Wednesday, March 31, 2010

Peniaga dakwa ditipu deejay radio


SEORANG mangsa, Seri khairunnisa menunjukkan tapak bazar Ramadan yang dijanjikan oleh deejay Isma Halil Hamzah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur tahun lalu.


KUALA LUMPUR - Seramai 47 peniaga mendakwa kerugian RM105,000 ekoran kegagalan deejay radio, Isma Halil Hamzah menyediakan tapak bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini tahun lalu.

Bagaimanapun mereka gagal menjalankan perniagaan kerana deejay itu gagal menyediakan tapak tersebut seminggu sebelum Ramadan.

MEB tingkat pendapatan rakyat


NAJIB ketika berucap mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan mengubah ekonomi Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif serta berada pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, MEB akan menghasilkan manfaat bagi semua rakyat Malaysia di mana pendapatan per kapita boleh meningkat kepada RM48,997 (AS$15,000) menjelang akhir dekad daripada RM22,865 (AS$7,000) seorang kini.

Mayat janin dalam balang gula-gula


JANIN bayi yang ditemui dalam balang gula-gula di Jinjang Utara, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Meskipun kejadian buang bayi banyak dipaparkan di akhbar akhir-akhir ini, namun ia masih tidak memberi keinsafan kepada si pelakunya.

Kelmarin, mayat janin perempuan berusia antara tiga hingga empat bulan yang masih bertali pusat ditemui di hadapan Tokong Foo Yan di Jinjang Utara di sini.

Mayat tersebut ditemui disumbat di dalam balang gula-gula setinggi 0.1 meter oleh seorang pengawal keselamatan, M. Joseph, 33, pada pukul 11.30 malam.

Lebih 100 bilik pelacur dimusnah


SEBAHAGIAN daripada lebih 100 bilik untuk tujuan pelacuran dirobohkan oleh kakitangan DBKL di Brickfields semalam.


KUALA LUMPUR - Meskipun telah diserbu empat kali sejak 2007, 18 premis yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar Brickfields di sini tidak serik dan terus menjalankan operasi.

Dalam operasi bersepadu terbaru pagi semalam oleh beberapa jabatan kerajaan, pihak berkuasa bertindak merampas pelbagai kemudahan di premis terbabit dan memecahkan sekatan-sekatan yang dijadikan lebih 100 bilik untuk tujuan pelacuran.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rolan Abd. Rahman berkata kali terakhir premis itu diserbu adalah pada pertengahan tahun lalu.

"Dalam operasi hari ini (semalam) kami merampas kemudahan-kemudahan yang terdapat di premis itu seperti televisyen, kipas dan tilam," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Operasi itu melibatkan DBKL, polis, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

Bekalan air dan elektrik ke premis terbabit dipotong oleh Syabas dan TNB.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana operasi semalam itu telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada penyewa premis terbabit.

"Kita beri notis kepada mereka kerana ini arahan daripada Datuk Bandar, Datuk Ahmad Fuad Ismail sebab penyewa membina sekatan untuk dijadikan beberapa bilik dan juga menggunakan premis itu untuk tujuan yang tidak dibenarkan," katanya.

Rolan berkata, pihaknya akan mengesan pemilik premis terbabit untuk menasihatkan mereka agar menyewakan premis bagi tujuan perniagaan lain dan bukannya untuk pelacuran.

'Keldai' dadah Jepun didakwa


MARIKO diiringi keluar selepas mengaku tidak bersalah mengedar syabu di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seorang bekas jururawat warga Jepun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan mengedar 3.49 kilogram (kg) syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini tahun lalu.

Tertuduh, Mariko Takeuchi, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Jepun.

Malek Noor bergelar Datuk


MALEK NOOR bersama Ella selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang semalam.


PEKAN - Bekas juara bina badan Asia, Malek Noor semalam dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun hari keputeraan ke-79 Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober lepas.

Malek atau nama sebenarnya Abdul Malek Mohd. Noor merupakan antara 57 penerima DIMP dalam istiadat yang disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini.

Ramai pelajar tersingkir awal

KOTA BHARU - Pos Malaysia Berhad mengesan sebahagian besar daripada kira-kira 120,000 pelajar yang menyertai Pertandingan Menulis Surat Kepada Perdana Menteri yang diadakan baru-baru ini, tidak memahami teknik penulisan surat.

Pengerusi Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Tan Sri Aseh Che Mat berkata, pihaknya bimbang jika masalah itu berpunca daripada ledakan teknologi siber termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) menyebabkan generasi muda hari ini gagal menguasai teknik dan gaya penulisan surat dengan betul.

"Selepas pertandingan dilanjutkan tarikh tutup pada 19 Mac lalu, kita menerima tambahan penyertaan sehingga melebihi sasaran sebenar 100,000.

"Namun begitu, sebahagian besar penyertaan itu tidak menepati format penulisan surat yang telah ditetapkan oleh Pos Malaysia.

"Kemungkinan kecanggihan teknologi yang tertumpu kepada SMS menyebabkan ramai yang tidak mahir lagi menulis surat dan terlupa caranya," kata beliau selepas melancarkan Mentor Protege dan Laman Web Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas serta Anugerah Juara 2009 di sini semalam.

Beliau berkata, tindakan tertentu mungkin boleh diambil bagi mengatasi kelemahan yang berlaku agar tidak berulang pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Pos Malaysia, Datuk Rohaiza Hashim ketika dihubungi berkata, pihaknya melakukan proses penapisan dan penyingkiran terhadap penyertaan yang tidak mengikut format ditetapkan.

"Proses pengadilan sebenar akan dilakukan oleh 28 orang profesional dari Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pelajaran," katanya.