Tuesday, December 1, 2009

Perolehan baru LIMA 2009

LIMA 2009 menjangkakan kehadiran kira-kira 80,000 pengunjung termasuk 30,000 pengunjung awam.




BELUM pun penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2009 (LIMA '09) membuka tirainya, cakap-cakap mengenai apa yang bakal diintai Kementerian Pertahanan (Kementah) pada pameran itu nanti rancak kedengaran.

Dua perolehan yang pasti mencuri tumpuan di sini adalah cadangan pembelian kapal sokongan logistik untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan penggantian pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kemungkinan juga isu pengganti helikopter Sikorsky S-61 Nuri TUDM yang sememangnya perlu dipercepatkan bakal terjawab di sini. Firma Perancis melalui syarikat tempatannya, Eurocopter Malaysia masih yakin helikopter EC-725 Super Cougar berpeluang cerah merebut bajet berjumlah RM1.9 bilion itu walaupun ada pesaing terdekat seperti AgustaWestland AW101, H-92 Superhawk Sikorsy dan Mi-17V-5.

Untuk itu, pameran LIMA 2009 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa (MIEC) di Pulau Langkawi mulai hari ini sehingga 5 Disember dijangka menggamit kunjungan beberapa firma besar luar negara untuk merebut kontrak bernilai berbilion ringgit.

Buat pertama kali juga, kedua-dua segmen udara dan maritim dilangsungkan di ruang seluas kira-kira 21,321 meter persegi berbanding dua lokasi sebelumnya oleh penganjur tunggal iaitu HW LIMA Sdn. Bhd., yang sebelum ini mempamerkan kejayaannya selaku penganjur edisi LIMA Maritim.

TLDM sejak lima tahun lalu telah pun merencanakan program memperoleh kapal logistik pelbagai guna terutama bagi melengkapi kegunaan Pasukan Angkatan Bersama (PAB) kerana kapal-kapal sedia ada tidak mampu menampung keperluan tersebut.

Malah, kegunaan mendesak bagi Operasi Fajar mengawasi keselamatan kapal-kapal dagang di Teluk Aden menyaksikan TLDM melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) terpaksa mengubah suai kapal kontena Bunga Mas 5 milik MISC Bhd. sebagai kapal bantuan pelbagai guna.

Ia dilengkapi hangar menempatkan helikopter Super Lynx dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun menyerang jika diperlukan.

Antara yang mencuba peluang di LIMA 2009 ini nanti adalah firma Korea, Hanjin Heavy Industries & Constructions Co. yang sebelum ini hadir ke LIMA 2007 dengan kapal logistik terbaru kelas Dokdo milik Tentera Laut Republik Korea. Firma senegara, Daesun Shipbuilding and Eng. Co. Ltd Pusan yang berjaya menyiapkan kapal logistik KRI Tanjung Dalpele kepada Tentera Laut Republik Indonesia pasti ingin merebut peluang yang sama.

Tidak mahu ketinggalan adalah firma Fincantieri dari Itali (TLDM menggunakan empat kapal korvet buatan firma ini), firma DCN dari Perancis (pembuat kapal selam Scorpene TLDM) yang mengetengahkan model kapal logistik Siroco, serta China State Shipbuilding and Trading Corp yang sebelum ini pernah menawarkan kapal kelas Type 071 kepada TLDM dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding pesaing lain.


MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan isyarat bagus dari kokpit pesawat MB339 CM milik TUDM semasa meninjau persiapan LIMA 2009.


Bagi merebut kontrak MRCA pula, Kosmo! difahamkan firma Saab dari Sweden menawarkan 18 pesawat JAS-39 Gripen NG M-MRCA termasuk opsyen membekalkan pesawat radar amaran awal udara (AEW) yang khabarnya menarik minat Kementah.

Tawaran serupa juga pernah diberi kepada negara jiran Thailand yang kini merupakan pemilik terbaru pesawat JAS-39 Gripen apabila bakal mengoperasikan 12 pesawat ini serta dua pesawat AEW Saab Erieye pada tahun 2011.

Namun, tiga firma lain turut menawarkan pakej yang juga hebat iaitu Dassault Aviation dari Perancis dengan pesawat Rafale, Boeing dari Amerika Syarikat (F/A-18E/F) dan konsortium Eropah, Eurofighter GmbH (Eurofighter Typhoon). Kesemuanya merupakan pesawat pejuang generasi terkini dengan ciri-ciri yang diingini oleh TUDM.

Walaupun Kementah membayangkan tidak akan membuat pembelian baru Sukhoi Su-30MKM bagi penggantian MRCA TUDM, tetapi bekas negara kuasa itu pastinya ingin merebut peluang sama dengan tawaran hebat. Rusia misalnya pernah meluluskan kredit bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM6.8 bilion) kepada Venezuela bagi pemodenan angkatan tentera negara itu.

Ia bagi membeli 92 buah kereta kebal T-72 dan T-90, sistem peluru berpandu pertahanan udara S-300, Buk-M2 dan Pechora. Kelulusan yang sama juga pernah diberi kepada Indonesia bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM6.8 bilion) pada tahun 2004 dan 2007 bagi membekalkan kereta kebal, helikopter, kapal selam dan pembelian tambahan enam pesawat Sukhoi Su-30MKI.

Firma pengeksport senjata tunggal Rusia, Rosoboronexport juga mengintai peluang serupa bagi menawarkan sistem pertahanan kepada Brunei dan pastinya kunjungan mereka ke Langkawi kali ini dengan hasrat yang cukup besar.

Dengan penyertaan 450 pempamer dari 24 negara dengan 14 pavilion, LIMA 2009 menjangkakan kehadiran kira-kira 80,000 pengunjung termasuk 30,000 pengunjung awam. Walaupun hanya sebuah tim aerobatik iaitu Sarang Aerobatic Team dari India (pasukan aerobatik menggunakan helikopter) dijangka hadir membuat pertunjukan udara. Orang ramai pastinya tidak dihampakan dengan aksi-aksi juruterbang TUDM menerusi Sukhoi Su-30MKM, MiG-29N dan F/A-18D.

Turut mencuri tumpuan nanti adalah penyerahan kumpulan akhir pesawat latihan termaju Aermacchi MB-339CM TUDM yang dibeli pada tahun 2006 bagi tujuan latihan penyesuaian bakal juruterbang pejuang.


PERSIAPAN rancak dijalankan sejak beberapa hari lalu untuk memastikan kelancaran LIMA 2009 di Pulau Langkawi yang bermula hari ini sehingga 5 Disember 2009.


Tirai LIMA 2009 bermula pada 29 November dengan Seminar Antarabangsa LIMA 2009 di Awana Porto Malai bagi membincangkan mengenai perubahan cabaran keselamatan maritim dan aplikasi teknologinya dan disusuli dengan Seminar Peranan Pertahanan Udara dalam Keselamatan Maritim keesokannya.

Bagi sektor maritim, LIMA 2009 kali ini bakal menampilkan penyertaan terbesar dengan 94 buah kapal dan bot, selain demonstrasi keupayaan TLDM, Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Imigresen.

Ia juga dianggap sebagai penutup tirai kepada sambutan ulang tahun penubuhan TLDM ke-75 pada tahun ini dengan penyertaan 39 buah kapal dan 55 bot termasuk sembilan kapal perang dari tujuh buah negara.

Kempen semarak budaya integriti

Untuk mencapai sasaran itu, prinsip urus tadbir berasaskan Cekap, Akauntabiliti dan Telus berteraskan integriti dalam setiap asas pengurusan menjadi pemangkin.


KEMPEN pemakaian lencana IKHLAS ini akan dijayakan oleh kira-kira 4,000 kakitangan perkhidmatan awam di Pulau Pinang.


MENURUT seorang sarjana pengurusan, Rosabeth Moss Kanter, globalisasi adalah satu proses perubahan untuk menjelaskan akses cemerlang mengenai kegiatan serta interaksi ekonomi, sosial dan politik secara spontan dan segera tanpa mengambil kira sempadan politik sesebuah negara.

Bertepatan dengan cabaran untuk mentransformasikan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa di era globalisasi, beberapa penambahbaikan dilakukan terutama dalam aspek kualiti perkhidmatan awam.

Untuk mencapai sasaran itu, prinsip urus tadbir berasaskan Cekap, Akauntabiliti dan Telus berteraskan integriti dalam setiap asas pengurusan menjadi pemangkin.

Integriti bukan sahaja bersangkutan dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa semata-mata, malah terdapat banyak lagi ketidakcekapan, penipuan, masalah sosial, kesetiaan dan perlakuan tidak beretika yang merupakan penyumbang terhadap kemerosotan integriti itu sendiri.

Ketiadaan integriti juga boleh menyebabkan kerugian yang amat besar, bermula dari sesebuah organisasi yang menyebabkan kemerosotan kualiti warga kerjanya.

Justeru, pada majlis sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang baru-baru ini, mesej menjadikan integriti sebagai budaya kerja warga perkhidmatan awam di negeri itu disemarakkan.

Bertemakan Cabaran Ke Arah Pengukuhan Integriti Dalam Era Globalisasi, kempen IKHLAS iaitu singkatan Integriti, Ketelusan, Harmoni, Luhur, Amanah dan Setia diperkenalkan dengan objektif untuk mengukuhkan pemahaman orang ramai terhadap integriti para penjawat awam.

Kempen IKHLAS yang didokong oleh Institut Integriti Pulau Pinang (iiNPPi) itu diadakan untuk menerapkan budaya integriti dalam perkhidmatan awam.

Sesuai dengan namanya, IKHLAS bertujuan membentuk jati diri setiap kakitangan awam dalam usaha memperkukuhkan peningkatan kualiti modal insan. Ia juga mempraktikkan sifat-sifat yang terdapat dalam IKHLAS untuk menampilkan kakitangan perkhidmatan awam yang berintegriti dan berpekerti mulia.

Bagi menjelaskan lagi mesej itu kepada orang ramai, kempen pemakaian lencana IKHLAS telah dilakukan pada majlis itu oleh kakitangan awam negeri Pulau Pinang. Ia diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainal Rahim Seman.

Sepertimana ikrar integriti yang dilafazkan oleh kira-kira 600 penjawat awam semasa sambutan itu, ia menunjukkan suara warga penjawat awam di Pulau Pinang seiring dengan wawasan untuk meletakkan negeri itu ke suatu tahap yang tinggi.

Malah, kerajaan negeri telah menetapkan bahawa misi itu hanya boleh dicapai sekiranya penjawat awam jelas tentang asas pembangunan yang menjamin kejayaan transformasi ekonomi kepada negeri bertaraf antarabangsa dan ekonomi berpendapatan tinggi.

Sebagai langkah susulan, bermula 16 November lalu, kempen pemakaian lencana IKHLAS itu akan dijayakan oleh iiNNPi kepada kira-kira 4,000 kakitangan perkhidmatan awam negeri ini selama enam bulan.

"Lencana ini nanti perlu dipakai setiap hari, dan bagi penjawat awam, ia diwajibkan," jelas Pengurus Bahagian Pendidikan dan Latihan iiNPPi, Leny Marlina Muhamad.

Dijual pada harga RM1.80 tiap satu, Leny menegaskan kempen pemakaian lencana itu merupakan satu lagi pendekatan iiNNPi untuk menjelaskan lagi maksud integriti kepada kakitangan perkhidmatan awam negeri.

"Ia bukan kerana faktor mencari untung, cuma kita merasakan apabila lencana ini dibeli maka pemakaiannya akan lebih dirasai berbanding jika diberi secara percuma.

"Malah, lencana ini juga boleh dibeli oleh kakitangan syarikat swasta agar mereka sama-sama menyahut kempen IKHLAS. Ini kerana cabaran untuk mengukuhkan integriti sebenarnya menjadi tanggungjawab semua," jelasnya.

Leny turut memberitahu kempen yang sama juga akan dipanjangkan lagi ke pusat-pusat membeli belah di Pulau Pinang melalui pembukaan kaunter-kaunter maklumat oleh iiNNPi termasuk menjual lencana IKHLAS kepada orang ramai.

"Sebagai agensi bertanggungjawab, iiNNPi juga akan menggiatkan lagi penganjuran kempen, seminar atau forum mengenai integriti di premis-premis kerajaan dan swasta," ujarnya.

Katanya lagi, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.iinppi.com.my bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai program yang dianjurkan atau menghubungi talian 04-2267448.

Dua siaran Suria FM pada satu masa


PARA penyampai Suria FM dan kakitangannya memotong kek ulang tahun kedua stesen radio itu di lobi bangunan Am Bank Assurance, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


STESEN radio Suria FM memperlihatkan peningkatan yang boleh dikatakan mendadak daripada banyak aspek seperti konsep segmen yang diketengahkan mahupun rating penonton biarpun baru dua tahun bersiaran ke seluruh negara.

Sebagai contohnya, stesen radio itu mempunyai dua saluran berbeza iaitu yang berbahasa Melayu, manakala satu lagi dalam bahasa Kadazan dan Dusun yang lebih difokuskan kepada para pendengar di negeri Sabah.

Pemangku Ketua Pegawai Operasi Penyiaran Suria FM, Yusry Abu Samah menjelaskan, stesen radio itu ke udara melalui sebuah saluran, tetapi ia menampilkan dua segmen berbeza yang boleh diikuti di Sabah dan juga di seluruh negara pada masa sama.

"Dalam erti kata lain, kami bersiaran menerusi saluran yang sama tetapi para penonton ada dua pilihan iaitu sama ada mahu mendengar segmen yang khusus untuk siaran di Sabah ataupun satu lagi segmen yang boleh diikuti di seluruh negara.

"Jika para pendengar di Sabah, mereka boleh mengikuti segmen Suria Sabah melalui frekuensi 105.9 FM dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat yang menggunakan bahasa Kadazan dan Dusun.

"Namun, pada masa sama, untuk siaran di seluruh negara pula, kami menggunakan bahasa Melayu dengan siaran 24 jam sehari di mana frekuensinya untuk setiap negeri berbeza-beza. Kalau di Lembah Klang misalnya, frekuensinya ialah 105.3 FM," katanya.

Yusry menjelaskan keunikan segmen khusus untuk para pendengar di Sabah yang memulakan siarannya pertengahan tahun lepas itu pada majlis ulang tahun kedua Suria FM yang diadakan di lobi bangunan AM Bank Assurance di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, segmen dalam dialek tempatan Sabah itu diperkenalkan bagi memperluaskan lagi siaran stesen radio swasta tersebut yang kini semakin bertambah bilangan pendengarnya dari semasa ke semasa.

Bagi menyiarkan dua segmen itu secara serentak, konti Suria FM juga menggunakan penyampai yang berbeza di mana penyampai Otto bertindak sebagai pengendali Suria Sabah dan segmen itu boleh diikuti hingga ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Sementara itu, penyampai segmen bahasa Melayu ke seluruh negara pula diacarakan oleh barisan penyampai Suria FM seperti Lin, Tuah, Zizi, Myra, Bob Ringgo, Naim dan Zaff.

"Sesuai dengan bahasa pengantarnya dalam dialek Kadazan dan Dusun, lagu-lagu yang disiarkan menerusi segmen Suria Sabah juga menyiarkan lagu-lagu tempatan daripada pelbagai etnik yang dinyanyikan oleh para penyanyi dari sana.

"Namun, pada masa sama kita juga tidak lupa menyelitkan lagu-lagu dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang terbaik dan popular untuk para pendengar di Sabah. Ia bagi memastikan supaya para pendengar di sana tidak ketinggalan dengan lagu-lagu arus perdana," jelasnya.

Suria FM yang mula bersiaran ke seluruh negara mulai 24 November 2007 semakin mendapat tempat di kalangan pendengar di luar bandar termasuklah di Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia.

"Walaupun baru dua tahun bersiaran ke seluruh negara tetapi Suria FM mula memperlihatkan peningkatan apabila bilangan pendengarnya kini mencecah 700,000 orang di mana jumlah itu tidak termasuk di Sabah.

"Peningkatan itu amat ketara kerana sewaktu kami mula bersiaran dulu jumlah pendengar saluran radio ini hanya sekitar 300,000 orang sahaja," katanya yang masih memangku jawatan itu bagi menggantikan Engku Emran Engku Zainal Abidin yang berhijrah ke Bernama TV baru-baru ini.

Dalam pada itu, Yusry menafikan desas-desus yang mengatakan Kudsia Kahar dari Astro akan berhijrah ke Suria FM bagi memegang jawatan penting menggantikan tempat yang dikosongkan oleh Engku Emran.

"Khabar angin itu tidak betul. Kami anggap itu hanya spekulasi sahaja. Buat masa ini Lembaga Pengarah Pengurusan syarikat dan radio ini mengarahkan saya sebagai pemangku Ketua Pegawai Operasi Penyiaran radio ini buat suatu tempoh yang akan diberitahu kemudian.

"Bagaimanapun, kami akan membuat beberapa rombakan segmen dalam siaran radio ini termasuklah di kalangan penyampainya mengikut keadaan semasa.

"Contohnya, ada penyampai radio kami iaitu Akhtar yang akan berhenti dan tempatnya akan digantikan dengan orang lain. Nanti kami akan umumkan," ujarnya.

Bagi mempelbagaikan lagi aktiviti Suria FM, stesen radio itu antaranya merancang sebuah konsert di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Disember ini sebagai salah satu acara sambutan Tahun Baru 2010 kelak.

Pada majlis ulang tahun kedua stesen radio yang mensasarkan pendengar berusia 20 tahun hingga 39 tahun itu, ramai artis popular tanah air telah dijemput mengadakan persembahan secara unplugged di luar konti stesen radio tersebut yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

Antara artis yang terbabit ialah Ning Baizura, Aizat, Ifa Raziah, Stacy, Hujan, Azharina, Ameng Spring, Dayang Nurfaizah, Diana Danielle, Siti Saerah, Zehra Zambri, Liyana Jasmay, Anna Raffali, Sham Kamikaze dan Ekin AF.

Shafi anjur bengkel vokal


Shafi ajak artis sertai bengkel nyanyian yang dijadualkan pada 12 Disember ini.


SETIAP hujung tahun, pasti guru vokal terkenal, Shafizawati Shariff, 33, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Shafi ini menganjurkan pelbagai bengkel tertentu bagi membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat mendalami teknik serta ilmu berkaitan vokal.

Bengkel selama lapan jam antara pukul 10 pagi hingga 6 petang yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada 12 Disember ini selain memberi pendedahan terhadap vokal adalah untuk memupuk minat golongan muda terhadap muzik.

Bertemu Shafi di Shafi Vocal School (SVS) yang terletak di Desa Melawati baru-baru ini, memberitahu bengkel tersebut terhad untuk 50 peserta sahaja dengan bayaran RM150 setiap seorang.

"Ini bukan kali pertama saya buat, boleh dikatakan setiap tahun memang saya akan anjurkan bengkel sebegini.

"Bukan sahaja terbuka untuk orang ramai, bengkel ini juga boleh disertai oleh mana-mana artis yang berminat untuk lebih memahami teknik menyanyi dengan betul," katanya.

Antara aktiviti yang bakal dianjurkan ialah pengajaran vokal termasuklah lontaran suara, penghayatan dan sebutan.

Selain itu, teknik pemilihan lagu yang bersesuaian dengan nada suara, cara-cara menghayati serta penggunaan ruang pentas turut diberikan penerangan.

Semua itu kata Shafi, boleh digunakan sebagai persedian kepada mereka yang berminat untuk menyertai pelbagai pertandingan nyanyian ataupun yang ingin memanjangkan langkah bergelar penyanyi pada masa akan datang.

"Saya sudah banyak kali terlibat sebagai juri untuk uji bakat pertandingan. Rata-rata yang saya lihat mereka datang dari jauh dan sanggup berbaris lama semata-mata untuk mencuba nasib bergelar penyanyi.

"Ada juga yang saya lihat mempunyai pakej untuk bergelar penyanyi, namun apabila buka mulut untuk menyanyi nada suara mereka langsung tidak kena dengan lagu yang dinyanyikan serta tiada teknik dalam melontar suara.

"Saya hanya ingin membantu dan berkongsi ilmu menyanyi sebab saya tahu jika ingin memasuki kelas vokal bayaran yang dikenakan agak tinggi bagi mereka.

"Jadi, kalau boleh ambillah peluang ini dalam masa tidak sampai satu hari untuk mengetahui serta mendalami pelbagai teknik serta ilmu yang sedikit sebanyak boleh memantapkan lagi mutu nyanyian," kata Shafi.

Kepada yang berminat menyertai atau mengetahui lebih lanjut tentang bengkel tersebut, sila hubungi Roy di talian 0169185636 atau email kepada shafivocal@yahoo.com.

Terbit album anak murid

Biarpun SVS baru menyambut ulang tahun kedua beroperasi pada pertengahan November lalu, namun Shafi sendiri sudah pun mengembangkan sayapnya ke Indonesia.

Masih lagi sebagai guru vokal, bersama penyanyi terkenal negara itu, Imaniar, Shafi kini mengusahakan tiga studio, dua di Jakarta Pusat iaitu Impro dan Davz Music School manakala sebuah lagi di Jakarta Selatan, Sakura School Of Music Art.

Bercerita perihal perkembangan tiga studionya itu, kata Syafi, dia beruntung kerana dibantu oleh rakannya dalam menguruskan pelbagai urusan studio.

"Sambutan daripada masyarakat di sana ternyata berbeza berbanding di Malaysia.

"Di Indonesia, pelajaran muzik telah diterapkan di sekolah malah menjadi salah satu mata pelajaran yang diharuskan kepada setiap pelajar.

"Berbanding di negara ini, pelajaran muzik hanya diterapkan di sekolah rendah dan tidak menjadi satu keutamaan. Pembelajaran muzik di peringkat kanak-kanak bagi saya sangat mempengaruhi kebolehan seseorang untuk menyanyi serta perkembangan muzik itu sendiri.

"Sebab itu kalau kita lihat kebanyakan penyanyi di negara ini yang mempunyai bakat semula jadi menyanyi itu begitu kecil bilangannya," kata Shafi meluahkan pendapatnya.

Dalam perkembangan lain, Shafi kini dalam proses menerbitkan album sulung anak-anak muridnya di Indonesia iaitu Vidi Aldiano dan kumpulan Bee Boy's.

Selain itu, dia juga sedang dalam proses menyiapkan cakera padat (CD) tentang persediaan asas sebelum memulakan nyanyian dalam dua versi, lelaki dan perempuan yang dijangka akan dipasarkan pada Januari 2010.

"CD tersebut sangat berguna sebagai latihan ringan sebelum memulakan nyanyian untuk sesiapa sahaja yang berminat termasuk golongan artis.

"Teknik-teknik asas nyanyian juga saya sertakan dalam CD tersebut dan kini saya masih lagi dalam proses mengumpul bahan," kata Shafi lagi.

Sebagai seorang guru, kata Shafi, perkara yang paling mencabar buatnya ialah memastikan anak muridnya mampu menguasai setiap yang diajar sebaik mungkin. Malah beliau gembira jika mereka dapat mempraktikkan segala yang telah dipelajari dalam nyanyian mereka.

Perspektif demokrasi daripada pembikin filem




SELAMA ini, ruang lingkup pemahaman mengenai demokrasi lebih banyak diterjemahkan menerusi buku, jurnal ataupun diajar di institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Bagaimanapun, perspektif mengenai fahaman demokrasi juga boleh disebarluaskan lagi, misalnya menerusi dunia perfileman iaitu hasil daripada garapan penulis skrip, pengarah dan para pelakonnya.

Bagi melihat perspektif pemahaman mengenai demokrasi dalam filem, kerajaan Amerika Syarikat (AS) melalui kedutaannya di Kuala Lumpur telah menganjurkan pertandingan menghasilkan filem pendek, Cabaran Video Demokrasi.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Kebudayaan Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur, Nicholas Papp, pertandingan itu dilihat mampu untuk melihat perspektif demokrasi di kalangan para pembikin filem di negara ini.

Apatah lagi katanya, pemahaman tentang fahaman demokrasi yang berbeza-beza bagi setiap individu itu juga tentunya akan lebih unik apabila ia diluahkan secara kreatif menerusi medium perfileman.

"Setiap orang ada pandangan mereka tentang demokrasi. Ada yang mengatakan demokrasi itu sesuatu yang menyeronokkan, cool (selamba) atau gila. Daripada medium ini kita akan dapat tahu apakah yang mereka faham tentang demokrasi.

"Cabaran Video Demokrasi merupakan suatu platform bukan sahaja kepada pembikin filem di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia bagi menyatakan pendapat mereka tentang demokrasi," katanya pada sidang akhbar di Cineleisure, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru.

Menerusi pertandingan itu, setiap filem atau animasi yang dihasilkan mestilah dengan durasi tidak melebihi tiga minit dalam pelbagai format seperti kamera video, telefon bimbit dan ia terbuka kepada golongan amatur mahupun profesional.

Pertandingan kali kedua anjuran Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur itu mensasarkan 100 penyertaan filem pendek tempatan.

Daripada jumlah berkenaan, tiga finalis akan dipilih sebelum satu daripadanya layak mewakili negara bagi mewakili peringkat Asia.

Jelasnya, sebuah filem dari setiap negara akan bersaing di AS bagi mewakili benua masing-masing. Juaranya sebanyak tujuh pemenang akan menerima hadiah berupa pakej lawatan ke Washington D.C., New York dan Hollywood, di AS.

"Selain itu, dengan adanya pertandingan seperti ini, kami ingin menggalakkan lebih banyak pihak termasuklah dalam medium perfileman bagi memberi lebih kefahaman kepada audiens mereka tentang apakah itu demokrasi.

"Setiap peserta tidak kira dari negara mana sekalipun layak menghantar penyertaan filem pendek yang mereka hasilkan asalkan ia merupakan karya asli dan tidak menggunakan bahan hakcipta karya-karya orang lain," ujarnya.

Selain Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur, Cabaran Video Demokrasi itu turut dijayakan antaranya dengan kerjasama KRU Studios, 8TV, Universiti Lim Kok Wing, Persatuan Animasi Malaysia dan Universiti Multimedia.

Tambah Nicholas, penjurian bagi filem yang bertanding bagi mewakili Malaysia pada pertandingan akan diadili oleh Duta Besar AS di Malaysia iaitu James R. Keith dan wakil-wakil daripada pihak penganjur terbabit.

"Kriteria penjurian pertandingan ini 40 peratus daripadanya diambil kira dari sudut impak daripada cetusan idea yang dihasilkan dalam sesebuah karya itu, 40 peratus daripada sudut konsep dan idea, manakala 20 peratus lagi daripada kualiti imej yang dihasilkan," katanya.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Januari tahun depan manakala proses pemilihan akan bermula Februari depan dengan bahasa pengantar adalah bebas.

Dalam erti kata mudah, pertandingan ini bukan sahaja terbuka kepada rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang profesyen, tetapi juga apa juga bahasa selain bahasa Inggeris asalkan ia disertakan dengan sarikata dalam bahasa tersebut.

Sementara itu, Presiden KRU Studios, Norman Abdul Halim selaku penganjur bersama menyifatkan, pertandingan itu sebagai peluang keemasan buat para pembikin filem tempatan.

Katanya, menerusi pertandingan itulah mereka boleh membuktikan bakat dan kreativiti dalam mengetengahkan karya-karya tempatan bersaing di peringkat antarabangsa apabila karya pemenang akan disiarkan di You Tube .

"Saya anggap ini sebagai batu loncatan buat para pembikin filem kita sama ada yang amatur atau profesional untuk mencuba nasib dan bakat mereka dalam bidang perfileman di peringkat antarabangsa. Mana tahu kalau menang karya mereka akan disiarkan di You Tube dan ditonton di seluruh dunia," ujarnya.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyertaan dan syarat-syarat pertandingan itu sila layari laman sesawang www.videochallenge.america.gov.com.

Persaingan senior dan junior


NORLIA Ghani dan Rosnah Mat Aris bakal bersaing dengan muka-muka baru untuk merebut gelaran Pelakon Wanita Drama Terbaik.


HANYA tinggal tiga hari sahaja lagi, acara anugerah berprestij anjuran TV3, Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) akan membuka tirainya.

Dengan mengambil tema Hikayat 1001 Malam, pastinya TV3 menjanjikan sebuah persembahan yang cukup hebat dan menjadikan edisi kali ini sebagai acara yang akan dikenang sebelum tahun 2009 mengucapkan selamat tinggal.

Pastinya khalayak dan peminat hiburan tanah air sudah mengetahui penganjuran ASK adalah untuk mengiktiraf hasil kerja karyawan seni tanah air menerusi drama, filem dan penerbitan dalaman televisyen.

Mula dianjurkan sekitar tahun 1993, ASK telah membuka satu lembaran baru dalam direktori industri hiburan tanah air untuk menghargai mereka yang bertungkus-lumus menghasilkan karya yang berkualiti.

Seperti biasa, saban tahun ASK akan menjadi buah mulut peminat hiburan tempatan yang mula berteka-teki siapakah yang bakal menjulang trofi perak bermotifkan pucuk rebung dan songket itu.

Bermula hari ini sehinggalah ke hari kemuncak ASK2009 yang berlangsung Jumaat, Hits akan menyenaraikan serta melihat nama-nama yang berpotensi untuk membawa pulang idaman ramai itu.

Walaupun senarai calon hanya akan diumumkan pada malam itu nanti, tetapi tidak salah untuk meramal mereka yang berkemungkinan besar dicalonkan berdasarkan persembahan mereka.

Kata orang, sekadar untuk suka-suka dan menyemarakkan serta memeriahkan lagi kedatangan ASK2009.

Hari ini akan dimulakan dengan kategori Pelakon Lelaki dan Drama Wanita Terbaik yang tidak kurang hebatnya.

Masakan tidak, dua kategori ini merupakan antara kategori terpenting pada malam ASK dan menjadi tanda aras kepada seseorang pelakon itu apabila lakonan mereka dihargai.

Bagi kategori Pelakon Lelaki Drama Terbaik, muka lama dan baru dilihat akan bersaing hebat dalam memikat hati juri untuk menobatkan mereka dengan gelaran terbaik.

Enam nama yang dilihat berpotensi besar untuk menempatkan diri antara yang terbaik adalah Que Haidar, Fizz Fairuz, Rosdeen Suboh, Fauzi Nawawi, Jalil Hamid dan Rusdi Ramli.

Pelakon berkarakter seperti Que misalnya, memang tidak dapat dinafikan bakat lakonannya dan semuanya itu terserlah menerusi drama Terlerai Takbir Kasih.

Memegang watak sebagai seorang suami dan bapa yang sanggup meninggalkan isteri serta anak-anak semata-mata mahu mengejar cinta wanita lain memang memberangsangkan.

Apatah lagi, drama yang meruntun jiwa ini sememangnya menyerlahkan emosi Que sekali gus menjadikan dirinya antara aktor yang memiliki kualiti lakonan yang tinggi.

Fizz juga mampu memberikan saingan hebat kali ini menerusi drama Tak Serupa Tapi Sama dengan lakonan bersahajanya.

Ekspresi wajahnya dengan penghayatannya sebagai seorang pemuda yang taksub dengan ajaran Islam tetapi dalam masa yang sama, mengabaikan tanggungjawab sosial memang menarik perhatian.

Siapa tahu, rezeki menjadi milik Fizz pada malam itu nanti sementelah ASK2009 bakal menyaksikan pencalonan pertama untuknya.

Pelakon teater seperti Rosdeen pula memang tidak wajar dipertikaikan kredibilitinya memandangkan pengalaman luasnya dalam bidang teater.

Maka, tidak mustahil seandainya nama Rosdeen antara yang mampu membolosi tembok kebal pencalonan ASK2009.

Wataknya dalam drama Tersasar Di Jalanmu arahan Erma Fatima itu berpotensi untuk memikat hati juri untuk menobatkannya sebagai pemenang.

Saingan hebat

Fauzi juga apa kurangnya kerana dia juga merupakan antara aktor yang cukup hebat dan bijak mewarnakan karakternya.

Berikanlah apa sahaja watak kepadanya jahat mahupun baik, dia tidak pernah mengecewakan penonton dan menerusi drama Takbir Rindu, tidak mustahil untuk Fauzi dicalonkan dalam kategori ini.

Pelakon senior seperti Jalil juga mampu memberikan saingan hebat kepada pelakon muda dalam ASK2009.

Pernah memenangi kategori ini pada tahun 2006, tidak mustahil jika Jalil mampu menjulangnya untuk kali kedua.

Lakonannya yang penuh emosi dalam drama Becha Usang memang menyentuh jiwa dan meninggalkan kesan yang cukup mendalam.

Kalau dia menang sekali pun, tidak ada salahnya kerana Jalil sudah membuktikan bahawa dia adalah aktor yang berada dalam liga yang tersendiri.

Rusdi juga tidak kurang hebatnya menerusi drama Chef Masin Pahit 4 Rasa yang merupakan sebuah drama komedi.

Memang mudah untuk membuat penonton menangis tetapi sukar sekali untuk menggeletek penonton menerusi lakonan yang mampu meninggalkan impak.

Tetapi tidak bagi Rusdi. Dia sudah membuktikan bahawa dia merupakan seorang aktor yang versatil dan mampu membawakan apa sahaja watak dengan cemerlang sekali.

Persaingan muka baru dan lama juga dapat dilihat menerusi kategori Pelakon Wanita Drama Terbaik yang pastinya akan menghangatkan lagi ASK2009.

Siapa tahu nama-nama pelakon senior seperti Norlia Ghani, Rosnah Mat Aris dan Kartina Aziz mampu menempatkan diri dalam senarai pencalonan tahun ini.

Sudah lama berkecimpung dalam bidang seni, sukar sekali untuk melihat mereka memberikan lakonan yang kurang memuaskan.

Norlia, Rosnah dan Kartina semuanya memberikan hasil lakonan yang memberangsangkan serta mampu menghayati watak yang diberikan.

Masing-masing dicalonkan menerusi drama Al-Kiswah, Tersasar Ke Jalanmu dan Mama Nenek yang memiliki penceritaan yang berbeza.

Suatu yang menarik juga untuk memperkatakan tentang kategori ini apabila Zarina Zainuddin turut dikhabarkan mempunyai harapan cerah untuk dicalonkan.

Mempamerkan lakonan cemerlang dan meruntun jiwa menerusi drama Becha Usang, siapa tahu selepas hampir dua dekad melayari dunia seni, Zarina akhirnya diangkat sebagai salah seorang pelakon wanita terbaik negara.

Masakan tidak, selama ini masyarakat seolah-olah memandang sepi kepada bakat lakonannya.

Bagaimanapun laluan untuk nama-nama ini bukan mudah kerana perlu berdepan dengan muka-muka baru seperti Noorkhiriah dan Sheera Iskandar yang tidak kurang hebatnya.

Noorkhiriah misalnya, memberikan lakonan yang cukup menyentuh jiwa menerusi drama Terlerai Takbir Kasih dan siapa tahu kali ini, rezekinya untuk menggenggam gelaran Pelakon Wanita Drama Terbaik.

Jangan lupa, Noor pernah mengungguli kategori Pelakon Pembantu Wanita Drama Terbaik pada tahun 2007. Jadi, siapa tahu malam ASK2009 akan menjadi milik Noor.

Sheera juga mampu mencipta kejutan pada malam itu nanti berdasarkan lakonannya dalam drama komedi, Halimah Jongang.

Rentak baru Michael Buble


BIARPUN membawakan lagu-lagu klasik, Michael berdiri di atas landasan dengan gayanya yang tersendiri.


KEMUNCULAN jejaka kacak bernama Michael Buble (disebut Boo-Blay) ini sememangnya mencetuskan fenomena luar biasa. Cukup masyhur menerusi lagi Sway yang dimuatkan dalam album perdananya, Michael Buble, lagu itu benar-benar meletakkan nama Michael di puncak tertinggi.

Penghibur kelahiran British Columbia, Kanada ini harus diakui memang benar-benar telah mencuri perhatian peminat muzik di seluruh dunia.

Masakan tidak, di kala kebanyakan penyanyi baru ketika itu memilih muzik yang menepati jiwa mereka, tetapi Michael sebaliknya.

Dia selesa memilih genre muzik yang jauh lebih dewasa daripada umur sebenarnya iaitu big band, jazz dan swing.

Kalau dilihat pada muzik sebegitu, ramai yang mengandaikan ia hanya sesuai untuk orang dewasa mahupun tua sahaja.

Tetapi, percaturan Michael untuk muncul dengan konsep muzik sebegitu memang tidak silap dan ia sememangnya sesuai dengan imej serta vokalnya.

Apatah lagi, Michael mendapat didikan daripada penerbit album dan lagu tersohor, David Foster yang menyifatkan Michael seorang artis yang cukup berbakat.

"Cuma kadang-kadang dia sendiri tidak sedar akan kebolehannya dan kelebihan yang ada dalam dirinya itu. Pada mata saya, dia adalah seorang yang cukup unik.

"Personaliti dan muziknya merupakan kombinasi Mel Torme, Bobby Darin, Sammy Davis dan juga Frank Sinatra serta termasuk beberapa orang penyanyi moden hari ini," katanya yang ditemukan dengan Michael pada satu majlis perkahwinan sekitar tahun 2000.

Malah, di awal pembabitan Michael, David enggan mengambilnya menjadi artis rakaman kerana tidak tahu bagaimana hendak menetapkan hala tuju muzik.

Tetapi selepas enam tahun bergelar artis, pelaburan dan percaturan itu ternyata membuatkan hasil yang cukup lumayan.

Michael kini menjadi antara penyanyi lelaki yang berjaya dengan penjualan album melebihi 30 juta unit di seluruh dunia.

Selepas muncul dengan tiga buah album studio iaitu Michael Buble (2003), It's Time (2005) dan Call Me Irresponsible (2007), kini dia sudah bersedia menggegarkan dunia dengan buah tangan terbarunya.

Album yang diberi judul Crazy Love itu telah mencatatkan rekodnya yang tersendiri apabila berjaya menduduki tangga pertama carta Billboard 200 dengan penjualan sebanyak 132,000 salinan pada tiga hari pertama sahaja.

Lantas menjadikan album Crazy Love sebagai album keduanya yang menduduki tangga pertama selepas album Call Me Irresponsible.

Bagi Michael, dia sememangnya cukup berpuas hati dengan penghasilan Crazy Love dan menyifatkannya berbeza dengan tiga album sebelum ini.

Sentuhan muziknya tetap sama. Cuma, kata Michael apa yang membezakannya adalah dari segi penghasilan dan rakaman yang disifatkan sebagai kembali ke akar umbi.

"Saya mahu album ini memiliki jiwa yang sama seperti mana idola saya merakamkan album mereka dahulu.

"Dan, cara mereka itu telah berjaya mengekalkan keaslian dan nilai estetika lagu-lagu mereka sehingga mampu meninggalkan impak hingga ke saat ini.

"Kerana itu saya mahu album Crazy Love ini mempunyai elemen itu agar ia mampu menjadi sebuah produk yang bertahan lama dan menjadi rujukan di masa hadapan," kata pemilik nama Michael Steven Buble ini penuh bersungguh tentang album keempatnya itu.

Crazy Love diterbitkan oleh Warner Music dan mula dipasarkan sejak 13 Oktober lalu itu telah mendapat kritikan yang positif dari pengkritik muzik.

Memuatkan 14 buah lagu serta sekeping DVD dokumentari penghasilan album Crazy Love menampilkan lagu Haven't Met You Yet sebagai single pertama yang juga merupakan hasil ciptaan Michael sendiri.

Berbicara lanjut tentang album Crazy Love, Michael yang dilahirkan pada 9 September 1975 itu melihat album ini sebagai menifestasi kepada pasang surut sebuah perhubungan.

"Karya saya selalunya berbentuk autobiografi yang banyak menceritakan tentang kehidupan dan perjalanan hidup saya selama ini.

"Malah, lagu-lagu lama klasik yang saya muatkan dalam album ini juga ada kaitan dengan hidup saya dan semua itu dapat diselami menerusi setiap lagu di dalam album ini," ujarnya yang turut menulis sebuah lagi lagu berjudul Hold On.

Proses rakamannya juga cukup mengujakan Michael apabila semua lagu dirakamkan secara langsung tanpa menggunakan teknologi moden dan terkini.

Jelasnya, memang sengaja dia melakukan semua itu kerana mahukan bunyi dan kualiti yang autentik dan mendapat sentuhan seperti di zaman silam.

"Muzik semuanya dimainkan secara langsung. Saya menyanyi pun tanpa menggunakan fon kepala dan seangkatan dengannya kerana saya mahu mendengar muzik yang asli terhasil daripada rakaman album ini.

"Walaupun melakukan kesilapan dan kesalahan, kita tahu di mana ruang yang perlu diperbetulkan lantas menjadikan proses rakaman lebih menarik dan seronok," jelasnya tentang album yang memakan masa selama enam bulan untuk dihasilkan itu.

Crazy Love masih lagi mengekalkan sentuhan mentor Michael iaitu David Foster bersama-sama Bob Rock dan Humberto Gatica selaku penerbit.

Apa yang menarik, album ini menjalani rakaman di tiga buah kota metropolitan iaitu Los Angeles dan New York, Amerika Syarikat serta Vancouver, Kanada.

Mengulas tentang kerjaya seninya yang sudah pun mencecah enam tahun itu, Michael memang tidak menyangka kehadirannya di dalam dunia muzik diterima dengan baik.

Malah, setiap hasil kerjanya diterima dengan cukup positif biarpun harus menerima kritikan dari pelbagai pihak.

Namun, jejaka berusia 34 tahun ini melihat semua itu sebagai satu pembakar semangat selain mahu memperbaiki dirinya untuk menjadi seorang penghibur yang disegani.

"Saya sesekali tidak akan melakukan perkara yang bukan jiwa saya. Masih segar dalam ingatan saya sewaktu saya mula-mula muncul dulu apabila mereka menyamakan saya dengan Julio Iglesias.

"Masyarakat tidak tahu personaliti sebenar saya dan mereka juga tidak kenal saya sebagai seorang individu.

"Ramai juga yang mempunyai persepsi yang mengatakan muzik saya ini hanya sesuai untuk golongan tua sahaja tetapi hakikatnya, semua itu adalah silap," ujarnya panjang lebar.

Bukan itu sahaja, dia juga kesal apabila sesetengah pihak mendakwa dia tidak mampu untuk menulis karyanya sendiri dan hanya tahu menyanyikan semula lagu-lagu lama.

Tetapi, Michael berupaya mematikan tanggapan itu apabila dia muncul dengan lagu Home yang dimuatkan dalam album keduanya, It's Time dan menjadi salah sebuah lagu popular.

"Daripada situ, barulah mereka tahu saya boleh menghasilkan karya sendiri. Tetapi, saya bukanlah seorang yang mampu mencipta lagu setiap hari.

"Saya perlu gembira atau sedih apabila menghasilkan sesuatu karya

"Semua lagu-lagu saya adalah tentang cinta dan apa yang anda dengar semuanya memiliki keindahan dan perasaan cinta di dalamnya," jelasnya yang pernah memenangi Grammy bagi kategori Album Vokal Pop Tradisional Terbaik untuk album Call Me Irresponsible tahun lalu.