Sunday, January 30, 2011

Saya tak teragak-agak

FASHA... tidak perlu ada pihak tokok tambah.
FASHA... tidak perlu ada pihak tokok tambah.

SETINGGI mana dia terbang memperdagangkan bakat, sebesar itu juga kontroversi yang mengulit. Bukan kehendaknya, namun rencah anak seni yang bernafas di bawah limpahan populariti, Fasha Sandha akur meskipun setiap inci peribadinya dibogelkan.

Peluh dan kerut dahinya yang sukar disembunyi kerana berlari ke lokasi penggambaran drama siri terbaru lakonannya, Samson Delaila dan kembali menguruskan salun miliknya, Salon Chinta yang bakal beroperasi tidak lama lagi, Fasha terus diasak dengan berita mengejut perpisahannya dengan kekasih, Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

Tidak terhenti di situ, sehari kemudian aktres kelahiran Johor Bahru ini berdepan pula kemelut berbalas kenyataan dengan bekas isteri kepada Jejai yang juga dramatis, Nora Danish.

Sejak awal pagi Khamis lalu sejurus segala pengumuman dan perang kenyataan di dada akhbar, aktres terkenal ini tidak henti-henti mendedahkan status ‘berani’ yang cenderung menyerang pihak lawannya di ruangan sosial peribadi Twitter miliknya, @FashaSandha1.Persoalannya, sampai bila Fasha akan terus mengharungi cerita panas sebegini? Adakah mungkin ia berterusan hingga mencipta satu stigma dan persepsi? Kepada wartawan SELEBRITI, Murshid Eunos, Fasha berkongsi rasa.“MUSTAHIL saya merancang atau sengaja mencurah pasir ke dalam periuk nasi sendiri. Tidak mungkin saya bertindak bodoh seperti itu jika tiada alasan kukuh.


Ternyata, saya terpaksa berbuat demikian bagi menegakkan kebenaran dan keadilan diri sendiri. Saya tidak mahu ada pihak lain sewenang-wenangnya menindas saya dengan bergayut sekali dalam permasalahan yang saya hadapi.

Jujurnya, memang ia sedikit mengganggu perjalanan rutin harian, lebih-lebih saya sibuk di lokasi penggambaran dan terpaksa berlari-lari memantau salun yang hampir siap.

Namun itulah harga yang terpaksa saya bayar atas segala kegemilangan dikecapi. Saya akur dan terpaksa menelan semua itu meskipun rasanya sangat pahit.

Selepas pengumuman pihak Jejai dan saya berhubung perpisahan kami, tidak sepatutnya ada pihak lain yang sibuk ingin merasa tempias publisiti dengan memberi kenyataan atau komen. Cerita itu merungkai segala spekulasi ramai pihak. Namun ada pula yang sengaja ingin memanjangkan isu itu hingga mencabar tahap kesabaran saya sebagai wanita.

Berita di muka depan mengenai perpisahan kami itu sudah cukup dan tidak perlu pula ada orang yang tidak tahu-menahu untuk menambah fakta dan bercakap lebih, sedangkan dia tidak tahu kisah di sebaliknya. Bagai menjolok sarang tebuan, usah bising jika sengatnya membunuh secara perlahan.

Saya terpaksa mendedahkan semua bukti yang saya ada seperti senarai panggilan, mesej dalam telefon bimbit dan beberapa keping gambar bagi membuka dimensi mata peminat atau sesiapa yang tekun mengikuti sorotan kisah ini supaya persepsi kononnya saya hanya bersembunyi di sebalik helah adalah salah.

Saya tidak mahu berbuat demikian kerana bimbang ia akan mengaibkan sesiapa, namun jika keadaan mendesak seperti mana pernah dicanangkan sebelum ini, saya tidak akan teragak-agak.

Bukan saya ingin membuktikan siapa menang atau dalang mana yang cuba membelit fakta, sebaliknya saya perlu memikirkan soal reputasi yang seolah-olah sengaja dicalarkan berhubung perkara ini.

Saya tidak peduli soal perasaan sesiapa kerana keutamaan adalah diri sendiri. Saya perlu berdiri untuk menegakkan apa yang benar dan mana yang sepatutnya dibicarakan.

Peminat saya arif dan bijak. Mustahil mereka leka dan berbuai dengan segala macam cerita yang timbul. Alhamdulillah, mereka tidak sesekali lari atau merasa benci, sebaliknya semakin kerap pula peminat menghantar kata-kata semangat dan dorongan kepada saya melalui Twitter.

Twitter adalah ruangan peribadi untuk saya berkongsi rasa atau apa saja yang ingin disembangkan. Ia adalah komunikasi bersama peminat dan mereka yang ingin mengikut perkembangan saya.

Justeru, saya tidak melihat perkara itu sebagai satu peperangan atau mencerminkan sifat peribadi seseorang. Usah terlalu dalam memikirkan soal itu.

Saya hanya ingin berkongsi perasaan bersama peminat dan begitu juga dengan sesiapa yang lain. Masing-masing punya hak untuk menaikkan status di Twitter bagi meluahkan perasaan. Senario itu bukan satu peperangan, sebaliknya hanya medium berkongsi rasa.”

Rita Rudaini Tamatkan Sengketa Dengan Mertua

Rita dan Adil bersama anak mereka Airit Rayyan.

PETALING JAYA: Hubungan yang keruh melibatkan pelakon Rita Rudaini Mokhtar,35, dengan keluarga mertuanya kembali jernih apabila kedua-dua pihak sudah menamatkan perselisihan faham yang tercetus hampir tiga tahun lalu.

Peristiwa air mata itu berlaku di Pusat Perubatan Prince Court, Jalan Tun Razak di sini pada malam Khamis lalu apabila suami Rita, Aidil Zafuan,24, membawa ibu dan bapanya Azizah Arshad,58, dan Abdul Radzak Salleh,61, untuk menziarahi cucu mereka, Airit Rayyan Rizqin yang berusia dua tahun di pusat perubatan itu akibat demam panas.

Ketika tiba di pusat perubatan berkenaan, Rita telah meluahkan segala isi hati yang terbuku selama ini sehinggalah kedua-dua pihak bermaaf-maafan bagi menjernihkan segala kekusutan yang terjadi.

“Emak sayangkan Rita. Mak restu perkahwinan Rita dengan Aidil,” kata Azizah sambil memeluk menantunya dengan linangan air mata.

Rita juga turut mencium tangan Abdul Radzak sambil kedua-dua mereka meminta maaf di atas segala masalah yang telah berlaku selama ini.

Aidil Zafuan (kanan) bersama ibu dan bapanya, Azizah Arshad dan Abd. Radzak Salleh sewaktu ditemui wartawan di rumah mereka di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Detik-detik itu turut disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Bukan sahaja bermaaf-maafan malah Rita yang kini mengandung lima bulan anak kedua turut menjemput ibu bapa mertuanya itu melawat cucu mereka di rumahnya di Manjalara, Kuala Lumpur pada masa akan datang.

“Kalau mak dengan ayah rindu dekat Rayyan, boleh datang melawat,” kata Rita yang tentunya berasa lega dengan peristiwa bersejarah itu.

Kedua-dua pihak memanjatkan rasa syukur kerana kekeruhan yang berlaku dapat dijernihkan apabila mereka berjaya menamatkan sengketa yang telah berlaku.

Rita dan Aidil bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada bulan Februari 2008 sehingga menimbulkan kekecohan apabila perkahwinan berkenaan tidak mendapat restu keluarga.

Akibat kejadian itu, kedua-dua pihak gagal mencapai persefahaman untuk berdamai sehinggalah ia berpanjangan.

Selain Aidil Zafuan, kembar bintang bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan tersebut iaitu Zaquan Adha turut memilih artis sebagai isteri apabila bernikah dengan Ayu Raudhah pada 21 Januari lalu.

Erra Enggan Layan Gosip Suami Main Kayu Tiga

Erra Fazira sudah lali dengan pelbagai gosip liar yang menyerangnya sepanjang hampir 18 tahun bergelar anak seni.

PETALING JAYA: Aktres popular Erra Fazira, 36, enggan melayan sebarang gosip yang mendakwa rumah tangganya sedang bergolak gara-gara suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin kononnya mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Menjawab dakwaan terbaru yang kembali diperkatakan, Erra bagaimanapun menyifatkan cerita yang timbul itu sebagai sesuatu yang tidak berasas selagi tidak mempunyai bukti.

"Jujurnya, memang saya pernah dengar cerita yang mengatakan Emran mempunyai hubungan dengan wanita lain di luar tetapi saya selalu ambil pendekatan untuk tidak ambil pusing selagi tiada bukti kukuh.

"Kadang-kala orang boleh bercakap dan memfitnah macam-macam tentang kita. Jika benar dakwaan tersebut, saya sentias berdoa agar ditemukan bukti dan petunjuk," katanya yang tidak hairan dengan dakwaan terbaru itu.

Ditanya pula adakah dia pernah bertanyakan kesahihan dakwaan tersebut kepada suaminya, Erra mengakui pernah berbincang dalam keadaan yang santai dan bergurau.

Namun perkara tersebut tidak pernah diperbesar-besarkan sehingga mencetuskan perbalahan kerana tidak terbukti kesahihannya.

"Memang saya pernah bertanyakan perkara itu kepadanya tetapi dalam keadaan yang santai dan bergurau. Namun, selagi tidak terbukti, saya tidak mahu ambil serius.

"Tidak perlulah sampai kami berbalah di rumah semata-mata mendengarkan cerita yang timbul sedangkan belum terbukti kebenarannya," katanya yang mengakui pengalaman bergelar selama hampir 18 tahun dalam bidang seni banyak membantu dalam menangani gosip sebegini.

Bagaimanapun, Erra turut bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan dalam rumah tangganya seandainya perkara yang tidak diingini itu benar-benar berlaku seperti mana yang didakwa.

"Sebolehnya saya tidak mahu memikirkan tentang perkara remeh-temeh yang tidak berasas selagi tidak mempunyai bukti.

"Bagaimanapun, seandainya sesuatu yang tidak diingini berlaku, saya sentiasa bersiap-sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran program rombongan Erra Art Club di Borders, The Curve, di sini, Jumaat.

Krisdayanti Tinggal Di Timor Leste Selepas Berkahwin

DALAM masa terdekat ini, penyanyi Krisdayanti (KD) (gambar) akan berkahwin dengan ahli perniagaan dari Timor Leste, Raul Lemos.

Selepas berkahwin, KD tidak keberatan untuk berpindah mengikut suaminya tinggal di negara bekas sebahagian Indonesia itu.

Bagaimanapun dia dan suami tidak akan terus menetap di Timor Leste selepas berkahwin nanti. Penyanyi lagu Mencintaimu itu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Bekas isteri Anang Hermansyah itu berharap setelah berkahwin dengan Raul, peribadinya akan lebih baik. Dia yakin, calon suaminya itu akan selalu menyokong karier nyanyiannya.

Jennifer Aniston Nafi Ambil Anak Angkat

AKTRES Jennifer Aniston (gambar) dikhabarkan sedang berusaha untuk mendapatkan anak angkat. Bagaimanapun bekas isteri Brad Pitt itu menafikannya.

Sebelum ini bintang siri Friends itu mengaku sangat teringin untuk memiliki anak. Kemudian timbul desas-desus mengatakan Jennifer telah mengambil seorang anak angkat lelaki dari sebuah rumah anak yatim di Mexico.

"Jennifer tidak mengambil anak angkat dari Mexico kerana dia tidak mempunyai bilik bayi di rumahnya dan dia juga tidak mengupah seorang pengasuh. Cerita tersebut hanya rekaan semata-mata," ujar jurucakap Jennifer menurut Contactmusic, Jumaat lalu.

Ini bukan merupakan pertama kali Jennifer didakwa mengambil anak angkat kerana wanita yang pernah dikaitkan dengan John Mayer dan Gerard Butler itu pernah dikatakan mengambil anak angkat pada 2009 lalu. Saat itu Jennifer dipercayai mengunjungi rumah anak yatim Casa Hogar Sion di Tijuana, Mexico.

Sepanjang berkahwin dengan Brad, Jennifer tidak pernah dikurniakan cahaya mata.

Aquila Emas Perakui Kejayaan Artis

Antara artis di bawah naungan Aquila Emas.

KUALA LUMPUR: Agensi pengurusan artis serta perunding pembangunan dan pemasaran bakat Aquila Emas memperkenalkan artis-artis dibawah naungannya untuk sesi 2011.

Mereka adalah Ainul Aishah, Airis Yasmin, Amar Delon, Hafiz Halim, Hafidzuddin Fazil, Tengku Adrian, Tony Eusoff, Zed Zaidi, Zizan Nin dan yang terkini adalah Qimi Bakri.

Pengarah Urusan Aquila Emas, Syarizan Md Isa amat berpuas hati dengan pencapaian peribadi setiap artisnya sepanjang tahun 2010.

“Artis Aquila Emas telah melangkah ke satu peringkat yang lebih baik di mana pelakon terkenal seperti Ainul Aishah kini boleh menulis lirik dan menjadi komposer melalui dua single yang dilancarkan pada tahun lalu, manakala Tony Eusoff pula sedang giat menjalani latihan teater muzikal Terima Kasih Cinta yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada Februari 2011.

“Ini menunjukkan perubahan positif terhadap kerjaya mereka yang selama ini hanya tertumpu pada bidang lakonan sahaja.

“Sementara artis Aquila Emas yang lain seperti Zed Zaidi telah berjaya mengembangkan perniagaannya dengan membuka francais Papa Rich di Heritage Row, pelakon dan pengacara Zizan Nin juga telah melangkah ke dunia teater dan kembali ke layar perak, manakala Diana Johor pula telah menerbitkan drama untuk siaran TV3,” katanya.

Tambah: “Bagi tahun 2011, artis Amar Delon telah diberi kepercayaan oleh pihak Tall Order Production untuk mengarah, menulis skrip dan berlakon untuk drama rantaian RTM akan datang.

“Dia juga terlibat dalam penggambaran filem Chow Kit terbitan Primeworks Studios yang turut melibatkan artis Aquila Emas yang lain seperti Airis Yasmin, Lana Nodin dan Yasmin Hani.”

Aquila Emas juga mempunyai agenda tersendiri untuk tahun 2011. Dengan berbekalkan pengalaman menguruskan artis semenjak beberapa tahun lalu, Aquila Emas ingin bergiat aktif dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan bagi memupuk nilai-nilai positif di kalangan masyarakat.

Antara aktiviti kemasyarakatan yang telah dianjurkan dan disertainya adalah Kempen Menderma Darah 1 Komuniti Ke 1 Komuniti serta kempen 10,000 Expression of Green KL baru–baru ini.

Sementar itu, Tony Eusoff amat berpuas hati dengan pengurusan Aquila Emas yang banyak membantu serta memberi khidmat nasihat dalam karier seninya.

Bagi Zizan Nin yang merupakan artis terawal menyertai Aquila Emas, dia sangat menghargai pengurusan Aquila Emas yang telah memantau perkembangan kerjayanya sejak beberapa tahun yang lalu.

Malah Ainul Aishah serta Zed Zaidi turut bersetuju agar lebih ramai artis menyertai Aquila Emas untuk pengurusan kerjaya seni yang lebih profesional dan berwawasan.

Setiap hari dibelasah

BUKTI... surat mahkamah, laporan polis dan surat pengesahan perkahwinan di Thailand.
BUKTI... surat mahkamah, laporan polis dan surat pengesahan perkahwinan di Thailand.
SAKIT... Alina menunjukkan bahagian badan yang lebam angkara suami.
SAKIT... Alina menunjukkan bahagian badan yang lebam angkara suami.

KUNJUNGAN seorang wanita ke sebuah negeri di utara tanah air Julai tahun lalu untuk bertemu bakal suami sepatutnya menjadi detik indah, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya apabila lelaki itu yang selama perkenalan mereka baik hati, lemah lembut, malah percintaan direstui keluarga, berubah menjadi buas umpama ‘binatang’.

Hampir dua bulan wanita itu diperlakukan umpama hamba abdi dengan setiap hari dibelasah bukan saja menggunakan kaki dan tangan, tetapi turut digigit di beberapa bahagian badan.

Paling dikesalkan, perkahwinan yang dijadualkan pada Disember tahun lalu, ‘dipercepatkan’ bakal suaminya apabila dibawa ke Thailand untuk berkahwin.

Alasan lelaki itu berbuat demikian adalah untuk mengaburi mata pihak berkuasa, kononnya lebam ‘dihasilkannya’ hanya masalah dalaman rumah tangga.Lelaki itu turut mengugut akan membelasah wanita terbabit dengan lebih teruk jika membocorkan rahsia perkahwinan mereka kerana bimbang tidak disahkan dalam jawatan sebagai kakitangan kerajaan.Ikuti apa disifatkan sebagai ‘diari neraka’ oleh seorang wanita berusia 23 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Alina sepanjang bersama lelaki dikenali sebagai ‘Mr L’, 27.



  • 14 Julai 2010

    “Saya menaiki bas untuk bertemu bakal suami di sebuah negeri di utara tanah air. Saya tiba jam 4 pagi, tetapi dia tidak dapat dihubungi. Saya menunggu sehingga jam 8 pagi di stesen bas.

    Saya kemudian nekad ke pejabat tempat dia bekerja dan menemuinya. Dia bawa saya ke dalam kereta dan dalam perjalanan di dalam kereta, tanpa disangka-sangka dia mengamuk dan membelasah saya. Saya dipukul dan ditumbuk, malah kepala dihentak ke papan pemuka kereta sehingga papan itu pecah.

    Dia mengamuk kerana tidak suka kedatangan saya. Dia menganggap saya cemburu dan menyangka saya datang bertemunya untuk memastikan dia tiada perempuan lain. Sebelum itu memang saya tahu dia ada perempuan lain.

    Selepas puas membelasah saya sehingga lebam, dia meninggalkan saya di sebuah stesen bas dan menyuruh saya tidur di surau. Saya tidak tidur kerana takut dan hanya duduk di sebelah seorang pengawal keselamatan wanita di stesen bas berkenaan sementara menunggu hari siang.”


  • 15 Julai 2010

    “Saya sekali lagi ke pejabat bakal suami dan disambut dengan kata makian dan sekali lagi saya dipukul. Saya kemudian ‘disimpan’ di rumah mak cik angkatnya.”


  • 16 Julai 2010

    “Pada sebelah pagi, tiba-tiba bakal suami membawa saya ke Songkhla, Thailand untuk berkahwin. Dia bimbang saya membuat laporan polis berhubung perlakuannya. Dia yakin pihak berkuasa akan menganggap saya berdepan masalah rumah tangga jika membuat laporan polis.

    Pada masa sama, dia mengugut akan memukul saya dengan lebih teruk jika saya tidak merahsiakan perkahwinan kami. Kerana terlampau takut dipukul dan sayangkannya, saya ikuti kehendaknya dengan harapan dia akan berubah selepas kami bergelar suami isteri.

    Tanpa dokumen perjalanan sah, saya masuk ke Thailand bersama bakal suami dan apabila tiba di lokasi tempat berkahwin semuanya sudah disediakan. Kami dinikahkan.”


  • 17 Julai sehingga 23 Julai 2010

    “Saya dan suami masih menetap di rumah mak cik angkat suami. Sangkaan saya dia berubah, tetapi saya tetap dipukul. Jika ada yang tidak kena, saya dipukul. Bertambah-tambah lebam di badan saya.”


  • 24 Julai sehingga 29 Julai 2010

    “Saya dibawa ke rumah sewa suami. Lagilah teruk perangainya. Saya dipukulnya sesuka hati. Bukan saja menggunakan kaki dan tangan, dia turut menggigit saya. Sebelum pergi kerja jika ada yang tidak kena, saya dipukul. Selepas pulang daripada kerja, saya sekali lagi dipukul. Saya dapat tahu dia masih ada hubungan dengan teman wanitanya dan jika dia bergaduh dengan teman wanitanya, saya menjadi mangsa lepas geramnya.

    Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana takut. Jika saya menjerit ketika dipukul, saya dibelasah dengan lebih teruk. Satu ketika, entah apa anginnya dia bersetuju dengan permintaan saya untuk pulang ke Kuala Lumpur menziarahi keluarga saya dan memberitahu perkara sebenar.

    Dia bersetuju untuk ke Kuala Lumpur sambil kakinya memijak kepala saya.”


  • 30 Julai sehingga 1 Ogos 2010

    “Di rumah ibu bapa saya, dia memberitahu hal sebenar dan mengakui memukul saya atas alasan saya terlalu cemburu. Pandai dia berlakon, sampai menangis-menangis dan berguling-guling seperti orang kena sawan.

    Ibu bapa saya mempercayainya dan menasihati saya. Suami saya turut dinasihati supaya tidak lagi memukul saya dan dia berjanji akan berubah.”


  • 2 Ogos sehingga 27 Ogos 2010

    “Kami kembali ke utara di rumah sewanya. Pada awalnya, dalam satu dua hari saya tidak dipukul, tetapi dibuat bagaikan tawanan di rumah. Selepas itu setiap hari saya dipukul. Selepas saya dipukul, dia pujuk, selepas itu keesokannya dia pukul lagi.

    Hampir tiga minggu saya dilayan umpama hamba abdi. Paling menyedihkan, dia menyedari saya sudah lama tidak datang bulan dan dia menjadi bertambah ganas.

    Dia belum mahukan cahaya mata dan kerana bimbang saya mengandung dia suruh saya buat pelbagai perkara, antaranya makan nanas muda. Apabila datang anginnya dia belasah saya dengan menendang perut saya.

    Mujur saya tidak mengandung, jika mengandung entah apa berlaku kepada kandungan saya. Kerana tidak tahan menjadi hamba abdi, saya hubungi keluarga supaya mengambil saya. Pada 27 Ogos, saya kembali ke Kuala Lumpur dan dia memberitahu akan berkunjung ke Kuala Lumpur selepas Aidilfitri untuk menyelesaikan masalah kami.

    Saya sudah membencinya dan tidak mahu lagi bersamanya. Saya dapat tahu, dia sanggup memukul saya kerana dihasut teman wanitanya.”