Friday, November 1, 2013

Spesies ikan lumba-lumba baharu


GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa ekor ikan lumba-lumba spesies baharu melompat dari laut di utara Australia.


WASHINGTON - Spesies baharu ikan lumba-lumba ditemui semasa beberapa ekor haiwan itu berenang di luar pantai utara Australia, lapor satu pasukan saintis dalam minggu ini.
Menurut seorang ketua pengkaji haiwan itu yang disiarkan dalam jurnal Molecular Ecology, spesies baharu itu masih belum diberikan nama.
Spesies baharu yang ditemui itu adalah daripada keluarga ikan lumba-lumba kelasa.
Sebelum ini terdapat tiga spesies ikan lumba-lumba kelasa yang telah diiktiraf oleh para pengkaji haiwan tersebut.
Tiga spesies itu ialah ikan lumba-lumba kelasa Atlantik, ikan lumba-lumba kelasa Indo-Pasifik dan ikan lumba-lumba Indo-Pasifik Sousa chinensis.
Ikan lumba-lumba baharu yang ditemui itu tidak mempunyai ciri-ciri yang terdapat pada tiga spesies tersebut.
Seorang ahli biologi yang menganggotai pasukan mengkaji spesies baharu itu, Guido Parra dari Universiti Flinders, Adelaide, Australia berkata, nama spesies baharu itu perlu mempunyai kaitan dengan Australia.


Klopek cipta rekod angkat tukul besi


KLOPEK mengangkat sebatang tukul besi dengan menggunakan mata kail yang terdapat pada pipinya di Vancouver, British Columbia kelmarin.


VANCOUVER, British Columbia - Seorang artis persembahan yang berani melakukan perbuatan pelik, Sweet Pepper Klopek mencipta rekod baharu apabila dia berjaya mengangkat sebatang tukul besi dengan menggunakan dua mata kail bertali pada pipinya di sini kelmarin.
Dua mata kail yang bertali itu diletakkan pada pipi kiri dan kanannya sebelum dia menarik tukul tersebut di bangunan Pameran Kebangsaan Pasifik.
Dia mengangkat batang tukul besi itu yang seberat 5.4 kilogram (kg) di depan beberapa pegawai World Guiness Records bagi tempoh lebih 10 saat.
Klopek pernah mencipta rekod dunia apabila badannya dicacah dengan tatu semasa dia menaiki sebuah roller-coaster yang sedang bergerak.
Dia juga pernah menarik sebuah trak dengan menggunakan mata kail ikan jerung yang terdapat di belakang badannya.
Klopek berkata, dia berasa gembira kerana berjaya mengangkat tukul tersebut.
Bagaimanapun, katanya, tukul tersebut seolah-olah mempunyai berat 45.3kg semasa dia melakukan perbuatan tersebut.


Pameran pakaian diperbuat daripada coklat


SEORANG model memperagakan fesyen unik yang diperbuat daripada coklat.


PARIS - Beberapa model wanita memperagakan pelbagai fesyen pakaian yang diperbuat daripada coklat di sini kelmarin.
Pertunjukan itu diadakan sempena pameran coklat Salon du Chocolat yang diadakan buat kali ke-19.
Pameran tersebut diadakan dari 30 Oktober lalu hingga 3 November ini.
Bayaran masuk untuk pengunjung dewasa ialah 13 euro (RM56.25) manakala kanak-kanak yang berumur tiga hingga 12 tahun dikenakan bayaran sebanyak 6.50 euro (RM28.12).
Selain pertunjukan fesyen, para pengunjung juga boleh menyaksikan ukiran patung yang diperbuat daripada coklat.
Pameran makanan yang diperbuat daripada coklat turut dipamerkan kepada para pengunjung.


Khlong nadi kota Bangkok



SETIAP pagi, puluhan ribu penduduk di Bangkok bergegas menaiki bot-bot kecil digelar khlong yang berulang-alik melalui terusan menuju ke pusat bandar.
Mereka rela menaiki khlong kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di ibu kota Thailand tersebut.
"Saya menaiki bot kerana ia jauh lebih cepat," kata seprang pelajar universiti berusia 18 tahun, Pam Olanthanyawat sebelum dia melompat masuk ke dalam salah sebuah bot yang sarat dengan penumpang di terusan Saen Saeb.
Ketika trafik di kota raya yang dihuni 12 juta penduduk lumpuh pada waktu puncak, orang ramai memilih terusan sepanjang 30 kilometer sebagai mod pengangkutan.
Tetapi bot-bot kecil bukan untuk orang yang penakut.
Sebahagian besar daripada pengguna khlong terdiri daripada golongan belia dengan hanya segelintir warga emas atau keluarga bersama anak-anak berani menaiki khlong.
Penumpang lelaki dan wanita lincah melompat ke dalam bot sempit walaupun ada yang memakai kasut tumit tinggi. Mereka akan berpaut pada tali yang disediakan ketika bot tersebut meluncur laju menuju ke perhentian seterusnya.

PENUMPANG lelaki dan wanita lincah melompat ke dalam bot sempit walaupun ada yang memakai kasut tumit tinggi.


Laman perkongsian video YouTube banyak memaparkan klip video menunjukkan penumpang yang tidak cukup tangkas dan ragu-ragu terjatuh ke dalam terusan berbau hanyir.
Satu klip video tersebut memaparkan insiden yang digelar tsunami khlong. Ia menunjukkan ramai penumpang basah kuyup terkena percikan air ketika bot-bot khlong melintasi mereka.
Terusan besar
Klip video tersebut telah mencatat beberapa ratus ribu tontonan.
Penumpang akan mengawal sendiri kain kanvas yang dijadikan bumbung bot dengan menggerakkannya ke atas dan ke bawah untuk memudahkan penumpang lain masuk, di samping melindungi mereka daripada terkena percikan air.
Bagaimanapun, kaedah tersebut lazimnya tidak berkesan.
"Ibu saya tidak pernah menaiki bot kerana dia begitu takut," kata Pam ketika air percikan menitis dari kanvas.
Bangkok mempunyai rangkaian terusan yang besar, walaupun pembangunan negara tersebut mengakibatkan kebanyakan sungai menjadi pendek.
Dalam pada itu, terdapat juga terusan yang tersekat dengan batang-batang paip atau pelbagai objek yang menghalang bot daripada melalui.

KESESAKAN lalu lintas di Bangkok menyebabkan penduduknya lebih rela menaiki bot berbanding menggunakan pengangkutan darat.


Profesor dan pakar pengangkutan di Universiti Thonburi, Tawatchai berkata, masalah yang dihadapi oleh penumpang khlong setimpal dengan pulangan yang diperoleh.
"Tidak ada bot yang mengalami kesesakan dan tambangnya murah," katanya.
Menurut laporan pihak berkuasa, seramai 38 juta penumpang bergerak menggunakan khlong atau 100,000 orang sehari pada tahun 2012.
Bagi mereka yang menaiki dari pinggir bandar, tambang bot sangat murah berbanding kereta api laju iaitu kurang daripada 20 baht (RM2).
Bas adalah antara pengangkutan awam yang paling murah di bandar, tetapi dengan keadaan tingkap terbuka, penghawa dingin rosak dan tersangkut dalam trafik lalu lintas menjadikannya pilihan terakhir.
Ketika ini, pengangkutan khlong diuruskan oleh syarikat persendirian, Family Transport yang menyediakan 70 bot meliputi kawasan terusan sejauh 20 kilometer.
Tawatchai berkata, cabarannya adalah infrastruktur di Bangkok yang perlu dipertingkatkan.
Pihak berkuasa perbandaran sedang menguji bot-bot awam dengan jarak perjalanan 11 kilometer dan menambah 14 pontun baharu daripada jumlah 27 yang telah digunakan sebelumnya.
Laluan khlong
Kerajaan Bangkok juga menjanjikan untuk membuat tambahan tempat rawatan sisa kumbahan dan loji air bagi menyediakan persekitaran yang lebih bersih untuk laluan khlong.
Baru-baru ini satu artikel dari akhbar bahasa Inggeris, Bangkok Post melahirkan kekecewaan terhadap pihak kerajaan kerana tidak ada terusan atau sungai besar yang dibina di pusat bandar.

ORANG ramai beriadah di sungai Cheonggyecheon yang terletak di tengah-tengah Seoul, Korea Selatan.


Akhbar tempatan itu turut membandingkan tindakan kerajaan Korea yang menggalakkan pembinaan dengan memberikan peruntukan untuk pembinaan laluan terusan di tengah bandar mereka.
"Seoul boleh melakukannya, mengapa tidak Bangkok dan kerajaan kita?" kata kenyataan itu merujuk kepada sungai Cheonggyecheon yang dibuat di tengah-tengah Seoul. Di sungai tersebut, penduduk bandar turut boleh merendamkan kaki mereka ke dalam air dan berkelah di sekitar.
Agensi pelancongan, The Rough Guide to Bangkok berkata, Khlong Saen Saeb merupakan satu pengalaman yang berbaloi kepada pengunjung yang ingin ke ibu negara Thailand yang turut digelar Venice Asia.
"Khlong adalah pengangkutan yang paling cepat dan mengujakan dalam melakukan lawatan antara bahagian barat dan timur bandar jika pengunjung boleh tahan dengan bau terusan," kata agensi itu.
Mengulas lanjut mengenai persekitaran terusan, Pam berkata, ibunya masih boleh mengingati air terusan yang pernah bersih pada masa dahulu, namun ia masih tidak setanding dengan terusan kontemporari dan akuatik sistem transit di Itali Venice.
"Ini seperti Venice?" katanya, dengan wajah terkejut kerana ternyata terusan yang sedang dilaluinya berbau hanyir dan busuk.


Bina otot tanpa produk tambahan



KELIBAT mereka di sekitar jalan-jalan utama di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi tumpuan orang ramai. Ada yang terpegun dengan aksi salah seorang daripada mereka tergantung pada sebatang tiang seperti sehelai bendera yang berkibar.
Tangannya begitu kuat untuk menampung berat badan dan mampu bertahan lebih 20 saat di tengah-tengah tiang bendera itu.
Selain daripada gerakan yang diberi nama Human Flag itu, kumpulan lima orang anak muda itu juga melakukan aksi Dragon Flag, Back Lever dan Front Lever tanpa segan di tengah-tengah ibu kota.
"Mereka melakukan setiap gerakan dengan kemas tanpa sebarang kesilapan. Kumpulan ini merupakan salah satu sumber rujukan saya dan rakan-rakan dalam arena senaman jalanan," ujar seorang pelancong dari Brunei, Nadzri Harif, 26, yang terpegun dengan aksi kumpulan senaman jalanan itu.
Menurut penyampai radio Kristal FM di Brunei itu, dia sering mengikuti perkembangan kumpulan senaman jalanan Bar-Risan dari Malaysia di laman sosial Instagram.
Kelengkapan
Selain itu, Nadzri juga banyak mempelajari teknik-teknik senaman jalanan yang betul di Facebook kumpulan itu untuk dipraktikkan sewaktu berlatih.
Bar-Risan merupakan salah sebuah kumpulan senaman jalanan yang bergerak aktif di negara ini sejak dua tahun lalu. Palang besi merupakan kelengkapan utama yang diperlukan dalam setiap rutin senaman kumpulan itu.
Pengasas Bar-Risan, Syed Fernash Syed Batlishah, 25, memberitahu, kumpulan itu ditubuhkan selepas dia dan dua orang rakannya melihat perkembangan senaman jalanan di luar negara yang mendapat sambutan ramai.
Menerusi laman YouTube, Syed Fernash melihat kumpulan seperti Bar Brothers dan Bar-barians dari luar negara bersenam tanpa menggunakan sebarang alatan senaman di gimnasium.

AKSI senaman archer pull up lebih sesuai dilakukan di palang-palang di taman permainan.


Dia mula tertarik dengan gaya senaman mereka yang hanya menggunakan palang-palang di taman permainan dan di tengah-tengah bandar.
"Pada permulaan kami memulakan rutin senaman, ia ternyata amat sukar. Ketika itu, kami mempunyai minat yang amat tinggi tetapi kekuatan otot bisep dan trisep tidak mampu menampung berat badan sewaktu melakukan rutin senaman.
"Saya mengambil masa sebulan untuk membiasakan diri dengan rutin senaman jalanan ini. Setiap hari, saya akan ke taman permainan berhampiran kediaman untuk melakukan senaman pull-up pada palang," ujarnya yang berasal dari Arau, Perlis.
Dua tahun lalu, senaman jalanan yang menggunakan palang dan tiang kurang mendapat perhatian di Malaysia. Syed Fernash dan rakan-rakan merupakan antara perintis terawal yang mempopularkan senaman tersebut di negara ini menerusi Facebook, YouTube dan Instagram.
Kini ia popular di Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand.
Prinsip senaman jalanan setiap ahli Bar-Risan ialah kaedah yang sihat tanpa menggunakan sebarang pemberat dan tidak mengambil sebarang minuman atau produk tambahan yang membantu pengembangan otot sewaktu bersenam.
Rutin senaman Bar-Risan dikategorikan sebagai kalistenik iaitu senaman gimnastik yang direka untuk membentuk tona otot dan menggalakkan kesejahteraan fizikal.
Medan senaman jalanan
"Senaman ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja tanpa sebarang kos. Saya dan rakan-rakan akan memeriksa palang dan tiang-tiang yang akan digunakan sebelum memulakan senaman sebagai langkah keselamatan. Setakat ini, tiada ahli Bar-Risan yang cedera parah ketika melakukan senaman. Luka-luka tapak tangan semasa memegang palang dan tiang merupakan kecederaan biasa yang dialami.
"Langkah-langkah sebelum memulakan rutin senaman juga perlu dititikberatkan agar tidak mengalami kecederaan otot. Selain itu, senaman ini juga memerlukan kerjasama antara rakan-rakan lain untuk membantu menyokong bahagian kaki semasa bergantung di palang," ujar Syed Fernash yang pernah memenangi pertandingan Lelaki Terkuat di Universiti Teknologi Mara kampus Arau, Perlis.

REGANGAN badan merupakan rutin penting bagi setiap ahli Bar-Risan sebelum memulakan senaman.


Bar-Risan kini mempunyai 100 ahli di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Johor dan Melaka. Laman Facebook kumpulan itu juga menjadi medan bagi peminat senaman jalanan untuk bertanyakan sebarang persoalan kepada kumpulan itu.
Tambah Syed Fernash, senaman jalanan yang diketengahkan oleh kumpulannya itu berupaya menarik minat golongan muda menjalani gaya hidup sihat. Selain itu, ia merupakan platform terbaik bagi mereka untuk menterjemahkan kreativiti dalam setiap gerakan rutin senaman.
Seorang ahli Bar-Risan yang aktif dalam kegiatan senaman jalanan di Alor Setar, Kedah, Ahmad Amin Azizan, 25, memberitahu, kumpulannya itu bukan sahaja melakukan senaman jalanan di negara ini malah turut menyertai pertandingan di luar negara.
Terbaharu, Bar-Risan menyertai pertandingan First Pre-Asia Street Workout Jam Singapore and Malaysia 2013 di Singapura.
Melalui pertandingan itu, kumpulan tersebut telah memenangi lima kategori yang dipertandingkan iaitu Pistol Squat, Ketahanan Human Flag Paling Lama, Ketahanan Back Lever Paling Lama, Cabaran Banzuke dan Tekan Tubi Paling Lama.
"Pertandingan itu merupakan peluang terbaik bagi Bar-Risan untuk membuka mata peserta dari negara luar mengenai kemampuan rakyat Malaysia dalam arena senaman jalanan. Selain itu, ia merupakan satu pengalaman yang menarik kerana kami juga sempat mengadakan persembahan senaman jalanan di sekitar bandar Singapura," ujar pengurus perniagaan syarikat swasta itu.
Selain ibu kota, Bar-Risan juga pernah melakukan persembahan senaman jalanan di sekitar bandar Alor Setar, Pulau Pinang, Hat Yai, Thailand dan Singapura. Aksi dan gerakan senaman mereka juga ternyata menarik perhatian ramai.
Bar-Risan merupakan satu-satunya kumpulan senaman jalanan di negara ini yang menerima tajaan daripada syarikat minuman tenaga Drive M7.
Syarikat tersebut menaja pakaian rasmi, minuman dan kewangan kumpulan itu sewaktu menyertai pertandingan atau pertunjukan.

LATIHAN intensif dalam senaman kalistenik amat diperlukan untuk melakukan aksi Back Lever.


Kuasai rutin
Menurut Amin, bagi yang ingin mencuba senaman jalanan, terdapat beberapa senaman yang harus dikuasai sebelum memulakan rutin pada palang dan tiang.
"Tekan tubi merupakan rutin asas kepada mereka yang mula berjinak-jinak dalam senaman jalanan. Melalui senaman itu, ia membina kekuatan otot tangan untuk menampung berat badan sewaktu bergantung pada palang dan tiang.
"Senaman kardiovaskular seperti berlari amat penting untuk menguatkan stamina dalam senaman ini. Selain menguatkan otot, stamina juga penting untuk membantu kita melakukan rutin senaman jalanan ini," ujarnya.
Bar-Risan juga melakukan pelbagai formasi senaman secara berkumpulan tanpa menggunakan palang dan tiang.
Cara terbaik kumpulan itu untuk mengumpul ahli baharu ialah melalui pertunjukan senaman jalanan. Kebiasaannya, golongan remaja pasti tertarik untuk mencuba senaman itu tanpa dipaksa.
Seorang lagi ahli Bar-Risan, Muhammad Farhan Abdul Kapor, 20, memberitahu, dia berjaya menarik pelajar-pelajar di kampus pengajiannya untuk sama-sama mencuba rutin senaman kumpulan tersebut.
"Semasa saya mula mendaftar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), rakan-rakan tidak mengetahui mengenai senaman ini. Kini, Bar-Risan sudah mempunyai ahli di Melaka setelah saya mengajak rakan-rakan terdekat untuk mencuba rutin senaman ini.
"Selain Utem, pelajar-pelajar Universiti Multimedia (MMU) juga memnyertai Bar-Risan di Melaka. Kebanyakannya terdiri daripada pelajar luar negara seperti Arab Saudi, Afrika Selatan dan Korea Selatan yang berminat untuk mencuba senaman ini," ujarnya.


Kegilaan jus sayur di California


SEGELAS jus sayur mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi untuk mereka yang berdiet.


BUNYI kisaran kobis hijau, timun dan bayam kedengaran di dapur kediaman guru yoga, Kia Miller, 44, yang terletak berhampiran Pantai Venice, California di Amerika Syarikat (AS).
Miller kelihatan teruja ketika menceritakan obsesinya terhadap jus tersebut yang dikatakan baik untuk kesihatan.
"Saya seronok melakukannya, rasa seperti menekan butang penetapan semula. Ia seolah-olah memberikan anda peluang untuk memikirkan tentang hubungan dengan makanan.
"Ia merupakan cara yang terbaik untuk tubuh memperoleh nutrisi daripada sayur-sayuran segar," ujar Miller ketika ditemu bual di kawasan pinggir pantai tersebut.
Kedai jus berkonsep bar memang mudah ditemui di California kerana kota itu sudah lama membudayakan amalan alaf baharu. Di kawasan elit seperti Santa Monica dan Beverly Hills, bar jus dapat dilihat di setiap sudut jalan.
Pemandangan seperti orang lalu lalang sambil memegang cawan polistiren yang mengandungi jus sayur adalah sesuatu yang biasa. Malah penggemar jus sayur lebih mudah ditemui berbanding penggemar kopi.
"Jus ini dianggap seperti wain baharu," kata Miller sambil menghidangkan jus tersebut kepada wartawan.

DI Los Angeles dan New York, AS sahaja terdapat sebanyak 6,500 bar jus.


Jus sayur mengandungi pelbagai jenis sayur yang terdiri daripada kobis hijau, halia, ubi kayu, lobak, santan dan kacang almond. Bagi penggemar buah-buahan pula, mereka boleh mendapatkan jus yang dikisar daripada kurma, pisang, epal dan daun saderi.
Minuman kecantikan
Ada antara penduduk di negara tersebut menjadikan jus sayur sebagai rejim minuman kecantikan yang diamalkan untuk tempoh tiga hari, tujuh hari ataupun 30 hari secara berturut-turut.
Bagi yang ingin menurunkan berat badan, boleh mencuba meminum jus sayur selama lima hari tanpa makan hidangan lain. Tidak mustahil amalan tersebut membolehkan anda menurunkan berat sebanyak 10 kilogram.
Pakar fisioterapi, Heather, 42, baru menamatkan tempoh pembuangan toksin dalam badan yang dibuat selama 72 jam.
"Proses ini membuatkan saya rasa lebih sihat dan seperti ketagih untuk melakukannya lagi. Saya rasa lebih dekat dengan diri sendiri dan bertenaga," kata Heather.
Pengurus bar jus berketurunan India, Baba Ji, membuka dua cawangan pada dua tahun lepas di Silver Lake dan Los Feliz yang terletak di timur Hollywood.
"Beberapa tahun kebelakangan ini, minuman jus menjadi satu fenomena. Semua orang mahu membuka bar jus. Mereka semua mahu membuang toksik dalam badan," katanya.
Harga bagi jus tersebut bergantung kepada lokasi. Contohnya, kos bagi bekalan minuman jus selama tiga hari dianggarkan bernilai antara AS$120 hingga AS$150 (RM380 hingga RM476). Jangan terkejut jika kos bagi jus untuk lima hari boleh mencecah RM1,270.

JUS buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan langkah terbaik untuk membuang toksik dalam badan.


Harga
Seorang pelanggan di bar tersebut percaya tabiat meminum jus itu mengubah kehidupan mereka.
Laporan kewangan mingguan Barron yang dibuat pada Julai lalu menganggarkan nilai keuntungan yang diperoleh daripada industri penghasilan jus adalah sekitar RM15.86 bilion. Industri tersebut turut mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak empat hingga lapan peratus setahun.
Setakat ini, AS memiliki sebanyak 6,200 bar jus yang tertumpu di Los Angeles dan New York. Kafe Starbucks terbesar yang pertama mengkhususkan jualan minuman jus dibuka di Seattle dan San Fransisco tahun ini.


Pil perancang bawa faedah



SEBELUM ini, pelbagai kisah negatif didengari Rohani Ilyas tentang pengambilan pil perancang. Ada yang mengatakan, pil perancang menyebabkan kanser payudara, pertambahan berat badan dan jerawat.
Bagaimanapun, wanita berusia 28 tahun itu bertindak bijak apabila berjumpa dan meminta nasihat daripada doktor sakit puan berhubung perkara tersebut.
Sehingga kini, ibu kepada sepasang anak kembar itu telah menggunakan pil perancang selama setahun tanpa menghadapi risiko kesihatan.
“Selepas mendapat khidmat nasihat daripada doktor dan penjelasan tentang pil perancang oral gabungan (COC), saya memutuskan untuk menggunakannya.
“Doktor memberitahu saya bahawa pil perancang ini tidak mendatangkan kesan negatif,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Rohani mengambil pil perancang bagi merancang kelahiran anak, sekali gus dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada sepasang anak kembarnya.
“Saya mahu mereka membesar dulu selain pandai menguruskan diri sendiri. Pengambilan pil perancang merupakan usaha saya untuk memastikan perkara tersebut dapat dicapai.
“Selain itu, ia dapat menjamin kesejahteraan rumah tangga saya dan anak-anak tidak terabai,” katanya lagi.
Situasi yang dihadapi Rohani dialami kebanyakan wanita di negara ini yang bimbang pengambilan pil COC mendatangkan bahaya kepada kesihatan.
Bagaimanapun, pil perancang telah disahkan tidak memberikan kesan sampingan, sebaliknya ia mengandungi kandungan semula jadi yang mampu memberi kebaikan kepada tubuh manusia.
Menurut Perunding Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. K.K. Iswaran, pil COC telah dihasilkan bersesuaian dengan kitaran hormon tubuh badan manusia.
“Pil ini mengandungi dua hormon wanita sintetik iaitu hormon progestron dan estrogen yang berperanan untuk mencegah kehamilan.

PENGGUNAAN pil perancang membolehkan wanita merancang jarak kelahiran anak mereka. - Gambar hiasan


“Selain itu, pil COC ini mempunyai faedah kesihatan yang banyak berbanding kesan sampingan yang minimum.
“Pil COC ini dapat membantu meredakan senggugut, mengurangkan gangguan emosi, kanser ovari, endometrium dan merawat masalah jerawat,” katanya pada satu sidang akhbar mengenai pengambilan pil perancang di Hotel Hilton, Petaling Jaya baru-baru ini.
Jelasnya, di negara maju, pil COC digunakan untuk memperbaiki atau mencegah gangguan berkaitan haid seperti kitaran haid tidak menentu, endrometriosis dan sindrom prahaid (PMS).
Dalam pada itu, Ahli Majlis Perancang Keluarga Asia Pasifik, Prof. Dr. Jamiyah Hassan berkata, kajian mengenai pil COC sebagai punca kanser payudara sudah lama diperdebatkan, namun ia tidak mempunyai keputusan yang mantap.
“Isu tentang kesan sampingan pil COC menyebabkan kanser payudara sudah lama dibincangkan oleh pihak-pihak bertanggungjawab.
“Bagaimanapun, tiada keputusan yang mengatakan pil COC menjadi penyebab penyakit ini dan tidak ada pula yang menafikannya,” katanya.
Menurut satu kajian yang jalankan oleh Women's Contraceptive and Reproductive Experience antara 1994 dan 1998, pil COC tidak menyebabkan peningkatan risiko kanser payudara.
Seseorang berisiko mengalami kanser payudara sekiranya dia pembawa genetik BRCA1 dan BRCA2.
“Selain itu, mereka yang mempunyai saudara-mara yang menghidap penyakit kanser ovari juga berisiko tinggi menghidapi kanser payudara,” katanya.

SEMPENA Hari Kontraseptif Sedunia, Exeltis Pharma mengumumkan hasil kajian berkenaan sikap preskripsi pil hormon wanita dalam pasaran.


Jamiyah berkata, individu yang mempunyai masalah tersebut berkemungkinan menjadi penyumbang ralat dalam kajian pengambilan pil COC.
“Ini kerana, katanya, mereka tidak mengetahui genetik yang dibawa atau sejarah penyakit kanser payudara dalam kalangan keluarga masing-masing.
“Seseorang penghidap kanser payudara mungkin memberitahu doktor yang dia mendapat penyakit itu selepas mengambil pil COC tanpa mengetahui ahli keluarga terdekatnya mempunyai sejarah kanser payudara,” jelasnya.
Sempena Hari Kontraseptif Sedunia, anak syarikat Chemo Group yang merupakan bahagian penjagaan kesihatan sepadu, Exeltis Pharma baru-baru ini mengumumkan hasil kajian berkenaan sikap preskripsi pil hormon wanita dalam pasaran.
Keputusan kajian menunjukkan penggunaan pil COC di Malaysia masih lagi rendah iaitu kurang daripada empat peratus dalam kalangan wanita lingkungan umur 15 hingga 49 tahun.
Pakar penjagaan kesihatan mendapati bahawa pil COC drospirenone mewakili standard tertinggi terapi hormon wanita kerana keberkesanannya dan selamat digunakan.
Bagaimanapun, kos pil COC drospirenone dikatakan menjadi faktor utama yang mengehadkan pilihan wanita Malaysia untuk menggunakannnya.
Dalam pada itu, walaupun Malaysia antara negara paling rendah menggunakan pil COC, kajian menunjukkan yang jumlah wanita yang memerlukan rawatan hormon meningkat kepada 12 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
MENURUT Dr. Jamiyah Hassan, sehingga kini tiada kajian kukuh yang mengatakan pil perancang boleh menyebabkan kanser payudara.


Menurut Pengarah Urusan Farmasi Exeltis Malaysia dan Singapura, Andy Siow, peningkatan tersebut disebabkan oleh kehidupan seks yang aktif dan kesedaran tentang pencegahan kehamilan dalam kalangan wanita Malaysia.
Berdasarkan peningkatan tersebut, seorang daripada tiga wanita diberikan pil COC untuk merawat keadaan kesihatan termasuk pencegahan kehamilan, masalah haid, jerawat dan endometriosis.
Tambahnya, selain menjalankan kajian, sempena Hari Kontraseptif Sedunia, Exeltis Pharma turut memperkenalkan risalah pendidikan kepada pesakit.
“Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum tentang faedah kesihatan tambahan pil COC dan menggalakkan wanita Malaysia dalam meningkatkan kesejahteraan diri mereka.
“Exeltis Pharma sendiri menawarkan tiga pil COC yang mengandungi drospirenone untuk memenuhi keperluan wanita yang berbeza-beza. Pada masa tertentu, kami juga memberikannya pada kos yang berpatutan dan mampu dimiliki.
“Bagaimanapun, golongan wanita disarankan mendapatkan saranan daripada doktor terlebih dulu kerana setiap individu memerlukan jenis pil yang berbeza,” katanya yang memberitahu, risalah tersebut diedarkan di klinik, hospital, farmasi dan institusi pengajian tinggi.