Thursday, April 1, 2010

Lady Gaga diminta cipta lagu James Bond


LADY GAGA


LONDON - Bintang pop yang suka berpakaian pelik, Lady Gaga diminta untuk menghasilkan lagu untuk filem terbaru James Bond, lapor sebuah akhbar semalam.

Pemilihan Lady Gaga dibuat berikutan semua bos francais filem Bond tersebut merupakan peminat penyanyi yang popular dengan lagu Poker Face itu.

Namun, rundingan mengenainya akan mengambil tempoh masa selama berbulan-bulan kerana penggambaran filem tersebut telah ditangguhkan atas alasan kemelesetan ekonomi selain projek untuk menghasilkan James Bond dalam bentuk tiga dimensi (3-D)

Judul filem itu masih belum diberi nama tetapi ia dirujuk sebagai Bond 23.

Saintis nuklear Iran paling tadah ke AS

WASHINGTON - Seorang saintis nuklear Iran yang dilaporkan hilang sejak musim panas tahun lalu sebenarnya telah berpaling tadah ke Amerika Syarikat (AS), lapor rangkaian televisyen ABC kelmarin.

Laporan itu menyatakan saintis berkenaan, Shahram Amiri kini tinggal di AS dan sedang membantu Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk menjejaskan program nuklear Iran.

Shahram, yang bekerja di Universiti Malek Ashtar di Teheran, Iran hilang Jun tahun lalu semasa mengerjakan haji di Mekah.

Memetik sumber-sumber perisikan, stesen televisyen ABC menyatakan, kehilangan pakar nuklear itu sudah lama dirancang oleh CIA yang memujuknya supaya belot.

Agensi CIA dilaporkan mendekati Shahram di Iran melalui orang tengah yang menawarkan peluang penempatan semula kepadanya bagi pihak pemerintah AS.

Sementara itu, Presiden AS, Barack Obama kelmarin berkata, beliau berharap sekatan antarabangsa ke atas Iran berhubung program nuklear negara itu dapat dilaksanakan pertengahan bulan ini.

Katak beri amaran gempa bumi


GAMBAR fail menunjukkan seekor katak berada di sebatang jalan raya dekat Buch, utara Berlin.


PARIS - Sejak berkurun dahulu, manusia berusaha mencari alat yang dapat memberi amaran awal sebelum gempa bumi berlaku.

Usaha itu mungkin berbaloi apabila satu kajian mendapati sejenis katak kecil berwarna coklat mampu meramalkan bila gempa bumi akan terjadi.

Hasil kajian yang dilakukan oleh seorang ahli biologi Britain, Rachel Grant mendapati katak itu yang dikenali sebagai Bufo-bufo jantan memberi amaran awal lima hari mengenai gempa bumi yang telah memusnahkan bandar L'Aquila di tengah Itali pada 6 April, 2009 dengan menyebabkan 300 orang maut manakala 40,000 lagi hilang tempat tinggal.

Grant yang terlibat dalam projek pemantauan Bufo-bufo di Tasik San Ruffino, 74 kilometer ke utara L'Aquila, mendapati populasi haiwan itu berkurangan dengan mendadak lima hari sebelum gempa bumi melanda.

Hissa peserta pilihan menang AS$1.3 juta


GAMBAR yang disiarkan pada 18 Mac lalu oleh Pihak Berkuasa Kebudayaan dan Warisan Abu Dhabi menunjukkan Hissa memakai burka.


ABU DHABI - Seorang suri rumah rakyat Arab Saudi, Hissa Hilal merupakan peserta pilihan untuk memenangi program realiti televisyen realiti terkenal The Million's Poet, lapor sebuah akhbar semalam.

Ibu kepada empat anak itu antara lima peserta terakhir rancangan terbitan stesen Abu Dhabi TV yang cukup diminati di kalangan penonton rantau Asia Barat itu sehingga menyamai tahap populariti program American Idol di Amerika Syarikat.

"Puisi saya agak provokatif tetapi itulah cara saya untuk meluahkan pandangan dan mengetengahkan suara wanita Arab yang dimatikan oleh golongan tertentu," katanya.

Hissa tampil dengan memakai purdah gelap semasa membaca puisi pada program tersebut.

Sebelum ini, Hissa menjadi terkenal kerana dia menerima banyak ancaman bunuh kerana salah satu puisinya mengkritik sesetengah fatwa yang dianggapnya mengelirukan.

Antara baris sajak itu ialah: "Saya telah melihat kejahatan di dalam mata fatwa."

Pertandingan akhir puisi itu akan diadakan pada 7 April depan.

Pemenang utama pertandingan puisi itu ialah hadiah wang tunai AS$1.3 juta (RM4.24 juta).

Guna Internet hubungi doktor pakar


BEBERAPA doktor menggunakan komputer di sebuah hospital di Kathmandu, Nepal pada 26 Mac lalu.


KATHMANDU - Pesakit-pesakit di pedalaman Nepal tidak lagi terabai kerana tidak lama lagi mereka boleh menghubungi doktor pakar menerusi Internet.

Kemudahan tersebut adalah antara skim inovatif pemerintah bagi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan di kawasan pedalaman negara di banjaran Himalaya itu.

Dalam tempoh beberapa minggu lagi, 25 buah hospital daerah di banjaran Himalaya akan dihubungkan dengan doktor-doktor pakar di sini dan India melalui satelit.

Projek melibatkan kos AS$400,000 (RM1.3 juta) itu merupakan yang pertama seumpamanya di Nepal.

Pergelutan filem Cina


ANTARA babak dalam filem Woohoo! yang berjaya mencapai kutipan pecah panggung bagi filem Cina tempatan.


JIKA ada orang luar yang bertanya mengenai filem tempatan berbahasa Cina yang anda sukai, rasanya apakah jawapan anda? Ironinya, penulis percaya, ramai yang mempunyai jawapan yang sama - tidak tahu atau tidak ada.

Senario itu terjadi atas gabungan pelbagai faktor sehingga menyebabkan industri perfileman Cina tempatan bagaikan tidak wujud sama sekali. Kekurangan bilangan pengarah, produk, penajaan, pelaburan serta sokongan, arena seni itu dilihat seperti tiada harapan untuk bangkit.

Kira sahaja dalam masa sedekad ini, berapa banyak filem Cina tempatan komersial atau indie yang dihasilkan dan berapa yang kita tontoni atau ketahui. Bukan sukar untuk membuat perhitungan kerana jumlahnya tidak banyak. Namun, tidak ada pihak tertentu yang boleh disalahkan atas kekurangan itu.

Ini kerana pergerakan dan perkembangan industri perfileman bergerak sejajar antara pembikin filem dan penonton. Jika tidak ada penghasilan karya yang meyakinkan, penonton tidak akan membuang duit serta menghabiskan masa di dalam pawagam.

Sama juga, jika penonton mempunyai pemikiran skeptikal terhadap filem tempatan (yang selalunya berlaku), pembikin filem tidak mungkin akan berupaya untuk meneruskan perjuangan tanpa sokongan pelaburan terutama selepas melihat catatan kutipan tiket pawagam.

Peluang harus diberi kerana masalah itu membuatkan ramai orang berundur apabila ada pengarah yang mahu menghasilkan filem menggunakan bahasa Cina. Namun, bukan semua pihak yang mahukan sisa-sisa perfileman Cina tempatan yang masih ada itu daripada pupus selama-lamanya.

Astro Shaw, subsidari stesen televisyen berbayar, Astro mengorak langkah yang tidak mahu dimulakan oleh pembikin filem lain dengan menerbitkan sebuah naskhah Cina bercorak komedi dan keluarga, Woohoo! sempena sambutan Tahun Baru Cina lalu.

Idea tersebut lahir dua tahun lalu kerana pihak Astro Shaw percaya negara kita juga mempunyai bakat tersendiri. Cuma ketika itu tidak ada isi kandungan yang cukup berkualiti untuk melahirkan sebuah karya bertaraf filem.

"Berdasarkan kejayaan program countdown Tahun Baru Cina terbitan Astro, kami mula sedar bahawa penonton juga meminati produksi tempatan yang dekat dengan hati mereka. Jadi kami fikir ini adalah masa yang sesuai untuk menerbitkan filem Cina serta memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan.


PENGARAH dan penerbit Woohoo!, Chiu Keng Guan.


"Selain daripada krew tempatan, kami juga menggunakan pelakon tempatan dari Astro serta stesen radio MyFM. Percaya atau tidak, hampir 90 peratus pelakon yang terlibat dalam filem ini sebenarnya tidak pernah berlakon," kata Pengarah dan Penerbit Woohoo!, Chui Keng Guan ketika ditemui di Astro, baru-baru ini.

Menelan kos RM2 juta, Woohoo! boleh diklasifikasikan sebagai filem Cina komersial pertama negara dan berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM4.1 juta. Satu angka yang tidak pernah dijangka oleh mana-mana pihak termasuk pihak penerbit.

Pecah panggung

Filem yang ditayangkan bermula 14 Januari selama sembilan minggu itu berjaya kerana mampu menarik audiens daripada pelbagai peringkat umur dan mereka yang telah lama tidak bertapak di pawagam untuk bersama membanjiri kerusi layar perak.

"Kami tidak pernah terfikir Woohoo! akan mencatat kejayaan sebegitu. Malah, tidak ada orang yang fikir kami akan mencecah angka RM1 juta. Para pengedar hanya mengharapkan kutipan RM500,000 dan menyatakan jika ia mencecah RM1 juta, maka ia satu keajaiban. Rasanya Woohoo! berjaya kerana menonjolkan inti pati tempatan," ujar Keng Guan, 38.

Pihak Astro Shaw sedar mengapa ramai yang menyatakan RM1 juta itu sukar untuk dicapai. Berdasarkan sejarah filem-filem Cina tempatan yang lain, karya Seed Of Darkness (2006) arahan Michael Chuah merupakan juara dengan kutipan tidak melebihi RM1 juta.

Filem Kinta (2008) arahan CL Hor pula tidak berupaya mencapai kutipan RM500,000. Purata filem-filem Cina yang lain pula hanya berada di paras RM200,000.

"Bagi saya, tindakan Astro Shaw merupakan satu platform yang boleh dijadikan contoh kepada pihak lain untuk memulakan trend pembikinan filem Bahasa Cina. Respons yang diterima membuktikan satu permulaan yang bagus untuk meyakinkan pembikin lain bahawa filem Cina tempatan sebenarnya mempunyai harapan.


BUDAYA makan besar masyarakat Cina turut dipertontonkan.


"Namun, saya tahu dengan hanya sebuah filem sahaja ia tidak boleh mengubah industri sekelip mata. Proses ini perlu dilakukan berterusan dan pada permulaannya ia agak sukar," jelasnya yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam industri.

Hambatan yang dihadapi juga termasuk kesukaran untuk mendapat slot tayangan di pawagam sehingga menjejaskan jumlah kutipan. Filem Woohoo! contohnya hanya ditayangkan lebih 10 pawagam pada permulaannya dan kemudian meningkat kepada 31 pawagam.

Bagaimanapun, karya itu tidak berjaya menembusi pasaran Malaysia Timursehingga mendapat permintaan ramai menerusi laman sosial, Facebook. Pada minggu kedua tayangan, jumlah pawagam yang menyokong meningkat kepada 38 buah.

"Kami tidak menyalahkan pihak pawagam kerana melihat kutipan filem Cina tempatan sebelum ini, mereka tidak mahu menanggung risiko. Jadi seperti filem lain, kami hanya menandatangani kontrak tayangan selama dua minggu.

"Sesebuah filem itu hanya akan diteruskan tayangan berdasarkan sambutannya dan kontrak itu akan disain setiap minggu pada hari Isnin. Kami amat gementar pada setiap Isnin tetapi berjaya menandatangani sebanyak lapan kali lagi," ujarnya yang merupakan pelajar di Akademi Filem Beijing, China.

Jelas Keng Guan lagi, filem mereka itu tidak berjaya mendapat slot pada Tahun Baru Cina kerana telah dikosongkan untuk filem luar. Maka, Woohoo! terpaksa ditayang sebulan sebelum perayaan tersebut. Namun, mereka bernasib baik kerana mampu bertahan sehingga selepas Tahun Baru Cina.

Menariknya, Woohoo! berjaya mengatasi filem Tahun Baru Cina dari Hong Kong, All's Well, Ends Well 2010 dan 14 Blades dari segi kutipan tempatan. Malah keuntungan yang diperolehi hampir sama dengan filem Spy Next Door lakonan Jackie Chan yang ditayangkan pada masa sama.

"Perlu diingatkan, filem Spy Next Door ditayangkan di lebih 60 pawagam dan disasarkan kepada audiens umum. Namun, ia hanya berjaya mengutip kira-kira RM4.3 juta. Itu juga antara masalahnya kerana jumlah pawagam yang ditawarkan untuk filem tempatan terhad dan dewan yang diberikan pula kecil. Kami percaya jika Woohoo! diberi dewan tayangan lebih besar, kutipannya akan melebihi RM4.1 juta."

Ujian positif


MEMAPARKAN kisah yang dekat dengan masyarakat, Woohoo! berjaya menarik pelbagai golongan menonton filem ini.


Menyifatkan Woohoo! sebagai satu ujian yang berjaya, peruntukan kerajaan juga memainkan peranan prima bagi memupuk pengarah baru untuk memberanikan diri menghasilkan filem. Skrip yang bagus juga menjadi ucaptama dalam menyakinkan pelabur.

Selain daripada itu, anugerah serta pengiktirafan (terutama dari negara luar) juga membuka minda pelabur serta penonton untuk menyokong produk pengarah tersebut. Cuma, ia sedikit sebanyak 'menolak' pengarah kepada pembikinan karya artistik berbanding komersial.

"Arena perfileman indie sebenarnya satu perkara yang positif terutama bagi pendatang baru. Dengan penerimaan anugerah, lebih ramai orang akan mengenali mereka yang memudahkan pinjaman atau penajaan serta pelaburan.

"Orang kreatif seperti pembikin filem indie juga penting dalam memperkenalkan industri kita kepada dunia luar. Tapi mereka tidak boleh terus kekal lama dalam dunia indie yang tidak begitu diterima penonton secara umum," tambahnya.

Woohoo! dirakamkan di Kampung Berserah, Kuantan selama 30 hari pada September lalu dengan penggunaan 70 krew dan 40 pelakon. Menggunakan masa 10 bulan untuk disiapkan, proses pasca produksi pula disempurnakan di studio Gaya, Shah Alam berbanding pembikin lain yang lebih menggemari studio di Thailand.

"Walaupun filem ini melibatkan bajet rendah, tapi kami mementingkan kualitinya. Kami melawat Henan, China hanya untuk menjalankan penyelidikan mengenai tarian harimau yang sudah berusia 200 tahun. Saya juga menunggu awan untuk bergerak pada posisi yang dikehendaki dalam satu babak selama setengah jam.

"Benda-benda kecil itu mampu memberikan perbezaan kepada hasilnya. Terbukti kesungguhan saya berbaloi kerana para pengedar sedang berbincang untuk mengedarkan filem ini ke negara luar. Malah cakera padat cetak rompak filem ini sudah dijual di New York dan merupakan jualan hangat di Guangzhou, China," ujarnya mengenai filem yang sudah dijual dalam bentuk cakera padat digital.

Rekod kesihatan peribadi elektronik


DIBINA dalam saiz kad kredit, rekod kesihatan anda disimpan dalam peranti USB.


PERASAAN runsing adalah lumrah bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan lebih-lebih lagi jika perlu melancong ke luar negara. Masakan tidak, rekod perubatan sedia ada perlu sentiasa dibawa sebagai persediaan sekiranya perlu menjalani rawatan ketika berada di negara asing.

Semuanya perlu lengkap kerana maklumat itu akan memudahkan sebarang tindakan atau keputusan dalam pemberian rawatan. Bukan sahaja memudahkan pengamal perubatan yang bertugas, maklumat itu juga penting demi keselamatan pesakit yang hendak menerima layanan medikal.

Secara praktikal, rekod sejarah perubatan individu yang selama ini disimpan pihak hospital, sepatutnya disimpan juga oleh setiap orang. Maka, cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan kad elektronik yang mengandungi semua maklumat lengkap berkaitan latar kesihatan diri.

Menyedari hakikat tersebut, Malaysia Healthcare (MHC) yang merupakan penyedia pelancongan kesihatan di Malaysia mengambil inisiatif memperkenalkan kad Rekod Kesihatan Elektronik Peribadi (iPHER) bagi memudahkan urusan rekod kesihatan pesakit dengan pihak hospital.

Saiznya sama seperti kad kredit biasa tetapi dilengkapi kemudahan peranti USB. Dalam keadaan yang memerlukan individu itu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan atau rawatan kecemasan, kad yang menyimpan data klinikal tersebut adalah tanda pengenalan awal.

Ketua Pegawai Eksekutif MHC, Suresh Ponnudurai berkata, melalui iPHER, semua rekod perubatan peribadi boleh diperoleh segera apabila mereka menjalani rawatan di hospital di dalam atau di luar negara.


SEBARANG rawatan kecemasan memerlukan maklumat kesihatan dan latar belakang pesakit disemak terlebih dahulu. - Gambar hiasan.


"iPHER bukan seperti kad biasa kerana ia mempunyai ciri-ciri keselamatan yang ketat seperti kata laluan yang hanya boleh diakses pemiliknya dan mempunyai kapasiti memori sebanyak lapan gigabit.

"Pemiliknya boleh menyimpan rekod kesihatannya setiap kali berkunjung ke hospital terus daripada komputer kerana ia mempunyai sambungan USB dan boleh di akses di setiap komputer," katanya.

Justeru katanya, dengan iPHER, pesakit tidak perlu lagi membawa segala rekod perubatan ketika menjalani rawatan di luar negara. Mereka juga bebas berkunjung ke destinasi idaman biarpun dalam keadaan kesihatan kurang baik yang memerlukan rujukan di klinik atau hospital.

Simpanan maklumat

"iPHER mampu merekodkan pelbagai data antaranya rekod imbasan sinar-X, preskripsi perubatan, ujian makmal, imunisasi, imej digital, rekod pergigian, penjagaan mata dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Apabila seseorang pesakit mempunyai rekod kesihatan elektronik, proses pemeriksaan kesihatan di mana-mana hospital menjadi lebih cepat dan efisien," jelas Suresh.

Tambahnya, rekod kesihatan digital berkenaan telah digunakan di Amerika Syarikat sejak tiga tahun lalu selain di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Ia juga bakal dilancarkan di Brazil tidak lama lagi.

Sebagai kemudahan pemahaman, maklumat dalam kad itu diterjemah ke dalam pelbagai versi bahasa seperti Inggeris, Sepanyol, Portugal, Arab, China, Jerman dan Perancis.


REKOD kesihatan elektronik juga membantu pesakit kecil kerana mereka tidak dapat menerangkan penyakit mereka secara tepat.


Katanya lagi, tidak seperti model lain dalam pasaran, tiada perisian khas diperlukan untuk melihat rekod yang disimpan dan ia boleh digunakan untuk semua sistem operasi Microsoft dan sambungan USB.

"iPHER adalah penyelesaian lengkap yang membolehkan pelancong perubatan membawa rekod perubatannya sendiri dalam format digital untuk mendapatkan rawatan di mana sahaja di seluruh dunia.

"Kemudian, dengan data baru yang diperoleh dari tempat rawatan berkenaan, mereka boleh menyambung rawatan dengan doktor masing-masing selepas pulang ke negara asal," jelasnya.

Tambah beliau, selain faedah tersebut, elemen asas bagi produk iPHER adalah sebagai satu langkah ke arah masa depan yang membentuk sistem penyimpanan, pengurusan dan penyampaian maklumat kesihatan peribadi yang tepat dan boleh digunakan di seluruh dunia.

"Sebagai trend global iaitu sentiasa bergerak ke hadapan ke arah pendigitan maklumat perubatan, hasrat kami adalah untuk membawa penjagaan kesihatan di Malaysia ke satu tahap lebih tinggi.

"Pengenalan iPHER amat bertepatan bagi memenuhi hasrat ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Patient Practitioners, LLC - USA berkata, adalah penting untuk setiap individu mempunyai kawalan ke atas kesihatan mereka sendiri.


SESEORANG mungkin tidak lagi perlu membawa ubat-ubatan yang berlebihan ketika melancong ke negara asing.


"iPHER menawarkan kemudahan daripada bebanan rekod-rekod perubatan sedia ada tetapi dalam masa sama membenarkan mereka untuk menguruskan kesihatan mereka sendiri.

"iPHER dibangunkan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2006 di Patient Practitioners dan telah menerima Anugerah Gabenor bagi Kepelbagaian Perniagaan untuk inovasi," katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan ekonomi Malaysia tahun 2009/2010, pelancongan kesihatan dijangka menyumbang sebanyak RM330 juta bagi pendapatan dalam negara.

Ia ekoran peningkatan jumlah pesakit luar negara sebanyak 430,000 tahun lalu. Pelancong perubatan juga meningkat sepuluh kali ganda sejak 1998 iaitu sebanyak 374,063 sehingga tahun 2008.

Ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan dalam negara yang memberangsangkan iaitu RM14.1 juta kepada RM299.1 juta bagi tempoh yang sama.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan iPHER boleh mendaftar di www.malaysiahealthcare.com atau menghubungi 03-2719 5582 untuk maklumat lanjut.