Thursday, January 14, 2016

Gegar Vaganza tawan Istana Budaya




Gegar Vaganza tawan Istana Budaya

SELEPAS menggegarkan pentas akhir musim kedua, kini program realiti Gegar Vaganza beraksi di pentas penuh prestij, Istana Budaya menerusi Konsert Menga Gegar Vaganza hujung minggu ini.
Lebih istimewa, konsert yang dipersembahkan selama tiga hari bermula Jumaat ini bakal menghimpunkan bintang Gegar Vaganza musim pertama dan kedua.
Antara penyanyi yang bakal membuat persembahan adalah Siti Nordiana, Farahdhiya, Ezad Lazim, Nassier Wahab, Ayai Ilusi, Rahmat Mega, Haleeda, Achong, Haiza, Amir Ukay’s, Zul Handy Black, Nizam Laksamana, Sharifah Zarina, Azian Mazwan Safuan, Sheeda dan ramai lagi.
Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, konsert ini diadakan sebagai tanda penghargaan pihaknya terhadap penonton yang memberi sokongan penuh pada program tersebut.
“Sokongan penonton luar biasa sehingga Gegar Vaganza diangkat sebagai sebuah program nyanyian yang berjaya mencetuskan fenomena.
“Program ini turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi program realiti terhebat yang berjaya mencatatkan jumlah tontonan tertinggi di dalam sejarah penyiaran Astro,” katanya ketika sidang media Konsert Megar Gegar Vaganza, baru-baru ini.
Bercerita lebih lanjut, Raqim memberitahu, konsert yang akan dijalankan selama tiga hari itu akan menampilkan persembahan berbeza setiap hari.
“Konsert ini juga beri peluang kepada peminat yang tidak berkesempatan menonton konsert mingguan Gegar Vaganza sebelum ini.
“Ia dijalankan lebih dua jam yang akan menampilkan 13 penyanyi setiap malam dengan lebih 20 lagu yang akan didendangkan di mana setiap malam menampilkan lagu berbeza.
“Sepanjang tiga hari konsert berlangsung, ia diiringi 63 pemuzik profesional dan penyanyi latar di bawah iringan Okestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah pimpinan konduktor, Mohd Yazid Zakaria.

Kekalkan kemeriahan
Selain menampilkan bintang Gegar Vaganza, konsert ini turut menampilkan pasangan pengacara sensasi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse selaku pengemudi acara konsert.
“Dalam mewujudkan suasana meriah seperti yang berlaku pada setiap konsert mingguan, konsert ini mengekalkan elemen sinonim dengan Gegar Vaganza seperti pemilihan lagu, elemen kejutan gurau senda dan sebagainya.
“Nabil dan Jihan sekali lagi diberi kepercayaan mengemudi perjalanan konsert memandangkan penampilan mereka bakal menggamatkan suasana.
“Cuma terdapat sedikit perbezaan dari segi formatnya adalah kehadiran kedua-dua juri Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim hanya sebagai tanda sokongan terhadap program ini,” jelasnya sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: