Tuesday, May 23, 2017

Persembahan Ben Nathan Di Luar Jangkaan



Ben Nathan kelihatan ceria ketika membuat persembahan.
PRESIDEN Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave meluahkan rasa lega apabila artis Ben Nathan berjaya memberi persembahan terbaik menerusi Konsert Kasih & Harapan yang di adakan di Saloma Bistro, pada petang Ahad.
Kata DJ. Dave, Ben berjaya memberi persembahan di luar jangkaan apabila penyanyi lagu 'Stanza Sepi Sekeping Hati'ini mampu mengingati lirik dan tempo melodi dengan baik biarpun perkara itu sering menjadi kerisauan buatnya setiapkali artis itu ingin membuat persembahan.
"Saya terkejut kerana dia (Ben) sangat bersemangat di pentas dan mampu menyempurnakan nyanyiannya menerusi tiga buah lagu dengan baik sekaligus menghilangkan kegusaran saya terhadap fokus nyanyiannya yang sering terganggu sebelum ini.
"Melihat perkembangan positif Ben, saya tidak sabar untuk meneruskan misi ketiga kami untuk projek rakaman single terbarunya di Jakarta selepas sambutan hari raya Aidilfitri depan," katanya.
Antara artis yang terlibat menjayakan Konsert Kasih & Harapan Ben Nathan.
Konsert Kasih & Harapan Ben Nathan bertujuan membantu mengumpul dana perubatan dan rakaman single terbarunya di mana menerusi konsert kerjasama bersama Jojo Events ini menyasarkan kutipan sebanyak RM50,000 bagi tujuan itu.
Antara artis lain yang terlibat pada konsert berdurasi dua jam ini ialah Datuk M.Nasir, Datuk Nash, Ramlah Ram, Sahara Yaakob, Aris Ariwatan, Fredo Flybaits, Maisara Ukulele dan Datuk DJ Dave.
Ben ketika ditanya tentang perasaan menjayakan persembahan itu berkata, dia terharu dan seronok kerana dapat bertemu rakan-rakan artis seangkatan zamannya.
"Saya enjoy di pentas dan seronok apabila rakan artis turut bersama-sama saya hari ini. Saya sebenarnya tidak sabar untuk ke Jakarta merakamkan single terbaru,"ujarnya ringkas.
Ben dilihat agak ceria pada petang itu menyanyikan tiga buah lagu iaitu Tak Mungkin, Ilusi Satu Penantian dan Stanza Sepi Sekeping Hati.
Sebelum ini, kisah Ben pernah mencuri tumpuan netizen apabila ditemui hidup sebagai gelandangan menjadi viral di laman sosial sekitar Januari lalu.
Atas inisiatif YA1M yang diketuai Datuk DJ Dave pada ketika itu berjaya memujuk artis berusia 54 tahun ini untuk kembali membuat kemunculan semula di dalam industri seni hiburan tanahair.

Lara Alana Tak Diajar Dengan Kemewahan



Lara Alana mempunyai pengaruh tersendiri di media sosial. -foto Instagram @schaalyahya
SIAPA yang tidak mengenali Lara Alana iaitu anak kepada pasangan selebriti popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya.
Baharu berusia tiga tahun tetapi Lara lebih popular berbanding ibu-bapanya selain mempunyai pengikut seramai tiga juta di Instagram.
Walaupun masih kecil namun kehidupan Lara sentiasa menjadi perhatian kerana kelincahannya termasuk fesyen yang digayakan setiap hari.
Bagaimanapun dedah Awal, dia dan Scha sebenarnya tidak pernah membeli barangan berharga untuk anak kesayangan mereka itu kerana tidak mahu membiasakan Lara hidup serba mewah.
Awal dan Scha tidak pernah memanjakan anak mereka dengan kemewahan. 
Dedah Awal lagi, pakaian berjenama yang sering digayakan oleh anaknya itu sebenarnya adalah pemberian keluarga, sahabat dan peminat.
"Sebenarnya saya dan Scha tidak pernah manjakan Lara sebaliknya orang lain yang memanjakan dia.
"Semua pakaian digayakan Lara dalam Instagram pemberian dan hadiah orang.
"Saya sendiri tidak pernah membelikan Lara pakaian atau barangan mewah sehingga terpaksa membayar ribuan ringgit kerana pada saya itu satu pembaziran.
"Jika ada benda mahal yang kami beli pun seperti basikal atau kereta mainan dan itu pun bukannya kerap," katanya.
Tambah Awal lagi, mereka memuat naik gambar Lara dengan pakaian mewah bukan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya ia sebagai tanda terima kasih kepada orang yang menghadiahkannya baju tersebut.
"Memang tiada niat kami untuk bermegah kerana bukan itu yang diterapkan dalam diri Lara sebaliknya ia sebagai menghargai pemberian orang, itu sahaja," katanya.
Sementara itu, Scha berkata, amat penting kepadanya untuk mendisiplinkan anaknya agar dia sentiasa merendah diri disebalik perhatian diberikan kepadanya.

DJ Dave Sedang Jejak To'ki



Datuk DJ Dave mengarahkan pihaknya segera mencari To'ki
PRESIDEN Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave sedang menjejaki penyanyi era 90-an, To'ki selepas kisah kesusahannya menjadi viral di laman Facebook sejak dua hari lalu.
DJ Dave berkata pihaknya sedang berusaha untuk berhubung dengan To'ki atau Mohd Zaki Mansur bagi membolehkan mereka mengetahui masalah sebenar penyanyi itu dan sekaligus menghulurkan bantuan.
"Ya, baru pagi tadi saya menyuruh pihak saya menjejaki To'ki dan pihak Yayasan Artis 1 Malaysia bersedia membantu beliau secepat mungkin," ujarnya.
DJ Dave ditemui pada Konsert Kasih & Harapan Ben Nathan yang diadakan di Saloma Bistro, pada Ahad. 
Kisah kesusahan To'ki menjadi tular di Facebook apabila seorang peminat bertemu penyanyi lagu 'Hampa' itu dalam keadaan daif di sebuah stesen minyak yang tidak dinyatakan lokasinya.
Peminat yang menggelarkan dirinya Engku Lokman bergambar bersama To'ki.
Lelaki itu turut memberitahu dia terkesan melihat keadaan To'Ki tambahan pula Ramadan semakin hampir dan Syawal yang bakal menjelang.
Malah dia berharap ada pihak termasuk persatuan hiburan tampil membantunya seperti mana dilakukan terhadap penyanyi era 80-an, Ben Nathan.
Kisah To'ki yang viral di Facebook mendapat perhatian peminat dan sehingga kini entri tersebut telah dikongsi sebanyak 4,400 kali.
To'ki sebelum ini turut pernah berduet bersama penyanyi Rohana Jalil menerusi lagu Naluri Cinta di mana lagu tersebut pernah dicalonkan di dalam kategori balada Anugerah Juara Lagu kesembilan.  

Nabil Ahmad Bawa Bas Masuk Studio?




Nabil Ahmad kini bergelar penerbit.
DEMI menampilkan kelainan terhadap projek sulungnya sebagai penerbit, pelawak dan pengacara sanggup membawa sebuah bas persiaran masuk ke dalam sebuah studio.
Kata Nabil dia menerusi syarikat produksinya, Nabil Ahmad Productions akan tampil dengan sebuah sitkom berjudul Bus Stop dan ada sebab dia membawa masuk sebuah bas semasa rakaman.
Jelasnya, dia bas tersebut bukan sekadar perhiasan tetapi digunakan untuk memperkenalkan artis jemputan pada sitkom itu dan ia belum pernah dibuat oleh orang lain.
"Untuk projek pertama ini, saya kena buat kelainan kerana kebiasaannya jika ada artis jemputan mereka akan muncul dari belakang pentas.
"Saya tidak mahu lakukan perkara sama dan kebetulan nama sitkom ini Bus Stop, jadi apa kata kita bawa masuk sebuah bas dan artis jemputan turun dari bas sebagai kelainan," katanya.
Bercerita lanjut mengenai projek itu, Nabil berkata, dia menghasilkan sitkom itu kerana ingin mengembalikan kegemilangan program seperti Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang sangat digilai oleh penonton sekitar zaman 90-an.
Bagaimanapun kata Nabil, dia bukan meniru sitkom popular itu sebaliknya menjadikan ia sebagai inspirasi dalam menghasilkan Bus Stop.
"Selain menerbit, saya tulis sendiri skripnya dan ia sangat berbeza dengan komedi-komedi sedia ada yang kebanyakannya berkonsepkan lawak pentas.
"Berlainan dengan Bus Stop saya ingin mengembalikan zaman kegemilangan sitkom dan berharap program pertama saya ini akan bertahan lama dan bukannya hanya satu musim," ujarnya.
Kata Nabil lagi, sitkom 13 episod itu bakal menampilkan Ippo Hafiz, Sherry Alhadad, Ebby Yus dan Angah Raja Lawak selain beberapa artis jemputan.
Ia bakal menemui penonton menerusi saluran Astro Warna pada Jun ini.

Kebangkitan Lagu 90-an Bantu Populariti Sweet Child




Sweet Child masih popular dikalangan peminat.
JIKA dilihat pada trend industri muzik semasa, lagu-lagu yang mengangkat melodi era 90-an kembali mendapat perhatian pendengar.
Percubaan bintang-bintang baharu dengan muzik sedemikian seperti Aiman Tino, Sufian Suhaimi ternyata menjadi fenomena.
Bagi kumpulan Sweet Child yang terkenal pada era tersebut, kebangkitan muzik 90-an sedikit sebanyak membantu mengembalikan populariti mereka terutamanya dikalangan generasi baharu.
Malah kata vokalisnya, Acong, dia sendiri terkejut apabila lagu-lagu popular mereka seperti Tinggal Sayang Tinggallah Pujaan, Mainan Perkasihanmu dan Terlarang Itu Godaan diminati oleh golongan muda.
"Kebangkitan lagu-lagu era 90-an memang sedikit sebanyak memberi impak kepada Sweet Child walaupun kami sudah lama tidak tampil dengan album baharu.
"Bukan sahaja lagu-lagu baharu yang diinspirasikan dari era itu popular tetapi karya lama juga kembali popular terutama dikalangan pendengar baharu.
"Ia sedikit sebanyak memberi tempias juga kepada Sweet Child walaupun lagu-lagu kami itu sudah lama," katanya.
Selain Acong, Sweetchild turut dianggotai oleh Suzahari Aziz atau Yem (keyboard), Saiful Azlan Ahmad atau Aalan (gitar), Ahmad Zamri Zainal Abidin atau Ijan (gitar bas) dan Romzi Mohd Minsawi atau Pet (drum).
Sementara itu, Acong berkata, populariti itu turut memberi idea kepadanya untuk menghasilkan lagu berkonsepkan 90-an kerana ia diminati pendengar.
Malah katanya, mereka sedang merancang untuk menghasilkan single terbaharu sebagai hadiah kepada peminat yang sentiasa menyokong karier seni Sweet Child.
"Ramai yang ingat kami sudah berpecah tetapi sebenarnya kami masih bersama sebagai sebuah kumpulan dan sebab itu juga saya masih menggunakan nama Acong Sweet Child.
"Sokongan peminat memang luar biasa dan sebab itu kami masih disini dan merancang untuk melancarkan single terbaharu tidak lama lagi," ujarnya.

"Tiada Istilah Sunyi Dalam Hidup Saya" - Ella



ENGGAN mengulas lanjut apabila disoal tentang cahaya mata, ratu rock negara Ella mengakui dia kini gembira menjalani rutin kehidupannya bergelar seorang isteri dan penghibur.
Ella, 51, memberitahu, biarpun kesibukan kerja seni membataskan dia untuk meluangkan masa bersama keluarga, dia bersyukur kerana memiliki suami yang sentiasa memahami tanggungjawabnya sebagai anak seni.
"So far so good (setakat ini semuanya baik-baik). Sebab itu kalau ada kelapangan, saya hanya akan habiskan masa di rumah bersama suami, ibu dan adik-beradik kerana di situlah kebahagian saya.
"Sunyi? Tak sempat nak rasa sunyi sebab orang di sekeliling semuanya menghiburkan," katanya,
Tambahnya lagi, berada di rumah merupakan terapi terbaik apatah lagi sejak hobinya membela ikan koi. Masanya banyak dihabiskan di kolam yang terletak di laman rumah.
"Saya tak bela kucing sebab takut tak sempat beri makan kerana sibuk berkerja, jadi saya bela ikan" ujarnya berseloroh manja.
Ella bersama Datuk Ramli Sarip di majlis sidang media Konsert Pelarian, pada Khamis di PWTC.
Dalam pada itu kata pemilik nama Norzila Aminudin ini lagi, dia kini masih meneruskan misi menghiburkan peminat selari dengan sambutan 30 tahun penglibatannya dalam bidang seni yang diraikan pada tahun lalu.
"Setelah kejayaan konsert solo yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada April tahun lalu, insyaAllah pada 27 Julai nanti akan menyusul sebuah lagi konsert di Singapura.
"Seterusnya pada 2 dan 3 Disember depan, saya akan menutup tirai dengan sebuah lagi konsert di Kuala Lumpur selama dua hari berturut-turut," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ella juga akan terlibat sebagai artis undangan untuk Konsert Pelarian 'Selamatkan Bumimu' pada 6 Ogos depan bersama Datuk Ramli Sarip.
Ia akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Jadual Nabila Padat Selepas 'Hikayat Cinta Si Pematah Hati'



Nabila Razali
KUALA LUMPUR: Mula mencuba nasib apabila terlibat dalam drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati, penyanyi Nabila Razali mengakui ia memberi kesan positif dalam kerjayanya sebagai anak seni.
Nabila, 25, berkata, kehadirannya dalam industri hiburan semakin diterima masyarakat dan jadual hariannya juga mula terisi dengan pelbagai undangan.
"Alhamdulillah, dulu memang orang tahu lagu saya Cemburu tapi mereka tidak kenal siapa yang menyanyi lagu itu. Bila saya cuba bidang lakonan dalam drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati ramai yang sudah mula mengenali.
"Besar impak drama itu dalam diri saya kerana sekarang ini saya memang banyak undangan-undangan untuk saya hadir ke majlis-majlis dan program tertentu.
"Jika nak diikutkan dari mula drama itu ditayangkan memang saya belum ada rehat selain sibuk dengan promsi drama tersebut," ujarnya.
Pelakon dan penyanyi yang digilap bakatnya menerusi program Akademi Fantasia 2013 ini ditemui pada majlis tayangan episod akhir drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati, di sini, malam Khamis lalu.
Nabila dan Alif Satar teraju utama drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pelakon-pelakon utama iaitu Alif Satar, Hafreez Adam, Nadiya Sahab, dan Yaya Zahir.
Drama itu bersiaran sebanyak 16 episod di slot Mega Drama setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 malam di Astro Ria.
Sementara itu, Nabila bersyukur, lakonan pertama dalam drama bersiri itu mendapat reaksi positif penonton.
Bagaimanapun, dia berhasrat untuk mengambil kelas lakonan bagi memperbaiki lagi kualiti lakonannya pada masa akan datang.
"Syukur sangat kerana tiada yang kecam lakonan saya, tapi saya sedar lakonan saya banyak yang perlu diperbaiki. Saya juga berhasrat untuk memasuki kelas lakonan.
"Saya ceburi bidang lakonan dan nyanyian bukan hanya suka-suka, jika dapat peluang saya perlu lakukan dengan baik," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nabila berkata, dia juga bakal keluar dengan single terbaharunya tidak lama lagi.
Lagu yang belum diberi tajuk itu merupakan ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.
"Inysa-Allah dalam masa terdekat ini, rakaman sudah siap cuma tinggal proses akhir sahaja.
"Lagu tersebut berentak pop seperti lagu Cemburu juga, tapi kali ini lebih segar dan mudah untuk diingati," ujarnya.