Friday, July 5, 2013
Timba ilmu dengan legenda bola sepak EPL
BERCERITA mengenai dunia bola sepak, pastinya peminat tegar sukan itu memasang impian untuk bertemu mata dengan pemain-pemain daripada kelab-kelab bola sepak terkemuka seperti Liverpool, Arsenal, Bayern Munich, Manchester United, Barcelona dan Real Madrid.
Bagai mimpi menjadi kenyataan, 60 pelajar bertuah daripada Sekolah Menengah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan, Setapak dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lai Meng, Jalan Ampang, Kuala Lumpur bukan sahaja dapat bertemu secara langsung dengan pemain legenda bola sepak Liga Perdana England (EPL), malah berpeluang berkongsi padang dengan mereka.
Antara pemain legenda EPL yang turun padang memeriahkan program Pembangunan Pengenalan Bakat Standard Chartered di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil baru-baru ini ialah Stephane Henchoz, Bjorn Tore Kvarme, Jerzy Dudek dan Dietmar Hamann.
Ketika menunggu kehadiran para pemain kesayangan masing-masing, para peserta klinik bola sepak kelihatan begitu bersemangat dan teruja membuat latihan tendangan penalti.
Sebelum melakukan tendangan penalti, peserta melakukan senaman pemanas badan dengan bimbingan instruktor daripada ISN bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk berdepan dengan pemain bertaraf dunia.
Pelbagai keletah
Oleh kerana 40 daripada 60 peserta merupakan pelajar pendidikan khas yang mempunyai masalah penglihatan, setiap pelajar istimewa itu ditemani seorang buddy.
Sebelum melakukan sepakan penalti, para pelajar pendidikan khas mendengar arahan buddy masing-masing dengan teliti.
Setiap kali sepakan penalti dilakukan, kedengaran tepukan gemuruh terutamanya ketika para pelajar berjaya menjaringkan gol.
Malah, pelbagai keletah mereka turut menghiburkan, sebagai contoh apabila kasut salah seorang peserta melayang bersama bola yang ditendang.
Selepas melakukan latihan tendangan penalti, latihan menggelecek bola dilakukan bagi menguji kemahiran mengawal bola menggunakan kedua-dua belah kaki.
Tepat pukul 4.40 petang, selepas hampir satu jam menunggu, kelihatan kelibat beberapa pemain legenda bola sepak EPL diiringi dengan sorakan serta tepukan gemuruh daripada para peminat cilik.
Tanpa membuang banyak masa, bintang bola sepak yang hadir melakukan demonstrasi skil menimbang bola, menggelecek dan menangkap bola yang ditendang ke gawang gol.
Selesai sesi demonstrasi, tiba masanya para peserta melakukan tendangan ke gawang gol yang dikawal secara bergilir-gilir oleh Henchoz, Tore Kvarme, Dudek dan Hamann.
Walaupun mengalami masalah penglihatan, ada antara tendangan peserta daripada sekolah pendidikan khas membolosi gawang gol yang dikawal Dudek.
Kenangan terindah
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan penganjuran klinik bola sepak sedemikian mampu menggilap bakat para pelajar dalam sukan bola sepak.
“Pelbagai program dilakukan di negeri-negeri untuk mencari bakat-bakat sukan bukan sahaja di bandar-bandar, tetapi juga di kampung-kampung.
“Saya percaya, pengalaman yang diraih oleh 60 pelajar yang hadir pada program ini akan menjadi kenangan yang tidak dapat mereka lupakan,” katanya.
Dalam pada itu, bekas pemain tengah Liverpool, Tore Kvarme yang bersara pada bulan Jun 2008 begitu seronok dapat meluangkan masa bersama peserta klinik bola sepak itu terutamanya dari sekolah pendidikan khas.
“Walaupun ada kekurangan, mereka sangat yakin, bersemangat dan berbakat,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Scope International Malaysia, Kwan Chee Sun memberitahu, pihaknya sangat gembira kerana dapat memberikan peluang kepada para pelajar kelainan upaya dan pelajar yang berbakat dalam sukan bola sepak bertemu dengan pemain-pemain legenda bola sepak EPL.
“Diharapkan dengan pendedahan sebegini dapat memberikan perubahan positif terhadap sukan bola sepak negara pada masa akan datang.
“Apa yang pasti, usaha sebegini tidak akan terhenti dan ia akan dilakukan secara berterusan dengan mengadakan banyak lagi aktiviti sepanjang tahun,” katanya yang akan mengenal pasti pemain-pemain legenda bola sepak lain pada tahun depan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: