Friday, January 30, 2009

Merah Lawit dikerat lima


ARAFIN dengan ikan merah seberat 10 kilogram yang kemudian dikerat lima sejurus tiba di jeti.
ARAFIN dengan ikan merah seberat 10 kilogram yang kemudian dikerat lima sejurus tiba di jeti.

KUALA TERENGGANU: Dua tahun lalu, hampir tiga tong pelbagai spesies ikan dipunggah dari perairan Lawit oleh Geng Bangi dan impian sama menggunung ketika turun sekali lagi ke sana bersama Tekong Pak Awang, baru-baru ini.

Justeru, seminggu sebelum berangkat, mereka melakukan persiapan rapi supaya tidak berputih mata. Bagi Geng Bangi - diketuai Arafin Jahar selain Fauzi, Azmi, Md Noh, Nordin Misnan dan Mohd Zain (Giant), perairan Lawit, Dulang serta di sekitarnya bukan asing kerana mereka ke sana setiap tahun.

Perjalanan enam jam dari Bangi ke sini dan 18 jam lagi ke Lawit bukan satu jarak yang menyulitkan.

Arafin berkata, sebelum memulakan cabaran, umpan hidup atau segar mesti dicari atas ‘permintaan’ penghuni di Lawit.

“Boleh dikatakan ikan Lawit memilih umpan. Tapi kalau tidak ada umpan hidup, sotong mati atau ikan pasar pun dihentam juga. Jadi, kalau mahu hasil tangkapan lumayan, kita perlu mencari ikan umpan dengan apollo,” katanya.

Sebanyak 7 kilogram (kg) sotong dan 3kg anak pelaling dibeli. Bakinya, umpan yang akan dipancing di lokasi.

Beberapa unjam dikunjungi tetapi hanya 15 ekor anak kembung dan selar kuning mengena mata apollo. Pak Awang turut gusar kerana umpan sukar diperoleh. Namun, Geng Bangi meneruskan perjalanan ke lubuk pertama yang memakan masa empat jam.

Keadaan laut sedikit berombak. Fauzi, Azmi dan Md Noh merasa kurang selesa terutama ketika bot berlabuh. Mereka bertiga yang kurang bermaya akhirnya tersandar di dinding bot.

Pak Awang sibuk membetulkan kedudukan bot. Dua pembantunya melabuhkan sauh. Sebaik saja diberi lampu hijau, masing-masing yang kemaruk memancing, terus melabuhkan joran.

Md Noh yang menggunakan anak selar kuning diuji terlebih dulu oleh penghuni Lawit. Tali joran Daiwa Saltiga ditarik rakus sehingga hujungnya mencecah air.

Berpeluh beliau mengendalikan mesin Penn Kingfish Combos yang tidak putus berdecit hampir 20 minit. Akhirnya tewas seekor ikan merah seberat 7kg. Sedang mereka rancak berbual, joran Arafin pula disambar kerapu seberat 5kg. Menggunakan tali braided Sulfix, beliau tidak menghadapi masalah memunggah mangsa ke atas bot.

Selepas itu, seorang demi seorang pemancing menaikkan ikan pelbagai jenis termasuk kerapu, alu-alu, aruan tasik dan kerisi bali. Adegan itu berlarutan hampir lima jam sebelum berhenti seketika untuk memberi peluang pemancing berehat dan menikmati hidangan makan malam.

Keesokannya, jam 7 pagi Geng Bangi dikejutkan dengan jeritan Fauzi. Seekor kerapu bara kira-kira 2 kg mengena mata kail Mustad 1/0. Dengan bantuan awak-awak, ikan itu berjaya dinaikkan dan menjadikan tangkapan paling bernilai pada hari berkenaan.

Melihat kerapu itu, Azmi yang masih belum memperoleh sebarang tangkapan memberangsangkan mula memasang angan-angan. Beliau memasang anak pelaling dan tanpa menunggu masa lama, kekili Abu Ambasador miliknya berdecit ditarik sesuatu. Selepas beraksi hampir 15 minit, seekor gerepoh seberat 12kg menunjukkan kelibat. Pak Awang menggancu ikan itu dan menaikkannya ke dalam bot.

Tiba-tiba kekili Penn International milik Arafin berbunyi kuat dan menyaksikan joran Penn Senator melentur hingga membentuk huruf C. Mangsa mengasak Arafin ke sana dan ke sini. Akibatnya, talinya bersimpul dengan tali pancing Md Noh. Setelah mengasak ke serata sudut bot hampir 20 minit, mangsa akhirnya lemah.

Dibantu Giant seekor ikan merah hampir 10kg dinaikkan ke bot. “Macam menarik anak seladang,” katanya.

Tepat jam 2 petang, bot bergerak meninggalkan perairan Lawit dengan hasil lumayan. Selain ikan merah dan gerepoh gergasi, dua tong lain dipenuhi ikan lauk.

Setibanya di jeti, mereka membahagikan tangkapan sama rata. Ini termasuk ikan merah milik Arafin yang dikerat lima.

Bakat lakonan Scha semakin bersinar



PELAKON jelita dan lasak, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir atau lebih dikenali dengan panggilan Scha kini semakin bersinar dalam bidang lakonan. Namanya mula disebut-sebut setelah membintangi drama bersiri Awan Dania terbitan Astro Ria sedikit masa lalu. Dia yang memegang watak sebagai seorang pramugari yang bernama Dania pantas mendapat tempat di hati peminat kerana bakat lakonannya memang cukup menyerlah.

Dalam merealisasikan hasratnya sebagai pelakon, pemenang Dewi Remaja 2006/07 ini juga tidak dapat lari daripada menerima kritikan, lebih-lebih lagi kerana keberaniannya membintangi sesuatu watak. Lakonannya dalam filem Histeria yang membawa watak ala ‘tomboy’ dan ‘lesbian’, pernah dikritik hebat walaupun ada juga yang memuji keberaniannya itu. Sebagai bintang baru, Scha menerima semua kritikan itu secara positif kerana ia akan mematangkan lagi dirinya.

Selain aktif berlakon drama, gadis tinggi lampai ini semakin menjadi rebutan pengarah dan produser tempatan untuk beraksi di layar perak. Scha juga pernah membintangi beberapa filem seperti Antoo Fighter, Histeria dan Papadom. Dia tampak lebih berkeyakinan dengan menerima satu lagi tawaran lakonan di bawah arahan pengarah muda Syamsul Yusof menerusi filem ‘Evolusi KL Drift 2’ terbitan Skop Production dengan kerjasama Grand Brilliance yang akan memulakan penggambaran mulai awal Februari ini.

Buat pertama kalinya, Scha diberi kepercayaan untuk muncul sebagai watak utama bagi menggantikan tempat pelakon jelita, Diana Danielle yang digugurkan daripada membintangi filem tersebut ekoran kontroversi hangatnya dengan pengarah filem itu sendiri (Syamsul) tidak lama dulu. Ternyata pengguguran pelakon popular itu memberi tuah kepada Scha untuk tampil beraksi dalam filem berkenaan.

Namun sebagai bintang baru, sudah tentu kemunculan Scha dalam filem itu akan dibandingkan dengan Diana Danielle yang cukup popular di layar perak. Namun bagi Scha, dia bukanlah lawan Diana. Peluang untuk membintangi filem tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk terus menimba ilmu dalam lakonan. Kata Scha, dia menerima watak dalam filem itu kerana ia benar-benar berbeza jika dibandingkan dengan watak-watak yang pernah dibawanya sebelum ini.

“Saya bukannya pengganti kepada sesiapa, dan janganlah bandingkan saya dengan Diana. Saya tidak merasakan yang saya adalah pilihan kedua, kerana semua ini bergantung pada rezeki dan saya percaya inilah rezeki yang ditentukan Tuhan untuk saya dan juga keluarga.

“Saya rasa ada kebaikannya juga mereka memilih saya sebagai pengganti. Setidak-tidaknya ada lagi syarikat produksi yang masih nampak kewujudan saya dalam industri lakonan ini selain saya boleh mengembangkan watak saya ke peringkat yang seterusnya,” katanya.

Jelas Scha, dia mula mendapat tawaran untuk membintangi filem tersebut sejak awal tahun lagi. Dia yang begitu teruja untuk berlakon di bawah arahan Syamsul yang juga merupakan anak teruna kepada pengarah dan produser terkenal Datuk Yusof Haslam, terus bersetuju sebaik sahaja diajukan tawaran lakonan itu.

“Sebelum ini, filem ‘Evolusi KL Driff’ mendapat sambutan yang baik di kalangan penonton, hingga mencapai tahap ‘box office’, jadi rugilah kalau saya tolak untuk berlakon dalam filem ini. Saya cukup tertarik dengan filem ini kerana ia banyak aksi dan saya rasa ia sesuai dengan jiwa saya yang lasak. Malah saya juga minat dengan aksi-aksi perlumbaan kereta dan inilah peluang untuk saya cuba pandu kereta laju-laju. Terus-terang, saya bangga kerana dapat turut serta dalam kesinambungan filem ini,” kata Scha.

Bercerita tentang wataknya dalam filem aksi sukan pemotoran itu, Scha memberitahu, dia membawa watak Aleya yang merupakan seorang ‘lady drifter’ yang cemburu dengan Zack, lakonan Syamsul. Dalam cerita ini Aleya dan Zack selalu berlumba tetapi Aleya tidak pernah menang. Lama-kelamaan Aleya dan Zack berkawan rapat.

“Watak ini lain daripada watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Lebih menggembirakan saya, watak wanita ‘drifter’ dalam filem ini ada sedikit persamaan dengan diri saya. Jadi rasanya, tak susah untuk saya menghayati watak ini nanti. Tapi saya kena mantapkan lagi lakonan dengan melakukan banyak penyelidikan tentang ‘lady drifter’ ini,” kata Scha yang ingin menjadi pelakon versatil.



Masih berteman dengan Fahrin

Sejak akhir-akhir ini kisah peribadi Scha mula menjadi perhatian media dan orang ramai. Selain pernah dikaitkan dengan beberapa jejaka, Scha juga masih dikatakan menjalin hubungan istimewa dengan aktor kacak, Fahrin Ahmad. Walaupun dia sudah beberapa kali menafikan perkara itu, namun desas-desus tentang keistimewaan hubungan mereka tetap bertiup kencang.

“Terus-terang saya dan Fahrin sekadar kawan biasa sahaja, ramai yang salah sangka dengan hubungan kami. Mungkin orang nampak kami selalu ke hulu ke hilir bersama, tetapi itu sebenarnya atas urusan kerja. Memandangkan saya ni masih baru dalam industri ni, jadi Fahrin banyak membantu saya semasa di set penggambaran. Lagi pun dia lebih arif dengan keadaan itu,” katanya.

Di tanya mengapa mereka sering kelihatan bersama dalam majlis-majlis hiburan, Scha memberi jawapan yang sebaliknya pula. Kata Scha, bukan semua majlis hiburan dia bertemankan Fahrin, namun hanya untuk majlis-majlis yang tertentu sahaja.

“Bukan selalu kami datang bersama. Hanya satu dua majlis sahaja, tapi itu pun jadi buah mulut orang. Saya akui hubungan saya dan Fahrin rapat, tetapi sekadar kawan sajalah. Pernah kalau saya tak ajak dia bersama ke majlis-majlis hiburan, dia akan bertanya kenapa tidak mengajaknya. Sepanjang saya kenali Fahrin, dia sangat ‘caring’ orangnya,” kata Scha.

Memandangkan hubungan mereka dilihat semakin rapat, Scha turut ditanya adakah dia mengharapkan sesuatu yang baik dalam hubungan mereka itu nanti.

“Saya tidak pernah menaruh sebarang harapan dalam hubungan kami. Fahrin hanya memberikan saya garis panduan untuk berjaya sahaja. Mungkin kerana dia banyak masa terluang itulah sebabnya dia rajin menemani. Kalau dia sibuk susah nak jumpa dia. Seperti yang saya katakan, kami hanya kawan dan janganlah gosipkan kami lagi.

“Bila gosip ini semakin menjadi-jadi, keluarga pun terkena tempiasnya, terutamanya ayah saya yang semakin risau dengan saya. Pernah ayah luahkan perasaannya yang sudah tawar hati nak bagi saya berlakon tapi bila saya berbincang dan terus-terang perkara yang sebenar dengannya, mujurlah ayah boleh terima.

“Di segi karier, saya rasa memang berbaloi dengan apa yang saya usahakan selama ini," katanya.

Nora: "Saya bahagia dengan Rayqal"

Rayqal membawa cahaya baru dalam hidup ibu muda dan jelita ini.

[SEMASA] PETALING JAYA: Pelakon jelita, Nora Danish akui hidupnya kini lebih terisi setelah kehadiran cahaya mata pertamanya, Putera Rayqal Ramli, yang selamat dilahirkan pada 7 Januari lalu di Hospital Gleneagles, Ampang.

Walaupun ketika itu dia mengambil keputusan untuk 'mendiamkan' diri dan enggan mendedahkan kisah kelahiran bayi lelaki itu, Nora menjelaskan, semua itu dilakukannya kerana keadaan kesihatan yang tidak begitu baik.

"Sebenarnya, ketika itu saya masih 'trauma' sejak melahirkan Rayqal. Saya bersalin secara normal, tetapi hampir tujuh jam juga saya bertarung nyawa sebelum bersalin.

"Itu yang membuatkan saya 'diam' dulu selepas itu. Alhamdulillah, sekarang keadaan saya baik dan sedang di dalam pantang. Malah, Rayqal juga sihat.

"Hidup saya kini juga lebih bahagia dengan kehadiran Rayqal. Seronok sebenarnya mempunyai anak sendiri. Hilang kesakitan yang dialami ketika bersalin dulu bila lihat wajahnya," tutur Nora yang selamat melahirkan bayi comel seberat 3.05 kg itu pada jam 11.50 malam.

Nama Nora pernah menjadi bualan 'hangat' tahun lalu gara-gara perceraiannya dengan Rizal Ashram Ramli sewaktu dia sedang mengandungkan cahaya mata sulungnya itu.

Nora dan Rizal bernikah pada Jun 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pasangan ini bagaimanapun bercerai dengan talak dua pada tahun lalu setelah mahkamah memutuskan lafaz cerai yang dibuat oleh Rizal pada Februari dan Jun lalu adalah sah.

Enggan berbicara tentang 'episod' lama itu, kata Nora, dia ingin menjalani hidup baru sambil 'ditemani' Rayqal. Malah, tutur pelakon berusia 26 tahun ini, hubungannya bersama bekas suami juga masih baik.

"Rizal sendiri ada bersama dengan saya ketika di dalam bilik bersalin dan bersama-sama menyambut kelahiran Rayqal. Malah, nama bayi ini juga kami yang pilih bersama.

"Dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai bapa. Kerap juga dia datang melawat. Malah, ibu mertua saya juga hampir setiap hari akan datang melawat saya dan 'baby'.

"Bagi saya, perkara yang lepas biarlah ia berlalu pergi. Apa yang penting, saya tidak mahu bermusuh dengan dia dan akan bersama-sama menjaga Rayqal," kata Nora.

Ditanya sama ada mereka mungkin akan merujuk semula dengan kehadiran Rayqal itu, sambil ketawa, Nora menjawab:

"Tak mahulah cakap tentang perkara itu. Bagi saya, sekarang ini saya hanya mahu fokus pada anak saya dan karier lakonan," ujarnya ringkas.

Kata Nora lagi, dia juga akan kembali aktif dalam bidang lakonan setelah tamat pantang nanti. Projek pertamanya ialah sitkom Puteri yang akan memasuki musim ke-11.

Bukan tin kosong! Nazrah Noor Rahmat...


KALI kedua menunggang kuda, Nazrah Noor Rahmat, 25, semakin mencintai haiwan itu apatah lagi menunggang kuda adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Dua lagi sukan yang digalakkan dalam Islam, berenang dan memanah.

Nazrah menunggang kuda kali pertama ketika dia bercuti di Jordan tahun lalu dan sekali lagi ketika menjalani penggambaran program Al-Hidayah terbitan TV3 yang dirakamkan di 3Q Equestrian, Kuang, Rawang. Buat kali pertamanya juga Nazrah teruja dapat menunggang kuda lumba yang dilatih dan mendapat penjagaan teliti daripada pakar luar negara.

"Ketika di Jordan saya menunggang kuda pelancongan yang kurang dijaga. Kuda itu tidak sempat dijaga rapi kerana setiap hari berulang-alik membawa pelancong mengunjungi Kota Petra. Bagaimanapun, ia tetap pengalaman menarik yang sukar dilupa.

"Berbeza sekali apabila saya berpeluang menunggang kuda lumba milik keluarga jaguh ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil di Rawang sewaktu menjayakan rakaman program Al-Hidayah untuk segmen Hayati. Kuda itu bukan saja tinggi tetapi sangat cantik kerana dijaga rapi. Ada 40 ekor dan setiap kuda lumba itu mempunyai penjaga sendiri.

"Menyentuh bulu kuda itu seperti karpet. Lembut, tebal dan berkilat. Bulu di tengkuknya macam rambut anak dara mayang mengurai. Memang mengagumkan. Ingatkan kuda yang saya naik itu paling tinggi dan besar tetapi rupanya Qabil beritahu, ada lagi kuda yang lebih tinggi daripada itu.

"Lain rasanya naik kuda lumba itu. Dengan tunjuk ajar Qabil dan jurulatihnya, sekejap saja dapat menyesuaikan diri dengan kuda itu. Haiwan kesayangan Rasulullah itu juga ada 'angin'. Kalau lambat bagi makan, dia akan buat perangai.

"Berkuda adalah sukan terbaik kerana menunggang kuda menggerakkan seluruh anggota tubuh kita. Lemah gemalainya kuda itu melangkah, ia membantu membentuk postur tubuh dan amat sesuai untuk wanita, makhluk ciptaan Allah yang sangat mementingkan kecantikan," katanya.

Kerjaya sebagai wartawan penyiaran dan pengacara Al-Hidayah hampir tujuh bulan semakin mematangkan gadis manis itu.

Tahun ini juga Nazrah terpaksa bekerja keras kerana semua segmen dalam program itu dibuat di lokasi luar untuk lebih mendekatkan diri dengan penonton.

Al-Hidayah musim baru ini ada lima segmen, Hayati (fokus utama setiap minggu), Amali (berkaitan ilmu feqah), Nada (barang kotemporari berkaitan Islam seperti telefon bimbit yang menunjukkan arah kiblat), Hikmah (memberi panduan seperti adab makan Rasulullah) dan Doa.



"Semua segmen itu dibuat di luar studio. Misalnya untuk segmen Hayati yang setiap minggu memaparkan berlainan topik akan membuat rakaman di luar dengan menjemput mereka berkaitan topik diperkatakan.



"Antara topiknya termasuk petua kebahagiaan rumah tangga. Untuk itu kami menjemput Ustazah Nor Bahyah Mahmud, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, Ustaz Jazlan Abdullah, pakar motivasi, Husim Salleh dan pasangan masing-masing ke lokasi rakaman di Bora Asmara, Sungai Penchala, Damansara.

"Dengan membuat rakaman di luar ia akan menjadi lebih menarik dan hampir dengan penonton. Suasana juga kelihatan santai dengan persekitaran menarik. Untuk topik Anak Soleh dan Solehah pula kita jemput anak yang sudah berjaya serta mendapat didikan sempurna daripada ibu bapa mereka.

"Sekadar bercakap tanpa menonjolkan mereka yang berkaitan isu dibincangkan, ia kurang meninggalkan kesan kepada penonton. Memanglah saya perlu bekerja keras untuk Al-Hidayah musim baru ini tetapi ia cukup menarik kerana tidak lagi terkurung dalam studio. Sambil mendidik penonton, saya pun belajar sama.

"Supaya penyampaian itu lebih berkesan, yang mana boleh dan mampu dilakukan, saya berusaha untuk mengamalkannya sendiri. Rezeki saya dapat terbabit dalam program ini kerana secara tak langsung dapat mendalami pengetahuan agama. Malah saya sendiri banyak bertanya dengan ustaz dan ustazah yang dijemput menjayakan program ini.

"Saya tak mahu menjadi seperti tong kosong, hanya buat bising. Saya perlu menambahkan ilmu pengetahuan supaya faham apa yang akan diucapkan kepada penonton, tidaklah bercakap berpandukan skrip semata-mata. Dengan ilmu yang ada tidaklah malu apabila orang bertanya. Tahulah saya hendak menjawabnya," katanya. Jelasnya, tagline Al-Hidayah musim ini, Tambah Ilmu Tambah Amal. Sejajar dengan itu, Nazrah berkata, dia perlu menambah ilmu dan mengamalkan segala amalan yang dipelajari.

"Saya anggap apabila dipilih mengacarakan program ini, Allah mempermudahkan jalan untuk menyebarkan ilmu yang ada kepada penonton. Bukan senang untuk berkongsi ilmu dengan orang lain. Menerusi Al-Hidayah, kami berusaha untuk menyeimbangkan ilmu dunia dan akhirat kerana setiap amalan kita di dunia adalah jambatan menuju ke akhirat," katanya.

‘Saya tetap bertudung’ Sheila Rusly


TAMPIL dengan imej bertudung bukan penghalang buat pelakon Sheila Rusly untuk memainkan watak antagonis dalam drama bersiri terbarunya, Anak Betong yang juga terbitan produksinya sendiri, JS Pictures Sdn Bhd.

Malah, kata Sheila, watak Malika yang juga bomoh dan pengamal ilmu hitam dalam drama 20 episod itu watak jahat pertamanya sejak kembali menunaikan fardu haji tahun lalu.

“Sekalipun bertudung saya tidak ingin sia-siakan bakat anugerah Allah ini. Saya akan mencecah usia 38 tahun dan sebagai pelakon berpengalaman dalam industri seni sudah pasti saya inginkan watak mencabar dan ada kelainan. Tetapi saya tidak akan membuka tudung semata-mata untuk berlakon.

“Sebenarnya bukan saya tidak mahu berlakon dalam prouduksi lain, tetapi dengan imej bertudung ini menyukarkan pengarah untuk menawarkan watak sesuai. Saya tidak mahu sekadar diberikan watak emak dan Datin saja kerana saya boleh buat lebih baik daripada itu.

“Justeru, lebih mudah untuk saya berlakon dalam produksi sendiri kerana sebagai penerbit, saya boleh pilih watak bersesuaian imej sekarang,” katanya.

Katanya, dia juga berhadapan cabaran untuk menjiwai watak Malika dalam drama itu.

“Antara cabaran ketika disolek ialah menampakkan kesan khas mengerikan pada di wajah Malika.

“Saya berasa letih sehingga tertidur kerana proses solekan kesan khas itu mengambil masa tiga jam.

“Saya juga perlu pastikan rambut tidak nampak apabila bergerak. Baju dan tudung labuh yang dipakai juga menyukarkan saya untuk buat babak lasak dalam cerita ini. Apapun, ia berjaya diatasi dan saya tetap berusaha memberikan lakonan terbaik buat peminat,” katanya.

Sheila ditemui pada sesi ramah mesra slot Lagenda Anak Betong di Restoran & Cafe Felda Villa, Jalan Maktab off Jalan Semarak di ibu kota, baru-baru ini.



Hadir sama, pengarah drama itu yang juga suaminya, Azman Yahya atau Jinggo dan penulis skrip Nazli Jaafar atau Che Li.



Jinggo berkata, idea untuk buat drama bersiri Anak Betong itu dicadangkan pihak TV3 untuk dimuatkan dalam slot Lagenda stesen itu.

“Roh cerita Anak Betong ini mempunyai persamaan dengan cerita asalnya, filem klasik Anak Buluh Betong di mana Anak Betong dalam cerita ini adalah anak angkat yang ditemui di rumpun buluh dan derhaka kepada bapa angkatnya.

“Olahan dan nafas baru diberikan bagi menguatkan jalan cerita yang turut diselitkan sedikit elemen seram. Babak ngeri dan ganas dikurangkan, tetapi tidak menjejaskan jalan ceritanya.

“Cerita ini bukan untuk mengajar orang mengenai ilmu sihir atau hitam. Pihak kami juga menyelitkan elemen komedi untuk menarik penonton kanak-kanak,” katanya.

Selain Sheila, siri ini turut dibintangi Fizz Fairuz (Jagat), Ezany (Zaman), Hairee Othman (Hasan), Wan Nor Azlin (Salmah), Normah Damanhuri, Maya Matahari (Naya), Abon, Haiza, Linda Hashim dan Bagio.

Anak Betong menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang di TV3 dan jam 8.30 malam di TV9 menerusi slot Lagenda bermula 27 Januari lalu.

Berdiet tetapi perut membusung


TIGA minggu berdiet, berat dan bentuk badan Erneelya Elyana Emrizal, 22, atau Elyana, sedikit pun tidak berubah. Bahkan, semakin hari dia dapati badannya terus mengembang dan perutnya buncit.

Perubahan fizikal mendadak itu serta emosi yang sering terganggu mengundang tanggapan yang bukan-bukan kepada mereka yang rapat dengannya.

Ada yang menyangka dia berbadan dua.

Akhirnya rahsia penyakit misteri Elyana terbongkar selepas dia menyuarakan kepada seorang teman yang mengalami penyakit sama.

Seperti hendak gugur jantungnya apabila dimaklumkan terkena buatan orang sewaktu mendapatkan rawatan tradisional di Kuala Lumpur dan penyakit misteri yang dialaminya itu dipercayai busung.

Lebih menyedihkan penyakit yang dideritai sejak tiga tahun lalu itu akibat perbuatan kawan sendiri.

"Masa berubat, orang yang merawat saya itu memaklumkan orang yang melakukan perkara itu kawan saya sendiri. Tetapi saya kurang percaya pada amalan sebegini tambah pada zaman moden ini.

"Saya tidak sangka masih ada yang mengamalkannya dan lebih mengejutkan, orang yang dimaksudkan kawan sendiri. Tetapi saya nampak perubahan pada dirinya sejak saya sakit cuma saya tidak pernah bertanya dengannya.

"Bagaimanapun, saya tidak marah atau berdendam dengannya walaupun perbuatannya itu kesalahan besar di sisi agama.

"Saya reda dan minta maaf kepada semua jika ada perbuatan saya selama ini yang menyinggung perasaan mereka," katanya.



Kata Elyana, dia tidak mengetahui punca sebenar mengapa kawannya itu sanggup bertindak sedemikian kerana perbuatan itu sama seperti membunuh.



Mungkin sahabatnya itu ada alasan berbuat demikian. Namun, apa yang dikesalkan akibat perbuatan itu bukan saja menjejaskan kesihatan dan kerjaya seni, tetapi juga mengeruhkan hubungannya dengan keluarga.

"Saya tidak sedar perubahan pada diri, tetapi ramai perasaan terutama keluarga dan kawan rapat. Sejak terkena penyakit itu, saya sering menyendiri dan panas baran sehingga mereka yang tidak bersalah pun jadi mangsa amukan saya.

"Selalunya ahli keluarga menjadi tempat melepaskan amarah. Malah, saya jadi malas bekerja, sering pening dan sakit perut sampaikan persembahan yang sudah dipersetujui terpaksa dibatalkan saat akhir," katanya.

Mengakui keadaannya semakin pulih selepas menjalani rawatan tradisional, Elyana kembali semangat untuk bekerja. Dia kini sedang menjalani penggambaran drama 26 episod arahan Jamal berjudul, Katrina Kamelia.

Elyana yang mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu baru-baru ini menerusi lagu Kalis Rindu mengakui Katrina watak berbeza dengan peranan yang pernah dibawakannya sebelum ini.

"Watak saya yang ini memang berbeza. Selalunya saya dikenali dengan watak gadis baik dan sempoi, tetapi kali ini saya bawa watak pelajar yang jahat.

"Penggambarannya baru saja bermula minggu lalu jadi belum tahu perkembangan watak saya namun kalau melihat skrip saya memang jahat gila dalam drama ini," katanya.

Linda Dan Que Haidar: "Kami Saling Melengkapi!"

TEMUBUAL yang sepatutnya berlangsung dalam sesi fotografi di studio berubah suasana kepada sesi fotografi di Habib Jewels disebabkan jurutari Linda Jasmine, 37, sibuk dengan persiapan perkahwinannya.

Dalam kesibukan memikirkan tentang persiapan yang perlu dilakukan sebelum majlis perkahwinan tiba hampir dua minggu lagi, sesekali Linda akui beliau bagaikan terlupa seketika tentang makna pernikahan dan perkahwinan.

Maklumlah, waktu itu bakal isteri kepada aktor Que Haidar, 30, ini perlu mengingatkan tentang persiapan tersebut secara teliti agar tiada yang tertinggal seperti pakaian pengantin, hantaran, kad jemputan, sehinggalah perkara yang ‘remeh-temeh’.

Linda Jasmine sepatutnya menghadiri sesi fotografi di studio tetapi disebabkan sibuk dengan persiapan perkahwinan, temubual terpaksa diubah kepada di Habib Jewels. -foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN

Namun, kadangkala ketika sedang memandu kereta, ibu tunggal kepada Qalif Khan, 9, ini secara tiba-tiba teringat yang beliau akan bergelar seorang isteri tidak lama lagi.

Kesannya, segala beban yang dipikul selama ini menjadi ringan sedikit malah semakin gembira dan tidak sabar untuk menanti hari bahagia itu.

Dalam masa yang sama, Linda juga mengingatkan dirinya bahawa perjalanan hidup yang bakal ditempuhi pada masa akan datang pastinya disulami dengan sedikit situasi cacat-celanya.

Linda teruja dan tidak sabar untuk menanti saat diijabkabulkan dengan Que.

"Saya tahu, perjalanan hidup yang bakal ditempuhi oleh setiap pasangan suami dan isteri bukanlah sentiasa ‘perfect’.

"Setiap hubungan itu mesti ada pasang surutnya. Saya bukan sahaja mengingatkan kepada diri-sendiri malah turut berpesan kepada Que.

"Sebagai manusia, Tuhan selalu menduga kehidupan kita dengan bermacam-macam perkara agar kita dapat menilai diri-sendiri.

Linda semakin matang untuk menempuhi alam perkahwinan keduanya nanti.

"Dari situ, kita dapat mempelajari tentang cara kita mengawal situasi tersebut sama ada dengan baik atau tidak.

"Jadi, saya selalu mengingatkan diri-sendiri agar jangan terlalu cepat mengikut perasaan.

"Saya akan berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap tentang sesuatu perkara itu mahupun kalau saya terlepas cakap," luah Linda dalam temubual sejurus selepas memilih aksesori perkahwinan di Habib Jewels (Habib), Ampang Point semalam.

Dianggarkan lebih RM3 juta set aksesori dari Habib yang bakal digayakan oleh Linda semasa majlis perkahwinannya di Bora Ombak pada 14 Februari depan.

Bak Puteri...Linda bakal menggayakan aksesori dari Habib Jewels berjumlah lebih RM3 juta.

Majlis pernikahan dijangka akan berlangsung pada pukul 5 petang manakala upacara bersanding dan memotong kek akan dilakukan pada sebelah malamnya di tempat yang sama.

Linda juga akan mengenakan pakaian pengantin rekaan tiga pereka iaitu Datin Kirana, Saiful Bahrin dan Calvin Thoo di mana ketiga-tiga persalinannya itu menggunakan fabrik Jakel manakala pakaian Que pula direka oleh Lord’s Tailor.

Di dalam majlis akad nikah, pasangan ini akan saling bertukar cincin serta pemberian hantaran berupa mas kahwin dan senaskhah al-Quran oleh Que kepada Linda.

Sementara majlis resepsi perkahwinan sebelah pengantin lelaki akan diadakan di Felda Taib Andak, Johor pada 15 Mac.

Kehadiran Linda di Habib tidak ditemani oleh Que sebaliknya rakan setugasnya, Zuhana yang hadir kerana bakal suaminya itu sedang sibuk di lokasi pengambaran.

Que, seorang pelakon popular dan berbakat yang pastinya sentiasa menjadi perhatian umum.

Sambil memperhalusi pengalaman yang bakal dilalui oleh setiap pasangan artis yang mendirikan rumah tangga, Linda juga cuba membuang jauh-jauh perasaan cemburu buta terhadap Que.

"Saya rasa buang masa sahaja kalau nak terlalu cemburu buta. Setakat ini, saya masih dapat mengawal situasi tersebut.

"Tipulah kalau katakan yang saya tidak mempunyai perasaan cemburu tetapi tidaklah sampai tahap cemburu buta.

"Katakanlah jika suatu hari nanti saya betul-betul serius cemburu dan meragui sikap Que, sikap itu datang dari gerak hati saya.

"Kita akan dapat rasa sama ada melalui perlakuan dia terhadap kita. Kalau dia bersalah, kita dapat rasa yang perasaannya terhadap kita sudah hilang.

"Saya pernah mendengar melalui Forum Perdana Hal Ehwal Islam di TV1 di mana salah seorang penceramah itu berkata seseorang wanita itu mesti mempunyai naluri," ujar guru tari dalam program realiti Akademi Fantasi ini.

Bermula sejak pasangan ini mengumumkan tarikh perkahwinan mereka jatuh pada 14 Februari, sempena Hari Valentine, pelbagai kritikan yang diterima sama ada yang positif mahupun negatif.

Namun, semua kritikan itu langsung tidak mengganggu keputusan Linda untuk mempersuamikan Que kerana baginya faktor perbezaan umur, dan latar belakang bukanlah batu penghalang untuk mereka menyulam cinta bersama.

"Saya rasa perkahwinan kami ini bukanlah suatu perkara asing yang timbul dalam senario masyarakat sekarang sebab di luar sana terdapat juga pasangan yang membuat keputusan seperti kami.

"Saya pernah berkahwin dulu. Sekarang, saya semakin matang dan belajar daripada pengalaman lalu.

"Dulu, saya tidak mempunyai sikap timbang rasa, terlalu ‘control’ dan cerewet tetapi sekarang saya sudah berubah.

"Saya selalu banyak sabar dan tidak terlalu mengikut perasaan," jelasnya yang berubah bukan disebabkan Que tetapi diri-sendiri yang ingin mengubahnya demi mengeratkan perhubungan masing-masing.

Tambah Linda, untuk berubah, beliau tidak boleh bergantung kepada pasangannya semata-mata tetapi perubahan itu perlu berlandaskan usaha murni antara satu sama lain.

Yang jelas disebalik usia bakal suaminya yang lebih muda tujuh tahun daripadanya itu, Linda berkata sikap matang Que menyenangi dirinya.

"Que bukan jenis malas. Dia terima diri saya seadanya. Walaupun dia lebih muda, tetapi dia lebih matang daripada saya.

"Saya akui yang saya ini mempunyai perangai ‘kebudak-budakan’. Jadi, hubungan kami boleh dianggap saling melengkapi antara satu sama lain.

"Apa yang pasti, semua ini adalah takdir Allah. Dalam perjalanan hidup kami, memang sudah tertulis kami diciptakan untuk hidup bersama.

"Hanya Tuhan yang tahu tentang apa yang bakal terjadi selepas ini," tutur Linda yang berharap semoga orang lain mendoakan yang terbaik dalam perkahwinan mereka dan berkekalan sehingga ke akhir hayat.