Friday, April 1, 2011

Kamera GPS rakam kereta langgar treler


KERETA Vauxhall Astra sebelum (kiri) dan selepas kemalangan tersebut (kanan).


ABERDEEN, Britain - Detik cemas sebuah kereta dipandu melawan arus memasuki susur keluar sebatang jalan raya di Britain sebelum ia berlanggar dengan sebuah treler yang membawa muatan simen berjaya dirakam kamera sistem pengesanan global (GPS) lori kedua, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam kejadian pada Selasa lepas, kereta Vauxhall Astra yang dipandu seorang wanita cuba memasuki jalan besar A90, dekat sini, Scotland, melalui susur keluar jalan itu.

Melihat sebuah treler seberat 44 tan di depannya, dia melencongkan keretanya dan berada dalam laluan lori kedua di jalan raya itu.

Tidak mahu dirempuh, kereta itu cuba kembali ke susur keluar itu dan melanggar sisi treler terbabit.

Pelanggaran tersebut menyebabkan treler berkenaan terbalik, manakala bahagian sisi dan hadapan kereta itu remuk.

Tiada yang cedera dalam kemalangan itu. Namun, wanita berusia 20 tahun itu didakwa kerana memandu secara berbahaya.

Helang botak sambar burung kuang


SEEKOR burung helang menyambar burung kuang di Dakota Selatan, Amerika Syarikat.


DAKOTA SELATAN, Amerika Syarikat (AS) - Seorang jurugambar kelahiran Britain, Chris Bailey berjaya merakam beberapa gambar seekor helang botak besar yang kelaparan menyambar burung kuang di kawasan salji di sini untuk dijadikan makanan, lapor sebuah akhbar semalam.

Salah satu gambar tersebut merakam aksi dramatik helang botak menyambar burung kuang itu dengan menggunakan kedua-dua belah kakinya sebelum terbang tinggi.

Bailey, 54, yang terkejut pada masa itu cuba menjejaki helang botak yang membawa burung kuang tersebut ke kawasan berdekatan sebelum menjadikannya sebagai makanan.

Menurut Bailey yang bekerja sebagai pengarah servis Ford, dia sedang merakam gambar salji yang menutupi keseluruhan sebuah padang di sini.

"Tidak lama kemudian, saya menyaksikan helang botak yang cuba menyambar burung kuang berada di sana. Kejadian ini berlaku pada masa dan tempat yang tepat di depan mata saya," jelasnya.

Helang botak yang memiliki sayap berukuran 2.44 meter boleh terbang dengan kelajuan 72 kilometer sejam dan boleh hidup sehingga 30 tahun.

Muzik selamatkan remaja Mexico




MEXICO antara negara yang berhadapan dengan kes-kes jenayah yang kritikal. Setiap hari sekumpulan penagih tegar didapati sanggup membunuh puluhan orang awam yang tidak berdosa. Pergaduhan dan kegiatan gengsterisme pula semakin menjadi-jadi sehingga tidak menampakkan kesudahan.

Namun, situasi tegang berkenaan sama sekali tidak menakutkan Alma Rosa Gonzalez yang merupakan salah seorang bekas penagih heroin. Dia sedar, barangkali sudah terlambat untuk menyedarkan kumpulan gengster dan penagih dadah tetapi, dia masih ada peluang menyelamat kanak-kanak di sekitar Mexico yang mempunyai kira-kira 1.5 juta penduduk.

Enggan membiarkan kanak-kanak yang masih bersifat naif itu mengikuti jejak bapa mereka bergelumang dengan dadah dan senjata api, maka Gonzalez mengambil inisiatif mengubah hidup di sana yang lebih positif iaitu menerusi bermain alat muzik biola dan trompet. Dia menganjurkan program orkestra belia Gonzalez.

Program yang diinspirasi daripada rangkaian orkestra popular Venezuela yang dikenali sebagai El Sistema itu membantu anak-anak muda miskin mengubah nasib menerusi muzik.

Meskipun serba kekurangan dari segi kewangan Gonzalez tetap berusaha menyediakan sebuah kelas buat pelajarnya yang terdiri daripada kanak-kanak yang berasal daripada keluarga miskin. Kelas itu dibina di atas tapak longgokan sampah sarap. Kawasan sekitarnya dikelilingi jalan raya tidak berturap dan dipenuhi rumah-rumah terbengkalai yang didiami kumpulan gengster Mexican Blood.

Setakat ini program orkestra Gonzalez tersebut telah berjaya membantu lebih 400 kanak-kanak di bandar Ciudad Juarez. Lebih membanggakan, kejayaan demi kejayaan masih terus dikecapi meskipun pada satu tahap mereka pernah diancam, dirompak dan para pelajar pula terpaksa meninggalkan kelas apabila ibu bapa mereka diculik.

“Keganasan amat teruk di sini. Mereka membunuh orang seperti membunuh anjing,” jelas Angelica Palacios, ibu tunggal kepada Jose Angel, 10, yang mempelajari biola di sekolah tersebut.

“Bagi Jose biola adalah segala-galanya padahal, pada mulanya dia enggan membawa alat muzik itu bersamanya,” tutur Palacios.

Sejak tiga tahun lalu, dianggarkan lebih 7,200 orang mati angkara keganasan dadah di Ciudad Juarez, salah satu kota di Mexico yang serba kekurangan dari segi taman permainan, sekolah dan pengangkutan awam.

Walaupun awal tahun lalu, beberapa pihak sudah mengatur strategi untuk membanteras masalah dadah tetapi jawapannya masih gagal. Seramai 10,000 tentera di Ciudad Juarez setakat ini juga gagal membendung masalah dadah dan keganasan.

Menurut salah seorang pekerja sosial, bandar yang dikelilingi padang pasir dan timbunan sampah sarap itu tidak menjanjikan masa depan yang cerah. Para pekerja kilang pembuatan barangan untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) dibayar upah yang rendah kesan faktor keganasan yang melanda.


PELAJAR Gonzalez membuat persembahan di sebuah gereja sempena sambutan Krismas Disember tahun lalu.


Sehubungan itu Presiden Mexico, Felipe Calderon melancarkan program untuk membina semula bangunan sekolah di bandar, taman dan hospital apabila mendapati anak-anak muda semakin serasi dengan keganasan.

Kerajaan persekutuan kini membantu mengumpul dana untuk program orkestra Gonzalez walaupun selama beberapa tahun Gonzalez terpaksa bergantung kepada sumbangan amal pelbagai pihak. Program orkestra tersebut akan dijalankan dalam beberapa siri di sekolah dan pusat komuniti.

Jelas Gonzalez yang menagih sejak usia 14 tahun, dia terdorong untuk mewujudkan orkestra apabila mendapati tiada inisiatif atau program yang dilakukan bagi membantu meningkatkan taraf hidup kanak-kanak di bandar itu.

Kebanyakan kumpulan amal lebih cenderung kepada matlamat untuk memujuk golongan remaja meninggalkan kumpulan gengster dan pergi mencari kerja untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Namun kini, Gonzalez yang pernah bekerja di gereja dan begitu mencintai muzik mampu tersenyum. Dia melahirkan kesyukuran apabila 70 kanak-kanak dari kelasnya telah mengambil bahagian dalam konsert Krismas di gereja tempatan pada 19 Disember tahun lalu. Mereka memukau para tetamu dengan bermain muzik Bach, Handel dan Mozart.

Sementara itu, separuh daripada pelajarnya sudahpun melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di bandar Mexico. Gonzales berharap pada suatu hari nanti segelintir daripada kanak-kanak berkenaan bermain untuk Orkestra Simfoni Kebangsaan Mexico iaitu salah sebuah kumpulan orkestra yang tertua di negara itu.

“Saya ingin melihat suatu hari nanti ahli-ahli gengster membawa anak-anak mereka bersama alat muzik datang ke sekolah. Ia menunjukkan petanda positif bahawa kehidupan kanak-kanak bakal melalui fasa perubahan yang positif.

“Jika pada 20 atau 30 tahun lalu pihak kerajaan berusaha membentuk kanak-kanak dengan muzik saya yakin kami tidak akan menjadi seperti hari ini,” jelas Gonzalez ketika ditemui Reuters.

Gesekan biola menenangkan jiwa

Sementara itu, salah seorang pemain biola tanah air, Mohd. Khairi Razali, menyokong kewujudan program orkestra Gonzalez tersebut.

Jejaka berusia 26 tahun itu menyifatkan pendedahan muzik kepada kelompok kanak-kanak bukan sekadar meningkatkan keyakinan diri malah, turut melahirkan individu yang berdisiplin.

“Bermain muzik bukan mudah. Tanpa usaha, fokus dan latihan yang sistematik ia menyukarkan individu menghafal not ataupun pengiraan tempo. Sebab itu, setiap pemain muzik berkali-kali disaran agar sentiasa memberi tumpuan sewaktu kelas teori dan praktikal berlangsung.

“Selain itu, setiap hari individu perlu berdisiplin memperuntukkan selama sejam berlatih alat muzik. Inisiatif ini wajar dipraktikkan khususnya buat mereka yang bermain bersama grup atau orkestra bagi menghasilkan keharmonian bunyi sewaktu membuat persembahan,” jelas Mohd. Khairi atau Khairi yang pernah menyertai Festival Kesenian Asia ke-10 di Zhengzhou, China dan Festival Stompin Sabah 2008.


TARAF hidup dan disiplin anak-anak jalanan di Mexico semakin positif apabila terlibat dalam orkestra muzik.


Berbicara lanjut, anak kelahiran Kuala Lumpur itu melihat program berkenaan sedikit sebanyak membantu menyuntik mood dan jiwa yang positif dalam kalangan kanak-kanak.

Tegas Khairi yang pernah merangkul tempat ketiga dalam pertandingan Asian Beat Final di Taipei, Taiwan, apabila kanak-kanak sibuk dengan aktiviti muzik maka, ia dapat mengelakkan mereka daripada bergelumang dengan kegiatan yang tidak sihat seperti kegiatan gengster dan pengambilan dadah.

“Saya bercakap berdasarkan pengalaman saya sendiri yang hampir sedekad bermain alat muzik. Bayangkan, dek terlalu sibuk berlatih menggesek biola membuatkan kadangkala saya terlupa meluangkan masa bersama rakan-rakan.

“Bagaikan sukar untuk berenggang dengan biola. Alunan muzik halus dan indah yang keluar menerusi gesekan alat muzik ini memberikan suatu keseronokan yang unik dan menenangkan jiwa,” ujar Khairi, graduan muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur yang turut mahir bermain gitar.

Muzik jadi terapi

Dalam pada itu, Persidangan Muzik Amerika (AMP) yang dianjurkan pada tiga tahun lepas mencapai kesepakatan bahawa golongan kanak-kanak yang didedahkan dengan lagu dan tarian dapat menghakis perasaan malu dan memberi kebaikan kepada otak.

Hasil kajian yang dilakukan AMP mendapati muzik adalah kaedah terbaik untuk meningkatkan kekuatan otak. Buktinya, kanak-kanak yang kerap mendengar muzik atau beraksi di atas pentas antara kumpulan pelajar yang memperoleh gred lebih cemerlang dalam pelajaran terutama matematik.

Situasi itu turut diakui oleh Ketua Jabatan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Raja Azuan Nahar Raja Adlan. Menurutnya, muzik ialah terapi yang paling ideal untuk minda, menenangkan fikiran dan sosial.

Bukan itu saja, muzik juga memberi peluang dan platform yang terbaik kepada individu bereksperimen dan mengekspresi diri. Contohnya, penggemar muzik hip hop yang meluahkan perasaan menerusi cetusan lirik lagu, intonasi rap dan corak tarian yang rancak.

“Malangnya di Malaysia kebanyakan ibu bapa menganggap muzik itu melalaikan dan memberi kesan buruk kepada anak-anak. Mereka seringkali mengaitkan muzik penyebab anak-anak terjebak pada dadah, pergaulan bebas dan aktiviti seks.

“Tetapi saya yakin, sekiranya anak-anak didedahkan kepada saluran muzik yang betul, mereka dapat membezakan muzik negatif dan positif,” terang Raja Azuan yang turut mengalakkan ibu bapa membawa anak-anak menyaksikan pementasan teater muzikal kanak-kanak.

Malu dan tabu kaum Adam




BERGELAR raja sehari merupakan impian bagi setiap pasangan yang sedang dilamun kasih. Tidak terkecuali bagi Rizal (bukan nama sebenar) yang mengambil keputusan untuk mengakhiri zaman bujang bersama wanita pilihan hatinya selepas setahun mereka bercinta.

Kehidupannya dirasakan begitu lengkap. Mana tidaknya, selepas 30 tahun hidup bersendirian, kini ada insan bergelar isteri yang dia harapkan sentiasa berada di sisi dan mampu bersamanya dalam segala urusan hidup.

Biarpun tampak bahagia seperti pasangan-pasangan lain, Rizal menyedari hubungannya dan isteri agak dingin di ranjang. Semuanya berpunca akibat kelemahan tenaga kelelakiannya. Dia gagal ‘bertahan’ walaupun untuk tempoh satu minit.

“Abang ni macam Supermanlah, cepat sangat,” sindir isterinya yang menyebabkan Rizal tidak mampu berkata-kata.

Rizal mula berasa bimbang dan takut serta dihantui pelbagai persoalan. Cumbuan dan sentuhan kepada isterinya mula berkurangan, malah dia juga cuba mengelak untuk tidur bersama.

Bagaimanapun, ego lelaki yang menebal di dalam dirinya menyebabkan Rizal enggan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Baginya, cerita di atas ranjang merupakan maruah dan harga dirinya serta tidak wajar diperbesarkan. Namun dalam diam, dia bersendirian mencari ikhtiar bagi mengatasi kekurangannya itu.

Dia mula pencari pelbagai produk alternatif dan herba yang kononnya mampu memanjangkan waktu ‘bersama’ yang terdapat di pasaran.

Semuanya telah dicuba, namun ia tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Akibat kedegilannya, mahligai bahagia yang dibina mula berantakan.

Kisah Rizal mungkin antara secebis daripada ribuan kes-kes ejakulasi pramatang (premature ejaculation - PE) yang berlaku di negara ini.

Presiden Persatuan Urologi Malaysia, Prof. Dr. Azad Hassan Abdul Razack berkata, PE didefinisikan sebagai satu keadaan yang menyebabkan lelaki memancutkan air maninya terlalu cepat sebelum masanya.

“Klimaks selalunya mendahului kehendak lelaki itu sendiri mahupun pasangannya sehingga tidak sempat memberi dan merasakan kepuasan yang lebih lama dalam hubungan seksual.

“Akibatnya, isteri yang mempunyai kepuasan seks yang lebih tinggi berasa kecewa sehingga mendorong kepada berlakunya krisis dalam hubungan antara pasangan,” katanya.

Menurutnya, PE yang paling kerap berlaku dalam tempoh dua minit selepas penetrasi manakala selebihnya sama ada lebih cepat atau mampu bertahan lebih lama daripada tempoh itu.

Katanya, situasi itu lazim terjadi kepada pengantin baru yang mahu melayari bahtera buat kali pertama disebabkan terlalu bimbang atau teruja.

“Bagaimanapun, PE yang berlaku terlalu kerap terutama selepas beberapa tahun perkahwinan boleh mengganggu hubungan suami isteri. Ia menandakan satu masalah perubatan dan perlu dirawat segera,” ujarnya.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Kajian Kawalan dan Sikap Ejakulasi Pramatang Asia Pasifik (AP PEPA) baru-baru ini mendapati 29 peratus lelaki Malaysia berkemungkinan mengalami PE.

Kaji selidik tersebut telah dijalankan kepada 5,000 lelaki berusia dari 18 hingga 65 tahun.

Sebanyak 10 negara di sekitar Asia Pasifik termasuk Australia, New Zealand, China, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan,, Thailand dan Filipina terlibat dalam kaji selidik itu.

Kesedaran rendah




Kajian daripada AP PEPA itu juga menemukan bukti bahawa kesedaran mereka tentang PE amat rendah. Lebih mengejutkan, ia turut mendedahkan bahawa kebanyakan lelaki tidak sanggup dan enggan membincangkan masalah itu secara terbuka. Mereka sebaliknya membiarkan perasaan tertekan dan kecewa berlalu begitu sahaja.

Azad menjelaskan, walaupun jumlah lelaki yang berdepan dengan masalah berkenaan boleh dikatakan agak besar, masih ramai yang memilih untuk merahsiakannya.

Katanya, lelaki sering menganggap perkara tersebut adalah sesuatu yang bersifat tabu dan enggan mengakui kelemahan diri memandangkan ia melibatkan kekurangan dari sudut keupayaan seksual.

Faktor itu diburukkan lagi dengan kekeliruan dan ketidakfahaman mereka mengenai penyakit tersebut serta tidak pasti mengenai pihak yang perlu dirujuk bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, berbeza dengan disfungsi erektil (DE) yang biasanya menyebabkan lelaki langsung tiada dorongan seks, mencapai ketegangan zakar dan selanjutnya ejakulasi, PE kurang disedari dan tidak dianggap sebagai satu masalah seksual yang serius.

“Lebih memburukkan keadaan, kaum wanita pula lebih rela menderita daripada membincangkan hal tersebut secara terbuka hanya kerana mahu menjaga perasaan pasangan mereka.

“Jika masalah ini tidak ditangani di peringkat awal, akibatnya akan dirasai oleh pasangan terlibat. Kemurungan, tekanan, rasa rendah diri dan kekecewaan yang meluap-luap boleh menjurus kepada hubungan dingin di atas katil. Seterusnya adalah kemungkinan keruntuhan rumah tangga,” terang beliau.

Punca psikologi

Sementara itu, Presiden Persatuan Andrologi dan Kajian Lelaki Berusia Malaysia, Datuk Dr. Tan Hui Meng berkata, antara 20 hingga 30 peratus lelaki mungkin pernah menghidapi PE dalam suatu peringkat kehidupan mereka tanpa mengira usia.

Beliau menjelaskan, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada PE, lazimnya disebabkan punca-punca psikologi.

Katanya, tahap hormon tertentu dan sensitiviti (kegelian) berlebihan pada alat sulit lelaki merupakan sebahagian faktor biologi PE.

“Di samping itu, terdapat keadaan tertentu yang boleh mengganggu proses ejakulasi seperti perubahan kelenjar prostat, arteriosklerosis (gangguan akibat kolesterol berlebihan yang melekat pada dinding pembuluh darah arteri), diabetes dan gangguan neurologi (saraf).

“Begitupun, kebanyakan masalah PE adalah berpunca daripada masalah psikologi yang menyebabkan kegagalan mengawal tindak balas ejakulasi,” jelas Hui Meng.

Tambah beliau, paling penting dalam merawat permasalahan itu mahupun lain-lain gangguan seksual adalah komunikasi berkesan antara kedua-dua pasangan.

“Ia terjadi bukan dengan kehendak sesiapa. PE sangat menjejaskan perasaan isteri. Suami sepatutnya memberi kerja sama dan perlu mendapatkan diagnosis sebelum melakukan sebarang rawatan,” kata beliau.

Hui Meng turut berpesan, penggunaan perubatan alternatif atau ubat herba yang terdapat di pasaran boleh memburukkan keadaan. Bukan sahaja produk tersebut tidak dapat dipastikan keberkesanannya, ia turut meninggalkan kesan sampingan kepada yang mencubanya.

Bagaimanapun, hari ini terdapat ubat preskripsi bernama Priligy yang dikeluarkan oleh Bahagian farmaseutikal Johnson & Johnson yang membuka jalan untuk merawat pesakit PE.

Pengurus Hal Ehwal Perubatan Janssen-Cilag, Joyce Seak berkata, Priligy adalah pilihan yang telah dibuktikan secara klinikal.

Katanya, pengambilan Priligy mampu menolong pasangan mengembalikan saat keintiman hubungan sesama mereka.

“Priligy berupaya meningkatkan serotonin dalam tubuh bagi melambatkan ejakulasi, paling penting ia tidak mempunyai kesan sampingan yang ketara.

Ketika ini, katanya terdapat dua dos Priligy iaitu 30 miligram dan 60 miligram dan perlu dimakan satu hingga tiga jam sebelum melakukan hubungan intim.

Sayangi buah pinggang anda!


MASKOT ginjal beramah mesra dengan pengunjung cilik di Jusco AU2, Setiawangsa.


SATU dalam 10 orang dewasa di dunia menghidapi masalah ginjal atau buah pinggang. Anda juga tidak terkecuali daripada risiko itu kerana penyakit buah pinggang merupakan pembunuh senyap lantaran tanda-tanda dan gejala-gejala yang berkaitan dengannya hanya muncul di peringkat akhir.

Walaupun penyakit buah pinggang atau ginjal adalah penyakit paling kerap dihidapi dan berbahaya namun ia masih boleh dirawat.

Bersempena Hari Ginjal Sedunia yang disambut pada 10 Mac setiap tahun, Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) menganjurkan sesi pemeriksaan kesihatan percuma khusus untuk orang ramai di AEON Jusco AU2, Setiawangsa 12 Mac lalu.

Dengan membawa tema ‘Lindungi Buah Pinggang Anda, Selamatkan Jantung Anda’, sesi pemeriksaan yang bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam itu bukan sahaja memberikan peluang orang ramai mendapatkan pemeriksaan percuma, malah mereka turut berpeluang mendapat khidmat nasihat daripada pakar-pakar buah pinggang yang hadir sepanjang program berlangsung.

Menurut Ketua Jabatan Nefrologi HKL, Datuk Dr. Ghazali Ahmad Kutti, kebanyakan orang awam sebenarnya tidak menyedari bahawa penyakit buah pinggang dan penyakit jantung adalah saling berkaitan.

“Jika seseorang itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang, risiko pesakit itu menghidap penyakit jantung adalah tinggi sekiranya ia tidak dikawal.

“Oleh itu, pemeriksaan kesihatan sebegini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada orang ramai untuk memastikan bahawa mereka mempunyai dua belah buah pinggang yang boleh berfungsi dengan sihat dan baik.

“Pada masa yang sama dapat memastikan bahawa mereka tidak mempunyai faktor-faktor yang boleh meningkatkan kemungkinan mendapat penyakit buah pinggang,” kata beliau.

Melambatkan kesan

Tambah Ghazali, perkembangan penyakit buah pinggang boleh dilambatkan atau dihentikan jika ia dapat dikesan lebih awal.

“Pada 2007, lebih 21,000 orang rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang tahap 5, iaitu tahap paling serius yang memerlukan mereka menjalani dialisis atau pemindahan buah pinggang.

“Namun, proses dialisis adalah satu proses yang tidak produktif selain menelan belanja yang besar kerana seorang pesakit itu perlu membelanjakan sebanyak RM25,000 hingga RM30,000 setahun dan kos ini tidak termasuk perbelanjaan ubat-ubatan,” jelas beliau.

Ghazali memberitahu, seseorang pesakit itu mungkin perlu menjalani rawatan dialisis mereka sepanjang hayat yang pastinya menjejaskan produktiviti kerja.

Dalam pada itu, orang ramai juga berpeluang menambah informasi mengenai penyakit buah pinggang melalui pameran mini yang diadakan.


KAUNTER khidmat nasihat sentiasa penuh dengan pengunjung yang mahu mengetahui lebih lanjut tentang tahap kesihatan mereka.


Antara maklumat menakjubkan adalah mengani kehebatan fungsi organ itu yang mampu menapis dan membersih sehingga 200 liter darah sehari.

Hebat, bukan? Namun, ramai antara kita tidak mengambil peduli terhadap kesihatan organ yang terletak di pertengahan belakang tubuh di bawah rusuk tulang itu sehingga merosakkan fungsinya.

Organ berpasangan berbentuk kacang seberat 150 gram setiap satu itu penting dalam mengekalkan keseimbangan dalaman badan secara tetap. Uniknya, seseorang itu boleh menjalani kehidupan normal walaupun salah satu daripada buah pinggangnya rosak.

Memandangkan penyakit buah pinggang kronik tidak mempunyai sebarang tanda-tanda pada peringkat awal, ujian saringan adalah penting dalam pengesanan awal penyakit ini.

Ujian saringan yang perlu dilakukan adalah pemeriksaan tekanan darah, ujian darah dan ujian air kencing.

Pemeriksaan awal

Oleh itu, ujian dan pemeriksaan awal adalah penting terutamanya jika seseorang itu berumur 60 tahun ke atas atau berada dalam kelompok berisiko tinggi seperti pesakit diabetes, pesakit darah tinggi, ahli keluarga pesakit buang pinggang dan penghidap eritematosus lupus sistemik (SLE).

Tidak ketinggalan juga bagi mereka yang menghadapi masalah batu dalam buah pinggang, kerap makan ubat tahan sakit, akar kayu atau herba dan pernah menjalani pembedahan mengeluarkan satu ginjal.

“Banyak informasi yang dapat diperoleh melalui program sebegini berdasarkan pameran yang diadakan.

“Ia secara tidak langsung dapat menyedarkan orang ramai bahawa penyakit buah pinggang boleh menyebabkan penyakit-penyakit lain jika tidak dirawat pada peringkat awal,” kata seorang pengunjung yang turut sama melakukan pemeriksaan, Umi Kalthum Mohd. Isa, 26.

Dalam pada itu, Mohd. Zaki Mohd. Tahar, 32, berpendapat penganjuran sambutan Hari Ginjal Sedunia harus diadakan lebih menyeluruh di tempat-tempat awam seperti di pusat membeli-belah bagi menarik lebih ramai orang awam.

“Ini peluang baik yang perlu direbut oleh orang awam untuk mendapatkan pemeriksaan percuma tanpa perlu bersesak-sesak dan ke hospital yang jauh dari kediaman mereka,” ujarnya.

Suri rumah berjaya dengan Avon


NORA (tiga dari kanan) diraikan dalam satu majlis bersama wakil-wakil Avon yang lain.


BELI untuk pakai sendiri. Itulah permulaan seorang suri rumah, Nora Hashim, 43, terpaut dengan jenama Avon kira-kira enam tahun lalu. Waktu itu dia sekadar menjadi ahli biasa untuk mendapatkan diskaun ketika membeli barangan yang dijual seorang temannya.

Namun, gara-gara rakannya berhenti menjadi wakil jualan, Nora bertindak nekad untuk terus mendaftar sebagai wakil penjual Avon pada bulan Jun 2007.

Tambahan pula, ketika itu suaminya, Abdul Gani Hadzri baru sahaja berhenti kerja. Keadaan itu menyebabkan dia memasang niat menjual produk Avon demi untuk menambah pendapatan keluarga.

Ternyata niat murninya itu dimakbulkan Allah. Sehingga hujung tahun 2007, Nora berjaya mencapai sasaran jualan bernilai RM94,000 sekali gus, memperoleh satu tiket percutian ke Switzerland.

“Bagaimanapun, saya mengambil keputusan menukar lokasi ke Perth, Australia kerana dengan itu saya boleh membawa suami dan seorang anak bercuti ke sana.

“Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan saya dapat membuktikan kesungguhan saya untuk serius dalam perniagaan Avon kepada suami melalui kejayaan jualan yang dicapai.” kata Nora dalam satu pertemuan bersama Kosmo! baru-baru ini.

Walaupun pada awal penglibatannya, si suami tidak menunjukkan sokongan tetapi, usaha gigih Nora akhirnya mendapat restu lelaki yang dicintai itu.

Menurut Abdul Gani, 46, sepanjang berbelas tahun dia bekerja dalam perkhidmatan kerajaan, tidak pernah sekali pun dia mampu membawa isteri dan anak-anaknya bercuti ke luar negara.

Tetapi, melihat isterinya melakukan perkara tersebut dalam tempoh enam bulan, hatinya terasa begitu sebak dan pilu.

“Memang mula-mula apabila isteri memberitahu ingin menjadi wakil jualan Avon, saya hanya memandang sinis hasratnya.

“Namun demikian, sebaik saya menjejakkan kaki ke hotel penginapan di Perth saya terus berpaling kepada Nora dan berkata padanya bahawa, ‘no turning back my dear’,” ujar Abdul Gani yang mengakui dia turut menangis ketika itu.

Sejak itu, pendapatan yang diperoleh daripada hasil jualan Avon yang stabil dan terjamin membuatkan hati Nora puas. Tahun berikutnya, Nora menerima insentif dua tiket percutian ke Rom, Itali selepas berjaya mencapai jualan RM196,000.

Cuma, atas beberapa alasan tertentu, Nora tidak mengambil tiket percutian tersebut sebaliknya memilih menukarnya dengan wang tunai.


INSENTIF kereta Avon membolehkan Nora memiliki tiga buah kereta mewah.


Pada bulan Januari 2009, Nora beralih menyertai program Avon Sales Leadership. Kegigihan wanita itu untuk terus merubah kehidupan ke arah yang lebih baik begitu membara.

Tambahan pula, apabila melihat sendiri kejayaan downline menjadi Senior Executive Sales Leader (SESL) menjadikan wanita kelahiran Johor Bahru, Johor itu lebih bersemangat, aktif dan yakin.

Bermula sebagai seorang suri rumah, Nora kini boleh berbangga dengan pencapaian diri apabila bergelar Sales Leader No. 2 negara sepanjang tahun 2010.

Menurut ibu kepada lima cahaya mata itu, Avon Sales Leadership bukan sahaja memberi pendapatan stabil malah mampu mengeratkan hubungan bersama kumpulan masing-masing.

“Ini sangat berbeza daripada kebanyakan perniagaan skim jualan langsung yang ada iaitu menekan downline untuk kejayaan upline.

“Malah, melalui Sales Leadership ini, ia dapat melatih saya menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan prihatin hasil daripada sesi latihan profesional yang dianjurkan Avon,” ujar Nora yang tidak ketinggalan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli kumpulan yang sentiasa menyokongnya.

Kini, soal kewangan bukan satu masalah besar buat Nora sekeluarga kerana dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.

Sementara itu, di bawah program elaun kereta pula, Nora berjaya memiliki tiga buah mewah. Ternyata, bersama Avon Nora dan keluarganya dapat menjalani hidup mewah walaupun tidak mempunyai pendidikan tinggi.

Pesanan Nora bagi mereka yang berminat merebut peluang menambah pendapatan bersama Avon adalah meletakkan impian di hadapan dan terus mengusahakannya hingga berjaya.

Untuk peluang pendapatan bersama Avon, sila layari www.my.avon.com atau hubungi 1800-22-AVON (2866).

Thursday, March 31, 2011

Belasah isteri hamil mengidam

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang hamil empat bulan cedera di kepala dan badan apabila dipukul suaminya selepas dia mengidam buah kelur atau munggai serta lempuk durian dan meminta suaminya mendapatkan dua jenis makanan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul, di sini, wanita terbabit yang berusia 28 tahun dipercayai ditumbuk dan ditendang suaminya yang berusia 30-an.

Sumber berkata, ketika kejadian si suami baru pulang dari kerja sebelum mangsa memintanya keluar dan membeli makanan berkenaan kerana dia mengidamkannya serta memberitahu tidak dapat tidur jika tidak memakannya.

“Lelaki terbabit yang berkemungkinan tertekan dengan tugas di tempat kerja dan belum sempat berehat tiba-tiba berang sebelum memarahi isterinya itu.“Tindakan lelaki terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran selama lebih 20 minit sebelum si suami gagal mengawal kemarahan dan menendang serta menumbuk isterinya.“Walaupun isterinya itu berulang kali merayu dikasihani dan mengatakan bimbang kandungannya itu terjejas, ia langsung tidak dipedulikan.


“Selepas melepaskan geramnya, lelaki terbabit keluar dari rumah dengan meninggalkan isterinya sendirian,” katanya.

Difahamkan, mangsa mula meminta pelbagai makanan dan buah-buahan yang sukar diperoleh di ibu kota kepada suaminya itu kerana mengidam selepas doktor mengesahkan dia mengandung sejak dua minggu lalu.

Sebelum kejadian kelmarin, lelaki terbabit cuba memenuhi setiap permintaan isterinya, namun hilang pertimbangan selepas tidak tahan sikap isterinya yang sering meminta makanan yang pelik dan sukar didapati.

Sumber itu berkata, mangsa yang cedera menghubungi rakannya sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, mangsa hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tidak menjejaskan bayi dalam kandungannya.

Selepas berbincang dengan ahli keluarga, mangsa yang bimbang perkara sama berulang tampil membuat laporan di balai polis menuntut tindakan diambil terhadap suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.