Thursday, October 28, 2010

Spider Rindukan Loloq

Album baru kumpulan Spider berjudul KauSatu tanpa sentuhan komposer Loloq

PETALING JAYA: Setelah dua tahun menyepi, kumpulan Spider bakal muncul dengan album kelima berjudul KitaSatu yang bakal berada di pasaran pada 9 November ini.

Album kelima ini memuatkan lima buah lagu baru dan dua lagu bunus ini masih mengekalkan genre muzik Ska Rock, namun kali ini tanpa sentuhan daripada komposer terkenal Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq.

Menurut Vokalis Spider, Rustam Mustafah atau Tam berkata, pemergian Loloq merupakan kehilangan besar bagi mereka, bagaimanapun semangat Loloq masih lagi kuat dalam karya Spider.

"Kami sangat rindukan Loloq, ketika proses pembikinan lagu kami sentiasa ingatkan dia. Segala idea yang diberi dan karya-karya dia banyak menjadikan Spider sebuah kumpulan muzik yang tersendiri.

"Album kali ini tiada sentuhan dia, tapi kenangan bersama dengannya menguatkan lagi semangat kami untuk berjuang dalam industri ini," ujarnya ketika ditemui di Majlis Pra Dengar Album KitaSatu, di sini, Rabu.

Dalam pada itu, Tam juga mengakui tidak mendapat kepuasan sepenuhnya dalam album kelima ini kerana sebelum ini Spider mengeluarkan 10 buah lagu dalam setiap album mereka.

"Jika nak bercakap tentang kepuasan memang saya tidak puas. Bagi saya sebuah album adalah sebuah perjalanan, namun saya memahami peredaran sistem sekarang.

"Kalau dulu kita perlu membeli sebuah album untuk mendengar lagu tersebut, tapi kini boleh membeli melalui muat turun sahaja," katanya.

Album ini memuatkan lagu berjudul Ajaib, KitaSatu, Rasakan Resapkan, Bukan Salah Aku, Tapi Bagaimana, KitaSatu (Akustika) dan Tapi Bagaimana (Akustika).

Selain itu, selepas single pertama Spider berjudul Ajaib mendapat sambutan pendengar, single kedua berjudul KitaSatu ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Keon bakal dimainkan dalam masa terdekat ini.

"Lagu berentak perlahan ini merupakan kesinambungan daripada lagu Rela Ku Pujuk. Kita masih mengekalkan unsur Ska dalam lagu ini.

"Menurut Keon lagu ini juga sebagai hadiah kepada perkahwinan saya tahun lalu," ujar Tam.

Keseluruhan lagu dalam album ini adalah ciptaan Tam Spider dan Spider sendiri serta mendapat sentuhan M.Nasir menerusi lirik Bukan Salah Aku dan Rasakan Resapkan, selain Keon dalam lagu KitaSatu dan Buddhi hikayat menerusi lagu Ajaib.

Spider masih lagi mengekalkan ahli terdahulu yang terdiri daripada Tam (Vokalis & Gitar), Tony (Bass), Hanafie (gitar) dan Ayie (Dram).

Album KitaSatu ini juga diterbitkan sepenuhnya oleh Spider dibawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd, manakala Universal Music Sdn Bhd bertindak sebagai pengedar dan wakil pemasarannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: