Monday, March 2, 2009

Keluarga 13 beranak hidup merempat dalam hutan


ROSNI mendukung anaknya dalam pondok buruk mereka di hutan dekat Kampung Sepial Lama, Jerantut.


JERANTUT - Siang rimas dengan panas matahari, malam pula berpelukan menahan sejuk dalam pondok buruk yang menjadi rumah mereka di dalam hutan dekat Kampung Sepial Lama di sini sejak tiga bulan lalu.

Itulah derita kehidupan ibu tunggal, Rosni Abdullah, 41, yang tetap nekad menjaga 12 orang anaknya yang berusia antara dua hingga 15 tahun.

Selepas bercerai dengan bekas suaminya yang merupakan seorang penoreh getah, Rosni membawa keluarganya masuk ke dalam hutan setelah tidak mampu menyewa rumah.

Sudahlah tiada bekalan elektrik, untuk mendapatkan air Rosni terpaksa menggali sendiri perigi.

Pondok itu juga dibinanya sendiri daripada sisa kayu dan berdindingkan tikar getah buruk yang lusuh.

Kedudukan rumah itu yang terpencil menyebabkan Rosni terpaksa berjalan sejauh lapan kilometer ke jalan utama Kampung Sepial Lama untuk menaiki bas ke pekan Tembeling. Kini dia bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah gerai di pekan itu dengan gaji RM15 sehari.

"Semasa saya bekerja, anak-anak tinggal di pondok ini bersama adik-beradik. Mereka tak sekolah," ujarnya.

Ketika dia bekerja, anak perempuan sulungnya yang berusia 15 tahun menjaga keluarga. Mereka makan nasi berlaukkan ikan kering setiap hari.

Rosni mendakwa dia ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sebanyak RM70 sebulan sejak beberapa bulan lalu tetapi jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung hidup dia dan anak-anaknya.

AHKB buru AS$1 juta


ABSTRAK Hingga Ke Bulan dianggotai (dari kanan) Zairul Addry Helmy, Norfaizah Ismawi, Mohammad Sofie Abdul Manap dan Mohd. Ikhram Izzazuddin Zainuddin.


SEBAGAI kumpulan pemuzik baru, Abstrak Hingga Ke Bulan (AHKB) boleh berbangga dengan bakat dan kredibiliti yang telah mereka tunjukkan dalam persada muzik tanah air.

Ini kerana, biarpun baru tampil dengan album pertama berjudul Abstrak Hingga Ke Bulan, tetapi mereka telah diberi kepercayaan untuk menggalas nama negara menerusi pertandingan Sutasi.com.

Pertandingan muzik berkumpulan peringkat antarabangsa itu telah mengangkat AHKB bagi mewakili negara yang diadakan di Singapura, baru-baru ini.

Menurut ketua AHKB, Zairul Addry Helmy, 34, jika kumpulannya terpilih mewakili Asia Tenggara, mereka berpeluang bertanding pada peringkat akhir yang akan diadakan di Amerika Syarikat (AS) sebelum hujung tahun ini.

“Keputusannya akan diketahui pada Julai ini. Kalau kami berjaya menewaskan para peserta dari negara-negara Asia Tenggara, kami akan mewakili kawasan ini pada pertandingan akhir itu di AS.

“Juara pertandingan yang menampilkan banyak kumpulan dari seluruh dunia itu akan mendapat hadiah wang tunai AS$1 juta (RM3.6 juta).

“Ini adalah pertandingan muzik peringkat antarabangsa yang pertama pernah kami sertai,” katanya ketika ditemui sebelum sesi fotografi baru-baru ini.

Pada pertandingan yang disertai oleh AHKB itu, mereka telah menyampaikan sebuah lagu Inggeris berjudul When You’re Not There. Lagu itu dipetik daripada album sulung mereka yang berjudul Abstrak Hingga Ke Bulan.

Album terbitan Playerz Sdn. Bhd. yang mengandungi sembilan lagu Melayu dan sebuah lagu Inggeris itu akhirnya berjaya juga berada di pasaran bulan lalu selepas tertangguh selama hampir dua tahun.

Zarul yang juga gitaris AHKB tidak menafikan kelewatan album itu antara lain berpunca daripada masalah dua vokalis wanita kumpulannya yang pernah menarik diri sebelum album tersebut berjaya disiapkan.

“Norfaizah merupakan vokalis wanita ketiga yang menyertai AHKB selepas Yani dan Ezza yang menarik diri kerana sebab-sebab tertentu.

“Saya sejak dari dulu memang menetapkan bahawa kumpulan ini hanya akan disertai oleh penyanyi wanita. Mujurlah tidak lama selepas itu, kami berjaya mendapatkan khidmat Norfaizah sebagai vokalis baru kami,” ujarnya.

Sementara itu, Norfaizah Ismawi, 23, yang ditemui berkata, dia berasa bertuah kerana selepas dua vokalis silih berganti, AHKB memilihnya sebagai vokalis kumpulan tersebut.

Silih berganti

Namun, beliau tidak berani untuk berjanji selama mana dia mampu untuk bersama dengan AHKB memandangkan sebelum ini vokalis wanita yang pernah menyertai kumpulan itu silih berganti.

“Saya serahkan ‘jodoh’ saya dengan AHKB di tangan Tuhan. Bagi saya, apa yang penting mental saya kenalah kuat untuk bermain dalam kumpulan muzik seperti ini.

“Sebelum ini pun, vokalis lama AHKB iaitu Ezza pernah berkata kepada saya ‘good luck’ sejurus selepas dia keluar daripada kumpulan ini,” ujarnya yang meminati suara Gwen Steffani (No Doubt) dan Amy (Search).

Selain Zarul dan Norfaizah, AHKB turut dianggotai oleh Mohd. Ikhram Izzazuddin Zainuddin selaku pemain bass dan Mohammad Sofie Abdul Manap (dram).

Lagu-lagu yang dimuatkan menerusi album pertama mereka itu berjudul Awan Dan Bintang, Menanti, Cinta Ini Milik Kita, Jadi Superstar, When You’re Not There, Cash On Delivery, Ekspresi Batinku, Malam, Misteri Hatiku dan Aku Hanya Transit.

Terima kasih Gusti Putri

TIRAI panggung sudah dilabuhkan dan bermula detik itu, watak yang sudah sebati dalam diri wanita ini kini semakin hari semakin jauh akan ditinggalkan.

Selama hampir tujuh tahun mengabdikan dan membawa dirinya menyelami watak bernama Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumillah ternyata memberikan impak yang cukup besar dalam hidup Datin Seri Tiara Jacquelina.

Bermula dengan filem Puteri Gunung Ledang (PGL) dan kemudiannya legasi itu dibina di atas pentas dengan mempertaruhkan naskhah dalam bentuk teater muzikal (PGLM), sememangnya hidup Tiara hanyalah bertemankan Gusti Putri.

Sudah pasti, apabila mendamba diri kepada watak yang telah memberikan satu kenangan terindah dan termanis dalam diri Tiara, memang agak sukar untuk mengucapkan selamat tinggal.

Malam Ahad lalu, pentas Lambang Sari yang terletak di pentas bertaraf dunia, Istana Budaya menjadi saksi betapa sukarnya Tiara untuk meneruskan watak Gusti Putri.

Apatah lagi, malam itu merupakan malam terakhir pementasan teater muzikal yang disifatkan paling gah yang pernah diterbitkan dalam sejarah teater muzikal di negara ini.

Penonton yang hadir ternyata terkesan dengan emosi yang dilahirkan dari hati tulus Tiara dan sepanjang pementasan pada malam terakhir itu, emosi Tiara benar-benar terusik.

Suaranya ada kalanya kedengaran tersekat-sekat dan kesedihan yang ditanggungnya amat dirasai terutama ketika adegan percintaannya bersama Hang Tuah yang dilakonkan oleh Stephen Rahman-Hughes.

Begitu berat untuk dia melepaskan Gusti Putri dan apa yang pasti, air matanya sudah tidak dapat dibendung lagi daripada terus mengalir.

seribu kepuasan

Bertemu dengan Tiara selepas pementasan berakhir, meskipun riak wajahnya tergambar seribu kepuasan, namun, kesedihan tidak dapat lari untuk terus terbit menerusi kata-katanya.

"Sepanjang tiga musim PGLM berlangsung, inilah harinya yang paling menyentuh perasaan saya. Melihatkan wajah-wajah mereka yang setia bersama saya sejak musim pertama, menjadikan saya begitu berat untuk melangkah pergi.

"Bukan untuk musim ini sahaja, sama seperti dua musim terdahulu, hari terakhir memang merupakan hari yang memperlihatkan air mata masing-masing gugur ke bumi.

"Saya tahu bagaimana perasaan mereka meninggalkan produksi ini kerana kami sudah bagaikan satu keluarga yang besar. Walaupun sedih, tetapi saya puas, kerana musim ini mencatatkan kejayaannya yang tersendiri," kata Tiara dalam nada terharu.

Memang benar. Meskipun ramai yang memperkatakan tentang PGLM musim ketiga ini tetapi, apa yang pasti, musim ini sudah terlakar sejarahnya yang tersendiri.

Selain daripada kemunculan terakhir Tiara sebagai Gusti Putri, PGLM musim ini juga mencatatkan penjualan tiketnya yang laris sebelum tirai hari pertama dibuka kepada penonton.

Bukan itu sahaja, elemen magis dan ilusi yang julung kali ditonjolkan juga berjaya membuka mata ramai pihak serta membuktikan anak tempatan juga mampu menghasilkan sesuatu yang sudah diamalkan dalam pementasan teater muzikal di Barat.

Satu yang pasti kata Tiara, dia mahu melihat cerita cinta agung ini akan terus mekar kerana keindahan hikayat cinta ini begitu indah jikalau tidak dipelihara dengan sebaik-baiknya.

"Saya mengimpikan kisah cinta ini akan mula dibawa ke tadika, sekolah dan seterusnya ke peringkat institusi pengajian tinggi agar mereka kenal khususnya generasi muda hari ini tentang kisah yang telah termaktub dalam sejarah," jelasnya.

Jelas isteri kepada bekas menteri kabinet, Datuk Seri Effendi Norwawi ini lagi, dia berasa puas kerana berjaya memberikan yang terbaik menerusi lakonannya sekali gus meletakkan satu tanda aras baru dalam pementasan teater muzikal di negara ini.

Setidak-tidaknya, Tiara tidak ralat untuk mengucapkan selamat tinggal selama-selamanya kepada Gusti Putri kerana menerusi PGLM, sudah banyak penghargaan yang diraihnya termasuklah mementaskannya di luar negara, sesuatu yang bukan mudah untuk dilakukan.

Tiara sempat diusik penulis adakah kemungkinan besar anak daranya, Hani Karmila bakal menggantikan tempatnya sebagai Gusti Putri,dan jawapan yang diberikan Tiara disulami dengan tawa besarnya.

Maklumlah, ibu dan arwah bapanya, Hani Mohsin merupakan anak seni. Jadi, tidak mustahil bakat seni itu sudah mengalir dalam diri Hani Karmila.

"Entahlah. Tak terfikir pula saya dan tidak pernah pula saya bertanyakan kepadanya. Tapi, rasanya tidak mungkin. Dia pun tidak pernah menunjukkan kecenderungannya ke arah itu," ujar Tiara tersenyum.

PGLM sudah tiga musim dipentaskan dan adakah ini, P. Ramlee the Musical (PRM) juga akan dipentaskan sekali lagi.

"Tengok dulu macam mana. Kena fikirkan tentang keadaan ekonomi semasa juga," katanya ketawa kecil.

Ketika artikel ini ditulis, Tiara masih berada di Mekah selama seminggu bagi menunaikan umrah bersama suami dan keluarga tercinta dan dijangka pulang esok (Selasa).

"Saya mahu menenangkan fikiran dan bercuti sebelum saya meneruskan projek saya yang seterusnya. Belum ada perancangan khusus lagi tetapi beberapa idea sudah ada. Apa yang boleh saya katakan, projek terbaru saya nanti merupakan penantian yang cukup bernilai," katanya memandang penulis penuh makna.

Rentak Dafi dan Shila

MUDA, berbakat dan berkeyakinan adalah antara faktor utama kedua-dua penyanyi ini terpilih untuk menjayakan kempen "Camni-lah!", Coca-cola yang berlangsung selama sebulan bermula 1 Mac hingga 30 April ini.

Baik Shila mahupun Dafi sendiri, peluang yang diberikan oleh Coca-Cola (Coke) umpama 'publisiti' yang diakui bukan kecil impaknya kepada kerjaya mereka.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen tersebut yang diadakan di Hard Rock Cafe, Jalan Sultan Ismail baru-baru ini, kedua-duanya melahirkan perasaan gembira dapat bekerjasama dengan syarikat minuman jenama antarabangsa itu.

"Kami adalah talent yang diberi peluang untuk menjayakan kempen "Camni-lah!" yang bermula pada 1 Mac lalu.

"Bagi saya ini adalah pengalaman yang baik untuk saya kerana dalam masa yang sama dapat bekerjasama dengan Dafi.

"Kempen ini pada dasarnya adalah tentang muzik dan secara tidak langsung, kami boleh dekatkan diri dengan peminat juga," kata Shila.

Sebelum ini, Shila juga mengikat kontrak sebagai duta kepada produk aiskrim terkenal, Cornetto dan Clean And Clear.

Tidak ketinggalan, Shila turut diberi peluang untuk bekerjasama dengan saluran Disney Malaysia dalam projek istimewa siri Hanna Montana versi Melayu.

Menurut Dafi, Coca-Cola merupakan produk keempat yang membawa dirinya sebagai Duta. Sebelum ini, dia bertindak sebagai duta kepada produk kesihatan Brands, Cornetto dan Silky For Men.

Bekerjasama dengan Coca-Cola bagi Dafi adalah perkara yang tidak terfikir olehnya sebelum ini malah, katanya: "Siapa yang tidak suka minum Coke, saya percaya semua orang suka. Ini merupakan peluang yang bukan senang nak dapat. Alhamdulillah, ini adalah rezeki untuk saya dan juga Shila.

"Memang teruja dapat jadi duta pelbagai produk apatah lagi, ini merupakan jenama antarabangsa. Ia juga memberi publisiti kepada kami kerana secara tidak langsung kami berpeluang menyanyikan lagu dan merakamkan klip video untuk kempen ini," kata Dafi.

Lagu yang dimaksudkan ialah Rentak Optimis, ciptaan Adelaine Hoh manakala liriknya oleh Tun Khalidah bakal diadaptasikan sebagai iklan di stesen-stesen televisyen tempatan bermula 1 Mac ini.

Menurut Shila, proses penyiapan klip video Rentak Optimis yang dijalankan sekitar Jaya One, Kuala Lumpur hanya mengambil masa selama dua hari untuk disiapkan.

"Kalau tengok hasilnya memang nampak lain, lokasinya seperti bukan di Jaya One.

"Memang seronok sepanjang proses penyiapan, tiada masalah langsung bekerjasama walaupun terpaksa berpanas sepanjang dua hari penggambaran," kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Memori Tercipta itu lagi.

Sementara itu, Pengurus Jenama Coca-Cola Malaysia, Lin Jo-Yi pada majlis tersebut memberitahu, sepanjang berlangsungnya kempen tersebut, penggemar minuman itu berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk telefon bimbit Nokia 5800 XpressMusic, iPod Nano dan iPod Shuffle.

Malah, hadiah utama yang turut ditawarkan ialah peluang memilih destinasi konsert terkemuka dunia untuk dua pemenang bertuah.

"Hadiah-hadiah yang ditawarkan adalah cara Coke untuk mendekati peminat muzik dan mendorong rakyat Malaysia. Kami cuba terbabit dalam acara tempatan dan global yang mempunyai kesan kepada hidup mereka.

"Kepada mereka yang menjumpai tin Coca-Cola menyanyi sebaik membukanya penutupnya, dengar dengan teliti bagaimana untuk menebus hadiah yang ditawarkan," katanya.

Untuk maklumat dan butiran lanjut, sila layari www.coke.com.my atau menerusi siaran iklan di kaca televisyen.

Zapin nafas generasi baru

KOMEN: Walaupun berada dalam kelompok penyanyi generasi baru, Haziq berjaya mempersembahkan lagu-lagu zapin dengan gaya suaranya yang tersendiri tanpa terikut-ikut dengan penyanyi lama seperti Datuk Ahmad Jais.

Sebaliknya, konsep muzik, gaya nyanyian Haziq serta bunyi rakaman album ini seakan-akan mewakili cita rasa generasi masa kini.

Haziq misalnya, tidak terlalu lemah gemalai dalam mengalunkan lagu-lagu yang kuat lingkaran irama zapin di dalamnya dengan nafas lebih segar.

Album yang turut mengandungi sentuhan irama pop tahun 1960-an bukan setakat sesuai untuk golongan lama tetapi generasi muda juga akan terhibur menikmatinya.

Judul Album: Zapin Nuri

Artis: Haziq

Konsep Muzik: Irama Malaysia

Terbitan: Maestro Records

Angan-angan Mawi di bumi Korea

BERCUTI bulan madu ke Korea Selatan pada 17 hingga 22 Januari lepas memberi kenangan manis buat Mawi dan isteri tercinta, Ekin.

Nama pun bulan madu, sudah tentu banyak perkara indah dilalui mereka sepanjang percutian yang ditaja khas oleh Pertubuhan Pelancongan Korea Selatan itu.

Melawat ke tempat-tempat menarik, ia juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh Mawi dan Ekin atau nama sebenarnya Nora'asikin Rahmat untuk mendalami hati budi antara satu sama lain selepas bergelar suami isteri pada 20 Disember lalu.

Masakan tidak, kehidupan sebelum dan selepas berkahwin pastinya tidak sama dan inilah masanya mereka berkenalan dengan lebih rapat serta berkongsi perihal masing-masing.

Namun begitu, percutian Mawi dan Ekin di Korea Selatan bukan hanya sekadar bulan madu tetapi membuka pintu kepada mereka untuk menerokai peluang menjalankan perniagaan di sana khususnya restoran makanan halal.

Idea untuk membuka restoran tersebut tercetus selepas kedua-dua mereka melalui episod perit mencari makanan halal sepanjang bercuti di negara yang cukup terkenal dengan makanan kimchi itu.

"Memang ada angan-angan untuk membuka restoran Muslim di Korea Selatan kerana memang susah hendak mencari makanan halal.

"Perkara ini sudah saya bincangkan bersama Tourism Malaysia yang beribu pejabat di sana,'' jelas Mawi ketika hadir pada sesi fotografi di studio Utusan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mawi yang ditemani Ekin berkata, angan-angan untuk membuka restoran makanan halal di Korea Selatan juga adalah disebabkan oleh peningkatan kedatangan rakyat Malaysia ke sana saban tahun.

"Agak terkejut jugalah apabila saya diberitahu oleh Tourism Malaysia bahawa tahun lepas sahaja, seramai 80,000 rakyat Malaysia berkunjung ke Korea Selatan.

"Jumlah itu dijangka meningkat. Inilah masanya saya mencari peluang untuk membuka perniagaan di sana,'' jelasnya.

Menurut Mawi, selain perancangan itu, dia dan Ekin juga merancang untuk menguruskan butik busana Muslim yang kini sedang dalam proses mencari lokasi bersesuaian iaitu sama ada di Kuala Lumpur atau Johor Bahru.

Dalam bidang seni pula, karier Mawi masih berkembang dan kini sedang sibuk mempromosikan album baru berjudul Allah Habeebi di samping terlibat dalam menjayakan persembahan di konsert-konsert.

Turut diundang berlakon dalam filem Magika terbitan KRU Studios, ia membuktikan betapa populariti Mawi masih berada di atas biarpun sudah berstatus suami orang.

Mawi juga bakal terlibat untuk program Langkah Mawi World musim kedua pada April nanti dan penggambaran akan dijalankan di Sepanyol serta Australia.

Menariknya, Ekin juga akan bertindak selaku hos jemputan untuk beberapa episod dan ia menjadi detik bulan madu kedua bagi mereka.

Cerita tentang Allah Habeebi

Sementara itu, diajak berbicara tentang Allah Habeebi, Mawi menjelaskan bahawa album yang mula menjalani proses rakaman pada Ogos tahun lalu itu merupakan penyambung kepada album Qasidah yang pernah dilancarkan lebih dua tahun lepas.

Ujar Mawi, untuk Allah Habeebi, album itu telah diproses di New York, Amerika Syarikat dengan kos RM100,000 bagi menghasilkan kualiti bunyi lebih baik.

"Alhamdulillah, ia mendapat sambutan menggalakkan sejak dipasarkan awal bulan ini. Pelancaran album Allah Habeebi pula akan dilakukan tidak lama lagi.

"Sehingga kini, ia telah mencecah jualan sebanyak 10,000 unit.

"Allah Habeebi memuatkan lapan buah lagu dengan dua daripadanya adalah lagu lama yang dinyanyikan semula iaitu Seroja dan Tola'al Badru Alaina,'' katanya.

Lagu-lagu lain yang dimuatkan adalah Allah Habeebi, Hijab, Serulah Namanya, Sujud, Wal-Asri dan Teman Hakiki.

Jelasnya, menerusi album itu, ia merupakan detik pertama kali dia bekerja dengan Farihin selaku penerbit eksekutif album berkenaan dan juga KRU.

"Farihin cukup teliti daripada segi vokal dan sebutan. Begitu juga KRU, kami berduet menyanyikan lagu Sujud.

"Dalam album ini juga, saya turut mencipta lirik untuk lagu Hijab. Ini adalah lagu kedua ciptaan saya. Makan masa dua ke tiga hari juga untuk menyiapkannya,'' katanya.

Apa kata Mawi tentang Mas AF2?

Menginjak ke topik lain, Mawi tidak lepas ditanyakan tentang nasib Mas, bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2) yang dikatakan tertekan kerana kelewatan penghasilan album.

Mawi memberitahu, seniornya itu perlu bersabar kerana ini adalah sebahagian daripada ujian serta cabaran seorang artis.

"Ramai lagi bekas pelajar AF yang mengharapkan album tetapi tidak dapat. Ini adalah rezeki masing-masing.

"Saya harap mereka bersabar," katanya.

Sunday, March 1, 2009

Sindrom cerai ekspres

KUALA LUMPUR: “Sepanjang 2008, saya menerima kehadiran atau panggilan untuk kaunseling lebih 100 pasangan yang mahu berpisah walaupun berkahwin belum sampai setahun. Lebih menggerunkan, ada yang mahu membunuh diri dan semua kes berlaku di Lembah Klang.

“Sepanjang dua bulan pertama tahun ini pula, saya terima aduan daripada hampir 50 pasangan yang berdepan masalah sama,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah ketika mengulas insiden ‘cerai ekspres’ pemain badminton negara, Roslin Hashim, 34, yang menceraikan isterinya, Faizah Mohamad, 32, hanya selepas 12 hari bernikah.

Kenyataan Fadzilah jelas menunjukkan insiden ‘cerai ekspres’ seperti Roslin bukan kes terpencil kerana ia turut membabitkan banyak pasangan pengantin baru lain, namun tidak diketahui umum kerana mereka bukan selebriti atau orang terkenal.

“Bagi saya, perkara itu menakutkan kerana semuanya baru melangkah ke alam perkahwinan,” katanya.


Beliau turut tidak menafikan beberapa artis mendapatkan kaunseling daripadanya berkaitan masalah rumah tangga, hubungan dengan mentua dan pelbagai lagi berkaitan perkahwinan, tetapi enggan mendedahkan identiti mereka.

Menurut Fadzilah, artis juga manusia biasa serta tidak terlepas daripada kesalahan atau kesilapan dan perlu diberi peluang seperti individu lain untuk meneruskan hidup masing-masing.

“Ramai juga mendapatkan khidmat kaunseling daripada saya dan masalahnya membabitkan keredaan ibu bapa dan mentua, persekitaran dan pelbagai lagi.

“Syukur kerana mereka tekun mengikuti apa yang saya cadangkan dan melakukannya kerana mahu menyelamatkan atau memastikan perkahwinan serta rumah tangga sentiasa dalam rukun damai,” katanya.

Beliau berkata, apabila pasangan menganggap perkahwinan itu sesuatu yang mudah, lebih mudah untuk mereka berpisah.

“Satu lagi perkara yang sering tidak diambil perhatian oleh pasangan ketika berkahwin ialah restu ibu bapa. Kajian mendapati 80 peratus daripada kadar perceraian di Lembah Klang berpunca daripada perkara itu,” katanya.

Menurutnya, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Reda Allah SWT daripada ibu bapa.”

“Kerana itu, setiap pasangan digalak mendapatkan restu atau keredaan ibu bapa sebelum berkahwin,” katanya.

Selain itu, antara punca pasangan bercerai dalam tempoh singkat ialah kegagalan mendewasakan diri, di mana ada yang masih berperangai seperti ketika bujang, selain gagal atau tidak mahu memahami tanggung jawab sebagai suami atau isteri.

Ada kalanya mereka seolah-olah terlupa sudah menjadi menantu orang dan tidak sensitif dengan persekitaran. Contohnya, bertengkar semata-mata mahu menetapkan beraya di kampung siapa, sedangkan ia perkara remeh yang boleh diselesaikan dengan mudah.

Selain itu, katanya, perceraian boleh berlaku apabila mentua gemar masuk campur dalam hal rumah tangga anak mereka walaupun tidak perlu melakukannya.

“Mentua digalakkan masuk campur jika anak mereka dipersia-siakan atau berlaku perkara yang boleh mendatangkan kecederaan.

“Setakat hanya pertengkaran kecil, tidak perlu masuk campur. Beri saja nasihat dengan cara baik dan bukan mengarah menantu melakukan itu atau ini tanpa menyedari ia lebih banyak mendatangkan keburukan,” katanya.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata perkahwinan bukan boleh dipermainkan kerana ia membabitkan kepentingan banyak pihak dan pelbagai lagi situasi mendatang yang tidak diketahui.

“Oleh itu, jika mahu berkahwin, pasangan dinasihatkan berfikir panjang dan tidak terburu-buru kerana institusi rumah tangga itu konsepnya untuk sepanjang hayat dan bukan suka-suka diruntuhkan,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa setiap pasangan perlu mengenali hati budi pasangan masing-masing dan jika dari awal lagi tiada persefahaman, perkahwinan tidak perlu diteruskan.

“Perkahwinan untuk sepanjang hayat dan itulah konsepnya yang sebenar. Jika tidak dapat mencapai persefahaman dari awal hubungan, lebih baik perkahwinan tidak diteruskan kerana bimbang berlaku perceraian,” katanya.

Menurut beliau, bukan mudah melafazkan cerai kerana perlu ada beberapa perkara membabitkan suami atau isteri yang membolehkan ia dilakukan.

Tiga perkara yang membolehkan suami menceraikan isteri tetapi selepas ia disahkan iaitu gila, berpenyakit sopak serta kusta dan ia hanya diketahui selepas pernikahan. Jika sebelum bernikah bakal suami baru mengetahui perkara terbabit, seelok-eloknya perkahwinan dibatalkan.

“Dua perkara yang membolehkan isteri menuntut fasakh daripada suami pula ialah mati pucuk serta terpotong kemaluan. Bagi mati pucuk, fasakh boleh dituntut selepas setahun suami berubat tetapi gagal pulih kejantanannya.

“Ada dua lagi sebab yang khas membabitkan isteri membolehkan suami menuntut fasakh iaitu kemaluan wanita berkenaan tersumbat dengan daging atau tersumbat dengan tulang,” katanya.

Mohd Tamyes turut memberi panduan mengikut syarak bagi lelaki mencari isteri seperti wajah wanita berkenaan, tapak tangan, keturunan serta agama.

Menurut beliau, wajah yang cantik pada pandangan seseorang lelaki itu menggambarkan keseluruhan fizikal wanita berkenaan, manakala tapak tangan jika bersih dan gebu pula menunjukkan kesuburan atau kesihatan.

“Selepas itu, lihat keturunannya sama ada baik atau sebaliknya dan yang akhir, pastikan wanita itu memiliki ilmu agama yang baik kerana agama mampu menjadi perisai kepada perkara keji dan mungkar,” katanya.

Mungkin sukar menemui empat perkara itu dalam diri setiap wanita yang mahu dijadikan isteri tetapi jika terlalu sukar, lelaki digalakkan mencari yang beragama kerana ia paling penting.

Sama juga pada wanita yang mencari calon suami, di mana mereka perlu memastikan lelaki itu bertanggungjawab, beriman, taat pada ibu bapa dan pelbagai lagi.