Friday, April 1, 2016

'Nampak wanita berambut panjang, berkebaya hijau'




'Nampak wanita berambut panjang, berkebaya hijau'
Ibrahim menunjukkan tempat wanita berambut panjang berdiri di gerabak lama memerhatikannya, tiga tahun lalu.
JOHOR BAHRU - “Sepanjang saya bekerja, pengalaman ternampak wanita berambut panjang meleret hingga ke tanah, berkebaya hijau dan berdiri di dalam gerabak lama adalah pengalaman tidak dapat dilupakan.” Itu pengakuan Pembantu Muzium Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ibrahim Yusof, 50.
Menceritakan kisah mistik dilaluinya tiga tahun lalu, Ibrahim mengakui, ia bukan kali pertama ‘diganggu’ ketika bekerja, malah rakan sekerjanya juga pernah melalui pengalaman sama memandangkan bangunan stesen kereta api lama yang dijadikan muzium itu agak sunyi.
Katanya, semasa kejadian itu dia baru tamat bekerja kira-kira jam 7.30 malam dan ternampak wanita berambut panjang di gerabak yang dahulunya digunakan sebagai tempat memasak, dan meletakkan barangan kakitangan.
"Ketika itu, saya mahu ke tandas..semasa melalui gerabak lama, pintunya terbuka sedikit. Saya ternampak melalui ‘ekor mata’, seorang wanita berambut panjang berdiri di tepi pintu gerabak sedang memerhatikan saya.
“Terdetik dalam hati, siapakah wanita yang berambut panjang sehingga mencecah tanah berada di gerabak itu pada waktu tersebut memandangkan ketika itu, semua kakitangan telah pulang.
“Ketika keluar dari tandas, kelibat wanita dah tiada, dan saya anggap gangguan seperti ini adalah lumrah dan cabaran buat kami, namun ia tidak melunturkan semangat untuk bekerja kerana hanya berniat untuk mencari rezeki," katanya.
Bangunan Muzium KTMB dahulunya adalah Stesen Johor Bahru lama yang beroperasi dari 1 September 1932 hingga 31 Oktober dan kemudiannya operasi dipindahkan di bangunan JB sentral bersebelahan.
Menurut Ibrahim, dia juga sering terdengar bunyi radio, sedangkan tiada kakitangan yang membawa radio.
“Rakan sekerja saya juga pernah cerita dia ternampak wanita berambut panjang berkebaya hijau ketika bertugas,” katanya yang bekerja dengan KTMB sejak 25 tahun lalu.
Sementara itu, Pembantu Tadbir Rendah, Muhammad Faizul Mahat, 22, yang bertugas sejak setahun lalu mengakui, sering terlihat kelibat seseorang di belakangnya ketika bersendirian membersihkan barangan di muzium berkenaan.
“Ketika leka bersihkan barangan di muzium seorang diri, saya ternampak kelibat seseorang di belakang tetapi bila saya menoleh, tiada sesiapa.
“Memang agak terkejut kerana baru sahaja bekerja, namun lama-kelamaan saya dah biasa dan anggap cabaran ketika bertugas,” katanya.

Telaga bukit pembekal air utama




Telaga bukit pembekal air utama
Abd Rahim membantu isterinya, Munah Osman membasuh pakaian dengan menggunakan air telaga bukit di Kampung Kedundung.
POKOK SENA - Di saat beberapa kampung sekitar Pokok Sena, di sini berdepan masalah bekalan air, namun kedudukan Kampung Kedundung yang tinggi menyebabkan penempatan itu tidak pernah berdepan situasi terbabit.
Telaga bukit yang dikatakan wujud sejak beratus tahun lalu di kampung itu dikatakan menjadi pembekal air utama kepada penduduk sehinggalah sekarang kerana masih ada lagi yang bergantung dengan sistem bekalan air tradisional itu.
Penduduk, Abd Rahim Mat Amin, 61, berkata, mengikut cerita orang terdahulu, difahamkan telaga bukit itu wujud beratus tahun lalu yang dikatakan dikorek oleh hantu pari di kawasan itu.
Tambahnya, menurut cerita generasi lama adalah mustahil manusia mampu mengorek telaga di kawasan yang dikelilingi oleh timbunan batu besar.
"Kewujudan telaga di bukit itu memberi rahmat kepada penduduk kerana menjadi sumber air utama pada zaman dahulu," katanya.
Abd Rahim berkata, sebelum bekalan air paip sampai di kampung itu, seluruh penduduk menjadikan telaga itu sebagai sumber air mereka dan termasuklah untuk bekalan ke masjid yang terletak kira-kira 800 meter dari situ.
"Walaupun kedalamannya hanya 1.5 meter, tetapi ia mampu membekalkan kepada seluruh penduduk kampung itu.
“Difahamkan telaga itu juga turut membekalkan air kepada penduduk sekitar kawasan berhampiran bagi kegunaan harian kerana sehingga kini telaga itu mampu membekalkannya dan airnya pula tidak pernah tercemar,” katanya.
Katanya, sejak bekalan air paip masuk di kampung itu, sudah ramai tidak menggunakannya lagi dan hanya beberapa keluarga sahaja yang masih menggunakan sepenuhnya.
"Penduduk yakin air telaga itu tidak memberi sebarang kesan kepada kehidupan mereka walaupun kolamnya terdedah dan ini secara tidak langsung tidak perlu lagi membayar bil bekalan air," katanya.
Malah katanya, sejak dilahirkan di kampung itu, dia hanya menggunakan air telaga berkenaan untuk aktiviti harian sehinggalah kini.
"Airnya jernih dan tak kotor hingga boleh diminum, malah sangat segar untuk mandi.
"Tak hairanlah kalau setiap petang ada ramai orang datang mandi di telaga ini," katanya.
Bagi menjaga agar air itu sentiasa bersih, ada pihak telah membina tembok sekitar telaga ini.
Bagaimanapun kedudukannya yang terletak di selekoh menyebabkan orang ramai yang ingin mengunjungi telaga itu perlu berhati-hati.

Sedia laksana indeks syariah




Sedia laksana indeks syariah
Antara pengamal media yang hadir pada Majlis Makan Malam Santai Menteri Besar Bersama Media Terengganu di sini, malam kelmarin.
KUALA TERENGGANU- Kerajaan Negeri Terengganu bersedia menjadi negeri pertama melaksanakan Indeks Syariah Malaysia dalam pentadbirannya, dalam memastikan Terengganu mencapai maqasid syariah (dikehendaki oleh syarak) dalam urus tadbir negeri.
Indeks Syariah Malaysia adalah kaedah pengukuran saintifik yang boleh menepati dua fungsi penting iaitu menilai keseriusan usaha kerajaan dalam menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program kerajaan serta mengenal pasti ruang pembaikan untuk menerima lebih manfaat hasil penerapan nilai sejagat dalam Islam.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, beliau telah menawarkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakannya di Terengganu dan secara dasarnya, telah diberikan kebenaran.
“Insya-ALLAH, saya akan ambil cabaran ini untuk kita dapatkan indeks yang baik supaya kita tahu dan ukur indeks yang kita capai daripada aspek politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Bila kita tahu indeks ini, kita akan berusaha dalam menjadikan Terengganu 100 peratus mencapai maqasid syariah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Santai Menteri Besar Bersama Media Terengganu di Hotel Primula Beach di sini, malam kelmarin.
Najib telah melancarkan Indeks Syariah Malaysia pada 10 Februari 2015, yang mana ia merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di negara ini melalui pengukuran tuntutan syarak yang lebih menyeluruh.
Indeks itu akan menilai dan mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek maqasid syariah iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan, pemeliharaan nyawa dan pemeliharaan harta.
Ia meliputi lapan bidang utama iaitu perundangan, kesihatan, ekonomi, budaya, politik, pendidikan, prasarana dan persekitaran serta sosial.
“Sebagai pemimpin utama negeri, saya bertanggungjawab penuh dalam menjadikan Terengganu ini sebagai negeri Darul Iman. Kita akan pastikan indeks ini menepati sasaran dan seterusnya mencapai 100 peratus dalam semua aspek,” katanya.

Rumah di bawah RM100,000 dengan deposit RM1




Bank Rakyat
Bank Rakyat
RAKYAT Johor berpeluang untuk memiliki rumah bernilai di bawah RM100,000 seunit yang dinaungi Yayasan Sultan Ibrahim dengan pembayaran deposit serendah RM1.
Inisiatif berkenaan merupakan kerjasama antara Bank Rakyat dan Yayasan Sultan Ibrahim yang bertujuan memenuhi keperluan 6,000 pemohon berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman.
Presiden dan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abdul Razak berkata bank itu memperuntukkan sebanyak RM500 juta pembiayaan akhir kepada pembeli yang layak mengikut kriteria yang ditetapkan.
"Pembeli hanya perlu mendaftar terlebih dahulu dengan Unit Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Maklumat lanjut mengenai projek tersebut akan diumumkan Yayasan Sultan Ibrahim melalui Unit Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

Objek misteri terhempas ke Musytari?




Objek misteri terhempas ke Musytari?
Sedutan rakaman yang dimuatnaik ke laman video Youtube.
SATU letupan besar telah dirakam berlaku di planet paling besar dalam sistem suria, Musytari pada 17 Mac lepas.
Melalui sebuah video yang dimuatnaik oleh Gerrit Kernbauer ke laman video Youtube, letupan besar berkenaan dirakam pada jam 12.18 tengah malam waktu UTC (coordinated universal time).
Gerrit yang merupakan seorang ahli astronomi amatur mengatakan beliau memproses video tersebut lewat 10 hari dari tarikh kejadian tersebut terakam.
"Selalunya rakaman saya tiada apa yang menarik dan (kali ini) saya lambat memproses video," kata Gerrit yang tinggal di Modling, Austria.
"10 hari kemudian, saya periksa kesemua video dan mendapati terdapat satu cahaya aneh yang muncul kurang satu saat pada permukaan planet berkenaan," jelas Gerrit.
Dakwaa Gerrit disokong oleh sebuah lagi video yang dirakam John Mckeon yang tinggal di Dublin, Ireland.
Sementara itu, ahli astronomer, Phil Plait meramalkan komet kecil atau asteroid kecil telah melanggar permukaan planet gas tersebut.
"Kedudukan Musytari yang terletak dalam kawasan asteroid mungkin menyebabkan asteroid ditarik oleh tarikan graviti," jelas Phil.
Walaupun hanya komet atau asteroid kecil, kesan terhempas berkenaan mempunyai impak yang besar.
"Objek yang melanggar Musytari mungkin mempunyai kelajuan lima kali ganda jika dibandingkan kesan hempasan di planet kita (Bumi).
"Walau bagaimanapun, hempasan berkenaan mungkin tidak akan meninggalkan kesan jelas ke atas lapisan gas paling atas di permukaan Musytari," kata Phil lagi.

Korea Utara sekat FB, YouTube, Twitter




Korea Utara sekat FB, YouTube, Twitter
Laman Korean Broadcasting System (KBS) Korea Selatan yang turut disekat Korea Utara.
PYONGYANG - KOREA UTARA. Korea Utara secara rasmi menyekat laman sosial Facebook, YouTube, Twitter dan laman web Korea Selatan susulan kebimbangan penyebaran maklumat dalam talian, lapor AP.
Kementerian Pos dan Telekomunikasi membuat pengumuman tersebut minggu ini melalui pembekal utama perkhidmatan mudah alih negara, Koryolink dan beberapa tempat lain yang menyediakan perkhidmatan internet.
Walaubagaimanapun, tidak ramai rakyat Korea Utara mempunyai akses Internet dan kebiasanya mereka hanya menggunakan perkhidamatan intranet yang menyokong kerajaan kecuali  warga asing yang berada di negara itu tidak dikenakan sekatan secara terangan-terangan.
Sekatan baharu ini akan menyukarkan pelawat atau komuniti kecil penduduk asing di Korea Utara untuk menghantar maklumat terkini mengenai negara itu kepada dunia luar.
Ia turut akan menghadkan keupayaan Korea Utara dengan akses Internet untuk melihat maklumat negara mereka disiarkan di tempat lain.
Kerajaan membuat pengumuman dengan menamakan YouTube, Facebook, Twitter, Voice of America dan laman media Korea Selatan sebagai contoh laman yang disekat untuk tempoh masa tertentu.
Sebelum ini Facebook dan Twitter disekat secara tidak rasmi sejak beberapa bulan lalu dan sekatan secara rasmi dilakukan pada hari ini.
Dalam pengumuman itu juga, kerajaan menyatakan hukuman akan dikenakan kepada mana-mana pihak  yang cuba untuk tidak mengodam laman-laman tersebut, mengakses dengan secara haram dan mengedarkan maklumat anti republik.

Kepala budak tersangkut paip




Kepala budak tersangkut paip
ZHENJIANG - CHINA. Kepala kanak-kanak berusia lima tahun tersangkut di dalam paip air PVC ketika sedang bermain seorang diri tanpa pengawasan ibu bapanya.
Insiden tersebut berlaku di sebuah majlis perkahwinan di bandar Fenghua di sini.
Mungkin tidak pernah melihat paip air sebelum ini, kenak-kanak itu cuba memakainya seperti topi tetapi ia mengundah padah selepas paip itu tidak dapat ditarik keluar.
Ibu-bapa kanak-kanak hanya menyedari perkara berkenaan selepas mendengar tangisan kanak-kanak itu dan terpaksa memanggil bomba untuk mendapatkan bantuan.
Memetik laporan People Daily Online, anggota bomba terpaksa menggunakan pelbagai alatan termasuk gunting serta pemotong elektrik untuk mengeluarkan kepala mangsa.
Bomba mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan kepala mangsa.