Wednesday, March 30, 2016

Puteri Aishah idam genggam anugerah




Puteri Aishah

MENJADI peserta dalam pertandingan pencarian bakat, Dewi Remaja 2014/2015 merupakan bonus buat pendatang baharu, Puteri Aishah Sulaiman.
Meskipun tidak muncul sebagai juara, gadis berusia 22 tahun ini beranggapan program realiti itu adalah platform terbaik untuk mengembangkan bakat dalam industri  hiburan.
Oleh itu, pemegang Diploma Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) ini sanggup menangguhkan seketika pengajiannya demi menggapai cita-citanya.
"Pada mulanya, saya memang berniat untuk menyambung semula pengajian saya ke peringkat tertinggi.
"Tetapi, selepas tamat Dewi Remaja, tarikan untuk bekerja sangat kuat. Lagipun, saya pula sudah ada ruang untuk terus bergerak.
"Jadi, lebih baik saya menggunakan peluang yang ada untuk terus mendalami bidang ini terlebih dahulu,” katanya.
Pun begitu, pelakon drama Cik Cinderella dan Encik Tengku ini mengakui akan menyambung semula pengajiannya selepas lima tahun menceburi bidang seni.
"Insya-ALLAH, saya akan menyambung kembali pengajian. Lagipun, saya tidak mahulah selamanya bergelar artis.
"Namun, semuanya bergantung kepada rezeki," katanya.
Dalam pada itu, sebagai seorang yang memiliki rupa paras menawan, Puteri Aishah juga tidak terlepas daripada menerima kritikan.
Tambahan pula, ia sinonim dengan ‘gelaran’ sebagai peserta daripada Dewi Remaja yang sering kali dikecam lantaran lebih ‘menjual’ paras rupa berbanding bakat.
Tidak mahu dipandang dengan sebelah mata, Puteri Aishah semahunya lari daripada persepsi tipikal itu.
"Insya-ALLAH, saya bukanlah seperti itu. Itu cumalah persepsi orang semata-mata. Saya sendiri akan membuktikan usaha dan kesungguhan saya untuk berjaya di dalam bidang ini," katanya.
Bahkan, sebelum menerima tawaran lakonan, Puteri Aishah ada memasuki kelas lakonan yang dikendalikan oleh aktres hebat, Fauziah Nawi.
"Jujurnya, saya tidak mahu ‘kosong’ ketika menjalani penggambaran lantas menjejaskan produksi dan pelakon lain di lokasi penggambaran. Malah, saya juga kerap bertanya dan meminta tunjuk ajar daripada pelakon lebih berpengalaman," katanya.
Pada masa sama, Puteri Aishah juga tidak mendambakan populariti sebaliknya menetapkan sasaran’ untuk menggenggam anugerah sebagai pelakon terbaik, satu hari nanti.
Selain itu, Puteri Aishah bakal tampil dalam drama bersiri Jasmin di TV3 selain akan terlibat dalam penggambaran drama bersiri, Cinta Roller Coster terbitan Suhan Movies.
Cubaan pertama
Atas dasar ingin tahu, Puteri Aishah turut berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan menerusi program hiburan, MeleTOP Kebaboom.
"Saya jadi pengacara dalam program itu untuk empat episod. Sebenarnya, saya tidak mahu terus berada dalam zon selesa.
"Jadi, saya perlu berani mencuba dan selepas melakukannya, saya merasakan  ia bagaikan tidak menjadi.
"Mungkin kerana saya terlalu gugup, jadi saya tidak mahu melakukannya lagi. Buat masa ini, biarlah saya lebih berfokus dalam bidang lakonan," katanya.
Sebelum ini, Puteri Aishah pernah menjadi viral di media sosial terutamanya di platform Facebook gara-gara sepucuk surat cinta yang ditujukan kepadanya.
Ketika itu, selebriti jelita ini bertugas sebagai guru sementara dan mengajar subjek Bahasa Inggeris di sebuah sekolah awam sekitar Kuala Lumpur sehingga Mei tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, buat pertama kalinya, pelakon drama bersiri Akulah Balqis ini berpeluang beraksi di pentas teater menerusi teater muzikal randai, Cindua Mato yang dipentaskan di Istana Budaya pada 25 hingga 27 Mac lalu.
Menggalas watak Puti Bongsu, Puteri Aishah mengakui gementar apatah lagi bukanlah sesuatu yang mudah untuk menghidupkan watak itu.
"Walaupun wataknya tampak kecil tapi berat untuk diterjemah. Saya perlu memastikan pergerakan dan lemah gemalai seperti puteri raja.
"Saya perlu beraksi seperti puteri raja biarpun ketika berjalan, bertutur dan bermain emosi," katanya.
Selain Puteri Aishah, Cindua Mato turut membariskan pelakon hebat seperti Remy Ishak, Vanidah Imran, Juhara Ayob, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Azhan Rani.
Teater muzikal berteras budaya masyarakat Minang ini dihasilkan atas inisiatif Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Istana Budaya.

Rezeki Sherry Al-Hadad



Sherry Al-Hadad
Sherry Al-Hadad
PELAKON dan pelawak Sherry Al-Hadad bersyukur kerana merasakan dirinya diterima bidang lakonan.
Menurutnya, dia tidak menyangka diangkat sebagai teraju utama bagi sesetengah drama dibintangi.
"Dahulu, pelakon mempunyai fizikal besar kurang diberikan perhatian, inikan pula diberikan peluang sebagai bintang utama.
"Tetapi, kini tidak lagi, masyarakat mula menerima kehadiran kami.
"Saya percaya mereka semakin bijak menilai bakat seseorang itu bukan bersandarkan rupa atau fizikal yang menarik sahaja," katanya.
Mengakui gembira penerima peminat terhadapnya, kata pelakon sedang popular menerusi drama bersiri Cinta 100kg ini, dia bimbang jika peminat bosan atau jemu jika wajahnya sering menghiasi layar skrin.
"Sebenarnya memang kebetulan drama yang saya lakonkan disiarkan pada waktu yang lebih kurang sama.
"Jadi, apabila mereka menonton, sekejap-sekejap ada saja muka saya. Kerana itu, saya perlu berhati-hati melakonkan segelintir karakter itu supaya tidak nampak sama di mata mereka," katanya.
Jelasnya, meskipun pelbagai tawaran diterima namun, genre komedimenjadi sisi utamanya dalam setiap peranan dibawakan.
"Cuma bagi Cinta 100kg, ia agak berbeza. Menerusi drama bersiri itu, saya tidak terlalu menampilkan sisi lucu seperti mana-mana drama dilakonkan sebelum ini," katanya.
Berasa berbaloi dengan usahanya melibatkan diri dalam bidang ini sejak 2006, kata pelakon berusia 31 tahun ini, dia bagaimanapun tidak pernah puas dengan pencapaiannya kini.
"Saya perlu kaji lebih khususnya daripada aspek watak dan persembahan. Kerana bagi pelakon itulah faktor utama orang mengambil kita bekerja dengan mereka," katanya.
Selain Cinta 100kg, Sherry kini popular menerusi drama bersiri Ahli Mesyuarat Tingkap yang turut dibintangi Rita Rudaini dan Izreen Azminda.
Sherry juga bakal muncul dengan sebuah teater sekitar September depan.

Azwan Satar pertaruh Aku Yang Terluka




Azwan Satar
Azwan Satar
BEKAS penuntut Akademi Fantasia 2014, Azwan Satar, mempertaruhkan single terbarunya dalam usaha menempatkan namanya sebaris nama-nama terkemuka dalam arena seni suara tempatan.
Single bertajuk Aku Yang Terluka ciptaan Hasri Hassan dan lirik oleh Rohaizad Abu Bakar itu dijangka dirakam bulan hadapan.
Menurut Azwan, dia menaruh harapan lagu berentak balada itu dapat menarik perhatian dan minat peminat seni suara tempatan berbanding single pertamanya Harus Akhiri Ceritanya.
"Saya begitu meminati lagu ini selepas mendengarnya dua bulan lalu ketika diperkenalkan kepada pencipta dan pengubah liriknya.
“Malahan, saya sendiri berharap dapat menyanyikan lagu ini sebelum mereka menawarkannya kepada saya. Jadi, bila tawaran itu diberikan kepada saya, tiada alasan untuk saya menolaknya," katanya.
Mengakui lagu tersebut mempunyai kekuatan tersendiri, jelas Azwan, dia yakin Aku Yang Terluka akan diterima pendengar masa kini.
"Tambahan pula lagu berentak balada merupakan genre kegemaran saya,” katanya single berkenaan sepatutnya dijalankan bulan ini terpaksa ditangguhkan kerana masalah kesihatan dialaminya.
Menurut anak kelahiran Parit Sulong, Batu Pahat itu, promosi single berkenaan dijangka dijalankan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, sebelum Ramadan nanti.

Jang Oh Jang sarat mesej, menghiburkan




Jang Oh Jang sarat mesej, menghiburkan
MENERUSI judulnya sahaja, pasti mengingatkan kita kepada Ujang, panggilan simbolik kepada lelaki-lelaki di Negeri Sembilan.
Mengangkat kisah Ujang itu sendiri, teater muzikal mendapat ilham daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM), Tan Sri Datuk Seri Utama Arshad Ayub ini mengambil latar belakang adat, azam dan angan di kalangan masyarakat Minang Negeri Sembilan sebagai plot utama.
Di bawah penganjuran Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (PKUM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Mahasiswi Negeri Sembilan (Pemanis), teater muzikal yang berlangsung pada 25 hingga 27 Mac lalu di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya ini berkisarkan seorang pemuda kampung Ujang, yang kecewa kerana pinangannya terhadap kekasih hati, Milah ditolak kerana dia tidak berharta dan tidak mempunyai pekerjaan.
Sebaliknya, keluarga Milih memilih menerima pinangan Samad yang lebih berada dan berpelajaran.
Bagaimana pun, Milah masih mempunyai hati terhadap Ujang. Setelah mendapat tahu mengenai perkara itu, Samad berang dan memfitnah Ujang.
Ujang yang makan hati, meninggalkan kampung halaman dan nekad mengubah hidupnya menjadi lebih baik.
Mengimbas mengenai pementasan teater muzikal ini, ia merupakan satu kelainan apabila pihak penganjur memilih untuk mementaskan karya berunsurkan masyarakat Minang Negeri Sembilan ini.
Menggunakan plot ringkas dan beberapa pelakon utama sahaja, teater muzikal ini bagaimana pun berjaya menghiburkan hati penonton.
Ini kerana, bukan kerana selingan lagu-lagu popular Ally Noor dan Mastura yang disusun, sebaliknya penceritaan kisah Ujang bersama emak dan rakan-rakannya meninggalkan impak yang cukup mendalam.
Tidak memerlukan pelakon tersohor, cukup dengan sentuhan Marlenny Deenerwan (Pensyarah Jabatan Drama PKUM) dan Abdullah Reza yang merupakan alumni PKUM, lakonan mereka berjaya menghidupkan perjalanan teater muzikal ini.
Marlenny misalnya, lontaran vokalnya benar-benar menggambarkan dia menjiwai watak seorang emak.
Lebih menyentuh perasaan, apabila emak kesal dengan tindakan Ujang yang memalukan dirinya begitu menyerlah dan diinterpretasikan dengan baik oleh Marlenny.
Sementara Abdullah pula, sebagai Ujang, dia juga wajar dipuji, ini kerana gayanya yang bersahaja menjayakan karakter tersebut.
Tidak menumpukan kepada pelakon utama sahaja, watak lain seperti Minah dan Samad juga direalisasikan dengan baik oleh pelakonnya.
Secara keseluruhan, mesej hendak disampaikan menerusi teater muzikal ini berjaya disampaikan dengan baik.
Ia juga menampilkan sisi hiburan menerusi elemen komedi diselitkan kepada penonton sehingga membuatkan mereka tertawa.
Seramai 80 tenaga artistik dan pengurusan terdiri daripada pensyarah-pensyarah, pelajar-pelajar dan ahli alumni PKUM terlibat bagi pementasan ini.
Kuasai loghat Negeri Sembilan
Dalam pada itu, sebagai pengarah teater ini, Dr Rosdeen Suboh berkata, dia cukup berbangga dengan barisan pelakon yang menjayakan teater ini.
"Antara semua pelakon terlibat, hanya Abdullah sahaja anak jati Negeri Sembilan, sebaliknya pelakon lain tidak berasal dari negeri itu.
"Bagaimana  pun, saya cukup berpuas hati kerana mereka berjaya menguasai loghat Negeri Sembilan ketika pementasan itu berlangsung.
"Mungkin bagi anak Negeri Sembilan, mereka akan nampak kekurangan daripada aspek loghat itu, tetapi kesungguhan pelakon mencuba terbaik sudah cukup memastikan pementasan ini berjalan lancar," katanya.
Selain dialek Negeri Sembilan, teater ini menampilkan kelainan dengan menyelitkan elemen pergerakan pencak Randai.
"Randai berkait rapat dengan masyarakat Minang, tanpa randai pementasan ini mungkin nampak tidak seimbang.
"Apa saya lihat, elemen itu sedikit sebanyak menjadi tarikan kepada Jang Oh Jang. Ini kerana, bagi mereka yang tidak tahu apa itu Randai, dengan menonton teater muzikal ini, mereka akan dapat pengalaman serta pengetahuan baharu," katanya.
Berkongsi mengenai lagu Ally Noor dan Mastura seperti, Alahai Anak Omak dan Apa Kono Eh Jang, yang diberi nafas baharu, kata Rosdeen, pengubahsuaian terhadap lagu tersebut hanyalah untuk disesuaikan dengan jalan cerita.
"Kita kaitkan lagu dengan plot yang dipentaskan. Ia bagi memudahkan penonton memahami sedikit sebanyak berlaku kepada Ujang, emak serta orang kampung," katanya.
Pada masa sama, teater muzikal ini menguji kemampuan pelakon dalam menguasai loghat, muzik Negeri Sembilan dan kecekapan mereka mengawal pergerakan Randai.
Bayangan Milah
Dalam pada itu, bagi yang menonton Jang Oh Jang, pasti mereka tercari-cari di manakala watak Milah.
Jika diperhatikan, hanya di babak terakhir teater muzikal ini, seorang budak perempuan muncul untuk mengikut Ujang yang akan meninggalkan kampung halamannya.
Menurut Rosdeen, sebenarnya watak Milah tidak wujud sepanjang pementasan itu.
"Di Negeri Sembilan, Milah umpama seorang wanita yang memberikan semangat kepada mereka.
"Sama seperti plot teater muzikal ini, kita tutup watak Milah, tetapi sepanjang masa, Ujang bercakap mengenainya. Ia sebagai satu bayangan yang mana, Milah menjadi inspirasi kepada Ujang. Kerana Milah, dia berubah dan menjadi lebih baik.
"Bagaimana pun, terpulang kepada penonton itu sendiri untuk menggambarkan kewujudan Milah itu. Sama ada Milah hanya bayangan Ujang sahaja atau nyata, hanya penonton boleh membuat tanggapan," katanya.
Tambahnya, Milah bukan hanya Milah tetapi juga lambang wanita Negeri Sembilan.
"Kerana itu, Ujang ada katakan, saya balik bukan kerana Milah sahaja, tetapi emak juga... Ia membuktikan, seorang wanita menjadi kekuatan kepada masyarakat di sini," katanya.
Ekspresikan watak
Sementara itu, bagi Marlenny Deenerwan dan Abdullah Reza sendiri, kemampuan mereka menjayakan watak emak dan Ujang tidak dijangka kedua-duanya.
Kata mereka, oleh kerana karya itu sinonim dengan orang Negeri Sembilan, ia sangat mencabar mereka.
"Bukan mudah memainkan karakter tersebut, bimbang mendapat respons tidak baik.
"Bagaimana pun, kami gembira kerana audiens memberikan tepukan gemuruh sepanjang pementasan," kata mereka.
Sebagai anak Negeri Abdullah turut berbangga kerana karya seperti itu diangkat.
"Seronok apabila nilai-nilai masyarakat Negeri Sembilan dipaparkan seperti ini.
"Secara tidak langsung ia mengangkat martabat orang Nogori," katanya.

SO7 tawan peminat baharu




Sheila On 7
Sheila On 7 membuat persembahan.
SEJAK ditubuhkan pada 1996, Sheila On 7 (SO7) tidak mengambil masa lama untuk dikenali bukan sahaja di negara asalnya, Indonesia bahkan mereka juga mencipta nama di negara serumpun seperti Malaysia, Singapura dan Brunei.
Lagu-lagu hit seperti Dan, Sephia, Berhenti Berharap, Melompat Lebih Tinggi adalah antara karya yang sering menjadi siulan dalam kalangan peminat setianya.
Pun begitu, sejak kebelakangan ini nama SO7 jarang kedengaran malah, media juga kurang membuat liputan mengenai karier mereka.
Mengulas mengenai perkara itu, Adam Subarkah selaku pemain bass memberitahu walaupun kelihatan agak tenggelam, SO7 sebenarnya masih aktif namun, dengan pendekatan yang berbeza.
“Kami akui memang SO7 jarang tampil di media tapi itu tidak bermakna kami tidak aktif.
“Sebenarnya sejak empat tahun lalu, kami kerap diundang ke acara yang dianjurkan oleh pihak pengajian tinggi.
“Bagi kami ini adalah platform terbaik untuk kami mendekatkan diri dengan peminat generasi baharu,” katanya ketika sidang media sebelum menjelang konsert Teman, Sahabat & Cintaku sempena meraikan ulang tahun ke-20 SO7 yang berlangsung pada malam Ahad lalu. Sementara itu, vokalisnya Akhdiyar Duta Modjo atau lebih dikenali dengan Duta mengakui SO7 tidak pernah menjadi orang lain dalam menghasilkan karya dan menghiburkan peminatnya.
“Selepas 20 tahun, kami cuba untuk terus mengekalkan identiti SO7 dan tidak pernah untuk menjadi seperti orang lain.
“Cuma dari segi muziknya, kami akan hasilkan karya yang lebih matang seiring dengan pengalaman dan ilmu yang kami peroleh sepanjang penglibatan kami dalam bidang ini,” jelasnya.
Lepaskan rindu peminat
Seakan mengimbau kembali zaman kegemilangan, kehadiran SO7 di StarXpo Hall, Kenanga Wholesale Centre (KWC) pada malam konsert itu benar-benar mengubat rindu peminat.
Lebih membanggakan, konsert itu juga membuktikan bahawa muzik mampu menyatukan empat negara di mana ia turut dibanjiri lapan ribu peminat bukan sahaja dari Malaysia dan Indonesia malah, Singapura dan Brunei.
Konsert yang bermula 8.50 malam itu membuka tirai dengan persembahan menghiburkan daripada Noh Hujan dan Restoe Ibu Band serta penyanyi sedang meningkat naik, Nadira Adnan.
Ruang konsert bertukar meriah apabila kelibat empat anggota SO7 muncul di pentas dan memulakan persembahan tepat jam 9.40 malam.
Aura yang dimiliki SO7 masih berbisa apabila sepanjang persembahan mereka berjaya memukau seluruh peminat yang hadir.
Tambahan pula, tenaga luar biasa yang dipamerkan SO7 tidak berubah biarpun usia telah mencecah 20 tahun.
Selain itu, seleksi 19 buah lagu yang dipersembahkan seperti Pria Terhebat, Sahabat Sejati, Bila Kau Tak Disampingku, Tunjuk Satu Bintang, Sephia, Pria Kesepian, Lapang Dada dan Dan berjaya mencetuskan suasana yang gamat.
Secara keseluruhannya, konsert ini meninggalkan impak tersendiri terutamanya kerinduan peminat terbayar.

Surau baru jadi sasaran pencuri




Surau baru jadi sasaran pencuri
Ahli jawatankuasa surau menunjukkan tempat diletakkan tabung di surau berkenaan yang menjadi sasaran pencuri.
IPOH - Ahli Jawatankuasa Surau An-Nur Desa Seri Ampang buntu selepas surau berkenaan tiga kali dipecah masuk dalam tempoh setahun.
Setiausahanya, Adham Jamalullail Ibrahim berkata, kejadian terbaharu pada 21 Mac lalu dan dalam ketiga-tiga kejadian tersebut, suspek hanya menyasarkan untuk mengambil wang dari tabung surau yang terletak di ruang solat lelaki dan wanita.
Menurutnya, pada kejadian pertama dan kedua, suspek memecahkan tabung surau dengan mudah kerana diperbuat dari plastik bagaimanapun pihak surau menggantikan dengan tabung kayu.
“Oleh kerana tabung kayu sukar dipecahkan, suspek melarikan dua tabung kayu itu ketika kejadian ketiga. Sekarang kami terpaksa simpan tabung kerana bimbang kejadian tersebut berulang.
“Walaupun surau ini masih baru, sumbangan yang diterima dari jemaah yang hadir sangat menggalakkan. Dalam sehari surau mampu mengutip antara RM100 hingga RM150 jadi ini mungkin menjadi punca suspek datang ke surau ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan persekitaran sunyi selain menjadi laluan orang ramai ke beberapa taman berhampiran antaranya Desa Seri Ampang, Taman Rasi Ampang, Halaman Ampang Mewah dan Taman Pelangi antara faktor surau berkenaan menjadi tumpuan suspek.
Katanya, selepas beberapa siri kejadian pecah masuk, pihak jawatankuasa melakukan beberapa tindakan susulan dengan menukar jenis tabung dan menyendal pintu dengan kayu namun tidak berhasil.
“Kami juga bercadang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagaimanapun dana tidak mencukupi.
"Buat masa ini, kami yakin pemasangan pintu jeriji adalah langkah terbaik untuk membendung masalah ini,” katanya.
Tambah beliau, pihak surau juga memohon polis untuk kerap melakukan rondaan di kawasan tersebut terutama antara waktu Zohor dan Asar selain pada waktu malam.
Adham berkata, sebelum kejadian pecah masuk kali pertama, beberapa kepala paip di tempat mengambil wuduk juga dicuri.
“Kami terkejut dengan kejadian tersebut dan tidak sangka selepas itu, surau ini dipecah masuk. Kami perlu melakukan sesuatu untuk memastikan tiada lagi harta benda surau ini menjadi sasaran suspek,” katanya.
Orang ramai sangat dialu-alukan untuk menyumbangkan dana bagi menambahbaikkan aspek keselamatan di surau ini terutama pemasangan pintu jeriji supaya kejadian pecah masuk tidak berulang.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam, 08013010079340.

'Walau dia sakit, saya tetap akan tunai janji'




'Walau dia sakit, saya tetap akan tunai janji'
Kerana cinta, Peng Xin yang hanya bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin di Wuhan sanggup mengahwini kekasihnya, Yang Liu yang disahkan menghidap barah payudara sejak bulan lepas.
SICHUAN – CHINA. Meskipun terlantar di katil hospital, keadaan tidak menghalang seorang pesakit barah daripada melangsungkan perkahwinan dengan kekasih hatinya.
Memetik laporan portal antarabangsa, Shanghaiist.com, kerana cinta, Peng Xin yang hanya bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin di Wuhan sanggup mengahwini kekasihnya, Yang Liu yang disahkan menghidap barah payudara sejak bulan lepas.
Xin yang hanya berpendapatan sebanyak 1,500 yuan (RM 923) mengahwini Liu hanya untuk setia menjaganya sepanjang masa.
Difahamkan, pasangan tersebut berkenalan dan berhubungan sejak lapan tahun lalu.
Menurut Liu, mereka berdua tidak dapat berkahwin selama ini kerana mendapat tentangan daripada neneknya yang membesarkannya selama ini.
“Nenek beranggapan saya lebih layak bersama dengan lelaki lain. Nenek meninggal pada tahun 2010 dan selepas itu, ibu saya disahkan menghidap kanser payudara.
“Selama ini Xin mengumpul duit untuk membeli rumah buat kami berdua. Selepas membeli rumah, dia akan melamar saya,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan portal itu.
Malangnya, pada bulan lepas, Liu didiagnosis menghidap barah yang sama dan sudah lambat bagi pasukan perubatan untuk melakukan pembedahan untuk membuang barah tersebut.
“Xin berhenti kerja dan menjaga saya siang dan malam di hospital,” katanya lagi.
Apabila keadaan Liu nampak stabil, Xin memberitahu doktor hasratnya untuk mengahwini Liu.
“Saya akan jadi suaminya, tidak kira berapa lama dia mampu bertahan. Walaupun (suatu ketika dahulu) keluarganya menghalang hubungan kami, dia masih bersama saya.
“Sekarang dia sakit, saya akan tunaikan janji-janji saya terhadapnya dan saya mengahwininya,” kata Xin.