Thursday, August 30, 2012

Nadia Annuar (TV3) Percaya Cinta Bekas Vokalis Kerispatih

Nadia Shahrul Annuar.

PETALING JAYA: Personaliti TV3 Nadia Shahrul Annuar menaruh kepercayaan kepada kekasihnya yang juga bekas vokalis kumpulan Indonesia, Kerispatih iaitu Sammy Simorangkir walaupun lelaki itu dikenali sebagai individu bermasalah sebelum ini.

Pengacara program Malaysia Hari Ini itu berkata, dia cuba meletakkan kepercayaan dan enggan meragui kekasihnya itu walaupun mereka menjalin hubungan cinta jarak jauh di antara dua negara.

“Hubungan kami masih baru dan tidak sampai setengah tahun pun. Bohonglah kalau saya tidak ragu-ragu atau bimbang pada dia (Sammy), apatah lagi hubungan kami berlangsung secara jarak jauh.

“Saya takut juga dengan kisah silamnya yang pernah terlibat dengan dadah tetapi pada masa yang sama saya selalu berwaspada. Tiada ertinya sesebuah hubungan tanpa kepercayaan,” katanya ketika ditemui mStar Online, di sini.

Ditanya mengenai dakwaan kisah hubungan sulit Sammy yang tersebar di Indonesia pada Jun lalu, Nadia berkata kontroversi itu merupakan permainan industri hiburan yang cuba menjatuhkan karier kekasihnya itu.

Sammy Simorangkir

“Itu (gosip) adalah permainan industri muzik di sana yang melakukan konspirasi untuk menjatuhkan karier Sammy. Hakikatnya, ketika cerita itu tersebar pada Jun lalu, saya berada di sana dan mengetahui perkara yang sebenar.

“Saya sedar bukan mudah dan besar cabarannya bagi kami menjalinkan hubungan jarak jauh tetapi saya cuba bina kepercayaan itu semampu yang boleh,” luahnya yang enggan memikirkan soal jodoh pada masa ini.

Nadia berkata, baik pihaknya mahupun Sammy lebih senang untuk berkongsi mengenai status mereka secara terbuka kepada khalayak umum kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.

“Tiada apa yang perlu disembunyikan mengenai hubungan kami. Saya mengenali latar belakang dan sejarahnya dan begitu juga sebaliknya.

“Status saya sebagai ibu tunggal yang mempunyai seorang anak juga tidak menjadi isu buatnya kerana dia menerima saya seadaanya,” kongsinya yang tertawan pada sikap budiman dan kelucuan Sammy.

Sebelum ini, Nadia pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan, Sulaiman @ Mohd Helmi Mohd Ilyas, 31, sebelum bercerai di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2010.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Mohamed Aaron Erwin, lima.

Uji Bakat 'RM1,000,000 Money Drop' Bermula 1 September

RM1,000,000 Money Drop bakal kembali untuk musim kedua pada Oktober depan.

KUALA LUMPUR: Kejayaan program RM1,000,000 Money Drop, menyebabkan pihak Astro meneruskan kesinambungan dengan menganjurkan uji bakat musim kedua yang akan diadakan bermula 1 September ini di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.

Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, berdasarkan kepada sambutan menggalakkan, pihaknya yakin rancanganitu untuk musim kedua akan mendapat sambutan hangat.

"Ternyata eksperimen kami dalam menyiarkan program hiburan berbentuk permainan yang menguji kepintaran peserta dan kebijaksanaan melabur mendapat tempat yang baik di kalangan penonton," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Rabu.

Tambah Raqim, selain memberikan variasi pilihan rancangan hiburan, RM1,000,000 Money Drop, memberi peluang kepada seisi keluarga berkumpul dan berkongsi pengetahuan am dengan suasana santai selain mendidik mereka dan penonton daripada aspek pengurusan risiko dan pelaburan.

"Kami menjangkakan program ini mengulangi fenomena serupa untuk musim kedua dan menerima sambutan luar biasa pada sesi uji bakat yang akan datang," katanya.

Pada musim pertama, pasangan bapa dan anak, Izhar Mohd Idris dan Mas Syahmi Izzah Izahr berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM240,000 dengan hanya menjawab beberapa soalan.

Dalam pada itu, Raqim berkata, pihaknya akan berkunjung ke empat buah lokasi uji bakat bermula di Hotel Ixora, Pulau Pinang (1 dan 2 September), Hotel Permai, Kuala Terengganu (7 dan 8 September), Hotel The Zon Regency, Johor Bahru (8 dan 9 September) dan Hotel Gardens, Mid Valley Kuala Lumpur (15 dan 16 September).

Raqim memberitahu kaunter pendaftaran bagi setiap sesi uji bakat dibuka dari pukul 9 pagi hingga 2 petang.

"Peserta mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan perlu membawa salinan kad pengenalan serta sekeping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang).

"Hadirkan diri di lokasi uji bakat secara berpasangan seperti suami isteri, kawan dan sebagainya. Mereka yang berminat untuk menyertai rancangan ini perlu mempunyai pengetahuan am yang luas serta berperwatakan ceria," katanya.

RM1,000,000 Money Drop, musim kedua bakal bersiaran di saluran Astro RIA (saluran 104) bermula 20 Oktober depan.

Norish Tidak Dicemuh Kerana Kontroversi Anak Keempat

Norish Karman.

PETALING JAYA: Pelakon Norish Karman berkata pendedahan mengenai status bayi lelakinya yang dikatakan anak luar nikah di sebuah akhbar harian pada minggu lalu tidak mengundang cemuhan masyarakat.

Norish atau nama sebenarnya Nor’Asikin Karman, 38, berkata, dia mendapat sokongan peminat sejak pendedahan secara terbuka mengenai anak keempat tersebut iaitu Muhammad Haq Lutfie Alexander (Haq) yang berusia 11 bulan.

“Tiada cemuhan atau penghinaan daripada peminat dan masyarakat yang saya terima sejak pendedahan (mengenai bayi lelaki) di akhbar baru-baru ini.

“Sebaliknya, peminat memahami kesulitan yang saya hadapi dan menyatakan sokongan, kasih sayang dan perangsang di laman Facebook kepada saya dan keluarga,” katanya yang melahirkan anak itu pada 24 September tahun lalu.

Aktres dari Singapura itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya program Wanita Hari Ini di perkarangan Sri Pentas TV3, Bandar Utama di sini, petang Rabu.

Norish berkata, dia juga tidak kesal atau terkilan apabila gambar-gambar dan tuduhan berkenaan tersebar di Internet sejak beberapa bulan lalu.

“Tiada apa yang perlu saya kesalkan apabila cerita itu timbul dan diperkatakan secara meluas. Saya terimanya dengan reda kerana ini adalah ketentuan Allah.

“Orang yang tidak tahu apa-apa lebih baik jangan buka mulut dan menyebarkan cerita yang mereka tidak tahu kesahihannya,” katanya.

Ditanya mengenai tindakannya berdiam diri seperti mahu melarikan diri sebelum ini, Norish berkata, dia tidak berniat untuk mengelak tetapi menunggu waktu terbaik untuk membuka mulut.

“Pada asalnya saya mahu berkongsi mengenai kemunculan Haq dalam keluarga kami pada sambutan hari lahirnya yang pertama pada September depan. Apabila cerita itu timbul awal dan tersebar saya terpaksa hadapinya dengan tenang, bijak dan matang.

“Jujurnya, saya malas hendak layan dan merunsingkan fikiran. Saya terima kontroversi ini sebagai takdir yang membuatkan saya lebih popular biarpun secara negatif,” katanya.

Mengenai zuriat itu, Norish berkata dia bersyukur kerana dikurniakan anak yang tidak banyak ragam serta dilimpahi kasih sayang keluarga di sebalik cerita-cerita negatif yang timbul.

Terbaru, pelakon filem Sayang Salmah ini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang Psikologi dan Sains Sosial di sebuah institusi yang dirahsiakan, selain tumpuan pada kerjaya lakonan, nyanyian dan penceramah motivasi.

Norish turut memiliki tiga anak hasil pernikahan pertamanya iaitu Muhd. Haqiem Armany, 13, Muhd Hardy Amieran, 9 dan Nur Hanyz Amanda, 8.

10 Penyanyi Muda Meriahkan 'Himpunan Janji Ditepati' Esok

Yuna

PETALING JAYA: Lebih daripada 10 barisan penyanyi muda bakal memeriahkan acara Himpunan Janji Ditepati bersempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-55.

Ia akan berlangsung pada Jumaat (esok) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Acara yang akan bermula dari pukul 3 petang hingga 12.30 tengah malam itu bakal membariskan penyanyi popular Yuna, Ella, Hafiz (AF7), Stacy, Faizal Tahir, Nash (Lefthanded), Suki, Daniel Lee dan Shruthi.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli, acara itu diperkenalkan bagi mewujudkan interaksi pemimpin bersama rakyat selain memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

Ella

"Sebenarnya acara ini lebih tertumpu untuk menyaksikan pembabitan generasi muda. Kerana itu, kami membariskan penghibur daripada kalangan generasi tersebut selain penglibatan golongan belia," katanya.

Tambah Norliza, persembahan itu juga antara satu kaedah menggerakkan kebudayaan negara selain amalan dalam kehidupan bersatu padu yang sinonim dengan budaya Malaysia.

Para peserta gigih menjalani latihan 'Himpunan Janji Ditepati'.

Dalam pada itu, dijangka seramai 8,500 peserta akan menyertai himpunan ini manakala Perarakan dan Perbarisan di Dataran Merdeka pula menghimpunkan 13,500 peserta.

Bagi memeriahkan lagi sambutan, acara cabutan bertuah turut diadakan dengan menawarkan hadiah utama, sebuah Proton Preve dan empat motosikal Modenas tajaan Proton, dua tiket penerbangan pergi balik, Kuala Lumpur - London dan Kuala Lumpur - Sydney tajaan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), 50 Tablets tajaan Huawei Technologies dan 10 basikal Fixie

Untuk menyertainya para pengunjung perlu mendaftarkan diri di khemah pendaftaran.

Remy Ishak Tolak Tawaran Berlakon Untuk Pulih Emosi

Remy mengakui terbawa-bawa watak Budi yang dipegang dalam filem 29 Februari sehingga ke luar set penggambaran.

PETALING JAYA: Pelakon kacak, Remy Ishak mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon gara-gara terbawa-bawa watak Budi menerusi filem terbarunya berjudul 29 Februari.

Remy berkata, perkara itu terjadi selama sebulan selepas penggambaran tamat dan terpaksa berehat sepanjang tempoh itu bagi memulihkan emosi.

"Saya tidak tahu mengapa watak Budi begitu memberi kesan kepada saya sehingga tidak mampu melepaskannya sehingga terbawa-bawa ke alam realiti saya walaupun telah selesai menjalani penggambaran.

"Bagaimanapun perkara tersebut hanya berlarutan selama sebulan dan ia kembali seperti sedia kala selepas itu," ujarnya ketika ditemui semasa pra-tonton filem terbitan KRU Studios itu di sini pada malam Selasa.

Tambah Remy, kejadian mungkin berlaku kerana semasa penggambaran dia sentiasa berperang dengan watak tersebut yang memerlukan dia menukar 'mood' lakonan beberapa kali dalam sehari mengikut perjalanan cerita yang berubah mengikut tahun.

"Sebagai contoh, pada waktu pagi saya perlu berlakon untuk watak ketika zaman 1950-an, sebelah tengah hari untuk watak tahun 2012 manakala pada waktu petang pula kembali ke era 1970-an.

"Ia kelihatan mudah pada orang lain tetapi realitinya ia sukar kerana saya perlu bijak membezakan gaya dan cara mengikut zaman-zaman tertentu," katanya.

Dalam pada itu, Remy tidak menafikan berlakon dalam filem arahan Edry Abdul Halim itu turut memberikan pengalaman berbeza kepadanya sebagai seorang pelakon.

Remy memberitahu beruntung dapat bergandingan dengan Jojo yang disifatkan sebagai seorang pelakon yang profesional.

Menurut Remy, walaupun telah bergelar sebagai pelakon untuk beberapa tahun dia mendapati masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan menerusi 29 Februaribanyak pengetahuan telah dikutip.

"Selepas mengharungi watak Budi yang penuh dengan karakter berbeza mengikut zaman, saya lebih yakin dengan teknik menjiwai sesuatu watak yang diberikan.

"Tambahan pula saya perlu menyanyi dalam filem ini dan ia menambah lagi keyakinan diri saya sebagai seorang pelakon kerana ia bukan mudah untuk dilakukan," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai gandingannya dalam filem tersebut iaitu Jojo Goh, Remy memberitahu kagum dengan pelakon berbangsa Cina itu kerana dia sangat profesional ketika berada di set penggambaran.

"Saya kagum dengannya kerana walaupun telah banyak pengalaman bergelar sebagai pelakon dia telah merendah diri bertanya tentang perkara yang dia tidak pasti.

"Malah dia tidak lokek berkongsi pengalamannya yang pernah berlakon dalam produksi filem di Hong Kong sebelum ini," katanya.

Selain Remy dan Jojo, 29 Februari turut dilakonkan oleh Izzue Islam, Fizz Fairuz, Dian P. Ramlee, Muniff dan Namron.

Ia bakal ditayangkan kepada umum bermula 30 Ogos ini dalam tiga format berbeza iaitu 3D, 2D dan 35mm secara serentak di 79 buah pawagam di seluruh negara.

'Wanita Hari Ini’ Jadi Sasaran Ibu Tunggal

Barisan pengacara baru dan lama Wanita Hari Ini pada majlis rumah terbuka Hari Raya dan ulang tahun ke-11 program itu di perkarangan Sri Pentas Bandar Utama, di sini, petang Rabu. Turut kelihatan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar (duduk, tiga kanan).

PETALING JAYA: Program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 terus menjadi pilihan dan rujukan utama golongan ibu tunggal di negara ini selepas 11 tahun disiarkan.

Menurut Penerbit Eksekutifnya, Siti Hatija Yusof, program satu jam itu berjaya meninggalkan impak dan memberikan kebaikan serta panduan kepada golongan tersebut sehingga wujud jaringan kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Saya bangga kerana selepas 11 tahun, WHI berjaya meninggalkan impak positif kepada wanita secara amnya. Malah, program ini juga menjadi saluran utama golongan ibu tunggal di negara ini dalam berkongsi panduan dan bimbingan kepada khalayak.

“Bayangkan, selepas 11 tahun bersiaran kami sudah mempunyai jaringan hubungan dengan persatuan-persatuan ibu tunggal yang bekerjasama dalam pengisian mengenai tip dan panduan mengenai kehidupan golongan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya dan ulang tahun ke-11 program itu di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, Rabu.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar dan bekas-bekas pengacara WHI antaranya Nurfarahin Jamsari, Maria Tunku Sabri, Azura Karim, Ezzah Aziz Fawzy, Ruhil Shafinaz Hussin, Norish Karman dan Nadia Shahrul Annuar.

WHI disiarkan secara langsung di TV3 pada setiap Isnin hingga Jumaat selama sejam bermula pukul 12 tengah hari.

Siti Hatija Yusof

Siti Hatija berkata, faktor kesederhanaan pada aspek populariti tetapi pengisian yang berkesan menjadikan program itu kekal bertahan selama lebih sedekad.

“Kami sedar WHI tidak popular mana berbanding program-program lain tetapi impak kewujudannya terus dirasai terutama di kalangan penonton sasaran sehingga hari ini.

“Memang itu yang kami tekankan sejak awal penerbitannya iaitu pengisian dan topik yang bernas bukan populariti kosong semata-mata,” katanya.

Menurutnya, seiring dengan peredaran masa, program itu turut menampilkan perubahan dengan mengetengahkan barisan pengacara muda berbanding sebelum ini.

“Kadar tontonan WHI menunjukkan ia makin digemari penonton muda, maka kita pertaruhkan barisan pengacara muda tetapi masih mengekalkan personaliti berpengalaman seperti Azizah Ariffin.

“Kita mahu kekalkan keseimbangan itu selain menjaga pengisian dan topik yang dipaparkan di mana faktor topik dan pengacara adalah formula yang membuatkan ia terus diminati penonton,” katanya.

WHI kini turut dibarisi Fiza Sab Jahan, Nor Azzura Azizul Azman, Teh Syuhaida, Hazrena Kassim dan Irin Putri.

Astro Best, Saluran Baharu Astro Untuk Filem Antarabangsa

Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan (enam, kanan) bersama karakter adiwira-adiwira pada pelancaran Astro Best di Kafe Zouk, Garden Midvalley, di sini, Rabu.

KUALA LUMPUR: Stesen berbayar Astro menambahkan lagi saluran baharu untuk peminat filem-filem antarabangsa dengan memperkenalkan Astro Best selepas kejayaan Astro First yang menyajikan filem-filem tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, filem-filem tersebut akan disiarkan dalam format definisi tinggi (HD) menerusi saluran 481 selepas tiga bulan tayangan di pawagam. Ia dijual dengan harga RM10 untuk sebuah filem.

"Melihat kejayaan yang diraih menerusi saluran Astro First, kami berusaha untuk membawakan tawaran-tawaran menarik melalui 'pay per view' menerusi Astro Best.

"Dan mulai hari ini (Rabu), para pelanggan sudah boleh membeli filem-filem antarabangsa termasuklah Asia dengan RM10 bagi setiap pilihan filem yang dibuat.

"Filem yang dipilih itu boleh ditonton dalam masa 48 jam selepas langganan," katanya pada pelancaran Astro Best di Kafe Zouk, Garden Midvalley, di sini, Rabu.

Buat permulaan antara filem-filem yang bakal ditawarkan ialah Marvel's The Avengers, The Hunger Games, What to Ezpect When You're Expecting, The Cabin In The Wood dan konsert Korea I AM:SM Town Live Tour in Madison Square.

Henry Tan

Tambah Henry, pelanggan boleh menonton filem yang dibeli itu dalam 12 tayangan pada masa-masa yang berlainan.

Astro melakukan kolaborasi dengan studio-studio antarabangsa seperti The Walt Disney Company, Lionsgate, Sundance, Sony Pictures Televisyen, Fortune Star, CJ Media dan Unitel Classica untuk membolehkan pelanggan mengakses gedung filem-filem antarabangsa yang disediakan.

Sementara itu, bagi yang meminati siri ‘anime’ Jepun, ia turut ditawarkan menerusi saluran Astro B.yond VOD yang menyajikan audio serta sari kata dalam Bahasa Malaysia.

Astro B.yond VOD (Video-On-Demand) adalah sebuah perkhidmatan Internet yang disediakan bagi servis tawaran pelbagai filem dan program terhangat di seluruh dunia.

Antara filem-filem yang ditawarkan menerusi saluran itu ialah 50/50, Man On A Ledge, Abduction, Here, Teddy Bear termasuklah filem-filem Asia dan Bollywood seperti Nightmare, Ghost On Air, Ashoka, Chalte Chalte dan Penny Pinchers.