SALIKIN SIDEK. Itu satu nama yang cukup besar dalam industri fesyen
tempatan. Berpegang teguh kepada prinsipnya untuk mengekalkan rekaan
warisan turun-temurun sejak menceburkan diri dalam bidang fesyen 25
tahun yang lalu, beliau kini boleh berbangga dengan hasil yang
diperolehi.
Hasil kerja tangannya disenangi pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan juga selebriti tempatan.
Bagaimanapun, populariti butik yang menggunakan nama Salikin Sidek,
50, tidak mencukupi buatnya. Beliau mahu berkongsi ilmu serta pengalaman
yang dimiliki bersama orang ramai dan pereka muda yang mempunyai
keinginan untuk belajar membikin pakaian tradisional.
Pada tahun 2010, Salikin muncul dengan buku berjudul,
Busana Tradisional. Ia menampilkan pelbagai ilmu jahitan pakaian tradisional Melayu daripada setiap negeri yang berbeza.
"Saya berasa terpanggil untuk menghasilkan sebuah buku kerana waktu
itu kurangnya buku rujukan yang mendalam tetapi mudah difahami mengenai
ilmu jahitan pakaian tradisional.
"Dalam buku itu, saya menurunkan ilmu daripada melakar pakaian,
memotong kain, menjahit dan membuat kemasan. Selain itu, teknik mengukur
untuk setiap baju berbeza turut dimuatkan dalam buku ini," ujarnya
tentang buku yang berharga RM30 senaskhah itu.
Tambahnya, setiap rekaan pakaian yang ditampilkan dalam buku itu
mengikut peredaran semasa namun masih mengekalkan nilai klasiknya.
"Buku saya menjadi rujukan buat pereka muda di sekolah fesyen dan
universiti. Saya cukup berpuas hati apabila ilmu yang saya miliki dapat
mendidik orang lain terutama generasi muda," ujarnya.
Sambutan menggalakkan yang diterima menyebabkan buku
Busana Tradisional itu telah dicetak buat kali kedua pada tahun lalu.
Pada tahun lalu juga, Salikin telah muncul dengan buku keduanya berjudul,
Busana Pengantin Melayu Tradisional. Buku yang berharga RM49.90 senaskhah itu menampilkan maklumat tentang busana tradisional daripada setiap negeri di Malaysia.
"Buku kedua saya berkongsi dengan pembaca tentang busana tradisi
pengantin setiap negeri bersama aksesori wajib yang perlu ada ketika
memakai busana itu.
"Sama seperti buku pertama, dalam buku kedua, saya turut memberitahu
secara terperinci cara menjahit pakaian cuma kali ini ditambah dengan
sejarah pakaian itu," kata bapa kepada tiga orang anak itu.
Bukan untuk mengaut keuntungan, luah Salikin, pada masa kini sudah
jarang beliau melihat pasangan pengantin memakai pakaian tradisional
secara keseluruhan.
Disebabkan itu, beliau ingin mengembalikan kegemilangan fabrik
tradisi seperti songket supaya digunakan pada hari bersejarah pasangan
pengantin moden hari ini.
"Sekarang ini cukup susah untuk saya melihat pengantin perempuan
memakai sanggul lintang kerana mereka lebih suka stail yang moden.
"Jadi, saya tampilkan pakaian tradisional termasuk aksesori sekali supaya dapat membuka mata bakal pengantin.

|
|
ILMU pengetahuan. Antara koleksi buku Salikin tentang busana tradisional yang kini berada di pasaran.
|
"Pakaian tradisional Melayu cukup indah dah tidak ditelan zaman dan
semakin cantik apabila ditambah dengan perincian seperti manik dan
sulaman," ujarnya.
Selepas muncul dengan dua buah buku, Salikin kini dalam proses mengumpul bahan untuk buku terbaharunya berjudul
Busana Kontemporari Seniwati Melayu.
Sejarah Salikin
Bercerita tentang bagaimana beliau terlibat dalam bidang fesyen, kata
Salikin, semuanya bermula selepas beliau menamatkan zaman
persekolahannya.
Sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau
mengambil kursus jahitan pakaian lelaki selama enam bulan di sebuah
pusat belia di Johor Bahru.
"Saya memang minat seni daripada kecil tetapi minat jahitan tercetus
selepas tingkatan lima. Waktu itu saya ke sebuah kedai jahitan, saya
lihat jari tukang jahitnya cacat tetapi dapat menghasilkan kerja tangan
yang berkualiti.
"Dalam hati saya berkata, kalau tangannya cacat boleh menjahit dengan
baik, pasti saya yang normal ini boleh lakukan juga," katanya.
Selepas tamat kursus enam bulan, Salikin menyambung pelajaran dalam
bidang rekaan fesyen dan jahitan perindustrian di Institut Kemahiran
Mara, Kuala Lumpur selama dua tahun.
"Kehidupan keluarga saya bukan senang, kalau belajar di universiti
pasti banyak belanja yang harus dikeluarkan. Justeru, saya memilih
menimba ilmu dengan jalan yang menjimatkan," beritahunya.
Kerjayanya bermula pada tahun 1982 di Butik Masaad sebelum berpindah ke Butik Filatoummo, Kuala Lumpur.
Kemudian beliau mendapat tawaran sebagai pereka fesyen di Dewi Sdn.
Bhd. sebelum berpindah ke Laila Jaya Studio Brunei pada tahun 1985.
"Waktu itu saya mereka pakaian moden seperti pereka fesyen yang lain.
Bekerja di Brunei memberi pengalaman berharga kerana saya dapat membuat
baju untuk kerabat diraja Brunei," ujarnya.
Niatnya selepas itu mahu menyambung pelajaran ke London, England
bagaimanapun ibunya menghalang menyebabkan Salikin kembali ke Kuala
Lumpur bekerja di Okora Sdn. Bhd selama tiga tahun.
Pada tahun 1988 Salikin membuka butik Ateliar Apparell di Subang
sebelum membuka butik Sali's Design pada tahun 1991. Ketika itu, Salikin
telah mula terlibat mereka pakaian untuk artis tempatan dan membuat
kostum untuk filem, teater serta drama tempatan.
"Saya masih membuat pakaian moden untuk artis tetapi selepas
menyaksikan model mengayakan pakaian tradisional dalam sebuah
pertunjukan fesyen, terdetik di hati saya alangkah bagus jika pakaian
tradisional kita mampu pergi ke peringkat antarabangsa.
"Jadi sejak itu, saya mula serius mereka pakaian tradisional sehingga
hari ini. Impian saya supaya Malaysia dikenali hanya menerusi pakaian
seperti baju kurung. Negara India misalnya dikenali dengan sari manakala
China dikenali dengan ceongsam," katanya mengakhiri bicara.
Siti Saleha

|
|
SITI SALEHA menggayakan busana koleksi terbaharu rekaan Salikin Sidek. Fabrik songket didatangkan khas dari Terengganu.
|
Ramai selebriti tempatan yang menggemari pakaian tradisional hasil
tangan Salikin Sidek antaranya aktres popular Siti Saleha yang diambil
menjadi model mengayakan pakaian Salikin.
Saleha yang mula popular dengan drama
Nora Elena (2011) memberitahu, dia merupakan peminat baju kebaya meskipun merupakan anak kacukan Melayu-Inggeris.
"Saya suka baju kebaya pendek kerana sesuai dengan bentuk badan dan
ketinggian saya. Apabila saya sarung pakaian tradisional terasa saya
menjadi sangat Melayu daripada hari biasa.
"Biasanya saya akan pakai kebaya ketika menghadiri kenduri kahwin,
hari raya, majlis berbuka puasa dan majlis rumah terbuka," ujarnya.
Adik kepada Sam Bunkface itu juga menggemari pakaian yang dibuat daripada fabrik songket yang ditambah dengan manik.
"Bagi saya kain songket sangat cantik, klasik dan nampak mewah.
Walaupun zaman moden, kain songket masih boleh disesuaikan dalam
pelbagai majlis," katanya yang suka memakai kebaya bersama korset.