Monday, December 29, 2008

David Beckham & Posh Malaysia?




SEORANG popular di dunia seni dan seorang lagi cukup ternama di dunia sukan. Apakah pasangan ini bakal digelar David Beckham dan Victoria Beckham (Posh) Malaysia?

Ada kebarangkaliannya. Kisah cinta, pernikahan dan kontroversi yang membabitkan pelakon Rita Rudaini Mokhtar dan suaminya, Aidil Zafuan Abd. Radzak hampir menyamai episod kehidupan bintang bola sepak kelab AC Milan dan anggota kumpulan Spice Girls itu.

Aidil yang menjadi 'ayam tambatan' skuad bola sepak kebangsaan juga merupakan antara ahli sukan yang digilai ramai gadis manis di luar sana, sama seperti Beckham.

Justeru, banyak yang kata 'bertuahnya' Rita dilamar Aidil, jejaka baru berusia 21 tahun, ternama dan menjadi pujaan ramai pula, sama sebagaimana orang berkata bertuahnya Posh dipuja David.

Pun itu tuah Rita. Tuah Aidil pula tak kurang hebatnya apabila aktres sejelita Rita secara rasmi sudah berada dalam genggamannya. Tuah yang sama dikecapi Beckham apabila Posh sudi menerima lamarannya suatu ketika dulu.

Rita sebagaimana yang sedia diketahui adalah antara pelakon drama yang berada di kelas A dalam dunia penerbitan drama tempatan.

Malah, Rita bukan sahaja diminati dek gaya lakonan yang hebat dan bersahaja, tetapi dia merupakan seorang artis yang cukup dikenali dengan sifat lemah lembut, bersopan santun dan pandai bermanja.

Meskipun sesekali ada kontroversi hangat menghimpit dirinya, Rita lebih dikenali sebagai pelakon berbakat dibandingkan dengan cerita-cerita panas.

Pada 25 Februari 2008 pasangan ini mengakhiri cinta penuh ranjau dan duri mereka dengan ikatan mulia pernikahan.

Walaupun majlis pernikahan berlangsung di negara jiran, Thailand, apa yang penting kepada pasangan ini ialah mereka melayari kehidupan atas landasan sebagai suami isteri yang 'halal'.

Tidak kira bagaimana 'hanyir' susuh perjalanannya, mereka dalam destinasi mencari reda Illahi menyahut seruan Nabi bagi mengkayakan lagi umat Islam sejati.

"Selepas berkahwin, hidup saya mula berubah. Saya dapat merasakan perkahwinan telah memberikan semangat baru dalam hidup saya sebagai seorang lelaki.

"Cinta kami bertambah kuat selepas isteri saya disahkan mengandung bulan lepas," kata Aidil menceritakan perasaan bahagianya bergelar suami kepada Rita.


PASANGAN David dan Victoria Beckham.


Mengakui kehidupannya kini semakin bererti dengan status terkini mereka sebagai suami isteri, menurut Aidil dia yakin mampu mengemudi bahtera cintanya dengan sebaik mungkin meskipun banyak yang 'curiga' akan tahap kematangannya jika dilihat kepada usia mudanya.

Kepadanya, membuat keputusan berkahwin padai usia muda bukan sesuatu yang perlu dihairankan terutama apabila seorang lelaki itu sudah benar-benar bersedia memikul tanggungjawab.

"Tuhan permudahkan jalan kami untuk berkahwin. Jadi, kami perlu bersyukur dan jaga ikatan ini dengan sebaik mungkin.

"Soal kenapa kami memilih berkahwin di Siam itu adalah kerana saya sudah betul-betul sedia ambil Rita jadi isteri," kata Aidil pada sidang akhbar di Hotel Crown Princess Kuala Lumpur, kelmarin.

Ia merupakan sidang akhbar pertama jaguh bola sepak itu kepada media setelah perkahwinan 'rahsianya' terdedah di dada media. Pendedahan itu dibuat oleh ahli keluarganya sendiri

Kagum keberanian suami

Melihat kesungguhan Aidil yang sanggup memperisterikannya, Rita pula tidak dapat menyembunyikan rasa kagum.

Kata Rita, dia cukup terharu dengan keberanian Aidil yang sanggup mempertahankan cinta mereka sehingga ke jinjang pelamin.


PEGANGAN erat tangan Rita dan Aidil membuktikan cinta mereka tidak dapat dipisahkan lagi


Kepada wanita berusia 32 tahun ini, awalnya dia kurang yakin apabila Aidil meluahkan hasrat untuk melamar kira-kira dua minggu sebelum tarikh pernikahan mereka.

"Bagaimanapun, selepas tengok Aidil begitu bersungguh-sungguh, saya bersedia bersama dengannya. Keluarga saya pun awalnya tidak memberi restu sebab tak mahu orang salah anggap.

"Setelah Aidil datang dan berbincang dengan elok, akhirnya mereka reda dan sedia memberikan restu untuk kami bernikah," kata pelakon jelita ini.

Menurut Rita, selepas berkahwin dia tidak mahu memandang ke belakang lagi. Apa yang penting, dia mahu menjaga hubungan bersama suami dengan baik, selain menjaga kesihatan demi anak dalam kandungan.

"Lain-lain hal Rita tak mahu fikir dulu. Apa yang penting kandungan Rita sihat, fikiran tidak terganggu dan kami bahagia bersama. Doa Rita semoga kasih sayang kami tidak berubah sampai bila-bila pun," katanya.

Nafi keluarga tak restu

Dalam sidang media yang sama, Aidil turut menafikan pendapat yang mengatakan bahawa keluarganya membantah keras hubungannya dengan Rita.

Dalam erti kata lain, keluarga Aidil dikatakan menghalang cinta antara mereka ekoran status 'janda' dan perbezaan usia antara kedua-duanya yang bersilang 11 tahun.

Menurut Aidil, soal tiada restu yang diberikan oleh keluarganya tidak pernah timbul sama sekali.

"Dalam sidang akhbar baru-baru ini pun keluarga saya bagi tahu mereka terkilan sebab kami kahwin tak bagi tahu. Mereka tak cakap pula tak beri restu kepada hubungan kami. Jadi, soal tak beri restu itu langsung tak timbul," kata Aidil lagi yang sudah membawa Rita bertemu dengan keluarganya di Seremban bulan lalu.

Tiada majlis resepsi

Pasangan ini memberitahu, buat masa sekarang mereka tidak merancang untuk menganjurkan sebarang majlis bagi meraikan sahabat handai sempena pernikahan mereka.

Sebaliknya mereka memilih untuk menyelesaikan beberapa perkara penting terlebih dahulu, antaranya proses mendaftarkan semula perkahwinan dalam negara.

"Biarlah kami selesaikan satu persatu dulu. Sekarang kami sedang dalam proses mendaftar pernikahan.

"Kami sudah buat sidang akhbar dan selepas ini kami mahu jalani kehidupan sama macam orang lain dan bahagia berdua," kata Aidil.

Rita pernah minta cinta diputuskan

APAKAH yang buat kalian saling jatuh hati?

AIDIL: Memang semua orang akan pertikaikan umur saya. Kepada saya, saya tak pentingkan umur. Apa yang penting, apa yang saya suka ada pada diri. Dia tak kongkong hidup saya. Susah senang saya dia sentiasa ada di sebelah saya, sokong saya. Semua apa yang saya hendak ada pada diri dia. Susah saya hendak cari pengganti dia. She’s the best.

RITA: Aidil bukan macam kawan-kawan yang sebaya dengannya. Dia suka duduk rumah, sangat bertanggungjawab dengan keluarga dan bukan jenis berpoya-poya. Memanglah dia cemburu, tetapi bukan cemburu buta.


RITA cukup terharu dengan keberanian Aidil mempertahankan cinta mereka.


Sekarang okeylah, Aidil 20, Rita 30 tahun. Nanti bila Aidil 30, Rita sudah 40 tahun, bersedia ke?

AIDIL: Hal ini bergantung kepada keikhlasan kita juga. Apa yang ada dalam hati kita, itu yang utama. Umur sama pun, kalau tak ikhlas jadi kucar kacir.

RITA: Dulu memang saya ingat dia masih budak-budak. Tetapi sebenarnya dia ni cukup matang. Lama-kelamaan dia jadi makin serius dan tahu apa dia nak.

Dari mana dapat kekuatan untuk umumkan kisah nikah?

AIDIL: Lepas tahu isteri saya mengandung. Masa tu rasanya tak nak rahsiakan lagi. Bila isteri sudah mengandung, saya rasa kena bagi tahu dan tak kisah lagi apa hendak jadi. Walaupun keluarga terkejut ke, apa ke, saya sanggup terima kesannya. Kami bincang dulu dengan Kak Long (kakak sulung Aidil) dan kemudian baru jumpa abah dan emak.

RITA: Rita sudah lama sedia. Cuma tunggu Aidil benar-benar bersedia. Kalau boleh lepas kahwin kita nak bagi tahu semua orang. Tetapi keadaan membuatkan kami terpaksa merahsiakannya dulu.


SELESAI kontroversi, pasangan ini meniti kebahagiaan dalam menanti kelahiran sulung buah cinta mereka.


Bagaimana dengan tanggapan sesetengah pihak yang mengaitkan Aidil seolah-olah ‘anak durhaka’, kahwin tanpa restu keluarga?

AIDIL: Apa pun kenyataannya hanya saya dan keluarga yang tahu. Sebenarnya hubungan saya dan keluarga macam biasa, tak bermusuh atau bergaduh. Cuma biasalah, ini soal hati dan perasaan. Mungkin mereka kena ambil masa untuk terima semua benda ini. Tetapi saya percaya keadaan akan jadi okey.

RITA: Keluarga Rita pun tak suka sangat awalnya. Mereka suruh kami fikir betul-betul. Tapi bila sudah tengok Aidil serius, mereka tak boleh halang. Keluarga pun risau juga kalau-kalau jadi benda yang tak elok, lagi susah. Lebih baik kahwin saja.

Perasaan selepas kahwin?

AIDIL: Saya lega sangat. Masalah saya selama tiga tahun sudah selesai bila kami kahwin. Akhirnya ini jawapan kepada segala masalah dalam hubungan kami. Saya jadi semakin bersemangat di padang. Yalah, tiga tahun bercinta macam-macam masalah iaitu kami. Alhamdulillah rasa serabut, masalah dalaman semua sudah hilang.

RITA: Dulu masa macam-macam masalah datang, Rita pernah minta ‘putus’. Paksa diri supaya buang saja, jangan berkawan lagi. Yalah, nampak macam saya ni beri banyak sangat masalah pada dia, baik putus. Tapi kami memang tak boleh berpisah. Itu yang buat kami nekad, teruskan juga. Sanggup buat apa saja sebab kami saling menyayangi. Kalau pasal kami berdua, lepas berkahwin tentulah gembira sangat. Perkahwinan ini buat kami rasa istimewa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: