Monday, August 1, 2011

Berat Orang Utan paling gemuk berkurangan


BENTUK badan Orang Utan paling gemuk di Britain sebelum beratnya berkurangan 20 kilogram.
KANAN: Orang Utan paling gemuk di Britain yang kini kehilangan berat badan 20 kilogram


DORSET - Berat Orang Utan betina paling berat di Britain berkurangan sebanyak 20 kilogram (kg) selepas haiwan itu diberikan diet buah-buahan, sayur-sayuran dan senaman, lapor sebuah akhbar semalam.

Haiwan itu yang diberi nama Oshine mempunyai berat 100kg semasa ia tiba di Taman Dunia Monyet di sini pada tahun lalu.

Orang Utan itu gemuk kerana dia diberikan makan manisan dan gula-gula semasa dijadikan haiwan peliharaan di Afrika Selatan selama 13 tahun.

"Oshine masih perlu mengurangkan berat badan sebanyak 20kg hingga 30kg," kata pengarah taman itu, Alison Cronin.

Tatu pada muka pemandu mabuk


MUKA Cory Smith dipenuhi dengan tatu.


WISCONSIN, Amerika Syarikat - Seorang lelaki berusia 29 tahun, Cory Smith yang mempunyai tatu ganjil pada mukanya ditangkap buat kali kelima kerana memandu kereta dalam keadaan mabuk, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Dia ditahan oleh polis baru-baru ini selepas dilihat keretanya dipandu ke kiri dan ke kanan jalan di bandar Two Rivers di sini.

Semasa didekati polis, badan pemuda itu mengeluarkan bau alkohol yang kuat dan dia tidak mampu untuk berdiri kerana mabuk.

Dia amat dikenali oleh polis sebagai pemandu yang pernah melakukan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk kerana mukanya dipenuhi tatu.

Hakim Patrick Willis memerintahkan lesen memandunya digantung selama 40 bulan, menjalani ujian air kencing secara rambang dan dipenjarakan 10 bulan tetapi dibenarkan keluar untuk bekerja.

Hutan di dalam gua


KAWASAN hutan yang terdapat dalam gua Son Doong, di daerah Bo Trach, Vietnam.


HANOI - Sebuah gua yang mengandungi hutan terdapat di Taman Negara Vietnam di daerah Bo Trach, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Gambar hutan yang terdapat dalam gua itu dirakamkan oleh Carsten Peter, 52, dari Jerman baru-baru ini. Ia ditemui oleh kumpulan pencari gua dari Britain pada 2009.

Gua itu sepanjang 4.02 kilometer, lebar 100.54 meter dan setinggi 243.84 meter.

Ilham kontemporari buah kurma




KURMA atau tamar merupakan hidangan yang menjadi 'buruan' ramai terutamanya menjelang bulan Ramadan. Berbanding satu atau dua jenis yang diketahui oleh seseorang, sebenarnya terdapat ratusan jenis buah istimewa itu di seluruh dunia.

Di Arab Saudi sahaja, terdapat lebih daripada 400 jenis. Itu belum termasuk dari Mesir, Iran, Tunisia, Iraq dan di California, Amerika Syarikat.

Kurma jenis Nabi atau ajwa, sefri, barhi, khalas dan khodri yang berwarna merah hati (maroon) pula merupakan antara yang paling popular dan menjadi kegemaran utama penduduk di Tanah Arab.

Selain dimakan segar sesudah matang usia, zaman yang silih berganti kini menyaksikan kurma atau nama saintifiknya, phonex dactylifera, dinikmati dengan pelbagai cara dan rupa.

Buah dari jenis tumbuhan palma itu kini direvolusikan dengan tambahan elemen, bahan atau perisa sampingan agar selari dengan kecenderungan dan selera masyarakat semasa.

Terbaru, sekumpulan anak muda dari syarikat UKP Management Enterprise mengambil inisiatif melakukan pembaharuan pembungkusan yang lebih dinamik terhadap buah yang kaya dengan khasiat itu.

Enam sekawan, Ashraf Zulkifli, 30; Mohd. Noor Nawawi Muhammad, 30; Ikhwan Mansor, 30; Abdullah Ismail, 28; Ahmad Nailan Rosli, 30 dan Shahrul Zaman Luqman, 30, terpanggil berbuat demikian setelah mereka berenam melakukan kajian menyeluruh tentang cita rasa berbeza rakyat Malaysia.

Selaku Pengarah Operasi syarikat, Ashraf memberitahu Kosmo!, ilham itu mula-mula hadir apabila mereka melihat kurma badam yang disalut coklat atau lebih dikenali dengan nama Chocodate menerima sambutan yang sangat memberangsangkan dalam kalangan pencinta kurma.

"Selepas melihat fenomena luar biasa itu, kami terfikir mengapa tidak buah itu ditransisikan kepada beberapa elemen dan rasa tambahan agar ia lebih kontemporari dan sedap.

"Paling penting, rasa kurma yang diperbaharui itu sendiri mampu dihadam orang ramai dan tidak menjejaskan keaslian rasa kurma itu sendiri," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

10 ciri baharu

Sempena Ramadan kali ini, usahawan-usahawan muda ini membawa kelainan dengan memperkenalkan kurma yang berintikan 10 jenis gabungan bahan baharu.


ASHRAF dan rakan-rakannya lebih selesa memasarkan produk-produk keluaran mereka secara talian.


Antara yang menarik ialah kurma yang berintikan gabungan keju halomi, aprikot dan air mawar.

Tidak kurang juga, kurma yang terkandung bahan perisa campuran seperti coklat susu dan pudina; coklat susu dan durian; serta kombinasi empat jenis bahan iaitu halwa bijan, keju krim, pati delima dan air mawar.

Bagi penggemar jalinan rasa kurma dan kekacang, syarikat tersebut turut memperkenalkan kurma yang berintikan halwa bijan, kacang brazil, kacang macamedia, walnut dan kacang pikan.

Menurut Ashraf, mereka melakukan uji kaji kepada kesemua bahan itu selama beberapa bulan lamanya demi mendapatkan rasa yang ideal.

"Kesemuanya mempunyai keistimewaan tersendiri dan yang paling penting, ia tidak menjejaskan kesihatan," ujarnya dan memberitahu perniagaan itu diusahakan sejak tahun 2009.

Pemilihan kacang pikan misalnya, dapat membantu menyembuhkan penyakit insomnia. Bijian tersebut juga mengandung vitamin B, khususnya vitamin B6 yang dapat menenangkan sistem saraf yang terlalu aktif.

Pati delima pula ujar Ashraf, berupaya membantu menyingkirkan lemak berlebihan, melangsing badan, membakar kalori dengan cepat selain meningkatkan tenaga dan memulih keletihan tubuh badan.

"Kurma-kurma ini juga tahan lama jika disimpan dalam peti sejuk," tambahnya.

Kreatif

Imaginasi enam sahabat yang berkawan sejak di bangku sekolah menengah itu sangat mengagumkan dari sudut seni kreatif.

Bukan saja melakukan penyelidikan dan pembangunan, sebaliknya mereka turut mempunyai bakat dengan menawarkan gubahan bungkusan hamper kurma yang dibuat oleh mereka sendiri.

"Kurma yang syarikat kami tawarkan boleh dibeli begitu saja, tapi penampilan kurma itu akan lebih terserlah jika ia dipakejkan dengan sempurna.

"Pelanggan boleh memilih stail dan jenis kurma mengikut kehendak masing-masing untuk digubah," kata Ashraf.

Daripada banyak jenis gaya hamper yang ditunjukkan seperti yang diperbuat daripada mengkuang pandan, bungkusan hamper yang berbentuk kitab antara yang paling kreatif dan paling menarik perhatian. Harga yang ditawarkan juga berpatutan.


KURMA yang dipesan boleh dipakejkan dengan pelbagai stail mengikut citarasa masing-masing.


Dalam pada itu, pada tahun ini juga, kata Mohd. Noor Nawawi selaku pengarah syarikat, pihaknya turut memperkenalkan pakej hadiah yang dinamakan Set Ibadah. Set itu terdiri daripada kain telekung, kain sembahyang dan kain pelikat yang dijual pada harga yang sangat berpatutan.

Satu tan kurma

Jika pada tahun-tahun sebelumnya, UKP Management hanya menyediakan di antara 500 hingga 600 kilogram (kg), namun pada Ramadan ini, sebanyak satu tan kurma pelbagai jenis dijadual akan dipasarkan.

Kurma-kurma seperti kurma safia bertangkai, madu yuta, mabrum, ambar, wasem, medjoul dan amina didapatkan secara terus daripada pengedar terkemuka negara, Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd. Secara keseluruhannya, terdapat lebih 30 jenis kurma yang diambil dari syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu.

"Selain itu, kami juga ada mengimport kurma dari Iran seperti kurma mariami dan mudofatibam serta kurma yang dipanggil deglenour yang didatangkan khas dari Tunisia," kata Mohd. Noor Nawawi sambil memberitahu syarikatnya banyak menerima tempahan daripada syarikat guaman dan pejabat-pejabat kerajaan.

Seperti memahami kehendak pelajar Asia Barat yang semakin berkembang di institut pengajian tinggi awam di negara ini, syarikat ini turut mengimport sajian-sajian lain yang terkenal seperti halwa dan knafeh (sejenis puding yang diperbuat daripada yogurt, susu dan kacang).

"Pejabat kami secara kebetulan terletak di universiti, jadi ramai pelajar Arab bertanya. Daripada situ kami dapat idea untuk membawa masuk makanan itu ke Malaysia," katanya.

Bagaimana untuk berurusan dengan mereka? Mudah saja kerana semuanya dilakukan atas talian. Jika anda tidak berkesempatan untuk mengambil tempahan, usah khuatir kerana syarikat ini menawarkan perkhidmatan penghantaran dari rumah ke rumah.

Busana khas tradisi nyonya




ZANNA OMAR mempunyai sebab tersendiri saat dia mula-mula mahu mewujudkan butik Jelita Sari. Dalam fikirannya, jahitan sulaman tradisi masyarakat Melayu dan Nyonya yang terkenal sejak turun-temurun masih ada penggemarnya.

Daripada sulaman kerancang, sulaman ayak, sulaman benang, sulaman peniti, sulaman riben hinggalah ke sulaman pita, Zanna mempunyai kepakaran mengenai semua teknik tersebut yang kini semakin luput dalam kalangan generasi muda.

Seni yang jarang diperturunkan itu kini cuba dihidupkan kembali oleh Zanna. Buktinya, butik Jelita Sari menawarkan pelbagai pilihan kebaya dan baju kurung yang dihiasi perincian sulaman pelbagai bentuk.

"Semasa saya kecil, saya suka melihat Allahyarham Saloma mengenakan kebaya ketat yang kecil dipinggang, berkain batik gulung dan bersanggul tinggi.

"Seni fesyen seperti itu kini sudah tiada tetapi, ia diperbaharui dan melalui arus kemodenan sehingga terhasil baju kebaya masa kini yang lebih moden," katanya.

Zanna memberitahu, butik Jelita Sari diilhamkan untuk mengekalkan tradisi sulaman kerancang atau kerawang serta turut dikenali sebagai sulaman nyonya dalam kalangan penggemar kebaya nyonya.

"Sulaman ini amat digemari oleh golongan Baba dan Nyonya di Melaka tetapi, wanita sekarang lebih selesa mengenakan baju kurung pesak atau moden.


BAJU kurung tampil lebih indah dengan sulaman peniti yang halus.


"Justeru, sulaman kerancang ini disesuaikan untuk dijadikan sebagai satu seni hiasan pada busana si pemakai dengan motif yang lebih moden," katanya.

Mewahkan fabrik

Tambah Zanna, sulaman menjadikan sehelai pakaian tampak indah kerana ia bukanlah seni yang mudah malah, dibuat dengan berhati-hati bagi memastikan kekemasan dan kualiti.

"Sulaman lazimnya dibuat mengikut motif bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan atau alam semula jadi. Ia amat sesuai dengan keperibadian wanita yang lembut dan halus," katanya.

Menurut Zanna, sulaman wujud dalam banyak jenis dan yang paling terkenal ialah sulaman kerancang yang namanya diambil daripada perkataan Indonesia.

"Sulaman kerancang merupakan seni halus dan teliti. Ia menggunakan seni ayak dan goyang yang merupakan seni tangan yang sukar untuk didapati pada masa kini.

"Ia mempunyai jaringan yang dipanggil sebagai krell yang merupakan jaringan berbentuk seperti sarang labah-labah," katanya.

Kongsi beliau lagi, teknik sulaman tersebut bergantung kepada kecekapan penjahit untuk melakarkan motif atau corak sulaman tanpa menggunakan komputer.

"Sulaman ini boleh digunakan pada kebaya pendek atau labuh serta baju kurung pesak, moden atau Pahang.

"Ia akan lebih menyerlah pada material kain kosong seperti sutera, taffeta dan kain kapas. Malah, ia boleh juga disulam pada kain bercorak," katanya.

Sulaman yang turut memerlukan kemahiran yang tinggi ialah sulaman ayak iaitu sulaman yang menggunakan teknik yang sama seperti sulaman kerancang tetapi tidak mempunyai krell yang membentuk seperti sarang labah-labah.

"Sulaman ini membentuk corak atau motif sulaman dengan jahitan benang berwarna-warni. Ia juga sesuai disulam pada baju kurung moden atau pesak tetapi, tidak sesuai untuk baju kebaya.

"Ia juga dibuat dalam sulaman bercorak timbul bagi menampakkan seolah-olah ia hidup," katanya.

Sementara itu, sulaman benang pula katanya merupakan teknik sulaman yang menggunakan 100 peratus tangan tanpa bantuan mesin jahit atau komputer untuk menjalinkan benang yang berwarna-warni bagi membentuk corak yang diingini.


SENI sulaman ayak yang menggunakan dua warna kontra.


"Sulaman ini juga tidak sesuai disulam pada baju kebaya, sebaliknya lebih sesuai disulam pada baju kurung moden atau pesak," katanya.

Ketelitian sulaman peniti

Zanna turut memperkenalkan sulaman peniti yang merupakan sulaman teknik simpulan benang pada akhir sulaman.

"Teknik ini agak sulit kerana jahitannya juga 100 peratus menggunakan tangan.

"Sulaman untuk sepasang baju sahaja memakan masa sehingga dua bulan. Selain itu, sulaman ini lebih kepada motif bunga-bungaan menggunakan dua warna benang yang berbeza," katanya.

Dalam pada itu Zanna memberitahu, sulaman riben atau pita pula merupakan teknik sulaman menggunakan benang dan riben.

"Riben bersaiz kecil dan nipis ini selalunya digunakan untuk membentuk bunga atau corak utama baju, manakala benang hanya digunakan untuk menjahit riben tersebut pada kain," katanya.

Menurut Zanna, baju bersulam kini seharusnya diperkenalkan kepada penggemar fesyen bagi menggalakkan mereka menggunakan sulaman bagi menghiasi busana mereka.

"Ia melambangkan seni ketimuran dan kemelayuan kepada si pemakai serta menggalakkan anak-anak muda untuk mempelajari teknik sulaman ini supaya ia tidak hilang dek zaman," katanya.

Zanna memberitahu, dia mahu menghidupkan kembali trend kebaya Nyonya yang sarat perincian tradisi Melayu dan nyonya.

"Kini, tidak ramai yang pandai atau mempelajari teknik sulaman, justeru seni itu semakin hilang kini.

"Lebih-lebih lagi, ramai anak muda kini selesa mengenakan baju kurung, kurung pesak atau kebaya ringkas yang tidak disulam," katanya.

Kesegaran wajah bulan puasa


KAYLA menawarkan krim pelembap dan krim asas wajah yang mengandungi ekstrak stem epal hijau.


HARI ini merupakan detik istimewa kepada umat Islam di seluruh dunia kerana berpeluang menjalani ibadah puasa sempena bulan Ramadan. Dalam tempoh sebulan ini muslimin bukan saja menahan lapar dan dahaga malah, mengehadkan diri daripada melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan tubuh badan keletihan.

Namun tahukah anda, meskipun berpuasa melebihi lapan jam tanpa menjamah makanan dan minuman, anda masih berpeluang menjalani kehidupan seharian dengan aktif. Oleh itu, sempena hari pertama Ramadan ruangan Riak&Rias kali ini berkongsi beberapa tip menarik bagi mengelakkan wajah kusam dan tubuh badan kurang bermaya sewaktu berpuasa.

Banyak minum air putih

Berpuasa bukan alasan untuk kita mengurangkan pengambilan air putih. Kekurangan air putih dalam tubuh badan menyebabkan kelesuan dan menyebabkan kulit kering, jerawat, sukar membuang air besar serta wajah kelihatan kusam. Bagi mengelakkan penampilan tampak kurang bermaya anda disaran minum banyak air putih sewaktu berbuka dan bersahur.

Persatuan Dietetik British menyarankan individu menikmati sekurang-kurangnya dua liter air putih setiap hari. Tabiat itu membantu membuang toksin, mencantikkan kulit wajah dan badan.

Aplikasi salap bibir

Selain itu, sepanjang menjalani ibadah puasa anda turut mengalami masalah bibir kering dan menggelupas gara-gara kekurangan air. Oleh itu, biasakan diri mengoles salap atau pelembap bibir yang mengandungi vitamin C dan E yang membantu memberi kelembapan dan kesegaran berpanjangan. Jangan sesekali membasahkan bibir dengan lidah kerana ia membuatkan bibir bertambah kering.

Krim wajah

Selain menitikberatkan bahagian bibir, kelesuan wajah sewaktu berpuasa dapat diatasi dengan mengaplikasi pelembap dan krim asas pada wajah. Memahami situasi wanita yang ingin kelihatan segar jenama kosmetik Kayla Beverly Hills memperkenalkan krim pelembap Kayla Ori Stem Cell.

Krim wajah yang mengandungi ekstrak sel stem epal hijau Uttwiler Spatlauber dari Switzerland, minyak jojoba, ekstrak lidah buaya dan vitamin E itu menawarkan lapan khasiat di dalam satu krim.


MAKANAN berserat baik untuk membekalkan tenaga pada bulan puasa.


"Selain melembapkan kulit wajah, krim ini turut bertindak melindung kulit daripada sinaran Ultra Ungu (UV), mengurangkan jerawat, antipenuaan, mengurangkan pigmentasi dan mencerahkan kulit wajah.

"Pengguna dapat merasai perubahan kulit wajah dalam tempoh empat minggu saja sekiranya mengaplikasi krim Kayla Ori Stem Cell secara sistematik. Bukan itu saja, olesan krim ini membuatkan kulit wajah lebih sekata dan memudahkan proses solekan kerana anda tidak perlu menyapu bedak asas terlalu tebal," jelas pemilik jenama Kayla Beverly Hills Malaysia, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed.

Solekan ringkas

Sementara itu, perunding kecantikan Kayla Beverly Hills, Nor Aishah Tokiran, menjelaskan selepas menyapu krim pelembap, krim asas dan bedak asas, serlahkan bahagian pipi dengan pemerah pipi rona ceria seperti merah jambu lembu atau jingga.

Kemudian hiasi kelopak mata dengan pembayang mata rona pilihan dan pengaris mata warna hitam bagi membuatkan sepasang mata kelihatan lebih galak.

"Solekan ringkas dan tipis membantu mengelakkan wajah kelihatan lesu," katanya.

Makanan berkhasiat

sewaktu bersahur

Disebabkan kita perlu menahan lapar dan dahaga lebih daripada lapan jam maka sewaktu bersahur kita wajar mengambil makanan yang berkhasiat dan membekalkan tenaga.

Selain bijirin bersama susu segar atau oat yang dicampur bersama daging atau ayam, kita juga boleh menikmati hidangan buah-buahan yang berserat tinggi. Antaranya buah epal, pisang, jambu batu, prun atau pir.

Pelancongan etnik di Papua


PELANCONGAN etnik mula menjadi tarikan di Papua.


SELAMA beberapa dekad, kelompok pelancong asing yang berani memasuki Papua hanya terdiri daripada pelombong emas, ahli antropologi, mubaligh Kristian dan tentera ketika berperang.

Tetapi kini, separuh daripada bahagian barat kepulauan New Guinea itu perlahan-lahan membuka pintunya secara berperingkat kepada pelancong.

Kawasan yang dikenali sebagai 'syurga tersembunyi' itu merupakan tanah adat bagi golongan nenek moyang penduduk di sana, dipenuhi terumbu karang yang bergemerlapan, ketinggian glasier dan berpeluang menerokai kehidupan haiwan liar.

Bagi Sarah Gabel, 29, salah seorang pelancong dari Amerika Syarikat (AS) mengakui dia terpikat dengan orang yang mampu hidup dalam harmoni dengan alam semula jadi.

Itulah yang ditemui Gabel di Lembah Baliem, rumah panjang terpencil yang menjadi tempat perlindungan buat puak Dani di tengah-tengah tanah tinggi Papuan yang terletak di luar bandar Wamena.

"Saya meredah trek laluan selama seminggu. Saya juga menyeberangi sungai yang dipenuhi haiwan liar, tidur di dalam pondok kayu dan bertemu dengan orang separuh bogel yang memburu beruang liar dengan panah. Ia satu pengalaman yang sungguh menakjubkan," katanya.

Pelancongan etnik seperti itu telah menjadi keutamaan kepada New Guinea, pulau terbesar di Asia, di mana beribu-ribu suku kaum peribumi dibahagikan antara negara bebas, Papua New Gunea ke timur dan wilayah-wilayah yang yang dikuasai Indonesia iaitu dari Papua dan Barat Papua.

"Kebanyakan pelancong datang dari Eropah dan AS. Mereka tidak mencari hotel lima bintang tetapi mahu menerokai keaslian sempadan yang tidak diketahui," jelas Iwanta Perangin daripada Agensi Papua Advanture yang menawarkan penginapan di Baliem.

Padat dengan hidupan liar eksotik, Papua juga berjaya menarik minat pencinta alam dan ahli ornitologi untuk mencari spesies burung yang jarang ditemui seperti burung kakak tua.

Dalam pada itu, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) baru-baru ini mengumumkan penemuan lebih 1,000 spesies baru di New Guinea termasuk katak bersiung dan ikan lumba-lumba kepala bulat.

Taman Laut Raja Ampat juga mendapat reputasi sebagai lokasi menyelam menarik dengan begitu banyak rumah-rumah bot menawarkan pelayaran tambahan di sekeliling kawasan yang mempunyai banyak terumbu karang semula jadi.

"Papua merupakan syurga tersembunyi. Ia merupakan destinasi unik yang menawarkan pelbagai peluang untuk menikmati keseronokan. Dari keindahan pantai ke gunung yang tinggi dan hutan tebal malah, adat dan budayanya masih dipegang kuat," kata pensyarah Institut Pelancongan Universiti Trisakti, Profesor Azril Azahari.

Ujarnya lagi, ia merupakan satu pasaran khusus kerana terlalu mahal dan pelawat harus berada dalam keadaan yang baik untuk menyokong iklim, landskap berbukit dan pengangkutan yang sangat asas.


SEORANG kanak-kanak kaum Dani memegang sebuah gendang kecil tiba.


Pergolakan politik

Di samping itu, pergolakan politik yang berlaku turut menjadi faktor kekurangan pelancong ke sana. Tentera Indonesia dituduh melakukan penderaan kemanusiaan terhadap puak peribumi yang telah melancarkan perang pemisah sejak 1960-an.

Wartawan asing dan pekerja perubatan dilarang untuk memasuki wilayah yang kaya dengan sumber alam di Papua untuk melaporkan mengenai pemberontakan tersebut.

"Pergolakan politik sudah lama berlalu tetapi, Papua masih dilihat sebagai negara yang terasing dan kawasan yang tidak selamat. Kerajaan mesti berbuat sesuatu untuk mengubah tanggapan tersebut.

"Amat penting untuk membangunkan negara di peringkat akar umbi, komuniti berasaskan pelancongan yang mampu memberi hasil kepada penduduk tempatan untuk menambah pendapatan mereka. Masa depan tidak terletak di pusat peranginan mewah," tegas Azahari.

Amaran lain terhadap kesan buruk yang mungkin dihadapi dalam pelancongan etnik adalah seperti mempromosikan puak yang ada sebagai primitif kerana ia boleh memberi gambaran tidak elok kepada masyarakat luar.

Perkara itu telah pun berlaku dalam bentuk pembinaan semula perang antara puak. Apabila pelancong tiba, puak Dani bertindak menanggalkan seluar dan baju, mengecat badan dan menampal alat sulit tradisional dari labu yang dikenali sebagai kotekas.

"Warga Papua terlalu bangga dengan tradisi mereka tetapi, dilemahkan dengan dunia moden," kata Yotam Yorgen Fonataba, penganjur festival kebudayaan tahunan Tasik Sentani, dekat wilayah Papua ibu negeri Jayapura.

"Saya optimis mengatakan budaya kami masih kuat dan kami mahu mempertahankannya. Untuk itu, kami perlu menunjukkan kepada dunia mengenai kreativiti kami."

Dilancarkan sejak empat tahun lalu, festival tersebut menyatukan beribu orang dari 24 komuniti yang berbeza di sekitar tasik besar itu.

Daripada paluan gendang tradisional dikenali sebagai tiba, para pahlawan mengalunkan lagu ketika berburu, manakala penari dilitupi dengan pakaian berwarna-warni, di atas bot yang berada di tengah tasik.

Kumpulan koir pelajar pula menyanyikan lagu yang berbunyi: "Saya warga Papua, berkulit gelap, berambut kerinting. Papua, cebisan syurga yang gugur ke bumi."