Monday, November 30, 2015

Langit Cinta bukan bayangan Ombak Rindu



Langit Cinta bukan bayangan Ombak Rindu
Antara babak dalam filem Langit Cinta.
SELEPAS melakar kejayaan menerusi filem adaptasi novel Ombak Rindu, pengarahnya, Osman Ali sekali lagi akan membuka tirai 2016 dengan filem terbaharunya berjudul Langit Cinta.
Filem yang akan mula ditayangkan pada 7 Januari 2016, merupakan filem pertamanya yang diadaptasi ke naskhah novel.
Pengarah Pilot Cafe ini juga memberitahu, inspirasi cerita Langit Cinta diperoleh selepas beberapa lama filem Ombak Rindu ditayangkan.
"Ramai yang meminta untuk saya menyambung filem Ombak Rindu itu untuk siri kedua, namun oleh kerana kita tidak dapat mencipta sambungan cerita kedua cerita itu, maka saya terfikir untuk menghasilkan satu cerita cinta berlainan.
"Justeru itu, saya tidak mahu filem Langit Cinta ini dibayangi oleh Ombak Rindu. Apa yang saya ambil, penontonnya yang sama menonton Ombak Rindu akan menonton pula filem terbaharu saya ini nanti.
"Kita tidak buat filem ini sambungan daripada Ombak Rindu, tetapi kita cuba bawakan perasaan  kepada penonton yang menonton Ombak Rindu akan jatuh cinta dengan watak dalam Langit Cinta dan dibuai oleh emosinya, itu yang saya kekalkan dalam Langit Cinta," katanya pada majlis pelancaran filem berkenaan di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Apabila idea tersebut sudah tersemat di dalam fikiran, Osman tidak membuang masa untuk berkongsi jalan ceritanya dengan pihak Astro ketika itu.
"Cerita dan idea filem ini adalah dari saya sendiri, justeru apabila saya sudah menyiapkan jalan cerita yang ringkas, terus bertemu dengan pihak Astro untuk berbincang.
"Alhamdulillah, pihak Astro ketika itu tertarik dengan jalan ceritanya dan sudi menjadi penerbit untuk filem ini selain mereka sendiri yang banyak memberi sokongan serta motivasi untuk menghasilkan filem ini," katanya.
Berkongsi mengenai jalan cerita filem tersebut, Osman berkata, filem tersebut diinspirasikan oleh sebuah kehidupan yang sebenar daripada watak-watak yang dia kenali.
"Sebenarnya ia adalah kisah bagaimana pertemuan ayah dan ibu saya di sebuah pulau di sebelah Thailand suatu ketika dahulu.
"Di pulau itu, ayah bertemu dengan ibu dan kemudian bermula bibit cinta mereka dan akhirnya berkahwin. Daripada situ saya mendapat satu jalan cerita menarik yang boleh dikembangkan," katanya.
Osman menggarap Langit Cinta dengan mempertaruhkan artis antaranya Keith Foo (Aliff), Nur Fazura (Khadeja), Fauziah Ahmad Daud, Datuk Jalaluddin Hasan, Farid Kamil (Budiman) dan Siti Saleha (Dr Suzana).  
Filem terbitan bersama Astro Shaw dan Alaf 21 ini mengisahkan percintaan antara dua darjat. Aliff Zulkarnain (Keith Foo) yang berasal dari sebuah keluarga berada sanggup melepaskan segala-galanya demi cintanya terhadap seorang gadis desa, Khadeja (Nur Fazura). Namun, cinta suci mereka telah ditentang oleh keluarga Aliff lalu memisahkan ikatan mereka sebagai suami isteri. Khadeja terpaksa berjiwa kental  berdepan dengan pelbagai dugaan hidup meskipun Aliff tiada di sisi. Di saat Khadeja hampir putus harapan pada cinta Aliff, Budiman (Farid Kamil) menawarkan dirinya bagi merawat luka di hati Khadeja.
Berdepan cabaran cuaca
Setiap penggambaran pasti ada cabaran yang perlu ditempuhi sebelum sesebuah filem itu berjaya dihasilkan. Begitu juga bagi produksi ini di mana faktor cuaca adalah cabaran utama pengarahnya.
Menurut Osman, selain berdepan perkara indah di sebuah pulau yang cantik di Pulau Perindu berhampiran Pulau Tuba, Langkawi, mereka juga melalui rintangan angin monsun pada bulan September tahun lalu ketika penggambaran.
"Bulan itu adalah waktu monsun di sebelah Pulau Andaman. Banyak berdepan rintangan seperti ombak besar dan ribut di tengah lautan.
"Ada satu hari ketika mahu memulakan penggambaran di tengah laut, di mana kesemua bot dan peralatan sudah bersedia, cuaca tiba-tiba berubah. Ombak besar mula kelihatan, justeru ada antara artis tidak dapat menahan keadaan itu, lalu terpaksa kami berpatah balik ke daratan.
"Ada juga kita sudah turun ke laut, tiba-tiba Jabatan Laut menyuruh kami naik semula ke darat kerana akan berlaku ribut di tengah laut yang boleh membahayakan keselamatan, jadi sekali lagi kami patah balik.
"Kejadian cuaca yang tidak menentu itu menyebabkan penggambaran yang sepatutnya dijalankan selama 40 hari terpaksa dilanjutkan ke 50 hari," katanya.
Kongsi Osman lagi, filem tersebut terpaksa kehilangan 30 peratus babak yang sepatutnya dilakukan mengikut skrip.
"Kami banyak melakukan pertukaran semasa hasilkan filem kerana banyak menghadapi halangan cuaca. Justeru ada babak yang sepatutnya dilakonkan di laut terpaksa di tukar ke daratan.
"Tetapi 70 peratus apa yang saya bayangkan termasuk rumah dapat kita binanya sendiri dan jayakannya," katanya.
Selain itu, Osman berkata, sebagai pengarah dia memikul tanggungjawab besar di mana perlu memastikan filem itu dihasilkan dengan penuh ketelitian.
"Ia penting kerana demi memastikan Langit Cinta menepati kehendak yang saya inginkan sebelum ini dan kehendak penonton," katanya.
Sinematografi alam
Filem yang menelan belanja sehingga RM1.5 juta ini juga mengetengahkan cinta sesama manusia dan cinta kepada pencipta.
Osman berkata, dalam filem tersebut, seolah-olah ada pencarian dan akhirnya akan ada pertemuan di mana ada kegembiraannya.
"Kemuncak sebuah cinta dalam filem ini, sebenarnya saya letakkan cinta sampai langit. Di mana tema cerita penentu segala cinta adalah kuasa ALLAH. ALLAH menentukan hala tuju cinta watak dalam filem ini.
"Selain itu, istimewanya filem saya kali ini apabila saya gunakan sinematografi alam semula jadi sebagai salah satu watak.
"Di dalam Ombak Rindu dahulu saya tidak berpeluang bermain alam dengan banyak, namun kali ini alam salah satu watak," katanya.
Mengulas pula mengenai pemilihan Fazura sebagai watak Khadeja yang mungkin agak sukar berdialog dialek Kedah berikutan dia bukanlah berasal dari utara tanah air, Osman berkata, Fazura dapat membawakan watak seperti apa yang diinginkan.
"Memang ada beberapa dialognya terpaksa saya betulkan kerana saya sendiri orang kawasan tersebut dan tahu akan dialek di sana.
"Tetapi 70 peratus dialognya dapat dilakukan dengan baik, sedap telinga mendengar tutur katanya dalam menjayakan watak Khadeja itu," katanya.
Adaptasi ke novel
Keistimewaan filem ini yang tidak boleh ditinggalkan adalah ia telah  diadaptasi ke naskhah novel di mana penulis Damya Hanna terpilih menghasilkan novel Langit Cinta. Damya Hanna ketika majlis itu sempat mengucapkan penghargaannya kepada Osman kerana memberinya peluang dan kepercayaan untuk menghasilkan novel daripada filem.
"Sememangnya dunia novel tidak asing buat saya, namun untuk adaptasi dari filem ke novel adalah pengalaman pertama saya dan ia ada cabarannya sendiri.
"Cabarannya apabila saya perlu kembangkan daripada 90 muka surat skrip kepada 500 muka surat novel.
"Justeru, banyak perkara perlu dibincangkan sendiri dengan Osman untuk mengetahui lebih terperinci mengenai cerita dan watak.
"Beberapa kali saya datang berbincang dengan Osman untuk mengetahui setiap hubungan antara watak kerana di dalam filem, ia tidak disebut terperinci, apabila dijadikan novel perkara itu sangat penting," katanya.
Penulis berusia 33 tahun ini mengakui skrip filem itu menyentuh hati sehingga menangis.
"Ketika baca skrip ini memang saya menangis, lagilah ketika menulis novelnya, dibuai perasaan sedih turut saya alami sendiri.
"Alhamdulillah novel mula diterbitkan pihak Alaf 21 Sdn Bhd dan telah pun dipasarkan. Rata-rata pembaca menyukai novel tersebut dan sangat menantikan tayangan filemnya," katanya yang sempat ke lokasi penggambaran untuk mendapatkan gambaran cerita.

Graduan UiTM juara Piala Seri Endon 2015



Graduan UiTM juara Piala Seri Endon 2015
Pengerusi Yayasan Penyayang Nori Abdullah (kiri) menyampaikan piala kepada Amirul Fadzuan (dua, kiri) yang memenangi tempat pertama Piala Seri Endon 2015 hari ini.
KUALA LUMPUR - Percubaan kali kedua Amirul Fadzuan Shaharom menyertai pertandingan rekaan batik Piala Seri Endon 2015 berbaloi apabila dinobatkan juara kategori fesyen dengan membawa pulang RM30,000 berserta trofi.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mencuba nasib tahun ini bersama adiknya Farah Natasha, 23, dengan membawa inspirasi batik yang diilhamkan ketika menjalani latihan industri di New York beberapa tahun lepas.
"Kali pertama saya sertai pertandingan ini pada 2010 tetapi tidak berjaya memenangi sebarang hadiah, namun kali ini saya cuba lagi dengan hasrat mahu bawa batik ke luar negara.
"Saya buat kajian dahulu, ambil pengajaran daripada penyertaan sebelum ini," kata anak muda berusia 27 tahun itu.
Pereka fesyen yang bergandingan bersama adiknya yang mengusahakan perniagaan perhiasan perkahwinan itu memenangi kategori itu melalui rekaan yang dinamakan 'Energy Endurance'.
Tempat kedua kategori fesyen dimenangi Kumpulan Fazosinn dengan motif Alam Kala Malam yang meraih wang tunai RM10,000 dan trofi manakala tempat ketiga diraih kumpulan Fiq Bah X P.P.Y dengan tema Seni Nusantara yang meraih RM5,000 berserta trofi.
Kesemua pemenang kategori itu adalah antara 12 finalis bagi pertandingan yang kini memasuki tahun ke-13 penganjurannya.
Tempat pertama kategori kraftangan pula dimenangi kumpulan Kinraliz dengan tema 'Art on Leather' manakala Kamaliah Ismail pula mengungguli kategori kemasan lembut.
Kumpulan Kinraliz dan Kamaliah, masing-masing membawa pulang wang tunai RM30,000 serta trofi. Kesemua hadiah disampaikan Pengerusi Penyayang, Nori Abdullah.
Pertandingan tahunan itu terbuka kepada penyertaan individu atau kumpulan yang terdiri daripada empat anggota berusia 18 tahun dan ke atas.

Peniaga vape minta tempoh kembali modal



vape
Gambar hiasan.
JOHOR BAHRU - Peniaga vape di negeri ini meminta kerajaan negeri mempertimbangkan larangan penjualan produk itu dan memberi tempoh kepada mereka mendapatkan kembali modal perniagaan sebelum ia dikuatkuasakan.
Tinjauan Bernama di beberapa premis perniagaan vape di bandar raya ini  mendapati suasana di premis agak suram dan beberapa penjual vape turut melahirkan rasa sedih dengan larangan tersebut.
Akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai bertitah agar larangan penjualan vape dikuatkuasakan dan semua premis yang menjual vape diberi tempoh sehingga 1 Januari depan untuk menutupnya.
"Berilah masa untuk kami mendapatkan kembali modal bagi penjualan vape ini," kata Noor Azlan Nardi, peniaga vape di Kilang Bateri, Jalan Tampoi, di sini ketika ditemui Bernama hari ini.
Pengusaha berusia 42 tahun itu berkata beliau terkilan dengan perkembangan terbaru itu kerana menjejaskan perniagaan anak Melayu sepertinya.
"Kami mula berniaga di tepi jalan, menumpang kedai mamak, sehinggalah kini kami mampu berniaga di kedai sendiri," katanya.
Beliau turut kesal kerana terasa teraniaya memandangkan maklumat mengenai sama ada perniagaan vape dibenarkan atau tidak sentiasa berubah.
"Kita peniaga rasa teraniaya sebab vape ini sekejap boleh, sekejap tidak boleh," katanya.
Noor Azlan berkata peniaga sepertinya telah mengeluarkan modal yang besar untuk memulakan perniagaan dan adalah sangat mustahil mendapatkan kembali modal dalam tempoh sebulan.
"Saya harap ada pihak yang mahu mendengar keluhan daripada peniaga vape dan mempertahankan hak kami," katanya sambil menambah memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk mendapat kembali modal sepenuhnya.
Sementara itu, Mohd Izwandi Suhaimi, 29, berkata beliau sedih dengan perkembangan berkenaan kerana baru sahaja memulakan perniagaan tersebut tiga bulan lalu.
"Tindakan itu umpama menutup periuk nasi kami, di mana kami hendak dapat modal balik kalau kami tutup kedai, sekurang-kurangnya bagi masa kepada kami dapatkan balik modal, separuh modal pun tak apa," katanya.
Terdahulu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Johor Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan negeri akan membincangkan titah Sultan Johor itu pada mesyuarat Exco dalam masa terdekat.
Beliau berkata pihaknya bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Bahagian Farmasi akan turut mengadakan perbincangan mengenai perkara itu sebelum dikemukakan pada mesyuarat itu.

Duit 'lesap' dipukau awang hitam



Duit 'lesap' dipukau awang hitam
Mangsa menceritakan kejadian kepada wartawan.
SHAH ALAM - ‎"Saya masih bingung, macam mana perkara itu boleh berlaku," demikian luahan seorang mahasiswa Universiti Awam di Lembah Klang, Mohd Ali (bukan nama sebenar) ketika mendedahkan kehilangan wangnya berjumlah RM2,000.
Menceritakan bagaimana insiden  itu berlaku, Ali berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9 malam,  ketika mana dia sedang mengeluarkan wang di kiosk ATM mesin di dalam universiti dia belajar.
"Ketika itu saya baru selesai keluarkan wang sejumlah RM100 untuk kegunaan peribadi, tapi secara tiba-tiba saya di datangi oleh seorang lelaki Afrika  yang bertanyakan arah untuk pergi ke perpustakaan.
"Tanpa mengesyaki apa-apa saya memberitahunya arah tersebut," katanya kepada Sinar Online semalam.
Ali berkata, selepas dia memberi pertolongan kepada lelaki ‎itu, dia pulang ke kampus penginapan.
"Selepas pulang saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
"Saya rasa saya turut memberinya wang, oleh itu bagi menyedapkan hati saya ke ATM itu semula kira-kira jam 11 malam untuk menyemak baki wang saya.
"Telahan saya tepat, saya secara tidak sedar sudah memberinya RM2,000 kerana baki wang saya menunjukan hanya tinggal RM100," katanya.
Ali berkata, dia begitu sedih dengan insiden itu, kerana dia hanya mempunyai simpanan sebanyak RM100 untuk teruskan hidup selepas ini.
Katanya, dia akan membuat laporan polis untuk memastikan tiada mangsa seterusnya.
"Kiosk di kawasan itu agak terpencil, jadi saya berharap dengan pendedahan ini tiada lagi mangsa.
"Kalau terdesak sangat hendak keluarkan wang, ajak rakan teman, jangan jadi seperti saya.
"Sekarang saya tidak tahu hendak 'ambil duit' mana, mungkin saya akan maklumkan kepada keluarga untuk meminta pertolongan,"  katanya.

Abadikan semula foto kahwin selepas 70 tahun



Abadikan semula foto kahwin selepas 70 tahun
Cao Yuehua dan isteri Wang Deyi memgabadikan semula foto perkahwinan mereka.
CHONGQING - CHINA. Sepasang suami isteri warga tua mengabadikan semula foto perkahwinan mereka sempena ulangtahun perkahwinan yang ke-70.
Cao Yuehua, 97 dan isteri Wang Deyi, 98, kembali semula ke lokasi yang sama ketika mereka merakamkan foto perkahwinan pada tahun 1945, lapor Chongqing Evening News.
Malah pasangan itu juga turut mengenakan pakaian pengantin.
Ini adalah saat yang penuh emosi kepada keluarga apabila Yuehua mendeklamasi puisi yang ditulis kepada isterinya 7 dekad lalu.
Menurut Yuehue, dia menulis puisi tersebut ketika bertugas sebagai penterjemah ketika mengikuti ekspedisi Tentera China  ke Myanmar semasa perang dengan tentera Jepun.
"Saya yakin dengan percintaan antara ibu bapa saya bahawa cinta boleh mengatasi segala-galanya," kata salah seorang anak pasangan itu.
Foto-foto tersebut mendapat perhatian netizen dan China yang rata-rata kagum dengan kisah percintaan pasangan itu.
"Tempat yang sama, berpegangan tangan, menghabiskan kehidupan bersama tidak kira pahit dan manis. Ini adalah rahmat yang paling besar dalam hidup," tulis pelayar di laman sosial Sina Weibo.
Sementara itu, Yuehua turut berharap dapat kembali semula ke tempat tersebut bersama isterinya semasa berumur 100 tahun.

Rekod Baharu, Doktor Keluarkan 11,950 Batu Karang Dari Pesakit





Kolkata – Seorang doktor terkejut apabila mengeluarkan 11,950 batu karang daripada seorang wanita yang dipercayai mencipta rekod dunia baru.

Minati Mondal, 51, mengalami sakit perut dan refluks asid selama dua bulan.
Dua minggu lalu, dia dimasukkan ke Hospital Debdoot Sevayan di Kolkata dan hasil pemeriksaan serta ultrabunyi menunjukkan dia menghidap batu karang yang teruk di dalam hempedunya.
Bagaimanapun, mereka tidak menyangka jumlahnya begitu banyak.
Pakar pembedahan gastro usus Dr Makhan Lala Saha berkata, dia memang mengagak jumlah batu karang yang banyak, tetapi terkejut besar selepas kiraannya menjangkaui 5,000.
Dia membuang hampir 12,000 batu dalam pembedahan selama sejam.
“Saya begitu terkejut kerana jumlah batu karang terlalu banyak. Saya tidak pernah menyangka hempedu mampu mengandungi jumlah batu sebanyak ini.
“Pembantu saya mengambil masa empat jam untuk mengira jumlah batu yang semuanya berukuran antara 2 hingga lima milimeter. Kami mengambil masa 50 minit untuk membuang semuanya,” katanya.
Menurutnya, dia sudah menulis kepada Royal College of Pathologists di London untuk menyimpan spesimen batu berkenaan di muziumnya.
Ia juga dianggap jumlah batu karang paling banyak dikeluarkan di dunia. 

Mesin ATM Di Jepun Mula Menyokong Penggunaan Bahasa Melayu





Apabila di luar negara kami akan pastikan mempunyai wang yang secukupnya. Ini adalah kerana jika anda mengeluarkan wang di negara luar, bank akan mengenakan caj tambahan. Tetapi kadang kala malang tidak berbau dan wang tunai masih perlu dikeluarkan menerusi ATM. Tetapi tidak semua ATM di negara luar menyokong bahasa Melayu. Hanya bahasa-bahasa utama dunia seperti Inggeris dan China mendapat sokongan dari bank luar negara.

Tetapi sekiranya anda ke Jepun anda kini boleh menggunakan mesin ATM menggunakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu ialah salah satu dari dua belas bahasa yang kini mula disokong mesin ATM di Jepun. 

Sebelum ini mesin ATM di Jepun hanya menyokong bahasa Jepun, Korea, China dan Inggeris. Pengenalan lapan lagi bahasa ini adalah langkah Jepun untuk memudahkan proses pengeluaran wang oleh pelancong yang melawat negara mereka. Mereka menyedari pelancong lebih gemar menggunakan wang tunai dari kad kredit. 

Apabila mesin ATM menyokong bahasa asing, mereka akan lebih mudah mengeluarkan wang seterusnya menjana ekonomi melalui pembelian barangan dari peniaga tempatan. 

Mesin ATM Seven Banks adalah yang pertama akan menawarkan perkhidmatan pelbagai bahasa ini. Selain bahasa Melayu, bahasa Indonesia, Thai, Perancis, German, Portugis dan Vietnam turut disokong.