Monday, November 30, 2009

Pembantu cuba jual topeng Jacko


MICHAEL JACKSON dirakam memakai topeng
muka ketika berada di Berlin, Jerman pada 2002.


LOS ANGELES - Seorang bekas pengawal peribadi paling dipercayai Michael Jackson sanggup mengambil kesempatan terhadap kematian penyanyi berkenaan dengan cuba menjual sekeping topeng muka yang dipakai Michael pada malam sebelum kematiannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Eric Muhammad yang dipertanggungjawabkan menjaga tiga anak Michael, meminta bayaran AS$150,000 (RM508,799) untuk barangan memorabilia itu.

Namun, niat serong lelaki itu terbongkar setelah seorang wartawan yang menyamar sebagai ahli perniagaan pengumpul memorabilia mendedahkan satu klip video tawar-menawar pembelian topeng berkenaan.

"Ia (topeng muka itu) memang milik Michael. Anda boleh melakukan ujian asid asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkannya," kata Eric.

Dia diperangkap selepas wartawan sebuah akhbar Britain itu menerima maklumat daripada seorang ahli perniagaan yang pernah ditawarkan topeng muka serupa.

Pengawal peribadi itu cuba menangguk di air keruh setelah sepasang sarung tangan Michael yang dipakai ketika dia menari Moonwalk pada 1993 berjaya dilelong pada harga AS$350,000 (RM1.2 juta) di Hong Kong baru-baru ini.

Michael meninggal dunia pada 25 Jun lepas di rumah sewanya di sini ketika berusia 50 tahun selepas denyutan jantungnya tiba-tiba terhenti.

'Kami tidak pernah menjalin hubungan sulit'




MIAMI - Wanita jelita yang dikaitkan dengan Tiger Woods menafikan bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan pemain golf nombor satu itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Rachel Uchitel (gambar) didakwa menjadi punca Woods bertengkar dengan isterinya, Elin Nordegren sehingga menyebabkan bintang sukan itu dipercayai hilang tumpuan lalu melanggar sebatang pokok ketika memandu kenderaan utiliti sukan miliknya.

"Kami tidak pernah menjalin hubungan sulit. Minta dijauhkan tuhan sekiranya isu ini punca Woods kemalangan," katanya.

Nordegren yang merupakan bekas model dari Sweden, berang berhubung gosip hubungan sulit tersebut selepas Uchitel, 34, dirakam berada di hotel penginapan suaminya ketika Woods menyertai kejohanan Terbuka Australia.

"Walaupun khabar angin itu tidak benar, saya memahami luka hati isterinya," ujar Uchitel yang mengecap status selebriti selepas kehilangan tunangnya, Andy O'Grady dalam serangan pengganas terhadap Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

Sejak itu, jelitawan tersebut dikaitkan dengan ramai lelaki termasuk usahawan kelab malam Jason Strauss dan pelakon drama penyiasatan Bones iaitu David Boreanaz.

1,001 kisah sifu Rafflesia

Lebih dua dekad Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamed mengkaji bunga Rafflesia. Justeru, bukanlah menghairankan jika beliau mampu berkongsi banyak maklumat tentang bunga terbesar di dunia itu.




BUNGA Rafflesia 'berkembang' di bingkai-bingkai gambar yang menghiasi bilik pejabatnya. Kutub khanah mengenai bunga Rafflesia dan tumbuhan botani pula 'merimbun' di atas meja dan almari di balik dinding. Kedatangan penulis dan jurugambar ke pejabatnya disambut dengan wajah yang ceria.

"Nak bagi kad nama, belum siap lagi," ujar Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamed dengan senyuman lebar sambil menunjukkan beberapa kad namanya yang belum siap dipotong. Kad-kad nama itu turut dicetak dengan gambar bunga Rafflesia.

Nyata bunga Rafflesia atau dikenali juga sebagai pakma amat menarik perhatiannya. Pengalaman bertemu Abdul Latiff, 61, di pejabatnya di Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, mendekatkan diri penulis dengan bunga gergasi itu.

Abdul Latiff cukup arif tentang bunga Rafflesia dan merupakan salah seorang pakar tentang bunga itu di negara ini. Disifatkan sebagai ensiklopedia bergerak tentang biodiversiti di Malaysia, beliau turut menjadi tempat rujukan oleh agensi berita antarabangsa untuk mendapatkan informasi tentang Rafflesia, bunga terbesar di dunia itu. Bunga Rafflesia terbesar yang pernah direkodkan berukuran diameter sepanjang satu meter dan berketinggian 50 sentimeter (cm).

Mengkaji mengenai bunga Rafflesia sejak lebih dua dekad, kali pertama Abdul Latiff menyaksikannya pada tahun 1980 di sebuah hutan di Kelantan telah menerbitkan satu rasa yang sukar digambarkan.

Penyelidikan

"Saya ingat lagi saat kali pertama menemuinya. Bagi saya, ia bunga yang sangat cantik. Rasa seronok pada tahap yang paling tinggi. Saya lantas bergambar dengannya. Yalah, bukan semua orang berpeluang bergambar dengan bunga itu.

"Sejak itu, apabila saya masuk untuk mengajar di kelas, saya selalu bertanya kepada pelajar-pelajar saya, berapa ramai antara anda pernah bergambar dengan bunga Rafflesia? Saya sentiasa rasa teruja untuk berkongsi kegembiraan itu," katanya sambil menjelaskan tanggapan salah orang ramai yang menganggap Rafflesia hanya boleh didapati di hutan pergunungan di Sabah.

"Di negara kita, Rafflesia bukan sahaja boleh didapati di hutan di Borneo, bahkan di Kelantan, Perak dan Pahang," jelas anak kelahiran Kota Bharu itu.


BERPENGALAMAN mengkaji Rafflesia selama lebih dua dekad, Abdul Latiff turut berhasrat untuk melahirkan beberapa lagi penyelidik atau pakar tentang bunga itu.


Abdul Latiff amat aktif meredah hutan untuk menemui Rafflesia sekitar tahun 1980-an. Katanya, pantang sahaja diberitahu ada Rafflesia di tempat-tempat tertentu, pasti beliau akan pergi. Kadang-kadang sampai seminggu dua kali melakukan penyelidikan di hutan.

Cuma, apabila tahun 1990-an, beliau sudah mula kurang aktif membuat kerja-kerja penerokaan dan mula melatih pakar-pakar baru dalam kalangan pelajarnya. Pakar bunga Rafflesia seperti Prof. Kamarudin Mat Salleh (kini Allahyarham) yang menulis buku tentang Rafflesia merupakan anak didiknya.

Rasa marah

Bagaimana bunga aneh itu yang mencuri perhatiannya? Abdul Latiff berkata, sebenarnya ada dua faktor yang mendorongnya mengkaji Rafflesia. Yang pasti, ia bukanlah minat yang berakar umbi dari awal.

Pertama, bunga Rafflesia ialah parasit dan hanya menumpang pada satu jenis tumbuhan iaitu anggur liar. Sebenarnya, Abdul Latiff berminat untuk mengkaji tentang anggur liar atau nama saintifiknya, Tetrastigma. Maka, beliau secara tidak langsung mengenali Rafflesia.


POKOK anggur liar yang menjadi perumah bunga parasit, Rafflesia.


"Kedua, sebab saya geram. Dahulu, pakar tentang Rafflesia ialah seorang pengkaji dari Jerman. Pendek kata, di dunia ini hanya dia seorang yang menjadi pakar rujuk tentang Rafflesia. Semasa saya menuntut di Jabatan Botani, Universiti Malaya (UM) pada tahun 1973, saya pernah mengikuti seminar yang dikelolakan oleh pakar dari Jerman itu.

"Saya amat marah apabila di dalam ceramahnya dia mengatakan dengan bangga: "Saya telah menipu seorang Orang Asli (walhal sebenarnya orang Melayu) dengan hanya 50 sen untuk menunjukkan tempat Rafflesia berkembang yang saya kehendaki.

"Ketika itu, saya amat marah dan kesal dengan sikap orang Barat yang masih berfikir secara kolonialisme. Mereka menganggap mereka masih menguasai dan kita bangsa yang boleh diperkotak-katikkan. Adakah kita mahu terus membiarkan mereka mencemari maruah kita? Rafflesia hanya ada di rantau Asia Tenggara iaitu di bumi bertuah Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Filipina, tapi kita membiarkan mereka mendominasi. Bayangkan, nama Rafflesia pun diberi sempena nama penjajah British, Stamford Raffles?" ujarnya yang sejak itu nekad untuk melenyapkan dominasi Barat dalam kajian tentang Rafflesia.

Misteri

Buktinya, Abdul Latiff dan pengkaji di negara ini menamakan spesies-spesies Rafflesia baru dengan nama-nama orang Malaysia misalnya, R. Azlanii dan R. Tengkuadlinii. R. azlanii misalnya diambil sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah apabila Abdul Latiff bersama seorang pengkaji lain menemui spesies baru di Hutan Simpan Temenggor, Perak.

Walaupun kajian mengenai Rafflesia sudah banyak dilakukan namun ada beberapa perkara yang masih misteri tentang tumbuhan itu.


TERDAPAT spesies bunga Rafflesia yang berwarna lebih terang dan mempunyai tompok-tompok halus pada kelopaknya.


"Rafflesia hanya tumbuh pada anggur liar tapi bunga itu cuma ada di negara kita dan beberapa negara jiran sahaja. Sedangkan tumbuhan anggur liar boleh didapati dari India hingga ke Papua New Guinea. Mengapa? Kami belum ada jawapan pasti. Yang pasti, Rafflesia ialah anugerah buat kita," ujarnya sambil memberitahu kini terdapat juga pakar Rafflesia di Indonesia dan Filipina.

Rafflesia ialah parasit 100 peratus. Ia berlainan dengan bunga-bunga yang lain. Ia cuma bunga dan tidak mempunyai daun, akar dan batang. Ia terpaksa bergantung nutrien daripada tumbuhan lain. Nasibnya amat berisiko.

"Rafflesia juga amat sukar untuk wujud kerana sifat semula jadinya begitu. Bunga jantan dan bunga betinanya berada jauh antara satu sama lain maka menyukarkan proses pendebungaan. Ia bukan seperti bunga lain yang tumbuh berdekatan. Pertumbuhannya juga bergantung kepada bantuan haiwan. Bunga yang telah bertukar menjadi buah, diuraikan oleh haiwan. Biji-bijian buah itu mestilah jatuh pada tumbuhan perumah jika mahu Rafflesia yang baru tumbuh. Kalau jatuh pada tanah, tidak jadi apa," katanya.

Bagaimana Rafflesia menjadi inspirasi hidupnya? Abdul Latiff berkata, Rafflesia sejenis tumbuhan yang mampu untuk hidup walaupun banyak rintangan yang terpaksa dihadapinya untuk wujud di muka bumi. Sifat itulah yang cuba diterapkan pada dirinya dan anak-anak.


RAFFLESIA yang mati akan berubah berwarna hitam.


"Walau betapa sukar pun rintangan, pasti kita boleh meneruskan hidup," katanya.

Harapan beliau? Abdul Latiff yang layak digelar guru atau 'sifu' dalam penyelidikan Rafflesia itu menyatakan dua perkara.

"Saya berhasrat untuk melahirkan beberapa lagi pakar atau penyelidik Rafflesia untuk lebih mendalami biologi tumbuhan berkenaan. Saya juga berharap kita dapat sama-sama melindungi bunga yang cukup unik ini. Seterusnya, berkongsi anugerah keunikan ini dengan pelancong luar menerusi eko pelancongan," ujarnya.

Eksperimen hidangan molekular molekular

Hidangan molekular merupakan satu ungkapan kepada pendekatan saintifik terhadap selera makan. Ia bertujuan menyiasat dan menghuraikan sebab-sebab kimia di sebalik perubahan bahan yang digunakan.


CHEF dari Sepanyol, Albert Adria membuat demonstrasi masakan molekular di Beijing, China.


SAJIAN masyarakat Cina terkenal dengan teknik masakan stim di dalam bakul-bakul yang diperbuat daripada buluh dan pokok kayu yang lain.

Situasi itu dilihat jauh berbeza dengan teknik masakan bagi hidangan molekular yang menggunakan peralatan berteknologi tinggi.

Tetapi bagi Dong Zhenxiang, pemilik restoran Da Dong di Beijing, China yang mendahului perubahan trend kulinari di negara itu berkata, teknik terbaru hanya boleh meningkatkan masakan tradisional Cina.

"Saya hanya mengimport kemahiran masakan baru untuk meningkat, memperkaya dan mempromosikan sajian masyarakat Cina. Gastronomi molekular hanya merupakan satu daripada kemahiran tersebut," kata Zhenxiang.

Hidangan molekular merupakan satu ungkapan kepada pendekatan saintifik terhadap selera makan. Ia bertujuan menyiasat dan menghuraikan sebab-sebab kimia di sebalik perubahan bahan yang digunakan.

Trend tersebut mendapat liputan meluas apabila ratusan individu berhimpun di sebuah galeri seni di Beijing untuk melihat demonstrasi yang ditunjukkan oleh chef Albert Adria dari restoran elBulli. elBulli adalah restoran Sepanyol yang dilihat sebagai pendahulu di dalam perkembangan hidangan molekular di China.

