KUALA LUMPUR – Pelakon Diana Danielle Danny Beeson (gambar), 17, tidak akan mendaftar menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hari ini.
Pelakon berkenaan membuat rayuan supaya diberi kelonggaran untuk menangguhkan penyertaannya dalam program itu yang sepatutnya bermula hari ini selama tiga bulan.
Penangguhan itu dibuat kononnya kerana Diana terikat dengan kontrak penggambaran sebuah filem berjudul Kecoh Betul.
Menurut pengarah filem itu, Baldev Singh, syarikat produksi White Merpati Entertainment yang menerbitkan filem berkenaan telah berurusan dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam mendapatkan kelonggaran bagi pihak Diana.
Permohonan itu dibuat minggu lepas setelah Diana terikat dengan perjanjian penggambaran filem arahannya dari 22 Disember sehingga 22 Januari depan.
Alasan penangguhan Diana itu tiada langsung dalam peraturan PLKN.
“Kami terpaksa berbuat demikian kerana segala perancangan telah diatur sejak awal. Bagaimanapun, Diana tetap akan menjalani PLKN,” kata Baldev ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Rabu lalu, Kosmo! menyiarkan kesediaan Diana untuk menyertai PLKN bagi Kumpulan 1 siri 6 Tahun 2009 pada 27 Disember ini. Dia sepatutnya ditempatkan di Kem PLKN
Princess Haliza, Sepang.
Sementara itu, ibu Diana, Norsiah Ramli, 45, berkata, anaknya itu tidak mempunyai pilihan selain akur dengan perjanjian yang ditandatangani lebih awal.
“Sebagai ibu, saya tahu Diana terkilan kerana belum berpeluang menikmati peluang keemasan seperti mana yang dilakukan oleh rakan-rakan sebayanya.
“Diana sendiri sudah membuat persiapan, beli barang keperluan harian dan bekas mengisi makanan untuk dibawa ke kem,” kata Norsiah mewakili Diana yang enggan memberikan sebarang kenyataan peribadi berhubung perkara itu.
Sementara itu, JLKN telah meluluskan permohonan penangguhan Diana itu.
Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil ketika dihubungi semalam mengesahkan pihaknya sudah meluluskan permohonan berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: