Sunday, January 1, 2017

Tamat Latihan Ketenteraan, Jaejoong Pamer Tato Baharu




Jaejoong.
SELAMA 21 bulan menjalani latihan ketenteraan, aktor Jaejoong akhirnya memberitahu berita gembira itu kepada peminat-peminatnya pada Jumaat lalu. 
Aktor itu bukan sahaja tampil dengan imej baharu dan matang, malah menunjukkan tiga tatu baharu yang dilakar di anggota tubuhnya. 
Tiga tatu tersebut berbentuk simbol muzik, keamanan dan iluminati.

Bagaimanapun, rata-rata peminat tidak menyukai lukisan tatu yang dianggap tidak sesuai dengan penampilan aktor tersebut sebagai selebriti. 
Mereka juga meminta agar Jaejoong tidak lagi menambah bilangan tatu di badannya.

"Saya suka simbol muzik tapi simbol iluminati itu tidak sesuai dengan dia. Saya harap dia tidak lagi menambah lakaran tatu di anggota badannya," ujar netizen.

MBI Tidak Pernah Terima Permohonan Panjat Papan Tanda 'Ipoh'



IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk memanjat papan tanda 'Ipoh' daripada mana-mana pihak, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.
Beliau berkata, dakwaan sekumpulan remaja bahawa MBI meluluskan permohonan mereka untuk memanjat papan tanda di Jalan Kuala Kangsar adalah satu penipuan.
"Saya sudah semak, tidak ada satu kelulusan pun yang diberi oleh semua ketua jabatan termasuk MBI. Sekiranya ada yang buat permohonan pun kita tidak akan benarkan," katanya kepada pemberita pada sambutan ambang tahun baharu dan majlis pelancaran Tahun Melawat Perak 2017 di sini, Sabtu malam.
Gambar memanjat itu menjadi viral sejak empat hari lalu antaranya di laman sosial Instagram dan YouTube menunjukkan sekumpulan remaja lelaki serta perempuan memanjat papan tanda dengan ketinggian lebih 20 meter itu.
Selain itu, kumpulan remaja berkenaan juga merakamkan aksi baring di dalam buaian yang dipasang pada kerangka tiang papan tanda tersebut.
Zamri berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan kebenaran kepada orang awam untuk memasuki kawasan tersebut mahupun memanjat papan tanda itu kecuali kepada kontraktor penyelenggara.
"Kontraktor yang melakukan kerja-kerja selenggara pun kita pastikan mereka mengikut ciri-ciri keselamatan yang lengkap dengan memakai tali keselamatan selain menggunakan kren," katanya.
Tegas Zamri, aksi remaja terbabit dengan baring di dalam buaian yang dipasang pada kerangka tiang papan tanda tersebut boleh dikategorikan sebagai vandalisme.
"Kerangka tiang papan tanda itu boleh rosak dan menimpa pengguna jalan raya kerana struktur yang didirikan itu bukan untuk menampung beban tambahan seperti berat individu," katanya.
Ditanya sama ada pihaknya akan berjumpa dengan sekumpulan remaja terbabit, Zamri berkata, kemungkinan pihaknya akan berjumpa dengan mereka dan pada masa yang sama meminta pihak polis menjalankan siasatan.
Pihak MBI telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 12.45 malam tadi.

Shukri Yahya jadi bos



Shukri Yahya
Shukri Yahya
SELEPAS berjaya mencetuskan satu gelombang besar menerusi drama baru-baru ini, pelakon berbakat besar, Shukri Yahaya kembali lagi.
Namun tidak lagi sebagai seorang doktor, tetapi seorang bos.
Bagaimanapun dek sikapnya yang baran dan cerewet, pembantu peribadi Shukri Yahaya sudah hilang sabar dan mahu berhenti serta-merta.
Namun semua itu hanya berlaku di dalam drama Hantu Punya Bos! lakonan Shukri Yahaya bersama Intan Najuwa menerusi slot Iris setiap Isnin hingga Khamis jam 6.30 petang.
Drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd. diarahkan oleh Feroz Kader dan membariskan artis-artis popular seperti Serina Redzuan, Julia Marin dan Tash Yong.
Ia mengisahkan Abby (Intan Najuwa) mengambil keputusan secara mengejut untuk menggantikan tempat kerja sahabat baiknya, Diela kerana memerlukan wang untuk mengubati ibunya yang sedang sakit di kampung. Diela pula tidak sabar untuk berhenti bekerja dengan bos yang berperangai seperti hantu.
Arrayyan (Shukri) terkejut apabila Diela dapat cari penggantinya dalam masa yang singkat, namun Arrayyan akur dan menerima Abby sebagai pembantu peribadinya.
Yang Arrayyan tidak sangka, sikap Abby yang cepat melatah dan suka menjawab bakal mencabar dirinya sebagai seorang bos yang sering ditakuti oleh pekerjanya.
Pada hari pertama, Arrayyan menyuruh Abby memperkenalkan diri kepada semua staf. Abby cemas dan terus dimarahi oleh Arrayyan, Abby menjawab secara spontan dan membuatkan semua orang terpaku dengan keberaniannya.
Arrayyan mula naik angin apabila Abby membalas tengkingannya. Itu merupakan kali pertama Arrayyan ditengking dalam seumur hidup. Pada mulanya, Arrayyan sukar untuk menerima telatah Abby yang suka melatah. Namun, dia akur apabila Abby segera meminta maaf.
Seluruh pejabat mentertawakan Arrayyan yang terkebil-kebil ditengking Abby. Akibat terlalu bengang, Arrayyan hendak memotong gaji semua orang sebanyak 20 peratus. Abby rasa bersalah dan meminta Arrayyan memotong gajinya.
Datuk Zainuddin, ayah kepada Arrayyan membuat lawatan mengejut ke pejabat. Dia memerhatikan sikap garang Arrayyan pada Abby.
Pada masa sama, Abby berusaha mengambil hati Arrayyan. Arrayyan mula tertarik dengan kepetahan Abby ketika berinteraksi dengan klien.
Kerjaya Abby yang baru bermula di syarikat Arrayyan terjejas dengan tuduhan bekas majikannya, kononnya dia dipecat kerana menggoda bos. Arrayyan marah dan mahu memecat Abby.
Apakah jalan penyelesaian yang dilakukan oleh Arrayyan untuk mengetahui perkara sebenar tentang pembantu peribadinya itu? Adakah perbuatan Abby itu seburuk seperti diperkatakan?
Jangan ketinggalan untuk menonton Hantu Punya Bos! lakonan Shukri Yahaya dan Intan Najuwa setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang.

Tiga selebriti dipilih Ikon MVM



Tiga selebriti dipilih Ikon MVM
TIGA selebriti terkenal dipilih menjadi ikon pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkebajikan, Muslim Volunteer Malaysia (MVM).
Selebriti yang bertuah tersebut, Datin Paduka Umie Aida, Heliza Helmi dan Saharul Ridzwan dilantik menjadi ikon badan tersebut.
Selain mereka, MVM turut memilih pakar motivasi, Profesor Dr Muhaya Mohamad, Pengarah Eksekutif D’Herbs, Datin Nur Shahida Rashid, penceramah motivasi, Hazwani Helmi dan atlet terjun negara, Ahmad Amsyar Azman sebagai ikon mereka.
Menurut Presiden badan tersebut, Muhammad Jantan, kehadiran selebriti ini ke dalam keluarga MVM sangat bermakna buat mereka memandangkan setiap daripada mereka mempunyai pengikut tersendiri.
“Mungkin ada di kalangan pengikut artis ini terdetik hati untuk menyertai kami bagi menjalani kerja kebajikan anjuran MVM. Itu adalah harapan kami dan diharap mereka boleh menyertai MVM.
“Selain itu, kami berharap jalinan kerjasama ini dapat digunakan sebaik mungkin ke arah jalan yang diredai Illahi dan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya semasa majlis memperkenalkan Ikon MVM di Hotel Intekma, Shah Alam, minggu lalu.
Menurutnya, MVM ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu yang bertujuan memberi fokus kepada pembangunan sosial secara bersepadu melalui kerjasama dengan masyarakat setempat dan penaja untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.
Sepanjang tahun ini, organisasi tersebut berjaya menganjurkan 33 program dalam usaha membantu individu atau golongan yang memerlukan.
“Pelbagai program yang kami lakukan seperti Pure Heart, Di Sebalik Pintu dan MVM Apprentice. Untuk tahun hadapan, kami mensasarkan untuk melakukan lebih 50 program ke golongan sasaran.
“Untuk tempoh terdekat, kami bakal melancarkan dua program sumbangan, Tabung Infaq dan Tabung Syria. Hasil sumbangan kedua-dua tambung ini akan disalurkan kepada pembinaan kelas latihan MVM dan rakyat Syria,” jelasnya.

Konsert jadi hadiah buat peminat Bunkface



Bunkface

SENARIO
 muzik lokal semasa ternyata memberi gambaran hanya penggiat muzik yang benar-benar memiliki kualiti muzik terbaik mampu kekal bertahan.
Lalu, ia pastinya bukan menjadi sesuatu yang mudah, apatah lagi bagi memastikan tapak seni yang dibina sekian lama kekal utuh berdiri bersama sokongan padu peminat setia.
Itulah persepsi yang boleh diberikan buat band trio terkenal negara, Bunkface yang menjadikan konsert bersempena dengan ulang tahun penubuhan kumpulan itu lebih sedekad lalu di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur, Sabtu lalu sebagai hadiah buat peminat yang selama ini tidak putus-putus memberi sokongan.
Iramanya segar, hip dan tidak membosankan. Itu menjadi gambaran paling tepat bagi memberi ekspresi terhadap konsert berskala besar kumpulan yang dianggotai oleh Sam, Youk dan Paan.
Hadir dengan seleksi lagu-lagu muzik punk rock mereka yang hits dari awal penglibatan sehingga kini, rata-rata penonton yang memenuhi ruang stadium dengan kapasiti lebih 4,000 penonton itu bersorak dan menyanyi bersama dari awal hingga akhir persembahan.
Konsert yang diberi nama Bunkface X Live In Kuala Lumpur menjadi petunjuk kumpulan yang gigih memperjuangkan muzik punk rock kekal relevan, yang mana kebanyakan penonton yang hadir menonton terdiri daripada anak muda yang membesar dengan lagu-lagu kumpulan trio berkenaan.
Pada malam itu, Bunkface membuka persembahan dengan tiga barisan lagu, Malam Ini Kita Punya, Bunk Anthem dan Extravaganza.
Secara keseluruhan, Bunkface mempersembahkan lebih 20 lagu dan ada yang disampaikan secara medley.
Vokalisnya, Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Mohd Baharom seperti yang dipetik mengakui, sebagai kumpulan muzik yang lebih sedekad dalam dunia seni tempatan, adalah menjadi impian besar mereka untuk menghargai peminat dengan mengadakan sebuah konsert berskala besar.
“Impian untuk buat konsert mega menjadi impian kami, malah sejak awal-awal lagi Bunkface ditubuhkan. Alhamdulillah, setelah 10 tahun kami berada industri, impian untuk mengadakan konsert menjadi kenyataan,” katanya.
Aspek teknikal memukau
Selain menghidangkan lagu popular mereka yang malar segar, Bunkface X Live In Kuala Lumpur yang membuka pentas tepat jam 9.15 malam ini dilihat begitu cemerlang dari aspek pencahayaan dan audionya.
Lengkap dengan mainan visual yang menarik, ia juga menjadi antara elemen konsert yang berlangsung lebih dua jam itu tidak membosankan.
Usai membuka tirai konsert dengan tiga lagu, Sam sempat merakamkan ucapan terima kasihnya buat ‘bunkers’ (gelaran buat para peminat mereka) yang hadir, termasuk dari Singapura dan Brunei.
Dalam segmen kedua persembahan pula, Bunkface terus menghangatkan pentas dengan seleksi lagu High School Rocker, Silly Lilly, Prom Queen dan Bunk Not Dead.
Apa yang menariknya, seorang penonton bertuah dijemput untuk bersama-sama menyanyikan sebuah lagu bersama anggota kumpulan itu sebagai gimik persembahan.
Selain itu, kumpulan trio yang juga finalis untuk kategori Best South East Asia Act di Anugerah MTV EMA 2016 ini turut memberi kelainan di dalam persembahan apabila cuba mengalunkan lagu secara akustik iaitu Agenda Jahiliah, Jatuh, Dunia, You And Me dan Kembali.
Ia adalah sebagai simbolik terhadap mesej kemanusiaan sejagat.
Lagu ‘wajib’ Bunkface iaitu Revolusi dan Situasi pula kekal menjadi lagu penutup konsert.
Bunkface X Live In Kuala Lumpur merupakan konsert anjuran Bunkface Production Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia
.

10 melecur terkena letupan bunga api



10 melecur terkena letupan bunga api
PELABUHAN KLANG - Seramai 10 individu melecur akibat terkena letupan bunga api di kawasan Kompleks Pandamaran di sini, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya dimaklumkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang bertugas di kompleks berkenaan pada jam 12.10 tengah malam.
Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi.
"Tujuh mangsa melecur di kaki manakala tiga lagi mangsa terpaksa dibawa ke Hospital Tengku Ampun Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan selanjutnya," katanya.
Difahamkan, kesemua mangsa sedang menyaksikan pertunjukan bunga api sempena sambutan tahun baharu.
Sementara itu, tinjauan wartawan Sinar Harian yang berada di lokasi mendapati orang ramai lari bertempiaran dan suasana agak panik sejurus mengetahui arah letupan bunga api yang tersasar ke arah pengunjung.
Saksi, Intan Khairin dari Klang berkata, dia tak pasti siapa yang terkena percikan bunga api yang terakhir meletup itu.
"Memang nampak pelik  dan nampak orang ramai berkumpul. Bunga api tu jatuh dan meletup ke bawah.
"Saya tak nampak siapa yang jadi mangsa. Ada kata budak, ada kata dewasa," katanya.
Warganegara Indonesia, Daim Abdullah pula terkejut kerana tidak sangka kejadian itu akan berlaku di depan matanya.
"Saya datang dari Rantau Panjang dan ingatkan ia adalah formasi baru. Sebelum itu, letupan terhenti beberapa saat dan agak lama. Kemudian ia meletup pada jarak dekat di depan mata. Letupan itu seakan bom nuklear," katanya.

Krisis pencemaran udara China



Krisis pencemaran udara China
Carta kematian akibat pencemaran udara
SELEPAS lima hari berdepan pencemaran udara yang teruk, langit biru kembali menyelimuti ibu negara China sekali gus menggesa Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Beijing menarik balik amaran merah yang dikeluarkan di negara itu
Amaran pencemaran tertinggi atau amaran merah pertama dalam tahun ini berkuat kuasa pada jam 4.30 petang (waktu tempatan) pada 16 Disember lalu. Ketika itu Indeks Kualiti Udara dicatatkan pada tahap berbahaya, 466.
Sehari selepas amaran merah dikeluarkan, kerajaan mengarahkan 1,200 kilang berhampiran ibu negara termasuk sebuah kilang penapisan minyak utama untuk menutup atau mengurangkan pengeluaran.
Selain mengarahkan kilang untuk menghentikan sementara operasi, kerajaan juga mengarahkan sekolah ditutup selain menghalang separuh kenderaan berada di jalan raya.
Sehingga tengah hari pada Jumaat, 22 Disember, kualiti udara adalah 72 sekali gus bermakna sekatan kecemasan ke atas penggunaan kenderaan dan pembinaan akan berakhir.
Bagaimanapun, seminggu selepas itu kerajaan memberi amaran bahawa bahagian utara China perlu bersedia untuk mengambil tindakan kecemasan kerana negara sekali lagi bakal diancam jerebu tebal.
Kementerian Perlindungan Alam Sekitar memberitahu, keadaan cuaca buruk dijangka melanda wilayah Hebei, Shahdong dan Henan serta diramalkan berterusan sehingga 5 Januari.
Bagi mengatasi masalah itu, kementerian akan menghantar 10 pasukan pemeriksaan untuk melaksanakan langkah keselamatan bagi melumpuhkan syarikat yang terlibat dalam perbuatan haram terbabit.
Bagaimanapun, bacaan tinggi masih direkodkan di beberapa bahagian di utara China termasuk bandar Tianjian, terletak bersebelahan dengan Beijing dan wilayah Hebei yang mengelilingi ibu negara.
China memulakan perang ke atas pencemaran sejak 2014 di tengah-tengah kebimbangan bahawa industri berat boleh mencemarkan reputasi global dan sekali gus menjejaskan pembangunan masa depan.
Malah, pencemaran udara telah menjadi isu utama di China selain menimbulkan ancaman kesihatan awam.
Pada tahun 2012, Presiden Persatuan Perubatan China, Zhong Nanshan memberi amaran bahawa pencemaran udara boleh menjadi ancaman kesihatan terbesar di negara itu dan menggesa penyelidikan epidemiologi terperinci.