"Ia sangat menakjubkan. Kami menerima kira-kira 13,000 e-mel untuk acara ini," kata chef Brian McKenna dari Ireland. McKenna telah menganjurkan sesi kelas memasak di 798 lokasi di Beijing. Ia sama seperti makan malam yang dipersembahkan oleh Da Dong pada setiap hujung minggu.


CHEF Albert Adria (depan) memeriksa satu hidangan yang telah dimasak.


Adria, abang kepada ketua chef di restoran itu, Ferran menyediakan krim putar yang diberi nama magical chocolate ice powder. Ia terdiri daripada pencuci mulut karamel putih di dalam bentuk daun maple dan dilapisi teh bunga serta biskut mangga untuk mempesonakan pengunjung yang datang.

"Terdapat keghairahan untuk memasak di sini dan ia amat mengagumkan," kata Adria kepada AFP.

Ujarnya, di dalam satu sesi, dia berjaya menyediakan 12 menu dan melakukan kelainan dengan tambahan beberapa perkara. Sedikit campuran masakan Cina-Sepanyol menjadikan ia satu kejutan untuk semua. Setiap penyertaan di dalam sesi tersebut dikenakan bayaran RM350.

Fu Yongjun, seorang konsultan masakan untuk Unilever Foodsolutions merupakan salah seorang daripada ratusan pengunjung yang melihat aksi Adria di Beijing. Ternyata dia begitu kagum dengan persembahan Adria sehingga banyak gambar dapur akrobatik chef tersebut berjaya dirakamkan.

"Saya amat berminat dalam selera makan molekular. Saya merasakan ia menawarkan standard tinggi dalam makanan barat. Ia begitu segar dan penuh rahsia. Mungkin chef dari China boleh mempelajari sesuatu daripadanya," ujar Fu.

Bagaimanapun bagi Adria yang memiliki restoran Costa Brava dan pernah dianugerahkan restoran terbaik di dunia untuk tahun keempat oleh Restaurant Magazine mengakui berasa gementar pada label hidangan molekular untuk inovasi air tangannya.

"Ia merupakan label yang membebankan saya. Saya tidak masak molekular. Saya tahu apa yang dilakukan dan saya hanya mahu menyediakan sajian yang lazat dan menyelerakan," tutur Adria.


ACUAN yang pelbagai bentuk untuk hidangan pencuci mulut.


Pada tahun lalu, restoran elBulli menerima tempahan sebanyak dua juta tetapi mereka hanya mampu menghidangkan 8,000 menu yang dibuat oleh sekumpulan 40 orang chef. Restoran tersebut hanya dibuka selama enam bulan manakala baki enam bulan lagi diperuntukkan untuk sesi penyelidikan.

Lampu haba, acuan silikon dan penggunaan terhadap mesin pengisar, peti sejuk dan alat pengering adalah satu perkara biasa di elBulli tetapi jelas Adria, dapurnya amat berbeza daripada makmal sains.

"Sesetengah orang mengatakan elBulli adalah teknologi tulen, tetapi jika ia benar mengapa saya tidak mempunyai 40 buah mesin berbanding dengan 40 orang chef?" soalnya.

Restoran tersebut pernah dikritik kerana didakwa menggunakan bahan kimia yang berisiko di dalam bahan masakan, namun chef di sana menafikan dan mendakwa ia satu tuduhan tidak berasas.

Trauma diganggu api misteri

Pelbagai kejadian misteri berlaku apabila Mohamad Sidek Hamid dan isterinya, Fauziah Ishak tidak ada di rumah.


MOHAMAD SIDEK bingung memikirkan kejadian kebakaran yang terus berlaku di rumahnya.


TINGGAL di sebuah rumah baru yang berharga kira-kira RM40,000 tentu menggembirakan sesiapa sahaja.

Bagaimanapun, Mohamad Sidek Hamid, 49, dari Kampung Charok Meranti, Mukim Sungai Batu dekat Bandar Baharu, Kedah berasa sebaliknya. Beliau mengakui tidak seronok tinggal di rumahnya yang baru sahaja siap.

Rumah batu yang dibina melalui pinjaman Skim Mesra Rakyat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun 2007 itu memang cantik dan selesa untuk beliau sekeluarga diami.

Tetapi sepanjang tinggal di situ, pelbagai kejadian misteri berlaku sebaik sahaja dia dan isterinya, Fauziah Ishak, 48 tidak ada di rumah.

"Kadangkala pening kepala dibuatnya. Lagipun orang sukar mempercayai apa yang kita cerita kerana semua kejadian yang berlaku memang luar biasa," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian kebakaran pelik atau disebut masyarakat setempat sebagai 'api misteri' kerap berlaku semasa dia keluar menoreh getah tidak jauh dari rumahnya.

Kejadian pertama berlaku di rumahnya pada 14 Syawal dua tahun lalu iaitu di bahagian meter elektrik sebelum melarat ke bilik tidur, almari pakaian dan perkakasan rumah yang lain.

"Tambah mengejutkan seluruh keluarga apabila berlaku kebakaran yang melibatkan pemegang dua buah motosikal, komputer, buku sekolah anak-anak dan kitab suci al-Quran.

"Akibatnya, anak-anak saya takut untuk tinggal di rumah. Tetapi mustahil saya terpaksa meninggalkan kerja menoreh untuk menemani anak sepanjang masa.

"Dengan menoreh, dapatlah saya upah sebanyak RM30 sehari," katanya yang masih bingung memikirkan kejadian tersebut.


MOHAMAD SIDEK tidak tahu sampai bila mereka sekeluarga terpaksa tinggal di dalam garaj kereta ini?


Menurutnya, kejadian itu telah menarik ramai penduduk datang ke rumahnya untuk melihat sendiri apa yang berlaku termasuk Ketua UMNO Bahagian Kulim/ Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Beliau tidak menolak kemungkinan apa yang berlaku di rumahnya itu ada kaitan dengan gangguan makhluk halus hasil suruhan orang tertentu.

"Pegawai-pegawai Bomba dan Penyelamat Serdang pernah membuat pemeriksaan di sini dan mereka sendiri melihat apa yang berlaku," kata beliau.

Mohamad Sidek menceritakan, sebelum berpindah ke rumah baru itu, dia menyara keluarga dengan membuka sebuah kedai runcit di kawasan perumahan KEDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah) Kampung Sungai Buloh di Bandar Baharu, Kedah. Katanya, sepanjang berniaga di situ, jualannya sentiasa laris.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian secara tiba-tiba beliau mengidap sejenis penyakit ganjil menyebabkan dirinya sakit dan sukar untuk bangun, kaki menjadi keras dan tidak kenal lagi rakan-rakan.

"Akhirnya, saya dan isteri ambil keputusan menjual kedai dan berpindah ke sini (Kampung Charok Meranti di Mukim Sungai Batu dekat Bandar Baharu, Kedah). Apabila kesihatan saya bertambah baik, saya menanam sayur untuk jualan.

"Namun, sekali lagi kejadian serupa berulang. Semasa kebun kobis dan kucai mula menampakkan hasil untuk dijual, tiba-tiba saya terkejut melihat sayur kobis dan kucai 'tiada', seolah-olah dipotong oleh 'seseorang'," katanya lagi.

Pada 24 Oktober lalu, beliau membuat aduan polis apabila terlalu banyak barangan di dalam rumah rosak teruk akibat satu kebakaran besar berlaku pada pukul 8.30 pagi. Lebih pelik lagi, salinan laporan tersebut yang disimpannya di dalam sebuah laci almari juga terbakar.

Pada keesokan harinya, beliau ambil keputusan untuk 'berpindah rumah' dan tinggal di dalam sebuah stor yang dahulunya dijadikan garaj kereta.


MOHAMAD SIDEK terpaksa membawa keluar keluarganya dari rumah baru ini untuk mengelakkan terus diganggu.


"Saya benar-benar trauma, fikiran terganggu dan sering berada dalam ketakutan dan gelisah. Lebih malang, wang simpanan di dalam rumah pun sentiasa lesap entah ke mana," dakwanya.

Bagi menangani kejadian aneh agar tidak berlarutan, Mohamad Sidek sanggup mendapatkan khidmat kira-kira 100 bomoh tempatan termasuk dari Sabah, Sarawak serta luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Myanmar. Namun keadaannya masih tidak berubah.

Isterinya, Fauziah pula berkata, pakaian seragam anaknya Zuraidah, 16, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Selama, Serdang juga pernah terbakar sebanyak dua kali.

"Kedua-dua kebakaran berlaku ketika anak saya sedang belajar dalam kelas di sekolah itu," katanya.


ZURAIDAH menunjukkan sebahagian kitab al-Quran yang terbakar.


Beliau menegaskan, selama mana dia harus tinggal di dalam setor itu bersama isteri dan enam anak-anak, Rafidah, 24; Faizah, 23; Nur Izzati, 19; Zuraidah, 16; Mohd. Hafiddzudin, 13 dan anak bongsu, Qurratuaini, 7.

"Saya percaya suatu hari nanti, saya pasti dapat tinggal semula di rumah baru ini tanpa ada gangguan yang menakutkan lagi," kata Mohamad. Sidek penuh keyakinan.

Nalinder pilihan juri

Gadis ini dipilih sebagai pemenang kerana memiliki personaliti yang penuh keremajaan, keyakinan yang tinggi dan kebijaksanaan.


SEBANYAK 10 peserta akhir berpeluang memperagakan koleksi percutian Levi's.


PERJALANAN 10 gadis yang menyertai rancangan realiti pertama Maybelline New York Simply Fabulous sudahpun berakhir. Pengacara majlis, Sarah Lian dan Henry Golding mengumumkan Nalinder Manoharan menjuarai rancangan realiti tersebut di Euphoria, Sunway Lagoon Resort, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Nalinder dipilih sebagai pemenang kerana memiliki personaliti yang penuh keremajaan, keyakinan yang tinggi dan kebijaksanaan. Panel hakim pada malam itu ialah jurulatih dan tatarias artis dari Maybelline New York, Kimberley Foo; pelakon dan pengacara TV, Sazzy Falak; jururias selebriti, Stevensunny dan Pengarah Pengurusan Strategik McCann Worldgroup, Abhinav Sharma


PARA peserta lain bergambar kenangan dengan pemenang pada majlis yang berlangsung di Subang Jaya, Selangor.


"Pengalaman ini amat bermakna untuk Maybelline dan 10 peserta yang menjayakannya. Tujuan utama rancangan ini adalah menyediakan platform kepada peserta untuk mencapai impian mereka.

"Bagi pihak Maybelline, saya harap penonton mendapat inspirasi dengan menonton rancangan ini," kata Pengurus Besar Maybelline New York di Malaysia, Kua Theng Hong.


NALINDER MANOHARAN dinobatkan sebagai pemenang utama rancangan realiti Maybelline New York Simply Fabulous.


Sementara itu, Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim, berkata: "Ini adalah rancangan realiti dalam talian 8TV yang pertama. Memang kami sungguh teruja, lebih-lebih lagi Maybelline New York Simply Fabulous mementingkan keyakinan, kreativiti dan semangat kerjasama. Kami harap rancangan ini dapat mendorong gadis-gadis Malaysia mencapai impian mereka."

Rancangan Maybelline New York Simply Fabulous memulakan pencarian gadis-gadis hebat yang berumur dari 18 hingga 30 tahun pada Julai 2009 di seluruh pelosok negara. Ia mencari gadis-gadis yang bercita-cita tinggi dan ingin mencapai impian mereka seperti menyambung pelajaran, memulakan perniagaan atau membuat sesuatu yang diingini. Lebih daripada 1,200 penyertaan diterima, namun hanya 100 peserta disenarai pendek dan dipanggil semula untuk sesi kedua uji bakat. Beberapa peringkat temu duga turut diadakan dan hanya 10 peserta terbaik berpeluang meneruskan cabaran ke peringkat akhir rancangan realiti dalam talian itu.

Sebanyak 10 peserta Maybelline New York Simply Fabulous yang terpilih itu datangnya dari pelbagai latar belakang iaitu Calista Wei Fen Leah Liew (22), Kimberley Cham Siang Fen (24), Susilawati Mohd Ariff (23), Steffanie Vanessa Schubert (19), Nalinder Manoharan (27), Preeta Sharenia Nithianantham (21), Zhareen Anshary (18), Ng Bei Shan (22), Nik Syifa Unnur Nik Aziz (22) dan Nurdiana Ashraf Abu Bakar (25).


ANUGERAH So Gorgeous menjadi milik Nurdiana Ashraf.


Dalam pertandingan itu, para peserta dikehendaki melalui cabaran tertentu seperti ujian kemahiran menghias diri, pengetahuan mengenai fesyen, kemahiran bersosial dan berkomunikasi. Oleh kerana rancangan itu disiarkan menerusi khidmat dalam talian, maka para peserta disarankan menggunakan teknologi siber Internet untuk menjana populariti bagi meraih undian orang ramai. Mereka diminta mencipta laman sesawang sendiri untuk berkomunikasi dengan peminat seperti melalui laman sosial Facebook, Youtube dan blog mereka. Ini kerana undian dalam talian merangkumi 30 peratus daripada jumlah keseluruhan dan selebihnya adalah keputusan panel hakim.

Pemenang utama Maybelline New York Simply Fabulous memenangi hadiah lumayan berupa wang tunai sebanyak RM10,000 dan produk bernilai RM50,000. Selain itu, pemenang juga akan diterbangkan ke New York untuk menghadiri jemputan ke Minggu Fesyen New York dan berpeluang bertemu dengan jururias terkemuka Maybelline.

Pada malam itu juga, beberapa anugerah lain disampaikan kepada pemenang. Anugerah Striking Confidence dimenangi oleh Calista Liew. Ia dipilih oleh sekumpulan bloggers yang mengikuti rancangan itu sejak awal lagi. Manakala Anugerah So Gorgeous yang diadili oleh rangkaian penjual Maybelline New York, Watsons, dimenangi oleh Nurdiana Ashraf. Setiap pemenang menerima produk Maybelline New York bernilai RM1,200.

Rakaman rancangan pertandingan akhir boleh ditonton menerusi laman www.8tv.com.my/simplyfabulous.

Gementar Sofia dalam gembira


MESKIPUN bergelar ibu kepada tiga orang cahaya mata, keanggunan dan kejelitaan Sofia Jane tetap terserlah.


SELEPAS menanti hampir dua bulan lamanya, pementasan teater Natrah yang cukup ditunggu-tunggu itu akan membuka tirainya malam ini bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya.

Bakal dipentaskan selama 10 hari bermula hari ini (30 November) hingga 9 Disember depan, teater Natrah turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kumpulan Utusan selaku media rasmi, selain stesen radio Sinar FM sebagai radio rasmi.

Natrah yang mengangkat kisah cinta, perjuangan dan air mata seorang wanita yang meninggalkan impak besar dalam sejarah itu dijamin akan berupaya menarik perhatian ramai.

Masakan tidak, melihatkan subjeknya sahaja sudah bisa membuatkan ramai yang teruja dan ternanti-nantikan keupayaan kisah ini diceritakan di pentas teater.

Selain daripada kisahnya yang menarik itu, harus diakui barisan pelakon yang membintangi teater arahan Erma Fatima ini cukup hebat.

Maya Karin, Remy Ishak, Umie Aida, Sofia Jane dan Samantha Schubert - gandingan yang cukup mantap untuk menjadikan teater Natrah sebagai sajian yang cukup enak dinikmati.

Dan, watak-watak yang dibawakan mereka bukannya calang-calang. apa yang penting bagi mereka sebagai pemain adalah untuk memastikan penghayatan itu sampai kepada penonton.

Bagi mereka, jika watak yang dibawakan itu tidak berupaya untuk memakukan penonton dari mula hingga akhir, ia merupakan satu kegagalan sebagai seorang aktor.

semangat dan daya keyakinan

Apatah lagi, untuk berlakon di pentas teater bukannya mudah kerana ia memerlukan semangat dan daya keyakinan yang tinggi terutama dari segi aspek lontaran vokal.

Ini diakui sendiri oleh Sofia yang membawakan watak Natrah sewaktu berusia 70 tahun yang memberitahu, dia cukup gementar untuk beraksi di dalam teater Natrah.

Selepas lapan tahun tidak melontarkan vokal di pentas teater, ternyata teater Natrah ini memberikan Sofia satu cabaran baru demi memastikan wataknya itu mampu meninggalkan kesan abadi kepada penonton.

Ujar pemilik nama penuh Sofia Jane Hisham ini, membawakan watak Natrah di usia dewasa memang benar-benar menguji kredibilitinya sebagai seorang aktres.

Wataknya itu bukan seperti watak-watak lain sebaliknya, Sofia memberitahu dia perlu bermain dengan emosi serta berinteraksi dengan audiens menerusi monolog yang disampaikannya.

Walaupun kemunculannya hanyalah di awal dan di akhir pementasan dalam tempoh beberapa minit, ternyata ia bukan satu tugas mudah baginya.

"Kalau penonton tidak dapat merasai apa yang saya ceritakan, maka watak itu gagal meninggalkan impak kepada penonton. Itu yang membuatkan saya risau.

"Sebagai pencerita yang memerlukan lontaran vokal serta penghayatan yang mendalam, aura daripada penonton itu amat penting untuk beri saya semangat dalam persembahan saya.

keikhlasan dan kejujura

"Kerana itu, sebagai seorang pelakon terutama mereka yang memainkan peranan untuk bermonolog, semuanya memerlukan keikhlasan dan kejujuran bagi mempamerkan keaslian lakonan," katanya panjang lebar pada sesi fotografi di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung bicara, ibu kepada tiga orang puteri ini menjelaskan, dia memang cukup gembira untuk membawakan watak Natrah.

Lebih-lebih lagi, dia memang mengikuti kisah sejarah hidup Natrah sebelum ini dan menerusi pembacaannya itu, dia mendapati Natrah seorang wanita yang cukup istimewa.

"Kalau difikirkan memang kita tidak tahu apa yang dialami oleh Natrah sepanjang hidupnya kerana kita tidak berada di tempatnya.

"Jadi, sebagai seorang pelakon saya hanya mengambil semangat Natrah untuk dilontarkan kepada audiens agar mereka tahu dan mampu menyelusuri perasaan sebenar Natrah," ujar Sofia yang mula menceburi bidang lakonan menerusi filem Mira Edora.

Kali terakhir dia beraksi di pentas teater adalah pada tahun 2001 bergandingan bersama Ida Nerina menerusi pementasan Visits selain teater monolog yang lain.

Bahkan, Sofia juga pernah membintangi teater Malam Ini Penyu Menangis yang turut meletakkan namanya di puncak kegemilangan sebagai aktres yang cukup diminati ramai.

Sofia boleh dikatakan seorang yang cukup bertuah kerana sepanjang hampir dua dekad bergelar seorang pelakon, dia berpeluang berguru dengan individu yang cukup gah dalam direktori teater tempatan.

Mendiang Krishen Jit, Datuk Faridah Merican dan Normah Nordin merupakan tiga nama besar yang pernah mencurahkan ilmu pengetahuan mereka kepada Sofia.

Atas kelebihan dan pengalaman luasnya itu, pastinya Sofia tiada masalah untuk memberikan persembahan yang hebat dan bertenaga sepanjang 10 hari teater Natrah dipentaskan.

"Tetapi pentasnya berbeza. Kali ini ia adalah berskala besar sedangkan sebelum ini saya hanya beraksi di pentas dengan kapasiti penonton yang kecil.

"Kalau melontar vokal pun, ia akan sampai kepada audiens kerana jaraknya yang dekat tetapi kali ini berbeza dan tidak memerlukan mikrofon.

"Namun, kali ini berbeza kerana pentasnya yang besar serta panggungnya yang luas menjadikan saya perlu mengumpul tenaga agar ia mampu sampai kepada audiens," jelas Pelakon Drama Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2007 menerusi drama Sebuah Ijtihad ini panjang lebar.

Ironinya juga, penglibatan Sofia di pentas Istana Budaya adalah kali pertama selepas panggung bertaraf dunia itu ditubuhkan sedekad yang lalu.

Jelasnya, bukannya tidak ada tawaran sepanjang tempoh itu, tetapi ketika itu tumpuannya masih lagi terhadap keluarga memandangkan anak-anaknya ketika itu masih lagi kecil.

Tetapi, sewaktu Erma menghampirinya dan menawarkan watak untuk teater ini, Sofia melihatnya sebagai satu peluang yang tidak wajar untuk dilepaskan.

Malah, pada awalnya juga, Sofia ditawarkan dengan watak lain sebelum Natrah menjadi miliknya.

"Saya menerima untuk membintangi Natrah adalah kerana memikirkan Erma adalah sahabat saya (ketawa).

"Tetapi faktor utamanya adalah kerana watak Natrah itu sendiri yang cenderung kepada mainan emosi selain jalan ceritanya.

"Prinsip hidup saya mudah. Kalau saya merasakan tidak ada watak yang sesuai, saya tidak akan menerima sewenang-wenangnya," kata pelakon filem Perempuan, Isteri & ... serta Kekasih Awal dan Akhir ini bersungguh-sungguh.

Sebagai salah seorang pendukung watak dalam teater ini, Sofia optimis teater terbitan Istana Budaya ini mampu mencatatkan kejayaan yang luar biasa.

Kerana katanya, perjalanan cerita teater ini akan menjawab segala persoalan pada mereka yang cuba mencari jawapan bagi mengurai kekusutan di minda.

"Teater Natrah lengkap segala rencah. Ada cinta, lagu, drama, humor dan aksi yang mampu membuatkan penonton terhibur dari mula hingga akhir.

"Yang penting, ia bukanlah sebuah teater berat kerana Erma sudah 'meringankan' jalan cerita agar ia mudah difahami," ujarnya.