|
|
Bakal menyaksikan saingan lebih hebat, kemunculan mereka pastinya memberi nafas baru serta menyerikan lagi 'taman' Raja Lawak 3.
Bersaing dalam lingkungan peserta lelaki, Nuur Jihan Musa, 25, atau Jihan serta Rafizzan Yaacop, 32, (Yann), merupakan antara ribuan wanita yang mencuba nasib untuk beraksi di gelanggang yang telah berjaya melahirkan Yusri Edoo dan Nabil sebagai juara pertandingan sebelumnya.
Terpilih sebagai peserta Raja Lawak 3, Jihan atau Yann, kedua-duanya mampu menjadi wanita pertama bergelar juara andai matang dalam menyampaikan komedi masing-masing.
Namun, menjangkau batasan itu, andai tidak bergelar juara sekalipun, mereka mampu untuk menjadi pelapis kepada pelawak wanita terkenal seperti Allahyarham Yusni Jaafar, Enot dan Sharifah Shahira.
Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, Raja Lawak 3 mencatat jumlah penyertaan yang memberangsangkan apabila ia mencatat peningkatan sebanyak 300 peratus ketika uji bakatnya diadakan baru-baru ini.
Jelasnya, program TV realiti itu juga berjaya menarik lebih ramai peserta wanita dengan dua daripada mereka berjaya ke peringkat akhir.
"Tahun lalu ada peserta wanita yang datang ke sesi uji bakat tetapi gagal untuk beraksi ke Gelanggang Raja Lawak.
"Untuk musim ketiga ini, dengan adanya dua wanita terbabit, saingan akan bertambah sengit,'' katanya kepada Hits ketika mengumumkan 12 finalis Raja Lawak 3 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain Jihan dan Yann, peserta lain ialah Adam Abdul Karim (Adam), 18; Aman Shah Azmi (Aman), 24; Mohd. Amirullah Azmi (Amir), 20; Sutrarmin Tukichan (Manbelon), 35; Ahmad Faizlam Alam (Mat), 30; Shamsir Mohd. Shahar (Syem), 32; dan Ahmad Faiz Ahmad Yusoff (Talam), 23.
Turut tersenarai bertanding ialah Hazmeer Hassan, 18, dan Muhd. Shaiful Bakri dari kumpulan Chot; Afzan Saffuzn Ahmad, 22, dan Wan Sharizon Rahim, 27, (kumpulan LNJ) serta Shahmira Muhamad, 24, Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 23, dan Mohd. Noor Murad, 23, dari kumpulan Sepah.
Raja Lawak 3 sekali lagi mengekalkan Johan dan Zizan sebagai pengacara manakala Zaibo, Fauziah Nawi serta Shamsul Ghau Ghau pula bertindak sebagai pengkritik tetap.
Seperti biasa, nasib peserta ditentukan sepenuhnya menerusi undian penonton sama ada melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau talian tetap.
Menurut Nizam, peserta kali ini dilihat semakin matang dan mampu menyampaikan apa jua genre komedi dengan persembahan yang menarik.
"Mungkin mereka sudah mengkaji dan mendalami penganjuran Raja Lawak musim terdahulu. Oleh sebab itu, peserta kali ini dilihat lebih bersedia.
"Saya juga ingin memaklumkan bahawa kelangsungan program Raja Lawak 3 adalah berdasarkan kepada kejayaan musim lalu apabila ia meraih jumlah 1.1 juta penonton pada setiap minggu ia disiarkan,'' katanya.
Raja Lawak tukar nama?
Sementara itu, Ketua Perniagaan Bahagian Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, memandangkan terdapat peserta wanita dalam Raja Lawak 3, ia tidak memungkinkan pihaknya untuk menukar judul program tersebut.
"Memang pihak kami ada membincangkan apakah perlu nama Raja Lawak ditukar hanya kerana terdapat penyertaan peserta wanita.
"Namun, Raja Lawak tidak semestinya melambangkan pelawak lelaki semata-mata.
"Walaupun ada kemungkinan wanita akan menjadi juara, nama Raja Lawak akan tetap digunakan. Tiada masalah,'' ujarnya.
Kepada satu soalan mengenai pemilihan pengacara yang tidak menggunakan khidmat juara Raja Lawak musim kedua, Nabil, Khairul berkata, pihak Astro tidak mahu merugikan bakat yang ada pada Johan dan Zizan.
"Nabil sudah ada rancangannya tersendiri. Lagipun, Johan dan Zizan sudah berjaya menarik hati penonton program ini,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: