Thursday, January 14, 2016

Search takkan berundur!




Search takkan berundur!

KUMPULAN rock legenda tanah air, Search dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon sempena Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30, baru-baru ini.
Search, merupakan kumpulan pertama yang menjuarai AJL menerusi lagu Isabella pada 1989.
Bersyukur di atas penghargaan itu, vokalisnya, Amy mengakui AJL merupakan satu acara berprestij sekali gus mampu meninggalkan impak yang mendalam terhadap industri.
“Saban tahun, terdapat begitu ramai komposer dan penyanyi baharu mencuba nasib untuk menyertai AJL, sejak ia diperkenalkan pada 1986. Bahkan, ia bagaikan satu trend sehingga menjadi ikutan ramai.
“Pada masa sama, AJL juga menjadi ruang bagi seseorang artis mencipta nama sekali gus berjaya mencapai populariti tersendiri.
“Terima kasih juga kepada AJL kerana mengiktiraf kami sebagai Ikon AJL. Ia adalah satu penghargaan yang besar buat kami,” katanya kepada Zass.
Tambah Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, dari semasa ke semasa, AJL turut mengalami perubahan seiring dengan perkembangan muzik itu sendiri.
“Ada satu ketika, ada yang menyatakan AJL bagaikan sudah tidak relevan. Namun, kini ia sudah ‘bergerak’ terlalu jauh.
“Malah, AJL juga kembali dengan produksi yang lebih menarik,” katanya.
Pun begitu, Amy mengakui penyanyi sepertinya sukar mendapat tempat dalam acara berprestij itu memandangkan ia sering memberi perhatian kepada genre balada.
“Memang ada lagu-lagu selain balada pernah menang, tetapi ia jarang berlaku.
“Mungkin, AJL perlu mewujudkan satu kategori khas buat lagu-lagu yang berentak rock dan seumpamanya,” katanya.
Meskipun begitu, kata Amy, itu bukanlah penghalang besar untuk Search terus menyertai AJL pada masa hadapan.
Katanya, Search tidak akan mengambil pendekatan untuk bersara daripada AJL seperti mana yang dilakukan oleh artis terkenal, Datuk Siti Nurhaliza.
“Kami tidak akan bersara daripada AJL. Kami akan terus menyertai AJL sekiranya ada lagu-lagu yang menarik.
“Kami tidak kisah untuk menyertainya malah kami juga akan sentiasa menyokong pelapis-pelapis baharu,” katanya.
Tidak keseorangan, selain Search, empat penggiat seni yang lain turut menerima anugerah itu iaitu Francissca Peter dan Manan Ngah menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran, yang merupakan pemenang Juara Lagu pertama pada 1986, Datuk Siti Nurhaliza sebagai penyanyi wanita paling banyak menjuarai Juara Lagu dengan lagu Jerat Percintaan (1996), Cindai (1998) dan Balqis (2000), Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan Hairul Anuar Harun sebagai pencipta lagu etnik kreatif menerusi lagu Cindai dan Balqis serta pemenang AJL29, Joe Flizzow dan Sona One yang merupakan penyanyi, komposer serta penulis lirik untuk lagu hip hop pertama diangkat di pentas AJL menerusi lagu Apa Khabar.
Anugerah penghargaan itu bertujuan untuk menyemarakkan lagi kehangatan AJL30 sekali gus mengimbau kembali detik-detik manis AJL sejak ia diterbitkan.

Istimewa Isabella
Mengimbas kembali akan kemenangan Search menerusi Isabella pada AJL 1989, Amy mengakui lagu itu mempunyai keistimewaannya tersendiri.
Biarpun baharu pertama kali menyertai AJL ketika itu, Search berjaya menewaskan kumpulan Illusi dan Ramlah Ram. 
Lebih membanggakan, Search turut memenangi kategori Persembahan Terbaik dalam pertandingan itu.
Jelasnya, lagu itu dimuatkan dalam album Fenomena (1989) telah mencipta auranya yang tersendiri sekali gus menjadi terkenal sehingga ke tanah seberang.
“Isabella adalah satu kejutan Nusantara.
“Jualan album Fenomena turut mencecah 300,000 salinan di negara ini manakala lebih satu juta di Indonesia,” katanya.
Pada masa sama, lagu itu turut diadaptasikan kepada filem usaha sama Malaysia-Indonesia menggunakan judul sama dan dibintangi Amy, Nia Dzulkarnain dan Julia Rais.
Untuk versi Malaysia pula, filem Fenomena diterbitkan dan dilakonkan oleh Datuk M. Nasir dan Ramona Rahman. 
“Dengan melodi hasil idea bersama Search dan M.Nasir, ia turut diiringi lirik indah hasil nukilan Bob Lokman.
“Tidak hairanlah mengapa lagu ini sangat diminati dan diingati oleh setiap golongan lapisan masyarakat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: