Friday, January 1, 2010

Menjejaki juara AF8


Azlin Reza Azmi (tengah) bersama barisan juri yang terlibat dalam sesi ujibakat AF8 yang bakal bermula pada 9 Januari ini.


SEJAK diperkenalkan sekitar pertengahan tahun 2003, rancangan pertandingan realiti berkonsepkan nyanyian, Akademi Fantasia (AF) sehingga kini bertali arus menerima ribuan penyertaan di peringkat ujibakat.

Dan setelah tujuh tahun berturut-turut dihidangkan kepada penonton, nama-nama seperti Vince (AF1), Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5), Stacy (AF6) dan Hafiz (AF7) adalah nama-nama yang berjaya diangkat sebagai juara.

Benar, populariti rancangan yang membuka ruang kepada peserta dalam lingkungan usia 18 hingga 45 tahun itu sukar digugat.

Berbeza dengan pertandingan realiti lain, peruntukan masa selama tiga bulan, AF menyediakan platform buat pesertanya dari pelbagai aspek, bukan sahaja sebagai penyanyi malah sebagai penghibur serba boleh.

Daripada aspek pengetua, tenaga pengajar malah, pengisian pembelajarannya jika diperhatikan ada sahaja pembaharuan yang dilakukan saban tahun.

Biarpun impak rancangan itu dikatakan semakin suram, namun, pihak Astro masih lagi menaruh kepercayaan terhadap rancangan yang menjadi kegemaran generasi muda itu.

Untuk ke sekian kalinya, Astro meneruskan tradisi penganjuran pertandingan itu untuk musim kelapan dan tanggal 9 Januari ini bermulalah sesi jelajah dalam menjejaki sang juara untuk musim kali ini.

Lima lokasi pencarian yang telah ditetapkan ialah Stadium Nasional Bukit Jalil (9 dan 10 Januari); The Zon, Johor Bahru (16 dan 17 Januari); Redbox Gurney, Plaza Gurney, Pulau Pinang (16 dan 17 Januari); Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah (22 hingga 24 Januari); Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak (23 dan 24 Januari) dan bakal kembali semula ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 dan 31 Januari ini.

bakat-bakat baru

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi pada sidang media permulaan ujibakat AF8 baru-baru ini memberitahu, selain menyemarakkan lagi industri seni tanah air, ia turut memberi ruang kepada bakat-bakat baru menyerlahkan lagi kebolehan mereka sebagai penghibur.

"Fokus pencarian kali ini ialah kami mencari penghibur di mana kita melihat Akademi Fantasia sendiri sebenarnya bukanlah hanya pertandingan nyanyian," katanya.

Tambah Azlin, artis tanah air masih juga terbuka untuk menyertai rancangan tersebut selagi tidak terikat dengan mana-mana kontrak mahupun perjanjian dengan mana-mana syarikat rakaman.

Masih lagi terbuka kepada mereka yang berusia antara 18 hingga 45 tahun, seperti tahun lalu, penyertaan diperluaskan lagi kepada mereka yang berasal daripada Kota Singa.

Lagu-lagu yang disenaraikan untuk peserta wanita termasuklah Gagap (Stacy), Jika Kau Ubah Fikiran (Mila), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah), Dan Sebenarnya (Yuna), Di Taman Teman (Datuk Siti Nurhaliza) dan sebuah lagu Inggeris, When You're Gone (Avril Lavigne).

Sementara lagu-lagu yang di senaraikan untuk peserta lelaki ialah Situasi yang dipopularkan oleh Bunkface, Hujan (Allahyarham Sudirman Arshad), Ada Untukmu (Nubhan), Berdendang Dalam Tangisan (Jamal Abdillah), Fikirlah (Aizat) dan I'm Yours oleh Jason Mraz.

Kaunter pendaftaran dibuka daripada pukul 9 pagi hingga 1 petang.

Azlin turut mengingatkan agar para peserta ujibakat melayari laman sesawang www.astro.com.my/akademifantasia untuk mengetahui maklumat lanjut tentang ujibakat yang diadakan.

Peserta ujibakat juga diingatkan supaya menyediakan dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) serta salinan kad pengenalan.

Pada peringkat ujibakat, para peserta perlu melepasi tiga pusingan saringan sebelum disenarai pendek.

Tiga juri berpengalaman, Syafizawati Shariff (Cikgu Syafie), Fairus Hussin dan Deja Moss bakal bergilir-gilir dalam menilai mutu vokal dan kebolehan peserta melantun suara sepanjang berlangsung sesi ujibakat yang diadakan.

Tidak ketinggalan, juri lain yang terlibat sepanjang berlangsungnya sesi ujibakat ialah Lah VE, Ahmad Fadzli Yaakob (Dr. Fazley), Azahari Othman (Dr. Luv), Shaiful Rizal Kamarudin dan Shahrul Bahari.

Sementara itu, Cikgu Syafie ketika ditemui pada majlis yang sama memberitahu, selain vokal kesedaran sivik di kalangan peserta turut dinilai dalam memperlihatkan kesungguhan peserta untuk mengasah bakat mereka sebagai penghibur yang disegani.

Empat tahun terlibat sebagai tenaga pengajar AF, malah seringkali menggalas tanggungjawab besar sebagai juri pada sesi ujibakat, Syafie tentu sahaja menyimpan pengalaman tersendiri sepanjang sesi ujibakat berlangsung.

"Apa yang boleh saya katakan, selalunya hampir setiap kali sesi ujibakat diadakan, muka-muka yang sama sahaja yang hadir untuk mencuba nasib.

"Kalau boleh tahun ini saya mahu melihat wajah-wajah baru yang betul-betul mempunyai bakat dan kesungguhan dalam bidang nyanyian termasuk lepasan SPM.

"Apa yang boleh saya nasihatkan agar para peserta hadir dengan pakaian yang bersesuaian dengan imej yang ingin ditonjolkan serta bersesuaian dengan lagu.

"Kita tidak mahu mencari peserta yang berimej sama seperti Mawi ataupun Stacy pada ujibakat itu nanti.

"Jika peserta mempunyai kemampuan atau kebolehan tersendiri seperti bermain muzik dan sebagainya boleh dipersembahkan pada sesi ujibakat itu nanti," kata Syafie.

Tambah Syafie, peserta juga perlu bersedia dengan lima lagu pelbagai genre termasuk lagu Inggeris untuk dinyanyikan secara acapella sebagai persediaan.

Sebuah persembahan pentas istimewa akan diadakan bagi menghangatkan lagi sesi ujibakat yang berlangsung di Johor pada 16 dan 17 Januari nanti.

Antara artis yang terlibat termasuklah Mawi, Hafiz, Aishah, Yazid dan Isma.

Prism telus agihkan royalti


ONG Peng Chu menunjukkan surat pekeliling yang diedarkan berhubung cara dan jumlah pengagihan royalti Prism kepada ahli-ahlinya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


DI KALA ada segelintir penyanyi yang kurang faham dengan cara kutipan dan pengagihan bayaran royalti atas penggunaan lagu-lagu nyanyian mereka di tempat-tempat awam, syarikat pengutip royalti Persembahan dan Hak Artis Sdn. Bhd. (Prism) pula yang dipersalahkan.

Menurut Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu beliau kesal apabila Prism yang diuruskannya itu dituduh tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diberi kepada ahli-ahlinya sejak beroperasi kira-kira sembilan tahun lalu.

Katanya, ramai penyanyi dan pemuzik yang bukan sahaja tidak faham dengan cara Prism beroperasi, malah mereka juga tidak mahu datang berjumpa wakil-wakil syarikat itu bagi menjelaskan hak-hak serta bayaran royalti yang sepatutnya mereka terima sebagai ahli syarikat tersebut.

"Pejabat Prism sentiasa terbuka pada waktu pejabat. Mereka (ahli Prism) boleh datang dan kami akan terangkan apa juga yang mereka tidak faham tentang pengagihan royalti yang telah dikutip. "Sehingga kini ada 80 cek royalti ahli-ahli Prism yang belum dituntut. Sebab itu mereka tidak tahu berapakah jumlah royalti yang mereka terima," katanya ketika ditemui Hits di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebagai rekod kata Peng Chu, Prism mula mengutip RM100,000 royalti karya ahli-ahlinya yang dimainkan di tempat-tempat awam seperti pusat-pusat hiburan di mana ia telah pun diagih-agihkan kepada ahli-ahlinya.

Malah, beliau turut menafikan dakwaan segelintir artis yang mengatakan mereka tidak tahu cara kutipan serta pengagihan royalti yang telah dilakukan oleh Prism sehingga timbulnya salah faham.

Sebagai contohnya, kes Mawi yang dikatakan hanya menerima RM320 hingga RM400 selepas menjadi ahli syarikat itu sejak hampir empat tahun lalu. Begitu juga dengan Dayang Nurfaizah yang pada mulanya mengalami masalah hampir sama dengan juara Akademi Fantasia 3 itu.

"Kes yang dihadapi oleh Mawi dan Dayang Nurfaizah itu sudah selesai selepas kami menerangkan kepada mereka secara terperinci bagaimana kutipan dan pengagihan royalti lagu-lagu nyanyian mereka dikira oleh Prism.

"Setiap ahli Prism yang berdaftar dan lagu-lagu mereka telah disiarkan di tempat-tempat awam, mereka pasti akan mendapat royalti. Jumlahnya pula bergantung kepada bilangan lagu yang telah didaftarkan dan juga kekerapan ia disiarkan di tempat-tempat awam.

"Setiap tahun kutipan royalti yang kami dapat kumpulkan turut mencatat jumlah yang amat membanggakan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Misalnya, untuk kutipan bagi tahun 2006 kami mengutip sebanyak RM375,419," ujarnya.

Beliau juga terkilan dengan dakwaan segelintir artis kononnya mereka tidak tahu cara-cara Prism melakukan kutipan dan pengagihan royalti yang diterima sejak menjadi ahli syarikat tersebut.

"Setiap tahun kami telah mengedarkan penyata jumlah kutipan dan bayaran royalti yang diterima oleh ahli-ahli Prism. Kalau tidak faham datanglah berjumpa kami dan kami akan terangkan," katanya lagi sambil menunjukkan penyata tahunan, jumlah dan bayaran royalti yang dimaksudkannya pada petang itu.

Sehubungan itu, Peng Chu berharap jika ada kalangan penyanyi atau pemuzik yang ingin mendapat sebarang penjelasan lanjut tentang perkara itu atau mahu mengetahui jumlah royalti mereka bolehlah hubungi talian 03-40448299.

BDB imbau nostalgia lama


Walaupun usia mereka melebihi 50an, Black Dog Bone tetap hebat.


WALAUPUN penyanyi utamanya, Jatt mengalami sakit tekak, persembahan Black Dog Bone (BDB) pada Konsert Sumbangsih BDB di Dataran Tanjung Karang, Selangor malam Sabtu lalu tidak mengecewakan.

Dengan disaksikan kira-kira 3,000 penonton terdiri daripada warga Tanjung Karang, Jatt dan BDB berjaya mencuri perhatian para penonton yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Memulakan persembahan dengan lagu hitsnya, Malam Kenangan diikuti Si Gadis Ayu dan Zai, BDB membuktikan mereka masih ramai peminat tidak kira di bandar mahu pun di kampung.

"Memang kami dah lama tidak menyanyi di kampung-kampung tapi bukan bererti kami tak biasa. Pada tahun 70-an dulu di pekan dan kampunglah tempat kami menunjukkan bakat.

"Persembahan malam ini seperti mengimbau nostalgia kami semasa zaman muda-muda dulu. Terima kasih kepada semua peminat dan penganjur yang sudi mengundang kami," kata Jatt sambil memberitahu ini kali pertama beliau dan BDB membuat persembahan di Tanjung Karang.

Mengakui bimbang sakit tekak yang dialami bakal mengganggu persembahannya, Jatt sempat menelan beberapa botol air cap badak untuk menyejukkan tekak sebelum naik ke pentas membuat persembahan.

Dengan mendendangkan lebih 20 buah lagu secara bergilir-gilir dengan anggota kumpulannya, kebijakan Jatt berkomunikasi dengan para peminat berjaya menyembunyikan sakit tekak yang dialaminya.

"Minta maaf malam ini saya sakit tekak. Sebenarnya saya tidak cukup tidur dan rehat kerana setiap Isnin hingga Jumaat kami ada persembahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Tapi saya dan BDB akan mengadakan persembahan sehabis baik apalagi konsert malam ini juga untuk membantu orang kurang upaya (OKU) dan mangsa gempa bumi Padang, Indonesia," jelas Jatt yang nyata menunaikan janjinya sewaktu di atas pentas.

Tambah Jatt, ini adalah kali ketiga pada tahun ini, BDB mengadakan konsert di Malaysia selepas di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Ujarnya, selepas ini BDB akan membuat persiapan untuk konsert di Singapura yang dijangka berlangsung 6 Mac depan.

Selain Jatt, anggota BDB yang membuat persembahan ialah Ishhar (gitar dan vokalis), Michael Heng (keyboard), James Chai (saksafon), Masron Ali (trumpet dan vokalis) serta Hamid Ahmad (gitar) dibantu Danny (trumpet), Sugito (konga) dan komposer terkenal, S. Atan (keyboard).

Persembahan BDB yang berlangsung selama hampir dua jam diakhiri dengan lagu, Khayalan dan Dulu dan Sekarang.

Terdahulu sebelum BDB membuat persembahan, para penonton dihiburkan dengan persembahan artis Puspanada yang menampilkan penyanyi jelmaan A. Ramli, iaitu A. Rozaini dan rakan duetnya, Syafa serta penyanyi kumpulan nasyid terkenal 70-an, Hidayah, Rohayah Mohd. Taib.

Memikat

Sementara itu, penaung program, Datuk Mohamad Shafie Asnawi berkata, kehadiran BDB menyampaikan lagu-lagu nostalgia berjaya memikat para penonton yang terdiri daripada warga Tanjung Karang dan jemputan khas, warga OKU di kawasan itu.

"Kami memilih BDB kerana muzik mereka sesuai dengan konsep program, apalagi para penonton yang hadir juga terdiri daripada pelbagai usia.

"Terima kasih juga kepada penonton yang sudi menghulurkan derma yang kutipannya mencecah RM6,000," kata beliau sambil memberitahu Puspanada turut memberikan CD percuma A. Rozaini kepada penderma yang menyumbang lebih RM20 sebagai cenderamata.

Kemuncak program itu ialah acara cabutan bertuah dan beberapa penderma terpilih telah memenangi hamper dan seorang penderma bertuah iaitu Abdul Kadir Misradi, 17, memenangi sebuah motosikal jenis Honda Wave.

Azam karyawan seni 2010


Harun Salim Bachik


ESOK merupakan hari baru dalam kalendar tahun 2010 yang akan memberi pelbagai makna dalam kehidupan dalam diri setiap individu termasuklah golongan karyawan yang terbabit dalam industri hiburan di negara ini.

Kalangan Ketua Pengarah jabatan kerajaan berkaitan, Pengurus Saluran radio, televisyen, pengarah filem, penyanyi, pemuzik dan pelakon merupakan individu-individu yang terbabit dalam bidang tersebut.

Sempena sambutan tahun baru masehi ke-2010 dan juga tahun baru Hijrah 1431 yang sudah melangkah hari yang ke-15 hari ini, golongan tersebut tidak terkecuali mempunyai azam-azam yang ingin mereka capai pada tahun ini.

Harun Salim Bachik(Presiden Seniman)

“Selepas dipilih menjadi Presiden Seniman (Persatuan Seniman Malaysia) baru-baru ini, azam saya adalah untuk menyatu-padukan ahli-ahli persatuan ini terutamanya antara golongan lama dan muda.

“Ini kerana, saya dapati ramai ahli-ahli Seniman generasi lama yang keluar dewan apabila nama saya diumumkansebagai Presiden Seniman. Bagi saya, ini adalah suatu cabaran buat saya.

“Sebab itu, keutamaan atau azam saya pada tahun ini adalah memberi tumpuan penyatuan di kalangan ahli-ahli Seniman. Apabila semuanya bersatu-padu maka barulah mudah untuk kita menggerakkan semua aktiviti yang akan kita rancang pada masa depan”.