Friday, October 29, 2010

Perceraian bentuk keluarga gabungan


KESERASIAN antara bapa dan anak tiri penting dalam membentuk keluarga gabungan. - Gambar hiasan


MASIH ingat siri televisyen Amerika The Brady Bunch yang disiar sekitar lewat 60-an dan pertengahan 70-an? Sitcom itu diolah dan disiarkan ketika kes perceraian dan perkahwinan semula berlaku dengan banyaknya di Amerika.

Ia berkisar mengenai sebuah keluarga gabungan besar iaitu Mike Brady dan tiga orang anak lelaki dan isteri barunya, Carol Martin yang mempunyai tiga orang anak perempuan.

Beberapa episod awal memaparkan bagaimana keluarga itu belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan baru yang disulami dengan pertelingkahan dan persaingan sesama sendiri. Mereka akhirnya berjaya hidup sebagai sebuah keluarga.

Keluarga gabungan adalah istilah yang digunakan untuk memperihal pasangan suami isteri yang sebelum ini berkahwin, membawa anak-anak mereka daripada perkahwinan lain untuk tinggal dalam sebuah kehidupan baru.

Trend baru

Meskipun keluarga gabungan perkara lazim di AS tetapi bagi Malaysia dan negara-negara Asia yang lain, ia dianggap satu fenomena yang semakin meningkat.

“Yang pasti trend ini wujud tetapi malangnya tidak ada penyelidikan dibuat dan data mengenainya juga tidak ada.

“Mungkin ia bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan seperti kes pembuangan bayi sebagai contoh, tetapi ia sesuatu yang perlu diberi perhatian,” kata Profesor Datin Paduka Jamilah Ariffin ketika ditemui baru-baru ini.

Jamilah yang merupakan Presiden Forum Keluarga Asia Pasifik Malaysia (APFAM) ialah profesor penasihat La Trobe University dan Monash University, Melbourne, Australia.

Banyak kes perceraian

Kadar perceraian yang tinggi dikatakan ada kaitan dengan meningkatnya keluarga gabungan. Di Malaysia, contohnya, kata Jamilah, ramai wanita Muslim moden yang langsung tidak dapat menerima poligami terutama mereka yang datang daripada keluarga kelas pertengahan dan berkemampuan dari segi kewangan.

Sekiranya perkahwinan mereka gagal, wanita berkenaan berkemungkinan berkahwin semula memandangkan umur kebanyakan mereka dalam lingkungan di antara 40-an dan 50-an.

Wanita-wanita itu berkemungkinan berkahwin dengan lelaki yang sudah bercerai dan mempunyai anak.

Beliau juga menyentuh laporan mengenai hubungan romantik di pejabat yang diuar-uarkan turut menyumbang kepada kes perceraian.

“Semakin ramai wanita yang menyertai dunia pekerjaan. Perkahwinan mereka mungkin tidak bahagia dan mereka berjumpa lelaki di pejabat yang juga tidak bahagia perkahwinannya.

“Mereka bercerai dengan pasangan masing-masing dan berkahwin lagi,” jelas Jamilah.

Menurut Jamilah, sama ada keluarga gabungan itu sebuah keluarga bahagia atau tidak, sebahagian besar bergantung kepada penerimaan ibu bapa terhadap anak tiri dan penerimaan sesama anak tiri.

“Ramai yang membesar dalam persekitaran sedemikian tetapi tiada siapa yang bertanya kepada mereka bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan adik tiri.

“Sebagai contoh, apakah ada persaingan? Tetapi tiada yang mahu bercakap mengenai perkara ini,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan sama ada keluarga gabungan menyumbang kepada peningkatan gejala sosial, Jamilah menjawab: “Ia bergantung bagaimana mereka menghadapi keadaan itu. Ada yang tidak mempunyai sebarang masalah langsung.

“Si ayah sesekali datang menjenguk anak-anaknya sementara si ibu tinggal di rumah lain. Ada juga yang membenci adik tiri, semuanya bergantung bagaimana mereka menangani keadaan tersebut.


WANITA Indonesia yang bekerja di Malaysia juga membentuk keluarga gabungan setelah pulang ke negara mereka kerana rata-ratanya mereka sudah mempunyai anak. - Gambar hiasan


“Ada kes pasangan bercerai kerana isterinya bertemu dengan lelaki yang lebih kacak. Bekas suaminya berkahwin lain tetapi anak perempuannya tidak dapat menerima kehadiran ibu tiri.

“Anak ini menjadi liar dan akhirnya membiarkan dirinya diperkosa kerana marahkan ibu bapanya. Budak perempuan ini secara sengaja merosakkan dirinya kerana marah terhadap ibu bapanya dan merasakan mereka tidak menyayanginya,” kata beliau.

Isu pekerja asing

Jamilah berkata, keluarga gabungan adalah isu di kalangan pekerja asing di Malaysia.

“Ramai wanita Indonesia datang ke negara ini dan sekiranya anda bertanya kepada mereka mengapa mereka ke sini, jawapannya sama ada perkahwinan mereka gagal atau suami mereka mempunyai perempuan lain.

“Selama mereka di negara ini mereka mungkin berjumpa dengan lelaki lain dan berkahwin. Lazimnya wanita ini sudah mempunyai anak di Indonesia dan sekembalinya ke Indonesia, mereka akan membentuk keluarga gabungan,” katanya sambil memberitahu perkara yang sama berlaku di kalangan pekerja dari Filipina.

Jelas sekali, keluarga gabungan atau keluarga tiri berdepan dengan pelbagai cabaran dan menyedari kemunculan trend baru itu, APFAM akan menganjurkan sebuah persidangan dari 1 hingga 3 November ini.

Ia dianjurkan bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Yayasan Pembangunan Keluarga Johor dan La Trobe University.

Persidangan tiga hari itu juga sebahagian daripada acara alumni La Trobe University. Ia akan dirasmikan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Persidangan itu akan membentangkan pandangan menyeluruh dasar kerajaan Australia dan negara lain mengenai struktur keluarga itu.

Ia juga akan membincangkan hasil penyelidikan yang dijalankan negara-negara peserta mengenai kesan terhadap anak kandung atau anak tiri.

Menurut Jamilah, persidangan yang akan diadakan di Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur itu juga akan meninjau bagaimana keadaan keluarga itu dari segi pergaulan sosial, impak ekonomi, sosial dan pendidikan.

Semua kertas kerja yang akan dibentangkan pada persidangan itu akan dibukukan.

“Saya sendiri akan menyediakan satu kertas kerja dari perspektif Malaysia.

“Kertas kerja ini adalah pandangan menyeluruh yang mengambil kira Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang sedang melalui proses pembangunan dan pemodenan berbanding Australia sebuah masyarakat Barat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: