|
KELAHIRAN cahaya mata kedua yang merupakan seorang puteri, sembilan tahun lalu melengkapkan hidup wanita pemilik nama Lia Zalee Ahmad, 38, bersama suami tercinta selepas kelahiran putera sulung mereka.
Walaupun bayi perempuan itu dilahirkan ketika usia kehamilannya hampir enam bulan dengan fizikal bayi yang terlalu kecil iaitu seberat 750 gram, anak kelahiran Labis, Johor itu reda dengan ketentuanNya.
“Saya letakkan namanya Reedha. Apa pun yang terjadi pada bayi itu, saya reda andai itu takdirnya.
“Reedha atau nama penuhnya Amy Reedha Adriana Razalee dilahirkan sempurna fizikalnya, cuma tidak cukup bulan,” kata anak ke-10 daripada 11 beradik itu.
Sama seperti bayi normal yang lain, Reedha menjalani fasa tumbesaran yang normal, cuma perkembangannya sedikit lambat, tetapi itu sesuatu yang biasa bagi bayi yang lahir tidak cukup bulan.
Kebiasaannya, anak kecil sudah pun bertatih untuk berjalan pada usia setahun, namun Reedha tidak menunjukkan perkembangan yang sama.
“Saya langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana kita sedia maklum bayi yang lahir tidak cukup bulan sememangnya lambat berjalan.
“Apabila Reedha mencapai usia satu tahun setengah, dia masih tidak boleh berjalan, kakinya terjingkit dan tidak boleh berdiri dengan betul. Kami terus rujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” ujarnya yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Mohd. Reezwan Shah Razalee yang kini berusia 16 tahun.
Dua kali pembedahan
Alangkah terkejutnya dia apabila doktor memberitahu bahawa anaknya mempunyai masalah palsi serebrum iaitu keabnormalan perkembangan otak tertentu yang menyebabkan kelemahan dan ketiadaan koordinasi pada anggota-anggota tubuh.
“Kami terpinga-pinga kerana tidak pernah dengar dan tidak pernah tahu apa itu palsi serebrum, namun kami reda dengan pemberian Allah.
“Apa yang ada dalam fikiran kami suami isteri pada masa itu adalah mahu membesarkannya supaya dia boleh jaga dirinya sendiri kelak,” katanya yang menyorot kembali saat puteri kesayangannya itu didiagnosis menghidap palsi serebrum.
Tanpa berlengah, Lia Zalee melakukan pelbagai terapi yang terbaik buat anaknya kerana segala usaha untuk membolehkan puterinya berjalan perlu dilakukan segera ketika tulang masih lembut.
Lia Zalee dan suami membuat ‘kerja rumah’ dengan merujuk pelbagai bahan bacaan selain meminta pendapat dalam kalangan mereka yang berpengalaman termasuk ibu bapa yang mempunyai anak senasib dengan mereka.
“Seratus peratus respons yang diterima menggalakkan kami melakukan pembedahan kerana itu merupakan jalan terbaik.
“Alhamdulillah, pembedahan pertama pada usia empat tahun pada kedua-dua kaki Reedha membuahkan hasil. Jingkit pada kakinya sudah kurang 40 peratus dan pembedahan kali kedua dilakukan pada usianya tujuh tahun,” ujarnya sambil memberitahu, kedua-dua pembedahan tersebut dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Kuala Lumpur.
Selepas pembedahan kedua, jingkit kaki Reedha bertambah baik dan dia mampu berjalan walaupun kadangkala kestabilannya goyah.
Ibu mana yang tidak sedih dan tersentuh hati apabila buah hati pengarang jantungnya itu terpaksa melalui kesakitan pada usia yang terlalu muda. Namun semua kesedihan itu ditelan Lia Zalee demi mahu melihat anaknya berjalan.
Sungguhpun tidak boleh pulih sepenuhnya, melihat satu-satunya puterinya itu berjalan sudah cukup buat Lia Zalee.
Sama seperti kanak-kanak lain, Reedha tidak ketinggalan memasuki alam persekolahan. Malah, atas permintaan Reedha, Lia Zalee berjaya menempatkan anaknya itu di sekolah biasa walaupun pada mulanya banyak sekolah yang menolak permohonan itu.
Anak yang pintar
Sudah menjadi rutin Lia Zalee menghantar, menjemput, memakaikan lampin pakai buang dan menjenguk puteri kesayangannya itu pada waktu rehat di sekolah.
“Walaupun Reedha mempunyai sedikit kekurangan dari segi fizikal, ia tidak sedikit pun menghalangnya untuk tampil cemerlang dalam bidang akademik.
“Dia tidak berhadapan dengan masalah pembelajaran dan merupakan salah seorang pelajar pintar di Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 1, Kuala Lumpur,” katanya sambil mengusap lembut pipi puterinya itu yang berusia sembilan tahun.
|
Kini berada dalam darjah tiga, Reedha mempunyai keinginan untuk berjalan seperti rakan-rakannya.
Bagi memenuhi hasrat anaknya itu, Lia Zalee membeli alat bantuan bergerak untuk memudahkan Reedha berjalan kerana anaknya itu tidak mahu menggunakan kerusi roda.
“Adakalanya Reedha mengadu tentang kekurangan pada dirinya, namun selaku ibu saya harus bijak memujuknya.
“Saya katakan padanya: ‘Walaupun adik ada kekurangan, mami sayang adik. Adik kena buktikan pada orang bahawa adik boleh berjaya dan adik perlu bersyukur kerana adik tetap cantik’,” ujarnya sambil menitipkan pesan buat ibu bapa yang mempunyai anak palsi serebrum supaya tidak malu dengan keadaan anak mereka.
Walaupun Reedha punya kekurangan, puteri kesayangan Lia Zalee itu amat menyejukkan hatinya.
Baru-baru ini sempena Hari Ibu, Reedha membuat dua keping kad hari ibu buat ibunya.
Satu kad daripadanya dan satu lagi daripada abangnya yang tinggal di asrama, sedangkan tulisan yang tertera pada kad yang konon-kononnya daripada abangnya itu adalah milik Reedha.
“Bagi ibu bapa yang mempunyai anak seperti Reedha, terimalah dengan hati terbuka kerana ia merupakan ujian daripada Allah dan amanah yang perlu dijaga,” katanya sambil memberitahu Reedha yang bercita-cita mahu menjadi seorang profesor mudah menghafal dan sudah pandai membaca seawal usia empat tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: