saya menyaksikan semua kemusnahannya. Ia sepatutnya tidak berlaku," kata Merchant.

Menurutnya, dia dipecat kerana bergaduh dengan Woods berhubung isu kewangan.

Pada 1996, semasa Woods berumur 21 tahun, dia mendapat satu kontrak urus niaga bernilai AS$40 juta (RM130.40 juta) dengan syarikat Nike.

Merchant berkata, dia mengkritik mendiang bapa Woods kerana mengambil sebanyak AS$1 juta (RM3.2 juta) daripada wang tersebut.

Peguam itu berkata, dia kemudian dipecat dan Woods dikelilingi oleh sekumpulan penasihat 'pak angguk.'

Jordan pernah keluar bersama dengan seorang wanita simpanan Woods, Loredana Jolie Ferriolo semasa dia dihantar oleh seorang ibu ayam, Michelle Braun ke sebuah kasino di Bahamas.

Woods tidak kedekut apabila mendapatkan khidmat seks apabila dia membayar sebanyak AS$15,000 (RM48,937) pada perjumpaan pertamanya dengan Ferriolo.

Seorang lagi wanita simpanan Woods, Jamie Jungers memberitahu bahawa bintang golf itu pernah menghantar khidmat pesanan ringkas dengan menyatakan dia sedang berjudi dengan Barkley.

Menurutnya, dia pernah melihat penasihat Woods itu bermain judi bersama bintang golf tersebut dengan wang taruhan mungkin AS$25,000 (RM81,562).

Majalah itu turut menyiarkan gambar Ferriolo yang berbaring tanpa seurat benang.

Antara pendedahan lain dalam majalah itu termasuk nafsu seks Woods yang tidak pernah puas.

Jadi jutawan kutip tin kosong


CURT DEGERMAN


SKELLEFTEA, Sweden - Seorang lelaki berumur 60 tahun di sini memiliki kekayaan rahsia lebih AS$1.6 juta (RM5.21 juta) menerusi pelaburan di pasaran saham dengan cuma bermodalkan wang yang diperoleh daripada mengutip dan menjual tin kosong, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki itu, Curt Degerman yang digelar Kurt Tin Kosong, meninggal dunia 18 bulan lalu manakala saudara-maranya bertengkar berhubung siapa sepatutnya mewarisi kekayaannya.

Sejak 40 tahun lalu, Degerman dipandang rendah oleh masyarakat kerana menyara hidupnya dengan menyelongkar tong-tong sampah untuk mencari tin kosong dan menjualnya di sebuah loji kitar semula.

Bagaimanapun, setelah dia meninggal dunia semasa berusia 60 tahun akibat serangan jantung, saudara-maranya mendapati dia memiliki wang AS$1.1 juta (RM3.58 juta) dalam satu akaun bank Switzerland.

Mendiang turut menyimpan jongkong emas bernilai kira-kira AS$378,000 (RM1.2 juta) selain wang AS$1,358 (RM4,428) di rumahnya.

Di sebalik penampilannya yang selekeh, Degerman sebenarnya seorang pelabur aktif dalam pasaran saham antarabangsa.

Selain memakan sisa makanan daripada tong sampah dan memakai sehelai kot kotor, dia akan meluangkan masa di perpustakaan awam pada setiap hari untuk mengkaji berita kewangan di akhbar.

"Dia pergi ke perpustakaan setiap hari kerana tidak membeli akhbar. Di perpustakaan itu, dia membaca akhbar kewangan Dagens Industri," kata seorang sepupunya.

"Dia amat arif tentang pasaran saham," tambahnya.

Jutawan itu disifatkan saudara-maranya sebagai seorang kanak-kanak genius yang berhenti sekolah kerana krisis peribadi.

Kekayaan lelaki itu akhirnya dikongsi oleh dua sepupunya dalam satu penyelesaian di luar mahkamah.

Terkejut akaun ada AS$88 bilion




VIRGINIA - Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS), Stephanie Hickman terkejut mendapati akaun banknya mengandungi wang simpanan sebanyak AS$88,888,888,888.88 bilion (RM290 bilion), lapor sebuah akhbar semalam.

Perkara itu berlaku semasa dia dan suaminya memeriksa baki akaunnya di sebuah bank di sini, Sabtu lepas.

Memilih untuk tidak membelanjakan wang itu, mereka kemudian menghubungi SunTrustBank bagi melaporkan kesilapan tersebut.

Namun, sangkaan bahawa masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah meleset apabila pihak bank memberitahu, ia tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu mereka.


STEPHANIE HICKMAN


"Kami tidak dapat mengeluarkan wang AS$150 (RM489) milik kami kerana akaun kami telah dibekukan. Semuanya dibekukan termasuk kemudahan perbankan dalam talian," kata wanita itu kepada stesen televisyen NBC.

Akaun Stephanie dibekukan buat sementara waktu menyebabkan dia terpaksa mencari sumber lain untuk berbelanja.

Penyanyi AS cetus kontroversi




LOS ANGELES - Penyanyi Amerika Syarikat (AS), Erykah Badu (gambar) mencetuskan kontroversi menerusi klip video terbaru yang menunjukkan dia menanggalkan pakaian di tempat Presiden AS ke-35, John F. Kennedy mati ditembak pada 1963 di Dallas.

Menurut akhbar Dallas Morning News, dalam video muzik Window Seat itu, dia kemudian rebah di tanah seperti satu babak tembakan.

"Saya mula memikirkan untuk melucutkan pakaian, berbogel dalam keadaan penuh dengan kesenian," katanya.

Namun, ramai penduduk Dallas dan mereka yang sudah menonton video tersebut menerusi laman web YouTube mengutuk aksi tersebut serta menganggap klip daripada album terbaru Badu iaitu New Amerykah Part Two itu sebagai keterlaluan.

Pihak polis mengesahkan penyiaran video itu telah melanggar undang-undang tetapi menyatakan, ia tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada seorang pun saksi di lokasi penggambaran tampil membuat aduan.